March 13th, 2013

Sepakat hadapi musuh negara

Apabila Borneo Utara bersama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebagai negeri Sabah, bererti Sabah telah menjadi sebahagian daripada negara berdaulat Malaysia.

Negara berdaulat ialah negara yang mempunyai sempadan tetap mendapat pengiktirafan antarabangsa, kerajaan teratur dan memberi perkhidmatan awam, bebas daripada naungan penjajah, mempunyai lambang negara, Perlembagaan, agama rasmi, kegiatan ekonomi terancang serta mempunyai hubungan diplomatik dengan negara lain.

Ceroboh negara berdaulat jenayah

Menceroboh sesebuah negara yang berdaulat bererti melakukan jenayah terhadap negara dan penduduknya. Berdasarkan dalil al-Quran dan hadis Rasulullah SAW, ulama telah sepakat bahawa mempertahankan negara adalah fardu kepada setiap umat Islam.

Sama ada fardu kifayah atau fardu ain bergantung kepada sejauh mana ancaman yang dihadapi negara itu. Menurut pandangan Syeikh Muhammad Abu Zuhrah, mempertahankan negara adalah wajib ke atas setiap Muslim.

Allah SWT berfirman: “Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan (penganiayaan) terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu secara seimbang (adil/sesuai) dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertakwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 194)

Allah SWT juga menyeru umat Islam menyediakan segala kekuatan dan peralatan untuk menghadapi pencerobohan musuh. Firman Allah SWT: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiayai.” (Surah Al-Anfal, ayat 60)

Bangga semangat juang

Mungkin kita mempunyai semangat berkobar-kobar untuk berjuang mempertahankan negara tetapi bukan semua orang mempunyai kepakaran dan kemahiran. Maka urusan itu diserahkan kepada pasukan keselamatan dan ketenteraan yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan peralatan.

Kita sepatutnya berbangga dengan semangat juang dan pengorbanan anggota keselamatan yang bermati-matian mempertahankan maruah serta kedaulatan negara. Tindakan memperlekehkan dan mempermainkan usaha serta pengorbanan mereka mempertahankan negara, satu perbuatan tidak bermaruah.

Tidak semua orang sanggup mati untuk mempertahankan negaranya. Orang yang tinggal duduk dan bercakap besar itu belum tentu sanggup turun ke medan perang berjuang demi negara. Sebab itu Allah melebihkan orang yang berjuang berbanding dengan yang tinggal dengan kelebihan satu darjat.

Muaz bin Jabal meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang memohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sederas darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan kasturi.” (Riwayat An-Nasa’ie)

Benci orang pandai bercakap

Allah SWT benci kepada orang yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak melakukan sesuatu. Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah Al-Shaff, ayat 2-3)

Ibnu Abbas berkata, sebahagian orang yang beriman sebelum diwajibkan jihad, mereka meminta Allah menunjukkan perbuatan yang paling dicintai-Nya dan akan mengerjakannya. Lalu apabila Allah SWT melalui Baginda SAW memberitahu bahawa amal yang paling dicintai adalah beriman kepada Allah dengan keimanan yang tiada keraguan dan berjihad di jalan Allah, sebahagian mereka membenci perkara itu dan merasa berat menjalankannya.

Ketika negara menghadapi ancaman pencerobohan, keseluruhan rakyat Malaysia perlu berdiri teguh memberi sokongan kepada pasukan keselamatan termasuk ahli politik yang sepatutnya menunjukkan rasional dan kematangan membina kesepakatan menghadapi krisis negara.

Keamanan adalah anugerah Tuhan yang tinggi nilainya. Keamanan juga adalah asas dalam menegakkan syiar agama Allah SWT. Bersamalah berdoa supaya pencerobohan di Lahad Datu dapat diselesaikan seberapa segera dan mendapat kesudahan yang baik daripada Allah SWT.


Musa Awang Berita Harian Online Agama 13/03/2013

Solat hajat mohon dilindungi musibah

Tatkala negara diancam musuh dan kestabilan negara diganggu-gugat, peranan pasukan keselamatan seperti polis dan perajurit amat penting. Pada bahu merekalah kita sandarkan harapan supaya kedamaian serta ketenteraman kembali seperti sedia kala.

Semasa negara digugat oleh pihak musuh yang tidak senang dengan suasana dalam negara, peranan rakyat awam juga harus digerakkan secara aktif. Meskipun tidak menggalas senjata ke medan tempur, kita masih mampu memberikan sumbangan mengikut kadar yang terdaya.

Antaranya ialah dengan mengadakan solat hajat. Memohon kepada Allah supaya keselamatan rakyat dan anggota keselamatan negara dilindungi daripada bala bencana yang tidak diingini, satu kaedah yang sangat dianjurkan oleh agama.

Petunjuk selesai masalah

Ketika kita sedang berdepan sebarang keinginan atau masalah dalam kehidupan, Baginda SAW ada memberikan petunjuk untuk melaksanakan solat hajat.

Ibnu A’uf ada menceritakan, Rasulullah SAW pernah memberitahunya, “Barang siapa yang mempunyai keperluan kepada Allah atau kepada salah seorang manusia dari anak cucu Adam, maka berwuduklah dengan sebaik-baiknya wuduk. Kemudian solatlah dua rakaat (solat hajat), lalu memuji kepada Allah dengan mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Setelah itu, mengucapkan, “Laa ilaaha illaahul haliimul kariimu.” (Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Solat hajat adalah alternatif untuk memohon secara terus kepada Allah apa-apa yang dihajati sama ada yang berkaitan dengan urusan duniawi mahupun akhirat.

Seorang lagi sahabat Baginda SAW, Abu Darda melaporkan, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berwuduk dan menyempurnakannya, lalu solat dua rakaat secara sempurna, maka Allah akan memberinya apa yang dia minta, sama ada cepat atau lambat.” (Riwayat Imam Ahmad)

Kisah orang buta

Kisah ini satu iktibar menunjukkan Baginda SAW sangat menggalakkan kita mengamalkan solat hajat semasa menghadapi sebarang isu dalam kehidupan. Kisah ini direkodkan oleh Imam at-Tirmidzi.

“Pada zaman dulu, ada seorang buta yang datang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW lalu berkata: Sesungguhnya aku mendapat musibah pada mataku. Maka, berdoalah kepada Allah untuk kesembuhanku.

Kemudian Rasulullah SAW berpesan kepada orang itu: “Pergilah, lalu berwuduklah, kemudian lakukan solat dua rakaat. Setelah itu berdoalah: Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dan aku menghadap kepada-Mu atas (perintah) nabiku, Muhammad sebagai nabi rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku meminta syafaat kepada Tuhanku dengan dirimu agar Dia mengembalikan penglihatanku.”

Dalam waktu yang singkat, lelaki itu dapat melihat seperti sedia kala, seperti tidak pernah mengalami kebutaan. Kemudian Baginda SAW berpesan kepada kita semua dengan penuh ikhlas di hatinya: “Jika kamu memiliki keperluan atau hajat, maka lakukanlah seperti itu.”

Sesungguhnya solat hajat adalah hadiah berharga yang Allah kurniakan semasa kita sangat memerlukan pertolongan-Nya seperti isu semasa yang mengocakkan sedikit kestabilan dan keamanan dalam negara.

Amalan solat hajat adalah suatu manifestasi rasa cinta kepada keamanan negara dan rasa kasih terhadap seluruh pasukan keselamatan negara kita.


Mohd Rizal Azman Rifin Berita Harian Online Agama 13/03/2013

Pelindung dari Yakjuj dan Makjuj

NAMA Yakjuj dan Makjuj disebut sebanyak dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat 96. Dalam surah al-Kahfi, diterangkan bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti oleh suatu kaum yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain datang ke tempat itu, kaum tersebut memohon kepadanya agar dibuatkan tembok penghalang daripada serangan mereka.

Manakala dalam surah al-Anbiya, disebutkan bahawa Yakjuj dan Makjuj akan segera turun dengan cepat dari tempat yang tinggi ketika tembok penghalang mereka terbuka sebagai tanda telah dekatnya kedatangan janji Allah SWT.

Al-Quran tidak menerangkan siapa sebenarnya Yakjuj dan Makjuj, daripada bangsa dan keturunan mana mereka itu. Al-Quran hanya menjelaskan sifat-sifat mereka, iaitu kaum pembuat kerosakan di bumi, kalau tembok penghalang dibuka, mereka akan turun mengalir seperti mengalirnya air bah, dan apabila tembok penghalang kukuh, mereka tidak masuk dan tidak dapat membuat kerosakan. Oleh kerana itu timbullah beberapa tafsiran

Ahmad Mustafa al-Maragi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa Yakjuj adalah berbangsa Tartar, dan Makjuj adalah berbangsa Mongol. Mereka berasal daripada satu bapa yang bernama Turk, tempat tinggal mereka di bahagian utara Asia.

Daerah mereka memanjang dari Tibet dan China sampai ke Laut Baku Utara, di barat sampai Turkestan.

Dalam pelbagai zaman, bangsa-bangsa ini sering menyerang, membuat kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa-bangsa lain.

Di antara mereka terdapat bangsa-bangsa yang kejam, turun dari bukit-bukit di Asia Tengah dan pergi ke Eropah pada masa dahulu, seperti bangsa Semith, Simeria dan Hun. Mereka banyak menyerang negeri-negeri China dan Asia Barat.

Dengan munculnya Temujin yang dikenal dengan nama Genghis Khan (di dalam bahasa Mongol bermaksud Raja Alam- 1167-1227), pada awal abad ke-7 Hijrah / 12 Masihi, berikutan tenteranya yang perkasa keluar jauh ke Asia Tengah.

Ia menundukkan China Utara kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, lalu menundukkan Sultan Qutbuddin bin Armilan, salah seorang raja Seljuk yang menganut aliran Khawarij. Genghis Khan melakukan kekejaman yang belum pernah berlaku sebelumnya di negeri tersebut.

Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (Imam Hanbali), seperti dikutip Ibnu Kasir menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Nuh memiliki tiga orang anak, iaitu Sam, nenek moyang orang Arab; Ham, nenek moyang orang Sudan, dan Yafis, nenek moyang orang Turk."

Menurut sebahagian ulama, Yakjuj dan Makjuj adalah keturunan Yafis, putera Nuh itu. Demikian juga pendapat Nasafi, seorang ahli fekah, usul fekah dan tafsir yang bermazhab Hanafi yang menyatakan bahawa Yakjuj berasal daripada suku Turk, manakala Makjuj pula berasal daripada suku Jail serta Dailam keturunan Yafis yang membuat kerosakan di muka bumi. Mereka tidak mati dan masing-masing memiliki 1,000 keturunan yang dilengkapi dengan senjata.

Hamka pula memberi tafsiran bahawa Yakjuj dan Makjuj adalah segala gerakan yang telah dan akan merosakkan dunia ini.

Oleh hal yang demikian, baik diri, keluarga, mahupun negara serta bangsa wajib mendirikan tirai besi sebagai benteng agar Yakjuj dan Makjuj tidak dapat masuk.

Mungkin juga Yakjuj dan Makjuj dapat ditafsirkan sebagai berfikiran jahat, bermaksud buruk dan ideologi yang menyesatkan yang dianuti sebahagian manusia.

Manusia yang menganuti menjadi licik dan jahatserta mempergunakan manusia sesamanya sebagai alat untuk merosakkan bumi ini.

Oleh itu, fikiran yang baik, cita-cita yang mulia, dan ideologi yang sihat harus ditanam dengan teguh pada setiap diri, keluarga, bangsa dan negara untuk membentengi Yakjuj dan Makjuj.

Yakjuj dan Makjuj laksana air, sentiasa mencari tempat untuk masuk walaupun hanya sebesar lubang jarum.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12/03/2013

Misteri di sebalik azan

SETIAP hari azan dikumandang terutama di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam sebagai tanda masuknya waktu solat.

Di sebalik kemerduan azan, ada misteri dan keistimewaannya yang tersendiri, sehingga bagi muazin (orang yang menyerukan azan), Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala kepadanya.

Kalimah penyeru (muazin) yang mengandungi kehebatan lagi menakjubkan telah tertanam dalam jiwa setiap Muslim, sehinggakan seusai laungan azan, seluruh tubuh serta pancaindera kita bergerak untuk menunaikan ibadat solat.

Menurut fakta, kebanyakan bukan Muslim menerima hidayah Ilahi setelah mendengar azan. Biarpun tidak memahami maksudnya, namun mendengarkannya sahaja telah menggetarkan hati, sekali gus menyentuh jauh di sudut hati nurani. Seakan fitrah Islam dalam diri mereka dibangkitkan melalui alunan suara azan tersebut.

Kementerian Urusan Agama Turki pernah menyatakan sekurang-kurangnya 634 orang telah memeluk Islam pada 2011, termasuk 407 wanita, yang rata-rata mereka berusia antara 30 hingga 35 tahun.

Malah mereka berasal daripada pelbagai bangsa Jerman, Maldive, Belanda, Perancis, China, Brazil, Amerika Syarikat, Rumania, Estonia dan lain-lain dan merupakan pelancong yang sedang melancong ke Turki.

Di Turki sendiri, sekurang-kurangnya 14 orang memeluk agama Islam pada empat tahun terakhir, termasuk 10 wanita.

Mufti kota Kayseri, Syeikh Ali Marasyalijil berkata, umumnya mereka masuk Islam setelah tersentuh mendengar alunan azan.

Chauncey L. Hawakins dari Amerika Syarikat mengakui pengislamannya bertitik-tolak selepas mendengar azan ketika berkunjung ke Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu.

Hakikatnya, penghijrahan akidah asbab daripada alunan azan memang berlaku.

Melalui mimpi

Pada awalnya Rasulullah SAW tidak tahu satu cara untuk mengingatkan umat Islam apabila tibanya waktu solat. Ada sahabat yang menyampaikan usul untuk mengibarkan bendera, meniup trompet, membunyikan loceng dan sebagainya. Namun, semua saranan itu dianggap kurang sesuai.

Sehingga datanglah Abdullah bin Zaid yang bercerita bahawa beliau bermimpi bertemu dengan seseorang yang memberitahunya untuk mengumandangkan azan dengan menyerukan lafaz-lafaz sebagaimana yang dibuat kini.

Lalu dikhabarkan perihal mimpi itu kepada baginda. Umar bin Khattab sebaik mendengar hal tersebut, spontan mengakui beliau juga bermimpi yang sama.

"Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, ya Rasulullah, aku benar-benar melihat seperti yang dia lihat (di dalam mimpi)."

Lalu Rasulullah bersabda: "Segala puji bagimu." Rasulullah menyetujui untuk menggunakan lafaz-lafaz azan itu sebagai tanda waktu solat tiba.

Selain digunakan untuk menandakan masuknya waktu solat, azan juga dikumandangkan pada peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah.

Misalnya ketika kelahiran bayi dan ketika pasukan Rasulullah menguasai Mekah dan berhala-berhala di sekitar Kaabah dihancurkan.

Pada waktu itu Bilal bin Rabbah mengalunkan azan dari atas Kaabah.

Peristiwa kejatuhan Constantinopel yang sekali gus mengakhiri kekuasaan empayar Rom Timur juga disambut dengan laungan azan sebagai tanda kemenangan Islam ketika itu.

Di muka bumi ini, laungannya azan berlaku hampir setiap minit dan saat. Disebabkan Bumi berbentuk bulat, maka berlaku perbezaan waktu solat antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Sebab itu, ketika azan telah selesai berkumandang di satu daerah, tempat atau negara, ia akan diikuti oleh azan di tempat lain sehingga seterusnya tanpa henti.

Satu jam setelah azan selesai di Sulawesi, maka azan segera bergema di Jakarta, disusuli pula Sumatera. Sebelum azan berakhir di Indonesia, ia sudah dimulai di Malaysia.

Selepas itu azana kan berkumandang di Myanmar diikuti Dhaka, Bangladesh; seterusnya Kolkata ke Srinagar, terus ke Bombay dan seluruh India.

Seterusnya laungan azan singgah di Mekah dan Madinah, Yaman, Emeriah Arab Bersatu, Kuwait dan Iraq hinggalah ke Eropah dan Amerika.

Begitulah seterusnya azan terus berkumandang di bumi dan tidak pernah berhenti hingga kiamat.


IBRAHIM ABDULLAH l PENULIS ialah Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kota Bharu, Kelantan. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12/03/2013