April 2nd, 2013

Mewujudkan sikap saling memahami

Tindakan melampau berpunca eksploitasi politik dan krisis sosial

Sejarah kehidupan manusia kadang-kadang menampilkan fakta muram dalam penerapan kehendak Ilahi. Ada pihak mengeksploitasi nama agama untuk menindas sesama manusia, melahirkan keganasan dan sikap radikal. Pada hal, hukum Ilahi itu untuk kesejahteraan dan kebahagiaan manusia.

Namun manusia atas nama hukum Tuhan ketika melaksanakan hukum itu, merosakkan keadilan pada manusia lainnya.

Kita harus mewujudkan sikap saling memahami dalam melaksanakan apa yang kita yakini. Kita tidak dapat memaksa pandangan kita diterima melalui kekerasan, tetapi kita dapat menyampaikan pandangan kita dengan berdebat dan ikhlas.

Penjelasan masuk akal

Penjelasan yang masuk akal akan memberikan kepuasan akal dan kerelaan untuk mempercayai apa yang disampaikannya, sedangkan penjelasan yang dipaksakan akan menimbulkan tekanan dan saling tidak percaya.

Dialog yang penuh dengan saling memahami menjadi tali penghubung persaudaraan manusia.

Tindakan pelampau di kalangan orang Islam bukanlah disebabkan agama itu sendiri, melainkan disebabkan oleh eksploitasi politik atas simbol Islam serta krisis sosial, ekonomi dan politik yang dialami masyarakat Islam.

Krisis itu mendorong lahirnya kelompok Islam tertentu yang cuba mentafsirkan ayat al-Quran yang berkaitan peristiwa keganasan secara literal dan sejarah.

Bagi golongan ini jihad menurutnya, tidak memiliki dasar, baik dalam teks al-Quran mahupun teologi Islam, sebaliknya ditekankan pembawaan konsep jihad disebabkan konflik sosial dan politik.

Kelompok yang lebih militan ini meyakini perbuatan ini direstui Allah SWT dengan merujuk kepada nas al-Quran yang menghalalkan perbuatannya atau mendukung orientasi teologi tidak bertoleransi dan sifat eksklusif mereka sendiri.

Mereka kerap mengungkapkan ayat al-Quran yang menyatakan bahawa: Barang siapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) darinya, dan dia di akhirat akan termasuk orang-orang yang rugi. (Surah Ali Imran ayat 85)

Ayat ini diungkapkan untuk mendukung pendapat bahawa teologi dan amalan Islam adalah satu-satunya jalan menuju keamanan.

Lebih daripada itu, pengakuan keimanan semata-mata atau sekadar melakukan kepatuhan kepada Tuhan secara umum tidaklah cukup untuk mendapatkan keselamatan di akhirat, tetapi seseorang harus tunduk patuh pada hukum Tuhan supaya dapat digolongkan sebagai penganut Islam `sejati'.

Militan tolak semua bentuk kepercayaan

Oleh kerana itu, gerakan militan dengan keras menolak semua bentuk kepercayaan dan amalan yang tidak dapat digolongkan sebagai agama Tuhan yang sejati.

Menyentuh prinsip yang harus digunakan dalam interaksi antara orang Islam dan bukan Islam, doktrin militan menggunakan ayat al-Quran yang memerintahkan kaum Islam untuk memerangi kaum kafir, hingga tidak ada kekacauan dan penindasan, dan hingga agama itu semata-mata untuk Allah. (Surah al-Anfal ayat 39)

Selain itu, untuk membenarkan pandangan yang menyatakan adanya kepimpinan terhadap bukan Islam, pendukung militan ini sering menggunakan perintah al-Quran: Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman pada hari kemudian dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan al-Kitab kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sampai mereka membayar pajak (jizyah) dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk. (Surah At-Taubah ayat 29).

Al-Quran terus-menerus memerintahkan kepada orang Islam untuk menganjurkan kebaikan. Kata yang digunakan untuk `kebaikan' adalah makruf, yang bererti sesuatu yang secara umum dianggap baik.

Gagasan bahawa kaum Muslim harus menjadi penegak keadilan meskipun bertentangan dengan kepentingan peribadi mereka, berdasar pada pandangan bahawa manusia mampu menjadi pelaksana moral yang tinggi.

Pelaksana moral

Melalui pelaksanaan moral, umat Islam diharapkan mencapai tingkat kesedaran moral yang akan mereka bawa pada hubungan mereka dengan Tuhan.

Wacana al-Quran, misalnya dengan mudah dapat mendukung etika perbezaan dan toleransi. Al-Quran tidak hanya mengharapkan tetapi juga menerima kenyataan perbezaan dan keragaman dalam masyarakat manusia:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Al-Quran sendiri sangat jelas melarang setiap bentuk paksaan dalam memeluk Islam. Al-Quran menyatakan bahawa kebenaran dan kesesatan adalah jelas dan nyata sehingga siapa pun yang ingin beriman akan beriman, tetapi tidak ada paksaan dalam agama: Tidak ada paksaan dalam persoalan iman. (Al-Baqarah ayat 256; Yunus ayat 99; Al-Kahfi ayat 29)

Menariknya, tradisi Islam tidak mempunyai pandangan mengenai perang suci. Jihad ertinya hanya berjuang untuk mencari keadilan, dan menurut Nabi Muhammad SAW, jihad paling utama adalah perjuangan yang dilakukan seseorang untuk membersihkan hawa nafsu dari hatinya. Perang suci (al-harb al-Muqaddasah) bukan istilah yang digunakan oleh teks al-Quran.

Dalam teologi Islam, perang tidak pernah suci, baik sah mahupun tidak. Teks al-Quran tidak mengenal gagasan perang tak terbatas dan tidak mempertimbangkan adanya fakta sederhana tentang identiti Islam yang agresif dalam menegakkan keadilannya sendiri.

Lebih daripada itu, meskipun al-Quran menekankan bahawa umat Islam mesti melawan orang yang memerangi mereka, al-Quran juga menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh melampaui batas.


Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir adalah Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Berita Harian Online Agama 01/04/2013

Akhlak mulia asas masyarakat unggul

Kejayaan Rasulullah didik sahabat patut diteladani

Dalam menghadapi arus kemajuan, keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak memandangkan pelbagai masalah sosial timbul selari dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan kemajuan dunia.

Rasulullah mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah, dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam yang begitu unggul sifatnya, beriman, bertakwa serta cenderung dan mencintai kebaikan.

Masyarakat dan bangsa yang memiliki akhlak mulia adalah penggerak ke arah pembinaan tamadun dan kejayaan yang diredhai Allah SWT.

Seperti kata pepatah seorang penyair Mesir, Syauqi Bei: ‘Hanya bangsa itu kekal berakhlak. Bila akhlaknya lenyap, maka lenyap pula bangsa itu’. Kegagalan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Rumi ayat 41 yang bermaksud: ‘Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)’.

Bina masyarakat selepas hijrah

Asas yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mula membina masyarakat Islam selepas peristiwa hijrah ialah membentuk akhlak yang mulia.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Turmuzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang baik’.

Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah dengan mudah meskipun ada cabarannya kerana akhlak yang Baginda tonjolkan menjadi pengajaran yang paling berkesan.

Sejarah membuktikan bahawa keperibadian yang mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya.

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan para sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah dan keperibadiannya adalah dengan menonjolkan akhlak mulia sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan di dalam al-Quran.

Tanpa sebarang kepentingan dunia, Baginda memimpin dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada buntu Baginda sama syurakan. Laba dari inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti, bukan kepentingan diri.

Ia juga adalah kerana Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta ia juga faktor pembinaan sesebuah tamadun, bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.

Hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: ‘Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.’

Pendidikan qudwah hasanah

Salah satu cara yang terbaik untuk membentuk akhlak mulia ialah dengan cara pendidikan qudwah hasanah atau contoh teladan yang baik.

Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga dan sikap suka membantu serta membimbing dan berperanan sebagai contoh antara satu sama lain.

Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran dan tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal dan berakhlak yang sebenar.

Di antara akhlak mulia yang ditunjukkan Rasulullah kepada sahabat ialah bersifat benar dan amanah dalam perkataan dan perbuatan. Sifat ini meliputi semua perbuatan, perkataan dan gerak hati.

Tidak ada sekelumit dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain semata-mata atau melakukan sesuatu perbuatan yang bukan saja mengundang kesusahan dan penderitaan kepada orang lain, tetapi juga kemurkaan Allah SWT yang dijadikan ikutan, malahan itulah sempadan yang dijauhi sahabat dalam meningkatkan keperibadian selari dengan perintah agama.

Selain dari itu, sabar dalam semua keadaan adalah perkara yang paling mudah, tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah.

Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah sehingga dikagumi oleh sahabat dan musuh yang bersama Baginda ketika hayatnya, bahkan tidak tergambar oleh kita hari ini betapa kesabaran Rasulullah sebenarnya yang menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda dan akhirnya dapat dinikmati oleh seluruh Muslim pada hari ini.

Menghadapi fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk tentulah sukar ditepis, apatah lagi fitnah terhadap Rasulullah, tetapi, daripada api yang asalnya sukar dihidupkan, fitnah akhirnya menjadi bara yang tidak padam-padam.

Nik Salida Suhaila Nik Saleh ialah Penyelaras Unit Penerbitan, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Berita Harian Online Agama 01/04/2013