March 28th, 2013

Belas kasihan didik anak

Masyarakat Muslim di rantau Asia terkenal dengan budaya hidup serta budi pekerti lemah lembut dan bersopan santun. Inilah yang memikat banyak hati sehingga ada yang meninggalkan hatinya di sini kerana tautan tidak boleh dirungkai lagi.

Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat terpuji. Cuma mutakhir ini kita dikejutkan pelbagai kisah kezaliman sesama manusia akibat sikap tamak dan tiada belas kasihan.

Tandus sifat kemanusiaan

Itu sudah cukup membimbangkan dan menggambarkan segelintir masyarakat Muslim kini semakin ketandusan sifat kemanusiaan dalam sudut hati mereka. Bagi umat Islam, perbuatan pembunuhan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din bersifat rahmat iaitu belas kasihan.

Jika kita benar-benar menghayati agama, tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara yang sebaik-baiknya untuk berakhlak dengan tetangga dan ahli masyarakat.

Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukanlah mudah, sebab itulah Rasulullah SAW mengajarkan perbuatan baik untuk dilakukan kepada orang lain supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu dan disokong oleh sahabat.

Rasulullah SAW bersabda: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: Kami semua sememangnya bersifat rahmat. Lantas Baginda SAW menjawab: Bukan itu maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Riwayat Tabarani)
Dimaksudkan dengan rahmat adalah apa juga perkara yang membawa kebaikan dan Islam satu-satunya agama membawa misi keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam.

Sifat belas kasihan

Oleh itu, bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana, Islam memerintahkan umatnya menghiasi diri dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kepada kesempurnaan iman kepada Allah.

Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika perasaan seumpama itu tidak wujud, maka ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada binatang.

Rasulullah SAW bersabda: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan sesama sendiri antara satu sama lain hinggakan ada seekor binatang yang mengangkatkan kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Riwayat Bukhari)

Dalam konteks kekeluargaan pula, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain menguruskan rumah tangga. Ia selaras objektif perkahwinan dalam Islam iaitu untuk menyuburkan bibit kasih sayang dan kemesraan suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati.

Allah berfirman: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Tanggungjawab beri pendidikan

Manakala ibu bapa yang mempunyai anak memikul tanggungjawab berat dalam pendidikan mereka. Ibu bapa perlu mempunyai sifat kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, hendaklah tegur dan betulkan kesalahannya dengan lemah lembut dan kasih sayang, bukannya memukul dengan kekerasan.

Tahap pendidikan pada awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang dan lemah-lembut, bukannya dengan kekerasan yang hanya akan menyebabkan anak semakin liar atau nakal.

Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah mereka.

Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam bukan disebabkan masalah sosial.

Begitu juga dalam skop masyarakat yang lebih besar, modal insan saling mengasihani ialah yang terdidik dengan sikap belas kasihan dan berkasih sayang, bukan terdedah dengan kezaliman atau kejahatan.

* Nik Salida Suhaila ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.

Bersikap adil curah kasih sayang

Rahsia supaya anak taat dan terus berbakti kepada ibu bapa adalah dengan berlaku adil dan saksama terhadap mereka. Adil bermaksud meletakkan sesuatu sesuai pada tempat, memberi hak kepada yang berhak.

Adil dalam menyediakan keperluan anak contohnya dengan memberi makanan halal, mengasuh dan mendidik dengan baik, mencurahkan kasih-sayang yang cukup, menjaga emosi serta memberi perlindungan.

Layanan tak seimbang

Tidak dinafikan ada kalanya ibu bapa tersilap atau tidak sengaja memberi layanan tidak seimbang antara anak-anak. Meskipun anak-anak lahir daripada rahim ibu yang sama, namun perangai serta tingkah-laku mereka tidak sama.

Ada anak yang bersikap tidak kisah, sensitif, terlalu agresif dan pelbagai lagi. Jadi, ibu bapa perlu ada kemahiran keibubapaan supaya berlaku adil kepada anak.

Allah SWT berfirman: “Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, bahawasanya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma'idah, ayat 8)

Rasulullah SAW bersabda: “Berlaku adillah antara anak-anak kamu.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’i dan Ibn Hibban)

Perbuatan membeza-bezakan anak amat dilarang. Jika berlaku, kesannya amat besar kepada jiwa dan perhubungan mereka sehingga boleh menimbulkan perbalahan, saling membenci, dalam kalangan anak-anak.

Iktibar peristiwa Nabi Yusuf

Lihatlah apa yang pernah berlaku kepada Nabi Yusuf kerana ayahnya, Nabi Yaakub yang lebih menyayangi Nabi Yusuf telah menimbulkan rasa dengki abang-abangnya. Mereka merancang membunuh Yusuf yang ketika itu masih belum baligh seperti diceritakan dalam al-Quran.

Situasi begini banyak berlaku kepada ibu bapa masa kini. Kesan jangka panjang ialah anak-anak tidak mengekalkan perhubungan baik sesama mereka apabila dewasa atau sudah berumah tangga. Apabila terjadi perselisihan faham, ketika itulah keluar keluhan mengungkit rasa tidak puas hati.

Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira oleh ibu bapa supaya dapat berlaku adil terhadap anak-anak antaranya faktor usia. Anak berumur tujuh tahun ke bawah perlu diasuh dengan kasih-sayang misalnya bergurau serta bermain.

Bagi yang meningkat remaja, ibu bapa perlu menerapkan disiplin dan tegas dalam mendidik seperti menitikberatkan soal adab dan akhlak mereka. Pada usia belasan tahun, anak dilayan seperti sahabat. Ibu bapa akan lebih mendengar dan memberi pendapat serta panduan.

Jadikan Rasulullah idola

Mendidik anak-anak, ibu bapa seharusnya menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola kepada anak dengan menceritakan akhlak Baginda yang sentiasa rajin, cermat dan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan dilakukan.

Jika ibu bapa sentiasa berlaku adil terhadap anak-anak, hasil didikan yang positif akan dapat dilihat misalnya anak-anak tidak berhasad dengki, tidak mementingkan diri dan tidak bermusuhan. Anak-anak juga akan mudah mengikut kata kerana mendapat layanan sama rata.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berlaku adil itu di sisi Allah kelak, berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya. Iaitu mereka yang berlaku adil dalam memutuskan hukum dan bertindak adil terhadap bawahan (rakyat, keluarga) mereka.” (Riwayat Muslim)


Nur Hidayah Hussain Berita Harian Online Agama 28/03/2013

Besarkan anak dengan kasih sayang

SALAH satu hak anak ialah dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Ini bermakna ibu bapa yang membesarkan anak-anak dengan kebencian, pergaduhan, merasa tertekan dan takut akan mengakibatkan anak-anak mengalami gangguan emosi. Gangguan emosi seperti ini mengambil masa untuk menunjukkan kesan dan yang paling biasa ialah anak-anak mengalami kemurungan, ponteng sekolah dan sakit. Sakit yang paling biasa dialami ialah muntah-muntah, sakit kepala dan demam.

Anak adalah amanah Allah SWT kepada ibu bapa. Kita perlu ingat bahawa Rasulullah SAW sangat menyayangi kanak-kanak. Baginda sering dilihat bermain dengan cucu-cucunya, Hassan dan Hussien. Dalam satu hadis disebutkan Nabi SAW sujud lama ketika sedang solat kerana cucu Baginda sedang duduk di atas tengok. Baginda juga pernah berkata kepada seorang sahabat “Sesiapa yang tidak menyayangi kanak-kanak, tidak akan disayangi."

Islam percaya melentur buluh biarlah daripada rebung, namun Islam melarang memukul kanak-kanak. Zaman saya kecil dahulu, merotan anak adalah suatu perkara biasa bagi ibu bapa. Ia adalah satu cara mendisiplin anak. Tetapi ibu bapa dahulu tidak merotan untuk menyakitkan atau menyiksa. Mereka merotan dengan ranting pokok bunga yang kecil dan biasanya dirotan di kaki. Kebiasaannya kerana bermain sehingga lupa sudah masuk waktu Maghrib, tidak bersolat atau terlalu asyik bermain sehingga lupa sudah lewat petang.

Lumrahnya, yang mengejar dan merotan adalah ibu. Walaupun ibu bapa merotan atau menghukum anak kerana tidak mendengar kata atau nakal, tidak pernah pula kita mendengar anak didera dengan teruk hingga patah, cedera atau mati. Malah ibu bapa memastikan anak makan malam sebelum tidur walau siangnya dirotan.

Kehidupan berkeluarga seperti itu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Anak-anak dan ibu bapa berbual semasa mereka sambil menjamu hidangan. Banyak yang dilahirkan pada waktu maka termasuk rasa sedih, rasa gembira dan sebagainya.

Ibu bapa dahulunya tidak pandai melahirkan rasa kasih sayang kepada anak-anak. Malah ada bapa malu mencium anak lelakinya di khalayak kerana tidak biasa berbuat demikian. Hubungan antara ayah dan anak sangat formal kerana formaliti itu menimbulkan rasa hormat anak kepada ayahnya. Ayah pula mempamerkan rasa kasihnya kepada anak dengan membawa makanan pulang ke rumah, menjamu anak dengan juadah yang dibeli dengan titik peluhnya.

Walaupun hubungan yang terjalin itu nampak renggang, namun ayah tetap mengetahui apa yang berlaku kepada anaknya melalui isteri. Zaman dahulu, oleh kerana kebanyakan ibu tidak bekerja, jadi mereka insan paling penting dalam kehidupan seorang anak. Ibu adalah segala-galanya: ibu, guru, kawan, kakak, jurucakap, juruwang dan sebagainya.

Pulang dari sekolah, ibu sudah menunggu di pintu. Makan tengahari telah terhidang dan kepada ibulah tempat menceritakan segala kejadian sepanjang hari. Ibulah penyelamat, penenang dan pengubat segala masalah.

Oleh kerana anak ada tempat untuk bercerita, masalah emosi anak banyak diselesaikan lebih awal melalui terapi naluri ibu.

Hari ini, kebanyakan ibu bekerja dan dalam kesibukan menjalankan tugas, ibu perlu memberi ruang masa kepada anak-anak untuk bercerita dan mendapat simpati. Dengan itu anak tidak perlu mendapat pandangan atau nasihat rakan-rakan sebayanya dalam menyelesai masalah di samping rasa mereka disayangi.

Zaman berubah, kini ramai anak-anak menghabiskan masa di pusat jagaan. Menambahkan lagi keterbatasan masa ibu bapa bersama dengan anak-anak. Ibu bekerja menghadapi masalah kekangan masa untuk melayan anak-anak. Sepanjang hari bertugas, bila pulang, mereka sibuk dengan urusan di rumah (bagi yang tiada pembantu). Badan menjadi bertambah letih dan apabila anak bercerita, ibu tidak dapat memberi perhatian. Akhirnya anak rasa tidak dihargai atau disayangi.

Saya sering menemubual kanak-kanak dalam tahanan dan antara sebab mereka melakukan kesalahan jenayah ialah kerana merasa jemu tinggal di rumah atau rasa terbiar. Akhirnya anak melepak dan terjebak dengan gejala sosial, kesan daripada merasa diri tidak dipedulikan. Memburukkanlagi keadaan, bukan sahaja ibu bapa mereka sibuk bekerja tetapi apabila di rumah mereka sering bertengkar. Anak merasa tertekan dan ini adalah salah satu penderaan emosi.

Ada juga ibu bapa yang menyalahkan anak mereka setiap kali mereka bertengkar. Perkataan seperti “Ini kamulah ni", “Kalau tidak kerana kamu, kita tidak sesusah ini" “Anak sial", “Anak tak guna". Semua kata-kata ini keluar daripada mulut ibu bapa dan ini termasuk dalam penderaan emosi. Ramai kanak-kanak hari ini mengalami tekanan, kemurungan dan ada ciri-ciri ingin membunuh diri.

Jika dibiarkan anak-anak ini boleh membahayakan dirinya dan orang sekelilingnya. Bahkan, bagi anak-anak yang tidak diberikan didikan agama mereka membesar dalam keadaan tidak menyintai Allah SWT sebagai penciptanya. Malah menyalahkan Allah SWT pula. Apabila pegangan agama tidak kuat ditambah dengan tekanan yang dialami, jadi mereka akan mencari kedamaian dan ketenangan dengan mengambil dadah, minum arak dan berseronok-seronok. Bagi mereka bahan-bahan ini dapat menghilangkan kedukaan dan kesengsaraan yang dilalui.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/03/2013

Berbakti kepada al-Quran

PENGKAJIAN terhadap sejarah kehidupan ulama dalam bidang al-Quran dan penghayatan mereka terhadap al-Quran menginsafkan diri sendiri betapa jauhnya diri dengan al-Quran. Mereka menghabiskan banyak masa dengan al-Quran sama ada dalam pengajaran atau penulisan.

Syeikh Amir Sayyid Uthman umpamanya merupakan tokoh yang amat disegani dalam ilmu al-Quran pada zaman beliau. Diceritakan bahawa di mana sahaja kamu berjumpa dengan Syeikh Amir pasti kamu akan dapati ada seseorang di sampingnya sedang membaca al-Quran bertalaqqi daripadanya. Walaupun ketika beliau sedang menunggu teksi atau dalam kapal terbang pasti ada seorang murid membaca al-Quran di sisi beliau.

Ulama silam menghabiskan masa dengan menjadi khadam kepada al-Quran. Mulut mereka selalu membaca al-Quran walau di mana sahaja berada. Perkara ini amat berlainan dengan adat masyarakat kita yang selalu membaca al-Quran dalam program tertentu sahaja. Bahkan pada hari Jumaat, al-Quran tersimpan dengan rapi di rak-rak dalam ruangan masjid tanpa disentuh. Orang yang membacanya akan dipandang dengan pandangan yang pelik.

Berlainan pula pemandangan dengan masjid-masjid di Tanah Arab, terutamanya di Masjid Nabi dan Masjidil Haram Mekah. Satu jam sebelum khutbah semua rak-rak al-Quran kosong kerana al-Quran berada di tangan pembacanya. Orang yang datang lewat akan membawa al-Quran sendiri yang bersaiz poket. Dan orang yang tidak membaca al-Quran akan merasa aib dan malu kerana tidak membaca al-Quran lantaran semua orang membaca al-Quran.

Pada awal 80-an seorang tokoh ulama bernama Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi pergi ke Madinah al-Munawwarah sebagai pensyarah di Kuliah al-Quran, Universiti Islam Madinah. Beliau amat alim dalam bidang Qiraat dan al-Quran menghasilkan karang yang menjadi rujukan dalam ilmu tajwid iaitu Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari.

Syeikh al-Mirsafi menjadi tumpuan pelajar untuk talaqi al-Quran dan qiraat. Selepas sesi pengajaran di universiti, ramai pelajar berkunjung ke rumahnya untuk bertalaqqi al-Quran. Sehingga dikatakan rumahnya sesak dengan pelajar dan mereka membaca seorang demi seorang sehingga lewat malam. Malah ketika beliau menjamah makanan ada pelajar yang membaca di sisi Syeikh al-Mirsafi.

Sudah menjadi ketentuan Ilahi akan menghabiskan riwayat seseorang mengikut amalannya. Ibarat seorang guru yang berpesan kepada muridnya jika lori yang membawa sayur kemalangan maka bertaburanlah sayur di atas jalan dan jika lori yang membawa najis kemalangan maka bertaburanlah najis di jalan dan mustahil berlaku sebaliknya.

Syeikh al-Mirsafi yang menghabiskan masa harian beliau dengan mengajar al-Quran telah meninggal dunia ketika beliau mendengar al-Quran daripada bacaan seorang pelajarnya yang bernama Syeikh Bilal. Ketika Syeikh Bilal khusyuk membaca surah al-Mulk juzuk 29 pada ayat 12 yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang takut dengan Tuhan mereka tanpa melihatnya bagi mereka keampunan dan ganjaran yang besar. Syeikh Mirsafi rebah dan meninggal dunia.

Lantaran itu, marilah sama-sama kita berbakti kepada al-Quran yang merupakan kitab Allah panduan kepada seluruh manusia. Membacanya membawa kepada rahmat dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.

Peluang mendapat rahmat Allah SWT terbentang luas di hadapan kita, tepuk dada tanyalah iman. Semoga amalan yang kita lakukan itu memungkinkan kita termasuk dalam kalangan ahli al-Quran sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW.

KHAIRUL ANUAR MOHAMAD ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/03/2013

Usaha dan tawakal

PERNAHKAH anda berada dalam situasi kecemasan seperti gegaran kuat ketika berada dalam kapal terbang? Atau mengalami masalah brek ketika sedang memandu laju di lebuh raya? Atau dilambung ombak kuat ketika bercuti di atas kapal? Apakah perasaan anda ketika itu?

Kebiasaannya, apabila manusia berada dalam keadaan getir, dengan tidak semena-mena hatinya akan teringat kepada Tuhan-Nya. Ini menunjukkan secara fitrahnya manusia mempunyai perasaan bertuhan. Walaupun dia tidak beriman, tetapi dalam hati kecilnya tidak dapat menafikan akan adanya Tuhan sebagai tempat bergantung.

Ketika manusia berada dalam kecemasan dan kesusahan, mereka akan memohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh. Pun begitu, apabila manusia tersebut terselamat daripada keadaan getir tadi, mereka kembali melupakan Allah SWT dan peringatan-Nya.

Demikianlah yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan apabila mereka diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok awan, mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepada-Nya kepercayaan mereka semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat, maka sebahagian sahaja di antara mereka bersikap adil. Dan tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang bersifat pemungkir janji, lagi sangat-sangat tidak mengenang budi. (Luqman: 32)

Ayat ini menggambarkan seolah-olah kebanyakan manusia hanya mengingati Allah SWT dan hanya bergantung kepada-Nya sewaktu berada dalam kesusahan. Sedangkan orang-orang yang beriman perlu meletakkan diri mereka dalam keadaan tawakal kepada Allah SWT pada setiap masa, sama ada senang atau susah.

Orang yang bertawakal kepada Allah SWT menyandarkan hatinya mutlak kepada Allah SWT. Tiadalah tempat pergantungan baginya melainkan Allah SWT. Pertolongan dan bantuan daripada makhluk hanyalah sebahagian daripada usahanya sahaja. Sama ada ia berjaya atau tidak hanya ditentukan oleh Allah SWT.

Secara ringkasnya, tawakal ialah menyerahkan hasil terhadap usaha yang dilakukan kepada Allah SWT. Ramai orang yang mengharapkan hasil yang berjaya walaupun tidak berusaha. Sedangkan Allah SWT tidak memberikan kejayaan melainkan mengikut kadar usaha yang telah dilakukan olehnya. Inilah sunnah dan ketentuan Allah SWT yang tidak akan berubah.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Yang demikian adalah menurut “Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang berlaku kepada orang-orang yang telah lalu dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi “Sunnatullah" itu. (al-Ahzab: 62)

Walaupun seseorang itu tidak beriman kepada Allah SWT, tetapi dia berusaha keras maka dia akan berjaya. Akan tetapi, sekiranya seseorang itu selalu berdoa kepada Allah SWT dalam keadaan malas berusaha, maka dia tetap akan beroleh kegagalan. Sebaliknya, sekiranya seseorang itu berusaha dan berserah kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan doa dan munajat kepada-Nya, maka dia bukan sahaja akan beroleh kejayaan akan tetapi kejayaan itu akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Oleh itu, orang yang bertawakal kepada Allah SWT tidak akan cepat berputus ada dengan kegagalan. Ini adalah kerana dia memahami bahawa sebagaimana kejayaan, kegagalan juga adalah ketentuan Allah SWT. Dia tidak akan sekali-kali menyalahkan Allah SWT. Sebaliknya, dia akan melakukan muhasabah serta post mortem terhadap usaha yang dilakukan sebelum ini untuk mencari kelemahan. Yang pastinya, Allah SWT suka apabila setiap kali hamba-Nya gagal, Dia terus meningkatkan usahanya dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kita perlu belajar daripada burung. Apabila keluar mencari makanan untuknya dan anak-anaknya, ia tidak mengetahui hasil yang akan diperoleh pada hari tersebut. Sekiranya ia gagal, ia tidak akan kecewa dan berputus asa untuk keluar lagi pada keesokan harinya.

Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-sebenar tawakal, maka Allah SWT memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah SWT memberikan rezeki kepada burung, pagi-pagi keluar sarang dalam keadaan lapar dan petang hari pulang ke sarang dalam keadaan kenyang." (riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Majah)

Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita meningkatkan tawakal kepada Allah SWT kerana ia adalah kunci kejayaan yang sebenarnya. Sebagai muhasabah kepada kita bersama.

Cuba kita perhatikan generasi salafussoleh yang telah menerima tarbiah dan didikan Nabi SAW. Walaupun mereka lemah daripada segi bilangan dan kelengkapan persenjataan, namun mereka mempunyai jiwa yang besar serta semangat yang kental. Kekalahan dalam medan juang tidak pernah mematahkan semangat untuk terus berusaha dan bergantung kepada Allah SWT.

Inilah ciri-ciri mereka yang dipuji oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: Dan beberapa banyak daripada Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengasihi orang yang sabar. (ali-Imran 146)


WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/03/2013