April 17th, 2013

Sifat Muhammad dalam Taurat, Injil

FIRMAN Allah SWT dalam hadis Qudsi bermaksud: "Allah telah memberi wahyu kepada Musa, Nabi Bani Israel, bahawa barang siapa bertemu dengan Aku, pada hal ia ingkar kepada Ahmad (Nabi Muhammad), nescaya Aku masukkan dirinya ke neraka. Musa berkata: Siapakah Ahmad itu, wahai Tuhanku? Allah berfirman: Tidak pernah Aku ciptakan satu ciptaan yang lebih mulia menurut pandangan-Ku daripadanya.

Telah Ku tuliskan namanya bersama nama-Ku di Arasy sebelum Aku ciptakan tujuh lapis langit dan bumi. Sesungguhnya syurga itu terlarang bagi semua makhluk-Ku, sebelum ia dan umatnya terlebih dahulu memasukinya. Musa berkata: Siapakah umatnya itu?

Firman-Nya: Mereka yang banyak memuji Allah sambil naik, sambil turun dan pada setiap keadaan. Mereka mengikat pinggang (menutup aurat) dan berwuduk membersihkan anggota badan. Mereka berpuasa siang hari, bersepi diri dan berzikir sepanjang malam.

Aku terima amal yang dikerjakan dengan ikhlas, meskipun sedikit. Akan Ku masukkan mereka dalam syurga kerana kesaksiannya tiada Tuhan yang sebenar disembah melainkan Allah. Musa berkata lagi: Jadikanlah saya nabi umat itu.

Allah berfirman: Nabi umat itu daripada mereka sendiri. Musa berkata: Masukkanlah saya dalam golongan umat nabi itu. Lalu Allah menerangkan: Engkau lahir mendahului nabi dan umat itu, sedangkan dia lahir kemudian. Aku berjanji kepadamu untuk mengumpulkan engkau bersamanya di Darul Jalal (syurga)." (riwayat Abu Nu'iam).

Perhatikan betapa kuatnya keinginan Nabi Musa AS untuk meminta dimasukkannya ke dalam lingkungan umat Nabi Muhammad SAW setelah mengetahui bahawa ia tidak dapat dijadikan rasul-Nya, kerana rasul-Nya harus daripada keturunan Ismail, daripada golongan bangsa Arab sedangkan dia daripada golongan dan keturunan Yaakob, daripada golongan Bani Israel.

Adapun sifat-sifat umat Nabi Muhammad SAW itu sebahagiannya seperti berikut

* Suka memuji Tuhannya, walaupun di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan. Lisan mereka selalu basah kerana berzikir kepada Tuhan serta menghormati kehadiran Allah di dalam hati mereka.

* Suka menjaga diri dengan memelihara kehormatan, dimulai daripada suka menutup aurat, berkain, berpakaian dan sebagainya sesuai dengan tuntutan syariat Islam.

* Suka berwuduk, bersuci daripada hadas kecil dan diiringi dengan melakukan sembahyang serta menjaga diri daripada kekotoran maknawi. Nur Ilahi sentiasa di wajahnya sehingga mukanya selalu kelihatan berseri-seri. Nur Ilahi itu bersinar terus sehingga nyata kelihatan pada anggota wuduknya di hari kiamat.

* Suka berpuasa pada siang hari, terutama pada bulan Ramadan dan hari-hari yang tertentu oleh agamanya, menahan hawa nafsu, menjaga kesihatan badan rohani dan jasmani, sering mengingat kehidupan fakir miskin, sering mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan diri sendiri dan mengetahui bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat segalanya.

* Suka beribadat pada malam hari, jauh daripada riak dan benar-benar ikhlas pada Tuhannya, suka munajat dan menyatakan hasrat langsung ke hadrat Ilahi tanpa perantaraan dan sebarang wasilah yang menghalanginya.

Mengenai sifat-sifat Nabi Muhammad SAW seperti digambarkan di dalam riwayat at-Tabarani dan az-Zubair bin Bakar bermaksud: "Sifatnya bersesuaian dengan erti namanya Ahmad (yang terpuji) lagi tawakal. Tempat lahirnya Mekah al-Mukarramah dan tempat hijrahnya iaitu Tayybah (Madinah al-Munawwarah).

Beliau tidak keras dan kasar peribadinya, tidak pula pemarah orangnya. Membalas kebaikan dengan kebaikan dan tidak melayani keburukan dengan keburukan.

Umatnya suka memuji Tuhannya. Mereka berkain terikat pada pinggangnya, menjaga kehormatan aurat, suka berwuduk menjaga kebersihan badan, kitab suci mereka berada dalam hatinya, suka menghafaz ayat-ayat suci dan mengamalkannya.

Mereka bersaf-saf melakukan solat berjemaah seperti juga mereka suka berbaris menyusun kekuatan menegakkan dan membela agama Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka. Korban mereka sampai titisan darahnya dilakukan untuk bertaqarub (mendekatkan diri kepada Allah). Mereka bersemadi pada malam hari dalam keadaan tenang, hening sepi, sunyi dan jauh daripada riak, tekun munajat dan memanjatkan doa harapan rahmat dan reda Tuhan Yang Maha Kuasa. Namun mereka laksana seekor singa lapar pada siang hari dan siap sedia bertempur perang fisabilillah."

Saidina Ali bin Abu Talib berkata: "Ketika Nabi SAW duduk bersama sahabat Muhajirin dan Ansar, tiba-tiba datang rombongan orang-orang Yahudi, lalu berkata: Ya Muhammad, kami akan tanya kepadamu kalimah-kalimah yang telah diberikan Allah kepada Musa AS yang tidak diberikan kecuali kepada nabi-nabi utusan Allah atau malaikat muqarrabin. "Silakan bertanya," jawab Nabi SAW. Lalu mereka berkata: Terangkan kepada kami tentang sembahyang lima waktu yang diwajibkan Allah atas umatmu?

Jawab Nabi SAW: "Adapun sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, bertasbih segala sesuatu kepada Tuhannya, adapun sembahyang Asar maka itulah waktu (saat) Nabi Adam makan buah khuldi, adapun sembahyang Maghrib maka itulah saatnya Allah memberi taubat (menerima taubat nabi Adam), maka setiap Mukmin yang sembahyang Maghrib dengan ikhlas lalu memohon sesuatu pada Allah pasti diterima-Nya. Adapun sembahyang Isyak, maka itulah sembahyang yang telah dikerjakan oleh para rasul sebelumku.

Adapun sembahyang Fajar (Subuh) maka kerana matahari bila terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan waktu itu sujudlah setiap orang kafir."

Mereka berkata: Benar Muhammad, maka apakah pahala orang yang bersembahyang itu? Jawab Nabi SAW: "Jagalah waktu-waktu sembahyang yang pertengahan, maka tiada seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang 40 hari dalam berjemaah melainkan diberi oleh Allah dua kebebasan, kebebasan dari neraka dan kebebasan daripada nifaq (munafik)." Maka orang Yahudi itu berkata: Benar engkau ya Muhammad.

Kemudian Allah berfirman yang menggambarkan sifat-sifat Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya yang perlu umat Islam contohi: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang yang bersama dengannya bersikap tegas terhadap orang yang tiada beriman, bersifat kasih sayang antara sesama mereka, engkau lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia dan reda Tuhan, pada wajah mereka terdapat tanda-tanda bekas sujud (membayang cahaya keimanan dan kesucian batin), itulah perumpamaan mereka di dalam Taurat.

Sedangkan perumpamaan mereka di dalam Injil, bagaikan tanaman yang mengeluarkan tunasnya yang lembut, kemudian bertambah kuat dan bertambah besar, dapat tegak di atas batangnya menyebabkan orang-orang yang menanam menjadi takjub, menjadikan orang yang tiada beriman itu marah kerananya. Tuhan telah menjanjikan kepada orang-orang beriman dengan mengerjakan amalan baik di antara mereka akan memperoleh ampunan dan pahala ganjaran yang besar (syurga). (al-Fath: 29)



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/04/2013

Khalifah ulung Abbasiyah

KHALIFAH kelima Abbasiyah ialah Harun al-Rasyid (786-809). Di bawah pemerintahannya, Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan dalam ekonomi, perdagangan, wilayah, ilmu dan peradaban Islam.

Wilayah kekuasaan Harun terbentang dari daerah Laut Mediterranean di barat hingga India di timur. Harun juga menghadapi banyak pemberontakan seperti pemberontakan kaum Khawarij. Selain seorang yang dermawan, Harun juga meminati bidang seni sebagai penyair.

Sebagai anggota keluarga istana, sejak zaman mudanya, beliau banyak terlibat dalam pelbagai urusan pemerintahan yang menjadi bekalan semasa menjadi khalifah.


Harun al-Rasyid memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam.

Pergaulannya luas, dari kalangan ulama, pakar undang-undang, penulis, seniman, hingga kalangan bukan Islam.

Baginda kerap kali mengundang mereka ke istana untuk membincangkan pelbagai masalah.

Beliau sangat menghormati setiap orang dan tidak hairanlah jika baginda dikagumi sebagai tokoh legenda.

Abbasiyah mencapai kemuncak kejayaan ketika dipimpin oleh Harun al-Rasyid dan selepas itu oleh anaknya al-Amin dan al-Makmun. Pada masa itu Islam berada pada zaman keemasan. Masyarakat Islam hidup makmur. Ekonominya maju, terutama dalam sektor perdagangan dan pertanian.

Pada masa itu, ibu kota Baghdad menjadi pusat perdagangan terbesar dan paling sibuk di dunia. Pemerintah juga melengkapkan Baghdad dengan bangunan besar sebagai tempat beribadat, pendidikan, kesihatan dan perdagangan.

Harun al-Rasyid memainkan peranan yang sangat penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan peradaban Islam. Beliau mendirikan Baitul Hikmah sebagai institusi penterjemahan pelbagai bidang ilmu.

Pada zaman al-Makmun, fungsi institusi ini dikembangkan lagi menjadi institusi perguruan tinggi, perpustakaan dan badan penyelidikan. Harun al-Rasyid juga menubuhkan majlis penyelidikan agama yang diselenggarakan di rumah, di masjid dan di istana.

Beliau juga sangat mengambil berat tentang ilmu perubatan, farmasi, kebudayaan, dan kesusasteraan.

Harun al-Rasyid juga tergolong sebagai seorang pemimpin yang kuat beribadat. Beliau dikatakan mendirikan solat sunat 100 rakaat setiap hari.

Beliau juga pergi menunaikan haji atau umrah sebanyak dua kali setahun dengan berjalan kaki dari Baghdad ke Mekah bersama-sama keluarganya dan ulama. Jika tidak pergi menunaikan haji, beliau menghantar kira-kira 300 orang menunaikan haji dengan biaya penuh dari istana.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/04/2013

Mendepani khabar angin

MASYARAKAT Islam sejak dahulu sangat menjunjung tinggi kebersihan. Bukan hanya kebersihan fizikal, kebersihan imej dan adab juga amat dijaga. Salah satu sifat masyarakat Islam ialah tidak menyukai keburukan tersebar dalam masyarakat. Sebaliknya, selalu menutup aib dan tidak mencari-cari kesalahan orang lain.

Dalam kes tuduhan zina misalnya, siapa yang menuduh orang lain berzina wajib menghadirkan empat orang saksi. Jika gagal melakukan sedemikian, hukuman qazaf akan ditimpakan kepada dirinya.

Menciptakan khabar angin dan menyebarluaskannya dalam kalangan masyarakat merupakan satu kesalahan. Tidak kira apa motif di sebaliknya. Perbuatan tersebut diancam dengan hukuman tegas daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Allah berfirman: Sesungguhnya orang-orang yang menginginkan tersebar keburukan di kalangan kaum beriman akan mendapat azab yang pedih di dunia dan akhirat. Allah Maha Mengetahui, engkau tidak mengetahui (apa-apa). (al-Nur: 19)

Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir: "Ayat ini adalah teguran bagi orang yang mendengar khabar angin lalu tercipta konsepsi tertentu di mindanya, kemudian berbicara tentangnya. Hendaknya ia tidak memperbanyak cerita buruk itu dan menyebar-syebarkannya."

Menurut Ibnu Taymiah, larangan ini meliputi orang yang menyukai perkara tersebut dengan hatinya sahaja, apalagi jika dizahirkan dengan lidahnya dan menyebar-nyebakannya.

Sebagai Muslim yang menjunjung tinggi akhlak mulia, kita mesti mendidik diri dengan adab-adab tertentu setiap kali berdepan dengan khabar angin yang cuba disebarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Bersaudara

Sebesar apa pun perbezaan yang terjadi antara seseorang Muslim dengan Muslim yang lain, kedua-duanya tetap terikat dengan tali persaudaraan. Islam menaungi mereka berdua. Jika kedua-duanya berbeza agama, maka kedua-duanya tetap hamba Allah.

Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah engkau menyakiti hamba-hamba Allah, jangan perlekehkan mereka dan jangan mencari-cari aibnya. Siapa yang mencari-cari aib saudaranya seIslam, Allah akan menyingkap aibnya sehingga ia akan dipermalukan walaupun di rumahnya sendiri." (riwayat Ahmad)



UMAR MUHAMMAD NOOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/04/2013

Laksana tanggungjawab diamanahkan rakyat

Daripada Ummu Al-Mukminin Ummu Salamah Hindi binti Abu Umaiyah Huzaifah, daripada Nabi Muhammad SAW bahawa sesungguhnya Baginda bersabda: “Sesungguhnya pada suatu masa nanti akan dilantik beberapa pemimpin. Maka ada yang kamu bersetuju (kerana amalan mereka yang bertepatan menurut syarak) dan yang kamu tidak bersetuju (kerana perbuatan mereka yang bercanggah dengan syarak).

Sesiapa yang benci (dalam hati) maka terlepaslah ia (daripada) dosa dan sesiapa yang membantah sesungguhnya ia terselamat. Tetapi, sesiapa yang reda dan mengikuti (pemimpin itu) yang telah bermaksiat. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah tidakkah kita perlu memerangi mereka? Sabda Rasulullah SAW: Jangan perangi mereka selagi mereka mendirikan solat.” (Riwayat Muslim)

Jangan redai perbuatan jahat

Janganlah kamu meredai perbuatan jahat, jika kamu reda maka kamu dianggap berkongsi dalam mengerjakannya.


Setiap orang yang bertaraf pemimpin hendaklah menyedari tanggungjawabnya dan bersedia melaksanakan hukum Allah dalam pemerintahannya.

Pemimpin yang arahannya menyeleweng daripada ajaran Allah tidak wajib dipatuhi tetapi tidak boleh diperangi selagi dia mendirikan solat.

Menimbulkan fitnah dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam adalah dilarang kerana perpecahan itu lebih berat dan lebih dahsyat daripada kemungkaran pemerintah serta ketidakadilan mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.” (Riwayat Muslim)

Pikul amanah dengan ikhlas

Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya supaya tanggungjawab dapat dilaksanakan.

Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan serta kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.

Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari hakikat tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati. Amanah akan disoal di hari akhirat kelak.

Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berita Harian Online Agama 17/04/2013

Pilih pemimpin disukai ramai

Nilai cara berkempen, peribadi calon antara kriteria bantu buat keputusan

Parlimen telah dibubar, tarikh penamaan calon sudah ditetapkan dan rakyat yang berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei akan datang.

Pilihan raya adalah sebahagian daripada sistem demokrasi berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Demokrasi sistem yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih wakil mereka dalam pilihan raya yang diadakan.


Rakyat juga diberi ruang untuk menilai dan muhasabah pemerintah sedia ada bagi menentukan pemerintah benar-benar amanah dalam menjaga agama dan hak asasi mereka secara adil, bagi penggal akan datang.

Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitab Ad-Din Wa As-Siyasah menyatakan, “Yang kita maksudkan dengan demokrasi (yang diterima dalam Islam) ialah dari sudut politiknya iaitu inti pati demokrasi ialah rakyat memilih pemerintah yang akan mentadbir urusan negara. Maka ini seperti ditekankan Islam melalui konsep syura dan bai’ah. Hal ini kerana Islam menolak dan mencela sistem pemerintahan firaun dan diktator. Dan sesungguhnya Allah bersama-sama dengan jemaah. Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar: Sekiranya kamu berdua bersepakat dalam satu pandangan, maka aku tidak akan bertentangan dengan kamu. Hadis ini menjadi dalil bahawa Nabi SAW memperakui akan suara majoriti.”

Pemilihan pemimpin

Pemilihan pimpinan adalah perkara penting bagi umat Islam kerana mereka akan membawa hala tuju orang yang dipimpin. Kepimpinan satu tanggungjawab sangat berat, bukan suatu benda yang harus direbut.

Nabi SAW bersabda: “Demi Allah sesungguhnya kami tidak akan memberikan tugas kepimpinan kepada orang yang memintanya dan orang yang tamak dengannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hari ini, orang berebut-rebut menawarkan diri untuk menjadi pemimpin dan tamakkan kuasa, sampaikan terjadi permusuhan berpanjangan walaupun sesama Islam, memburuk-burukkan satu sama lain, semata-mata untuk memenangi hati pengundi.

Kemajuan teknologi menjadikan sumber maklumat lebih luas dan jaringan media yang tersebar memberi rakyat pilihan. Sebagai orang Islam, pilihan perlulah berdasarkan nas-nas al-Quran dan as-sunnah, serta buat pilihan secara adil.

Seseorang yang dipilih untuk menjadi imam solat pun hendaklah disukai makmumnya supaya solat yang dipimpin imam itu diterima, maka lebih-lebih lagi dalam konteks pemerintahan negara, pemimpin dipilih perlulah yang disukai dan disenangi rakyatnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin ialah kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu dan kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.” (Riwayat Muslim).

Adalah menjadi suatu pengkhianatan terhadap Allah, Rasulullah SAW dan rakan seagama yang lain jika pemimpin yang dipilih tidak diredai Allah dan Rasul-Nya. Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang melantik seorang lelaki untuk mengurus dan memerintah satu kaum sedangkan ada yang Allah lebih reda daripada lelaki itu, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang beriman.” (Riwayat Hakim).

Pemimpin yang dipilih perlu seorang yang bertakwa kepada Allah SWT dan amanah terhadap kepimpinannya. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu akan menakluk di timur dan di barat bumi. Semua pemimpin-pemimpinnya berada dalam neraka kecuali dia bertakwa kepada Allah dan yang memegang amanah.” (Riwayat Ahmad).

Sifat amanah selalunya berjalan seiring dengan sikap mengotakan janji dan bercakap benar. Seorang pemimpin yang khianat terhadap amanah diberikan, tidak mengotakan janji dan berbohong untuk mendapatkan undi adalah tergolong dalam golongan munafik seharusnya ditolak.

Berpaksikan akal waras, dipandu oleh ilmu dan iman, umat Islam mestilah berhati-hati membuat pemilihan. Jadilah pengundi yang bijak dan matang. Pelbagaikan bahan bacaan dan lihatlah sumber untuk memperluaskan skop pemikiran seterusnya membolehkan kita membuat ijtihad yang betul.

Nilai cara berkempen

Satu cara mudah untuk menilai kepimpinan adalah dengan melihat cara mereka berkempen. Cara berkempen yang baik adalah secara berhemah dan mengikut lunas Islam, menjaga nama baik umat Islam, menjaga tata susila sebagai rakyat yang bertamadun dan matang.

Semangat demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di negara ini seharusnya disuburkan dengan menghormati undang-undang dan peraturan pilihan raya, bukan dengan kempen politik liar, berbaur perkauman, caci maki, sehingga boleh menjejaskan keamanan negara.

Kempen sebegini wajar ditolak oleh rakyat kerana ia bertentangan dengan prinsip dan dasar diajar oleh Islam.

Apa yang qath’i disebut oleh Allah SWT dalam al-Quran ialah ukhuwah atau persaudaraan sesama Islam. FirmanNya: “Sesungguhnya orang Mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah Al-Hujuraat, ayat 10).

Inilah yang perlu diberi keutamaan dan dipertahankan rakyat supaya tidak memutuskan tali silaturahim yang akan mengundang murka Allah SWT. Selepas tamat pilihan raya kita akan bertemu juga jiran dan sahabat handai yang mungkin kita bermasam muka semasa musim pilihan raya.

Musa Awang ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel sekretariatpgsm@yahoo.com. Berita Harian Online Agama 17/04/2013

Biar tersalah beri maaf

ISLAM mendidik manusia untuk mempunyai sifat saling di antara satu sama lain. Perkataan Islam yang berasal daripada perkataan asalnya salima yang bermaksud selamat, harmoni dan sejahtera. Ini bermakna, orang Islam perlu memperjuangkan keamanan dan keselamatan bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk orang lain.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud daripada muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), lebih baik daripada yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)." (riwayat Ibnu Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Hadis di atas memberikan gambaran kepada kita betapa Islam amat menitikberatkan kemaafan dalam semua tindakan termasuklah dalam memberikan hukuman. Namun, ini tidak bermaksud Islam mengabaikan hukuman kepada pesalah sehingga membebaskannya secara membabi-buta. Sekiranya cukup saksi dan bukti, maka pesalah tersebut perlu dijatuhkan hukuman.

Akan tetapi, seseorang itu tidak boleh untuk dikatakan sebagai bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah. Dalam Islam, bebanan pembuktian terletak ke atas pihak yang mendakwa, bukannya yang didakwa. Selagi mana tidak wujud bukti yang kukuh untuk menentukannya bersalah, maka selagi itulah dia tidak wajar untuk menerima sebarang hukuman. Inilah keadilan dalam Islam yang menjaga hak dengan penuh keadilan dan kesaksamaan.

Demikian juga sekiranya kita perhatikan dalam hukum-hakam yang membabitkan hutang. Sekiranya peminjam tidak mampu membayar hutang pada masa yang ditetapkan, maka dia tidak boleh dikenakan sebarang denda kerana kelewatan pembayarannya. Bahkan, sekiranya pemiutang memaafkannya dan menghalalkan hutangnya, maka itulah yang lebih baik kepada kedua-dua belah pihak.

Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. (al-Baqarah: 280)

Antara pengajaran yang kita boleh diambil daripada contoh kemaafan dalam hukum-hakam ini ialah supaya kita sentiasa mengutamakan kemaafan dalam semua perkara. Apabila ada orang telah insaf setelah melakukan kesalahan terhadap kita, maka maafkanlah kesalahan tersebut walaupun berat.

Janganlah dengan sebab kesalahan yang dilakukan itu, kita terus menghukumnya tanpa memberi peluang kepadanya untuk bertaubat dan tidak mengulangi kesalahannya di kemudian hari. Janganlah kita bermasam muka dan tidak bertegur sapa hanya disebabkan kesalahan kecil yang mungkin tidak disengajakan.

Allah SWT bersifat ghafur iaitu Maha Pengampun. Dia akan memaafkan kesalahan dan kesilapan orang yang benar-benar bertaubat walau sebesar manapun dosa yang telah dilakukannya. Dengan maksud yang lain, Allah SWT sentiasa mengampuni dosa hamba-hamba-Nya yang melakukan kesalahan dan maksiat kepada-Nya.

Rasulullah SAW pernah bersabda, Allah SWT berfirman: “Wahai Anak Adam! Selagi mana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepada-Ku, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai Anak Adam! Sekiranya engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemui-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula." (riwayat Al-Tirmidzi)

Allah SWT juga cinta kepada orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang memberikan kemaafan (ke atas kesalahan orang), padahal ia mampu bertindak balas (di atas perbuatan tersebut), maka Allah SWT akan memaafkannya, di hari yang susah." (riwayat Thabroni)

Sebab itulah, sekiranya kita perhatikan hukum-hakam dalam Islam sebenarnya bukan untuk menghukum, sebaliknya ia diturunkan oleh Allah SWT sebagai didikan dan pencegahan supaya sesuatu jenayah atau maksiat itu dapat dielakkan dari awal akibat daripada rasa kegerunan manusia terhadap hukuman tersebut.

Oleh itu, janganlah kita terlalu cepat dalam menjatuhkan sesuatu hukuman. Pastikan terdapat bukti yang kukuh terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman. Ia terpakai bukan sahaja dalam mahkamah kehidupan kita, sama ada dalam pekerjaan, rumah tangga dan hidup bermasyarakat. Ingat, lebih baik tersalah memberikan kemaafan, daripada tersalah memberikan hukuman.



WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN penulis ialah dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 17/04/2013

Beri satu dapat 10

PADA suatu hari, Siti Fatimah teringin memakan epal. Lalu Saidina Ali keluar mencarinya buat isteri tercinta. Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali terserempak dengan seorang lelaki miskin yang meminta sedikit makanan daripadanya kerana sudah lama tidak makan.

Saidina Ali menjadi berbelah bahagi antara isteri serta membantu si miskin itu. Namun, atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam, disulami rasa tanggungjawab sebagai suami, dia memotong buah epal itu kepada dua bahagian. Sebelah disimpan untuk isterinya dan sebelah diberikan kepada lelaki miskin tersebut.

Lelaki itu meminta lagi kerana terlalu lapar. Situasi ini membuatkan Saidina Ali berada dalam dilema. Oleh kerana terlalu belas kepada si miskin itu, maka baki epal yang sebelah itu turut diberikan kepada lelaki miskin itu.

Lalu pulanglah menantu Rasulullah SAW itu dengan tangan kosong. Setibanya di rumah dilihat Siti Fatimah sedang menanti-nanti kepulangannya dengan tersenyum lebar.

Saidina Ali rasa bersalah lantas terus menceritakan kejadian yang berlaku serta meminta maaf kepada isterinya dan berjanji akan membawakannya epal yang lain.

Saidina Ali terkejut apabila Siti Fatimah memberitahu baharu tadi ada seseorang datang memberikan mereka sebakul epal seraya menunjukkan bekas yang berisi sembilan biji epal.

Saidina Ali lantas bertanyakan di mana sebiji lagi epal tersebut. Sungguhpun dalam terkejut, Siti Fatimah mengakui yang dia telah memakannya kerana terlalu teringin.

Dalam kehairanan, Siti Fatimah sempat bertanya bagaimana suaminya mengetahui bahawa di dalam bakul itu ada 10 biji epal?

Lalu Saidina Ali tersenyum dan berkata: “Sayang, bukankah ayahmu mengajar kita bahawa setiap satu amalan yang kita perbuat, Allah akan membalasnya dengan 10 kali ganda ganjaran. Tadi abang memberikan sebiji epal kepada orang yang memerlukan, lalu abang yakin imbalan yang kita terima adalah ibarat epal ini. Sudah tentu Allah mentakdirkannya agar 10 biji, bukannya sembilan."

Kisah ini bukannya bermaksud setiap apa yang kita keluarkan akan mendapat balas terus pada masa itu juga dengan gandaan 10, namun itu juga tidak mustahil dengan kuasa Allah SWT.

Apa yang lebih penting untuk kita fahami, betapa tinggi dan besarnya kasih sayang Allah SWT kepada kita dan betapa hebatnya iman para sahabat.


Susunan daripada buku Bertanya Tentang Tuhan terbitan Mustread Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 17/04/2013