March 27th, 2013

Zikir bantu tenangkan perasaan

Perasaan risau, kusut hati, sedih dan resah boleh menimpa sesiapa saja. Walaupun selalunya perasaan negatif ini timbul selepas berlaku perkara tidak diingini dalam kehidupan tetapi ada masanya ia datang secara tiba-tiba.

Tanda-tanda seseorang itu sedang mengalami kerisauan dan kesedihan ialah rasa letih atau tidak bermaya, pening kepala, jantung sentiasa berdebar-debar, tidak nyenyak tidur, sudah tidur, resah gelisah dan cepat naik darah.

Kurang daya tumpuan, tidak lalu makan atau makan secara berlebihan, tidak boleh membuat keputusan, selalu dalam keadaan muram, suka mendiamkan diri serta menjadi anti sosial.

Banyak zikir tenang hati

Perasaan risau, kusut hati, sedih dan resah ini sungguh bahaya kerana ia akan membuatkan kita membenci diri serta kehidupan. Justeru, mereka yang dilanda perasaan ini boleh menenangkan hati dengan banyakkan berzikir.

Berzikirlah dengan nama Allah SWT, ‘Ya Allah’ seberapa banyak yang mungkin di mana saja kita berada. Jika dibaca dengan penuh iman dan khusyuk, nescaya Allah SWT akan menghilangkan segala perasaan negatif yang ada serta melapangkan dada kita.

Begitu juga asmaul husna yang lain seperti Ar-Rahman bererti mempunyai rahmat yang luas dan melimpah. Barang siapa berzikir ‘Ya Rahman’, Allah SWT akan menghilangkan perasaan kusut di hatinya dan memudahkan urusan dunia.
Al-Quddus bererti Allah SWT itu suci dan bersih daripada segala kesilapan, kecacatan, kegagalan , dan kekurangan. Barang Siapa membaca ‘Ya Quddus’ sekurang-kurangnya 100 kali setiap hari akan menghilangkan kepadanya perasaan risau dan kusut fikiran.

Hilangkan rasa sedih

Al-Ghaffur bererti yang Maha Pengampun dan Pemaaf. Berzikir ‘Al-Ghaffur’ sebanyak mana yang boleh dengan penuh iman, nescaya Allah SWT akan menghilangkan perasaan kusut, resah dan sedih di hati hamba-Nya.

Barang siapa berzikir ‘Ya Baaqiy’ sebanyak 1000 kali semasa dalam kesedihan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, Insya Allah, Yang Maha Pencipta akan membantunya semasa kesusahan dan menghilangkan perasaan sedih serta duka di hatinya.

As-Sabuur ertinya yang Maha Sabar. Berzikir ‘Ya Sabuur’ sebanyak mana yang boleh, di mana saja kita berada, perasaan sedih atau risau akan hilang secepat mungkin dengan izin Allah.


Badariah Abdullah Berita Harian Online Agama 27/03/2013

Imej terkini peguam syarie

Kehadiran peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah menjalankan tugas yang pernah dijalankan oleh sahabat Nabi SAW. Saidina Ali pernah membantu Khalifah Umar membuat keputusan yang betul dalam kes seorang wanita datang kepada Khalifah Umar dan membuat ikrar telah melakukan zina.

Melalui peranan dimainkan oleh Saidina Ali, Khalifah Umar telah membebaskan wanita itu, yang sebenarnya telah diperkosa sebagai balasan sedikit susu yang diminta daripada seorang lelaki dalam keadaan beliau terlalu dahaga.

Saidina Ali juga pernah menjadi peguam dalam kes seorang perempuan yang menuduh seorang pemuda cuba mencabul kehormatannya dengan mendakwa ada kesan air mani di tubuh serta di atas kainnya.

Saidina Ali telah menyiram air mendidih kepada kesan cecair atas kain perempuan itu dan cecair berkenaan menjadi beku serta putih seperti putih telur. Akhirnya perempuan berkenaan mengaku perbuatan tipu dayanya untuk mengenakan pemuda itu.

Abdullah bin Ja’far pernah menjadi peguam kepada Ali bin Abi Talib dengan Talhah bin Ubaidullah pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, Abdullah bin Abbas pernah menjadi peguam kepada Hassan bin Thabit, (seorang penyair terkenal pada zaman Nabi SAW).

Walaupun Hassan seorang penyair, dia tidak mahir berhujah dalam perbicaraan. Ibnu Abbas sebagai seorang yang faqih dan petah berhujah telah bertindak sebagai peguam membela Hassan.

Lencana Sahabat Mahkamah Syariah

Kehadiran peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah berpaksikan kepada undang-undang, bukan semata-mata mencari rezeki. Kewujudan dan fungsi peguam syarie diiktiraf dan disebut dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau Enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

Seksyen 59 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 1993 menyebutkan majlis boleh menerima sesiapa yang mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai hukum syarak menjadi peguam syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam prosiding di Mahkamah Syariah.

Pelancaran lencana Sahabat Mahkamah Syariah yang disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Dr Ibrahim Lembut, pada 18 Mac lalu sebagai simbolik hubungan peguam syarie membantu Hakim Syarie membuat keputusan adil, cepat, betul dan tepat berdasarkan hukum syarak serta undang-undang.

Sahabat adalah orang yang merasa bertanggungjawab terhadap satu sama lain, walaupun tidak memiliki hubungan darah. Sahabat bukan adik-beradik, tetapi berupaya mewujudkan hubungan persaudaraan seperti adik-beradik.

Sahabat adalah orang yang banyak memberi manfaat dan kebaikan antara satu sama lain. Sahabat juga membantu apabila berada dalam kesusahan, meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan bersama.

Sahabat seorang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban, sentiasa melindungi dan semangat mereka sentiasa bersama. Sahabat membuatkan seseorang berasa selamat apabila mereka bersama. Sahabat tidak semestinya memiliki minat atau pendapat sama, tetapi mereka saling memerlukan.

Diriwayatkan oleh al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya.”

Pelancaran lencana Sahabat Mahkamah Syariah oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) adalah salah satu usaha menjadikan peguam syarie sebagai sahabat baik kepada Mahkamah Syariah.

Lencana itu akan dipakai oleh peguam syarie ketika berurusan di Mahkamah Syariah, sebagai satu simbolik pengiktirafan peranan peguam syarie sebagai sahabat baik kepada Mahkamah Syariah.

Pupuk hubungan baik

Lencana itu juga bertujuan memupuk serta meneruskan hubungan baik berpanjangan antara peguam syarie dengan Mahkamah Syariah, di samping memudahkan orang awam mengenali peguam syarie bagi mencegah berlakunya penyamaran oleh orang tidak berkelayakan.

Hubungan baik antara peguam syarie dan Mahkamah Syariah perlu ditingkatkan, diiktiraf serta dihormati oleh semua pihak sama ada dari pihak Mahkamah Syariah sendiri dan kalangan peguam syarie.

Peguam syarie serta kakitangan mahkamah berada dalam satu barisan dan tujuan yang sama untuk menjadikan Mahkamah Syariah sebagai institusi dipandang tinggi serta dihormati masyarakat.

Jika ada kekurangan di pihak peguam syarie, ia wajar ditegur dengan cara berhemah dan berhikmah, bukan memperlekehkan, memperkecilkan, memalukan atau menjatuhkan maruah mereka di hadapan pelanggan.

Begitu juga peguam syarie, jika ada sebarang kekurangan di pihak mahkamah, aduan perlu disalurkan melalui saluran yang betul kepada Mahkamah Syariah. Menceritakan mengenai kes Mahkamah Syariah dan tindakan hakim laman sosial akan mengundang masalah seperti mengundang komen dan perbahasan kalangan mereka yang tidak faham serta mahir mengenai undang-undang.

Sedar atau tidak, tindakan segelintir hakim dan peguam syarie itu secara tidak langsung telah menjatuhkan kredibiliti serta kewibawaan institusi Mahkamah Syariah, hakim syarie, peguam syarie dan memburukkan Islam.


Musa Awang Berita Harian Online Agama 27/03/2013

Kuasai pengetahuan

PARA pendakwah perlu mengubah cara dan mencari strategi terbaik untuk menarik minat golongan sasaran dalam usaha mendekatkan diri mereka dengan agama Islam. Sehubungan itu, petugas dakwah negara ini perlu mengubah kaedah dalam menyampaikan syiar agama Islam.

Hal demikian ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed dengan menyatakan, suatu ketika dahulu masyarakat bukan Islam tertarik dengan agama Islam setelah melihat kejayaan umat Islam melebarkan sayap di serata dunia.

Beliau mengambil contoh, penguasaan Islam di China dan beberapa benua lain yang sebelum ini dikuasai barat sehingga tindakan itu telah memberi sinar baru kepada tamadun berkenaan yang terdahulu ditutup dengan garisan kegelapan selain mengubah nasib mereka sendiri.

"Maka dengan sebab itu, mereka tertarik dengan agama Islam dan akhirnya beriman kepada Allah.

"Sebaliknya pada hari ini, kita hanya boleh berbangga dengan sejarah lampau kerana ilmu dan teknologi dikuasai oleh bukan Islam. Umat Islam hanya duduk dan lihat dan akhirnya ditindas serta dipermainkan," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Bual Bicara anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di ibu negara baru-baru ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Bendahari Perkim, Tan Sri Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Datuk Dr. Ismail Ibrahim dan 800 ahli Perkim dari seluruh negara.

Maka dengan itu, tokoh negarawan tersebut mengajak umat Islam menguasai sains dan matematik memandangkan kedua-dua cabang pengetahuan berkenaan hari ini dikuasai oleh barat sedangkan ia berasaskan daripada al-Quran dan al-Sunnah.

"Memang doa senjata umat Islam, tetapi tindakan itu mesti direalisasikan dengan praktikal iaitu ilmu.

"Kalau hendak buat kerja senang sahaja dengan berdoa tetapi tidak berusaha untuk kuasai ilmu adalah sangat malang. Contohnya apabila perang, kita perlukan teknologi senjata, kalau tiada alat itu bagaimana kita hendak serang musuh.

"Al-Quran pun turut menyebut bahawa Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri," kata beliau.

Beliau yang merupakan Yang Dipertua Perkim memberitahu, umat Islam negara ini perlu berusaha mengajak masyarakat bukan Islam dengan menerangkan keistimewaan yang terkandung dalam agama itu.

Tetapi kata Dr. Mahathir, usaha itu tidak akan berjaya jika umat Islam tidak dapat menunjukkan kejayaan menguasai pengetahuan.

"Oleh demikian, kita sebagai umat Islam perlu mengikuti suruhan agama di mana Allah memerintahkan untuk menguasai ilmu.

"Jika kita melanggar suruhan demikian, maka terjadi seperti yang berlaku pada saat ini.

"Umat Islam kini mudah dipermainkan, ditindas dan dipersenda. Bahkan mereka berani memperlekeh Allah dan menghina Rasulullah melalui karikatur.

"Tiada apa boleh dilakukan oleh umat Islam, kita hanya mampu berdiam dan melihat sahaja," ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir juga mengingatkan umat Islam khususnya para pendakwah bersatu dalam mencari titik perpaduan dan membantu antara satu sama lain.

Ujar beliau, adalah sukar untuk mengangkat syiar Islam sekiranya umat Islam di dunia hanya berbangga dengan jumlah penganut seramai 1.6 bilion tetapi mengetapikan kualiti.

"Mengapa masih terdapat lagi negara Islam yang berada dalam keadaan mundur dan miskin.

"Hal demikian tidak termasuk kejadian membunuh sesama agama seperti mana berlaku di Pakistan, Iraq dan beberapa negara Islam lain.

"Keganasan tersebut berlaku disebabkan oleh perpecahan perpaduan umat Islam dan perbezaan fahaman," jelas Dr. Mahathir.


JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/03/2013

Kembali kepada fitrah

TANGGAPAN negatif terhadap agama Islam dalam kalangan masyarakat Barat masih menebal walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengikis pandangan buruk berkenaan.

Oleh yang demikian, bagi menggalakkan masyarakat bukan Islam menyelami dan mempelajari selok-belok ajaran agama Islam, mahasiswa-mahasiswa Islam di Newcastle, Britain bergabung tenaga menganjurkan minggu kesedaran agama Islam baru-baru ini.

Menariknya mengenai program berkenaan, mahasiswa wanita yang bukan Islam digalakkan memakai hijab yang dilihat menepati tujuan utama program iaitu mengikis salah faham terhadap syariat Islam.

Matlamat lain ialah untuk menepis pandangan negatif yang dimomokkan oleh orientalis Barat selain mengajak masyarakat menyelami dan memahami kandungan ajaran agama Islam.

Salah seorang mahasiswa bukan Islam mempersoalkan mengapa dunia kini memandang serong terhadap Islam sedangkan tidak satu pun perkara negatif terdapat dalam ajaran agama berkenaan.

"Sejak memakai hijab dan menyertai beberapa aktiviti dalam kempen itu, mulai hari ini pandangan saya telah berubah dan ini menghilangkan tanggapan buruk terhadap Islam selama ini," ujar Samantha McGregor.

Seperti disebutkan sebelum ini, penganjur program mengambil kesempatan menganjurkan Cabaran Hijab yang berobjektif menggalakkan masyarakat bukan Islam memakai tudung untuk tempoh sehari untuk mengajak mereka merasai pengalaman yang pernah dialami oleh wanita Muslim Britain.

"Ramai orang melihat saya. Saya tidak tahu sama ada mereka menganggap orang memakai hijab kelihatan pelik atau sebaliknya. Kemudian saya mengatakan kepada mereka, jangan pandang terlalu pelik saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Saya berpendapat tujuan hijab untuk menutup rambut hanya boleh disaksikan suami adalah satu ajaran yang baik," kata McGregor.

Manakala rakannya, Jeanna Spencer, berkata, memakai hijab telah banyak menukar pandangannya berhubung tanggungjawab kaum hawa terhadap agama mereka.

"Ini benar-benar menarik untuk memikirkan mengapa seseorang itu memilih memakainya dan yang hanya boleh disaksikan oleh beberapa individu tertentu," ujar Spencer.

Hapus persepsi

Penganjur melihat program itu membantu dalam menangani dan menghilangkan persepsi salah faham bahawa tudung adalah simbol penindasan terhadap wanita Islam.

"Acara ini adalah untuk menunjukkan bahawa kita tidak dipaksa untuk memakainya dan kami agak gembira dengan pandangan positif daripada orang ramai.

"Islam melihat tudung sebagai kod wajib pakaian, bukan simbol agama memaparkan anutan seseorang. Kami orang biasa dan tidak perlu menghukum cara seseorang berpakaian," kata Rokeya Begum, wakil Persatuan Islam Universiti Northumbria, Newcastle.

Selain dianjurkan cabaran hijab, mereka turut mengadakan ceramah, sesi soal jawab dan lain-lain lagi.

Menurut salah seorang mahasiswa Islam, Ahmed Gatnash , 1 Februari pada setiap tahun diisytiharkan Hari Hijab, namun ini bukan bermatlamatkan mengajak masyarakat memakai hijab tetapi menggalakkan budaya toleransi sesama masyarakat.

"Menghapuskan stereotaip mengenai Islam dalam laporan media barat hari ini amat berbahaya, sehubungan itu diharapkan program sebegini dapat membetulkan pandangan negatif terhadap agama ini," ujar beliau.



JUANI MUNIR ABU BAKAR  Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/03/2013

Perdebatan ilmu mantik

SALAH satu ilmu klasik Yunani yang diadaptasi oleh ulama serta ilmuwan Muslim pada awal abad ke-2 Hijrah adalah ilmu mantik atau ilmu logik. Seperti halnya ilmu-ilmu klasik lain, ilmu mantik mengalami perkembangan di tangan ulama Muslim, bahkan memiliki bentuk dan karakter tersendiri yang berbeza daripada logik Aristotle.

Ilmu mantik sangat berkaitan dengan falsafah dan teologi, bahkan boleh dianggap menjadi bahagian yang tidak terpisah daripada dua disiplin ilmu teori tersebut.

Di negeri asalnya (Yunani), logik lebih banyak digunakan oleh para ahli falsafah, sedangkan di dunia Islam banyak digunakan oleh para ahli teologi (ahli ilmu kalam), khususnya pada awal abad keenam ketika disiplin falsafah mulai mengalami kemunduran.

Ilmu mantik pertama kali diajarkan oleh Socrates, lalu dilanjutkan oleh Plato, kemudian dilengkapi oleh Aristoteles yang menyusunnya dengan pembahasan yang lebih sistematik.

Mantik bererti 'ucapan'. Para ulama Arab menterjemahkan kata ini daripada istilah 'logik' yang bererti 'pemikiran'. Dalam bahasa Arab 'ucapan' dan "pemikiran" adalah dua kata yang tidak dapat dipisahkan.

Ucapan adalah rangkaian ungkapan yang lahir daripada pemikiran. Manusia sering digambarkan sebagai makhluk yang berbicara, ertinya manusia adalah makhluk yang berfikir.

Salah satu tema utama yang dijumpai dalam seluruh buku mantik adalah pembahasan tentang jenis ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan dalam mantik terbahagi kepada dua, iaitu tasawur (konsep) dan tasdiq (pembenaran). Konsep adalah pemahaman tentang objek-objek sederhana, seperti buku, meja dan kerusi.

Dalam pada itu, pembenaran adalah pemahaman terhadap beberapa konsep yang mengandungi nilai benar atau salah, seperti 'hari ini hujan' atau 'manusia adalah haiwan berfikir'. Jadi, tasawur dan tasdiq merupakan pintu gerbang untuk tema-tema mantik lainnya.

Ilmu mantik yang berkembang di dunia Islam berbeza daripada ilmu logik yang diajarkan di universiti-universiti moden. Dalam dunia Islam, ilmu mantik mencakupi pembahasan struktur kalimat atau logik matematik formal, fizik serta metafizik.

Hampir semua ahli falsafah Muslim, khususnya al-Farabi, Ibnu Sina dan Ibnu Rushd, menyertakan mantik dalam setiap pembahasan falsafah mereka. Bahkan Ibnu Sina menulis beberapa buku yang menerangkan mantik secara terperinci. Beliau mengarang sebuah buku yang berjudul Asy-Syifa yang banyak membahas dan membicarakan ilmu mantik.

Ulama tradisional menolak keras penggunaan ilmu mantik. Mereka menganggap para ahli teologi yang menggunakan ilmu mantik dalam mengemukakan argumentasinya dapat menganggu keimanan umat Islam.

Kerana itu, para ulama tradisional menentang penggunaan ilmu mantik dengan pelbagai cara, antara lain dengan menggunakan hadis-hadis lemah (daif) yang melarang penggunaan ilmu mantik atau mengulasnya dalam sebuah buku.

Berfikir secara kritis dan teliti merupakan tujuan mempelajari mantik. Seseorang yang mempelajari mantik akan memilih kata-kata yang sesuai dengan pemikiran yang hendak mereka kemukakan dan menyusun kalimah yang benar serta baik agar mudah difahami oleh orang lain, sesuai dengan maksud yang dikehendaki.

Secara lebih spesifik, tujuan mempelajari ilmu mantik adalah membahas hal ehwal suatu persoalan dengan syarat-syarat argumentasi; dan jika syarat-syarat itu dapat dipenuhi, maka manusia akan memperoleh apa yang telah dianggap benar.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/03/2013

Adab baik akhlak cantik

DALAM mengejar kemajuan, adab sangat dipentingkan kerana orang yang beradab adalah orang yang sentiasa mementingkan budi bahasa dan tatasusila sebagai orang yang beradab. Kita sering mendidik kanak-kanak dan remaja supaya beradab tetapi orang tua tidak pula beradab dalam berkata-kata dan perlakuan yang ditunjukkan.

Islam amat menekankan pendidikan adab kepada anak-anak dan juga dalam kalangan keluarga. Islam menetapkan beberapa adab seperti adab berhias diri, adab menjaga orang sakit, adab amar makruf nahi mungkar, adab di tempat rekreasi, adab menjaga kemudahan awam, adab menziarahi jenazah dan adab dalam pergaulan seharian.

Sebagai ibu bapa pendidikan adab terhadap anak-anak sengat penting. Ibu bapa mestilah menunjukkan adab dan teladan yang baik. Begitulah seperti kata peribahasa, seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan ibu atau bapa ketam tak pernah berjalan betul. Ada ibu bapa melarang anaknya merokok, sedangkan mereka sendiri adalah perokok tegar. Bagaimanakah nasihat dan teladan hendak diterapkan kepada anak-anak? Jawapannya terletak kepada kebijaksanaan ibu bapa tersebut.

Memetik kata-kata cerdik pandai, adab yang baik adalah seni untuk membuatkan orang berasa selesa berhubung dengan kita. Sesiapa yang menyebabkan paling sedikit orang berasa tidak selesa, dialah baka yang terbaik dalam kumpulan itu.

Ingatlah kehebatan adab terutama adab yang baik yang ditunjukkan oleh seseorang kepada orang lain. Orang yang beradab sentiasa menjaga percakapan, bicara dan perlakuannya di mana sahaja dia berada sama ada keseorangan atau di khalayak ramai.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah. Kalau Allah meluaskan adab baginya, maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya." (riwayat Al Hakim).

Begitulah juga kita seharusnya menjaga adab dengan pemimpin, ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua. Begitu juga kita wajar mempamerkan adab yang baik kepada kanak-kanak dan orang yang lebih muda sebagai teladan dan ikutan kepada mereka.

Sebagai renungan, Wahab Munabin pernah mengingatkan, adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah. Begitu jugalah manusia yang tidak beradab dan berakhlak diumpamakan seperti tembikar yang pecah.

Ini membuktikan adab dan akhlak sangat penting dalam kehidupan, jika adab dan akhlak kita rosak dan tercemar sukar sekali untuk memperbaikinya. Orang akan ingat selama-lamanya akan perbuatan yang kita lakukan yang merosakkan adab dan akhlak. Nabi SAW bersabda: Yang muda mendahului memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang berjumlah sedikit kepada yang banyak. (riwayat Bukhari)

Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang. Menurut Al Bukhari, Nabi SAW lebih malu daripada seorang gadis dalam pingitannya.

Mempraktikkan adab yang baik dalam kehidupan sangat digalakkan. Pendidikan adab ini mestilah dilakukan sejak kecil lagi bagi memperkukuh akidah, ibadah dan akhlak seseorang. Pendidikan ini juga dapat meneguhkan pendirian atau istiqamah terhadap perintah Allah dengan penuh keyakinan. Nabi SAW, bersabda: "Sesungguhnya Allah indah dan senang kepada keindahan. Apabila seorang keluar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya." (Riwayat Baihaqi)

Kebaikan adab juga akan menunjukkan ketinggian akhlak seseorang. Apabila seseorang itu beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik. Pendidikan adab juga akan meliputi pendidikan ibadah, keimanan, akal dan akhlak. Justeru, adab bercakap juga sangat penting dalam kehidupan. Bercakap merupakan suatu budaya manusia yang melambangkan hati, sikap dan fikiran. Oleh itu, peliharalah lidah dan ikutilah adab yang baik semasa bercakap.

Lantaran itu, Nabi SAW, bersabda: Sesiapa mempercayai Allah dan hari kemudian (akhirat) maka semestinya dia bercakap perkataan yang baik ataupun hendaklah dia diam sahaja. (riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, sebagai ibu bapa didiklah anak-anak dengan bercakap menggunakan perkataan yang baik-baik sahaja.

Natijah, pendidikan adab dan akhlak mestilah dilakukan secara berterusan. Menjaga aurat, perlakuan dan percakapan adalah adab yang paling baik. Jika adab sentiasa dijaga tidak akan ada perbuatan yang membabitkan gejala sosial yang merosakkan dan menghancurkan masa depan.



DR. AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/03/2013