March 8th, 2013

Khutbah Jumaat: Wajib pertahan maruah negara

Tindakan bersepadu wajar diambil hadapi ancaman musuh

Berdasarkan sejarah, negara kita pernah berdepan beberapa siri ancaman keselamatan bermula dengan ancaman komunis ketika darurat dan kemunculan beberapa militan seperti kumpulan tentera sabilillah, Nasir Ismail, al-Maunah dan lain-lain lagi.

Kesemua menuntut berlakunya peperangan dan pertumpahan darah serta nyawa. Alhamdulillah, semua ancaman keselamatan itu berjaya diatasi oleh pihak pemerintah dan pasukan keselamatan negara hasil perancangan yang tepat serta strategik demi mempertahankan maruah negara.


Ulama bersepakat mengatakan mempertahankan negara adalah fardu kepada setiap orang Islam, manakala menderhaka dan mengkhianati negara satu dosa besar. Pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara termasuklah cubaan menjatuhkan negara dengan bersekongkol bersama musuh.

Wajib pertahan negara

Menurut pandangan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah: “Mempertahankan negara adalah wajib ke atas setiap Muslim.”

Hukum ini dinyatakan dengan jelas dalam kitab fiqh bahawa ia sama ada fardu kifayah atau fardu ain bergantung kepada sejauh mana ancaman dihadapi sesebuah negara itu.

Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya Fiqh al-Siasah menjelaskan, mewujudkan suasana tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak-peranda seterusnya mengundang mudarat kepada orang awam hukumnya adalah haram.

Dalam menangani pelbagai ancaman dihadapi negara, pendekatan bersepadu wajar dilaksanakan antaranya perlu kesedaran semua pihak tanggungjawab menjaga keselamatan.

Perlu difahami, ruang lingkup ancaman keselamatan negara amat luas dan musuh wujud di mana-mana. Justeru, tidak sepatutnya tanggungjawab ini diletakkan di bahu anggota pertahanan dan keselamatan saja tanpa didukung setiap rakyat negara ini.

Yakinlah, segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad di jalan Allah SWT. Inilah masanya, semua umat Islam bersatu demi mempertahankan kedaulatan negara dan agama selain menolak sebarang usaha cuba menghancurkan keamanan negara.

Firman Allah SWT: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Anaam, ayat 82)

Harus perang jaga maruah

Walaupun agama Islam mengutuk peperangan kerana menyebabkan pembunuhan sesama manusia, agama Islam mengharuskan umatnya berperang sebagai satu cara untuk mempertahankan diri demi menjaga maruah agama, bangsa dan negara sekiranya diancam.

Firman Allah SWT: “Diizinkan berperang bagi orang yang diperangi, sebab mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka.” (Surah at-Haj, ayat 39)

Mereka yang berperang di jalan Allah dianggap sebagai pahlawan Allah dan jika mereka mati pun dianggap mati syahid kerana mempertahankan kedaulatan serta maruah negara.

Muaz bin Jabal meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang bermohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sederas darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’ faran dan baunya bagaikan kasturi.” (Riwayat Abu Daud)

Rapatkan saf, erat perpaduan

Marilah kita bersama mempertahankan setiap inci tanah air kita ini daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab, marilah berganding bahu, bersatu padu, merapatkan saf, menjauhi perpecahan dan mengeratkan perpaduan.

Percayalah, hanya dengan bersatu kita akan menjadi kuat dan mampu mengalahkan musuh. Sedarlah, permusuhan sesama sendiri pasti merugikan dan melemahkan kita. Marilah memperkukuhkan cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah.

Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar.


Berita Harian Online Agama 08/03/2013

Had toleransi selagi tidak jejas akidah

Toleransi mampu mewujudkan hubungan baik dengan mana-mana pihak dalam urusan membabitkan kepentingan masing-masing. Toleransi dengan penganut agama lain disandarkan kepada hubungan baik membuktikan kebenaran ajaran Islam.

Perlu difahami, toleransi tidak bermakna berdiam diri dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh berlembut atau menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan akidah.


Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu tolong- menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Mentafsir ayat ini, Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk tolong- menolong dalam kebaikan, meninggalkan kemungkaran serta melarangnya untuk saling bantu membantu dalam kebatilan dan dosa.

Tolak fahaman pluralisme

Meniru atau terikut-ikut cara ibadat bukan Islam adalah batil dan dosa, hukumnya haram. Sikap toleransi sehingga menerima fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung sekelompok umat Islam yang dikenali penganut ‘Islam Liberal’.

Aliran atau manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 42)

Islam mewajibkan umatnya berbuat baik kepada bukan Islam apalagi kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan, haruslah dibantu dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka hendaklah membantu mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai.

Bangun sikap toleransi

Itulah adab umat Islam dalam membangun sikap toleransi. Rasulullah SAW malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim kepada zimmi dengan ancaman tidak masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membunuh bukan Islam yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia tidak akan mencium keharuman syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem yang berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci. Sesungguhnya, Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk mencapai apa-apa maksud atau tujuan.

Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan ekstrem, bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan. Umat Islam ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak lain.

Mana-mana individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak patut mengaku melakukan perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam.

Justeru, sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam sebagai pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang dilakukan oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar.

Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan Islam sebagai paksi segala kejahatan. Berita membabitkan umat Islam yang digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat.

Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia terhadap umat Islam. Sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang bentuk keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh penghuni dunia ini.


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 08/03/2013

Kepimpinan kiai

GELARAN kehormat yang diberikan masyarakat terutama di Indonesia kepada seorang ahli agama Islam disebut kiai. Dahulu, seseorang dipanggil kiai jika dia mempunyai memiliki/memimpin sesebuah pondok pengajian/pesantren dan mengajarkan agama Islam kepada muridnya.

Bagaimanapun, sekarang banyak ulama berpengaruh dipanggil sebagai kiai, meskipun tidak memimpin pondok pengajian. Di beberapa daerah di Indonesia, masyarakat menyebut kiai dengan istilah mereka sendiri. Di Jawa Barat, misalnya, kiai disebut Ajeungan, di Lombok disebut Tuan Guru, manakala di Aceh disebut Teungku. Di Malaysia, golongan ini dipanggil sebagai Tuan Guru.

Pada zaman perjuangan menentang penjajah Belanda, mereka (kiai di Indonesia) berpengaruh dalam meniupkan semangat rakyat setempat untuk memperjuangkan kemerdekaan. Hingga kini kepimpinan kiai tetap penting. Kiai kerap dianggap aktivis yang berpengaruh terhadap masyarakat.

Kiai harus mengutamakan hasrat dan perkembangan masyarakat di sekitarnya dalam menyampaikan ajaran Islam. Kemampuan mengamati perkembangan masyarakat perlu bagi kiai dalam berdakwah sehingga dapat menjawab persoalan masyarakat sesuai dengan perkembangan zaman.

Keahlian kiai

Oleh sebab mempunyai minat yang berbeza-beza, keahlian para kiai juga berbeza-beza. Ada kiai yang ahli dalam ilmu hikmah, seperti KH (Kiai Haji) Mohammad Kholik di Bangkalan. Ada kiai yang ahli dalam ilmu hadis dan pengasas pondok pengajian seperti KH Hasyim Asy'ari (1871-1947). Ada juga kiai yang ahli dalam ilmu fikah, namun tidak mempunyai pondok pengajian seperti KH Ali Yafie, salah seorang kiai yang aktif dalam majlis Ulama Indonesia. Ada juga kiai penyair, seperti KH Mustofa Bisri dan kiai aktivis Pusat Swadaya Masyarakat, seperti KH Sholeh Iskandar dan KH Sahal Mahfudz.

Cabaran kiai

Dahulu, hampir semua persoalan agama diserahkan kepada kiai, misalnya masalah perkahwinan, penceraian, warisan dan sebagainya. Itulah sebabnya pengaruh kiai sangat kuat. Namun, kini kiai bukan satu-satunya tokoh yang mengajarkan ilmu agama dan menangani masalah agama.

Seiring dengan kemajuan zaman, muncul ahli agama yang bukan kiai dan urusan keagamaan pula ditangani oleh pemerintah. Para kiai dan pondok pengajian mereka kini juga bersikap lebih terbuka terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Tulang belakang pondok pengajian

Kepimpinan kiai bagi sesuatu pondok pengajian merupakan faktor penentu, hinggakan hidup matinya sesuatu pondok pengajian sedikit sebanyak dipengaruhi oleh faktor kiainya. Apabila kiai yang masyhur di sesuatu pondok pengajian meninggal dunia dan penggantinya pula kurang mampu, baik dalam ilmu agama Islam mahupun dalam organisasi, maka pondok pengajian itu juga kemudiannya akan mati. Pondok pengajian yang mati akan dijadikan institusi pengajian atau digunakan untuk majlis taklim.

Pengembaraan

Salah satu ciri utama para kiai dalam menuntut ilmu adalah dengan cara mengembara. Mereka mengembara dari satu pondok pengajian ke pondok pengajian yang lain untuk menimba ilmu daripada kiai terkenal. Cara ini merangsang semangat dan kemajuan ilmu mereka.

Kiai besar umumnya pernah mengembara, misalnya KH Hasyim As'yari, KH Wahab Hasbullah, KH Abdullah Mubarak atau Abah Sepuh (pemimpin Pesantren Inabah, Tasikmalaya) dan KH Munawir (pengasas Pesantren Krapyak, Jogjakarta).



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/03/2013

12 tahun derita batin

KAMAL (bukan nama sebenar) menepuk dahinya sambil termenung sendirian. Masalah yang sama dilalui setelah hampir 12 tahun mengikat pernikahan bersama isterinya Faridah (bukan nama sebenar) masih menghantui rumahtangganya.

Walaupun puas berusaha dan mencuba pelbagai jenis rawatan perubatan moden dan alternatif, namun hanya sia-sia dan tidak menampakkan sebarang tanda permasalahan yang dihadapinya bakal berakhir.

Ikatan pernikahan yang sepatutnya menjadi pengalaman indah bagi lelaki dan wanita selepas dihalalkan perbuatan yang sebelum ini haram sebaliknya menjadi mimpi negeri bagi kedua-dua pasangan ini.

Malah, impian perkahwinan yang dibina atas dasar cinta untuk menimang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga dan zuriat penyambung keturunan juga terpaksa dikuburkan.

Apakan tidak, setiap kali ingin bersama pelbagai kejadian pelik berlaku sehingga menghalang keinginan Kamal dan isteri untuk bersama.

Peristiwa yang hampir tidak tercapai akal memikirkannya itu bukan berlaku sekali dua, tetapi berlanjutan hinggalah 12 tahun mendirikan rumah tangga.

Menceritakan kisah itu, pengasas Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid berkata, hanya berbekalkan perasaan kasih sayang dan cinta menjadi benteng mempertahankan rumah tangga pasangan malang tersebut.

"Ketentuan Allah SWT yang menguji hambanya tidak mungkin dapat dihalang daripada berlaku, walaupun menggunakan pelbagai usaha dan langkah mengelakkannya. Hanya iman dan takwa sebagai pegangan.

"Selama hampir 12 tahun mendirikan rumah tangga yang sepatutnya dilayari dengan penuh bahagia, namun malangnya tidak bagi pasangan ini.

"Sejak malam pertama lagi, apabila ingin 'bersama' ada sahaja yang tidak kena. Pasangan lelaki seperti langsung tidak berselera melihat isterinya secara tiba-tiba.

"Begitu juga isteri yang merasakan kesakitan yang teramat sangat apabila bahagian sulitnya disentuh oleh suami," katanya memulakan bicara ketika ditemui di rumahnya di Sg. Pusu, Gombak, baru-baru ini.

Lebih menghairankan, Lokman berkata, keinginan Kamal yang pada mulanya memuncak melihat wanita lain di luar tiba-tiba menjadi 'layu' apabila mendekati Faridah.

Bukan itu sahaja, bagi Faridah pula setiap kali didekati suaminya seperti terhidu bau yang sangat busuk daripada tubuh suaminya tetapi hanya ditahan demi menjaga perasaan suami tersayang.

"Sehinggakan Faridah mengakui alat sulitnya terasa pedih seperti dihiris dengan pisau tajam apabila disentuh oleh Kamal. Akhirnya kedua-dua menyerah dengan kesudahan mengalir air mata," ujarnya.

Puas melakukan pelbagai kaedah untuk merawat penyakit pelik yang dilalui selama hampir 12 tahun, sehinggalah Kamal dan Faridah mencuba mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah.

Setelah diselidiki tambah Lokman, itulah balasan bagi hamba Allah SWT yang suka membuat dosa maksiat dan melanggar had perbatasan antara hubungan lelaki dan wanita.

"Dalam situasi ini kita perlu mengenal pasti latar belakang pesakit. Setelah diselidiki, barulah kita tahu bahawa ini merupakan balasan Allah SWT kepada pasangan ini yang gemar berfoya-foya dan melanggar perintah-Nya.

"Yang lelaki sering melakukan zina, begitu juga wanita yang suka hidup berfoya-foya tanpa mengambil berat had dan batasan lelaki dengan wanita dan perkara yang ditegah oleh syarak," katanya.

Menurutnya lagi, berkemungkinan juga penyakit yang dilalui oleh pasangan ini adalah angkara perbuatan individu yang pernah dianiayai oleh salah seorang atau kedua-dua pasangan ini sebelum berkahwin dahulu.

"Kebiasaannya dalam hal ini, langkah pertama yang kita lakukan adalah dengan menyuruh pasangan ini supaya bertaubat bersungguh-sungguh. Minta juga maaf kepada sesiapa yang dirasakan pernah dizalimi sebelum ini.

"Ini kerana dengan bertaubat dan meminta maaf dapat menghapuskan dosa antara makhluk dengan tuhan dan makhluk dengan makhluk.

"Selepas itu, selain memberi rawatan, kita juga membekalkan mereka dengan beberapa potongan ayat al-Quran untuk diamalkan sebagai permohonan harian oleh pesakit tersebut," jelasnya.

Lokman berkata, difahamkan kira-kira setahun selepas menjalani rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, pasangan suami isteri itu dikhabarkan telah mendapat zuriat yang pertama.

Lokman menasihatkan kepada orang ramai agar mengelakkan daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT kerana pelbagai ujian daripada Allah SWT, sama ada secara terus atau melalui perantaraan manusia atau jin akan menimpa kepada orang melakukan dosa.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama  05/03/2013

Dimakan sumpah

BEBERAPA tahun lepas, tunang saya mengkhianati saya dengan menikahi wanita lain. Pada saat itu, hati saya berasa sangat kecewa. Saya menjadi benci kepada setiap laki-laki, bahkan saya bersumpah tidak akan menikah. Akan tetapi, takdir Allah menentukan lain. Saat ini saya berjumpa dengan seorang pemuda yang sangat baik. Hati saya jadi berubah dan minggu hadapan, keluarganya akan datang merisik. Saya jadi tertanya-tanya bagaimana dengan sumpah saya? Mohon nasihat daripada ustaz.

JAWAPAN

Sumpah (bahasa Arabnya: yamin) mengikut Syariat Islam adalah janji daripada pihak yang melakukannya untuk melaksanakan atau meninggalkan sesuatu perbuatan.

Sebuah sumpah dinyatakan sah apabila dilakukan dengan menyebut nama Allah atau salah satu daripada sifat-sifat-Nya. Ucapan itu seperti Wallahi (Demi Allah) dan Waqudratihi (Demi kekuasaan Allah), atau demi al-Quran dan sebagainya.

Menurut para ulama, hukum asal sumpah sebenarnya adalah makruh. Dan sikap terlalu mudah bersumpah dalam setiap perkara sangat tidak disukai. Imam Al-Syafii pernah berkata: "Aku tidak pernah bersumpah dalam ucapan benar ataupun dusta."

Lebih dibenci lagi apabila sumpah digunakan untuk tujuan maksiat seperti sumpah di mahkamah untuk memalsukan hak. Sumpah seperti ini disebut "Yamin Ghamus", iaitu sumpah palsu yang menjerumuskan pelakunya ke neraka.

Rasulullah SAW bersabda: Antara dosa-dosa besar adalah menyekutukan Allah, derhaka kepada ibu bapa, membunuh dan bersumpah palsu. (riwatar al-Bukhari).

Batalkan

Sumpah tidak akan berkahwin yang saudari lafazkan itu sah jika memenuhi rukun syaratnya. Namun ia termasuk sumpah yang dimakruhkan. Sebab perkahwinan adalah satu sunnah Nabi dan syiar Islam. Siapa yang tidak menyukai sunnah ini, maka ia dikhuatiri terkeluar daripada umat baginda.

Janganlah hanya kerana kesalahan seorang laki-laki, saudari membenci semua kaum sejenisnya dan mengharamkan perkara yang Allah halalkan. Jangan biarkan emosi menutupi akal sihat kita. Masih ramai di luar sana insan baik yang berpegang kepada janji dan menjunjung akhlak mulia.

Para ulama menggalakkan agar sumpah seperti ini dibatalkan dan tidak diteruskan. Caranya ialah dengan membayar kafarah sumpah.

Rasulullah SAW bersabda: Jika engkau telah bersumpah (untuk melakukan atau meninggalkan) sesuatu, lalu engkau melihat lebih baik untuk tidak melaksanakannya, maka lakukanlah apa yang lebih baik itu dan bayarlah kafarah atasnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kafarah sumpah adalah salah satu daripada tiga pilihan berikut:

l Membebaskan hamba sahaya yang mukmin, atau

lMemberi makan 10 orang miskin, atau

lMemberi pakaian 10 orang miskin.

Jika tidak mampu melakukan ketiga-tiganya, maka wajib puasa tiga hari. Namun tidak boleh beralih kepada puasa kecuali benar-benar tidak mampu melakukan ketiga-tiga pilihan di atas.

Saya sangat berharap agar pada masa hadapan saudari boleh mengawal diri dan tidak bersumpah kecuali jika benar-benar ada hajat. Nama Allah buka murah, akan tetapi mahal harganya. Wallahu a'lam.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 06/03/2013

Anak berhak dipelihara

TIDAK dapat dinafikan ramai orang beranggapan bahawa anak yang dilahirkan ke dunia hasil hubungan perkahwinan yang sah adalah hak mutlak mereka yang boleh dibuat sesuka hati. Anak bukannya barang yang boleh dipindah-pindahkan daripada satu orang ke satu orang. Anak adalah manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Anak adalah amanah Allah SWT kepada manusia yang digelar ibu bapa.

Dalam keadaan biasa di mana sepasang suami isteri hidup aman damai, anak biasanya juga mendapat manfaat daripada hubungan tersebut. Jika ibu bapa anak itu hidup dalam berkasih sayang maka anak akan merasa kebahagiaan itu. Anak lebih aman dan tenteram dan dia juga akan menjadi seorang yang periang, ceria dan bahagia.

Namun jika setiap hari anak mendengar ibu bapanya berperang, memaki hamun, tentulah ini akan menjejaskan emosi dan pemikiran anak tersebut. Anak yang dibesarkan dalam keadaan keluarga yang huru-hara, apatah lagi dipenuhi dengan pergaduhan dan persengketaan akan membesar dengan perasaan benci pada diri sendiri atau kepada ibu bapa ataupun memilih salah seorang daripada mereka. Sedangkan dalam Islam, kedua ibu bapa mempunyai hak untuk ditaati oleh anak-anak mereka.

Jika anak ada hak terhadap ibu bapa, begitu juga sebaliknya. Dalam hal pemeliharaan anak, ibu bapa sering beranggapan itu adalah hak mutlak mereka. Sebenarnya, memelihara anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan anak berhak dipelihara dengan baik sehingga dewasa. Pemeliharaan atau disebut sebagai hadanah atau bermakna himpun di samping atau di sisi. Dalam syarak ia bermakna hak mendidik dan menjaga anak.

Saya menggunakan istilah pemeliharaan untuk membezakannya dengan penjagaan. Bagi saya PENJAGA adalah yang mempunyai kuasa pengawasan yang lebih besar terhadap anak dan penjaga mutlak bagi anak ia BAPA anak. Dalam bahasa Inggerisnya ia sering dirujuk sebagai GUARDIAN, sedangkan hadanah atau pemeliharaan melibatkan pengurusan makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan anak.

Penjaga bertanggungjawab dalam hal pendidikan, perwalian dalam hal perkahwinan, memberi nafkah dan semua urusan harta anak. Dalam isu hadanah, ia bukan hak yang memelihara tetapi hak anak yang dipelihara. Anak berhak dipelihara oleh kedua-dua ibu dan bapa dan sekiranya ibu dan bapa telah bercerai, anak tetap berhak mendapat peliharaan daripada kedua-duanya mengikut kesesuaian yang ditentukan oleh mahkamah.

Oleh yang demikian, mahkamah syariah mempunyai kuasa menentukan siapa yang berkewajipan memelihara anak jika pasangan bercerai dan memastikan anak mendapat hak pemeliharaan daripada kedua-duanya. Dalam hal ini, Islam memberi keutamaan kepada ibu atau kaum wanita untuk mendapat tanggungjawab memelihara anak kerana dari segi fitrahnya seorang ibu lebih peka dan sabar dalam menjalankan tugasnya sebagai ibu.

Jika pasangan masih hidup sebagai suami isteri, hal pemeliharaan anak tidak timbul. Tentunya semasa dalam perkahwinan, tanggungjawab ini digalas bersama. Pasangan hari ini mendapat pendedahan yang banyak dan mencukupi, semenjak mengandung mereka telah diberikan taklimat dan ceramah mengenai pemeliharaan anak. Di hospital-hospital semasa duduk menunggu giliran berjumpa doktor semasa mengandung, mereka ditayangkan video mengenai cara memandi bayi, menjaga bayi semasa kecil dari sudut kesihatan. Malah telah ada di pasaran pelbagai jenis buku mengenai pendidikan anak secara lengkap dari kecil hingga dewasa.

Pada pandangan saya segala kemudahan ini membuka ruang yang besar kepada pasangan suami isteri untuk berkongsi dalam memelihara bayi mereka. Sikap tolong-menolong ini akan mengerat hubungan antara suami isteri serta anak. Jika ibu bapa kita dahulu sangat mengasingkan tugas memelihara kepada ibu sahaja, hari ini cara itu telah berubah. Ia juga memberi peluang bapa/suami mengetahui kesukaran memelihara anak, terutama semasa kecil.

Malahan amalan hospital bersalin membenarkan suami hadir semasa isteri melahirkan anak juga memberi kesan positif kepada hubungan suami isteri dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Ia juga menimbulkan rasa ihsan suami terhadap isteri dan juga ibunya sendiri bahawa proses melahirkan anak adalah suatu proses yang amat mencabar bagi seorang wanita yang sangat-sangat memerlukan sokongan suami. Jika ini diketahui, suami/lelaki tidak akan derhaka kepada ibunya dan tidak akan mendera isteri serta anak-anak.

Lelaki yang waras dan beragama akan menghargai seorang wanita yang dipanggil isteri dan ibu. Hari ini perkongsian suami isteri dalam memelihara anak semasa masih bayi menjadikan hubungan anak-ayah lebih kukuh dan ini boleh mengurangkan isu anak bermasalah. Jika dulu anak hanya manja dan lebih mudah berbual dengan ibu, hari ini anak manja dan selesa dengan kedua ibu dan bapa.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 06/03/2013

Sayangi al-Quran

PADA awal Mac ini program musabaqah menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan diadakan di Pulau Pinang. Bagi penghafaz al-Quran program itu amat besar ertinya di mana hafazan mereka diuji. Peserta yang menjaga hafazan dengan selalu membacanya akan menjawab semua soalan dengan fasih dan lancar.

Program hafazan ini sebenarnya berlaku di seluruh dunia Islam. Pada masa kini Arab Saudi, Mesir, Qatar, Indonesia dan negara-negara Islam lain menjadikan musabaqah hafazan al-Quran sebagai acara tahunan.

Peserta yang terlibat adalah mereka yang telah berjaya di peringkat saringan.

Peserta yang mempersembah hafazan pula mempunyai pakej lengkap daripada sudut suara, ingatan dan gaya persembahan.

Lebih daripada itu, ia juga menggambarkan keagungan yang terletak pada kalam Allah iaitu al-Quran.

Rasulullah SAW telah bersabda keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. "Bacalah kerana Allah SWT, kerana Dia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf 10 ganjaran." (riwayat al-Hakim)

Oleh itu, umat Islam perlu menyayangi al-Quran kerana kitab ini adalah panduan hidup kita.

Rasulullah SAW dalam hadisnya menggesa umatnya membaca al-Quran.

Untuk memudahkan kita memahami fadilat serta kelebihan membaca al-Quran, dalam hadisnya, Baginda membuat perbandingan sabdanya: "Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah harum baunya dan enak rasanya dan Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar enak rasanya tetapi tiada haruman." (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam kehidupan Muslim seharian menghafaz al-Quran adalah satu kemestian. Setiap kali menunaikan ibadat solat diwajibkan membaca al-Fatihah yang merupakan salah satu rukun.

Di bulan Ramadan, umat Islam digalakkan membaca al-Quran bertadarus. Segala ibadat adalah bersumber dalilnya daripada al-Quran seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain.

Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda: "Belajarlah al-Quran kerana sesungguhnya mengambilnya adalah keberkatan. Sedangkan meninggalkanya adalah kerugian dan orang yang malas serta lemah semangat tidak mampu melaksanakannya. (riwayat Muslim)

Kehebatan al-Quran

Hebat dan agungnya al-Quran, Allah SWT menjadikanya mudah untuk dihafaz sebagaimana firman-Nya: Dan Demi sesungguhnya Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya). (al-Qamar: 17)

Sejarah Islam membuktikan di setiap zaman, tempat dan generasi terdapat ramai penghafaz al-Quran, sama ada daripada bangsa Arab atau bukan Arab.

Di India umpamanya, walaupun mereka tidak bertutur dalam bahasa Arab terdapat puluhan ribu yang menghafaz al-Quran sehingga terdapat bidalan yang menyatakan al-Quran diturunkan di Mekah, dihafaz di India dan difahami di Mesir.

Di Malaysia, pusat tahfiz al-Quran berada di merata tempat dan yang pertamanya ditubuhkan pada 1966. Perkembangan pusat tahfiz ini dan kesedaran ibu bapa menghantar anak untuk menghafaz al-Quran semakin meluas.

Faedah menghafaz al-Quran pula terlalu banyak dan antaranya ialah ibu bapa akan dipakaikan mahkota yang cahayanya lebih cantik daripada cahaya matahari di dunia.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/03/2013