April 29th, 2013

Wajib berakhlak mulia

Umat hidup berkasih sayang, jangan rosakkan Islam

Sememangnya menjadi kewajipan bagi mereka yang mengaku Muslim untuk berakhlak mulia. Mereka bergaul dengan masyarakat penuh lemah-lembut dan bertolak ansur, pintar dan berintegriti. Kedudukan mereka di kalangan masyarakat seperti bunga yang berkembang mekar, berbau harum dan halus.

Mereka bersikap penyayang dan merendah diri. Ini kerana mengucapkan perkataan yang baik adalah hasil daripada akhlak yang terpuji. Manakala pengucapan perkataan yang buruk adalah hasil daripada akhlak yang keji.

Justeru, akhlak yang baik menuntut jiwa yang pengasih dan bersikap lemah lembut. Akhlak yang jahat pula menuntut sikap benci-membenci serta saling membelakangi antara satu sama lain. Akhlak yang baik adalah sesuatu yang tidak dapat disembunyikan kelebihannya dalam Islam.

Adalah menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim menzahirkannya. Dan perbuatan seperti ini adalah sesuatu yang dipuji oleh Allah SWT sebagai mana pujian-Nya terhadap Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang terpuji.” (Al-Qalaam: 4)

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan perkara yang memasukkan manusia ke dalam syurga ialah ketakwaan kepada Allah dan mempunyai akhlak yang baik.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Sayidina Usamah bin Zaid mengatakan: “Katakanlah kepada kami wahai Rasulullah, apakah pemberian paling baik yang diberikan Allah kepada manusia? Lalu Baginda SAW bersabda: “Akhlak yang baik.” (Riwayat Ibn Majah)

Baginda SAW bersabda lagi: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat al-Bukhari)

Di dalam hadis yang lain Baginda Rasulullah SAW bersabda: “Sesuatu yang paling berat ditimbang oleh Allah ialah akhlak yang baik.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah SAW adalah seorang yang merendah diri dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja. Baginda SAW selalu memohon kepada Allah SWT supaya menghiaskan diri Baginda dengan adab-adab yang baik dan akhlak yang terpuji. Baginda selalu berdoa: “Ya Allah, perelokkanlah rupa paras dan akhlakku.” - (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, Ibn Hibban)

Dalam hadis yang lain, Baginda SAW juga berdoa: “Ya Allah jauhkanlah dariku akhlak yang keji.” (Riwayat at-Tirmidzi, Ibn Hibban)

Lalu Allah SWT memperkenankan permintaan Baginda SAW dengan firman-Nya: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta lurus.” (Al-Baqarah: 186)

Berdasarkan ayat di atas, kita dapati bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran kepada Baginda SAW dan al-Quran jugalah yang membentuk keperibadian Baginda SAW. Lalu akhlak Baginda SAW menjadi indah seperti al-Quran.

Sa’id bin Hisyam RA menyatakan: “Saya telah masuk menghadap Sayidatina Aisyah dan bertanyakannya tentang akhlak Rasulullah SAW. Lalu beliau mengatakan: Adakah kamu membaca al-Quran? Saya menjawab: Sudah tentu. Lalu beliau menyambung lagi: Akhlak Rasulullah SAW adalah seperti al-Quran.” (Hadis sahih)

Sebagai penentangan terhadap akhlak yang baik, Allah SWT telah mendatangkan larangan daripada melakukan perbuatan yang keji. Hal ini terbukti dengan hadis-hadis yang banyak. Sebahagian daripadanya ialah sabda Nabi SAW kepada isterinya Syaidatina Aisyah: “Hendaklah kamu bersikap lemah lembut dan jangan sesekali bersikap kasar dan mengucapkan perkataan yang keji.” (Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SAW tidak menyukai perkataan yang buruk dan orang yang bodoh sombong serta orang yang melaungkan perkataan yang keras di pasar-pasar. Mereka itu alim dalam urusan dunia tetapi jahil dalam urusan akhirat.” (Riwayat al-Baihaqi, Ibn Hibban)

Sayidina Anas bin Malik RA mengatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah mencela dan tidak pernah melafazkan kata-kata yang buruk.” (Riwayat al-Bukhari)

Kesimpulannya, umat Islam wajib mempunyai budi pekerti yang mulia sebagai mana yang ditunjukkan Nabi SAW. Kita perlu bersikap penyayang dan belas kasihan terhadap saudara seagama dan bersikap tegas tetapi berhemah dengan bukan Islam serta berusaha untuk menarik minat mereka kepada Islam. Ingatlah bahawa setiap umat Islam adalah duta kepada agama Islam itu sendiri. Jangan sesekali merosakkan reputasi agama dengan kelakuan kita.



Ustaz Zamihan Mat Zin al-Ghari Berita Harian Online Agama 29/04/2013

Elak berpolitik binasakan ummah

Parti siasah boleh pejuang ideologi selagi tidak bercanggah dengan Islam

Penubuhan parti politik atau parti siasah menjadi medan untuk ahlinya memperjuangkan ideologi dan matlamat tertentu. Individu atau kumpulan boleh menubuhkan parti siasah berdasarkan kepada undang-undang negara.

Islam menggariskan parti siasah perlu memperjuangkan perkara yang baik dan menjauhkan perkara membinasakan ummah.

Ibn Uqayl al-Hanbaliy menerusi kitabnya ‘al-Funan menyatakan, ‘politik dalam Islam menjurus kepada segala perbuatan dan tindakan yang mendekatkan manusia dengan segala kebaikan dan menjauhkan daripada sebarang kebinasaan, meskipun ia tidak datang melalui sunnah Rasulullah mahupun wahyu Ilahi.”

Perlu ditegaskan, agama Islam dan parti siasah tidak sama. Islam diwahyukan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia melalui Nabi Muhammad SAW. Sedangkan parti ditubuhkan oleh manusia untuk menerima keahlian bagi penduduk di sesebuah kawasan atau negara.

Tidak ada parti siasah boleh mengaku sebagai parti umat Islam. Jika ada yang mengaku sebagai parti Islam, maka parti lain juga boleh mendakwa sedemikian. Sedangkan seluruh umat Islam bernaung di bawah satu kalimah syahadat tanpa perlu kepada parti siasah.

Dalam konteks negara demokrasi, parti siasah ditubuhkan bagi mendapatkan kuasa pemerintahan melalui pilihan raya.

Seluruh umat Islam perlu bersatu di bawah nama Islam dengan menjadikan al-Quran dan al-hadis sebagai panduan. Penubuhan parti siasah tidak sepatutnya memecahkan perpaduan umat Islam. Berlainan parti siasah tidak sepatutnya memutuskan hubungan silaturahim.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.” (Surah al-Maidah, ayat 8)

Islam untuk seluruh manusia tanpa mengira batasan geografi, pemerintahan, bangsa dan budaya. Sedangkan parti siasah hanya untuk sesiapa yang mendaftar sebagai ahlinya. Keahliannya terbuka kepada penduduk di sesuatu kawasan. Malah ada parti siasah menetapkan keahlian berdasarkan kaum dan agama tertentu.

Parti siasah terikat kepada perlembagaan yang dibuat oleh manusia tetapi Islam sepenuhnya diturunkan Allah SWT kepada seluruh manusia. Maka, sesebuah parti siasah boleh ditolak atau tidak wajib disertai oleh orang Islam. Hanya peraturan ditetapkan Allah SWT perlu diikuti seluruh manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang Islam masuklah kamu ke dalam Islam seluruhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208)

Perjuangan politik berdasarkan kepada kepentingan parti mengikut matlamat yang ditetapkan. Setiap parti politik mempunyai perlembagaan berbeza. Mereka bebas mengubah perlembagaan parti jika mendapat persetujuan majoriti ahli.

Manakala Islam memperjuangkan kepentingan sejagat. Islam tidak memperjuangkan kepentingan kelompok. Islam dan hukum yang ditetapkan dalam Islam tidak sekali-kali dapat diubah atau ditukar mengikut selera kelompok tertentu saja.

Seluruh umat Islam menggunakan sumber hukum yang sama iaitu dari al-Quran, hadis, qias dan keputusan bersama ulama.

Perkara ini dijelaskan Allah SWT dalam firman: “Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu, dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang yang khianat.” (Surah an-Nisa, ayat 104)

Perpaduan Islam menyeru kepada kesatuan dan tidak boleh memulau mana-mana individu Islam. Tetapi amalan parti siasah membolehkan seseorang disekat menjadi ahli atau dibuang menjadi ahli jika tidak mematuhi peraturan parti.

Parti siasah menghimpunkan penyokong untuk memperkuatkan parti. Mereka mempunyai keyakinan bahawa parti mereka yang terbaik. Sikap itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam kerana masing-masing diberi kebebasan memilih selagi tidak terkeluar daripada batas ditentukan agama.

Ironinya, parti siasah menyebabkan umat Islam berpecah kerana menyertai parti berbeza. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Berlainan parti siasah tidak bermakna memutuskan persaudaraan sehingga peringkat kafir mengafir.

Sesiapa mengucap kalimah syahadat dan menyempurnakan rukun Islam, maka dia adalah Islam. Sabda Rasulullah SAW: “Diasaskan Islam atas lima perkara, iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, haji dan berpuasa pada bulan Ramadan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Sesiapa yang mengikuti kaedah pemerintahan dilakukan oleh Rasulullah SAW, sudah layak dipanggil pemerintah Islam biarpun parti atau negara yang dipimpin itu tidak menggunakan nama Islam.

Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik. Perkara ini bertepatan firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Tugas pemerintah ialah mewujudkan persekitaran selamat, aman, kesejahteraan, harmoni, adil, peluang pekerjaan, kemudahan awan dan pendidikan. Pemerintah boleh melaksanakan dasar Islam tanpa pengisytiharan negara Islam. Sempurnanya Islam bukan kerana nama, tetapi berdasarkan niat dan perbuatan mentaati perintah Allah SWT.


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 29/04/2013