April 15th, 2013

Kawal nafsu makan, jaga mulut

Islam galak bersederhana dalam perbuatan elak gejala buruk

Islam menitikberatkan gaya kehidupan yang bersederhana dalam segenap lapangan. Namun, demikian disebabkan keghairahan kita mengejar duniawi amalan bersederhana semakin hambar sebaliknya tingkah laku melampau dan berlebihan mulai mendominasi diri.

Dua perkara penting perlu diamalkan secara berhemah dan bersederhana bagi memperoleh gaya hidup sihat adalah mengamalkan kesederhanaan dalam aspek makan minum dan menjaga kata-kata.

Apabila sebut saja soal makan minum ini sesetengah kalangan kita menganggap ia urusan peribadi dan tidak perlu sangat dibimbangkan.

Penuhi kehendak nafsu

Semasa kita tengah berselera, apa saja hidangan pasti dimuatkan ke mulut tanpa mengira sama ada ia satu keperluan atau semata-mata memenuhi kehendak nafsu.

Allah menjelaskan bahawa makan dan minum adalah satu keperluan asas manusia, namun ada panduan yang disampaikan oleh Allah supaya kita tidak berlebihan apatah lagi jika berlaku pemborosan dalam hal makan minum ini.

Inilah peringatan Allah yang seharus kita sentiasa ingatkan tatkala berhadapan dengan hidangan di meja makan yang antara lain pesan Allah, ‘ Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan ‘ ( Maksud Surah Al-Araf ayat 30 )

Kemudian sekali lagi Allah menasihatkan dengan peringatan Nya, “Makanlah antara rezeki yang telah Kami berikan kepadamu dan janganlah melampaui batas padanya yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Dan barang siapa ditimpa oleh kemurkaan-Ku, maka sesungguhnya binasalah dia.” (Surah Thaha, ayat 81)

Sebenarnya dua peringatan Allah itu sudah acap kali kita abaikan dan nampaknya impak buruk akibat kelalaian itu semakin ketara apabila pelbagai penyakit seperti obesiti melampau, diabetes, darah tinggi dan sebagainya sudah menjalar ke segenap lapisan masyarakat.

Amal budaya makan betul

Rasulullah SAW sudah banyak kali menasihatkan supaya berwaspada dan sentiasa mengamalkan budaya makan yang betul demi kesihatan tubuh badan.

Antara pesanan Baginda: “Tidak ada sesuatu yang dipenuhkan oleh anak-anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat menegakkan tubuhnya. Walaupun mahu dipenuhkan, satu pertiga bagi makanannya, satu pertiga bagi minumannya dan satu pertiga lagi bagi pernafasannya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah mendidik kita supaya mengamalkan gaya kesederhanaan dalam makan untuk memberikan tahap kesihatan tubuh badan berkualiti tinggi. Sahabat Rasulullah, Saidina Umar al-Khattab prihatin dalam aspek makan minum.

Nasihat Umar: “Jauhilah sikap rakus dalam makan kerana perbuatan itu merosakkan tubuh, mengundang penyakit dan membuatkan kita malas mengerjakan solat. Kamu perlu bersikap sederhana kerana ini adalah lebih baik bagi tubuh kamu. Jauhkan diri daripada sikap berlebihan kerana Allah tidak menyukai orang yang alim tetapi gendut.”

Pesanan Umar ini kaya dengan hikmah ilmu sains kesihatan dan beliau juga mensabitkan akibat berlebihan makan akan melonggarkan semangat untuk beribadah kepada Allah. Justeru, ambil dan hayatilah pesanan itu demi kesejahteraan dan kesihatan diri kita.

Perkara kedua yang perlu dihindari daripada berlebihan ialah dalam aspek turut kata. Ada sesetengah kita suka sangat memperkatakan sesuatu hal dan suka dianggap sebagai seorang fasih dalam berbicara.

Jika apa yang diperkatakan itu menjurus ke arah manfaat memanglah sangat baik dan berpahala. Tetapi yang biasa berlaku adalah sebaliknya.

Banyak cakap, banyak salah

Abu Hurairah berpesan: “Tidak ada kebaikan di dalam berbicara yang berlebihan.” Kenyataan itu disokong oleh Umar al-Khattab yang berpesan: “Orang yang banyak cakap, maka banyaklah pula salahnya.”

Dalam asyik bercakap, mungkin tanpa disedari atau sememang menjadi tabiat, kita sering memperkatakan sesuatu yang tidak tepat faktanya. Ada juga yang sering memperkatakan hal orang lain dengan menceritakan keaiban seolah-olah tema itu menjadi suatu topik wajib.

Imam al-Ghazali ada menegaskan, bahaya kata-kata atau lisan menjadi racun pertama hati yang akan menyebabkan manusia semakin jauh daripada cahaya hidayah Allah.

Akibat tidak bijak mengelolakan lidah, manusia akan berkata apa saja tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain. Oleh itu, jangan menurut kehendak lidah yang selalu mengajak kita berbicara sesedap rasa dan sesuka hati tanpa memikirkan impak buruk bakal menanti di akhirat kelak.


Wan Mohd Ruzlan Wan Omar Berita Harian Online Agama 15/04/2013

Buang ego elak perpecahan

Utamakan sikap bertolak ansur untuk hidup aman sejahtera

Demam pilihan raya sudah melanda dan pelbagai ragam serta kerenah dapat dilihat. Banyak juga berita menarik menghiasi dada akhbar serta media elektronik dan tidak ketinggalan media alternatif.

Namun, di sebalik keghairahan kita untuk melaksanakan hak serta tanggungjawab memilih barisan pemimpin yang bakal menerajui pentadbiran negara, ramai seakan lupa diri malah terbawa dengan ego masing-masing.

Info: * Ayat untuk penyakit artritis (sakit sendi) dan chromatolysis (masalah tulang), baca surah al-Ahqaf, ayat 21-28. Amalkan membaca surah dan banyak berdoa kepada Allah semoga disembuhkan daripada penyakit itu.

Persepsi kehebatan diri

Persepsi terhadap kehebatan diri yang mempengaruhi cara kita berfikir itu sebenarnya banyak mendatangkan kemudaratan seandainya tidak dikawal sebaiknya. Ini kerana jika tidak disebabkan perasaan ego itu, kita tidak akan melakukan perkara tidak sepatutnya.

Jika tidak disebabkan oleh rasa ego bahawa ‘aku lebih besar atau aku lebih hebat’, tidak akan ada laporan mengenai pergaduhan disebabkan berebut kawasan untuk meletakkan bendera parti masing-masing.

Semuanya itu berpunca daripada perasaan ego. Apa salahnya bertolak ansur dan saling menghormati. Tiada salahnya jika semua bendera parti politik diletakkan di kawasan yang sama. Daripada situ sudah terlihat semangat setia kawan, malah nampak prinsip perpaduan lebih nyata.
Ego boleh sebabkan perpecahan

Ego bukan saja dalam berpolitik tetapi ego boleh menjejaskan hidup semua orang jika perasaan semula jadi itu tidak dikawal dengan baik. Ego ini membabitkan emosi dan emosi perlu dikawal dengan fikiran yang rasional.

Keegoan boleh menyebabkan perpecahan dalam keluarga, organisasi dan negara. Apabila ibu bapa terlalu mementingkan status sebagai pemimpin keluarga sementara anak-anak pula berkehendakkan hak mereka dihormati, suasana rumah tangga menjadi haru biru.

Begitu juga ketua jabatan yang terlalu mementingkan hasil kerja tetapi enggan bertolak ansur dengan keperluan kakitangan, suasana di pejabat tidak akan harmoni. Ketua dengan egonya dan anak buah pun dengan ego mereka.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman. Jangan suatu kaum (lelaki) mencemuh kaum lelaki yang lain, kerana boleh jadi mereka (yang dicemuh) lebih baik berbanding mereka (yang mencemuh), dan jangan pula perempuan-perempuan (mencemuh) perempuan lain (kerana) boleh jadi perempuan (yang dicemuh) lebih baik berbanding perempuan (yang mencemuh). Janganlah kamu saling mencela antara satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) selepas beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat, mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Sifat negatif ini tidak akan membantu sebaliknya ia membuka ruang untuk iblis terus menghanyutkan kita dengan kata-kata manisnya supaya kita terus membenci pihak lain. Jika ego tiada, umat Islam pasti akan bersatu hati kerana masing-masing saling menyenangi satu sama lain.

Buang prasangka

Alangkah indahnya dunia tanpa perasaan ego. Semua boleh menerima kelebihan serta kekurangan dengan hati terbuka tanpa prasangka. Malangnya, pengharapan itu agak mustahil jika hati tidak dirawat dengan kaedah yang betul.

Ibu bapa bergaduh menegakkan kebenaran masing-masing hingga terlupa hak anak. Sementara anak pula tertekan dengan sengketa ibu bapa mengambil jalan mudah melakukan perkara dilarang tetapi meletakkan kesalahan daripada tindakan itu terhadap ibu bapa.

Semua itu apabila diselidik, berpunca daripada ego. Justeru, bagi mengelak akibat yang lebih buruk, sebaiknya kita belajar bagaimana hendak mengawal persepsi dalam diri yang mengatakan bahawa kitalah yang paling bagus.

Caranya, sentiasa bermuhasabah diri dan banyak mendalami ilmu. Sahabat Rasulullah SAW hingga akhir hayat mereka tidak pernah merasa jemu belajar ilmu kerana mereka sedar hanya ilmu yang akan menunjuk arah ke jalan yang benar.

Perbanyakkan membaca al-Quran dan menunaikan solat malam kerana kedua-dua itu adalah benteng yang akan menyelamatkan kita daripada sifat mazmumah termasuk perasaan ego daripada menguasai diri.

Iyad bin Himar melaporkan, “Rasulullah menerangkan: Allah memberi wahyu kepada saya supaya memerintahkan saudara bersifat merendah diri, sehingga seorang individu tidak lagi membanggakan dirinya kepada orang lain, dan tidak lagi menzalimi orang lain.” (Direkodkan oleh Muslim)


Ashraf Muslim Berita Harian Online Agama 15/04/2013