March 11th, 2013

Janji kemenangan tegak kebenaran

Pertembungan dengan musuh Islam uji keimanan

Setiap hari dunia memaparkan kisah kezaliman dan kedurjanaan yang dilakukan musuh-musuh Islam terhadap umat Islam. Pada masa sama turut dipaparkan penentangan dan perjuangan yang dilakukan kelompok umat Islam dalam menghadapi kejahatan itu.

Apabila diimbas peristiwa yang telah menjadi sejarah, apa yang berlaku hari ini seperti perulangan pelbagai peristiwa yang melanda dunia dan umat Islam sejak sekian lama. Realiti juga menunjukkan kita sedang berada pada zaman umat Islam dalam keadaan yang sangat lemah dan musuh Islam bermaharajalela melakukan kejahatan serta kezaliman.


Disebut dalam bentuk penceritaan Pertembungan antara Islam dan musuh-musuhnya telah disebutkan Allah secara berulang kali antaranya didatangkan dalam bentuk penceritaan peristiwa berlaku pada zaman silam, kisah pertembungan antara rasul dan pendukung fahaman batil pada zaman tertentu.

Oleh kerana banyaknya ayat yang menceritakan kisah pertembungan itu, maka ramai sarjana Islam telah mentafsirkannya sebagai salah satu daripada ketetapan yang telah ditentukan Allah dalam perjalanan kehidupan manusia, iaitu pertembungan antara hak dan batil.

Firman Allah SWT: “Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini.” (Surah al-Baqarah, ayat 251)

Berhubung sunnah atau pertembungan ini, al-Quran menjelaskan ia berlaku sepanjang zaman dan telah bermula sejak awal kejadian manusia menerusi kisah pertembungan Adam dan syaitan yang disebutkan beberapa kali dalam al-Quran.

Penelitian terhadap nas al-Quran seperti diutarakan pengkaji al-Quran akan membawa kita kepada suatu kesimpulan iaitu antara lain tujuan penceritaan sejarah untuk menunjukkan pertembungan dua golongan iaitu umat yang benar dan batil.

Apa yang berlaku di Palestin, Bosnia, Iraq, Afghanistan, Lubnan, Kashmir, Chechnya dan sebagainya adalah sebahagian daripada perulangan sunnah ini.

Persoalan pertembungan yang disebutkan itu ada jawapannya yang antara lainnya adalah sebagai sebahagian daripada ujian keimanan kepada umat Islam. Ia juga sebagai peringatan kepada umat Islam, bahawa kebatilan akan sentiasa cuba menguasai keadaan.

Jika tiada siapa yang bangkit untuk menghadapinya, maka kebatilan akan melata dan kejahatan tidak dapat terbendung lagi. Jika keadaan ini berlaku, kedahsyatan lebih besar akan berlaku seperti pernah berlaku terhadap kaum Nabi Nuh, kaum Ad, Thamud dan sebagainya.

Kejahatan tak dapat dibendung

Firman Allah SWT: “Dan jika Kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak kaum sesudah Nuh telah Kami binasakan. Dan cukuplah Tuhanmu maha mengetahui lagi maha melihat dosa hamba-hambanya.” (Surah al-Isra’, ayat 16)

Walaupun begitu, al-Quran memberikan isyarat bahawa kebatilan tidak akan dibiarkan berleluasa sehingga mendominasi kerosakan secara menyeluruh.

Al-Quran menjelaskan pertembungan akan berlaku dengan perencanaan Allah antara lainnya menerusi kebangkitan orang beriman.

Firman-Nya: “Sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya.” (Surah al-Haj, ayat 40)

Dizalimi kuasa besar

Nas berkaitan pertembungan itu turut memberi jawapan kepada realiti hari ini yang memperlihatkan umat Islam serta gerakan yang cuba memartabatkan Islam terlalu teruk ditindas dan dizalimi kuasa besar, sekutu dan ejen mereka.

Seperkara yang perlu diambil perhatian, khususnya mereka yang bertekad untuk bersama kebenaran, bahawa Allah menjanjikan kemenangan kepada golongan benar yang sanggup menghadapi cabaran pertembungan ini.

Allah berfirman: “Allah telah menetapkan: ‘Aku dan rasul-rasul-Ku pasti menang’. Sesungguhnya Allah maha kuasa lagi maha perkasa.” (Surah al-Mujadilah, ayat 21)

Nas ini secara tidak langsung sebagai motivasi kepada umat Islam untuk menjadi umat yang bersedia menghadapi cabaran, bukan umat yang lemah dan mudah tunduk kepada cabaran.


Dr Mansor Sulaiman ialah pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang. Berita Harian Online Agama 11/03/2013

Kuasa penyembuh milik Allah

ASSALAMUALAIKUM. Saya telah membaca beberapa artikel tuan di Mingguan Malaysia tetapi saya dan mungkin ada pembaca lain masih tertanya-tanya adakah hanya dengan membaca ayat al-Quran, penyakit kronik seperti kanser atau sakit jantung boleh sembuh. Saya berpendapat di zaman moden sekarang, penyakit mesti dirawat dengan cara mengambil ubat, pembedahan atau terapi khusus. Bolehkah tuan terangkan bagaimana ayat al-Quran boleh menjadi penyembuh. Terima kasih.

- Abdul Wahid Bukhari, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

MINGGU ini saya akan berkongsi mengenai rahsia kehebatan al-Quran sebagai ejen penyembuh penyakit.

Ramai pesakit yang datang berubat bertanya, mampukah al-Quran mengubati penyakit? Bagaimana hanya dengan membaca rangkaian ayat al-Quran, sakit dihidapi mampu sembuh?

Percayalah! Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Rasulullah SAW dan kepada kita sebagai umat baginda.

Al-Quran merupakan kalam Allah dan sememangnya kuasa penyembuh itu adalah milik Allah.

Bukanlah sesuatu yang janggal apabila al-Quran dikatakan mampu menjadi ejen penyembuh penyakit. Firman Allah di dalam surah Al-Israa’, ayat 82: “Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman."

Umum mengetahui bahawa kaedah perubatan yang diamalkan oleh saya dan perawat di Pusat Rawatan Islam Al Hidayah 100 peratus menggunakan ayat al-Quran.

Kami di Al Hidayah, sangat meyakini mukjizat al-Quran sebagai ejen penyembuh. Bagi saya, jika bukan kita sebagai orang Islam, siapa lagi mahu mengangkat martabat mukjizat agung ini.

Di sini, saya mahu menjelaskan kaedah utama rawatan di Al Hidayah. Secara umum, rawatan bermula dengan melafazkan dua kalimah syahadah. Kalimah mulia ini sebagai ‘pembuka pintu’ kepada setiap sesi rawatan bagi pesakit. Kalimah ini membezakan muslim dan bukan muslim.

Kalimah inilah sebagai penyaksian sewaktu lahir dan sebelum kematian. Maka, saya memulakan rawatan dengan lafaz dua kalimah syahadah. Ini menunjukkan tawakal dan kebergantungan kita kepada zat yang Maha Penyembuh, iaitu Allah.

Seterusnya, saya akan membaca surah Al-Fatihah. Surah ini bukanlah hanya boleh digunakan semasa solat, sebaliknya surah Al-Fatihah turut terbukti sebagai ejen penyembuh penyakit yang luar biasa mujarabnya. Kerana itu surah ini digelar ibu segala surah dan dimuliakan menjadi surah pembukaan di dalam mushaf al-Quran.

Di dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a., ia menjelaskan adanya satu kumpulan sahabat Rasulullah keluar bermusafir. Di tengah perjalanan mereka singgah di sebuah perkampungan Badwi.

Mereka meminta makanan, tetapi penduduk kampung enggan memberinya. Dengan takdir Allah, salah seorang penduduk kampung disengat binatang berbisa.

Salah seorang sahabat Rasulullah bersedia untuk mengubatinya. Lalu membaca sesuatu dan ditiupkan ke tempat luka lelaki tadi. Dengan kuasa Allah, lelaki itu sembuh.

Para sahabat lain hairan, apakah ayat yang dibacakan oleh sahabat tadi? Sedangkan sahabat mereka bukan seorang tabib atau pernah mengubati penyakit. Sahabat itu menyatakan, dia hanya membaca surah Al-Fatihah. Berita ini sampai kepada Nabi Muhammad dan baginda mengesahkan perbuatan lelaki tersebut.

Riwayat ini membawa pengajaran kepada kita mengenai betapa besar fadhilat surah Al-Fatihah.

Kalau difikirkan dari sudut logik akal, mustahil hanya dengan membaca ayat, bisa daripada binatang boleh sembuh.

Ini yang dikatakan kuasa penyembuh milik mutlak Allah dan kita harus berikhtiar.

Apa yang pasti, kisah ini membawa pengajaran berguna, bahawa ayat suci al-Quran bukan sahaja bertindak sebagai panduan hidup, malah sebagai ejen penyembuh penyakit yang sangat mujarab.

Di kalangan masyarakat Melayu khususnya di Malaysia, ramai meyakini ayat suci al-Quran mampu menjadi penawar, namun hanya bagi penyakit bersifat spiritual atau penyakit kerohanian. Misalnya sihir, santau, saka, rasukan, jin dan lain-lain.

Masyarakat kita masih ramai yang kurang yakin bahawa ayat suci al-Quran mampu malah berkesan merawat penyakit bersifat fizikal seperti kencing manis, darah tinggi, tiroid, ketumbuhan dalam otak dan kanser. Contohnya surah Al-Isra’ ayat 40 hingga 55 untuk menyembuhkan penyakit berkaitan jantung, surah Qaf ayat 16 hingga 45 untuk menyembuhkan penyakit berkaitan urat saraf dan tulang manakala surah Muhammad ayat 21 hingga 32 untuk menurunkan stres pesakit.

Rata-rata kita tidak melihat “proses" penyembuhan melalui ayat al-Quran. Sukar diterima akal, hanya dengan membaca ayat suci al-Quran, penyakit fizikal sembuh tanpa ubat atau pembedahan.

Ramai di antara kita lebih mempercayai perubatan moden, yang jelas kelihatan proses penyembuhan dan rawatan seperti pembedahan, ubat, suntikan dan sebagainya.

Secara peribadi, saya tidak menolak rawatan moden, malah menggalakkan pesakit merujuk kepada doktor atau menjalani rawatan moden.

Namun, apa yang mahu saya tekankan adalah, al-Quran juga mampu menjadi penawar penyakit fizikal.

Firman Allah; “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman..." (Surah Yunus, ayat 57)

Bagaimana al-Quran boleh bertindak sebagai ejen penyembuh? Persoalan ini tidak dapat dijelaskan oleh logik akal manusia, namun sebagai sedikit gambaran kepada pembaca, pertama sekali kita harus yakin bahawa al-Quran adalah mukjizat agung dan firman Allah sendiri menyatakan di dalamnya mempunyai syifa atau penyembuh. Ayat al-Quran mempunyai aura tersendiri yang sepadan dengan jenis penyakit.

Misalnya, sakit kanser, ayat al-Quran yang selari dengannya adalah surah Al-Mukminun ayat 91 hingga 100 dan surah Al-Hajj ayat 31 hingga 55. Ada lagi ayat lain yang berkaitan dengan penyakit kanser.

Begitu juga dengan sakit lain, terdapat ayat al-Quran, yang fungsinya sebagai penyembuh untuk sakit tersebut. Apabila ayat ini dibaca oleh pesakit, maka aura ayat suci ini akan bertindak terhadap penyakit yang dihidapi dengan izin Allah.

Dalam erti kata lain, rawatan menggunakan ayat suci al-Quran ini bertindak umpama rawatan moden, namun prosesnya tidak mampu dilihat dengan mata kasar dan dijelaskan dengan logik akal.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, sudah ramai pesakit Al-Hidayah sembuh daripada penyakit seperti jantung, buah pinggang, saraf, kanser, gangguan sihir dan saka dan sebagainya, selepas pesakit tekun mengamalkan ayat al-Quran yang diberikan mengikut jenis penyakit.

Selain amalan pembacaan al-Quran secara istiqamah dan konsisten, doa kepada Allah dan keyakinan tinggi terhadap mukjizat agung al-Quran sebagai ejen penyembuh turut diamalkan oleh pesakit.

Dalam pengalaman saya mengubati pesakit kanser selama 13 tahun, saya telah mengumpulkan testimoni pesakit yang telah sembuh dengan izin Allah, untuk tujuan memberi contoh dan bukti kepada pesakit kanser lain akan kemujaraban ayat suci al-Quran dalam menyembuhkan kanser.

Kisah pesakit menceritakan cabaran dan dugaan mereka dalam mengharungi hidup. Kisah tersebut pasti menyentuh sanubari pembaca dan memberi motivasi kepada pesakit kanser untuk terus mencari penawar.

Untuk pengetahuan, kisah tersebut beserta penerangan mengenai mukjizat al-Quran dalam menyembuhkan penyakit kanser telah dibukukan dalam buku bertajuk Perubatan Al-Quran Rawatan Kanser (Quranic Medicine in Healing Cancer; terbitan MustRead Sdn. Bhd.) yang boleh didapati di kedai buku bermula 1 Mac 2013.

Buku tersebut juga boleh dibeli di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Kesimpulannya, al-Quran adalah mukjizat agung yang diturunkan Allah untuk umat Nabi Muhammad dan kalau bukan kita, siapa lagi yang patut mendaulatkan al-Quran?

Rugi besar jika orang Islam mensesiakan al-Quran dan tidak meyakininya. Yakinlah dengan al-Quran, bukan sahaja sebagai kitab yang dibaca sebagai pertunjuk, tetapi sebagai ubat yang diamal setiap hari sebagai penyembuh.

Akhir sekali, harapan saya agar suatu hari nanti, ramai doktor Muslim dapat menerima al-Quran sebagai medium penyembuh penyakit serta menggunakannya bersama rawatan perubatan moden mereka.

- bersama Haji Lokman Abdul Hamid

TANYA apa saja mengenai pelbagai masalah berkaitan penyakit fizikal atau spiritual. Sebarang soalan boleh e-mel ke lokman.alhidayah@gmail.com www.alhidayah-medic.com



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/03/2013