April 5th, 2013

Ciri pemimpin adil, berwibawa

Miliki sikap belas kasihan, penyayang dan prihatin kebajikan rakyat bukti ketinggian iman

Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan menjadi kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda.

Menurut pengkaji sains politik, kepemimpinan yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dengan demikian, sebahagian besar tanggungjawab pemimpin untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat.

Merasai denyut hati rakyat

Pemimpin juga mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat terutama rakyat di luar bandar sebahagian besarnya terdiri daripada petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah yang mengharapkan pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka.

Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti dicontohi Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubat, ayat 128)

Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Nabi Muhammad SAW adalah contoh pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia.

Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin.

Ciri pemimpin wibawa

Terdapat beberapa ciri pemimpin berwibawa antaranya, seorang yang berupaya menjaga agama Islam dan mampu menegakkan syariat Allah SWT, bukan menjadikan agama sebagai istizha atau alat untuk dipermainkan seperti sanggup menggadaikan agama untuk mendapatkan kuasa dan menjatuhkan lawannya.

Firman Allah SWT: “Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jugalah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj, ayat 41)

Kedua, seseorang yang mempunyai al-Quwwah iaitu kekuatan sama ada dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental. Al-Quran telah menjelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib memintanya memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah.

Inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut, bukannya hanya pada kehebatan pidatonya ataupun percakapannya saja.

Ketiga, seseorang yang memiliki sifat takwa, kerana ciri inilah yang menjamin pemimpin berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Keempat, pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada di bawah pimpinannya.

Adil bukan sekadar kata-kata retorik, tetapi dibuktikan dengan perbuatan dan amalan. Sifat ini mesti dimiliki pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepemimpinannya dihormati, disegani dan disayangi.

Kelima, pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sabda Rasulullah SAW: “ Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Keenam, pemimpin hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak bersalah, sekalipun membabitkan ahli keluarga, kawan atau lawan.

Ketujuh, pemimpin hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya, menjadi teladan baik dalam semua tindak tanduknya dan bebas daripada kerosakan moral. Kelapan, pemimpin hendaklah menunaikan janji kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai, bukannya berdusta, berjanji palsu dan menghampakan orang bawahannya.

Adakah pemimpin yang bakal kita pilih memiliki ciri-ciri dinyatakan atau sebaliknya? Sedarlah, jika salah percaturan tergadailah agama dan negara dan kita yang bertanggungjawab.

Diharamkan syurga jika menipu rakyat

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah menyeru umat Islam: “Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku.”


Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berita Harian Online Agama 05/04/2013

Sedekah eratkan persaudaraan

Ikhlas infak harta kepada golongan miskin suatu pelaburan akhirat

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.” (Surah Fatir, ayat 29)

Menginfakkan harta di jalan Allah SWT adalah pendekatan al-Quran bagi memanfaatkan harta dan mendidik hati orang Mukmin supaya membina kehidupan atas perasaan tanggungjawab kepada orang lain. Allah SWT mengingatkan apa yang diinfakkan itu bukan milik peribadi kita sebenarnya tetapi harta adalah rezeki yang dikurniakan Allah SWT untuk sebahagian daripadanya dibahagikan kepada orang lain.

Buang sifat kikir

Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya ‘Peranan Nilai dan Akhlak dalam Ekonomi Islam’, menyebut salah satu nilai rabbani paling utama dalam Islam ialah penetapan bahawa manusia bukannya pemilik harta yang hakiki tetapi hanya diberi kuasa untuk memanfaatkan harta Allah.

Mereka menginfakkan hartanya ini disifatkan oleh Allah SWT sebagai orang yang mengharapkan perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Mereka menyedari rahsia keuntungan sebenar ialah apabila dapat melakukan pengorbanan dengan membuang sifat kikir dan kedekut yang membelit jiwa lalu membelanjakan harta mereka sama ada secara sulit atau terang-terangan.

Sudah tentu orang yang bersedekah secara sulit akan membebaskan diri daripada perasaan riak serta meninggi diri dan dalam masa sama dapat menjaga air muka penerima.

Manakala sumbangan yang diberikan secara terang-terangan adalah sebagai peringatan kepada yang mampu supaya turut menyumbang selain sebagai pendinding daripada tohmahan manusia bahawa dia seorang bakhil yang tidak menghiraukan kesusahan orang lain.

Golongan ikhlas membantu

Antara tujuh golongan yang mendapat naungan arasy Allah di akhirat ialah orang yang ikhlas membantu orang lain.

Sabda Rasulullah SAW: “Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungan-Nya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu: Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang yang saling cinta-mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu dia menjawab, “Aku takut kepada Allah”, seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya, seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Sedekah secara sembunyi

Orang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa diberi oleh tangan kanannya ialah gambaran mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai yang dapat menyembunyikan kebaikan dilakukannya.

Pasti akan ada juga perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapat pujian serta sanjungan daripada orang ramai atau sekurang-kurangnya ada orang mengetahui kebaikan yang dilakukannya itu.

Ramai juga rasa tidak puas jika pemberiannya tidak diketahui orang apatah lagi sekiranya sedekah itu bernilai tinggi. Walau bagaimanapun, sedekah kecil dengan hati yang ikhlas akan diterima Allah manakala Allah menolak sedekah yang banyak tetapi dipenuhi rasa sombong dan riak.

Ulama berpendapat maksud pemberian yang harus disembunyikan ialah pemberian sunat manakala yang dimaksudkan pemberian perlu dihebahkan adalah pemberian wajib iaitu zakat kerana menzahirkan ibadah wajib adalah dituntut seperti solat wajib serta berzakat.

Di dalam melakukan ibadah wajib, berzakat lebih utama untuk dizahirkan berbanding solat kerana lebih mudah untuk bersolat dalam waktunya berbanding berzakat yang dihimpit dengan perasaan bakhil untuk memberi.

Ketika Allah SWT membicarakan sifat orang yang bertakwa, Allah SWT menyatakan salah satu daripada sifat itu ialah orang yang menginfakkan harta di jalan-Nya.

Firman Allah SWT: “Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Surah Az-Zariyat, ayat 19)

Apabila kita menyumbang sudah tentu kita akan sumbangkan kepada golongan yang memerlukan dan tidak berkeupayaan seperti fakir miskin yang mana dengan sumbangan itu golongan fakir miskin ini akan merasakan mereka masih diberi perhatian oleh orang berada.

Semangat persaudaraan

Pastinya tiada irihati di hati si fakir di samping akan ada doa yang dipohon oleh mereka untuk golongan berada. Tambahan lagi, pemberian sedekah dalam konteks Islam adalah manifestasi semangat persaudaraan yang diibaratkan sebagai sistem takaful untuk membantu orang memerlukan.

Kesimpulannya, setiap yang terbabit dengan perniagaan tidak mahu rugi. Allah mengajak kita supaya membina perniagaan dengan Allah yang pasti kita tidak akan rugi selama-lamanya iaitu menginfakkan harta sama ada dalam bentuk tuntutan wajib atau yang sunat.


Ahmad Shukri Yusoff ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources Berita Harian Online Agama 05/04/2013