March 16th, 2013

Bukti kebesaran, kekuasaan Allah

SAYID Qutub berkata, kemudian tirai dilabuhkan menutupi pemandangan ini dan disingkapkan kembali untuk menayangkan satu senario yang lain, di mana anak-anak muda itu telah ditidurkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT: Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah daripada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka Dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepada-Nya. (al-Kahfi: 17)

Ibnu Kathir berkata, dalam hal ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa pintu gua ini menghadap ke utara, kerana Allah menceritakan bahawa ketika matahari terbit, maka akan condong dari gua tersebut: "Ke sebelah kanan."

Yakni, bayang-bayang daripada sinar matahari itu berada di sebelah kanan. Sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Sa'id bin Jubair, dan Qatadah: Tazaawaru bererti condong. Yang demikian itu, kerana setiap kali matahari semakin meninggi, maka bayang-bayang itu pun berpindah sehingga tidak ada yang tersisa daripadanya pada saat zawal (tergelincir).

Al-Maraghi berkata: "Wahai orang yang diajak berbicara, jika kamu dapat melihat gua itu, pasti kamu dapat melihat matahari ketika terbit condong di sebelah kanan. Begitu juga apabila kamu melihat matahari terbenam meninggalkan mereka, ia berpaling daripada mereka sebelah kiri. Sedangkan para pemuda itu berada di tengah gua dengan ruangannya yang luas sehingga mereka dapat menikmati udara yang nyaman dan sejuk."

Para mufassir mempunyai banyak pendapat tentang kedudukan gua tersebut. Ada yang mengatakan, terletak dekat Iliya' (Baitu al-Maqdis) di Syam.

Menurut Ibnu Ishaq ia terletak di Ninive iaitu negeri Mawsil dan ada yang mengatakan pula di Romawi. Namun, sampai sekarang belum ada petunjuk yang membuktikan kebenaran pendapat tersebut.

Barang siapa yang mendapat taufik daripada Allah SWT sehingga mengetahui ayat dan hujah yang menunjukkan kepada kebenaran sebagaimana yang dialami oleh penghuni gua tersebut, maka orang seperti itu akan mendapat petunjuk jalan kebenaran sehingga memperoleh rahmat yang besar sama ada dunia dan akhirat.

Ini menunjukkan gambaran bahawa Ashab al-Kahfi telah menempuh jalan kebenaran dan mendapat taufik dan rahmat sehingga mencapai apa yang mereka cita-citakan.

Hamka berkata: "Allah memperingatkan kita agar selalu memerhatikan ayat-ayat Allah di antaranya ialah dengan menambah ilmu pengetahuan, termasuk pengetahuan alam."

Dengan itu akan membawa kita kepada jalan iman, keteguhan kepercayaan kepada Ilahi dan keselamatan.

Lantaran itu, janganlah berani berjalan bersendirian dalam menempuhi kehidupan. Selalu bermohon kepada Allah agar kita selamat ke akhir destinasi.

Kisah Ashab al-Kahfi ini menunjukkan kekuasaan Allah. Kebenaran akan dizahirkan juga sekalipun pada episod awalan menunjukkan seolah-olah kebatilan menguasai medan pertempuran.


DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 15/02/2013

Pemilihan pemimpin

BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin terasa. Apatah lagi apabila tarikh akhir pilihan raya umum yang lepas telahpun berlalu pada 8 Mac 2013. Telah lima tahun berlalu, sejak itu pelbagai kemelut dan kontroversi tercetus dengan beberapa pilihan raya kecil yang silih berganti kerana kematian wakil rakyat masing-masing.

Pilihan raya umum kali ini dikatakan penting bagi melihat jatuh bangunnya negara kita. Sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, saya tidak dapat lari daripada bersemuka dengan ahli-ahli politik daripada semua parti bagi membincangkan dan melontar idea memartabatkan Islam.

Namun dalam pemilihan pimpinan, amatlah penting pemimpin yang dipilih itu mempunyai komitmen yang tinggi kepada Islam yang merupakan jati diri orang Melayu.

Tanpa Islam orang Melayu akan punah. Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang berusaha menegakkan Islam dalam pimpinannya.

Usaha yang telah dilakukan menjadi bukti komitmen seseorang itu terhadap Islam, selain berusaha menegakkan Islam dalam kepimpinannya. Tidak perlulah diingatkan tentang kedudukan istimewa Islam sebagaimana dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja perlu dipertahankan malah dipertingkatkan, agar menampakkan keindahan Islam sebagai sebuah tatacara kehidupan yang lengkap.

Kebelakangan ini kita melihat perkembangan positif apabila rakyat Malaysia mula mengambil berat dan peka terhadap hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan. Fenomena ini sangat baik kerana rakyat celik undang-undang merupakan aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Amat penting seseorang itu mengetahui hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun hak-hak tersebut sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori.

Antaranya, hak dianugerahkan kepada semua orang tanpa mengira warganegara atau tidak. Umpamanya Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan asasi kepada semua orang dalam Persekutuan, begitu juga Perkara 6 yang memperuntukkan pemansuhan perhambaan dan buruh paksa, Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 13 (hak terhadap harta).

Ada juga hak diberikan kepada warganegara sahaja seperti hak bersuara dan berhimpun iaitu dalam Perkara 10 dan hak mendapatkan pelajaran dalam Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan. Hak itu hanya dinikmati warganegara Malaysia sahaja manakala warganegara asing boleh dikenakan beberapa syarat tertentu.

Begitu juga terdapat hak yang tidak boleh dihakis pada masa biasa seperti Perkara 7 iaitu hak mendapat ganti rugi jika tanah diambil oleh Pihak Berkuasa dan Perkara 13 iaitu hak kepada orang yang ditangkap diberitahu alasan penangkapan dan menghubungi peguam. Dalam erti kata lain, hak yang termasuk dalam kategori itu boleh dihapuskan, digantung atau diketepikan ketika darurat. Dalam situasi lain, perlembagaan menjamin hak itu dilindungi.

Terdapat juga hak dihadkan atas alasan tertentu seperti hak kebebasan bersuara dan berhimpun selagi tidak menggugat ketenteraman awam, keselamatan negara, menggalakkan perlakukan jenayah dan sebagainya. Oleh itu, walaupun hak itu tersurat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, ini bukan bersifat tidak terbatas. Hak ini boleh dihadkan atas sebab tertentu yang digariskan oleh perlembagaan itu sendiri.

Hak dalam darurat

Seterusnya hak kelima iaitu, hak yang dilindungi walaupun dalam darurat. Perkara 150 (6A) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun dalam darurat. Hak itu berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Ruangan kali ini cuba mengupas kategori kelima ini. Secara tersirat, sudah tentu Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan tinggi undang-undang itu berbanding undang-undang lain. Ini tidak boleh diganggu-gugat melalui cara yang tidak diperuntukkan perlembagaan.

Hal ini termasuk Undang-Undang Pentadbiran Hukum Syarak, Undang-Undang Jenayah Syariah, Undang-undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Oleh itu tiada sesiapapun boleh mempertikaikan undang-undang disebutkan di atas.

Tidak keterlaluan dikatakan undang-undang Islam adalah lebih tinggi dan mendahului undang-undang lain dari sudut keutamaannya. Natijah daripada kedudukan tinggi ini, sudah sewajarnya jika ada pertelingkahan antara undang-undang Islam dan undang-undang lain. Maka tafsiran yang memihak undang-undang Islam (yang dari segi kedudukannya lebih tinggi daripada undang-undang lain) hendaklah dipakai.

Kedudukan yang sah undang-undang Islam sejak kebelakangan ini sering dipertikaikan, diketepikan, diperlekeh atau tidak dihiraukan. Sepatutnya tidak menjadi fenomena yang mengukir pandangan perundangan negara kerana ia melupai sejarah perundangan negara dan juga kerangka Perlembagaan Persekutuan itu sendiri yang meletakkan undang-undang Islam di tempat tinggi.

Tafsiran secara tuntas bagi menghentikan fenomena tidak normal yang mempertikaikan undang-undang Islam hendaklah dibuat segera bagi menamatkan cabaran undang-undang Islam di Malaysia. Janganlah kita memaling muka terhadap undang-undang Islam tanpa mengkaji susur galur sejarah, kedudukan dan kehendak majoriti umat Islam di negara ini. Apa yang lebih penting ialah kita mengenepikan emosi dan mengkaji undang-undang Islam dengan hati ikhlas bagi mencari kebenaran. Sudah pasti jalan lurus akan ditemui.

Undang-Undang Islam seharusnya menjadi penaung yang menambat undang-undang lain daripada dihakis. Ini kerana kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti terkandung dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan hakikat bahawa walaupun dalam keadaan darurat Undang-Undang Islam tidak langsung terjejas.



DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14/03/2013

Persoalan alam ghaib urusan Allah

SETIAP makhluk yang dijadikan Allah tidak sesekali akan terlepas daripada kematian waima dia seseorang nabi, rasul atau orang mukmin. Setiap daripadanya tetap merasai saat hembusan nafas terakhir seperti mana disebut dalam ayat 185 surah ali-Imran.

Kehadiran kematian amat menggerunkan dan menakutkan jika mendapat khabar berita bahawa salah seorang rakan paling hampir dengan kita dipanggil menyahut seruan Ilahi meskipun baru sahaja bertemu dengan individu berkenaan.

Hidup kita di muka bumi ini cukup singkat dengan nyawa dicabut tanpa mengira umur pada bila-bila masa oleh malaikat Izrail.

Sebaik disahkan kematian, bagi memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, jenazah itu dimandikan, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan seperti mana dituntut dalam syariat Islam.

Bagaimanapun di sebalik kegerunan tersebut, wujud persoalan dalam kalangan umat Islam berhubung saat menjelangnya kematian. Terdapat kalangan mereka bertanyakan bagaimana keadaan manusia sebelum menjelangnya kematian. Bahkan timbul kekeliruan destinasi roh selepas nyawa berpisah dari badan.

Maka wujud pelbagai pandangan, antaranya menyatakan roh berlegar-legar di kediamannya selama 44 hari selepas si mati meninggal dunia.

Malah ada mengatakan roh pulang pada bulan Ramadan. Selain itu, berlakunya amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Perkara tersebut dibimbangi menyebabkan akidah umat Islam terpesong kerana kepercayaan samiyat (alam ghaib) sepatutnya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, bukannya mengikut pemikiran manusia.

Bagaimanapun persoalan roh tidak wajar diperbahaskan terlalu panjang kerana sebagai umat Islam kita perlu menitikberatkan persiapan bekalan amalan sebelum menuju alam abadi bahkan perkara alam samiyat merupakan urusan Allah.

Hujah demikian berpandukan ayat 85 surah al-Israk yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan roh itu adalah urusan tuhanku dan tiadalah diberi kepada kamu ilmu pengetahuan kecuali sedikit.

Pun begitu, bagi menjernihkan persoalan alam kematian agar umat Islam tidak terkeliru, para ulama telah mengarang tulisan berdasarkan nas sahih agar ilmu persiapan menuju destinasi kekal abadi berlandaskan akidah Islam.

Saat nazak

Perkara yang berkaitan dengan samiyat (alam ghaib) tergolong dalam satu cabang rukun iman iaitu percaya kepada hari kiamat.

Maksudnya, persoalan alam akhirat hendaklah berpandukan nas sahih dan tidak boleh sesekali mengikut kefahaman manusia sendiri.

Hal itu termasuklah saat-saat menjelangnya kematian atau juga dikenali sebagai nazak.

Menurut Pensyarah Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademi, Pusat Pengajian Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir, keperitan dan kesakitan sakaratulmaut hanya diketahui oleh orang yang mengalaminya.

Jelas Mohammad Nidzam, kenyataan tersebut berdasarkan ayat 83 sehingga 85 surah al-Waqiah yang bermaksud: Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkong. Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. Dan kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat.

Mohammad Nidzam berkata, menerusi ayat tersebut, selain para ulama menafsirkan taubat manusia diterima selagi mana roh tidak sampai di bahagian halkum dan sanak-saudara berada di sekelilingnya hanya dapat menyaksikan kepayahan sakaratulmaut itu tetapi mereka tidak merasai kesakitan berkenaan.

Ketika menjelaskan dakwaan berlaku tanda-tanda menjelangnya kematian seperti dahi berdenyut, mata berkelip-kelip atau keluar peluh berwarna emas hasil pemerhatian sanak-saudara yang melihat seseorang sedang nazak, beliau berkata, itu merupakan perkara majhul (tidak diketahui hakikatnya). (rujuk Luqman: 34)

"Berdasarkan ayat berkenaan, jelas menunjukkan Allah sahaja mengetahui bila tarikh kematian. Kita tidak boleh meneka waktu kematian akan kunjung tiba kerana perkara berkenaan adalah urusan Allah, hatta Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah pun tidak mengetahui bila baginda akan wafat.

"Jangan cuba berteka-teki alamat kematian. Paling utama kita mesti melakukan persiapan daripada segi bekalan pahala pada bila-bila sahaja," kata Mohammad Nidzam.

Mengenai dakwaan bahawa orang sedang nazak mengetahui destinasi seterusnya sama ada diletakkan ke dalam syurga atau dicampakkan ke neraka, Mohammad Nidzam menjelaskan dengan menyebutkan sepotong hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: "Sesiapa yang menyebut kalimah Lailallahillah sebelum akhir hayat akan masuk syurga."

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa amalan soleh bakal membantu selain memberi syafaat di alam seterusnya.

Ujar Mohammad Nidzam, seseorang sedang nazak menyedari dan yakin ganjaran seperti mana dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah kepada orang beriman. (rujuk al-Nahlu: 31-32)

Lain pula nasib menimpa orang yang ingkar, nyawa mereka akan dicabut dalam keadaan dahsyat dengan dijelaskan oleh Allah dalam ayat 28 surah al-Nahlu yang bermaksud: Iaitu mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka menganiaya diri sendiri (dengan kekufurannya). Lalu mereka tunduk menyerah (ketika melihat azab sambil berkata): Kami tiada melakukan sesuatu kejahatan. (Malaikat menjawab): Bahkan (kamu ada melakukannya); sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan.

"Terdapat pula dakwaan yang mengatakan ibu bapa datang menjemput orang sedang nazak. Hal ini dijelaskan oleh Imam Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah dengan beliau menyatakan bahawa yang datang itu bukanlah ibu bapa tetapi syaitan menyamar sebagai manusia. Syaitan datang untuk menggoda keimanan manusia.

"Bagi menggelakkan perkara itu terjadi, kita digalakkan mentalkin orang sedang nazak dengan kalimah Lailallahillah agar ditetapkan keimanan dengan Allah," jelas beliau.

Mohammad Nidzam antara lain turut menyarankan adalah lebih baik mengajarkan kalimah di atas kepada mereka yang sedang nazak itu daripada sanak-saudara, ahli keluarga, ibu bapa, anak, isteri meraung kerana tindakan berkenaan merupakan amalan jahiliah.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama  15/03/2013

Muslim beriman reda ketentuan

Kufur jika tolak qada dan qadar

Ada kala kita berasa cukup selesa dan menganggap kematian tidak layak untuk kita kerana tenggelam dalam nikmat yang mengkhayalkan. Apabila datang sesuatu kejutan yang ditimpakan, barulah ia menyentap kelalaian menyebabkan kita kembali ke jalan sebenar.

Namun, tidak kurang yang tergelincir daripada ajaran Allah SWT. Kita mesti memahami tidak semestinya apa dianggap baik adalah baik untuk kita dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah SWT: “Mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Ayat ini menyarankan kita untuk menyerahkan urusan kepada Allah SWT yang mengetahui akibat segala perkara serta reda dengan apa yang ditakdirkan untuknya dan sentiasa mengharapkan daripada Allah SWT akibat serta kemuncak yang baik.

Seorang hamba yang beriman akan berfikiran positif menilai setiap saat dalam kehidupannya dengan panduan al-Quran, iman, kebijaksanaan dan panduan mata hati sehingga meyakini bahawa Allah SWT adalah penolong yang sebenarnya, mencipta sesuatu dengan kebaikan.

Kehidupan adalah Sunnatullah

Tidak ragu-ragu meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT serta meredai segala ketentuannya. Tiada kezaliman dan penindasan di sisi Allah SWT terhadap sekalian hambaNya. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan menzalimi hambanya.” (Surah Yunus, ayat 44)

Kehilangan sesuatu dalam kehidupan adalah sunnatullah. Ia membawa andaian sama ada kita diuji ataupun pembebasan daripada dosa dan kesalahan telah dilakukan. Kehilangan terkadang menyebabkan kita hilang pertimbangan dan menjadi manusia kufur menolak ketentuan Allah SWT.

Lebih dahsyat lagi apabila mereka bertanya kenapa kita dimatikan setelah sekian lama menikmati kehidupan bahagia. Ada yang menjadikan mata pena sebagai coretan dengan menganggap kepercayaan kepada qada dan qadar atau ketentuan Ilahi adalah suatu falsafah orang bodoh.

Mereka menganggap kehidupan dunia hanyalah sekali. Seolah-olah kehidupan ini kekal untuk dinikmati selama-lamanya. Maka gunakanlah kehidupan ini dengan sepenuhnya.

Mereka lupa kita telah dihadapkan dengan dua kehidupan dan dua kematian sebagai pengajaran dan pembalasan atas apa telah diusahakan.

Firman Allah SWT: “Bagaimana mereka boleh menjadi kufur sedangkan kamu asalnya mati lalu dihidupkan dan dimatikan semula dan akhirnya kamu hidup semula untuk diadili.” (Surah al-Baqarah, ayat 28)

Surah ini menunjukkan ada kehidupan yang kekal abadi di mana semua amalan tidak akan disia-siakan.


Pilih kematian terbaik

Firman Allah SWT: “Dan Kami akan menyediakan timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tidak seorangpun dirugikan walau sedikit, sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti Kami mendatangkannya (pahala). Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.” (Surah al-Anbiya, ayat 47)

Ahli falsafah terkenal berkata: “Jika tiada kematian di kalangan orang sebelum kita, nescaya tiadalah selesai kewujudan sesuatu ciptaan, dan jika seandainya kekal sesuatu ciptaan nescaya mereka yang terdahulu masih di sini. Jika manusia semuanya kekal di sini, nescaya tiada bumi yang dapat menampung keturunan manusia.” (Ahmad Maskawiah)

Bagi mereka yang beriman, mereka harus memilih cara kematian terbaik di sisi Allah SWT di samping usaha dan berdoa kerana semuanya telah tertulis di sisi Allah SWT.

Baginda SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa setiap saat dan masa supaya Allah SWT kurniakan husnul khatimah (kematian yang baik) dan menjauhkan daripada su’ul khatimah (kematian yang buruk).

Berdoalah supaya kita sentiasa reda dengan sesuatu yang telah disusun untuk alam maya ini. Firman Allah SWT: “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketentuan) Allah jika Dia mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu? Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Surah al-Ahzab, ayat 17)

Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Berita Harian Online Agama 16/03/2013

Peroleh amal salih dalam pekerjaan

Ikhlas bekerja diterima di sisi Allah dan manusia yang berurusan

Niat dan cita-cita untuk menjadi insan salih dan beramal salih melalui apa juga kerjaya diceburi boleh mencetuskan semangat motivasi serta terapi hati dalam mengejar matlamat kesejahteraan dunia dan akhirat.

Setiap kali kita bekerja, pahatkan dalam hati bahawa kerja hari ini adalah untuk pelaburan hari akhirat kelak. Namun, ia tidak akan menjadi pelaburan akhirat jika tidak diniatkan serta diusahakan dengan memenuhi standard sebagai amal soleh.


Amal salih adalah amal yang dilaksanakan mengikut piawaian akhlak seperti ikhlas, teliti, jujur, amanah, tekun, cekap serta mengikut piawaian syarak, diusahakan daripada sumber yang halal dan membawa manfaat.

Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik harta ialah harta yang baik kepunyaan orang yang baik”. (Riwayat Imam Ahmad)

Kurang kerenah birokrasi

Usaha untuk mengurangkan kerenah birokrasi juga satu amal salih kerana selain bertujuan memudah dan mempercepatkan proses urusan, ia juga dapat mengelakkan pelanggan menggunakan jalan pintas atau mengamalkan suapan, rasuah dan penipuan untuk mencapai hasrat dengan mudah.
Begitu juga langkah mempercepatkan masa menunggu giliran, menyediakan kaunter pertanyaan dan perkhidmatan mencukupi, menyediakan perkhidmatan khas kepada golongan kurang upaya, warga emas dan ibu hamil serta menggantikan pegawai bercuti panjang.

Mengurangkan prosedur kerja yang panjang dan rumit, menyediakan tempat berurusan selesa, bersih dan selamat, memudahkan pengisian borang, penyaluran maklumat permohonan secara dalam talian, memberikan maklumat urusan dengan jelas, tepat dan mencukupi juga antara amal soleh.

Bekerja dengan matlamat menjadi insan salih dan beramal salih memberi manfaat yang dahsyat kepada pekerja. Ia meliputi antaranya tujuh implikasi iaitu pertama, disempurnakan dan diberi ganjaran pahala.

Firman Allah SWT: “Adapun orang yang beriman dan mengerjakan amal salih, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka.”(Surah ali-Imran, ayat 57)

Elak kerja sia-sia

Kedua, mengelakkan kerja menjadi sia-sia ibarat debu yang berterbangan dan tidak menjadi pelaburan akhirat. Abu Hurairah, katanya, “Aku dengar Rasulullah SAW bersabda mengenai beberapa orang yang mengerjakan amalan tetapi sia-sia pada hari akhirat. Antaranya meliputi sumber yang haram dan tidak jujur.”

Firman Allah SWT: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beramal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Ketiga, menjadi terapi hati apabila merasa letih, penat dan putus asa terhadap kerja. Firman Allah SWT: “Sesiapa yang beriman dan beramal salih maka tiada ketakutan bagi mereka dan tiada pula mereka merasa sedih.”

Kelegaan daripada sifat takut dan sedih ini lahir daripada keyakinan hati terhadap balasan setiap amal soleh akan dilihat serta dihitung oleh Allah SWT.

Firman-Nya: “Dan bahawa sesungguhnya tiada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada Hari Kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Surah al-Najm, ayat 39-41)

Keempat, mendapat kehidupan yang baik. Implikasi ini sesuai dengan tuntutan untuk mengamalkan budaya kerja cemerlang bagi mendapatkan hasil dan output berkualiti.

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mengerjakan amal salih sama ada lelaki mahupun perempuan dan dia beriman, maka Kami akan memberikan kehidupan yang baik baginya dan Kami akan berikan kepada mereka ganjaran yang lebih baik daripada amalan mereka.” (Surah al-Nahl, ayat 97)

Kelima, dikasihi majikan dan rakan. Dengan memenuhi piawaian akhlak dan syarak, pastinya kerja itu bukan saja diterima di sisi Allah SWT tetapi juga manusia yang berurusan di sekeliling kita.

Keenam, menjadi contoh dan sumber inspirasi dalam membentuk budaya amal salih kepada yang lain. Sabda Rasulullah, “Seorang Mukmin itu adalah cerminan bagi Mukmin yang lain.” (Riwayat al-Bukhari)

Buka pintu rahmat

Ketujuh, membuka pintu rahmat Allah SWT. Sabda Rasulullah: “Allah SWT merahmati orang yang bertolak ansur ketika menjual, bertolak ansur ketika membeli, bertolak ansur ketika mengadili dan bertolak ansur ketika meminta pengadilan.” (Riwayat al-Tirmizi)

Semua implikasi ini akan menjadikan kita pekerja yang dedikasi, berdaya tahan lagi ceria melaksanakan tugas.


Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Penyelaras Unit Penerbitan, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Berita Harian Online Agama 16/03/2013