March 12th, 2013

Doa harapkan bantuan Ilahi

Nasib boleh berubah jika ada usaha perbaiki diri

Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku terhadap insan sama ada kecil atau besar, mudah atau susah, semua sudah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Jika takdir ini telah ditetapkan maka timbul persoalan adakah ketetapan itu boleh berubah menerusi doa.

Hendaklah ditegaskan bahawa perintah untuk berdoa bersumberkan daripada Allah SWT seperti mana firman-Nya: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghaafir, ayat 60)

Jika amalan berdoa ini tidak mampu mengubah nasib seseorang insan, mana mungkin Allah SWT menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu perbuatan sia-sia. Firman yang lain, Allah SWT turut memerintahkan hamba-Nya berusaha memperbaiki diri dan tidak hanya menyerah urusan hidup kepada takdir-Nya.

Firman-Nya: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Takdir boleh berubah ikut usaha

Oleh itu dapat kita fahami takdir dapat berubah mengikut usaha yang dilakukan insan jika diizinkan Allah SWT bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda: “Tidak ada yang dapat mengubah takdir selain doa.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi)
Abu Hurairah juga menerangkan: “Bahawasanya Nabi SAW pernah berdoa untuk berlindung daripada takdir buruk, kesialan, cacian musuh dan ujian yang menyusahkan.” (Riwayat Imam Muslim)

Menurut Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin dalam Majmu’ Fatawa Arkanil Islam: “Tidak diragukan lagi bahawa doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis (takdir). Akan tetapi perubahan menerusi doa ini juga telah ditulis (ditakdirkan). Janganlah anda beranggapan apabila anda berdoa bermakna anda meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa anda telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga tertulis (termasuk dalam takdir).”

Ini bermakna segala perbuatan manusia itu telah sedia diketahui Allah SWT. Dia tahu pada sekian masa individu itu akan berdoa dan sama ada doanya dimakbulkan serta bila dimakbulkan, tidaklah terlindung daripada ilmu pengetahuan Allah SWT.

Dalam erti kata lain, sebab yang kita usahakan, semua itu termasuk dalam takdir Allah SWT. Dia telah sedia mengetahui sejak azali lagi bahawa seseorang itu akan melakukan usaha berkenaan termasuklah amalan seperti berdoa yang dibincangkan ini.

Kematian tidak akan tertunda

Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu mengenai jampi-jampi yang sering kami gunakan, ubat yang sering kami gunakan untuk berubat serta pelindung yang sering kami pakai untuk berlindung, apakah hal itu dapat menolak takdir Allah? Rasulullah menjawab: Bahkan hal itu termasuk takdir Allah. (Riwayat Imam al-Tirmidzi)

Menurut Syaikh al-‘Utsaimin: “Segala sesuatu terjadi kerana takdir Allah, begitu juga segala sebab mempunyai pengaruh terhadap musababnya dengan izin Allah. Maka semua sebab telah tertulis dan semua musabab juga telah tertulis.”

Kematian pasti akan tiba tanpa mengenal bangsa, kedudukan, kekayaan atau kekuatan. Tiada sesiapa boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dipercepatkan walaupun sesaat.

Firman-Nya: “Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka, tiadalah mereka akan dapat meminta dikemudiankan sesaat pun dan tidak pula mereka akan dapat meminta didahulukan.” (Surah al-Nahl, ayat 61)

Timbul pula persoalan kedua, jika waktu ketibaan ajal telah ditetapkan maka adakah perlu untuk berdoa supaya dipanjangkan umur? Takdir boleh berubah dengan doa termasuk doa dipanjangkan umur serta kadar umur seseorang itu walaupun telah termaktub dalam ilmu pengetahuan Allah SWT.

Doa panjang umur

Oleh itu, dibolehkan berdoa untuk dipanjangkan umur bahkan Rasulullah SAW pernah mendoakan supaya Anas bin Malik dipanjangkan umurnya. Doa Baginda: “Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anaknya, panjangkanlah umurnya dan berilah keampunan kepadanya.” (Riwayat Imam al-Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Ternyata dengan izin Allah SWT Anas bin Malik dipanjangkan umurnya dan diriwayatkan beliau meninggal dunia pada umur 99 tahun. Dalam riwayat lain pula disebut beliau meninggal dunia pada umur 107 tahun.

Bukan berdoa saja dapat memanjangkan umur bahkan amalan seperti membuat amal kebajikan dan menyambungkan silaturahim turut berupaya melanjutkan usia seseorang. Diriwayatkan: “Tidak ada yang dapat merubah takdir melainkan doa dan tidak ada yang menambah umur melainkan amal kebaikan.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi)

Oleh itu, jangan putus asa berdoa kerana selain satu usaha berkesan untuk mendapat bantuan Allah SWT, doa juga adalah ibadah yang amat mulia di sisi Allah SWT dan akan diberi ganjaran pahala bagi mereka yang melakukannya.


Mohd Yaakub Mohd Yunus Berita Harian Online Agama 12/03/2013

Cermat dalam urusan dunia

Berhati-hati tangani masalah, elak lakukan penganiayaan rugikan ummah

Berjimat cermat dalam urusan dunia adalah keutamaan setiap warga Muslim yang merdeka, supaya setiap tindak tanduk kembali menguntungkan kita. Berjimat cermat ialah mempergunakan sesuatu dengan berhati-hati, penuh teliti dan bijaksana termasuklah wang, masa serta peluang.

Saranan supaya sentiasa cermat dalam segala urusan bukan bermaksud manusia mesti bakhil dengan apa yang mereka ada tetapi berhati-hati tidak menjadikan manfaat sebagai mudarat. Allah SWT menyuruh kita memanfaatkan apa yang ada sekadar perlu dan meninggalkan keinginan terlampau.


Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dengan kemungkinan berlakunya pembaziran, termasuklah darah dan nyawa. Justeru, jika perlu melakukan apa juga tindakan, keutamaannya ialah untuk mengelakkan berlakunya lebihan yang tidak perlu.

Termasuk dalam urusan mempertahankan nyawa dan harta benda yang diceroboh orang lain. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Maka bergembiralah dan berharaplah terhadap apa yang mudah bagimu. Demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kamu, tapi aku khuatirkan jika dibentangkan dunia untuk kamu seperti pernah dibentangkan bagi orang sebelum kamu, lantas kamu berlumba-lumba merebutnya, lalu membinasakan kamu seperti mana dulu telah membinasakan mereka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW sendiri tidak terlalu khuatir jika umat Baginda akan menjadi fakir tetapi Baginda takut jika kita tertipu dengan dunia yang dihiasi isi yang sementara.

Semuanya adalah penyebab untuk kita ke neraka dan itulah juga menyebabkan kita ke syurga, jika bijak membuat pilihan. Cermat membelanjakan wang, masa dan peluang adalah keutamaan umat Islam untuk dijadikan contoh supaya mereka sedar moral sekecil itu boleh memberi untung besar kepada agama.
Tentulah umat Islam tidak rela terpedaya kerana mereka telah diberi petunjuk oleh Allah SWT supaya menjauhi kesesatan. Orang yang terpedaya ialah orang yang tidak cermat dalam urusan dunia.

Mereka tidak berjimat jika punya wang, tidak rasa beruntung jika mempunyai masa, tidak berhati-hati apabila berbicara dan tidak bertindak dengan bijak sewaktu melakukan sesuatu lalu mereka membazirkan semuanya tanpa rasa bersalah.

Rasulullah SAW dan sahabat telah menunjukkan contoh kepada umat Islam tentang amalan berjimat cermat supaya menjadi ikutan hingga ke akhir zaman. Sifat tidak cermat sememangnya patut dijauhi kerana ia adalah amalan syaitan.

Allah berfirman: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu sangat kufur kepada Rabb-Nya.” (Surah Al-Israa', ayat 27)

Alangkah indah jika umat Islam hidup dengan penuh sederhana, harmoni dan saling memahami serta membantu dalam urusan dunia.

Firman Allah SWT: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan kebahagiaanmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.” (Surah Al-Qasas, ayat 77)

Melalui sifat berjimat cermat dalam urusan dunia, umat Islam akan saling memberi manfaat dan bukannya bertelingkah. Bahkan, jika orang Mukmin saling berbalah, yang terbaik ialah dengan mendamaikan kedua-duanya bukan memenangkan salah satunya.

Firman Allah SWT: “Dan jika ada dua golongan daripada orang Mukmin berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya. Jika salah satu daripada kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujrat, ayat 9)

Seiring dengan usia dunia yang sudah tua ini, sewajarnya kita berusaha dan berlumba membuat kebaikan sesama insan, bukannya bersikap tamak terhadap apa juga yang ada di sekeliling kita, apatah lagi jika sesuatu itu bukan milik kita.


Nik Salida Suhaila Nik Saleh ialah Penyelaras Unit Penerbitan Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD). Berita Harian Online Agama 12/03/2013