April 26th, 2013

Ubati gelisah dengan zikrullah

DALAM kehidupan manusia, kegelisahan sering menghantui perasaan. Kegelisahan adalah sifat manusia. Ia merujuk kepada reaksi emosi yang lazimnya akan dialami dalam keadaan apabila seseorang individu merasakan dirinya terancam. Kekecewaan berlaku apabila suatu perkara tidak dapat dicapai sebagaimana yang diharap-harapkan.

Kehidupan yang tenang dan tenteram adalah anugerah Tuhan. Jika berlaku kegelisahan dan kekecewaan di dalam hati dan diri seseorang, ia perlu diatasi dengan sikap dan perasaan yang positif. Gangguan perasaan ini boleh menjejaskan mental dan jiwa dan menyebabkan gangguan kepada seluruh kehidupan.

Jelaslah, jiwa yang tenang itu datang daripada hati yang reda. Hati yang reda bermaksud hati yang sentiasa menerima apa saja dugaan dan ujian daripada Tuhan. Apabila hati reda, Allah akan meredai akan hamba-hamba-Nya dan balasannya adalah syurga Allah. (rujuk al-Fajr: 30)


Mengingati Allah SWT ketika senang dan susah akan dapat menghilangkan kegelisahan, tekanan dan kekecewaan.- Gambar hiasan

Sementara itu, Ibnu Qayyim Al Jauziyah dalam bukunya Al-Ruh mendefinisikan kegelisahan sebagai "…sifat lemah di dalam jiwa dan perasaan takut di dalam hati yang dicetuskan oleh sifat sangat tamak dan kedekut."

Menurutnya, penyakit batin atau penyakit Qalb (kalbu) yang ertinya hati, di mana al-Quran sangat mementingkan masalah penyakit hati ini. (rujuk al-Baqarah: 10)

Jelaslah kegelisahan memang wujud dan merupakan reaksi biasa yang dialami oleh seseorang apabila berdepan dengan ancaman ataupun tekanan. Kekuatan seseorang individu menghadapi kegelisahan banyak bergantung pada ketahanan diri dan jiwa.

Jika tidak mampu menghadapinya ramai yang menderita dan menjejaskan keharmonian hidup. Doa merupakan ubat yang paling mujarab dalam menghadapi bencana, penyakit dan kegelisahan.

Kajian beberapa tokoh psikologi Islam, juga mendapati kegelisahan ialah fenomena membela diri, di mana banyak ciri-ciri kegelisahan seperti debaran jantung, bukaan anak mata yang luas, dan ketegangan urat saraf adalah sebenarnya menyediakan seseorang bagi menghindarkan ancaman-ancaman kepada dirinya.

Akan tetapi, kegelisahan dianggap kecelaruan emosi dan penyakit sekiranya reaksi itu muncul tanpa sebab-sebab yang munasabah sebagai pencetusnya. Dengan mengingati Allah kegelisahan ini dapat dikurangkan.

Selain itu, ada pendangan yang mengatakan bahawa mendefinisikan kegelisahan yang seperti itu sebagai suatu perasaan yang tidak menyenangkan yang dialami oleh seseorang ketika tiada ancaman dari luaran yang dapat dipastikan, dan perasaan yang merupakan tindak balas terhadap cetusan-cetusan kejiwaan yang tidak realistik.

Dalam kehidupan moden, tekanan atau stres sentiasa ada dan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan setiap manusia. Di mana-mana sahaja manusia menghadapi tekanan sama ada di rumah, luar rumah, jalan raya, pejabat, pusat beli-belah apabila manusia bertemu dan bertembung dengan manusia lain yang boleh membawa masalah kepada mereka.

Setiap manusia akan memberikan tindak balas yang berbeza-beza kepada tekanan yang dihadapinya. Ada yang mampu menghadapinya dengan mudah serta positif dan ada juga yang sukar menghadapinya. Apa yang jelas tekanan ini salah s atu punca kepada hampir semua masalah dan kecelaruan psikologi yang menghasilkan tindak balas seperti perasaan bimbang, gelisah, murung, sedih dan kadang-kadang menimbulkan pelbagai masalah psikosomatik.

Islam menganjurkan umatnya supaya beriman dan bertakwa yang merupakan sebaik-baik bekal. Dengan keimanan dan takwa ia akan menjadi benteng kepada semua masalah hidup. (rujuk al-Baqarah: 197)

Oleh itu, sebagai manusia yang berakal dan sentiasa memikirkan kehidupan masa depan mereka akan sentiasa menyiapkan bekalan. Bekalan untuk ketenangan adalah iman dan takwa, bekalan perjalanan adalah wang dan makanan dan bekalan untuk akhirat adalah pahala. Elakkan diri daripada berhutang yang merupakan salah satu punca kegelisahan di atas dunia sama ada berhutang dengan bank, manusia atau Tuhan.



AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/04/2013

Hapuskan persepsi negatif perceraian

TIADA siapa meminta, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta selama bertahun-tahun terpaksa berakhir dengan episod perceraian.

Walaupun kes perceraian bukanlah perkara baru dan tidak asing lagi bagi kita, namun fenomena perceraian sering menjadi topik perbualan hangat kebanyakan masyarakat di negara ini.

Lebih-lebih lagi apabila kes melibatkan golongan kenamaan dan terkenal yang menjadi tumpuan untuk digembar-gemburkan.

Perkara ini dibimbangi boleh mendatangkan persepsi negatif masyarakat terutama golongan muda untuk melangsungkan perkahwinan kerana dikhuatiri berakhir dengan perceraian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, isu perceraian tidak seharusnya terlalu menjadi tumpuan untuk diperbesar-besarkan kerana boleh membawa kesan negatif.

Beliau berkata, hakikatnya statistik daftar perkahwinan adalah lebih banyak berbanding perceraian di negara ini.

"Kita selalu membincangkan hal perceraian. Sehingga diklasifikasi pula setiap jam dan minit ada sahaja kes perceraian berlaku. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan golongan kenamaan.

"Ini hanya memberikan kesan negatif kepada golongan muda yang belum berkahwin untuk mendirikan rumah tangga kerana bimbang akan berlaku perkara sama dan bercerai.

"Sedangkan statistik daftar perkahwinan pada tahun lalu adalah lebih banyak iaitu sebanyak 143,168 yang melibatkan sebanyak 286,336 pasangan berkahwin," katanya.

Beliau berkata ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Kempen Sah Nikah Sah Nasab di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi baru-baru ini.

Kempen anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merupakan usaha memberi pendedahan berterusan kepada masyarakat Islam di Malaysia mengenai tanggungjawab dan kepentingan menjaga keturunan adalah tuntutan wajib kepada umat Islam.

Pada program itu, empat tajuk perbincangan turut dibentangkan oleh panel yang berpengalaman dalam hal ehwal nikah cerai dan pendaftaran.

Tajuk perbincangan tersebut adalah Pengurusan nikah di Malaysia yang disampaikan oleh Ketua Penolong pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jakim, Sabariah Salleh; Kedudukan anak tidak sah taraf: Dari aspek syarak, nasab dan pewarisan serta kekeluargaan Islam oleh Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar; Kedudukan anak tidak sah taraf: Dari aspek Perundangan oleh Abas Nordin; dan Isu mengenai pendaftaran kelahiran, oleh Penolong Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan anak angkat, Jabatan Pendaftaran Negara, Nik Hassan Fauzi Nik Abdullah.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, kempen Sah Nikah Sah Nasab itu diharap dapat memupuk kefahaman dan maklumat mengenai kepentingan institusi keluarga sebagai salah satu komponen utama ke arah mewujudkan negara maju.

"Usaha ini juga dibuat bagi mengubah persepsi masyarakat yang mengatakan garis panduan undang-undang yang ditetapkan dalam proses perkahwinan dan pendaftaran adalah menyusahkan.

"Ia juga bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam untuk memastikan setiap pernikahan ataupun perkara lain yang melibatkan hal kekeluargaan hendaklah memenuhi tuntutan syarak dan pematuhan peruntukan undang-undang kekeluargaan Islam yang digunapakai di setiap negeri," katanya.

Antara program yang akan diadakan seperti seminar, program kekeluargaan bersama masyarakat, hebahan menerusi iklan di media, edaran buku dan templet dan khutbah Jumaat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada Jabatan atau Pejabat Agama Islam Negeri bagi mengelakkan berlakunya permasalahan pada proses pernikahan.

Portal rundingan rumah tangga

Bersempena kempen itu, sebuah portal konsultasi mengenai isu rumah tangga yang dibangunkan UIAM dengan kerjasama Jakim turut dilancarkan.

Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin berkata, portal itu iaitu e-familyexpert.com merupakan laman rujukan sehenti untuk mendapatkan maklumat dan panduan dalam usaha mengharmonikan institusi kekeluargaan.

Beliau berkata, portal itu sesuai bagi mereka yang malu atau mempunyai masa yang terbatas untuk berjumpa pakar atau pihak-pihak berkenaan bagi mendapatkan nasihat mengenai isu rumahtangga.

"Bermula daripada memasang impian untuk mendirikan rumah tangga sehingga penyelesaian konflik rumah tangga, portal itu sesuai kepada pasangan mempunyai masalah dan tidak berjumpa individu untuk membantu menyelesaikan masalah mereka disebabkan ketiadaan masa serta malu menceritakan isu peribadi.

"Pada fasa pertama ini, mereka terdiri daripada Sukarelawan Peguam serta Persatuan Peguam Muslim dengan perancangan untuk memasukkan ahli psikiatri, psikologi dan kaunselor di masa depan," katanya.

Orang ramai juga katanya, boleh mendapatkan maklumat melalui soalan-soalan lazim berkaitan kekeluargaan dan maklumat berkaitan hal ehwal rumah tangga dan tip kekal bahagia menerusi portal berkenaan.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/04/2013

'Berzina' dengan isteri

ANGKARA malu dengan perbuatan silam, segelintir pasangan yang terlanjur sehingga melahirkan anak sanggup menipu dan menyembunyikan hal sebenar demi menjaga maruah.

Namun malangnya, mereka lupa kesan daripada tindakan tersebut memberikan kemudaratan kepada anak yang lahir tanpa pernikahan sah itu sehingga generasi ke generasi.

Ia bukan sahaja merosakkan rantaian zuriat dan keturunan malah menimbulkan permasalahan untuk jangka masa panjang.

Isu nasab atau keturunan bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Malah, ulama turut menggariskan perihal nasab merupakan salah satu yang ditetapkan dalam maqasid syariah (matlamat yang disyariatkan) selain agama, nyawa, akal, harta agar dipelihara sempurna.

Pengarah Bahagian Pendaftaran Keurusetiaan dan Rekod, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Abas Nordin berkata, wali yang juga tidak sah menyebabkan pernikahan berkenaan tidak sah mengikut syarak.

Beliau berkata, kesannya hubungan suami isteri hasil pernikahan yang tidak sah adalah seumpama pasangan yang melakukan zina dan zuriat daripada perzinaan dikira anak haram.

"Seorang lelaki yang melakukan hubungan dengan wanita tanpa akad nikah ditafsirkan sebagai berzina. Manakala hasil anak yang diperoleh daripada hubungan tersebut dianggap sebagai anak tidak sah taraf, dan begitulah seterusnya dari generasi ke generasi.

"Hal ini sama seperti seorang pasangan yang berkahwin tanpa dinikahkan oleh wali yang sah. Ia mengakibatkan pernikahan tersebut tidak sah kerana wali merupakan salah satu yang wajib diikuti dalam rukun nikah.

"Ia berpunca daripada sikap menyorokkan fakta dan memalsukan dokumen kelahiran yang dilakukan oleh individu terdesak. Oleh kerana malu dengan tohmahan sekeliling termasuk menjaga perasaan anak tidak sah taraf itu, mereka bertindak mengambil sesuatu keputusan tanpa merujuk berlandas syariah.

"Akhirnya segala urusan berkenaan nasab yang asalnya mudah menjadi sukar," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Sah Nikah Sah Nasab di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi baru-baru ini.

Kempen anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berkongsikan pengalaman sepanjang mengendalikan kes syariah, Abas berkata, kes mengenai permasalahan nasab dikategorikan dalam kes terpencil, namun kes ini tidak boleh dipandang remeh.

"Islam tidak pernah memandang mudah permasalahan ini malah memberi jalan penyelesaian. Pasangan yang berkahwin dengan dinikahkan oleh wali yang tidak sah taraf dikategorikan sebagai persetubuhan syubhah mengikut Akta Undang-undang Kekeluargaan Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 113, akta 303," katanya.

Hasil persetubuhan syubhah bukan anak haram

Mengulas lanjut, Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar berkata, bagaimanapun anak yang lahir hasil persetubuhan syubhah tidak dikategorikan dalam kalangan anak tidak sah taraf sebagaimana yang disepakati para fuqaha.

Beliau berkata, secara umumnya dirumuskan anak tidak sah taraf adalah merujuk kepada anak yang dilahirkan hasil perzinaan dan bukan dari perkahwinan atau persetubuhan syubhah.

"Terdapat peruntukan undang-undang kesahtarafan anak dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukan siapa yang dikaitkan sebagai bapa.

"Jika seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki dan melahirkan seorang anak dalam tempoh lebih daripada enam bulan qamariah (bulan Hijrah) dari tarikh perkahwinan, maka anak itu hendaklah dibinkan dengan lelaki tersebut.

"Begitu juga jika penceraian berlaku dalam tempoh sebelum empat tahun qamariah bermula tarikh perkahwinan dan perempuan itu melahirkan anak tanpa berkahwin semula, hendaklah anak itu dibinkan kepada bekas suami tadi.

"Bagaimanapun, lelaki itu boleh menafikan anak tersebut dengan cara li'an (pertuduhan) di mahkamah," ujarnya.

Tambah Abdul Majid, nasab sangat dititikberatkan dalam Islam kerana ia boleh mengakibatkan kecelaruan dan permasalahan yang bakal timbul kepada individu atau keturunan individu tersebut pada masa depan.

Permasalahan tersebut ialah, penamaan, pergaulan, nasab, hak penjagaan, nafkah, pusaka wali, dan kematian.

Beliau berkata, dari sudut penamaan, anak tak sah taraf hendaklah dibinkan atau dibintikan dengan Abdullah atau nama-nama lain dalam asma al-husna (99 nama Allah). Ia tidak wajar di bin atau bintikan ibu anak tersebut kerana dikhuatiri menimbulkan kesan psikologi terhadap anak.

Manakala dalam konteks pergaulan pula, perhubungan anak tidak sah taraf dengan ahli keluarga ibunya adalah mempunyai hubungan kekeluargaan yang sah (mahram), tetapi tidak kepada keluarga bapanya yang tidak sah itu (bukan mahram).

"Anak tidak sah taraf hendaklah dinasabkan terus kepada ibunya bukan lelaki yang menyetubuhi ibu tersebut. Bagaimanapun, anak tersebut harus dibin atau bintikan dengan Abdullah atau asma al-husna.

"Manakala lelaki yang menyetubuhi ibu anak tidak sah taraf tiada hak dalam penjagaan anak dan ia dipertanggungjawab kepada ibu dan saudara sebelah ibu. Begitu juga hal sama kepada pemberian nafkah.

"Anak tidak sah taraf boleh mewarisi harta pusaka ibunya sahaja tetapi tidak berhak kepada bapanya yang tidak sah taraf. Begitu juga sebaliknya bapanya tidak berhak mewarisi pusakanya.

"Hak perwalian anak tidak sah taraf adalah terletak pada ibunya dan tidak sah bagi lelaki yang menyetubuhi ibu atau bapa tiri anak tersebut jika ibunya berkahwin.

"Manakala kematian anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah mengikut ibunya walaupun bukan beragama Islam dan mayatnya diuruskan mengikut agamanya. Tidak berhak lelaki yang menyetubuhi ibu anak tersebut untuk menuntut jenazah anak walau beragama Islam," katanya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/04/2013