March 31st, 2013

Nabi Musa mencari ilmu

ALHAMDULILLAH, setelah selesai kita membincangkan berkenaan dengan Ashab al-Kahfi penulis ingin meneruskan lagi perbincangan daripada surah yang sama tetapi berkenaan dengan kisah Nabi Musa AS. Penulis memulakan dengan ayat 60 hingga 64.

Pada ayat 60 ini Ibnu Kathir berkata: Sebab perkataan Musa kepada pemuda yang bersamanya, yakni Yusya' bin Nun tersebut adalah bahawa ia memberitahu kepadanya bahawa (ada) seorang hamba Allah SWT di tempat pertemuan dua laut, dia mempunyai ilmu pengetahuan yang tidak dikuasai oleh Musa. Maka Musa pun tertarik untuk pergi ke tempat itu. Dan ia berkata kepada pemuda tersebut: "Aku tidak akan berhenti berjalan," maksudnya aku akan terus berjalan, "Sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan." Maksudnya, tempat itulah yang merupakan tempat pertemuan dua buah lautan. Qatadah dan beberapa ulama lainnya mengatakan: "Kedua laut itu adalah laut Persia yang dekat dengan Masyriq dan laut Romawi yang berdekatan dengan Maghrib." Muhammad bin Kaab al-Qurazhi mengatakan: "Pertemuan dua laut itu terletak di Thanjah, iaitu di Ijung negeri Maroko."

Dan diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr, bahawasanya dia pernah berkata: "Huqub itu bererti 80 tahun."

Sayid Qutub berkata: Yang lebih rajih - Allahu a'lam - maksud tempat pertemuan dua lautan itu ialah laut Rum dan laut Qulzum iaitu Laut Mediterranean dan Laut Merah. Tempat pertemuan dua laut ini ialah di kawasan tasik-tasik al-Murrah (al-Buhayrat al-Murrah) dan tasik Buaya (Buhayrah al-Timsah) atau tempat pertemuan dua Teluk Aqabah dan Teluk Suez di Laut Merah. Kawasan ini merupakan pentas sejarah Bani Israel selepas mereka keluar dari negeri Mesir. Walau bagaimanapun al-Quran al-Karim hanya menyebutnya secara umum sahaja. Oleh itu, kami hanya berpandu dengan isyarat ini.

Sementara itu pada ayat 61 pula Ibnu Kathir berkata: Ibn Juraij menceritakan, Ibnu Abbas RA mengatakan: "Bekas jejaknya seolah-olah menjadi batu." Al-'Aufi menceritakan daripada Ibnu Abbas: "Ikan itu tidak menyentuh sesuatu yang ada di laut melainkan akan menjadi kering dan kemudian menjadi batu. Muhammad bin Ishaq menceritakan juga daripada Ibnu Abbas, daripada Ubay bin Kaab, dia bercerita, Rasulullah SAW pernah bersabda ketika disebutkan peristiwa tersebut: "Air tidak pernah terlubangi sejak manusia ada selain tempat berjalannya ikan yang berada di dalamnya. Air itu terbelah seperti lubang sehingga Musa kembali kepadanya, ia melihat jalan ikan tersebut. Qatadah berkata: 'Bayangan air itu dari laut sehingga menyebar ke laut.' Kemudian Musa berjalan di sana sehingga ia tidak berjalan di jalan itu melainkan air berubah menjadi keras membeku."

Al-Maraghi berkata: Menurut suatu riwayat, Nabi Musa AS disuruh supaya membawa seekor ikan masin, lalu dikatakanlah kepadanya: Sebaik saja kamu kehilangan ikan itu, maka di sanalah tempat tinggal Habibullah. Kemudian, Nabi Musa mengambil seekor ikan dan diletakkan di dalam sebuah bakul. Lalu, Musa pun berangkat, ditemani oleh muridnya sehingga kedua-duanya sampai pada sebuah batu besar yang terletak di sisi pertemuan di antara dua laut. Kedua-duanya pun tertidur. Pada waktu yang sama ikan yang dibawa bergerak-gerak dibakulnya, lalu menggelongsor jatuh ke dalam laut.

Menurut riwayat al-Bukhari dan Muslim pula, bahawa Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa AS: Ambillah Nun (ikan yang mati) itu, iaitu ikan yang akan ditiupkan padanya roh.

Nabi Musa AS mengambil ikan seperti itu, lalu baginda letakkan dalam sebuah keranjang dan baginda bersabda kepada muridnya, "Aku tidak menugaskan kamu kecuali memberitahu kepadaku tempat ikan ini akan meninggalkan kamu". Murid berkata, "Aku tidak diberi tugas yang banyak."

Ketika kedua-duanya berada di bawah bayang-bayang sebuah batu besar, tiba-tiba ikan itu menggelongsor sehingga masuk ke laut, sedangkan ketika itu Musa sedang tidur. Maka berkata, "Aku tidak akan membangunkannya."

Namun, ketika Nabi Musa terjaga, ternyata muridnya itu lupa untuk memberitahu tentang ikan tersebut.

Ibnu Jarir dan Ibnu Hatim meriwayatkan sebuah riwayat daripada Ibnu Abbas RA, bahawa setiap kali ikan itu menyentuh sesuatu dari laut, maka sesuatu itu akan menjadi kering dan akhirnya menjadi batu.

Manakala pada ayat ke-62, Ibnu Kathir berkata: Iaitu tempat di mana keduanya lupa akan ikan tersebut. Menurut salah satu daripada dua pendapat sebenarnya dia keluar daripada air masin. Ketika mereka berdua berangkat meninggalkan tempat di mana kedua-duanya melupakan ikan itu, maka Nabi Musa AS berkata kepada pemuda itu: Bawalah makan tengah hari kita, sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini, iaitu suatu perjalanan yang terlalu jauh.

Al-Maraghi berkata: Ada hikmah berlakunya lapar dan letih pada Nabi Musa AS ketika Baginda AS telah melampaui tempat tersebut, lalu baginda meminta makanan. Pada saat inilah Musa teringat akan ikan tersebut yang menyebabkan baginda berusaha mencari ikan tersebut, sehingga akhirnya baginda kembali semula ke tempat orang yang baginda cari itu.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 29/03/2013

Guna akal, ilmu ke arah kebaikan

Sesungguhnya terdapat banyak keistimewaan manusia berbanding makhluk lain. Keistimewaan yang paling utama ialah pengiktirafan oleh Allah SWT bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian ciptaan-Nya.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah at-Tin, ayat 4)

Manusia dimuliakan oleh Allah SWT berbanding haiwan kerana selain nafsu, manusia juga dibekalkan dengan akal fikiran. Dengan akal, manusia dapat mengetahui tanggungjawab dan siapa penciptanya.

Sayangnya ada manusia yang tidak menggunakan akal, sebaliknya mereka menuruti kehendak nafsunya. Nafsu yang tidak dikawal akan mendorong manusia melakukan dosa dan maksiat, malah mereka tidak dapat membezakan antara perbuatan betul dengan yang salah.

Ini menjadikan manusia tidak berbeza daripada binatang yang turut dikurniakan nafsu, tetapi tidak berakal.

Tahap intelek tinggi

Antara keistimewaan lain, manusia mampu memiliki ilmu dan tahap intelek yang tinggi. Ini diceritakan dalam al-Quran melalui firman-Nya: “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam daripada segala nama benda-benda dan gunanya. Kemudian ditunjukkannya kepada malaikat, lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepada Aku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.” (Surah al-Baqarah, ayat 31)

Melalui ilmu yang telah dianugerahkan Allah SWT, manusia berupaya mengenal Tuhannya dan mampu membuat penilaian serta renungan terhadap kejadian alam. Kerana ilmu juga manusia dimuliakan.

Ini terbukti apabila orang yang berilmu sering mendapat sanjungan sedangkan orang yang tidak berilmu dipandang hina di dunia dan akhirat. Cuma apa yang dituntut ke atas orang yang berilmu ialah menggunakan ilmu itu ke arah kebaikan. Jika sebaliknya maka orang yang berilmu akan mendapat celaan dan laknat daripada Allah SWT.

Manfaat sumber asli

Akhir sekali manusia diberi kelebihan dengan berupaya memanfaatkan segala sumber alam yang diciptakan Allah. Di lautan, Allah menjadikan pelbagai jenis sumber kehidupan seperti ikan, barang perhiasan dan sebagainya.

Di perut bumi pula, Allah sediakan sumber galian untuk manusia seperti minyak, logam dan arang batu. Apa yang penting, semua kurniaan Allah ini diamanahkan kepada manusia untuk diurus dan ditadbir dengan baik dan bijak.

Oleh itu, manusia sewajarnya berhati-hati supaya tidak melampaui batas dan tidak tergolong ke dalam golongan yang membuat kerosakan di muka bumi ini.


Safwan Idris Berita Harian Online Agama 30/03/2013

Berusaha elak laku dosa besar mengumpat

Rasulullah larang intip keaiban, kekurangan orang lain

Banyak orang secara terang-terang melakukan perbuatan mengumpat. Perbuatan itu dianggap seperti perkara biasa yang tidak menimbulkan kesan buruk akibatnya. Sebab itu, sekarang sukar untuk mencari contoh orang yang tidak mengumpat.

Seorang Islam yang beriman tidak akan berusaha atau sengaja mencari kelemahan saudara Muslim lain. Rasulullah SAW bersabda: “Orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya ancaman) lidah dan tangannya.” (Riwayat Bukhari)

Usaha dan niat menjauhkan sikap mengumpat perlu ditanam dalam diri. Kesedaran itu diharapkan dapat menghalang perbuatan mengumpat berlaku dengan sewenang-wenang atau dianggap satu kebanggaan melakukannya.

Sifat manusia jadi bahan lawak

Satu kategori mengumpat yang banyak tidak disedari ialah berkaitan bahan lawak. Gurauan menggunakan perkataan atau perbuatan yang melambangkan keburukan seseorang juga dikira mengumpat.

Rasulullah SAW pernah menegur Aisyah kerana berkata, “Alangkah pendeknya perempuan itu” kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa baginda. Kata-kata sedemikian turut dianggap mengumpat kerana menyebut satu kelemahan sifat orang lain dengan memperkecil-kecilnya.

Masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang sebagai panggilan untuk melawak seperti gelaran botak, buncit dan hitam. Ada juga menyebut perkataan itu dengan alasan panggilan ‘mesra’.

Gelaran singgung perasaan

Memang kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah. Tetapi fikirkan, elokkah kita memanggil seseorang dengan gelaran melambangkan kekurangannya, walaupun dia tidak marah dengan panggilan itu?

Cuba andaikan kita dipanggil dengan gelaran itu. Tentulah kita tidak suka. Jadi, kenapa mesti berlawak dengan menyebabkan orang lain menanggung malu.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudaranya) pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Perbuatan mengumpat memang sukar untuk dihindarkan sepenuhnya. Sebab itu kita perlu berhati-hati apabila bercakap. Sebenarnya, banyak orang tidak sedar perbuatannya dikira mengumpat apabila terlepas cakap atau terlalu ghairah memperkatakan sesuatu mengenai orang lain.

Malah ada mengatakan apa yang diceritakan bukan hendak mengumpat, sedangkan itu sebenarnya mengumpat. Disebabkan mengumpat sudah terlalu biasa dilakukan, maka tidak dirasakan lagi dirasakan sebagai satu perbuatan dosa.

Hakikat inilah perlu direnungkan secara mendalam. Jangan pandang mudah perkara ini. Berusahalah mengelak dosa mengumpat seperti mana kita mengelak daripada melakukan dosa besar lain.

Perbanyakkan berzikir

Mengumpat boleh diumpamakan seperti penyakit dan setiap penyakit ada ubatnya. Ubat bagi mengumpat ialah zikir. Perbanyakkan zikir dapat menghindarkan diri daripada perbuatan mengumpat kerana hati yang bersih akan terhindar melakukan perkara buruk.

Perbuatan mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya menjadi bahan umpatan. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan dirinya.

Sabda Rasulullah SAW: “Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan Dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.” (Riwayat Abu Daud)

Orang mengumpat akan mendapat kerugian besar di akhirat. Pada rekod amalan mereka dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mana mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Tentulah tiada siapa yang mahu muflis di akhirat nanti. Kebaikan yang dilakukan di dunia diharapkan dapat menjadi bekalan di akhirat. Malang sekali akibat perbuatan mengumpat, amalan kebajikan itu menjadi rosak kerana pahalanya diserahkan kepada orang yang diumpat.


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 30/03/2013