April 6th, 2013

Muhajadah diri, imarah masjid kunci perangi nafsu

Allah SWT berfirman: “Orang yang berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka itu pada jalan Kami, dan sesungguhnya Allah berserta orang yang membuat kebaikan.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Berjuang yang dimaksudkan adalah memerangi hawa nafsu mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai keredaan Allah SWT. Tegasnya, orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya sendiri.

Umumnya, tabiat manusia tidak menghiraukan urusan kebajikan, tetapi mengutamakan hal tidak baik dan tidak berfaedah. Mujahadah melawan hawa nafsu bererti berperang dengan diri kerana apa yang disukai hawa nafsu selari dengan naluri kesukaan diri.

Hanya dengan ilmu tepat saja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau sebaliknya. Namun, pengetahuan buruk atau baiknya sesuatu perkara belum cukup untuk kita melaksanakan atau meninggalkan. Oleh itu, kita perlu terus bermujahadah tanpa berputus asa.

Memakmurkan rumah Allah SWT merangkumi membangun dan mendirikan masjid, mengisi dan menghidupkannya dengan ibadah (terutama solat fardu berjemaah), majlis ilmu dan ketaatan kepada Allah SWT, merancang dan berbincang bagi kebajikan umat Islam.

Menghormati dan memeliharanya dengan cara membersihkan daripada kotoran serta memberi bantuan kewangan untuk aktiviti masjid. Ini kerana semua bentuk ketaatan dilakukan dalam masjid atau terkait dengan masjid, termasuk bentuk memakmurkannya.

Sabda Baginda SAW: “Jika kamu melihat seseorang rajin mendatangi masjid, maka persaksikanlah ia sebagai orang beriman.” (Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan lainnya)

Tangguh azab

Malaikat sentiasa mendoakan mereka yang memakmurkan masjid sama ada bersolat, berzikir, beriktikaf, membaca al-Quran dan mengadakan majlis ilmu. Ini antara sebab penangguhan azab terhadap sesuatu umat.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang di antara kalian yang duduk menunggu solat, selama dia berada dalam keadaan suci, kecuali malaikat mendoakannya: Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, sayangilah dia.” (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Kehidupan seorang mukmin sentiasa dihiasi dengan akhlak Islam, lidahnya sentiasa basah berzikir dan memuji kebesaran Allah SWT. Hati dan jiwanya sentiasa reda dengan takdir Allah SWT dan bersangka baik dengan-Nya.

Ilmu sebenar dapat menjauhi pengaruh serta fahaman orang yang sering memprotes majlis ilmu dan zikir dengan alasan ia tidak dilakukan pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Kita hendaklah menjauhi fahaman menggunakan logik akal semata-mata dalam urusan agama.


Berita Harian Online Agama 06/04/2013

Amal zikir, hadir majlis ilmu reda tekanan jiwa

Tekanan perasaan adalah masalah yang biasa dihadapi dan ia memberi kesan kepada personaliti, reaksi tubuh serta mental seseorang. Persekitaran pekerjaan atau kehidupan memberi desakan serta tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

Ramai mengalami tekanan jiwa dan mental jika tidak diurus dengan sempurna. Tekanan juga mengundang sakit jiwa dan gangguan pemikiran. Hanya mereka yang beriman dapat menanganinya secara tenang serta sabar.

Tidak dinafikan segala-galanya sudah tertulis sejak azali seperti dikhabarkan Baginda SAW. Namun, Allah SWT sebagai perancang dan penyusun, semestinya berkuasa mengurang atau menghilangkan tekanan dirasai akibat ujian dan bencana mengikut kehendak-Nya.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, katanya: “Aku ada mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah memerintahkan supaya ditulis segala qadar takdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan tempoh masa yang amat lanjut.” (Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Islam meletakkan usaha dan ikhtiar sebagai jalan terakhir sebelum diserahkan segala urusan kepada Maha Pencipta. Justeru, penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT hendaklah diiringi doa dan bertawakal.

Namun, masih ada masyarakat Islam yang meletakkan sesuatu urusan semata-mata kepada Allah SWT dengan menyerahkan kepada takdir dengan alasan bahawa Allah yang menentukan segala-galanya, manusia menerima segala ketentuan itu dengan reda.

Kesan daripada fahaman ini, mereka yang diuji suasana genting dan mencabar akan meletakkan kesalahan kepada Allah SWT serta mengeluh terhadap nasib diterimanya. Walau bagaimanapun, Islam memberi ruang berusaha menghindarkan serta mengurangkan tekanan daripada ujian itu.

Saidina Umar Al-Khattab pernah melafazkan doa ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau mentakdirkan aku tergolong dalam golongan orang bahagia, tetaplah aku dalam keadaan aku.

Sebaliknya jika Engkau tetapkan aku dalam golongan orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Ibnul Qayyim meletakkan beberapa perkara sebagai alternatif apabila kita ditimpa ujian dan bencana. Antaranya, meletakkan agama dan petunjuk Allah SWT serta ikhlas beribadah sebagai benteng supaya diringankan musibah dan ujian itu.

Firman Allah SWT: “Dengan kitab itulah (al-Quran) Allah menunjukkan orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, dan dengan kitab itu juga Allah mengeluarkan orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya, dan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Surah al-Maidah, ayat 16)

Mencari ilmu sebenar adalah pedoman untuk mencari kebenaran dan keyakinan diri. Pencarian ini hendaklah melalui cara yang betul dengan menghadiri majlis ilmu dan tazkirah yang diadakan di masjid, surau atau di mana saja.

Mendengar dan mempelajari ilmu daripada guru yang arif dan muktabar pula menjadikan segala-galanya akan terkesan dengan hasil amalan dipraktikkan melalui ilmu yang dipelajari.

Dorong beramal

Imam Asy-Syatiby menyatakan: “Ilmu muktabar menurut syarak adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu itu, yang membawa pemiliknya mematuhi arahan Allah SWT dalam semua keadaan.” (Al Muwafaqot)

Bertaubat daripada dosa dan kesalahan selaku hamba yang tidak sunyi daripada kesilapan. Tiada amalan lebih besar daripada memohon keampunan daripada segala noda dan dosa kerana satu dosa dilakukan akan membentuk satu titik hitam pada hati kita.

Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak, maka titik hitam itu akan menjadi banyak dan menjadi hitam pekat. Akhirnya menjadi hijab daripada Allah SWT dan jauh daripada petunjuk.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang melakukan dosa lalu meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar daripada kesempitan dan menjadikan keringanan baginya daripada setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya daripada punca yang tidak disangka-sangka.”

Amalkan zikirullah dan hadiri majlis ibadat kerana ia sifat mukmin yang sentiasa membasahkan lidahnya dengan mengingati Allah SWT.

Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Berita Harian Online Agama 06/04/2013

Adab mempelajari ilmu

SELEPAS dibincangkan mukadimah berkenaan dengan tempat yang dicari, maka di sini akan diteruskan lagi berkaitan dengan apa yang didapati oleh Nabi Musa AS yang akhirnya membuahkan hikmah dan ilmu.

Pada ayat 65 ini Ibnu Kathir berkata: Kemudian al-Bukhari juga meriwayatkan hal yang sama, daripada Qutaibah, daripada Sufyan bin ‘Uyainah dengan sanadnya. Di dalamnya disebutkan: “Kemudian Musa AS berangkat dan bersamanya seorang pemuda yang bernama Yusya’ bin Nun, ikut juga dibawa seekor ikan hingga akhirnya keduanya sampai di sebuah batu karang, lalu mereka turun di sana. Dan selanjutnya Musa merebahkan diri dan kemudian tidur."

Dalam hadis yang lain, Sufyan menceritakan daripada ‘Amr, ia berkata: “Dan pada dasar batu itu terdapat mata air yang diberi nama mata air kehidupan, yang airnya tidak menimpa sesuatu melainkan sesuatu itu akan hidup. Lalu mata air itu terpercik ke ikan tersebut, lalu ikan itu bergerak dan melompat daripada keranjang ke laut. Setelah bangun, Musa berkat kepada muridnya: “Bawalah ke mari makanan kita."

Sufyan menceritakan, lalu ada seekor burung yang hinggap di bibir perahu dan kemudian menenggelamkan paruhnya ke laut. Maka Khidhir berkat kepada Musa: “Apakah ertinya ilmuku dan ilmumu dan ilmu seluruh makhluk ini dibandingkan dengan ilmu Allah SWT melainkan hanya seperti air yang diambil oleh paruh burung tersebut." Dan kemudian ia menyebutkan hadis secara lengkap.

Sayid Qutub berkata: Di sini jelaslah bahawa pertemuan itu merupakan rahsia Musa sahaja bersama Allah SWT. Ia tidak diketahui oleh teman pemudanya sehingga kedua-duanya bertemu dengan hamba yang soleh itu. Oleh sebab itulah di dalam adegan-adegan kisah yang berikut ditunjukkan Musa dan hamba yang soleh itu sahaja.

Pada ayat 66 ini pula Ibnu Kathir berkata: Allah SWT menceritakan tentang ucapan Musa AS kepada orang alim, yakni Khidhir yang secara khusus diberi ilmu oleh Allah SWT yang tidak diberikan kepada Musa, sebagaimana Dia juga telah menganugerahkan ilmu kepada Musa yang tidak Dia berikan kepada Khidhir.

Al-Maraghi berkata: Nabi Musa AS dan muridnya kembali semula ke batu besar itu dan menemui Nabi Khidhir AS yang memakai baju putih. Kemudian Nabi Musa AS memberi salam kepadanya dan baginda AS bertanya tentang kedamaian negeri tersebut.

Nabi Musa memperkenalkan dirinya, “Aku ini Musa". “Musa daripada Bani Israel?" tanya orang itu. “Ya," sabda Nabi Musa. “Bolehkah aku mengikut kamu supaya kamu mengajarkan aku sesuatu daripada apa yang telah diajarkan Allah SWT kepadamu untuk aku jadikan pedoman dalam urusanku ini, iaitu ilmu yang bermanfaat dan amal soleh?"

Sayid Qutub berkata: Dengan adab sopan yang layak dengan seorang nabi inilah yang beliau bertanya dengan cara yang tidak pasti dan memohon mendapatkan pedoman ilmu ghaib daripada hamba yang soleh dan alim itu, tetapi ilmu orang ini bukan dari jenis ilmu pengetahuan manusia yang jelas punca-punca dan dekat natijah-natijahnya, malah ia merupakan sebahagian daripada ilmu pengetahuan laduni mengenai urusan-urusan ghaib yang di perlihatkan Allah SWT kepadanya sekadar yang dikehendaki-Nya.

Oleh sebab itulah Musa tidak berupaya menahan kesabaran terhadap tindakan-tindakan lelaki ini walaupun beliau seorang nabi dan rasul, kerana tindakan-tindakan ini pada lahirnya kadang-kadang bercanggah dengan logik akal dan peraturan-peraturan yang zahir. Oleh itu, hikmat-hikmat yang ghaib di sebaliknya pastilah difahami. Jika tidak, tindakan-tindakan itu akan tetap menjadi perkara aneh yang menimbulkan bantahan dan kecaman dan justeru inilah hamba yang soleh yang dikurniakan ilmu pengetahuan laduni itu menaruh kebimbangan bahawa Musa tidak akan berupaya menahan kesabarannya bersahabat dengan ia dan melihat tindakan-tindakannya.

Manakala pada ayat 67, Ibnu Kathir berkata: Pada saat itu Nabi Khidhir berkata kepada Musa: Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. Maksudnya, sesungguhnya engkau tidak menemaniku sebab engkau akan menyaksikan berbagai tindakanku yang bertentangan dengan syariatmu kerana aku bertindak berdasarkan ilmu yang diajarkan Allah SWT kepadaku dan tidak Dia ajarkan kepadamu. Engkau juga mempunyai ilmu yang diajarkan Allah SWT kepadamu tetapi tidak Dia ajarkan kepadaku. Dengan demikian, masing-masing kita dibebani berbagai urusan daripada-Nya yang saling berbeza dan engkau tidak akan sanggup menemaniku.

Al-Maraghi berkata: Nabi Khidhir pun menjawab: “Hai Musa, sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku, kerana aku ini mempunyai ilmu daripada Allah SWT yang telah diajarkan kepadaku yang tidak kamu ketahui, dan kamu pun mempunyai ilmu daripada Allah SWT yang telah Dia ajarkan kepadamu, yang tidak aku ketahui." Hal itu kemudian dikuatkan dengan menunjukkan alasan kenapa Nabi Musa tidak akan mampu bersabar, sabda Nabi Khidhir.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/04/2013

Akibat kedekut

Sememangnya tidak dapat dinafikan, sentiasa wujud di celah hati manusia itu satu penyakit yang bernama kedekut. Hakikatnya juga, kedekut adalah salah satu perangai manusia yang berkaitan dengan harta yang telah menghinggapi manusia sejak dari zaman dahulu kala.

Allah SWT berfirman yang maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang kafir): Jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu (segala macam nikmat kehidupan) tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut. (al-Isra’: 100)

Lalu, apabila diuji dengan banyaknya harta, maka ada manusia yang tipis imannya akan menjadi manusia yang kedekut. Allah SWT menjelaskan lagi perihal ini di dalam al-Quran yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu menyebabkan kamu lalai daripada mengingati Alah, dan sesiapa yang berbuat seperti itu, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (al-Maidah: 9)

Oleh itu, Islam memang mengakui bahawa sifat kedekut ini ada dalam diri manusia. Maka, awal-awal lagi Allah SWT telah memberikan pesanan, agar manusia tidak menjadi kedekut dalam kehidupannya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka, bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka, bahkan ia adalah buruk bagi mereka. (Kelak) Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat. (ali Imran: 180)

Walau bagaimanapun, perangai kedekut ataupun bakhil ini masih mendominasi diri kebanyakan manusia, sehingga menyebabkan mereka merasa begitu sayang untuk menafkahkan harta kekayaan ke jalan-jalan kebajikan yang diredai Allah SWT.

Misalnya, apabila mahu memberikan sedekah maka mereka memilih wang yang kecil sahaja jumlahnya. Mereka merasa tidak malu kepada Allah SWT, kerana diberikan rezeki yang banyak, mampu membayar saluran televisyen berbayar, bil telefon dan pelbagai lagi sehingga ratusan ringgit sebulan misalnya. namun untuk memberi sedekah RM10 sebulan pun terlalu berkira-kira.

Rasulullah SAW ada mengingatkan kita di dalam sabda-Nya: “Jauhkanlah diri kamu daripada kebakhilan, kerana sifat bakhil itulah yang membinasakan orang-orang terdahulu. Sifat bakhil telah menyuruh mereka berbuat zalim, maka mereka melakukan perbuatan zalim. Sifat bakhil (juga) telah menyuruh mereka memutuskan tali kekeluargaan, maka mereka memutuskan tali kekeluargaan." (riwayat Abu Daud)

Apakah tidak zalim namanya kerana sanggup membelanjakan wang dan harta ke jalan yang sia-sia, berhibur siang dan malam, makan dan minum secara berlebihan, membeli pakaian mahal tanpa keperluan dan sebagainya lagi, sedangkan pada masa yang sama masih ada saudara-maranya, jiran tetangga malah kaum kerabatnya yang mungkin memerlukan bantuan.

Bukankah semua ini menzalimi dirinya kerana akan diheret ke neraka kerana melakukan pembaziran dan pada masa yang sama menzalimi orang lain yang memerlukan? Apakah tidak mungkin akan tercetusnya perasaan marah, benci dan sakit hati golongan ini andai mengetahui, wang si kaya dihamburkan tanpa sedikit pun diagihkan kepada mereka yang sering kelaparan dan kesusahan?

Kesimpulannya, perangai kedekut ini adalah penyakit hati yang amat merosakkan manusia, sama ada di dunia mahu pun akhirat. Malah, jika dikaji dengan lebih mendalam, masih banyak lagi kesan dan akibat buruk sifat kedekut ini ke atas diri manusia. Namun, untuk ruangan ini, rasanya apa yang dipaparkan di atas sudah memadai. Apa yang lebih utama, sudahkah kita bersedia untuk mengikis sifat kedekut dan belajar menjadi lebih pemurah dari sehari ke sehari? Wallahua’lam.


Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang persoalan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau untuk info lanjut boleh layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my/. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/04/2013