May 4th, 2013

Takwa pencetus keamanan, kesejahteraan ummah

Kehidupan hancur jika berlaku pertikaian dalam masyarakat

Iman dan takwa dapat menciptakan daya kekuatan bagi manusia menghindarkan diri daripada setiap keburukan. Kedua-dua unsur itu dapat memberi kekuatan kepada manusia untuk maju ke hadapan dan berdaya saing dalam mendepani segala cabaran.

Seterusnya, memberi jaminan bagi manusia mendapatkan keselamatan dan keamanan. Fitnah dan ujian yang diterima akan menyebabkan keimanan seseorang menjadi goyang. Bertukar antara pagi dan petang dengan cara yang tidak konsisten.

Sabda Baginda SAW: “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang yang masih beriman pada waktu petang kemudian pada esok harinya ia sudah menjadi kafir kerana menjual agamanya dari sedikit mata benda dunia.” (Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Takwa kekuatan paling ampuh

Oleh kerana ujian keimanan ini amat getir, maka takwa adalah saranan kekuatan yang paling ampuh sehingga manusia dapat bangun semula meneruskan kehidupan mereka seperti sedia kala. Inilah sebabnya takwa menjadi perkara ditekankan dalam al-Quran.

Dalam konteks sosial, takwa adalah peranan penting membentuk kedamaian dan keharmonian masyarakat sebagai benteng daripada pelbagai keburukan sosial, seterusnya akan menyuntik perasaan gemar melakukan kebajikan kepada masyarakat umum.

Jauhi pertikaian merugikan

Jauhi pertikaian yang merugikan kerana ia akan menghancurkan masyarakat seperti sabda Baginda SAW: “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pimpinan) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara baru (bidaah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bidaah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Dalam konteks agama, takwa dasar pokok agama Islam. Sejarah membuktikan generasi pertama umat Islam berpegang teguh dengan agama sehingga mereka mampu menyebarkan agama Allah SWT ke seluruh dunia serta fahaman mengenai Islam serta keselamatan sosial.

Ia dapat diterima dengan jiwa yang suci dan mendapat sambutan sehingga Islam terus berkembang ke negara Asia hingga Timur Jauh. Seterusnya Islam berkembang hingga ke benua Afrika hingga Eropah.

Namun, apabila ketakwaan semakin berkurang, keamanan dan kedamaian diganti dengan sikap mementingkan diri, kecintaan dan kasih sayang berganti kekacauan dan kebencian, maka umat Islam menjadi kosong serta semakin jauh daripada ketakwaan ditanamkan dalam hati mereka.

Keamanan pada akhir zaman sesuatu yang sukar dan amat berharga sehingga Baginda SAW menjadikan ia sebagai wasiat penting untuk umatnya.

Seorang Mukmin yang kuat akan menjaga empat elemen insani rohaninya (hubungan hati dengan Allah) seperti solat wajib dan sunat, puasa, zikir, berdoa, istighfar dan membaca al-Quran.

Kedua, fizikalnya dengan menjaga makan dan minum (makanan halal dan berkhasiat), kebersihan diri, tidur yang cukup dan beriadah. Emosinya melalui jalinan kasih sayang kepada isteri, anak, ibu bapa, anak yatim, fakir miskin, orang alim serta pemimpin yang bertakwa.

Keempat ialah menjaga akalnya dengan menuntut ilmu syarak dan ilmu yang bermanfaat.

Ketakwaan teguh warisan iman

Ketakwaan teguh saja akan mampu mengembalikan warisan iman yang sudah menghilang daripada kalbu umat Islam. Maka kewajipan setiap Muslim adalah untuk menyebar luaskan amanat keselamatan ke seluruh dunia.

Pengertian ini harus disematkan dalam hati setiap orang bahawa Islam agama mengembangkan kecintaan dan kasih-sayang.

Islam menegakkan ajaran kedamaian dan keselamatan di setiap lapisan masyarakat.
Namun, kita menyaksikan apa yang sedang terjadi di dunia sekarang ini, berlaku kegagalan disebabkan tidak adanya takwa dalam hati. Bangsa menjadi sombong dan takbur disebabkan mempunyai kekayaan, kekuatan ekonomi, politik dan ilmu pengetahuan lebih daripada bangsa lain.

Berasa paling aman

Atau menganggap diri mereka menjadi negara paling aman di dunia sehingga berasa lebih unggul daripada negara lain.

Kita lihat semuanya menghadapi kegagalan disebabkan kekosongan pada unsur kerohanian.

Tanpa takwa, pertolongan Allah Taala akan lenyap dan berlakulah kehancuran dan kegawatan dalam sistem keselamatan dunia.

Peranan agama dalam menentukan keselamatan tidak boleh dinafikan oleh sesiapa kerana agama mensyaratkan ketakwaan sebagai pencetus keamanan dan kesejahteraan.

Firman Allah SWT: “Sesiapa yang mengarahkan pandangannya kepada agama Allah, maka ia telah berpegang dengan simpulan tali yang teguh dan kuat.” (Surah Luqman, ayat 22)

Baginda SAW menyeru kepada agama Allah sebagai jaminan keselamatan dengan slogan, ‘Islamlah kamu nescaya keselamatan akan sentiasa terjamin’.

Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Berita Harian Online Agama 04/05/2013

Selamat daripada api neraka jika baik akhlak

Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah aku telah memberitahu kamu semua mengenai orang yang diharamkan masuk ke neraka atau orang yang diharamkan ke atasnya neraka? Mereka ialah orang yang berdamping rapat dengan orang ramai (baik pergaulannya), hatinya tenang, berlemah lembut serta mudah dibawa berunding.” (Riwayat at-Tarmizi)

Setiap Muslim hendaklah sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang sebenar serta bergaul rapat dengan masyarakat menggunakan budi bahasa lembut, selalu bertolak ansur, tolong menolong dan bantu membantu. Tidak melakukan perkara yang menimbulkan sakit hati orang lain dan mendatangkan dosa seperti berbuat khianat, merompak, menipu dan seumpamanya.

Tabiat manusia berhubung rapat dengan keteguhan iman dan kesabarannya.

Akhlak baik jauh dari neraka

Jika baik akhlak seseorang itu, maka dia akan selamat daripada balasan api neraka dan begitulah sebaliknya kerana baik buruknya seseorang terletak pada sejauh mana pandangan masyarakat umum terhadap dirinya selain daripada penilaian yang dihitung oleh Allah SWT sendiri.

Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apakah tidak menarik hatimu bagaimana Tuhan menghindarkan daripadaku caci maki dan kutukan orang Quraisy. Mereka mencaci maki dan mengutuk orang yang tercela, sedangkan aku orang yang terpuji.” (Riwayat Bukhari)

Ada dua sifat bertentangan, yang terpuji (mahmudah) dan tercela (mazmudah). Rasulullah adalah manusia yang terpuji. Meskipun ditentang, dimusuhi mula-mula dengan kata-kata, kemudian dengan makian, penghinaan, ancaman dan akhirnya pembunuhan namun Baginda tidak pernah membalas.

Baginda tidak pernah marah dan bertindak keras bahkan bersikap tenang dan tidak pernah berputus asa. Nama baginda mencerminkan akhlak Baginda yang sekali gus melontar kembali setiap tohmahan dan keburukan dilemparkan kepada yang mengutuk itu sendiri.

Lihat kebenaran Rasulullah

Musuh Baginda sama ada kaum kafir atau pun kalangan kaum munafiqin hingga akhirnya mereka melihat kebenaran yang dibawa Baginda dan memeluk Islam.

Bukankah Allah SWT telah memberi peringatan kepada Rasulullah SAW mengenai manusia akan lari dan menjauhkan diri jika Baginda bersikap keras dan kasar. Sedangkan melalui kasih sayang, hati yang keras menjadi lembut dan cair untuk menerima kebenaran.

Berita Harian Online Agama 04/05/2013

Kebenaran seorang Nabi

SETERUSNYA penulis akan mengemukakan kisah berkaitan dengan Zulkarnain. Cerita ini merupakan kisah keempat yang terdapat dalam al-Quran. Ia mengisahkan tentang orang kafir Mekah menghantar utusannya kepada ahli Kitab untuk meminta apa yang hendak diujikan terhadap Nabi SAW.

Ahli Kitab berkata: Tanyakan kepadanya tentang seorang pengembara yang berjaya mengelilingi dunia, tentang pemuda yang tidak diketahui apa yang mereka kerjakan dan tentang roh. Maka surah al-Kahfi diturunkan. Sebelum mentafsirkan ayat tersebut, perlu dijelaskan terlebih dahulu, siapa Zulkarnain, siapa Yakjuj dan Makjuj dan di mana empangan Zulkarnain.

Pada ayat ke-83, Ibnu Kathir berkata: Sebagaimana telah kami kemukakan sebelumnya bahawa orang kafir Mekah pernah mengirim utusan kepada ahli Kitab untuk menanyakan kepada mereka tentang apa yang dapat mereka lakukan untuk menguji Nabi SAW.

Kemudian para ahli Kitab itu berkata: Tanyalah kepadanya tentang orang yang di sekeliling muka bumi, tentang apa yang diketahuinya dan tentang apa yang dilakukan oleh beberapa orang pemuda dan juga tentang roh. Maka turunlah surah al-Kahfi.

Diberi nama Zulkarnain kerana dia adalah seorang raja Rom dan Parsi. Sebahagian orang menyebutkan bahawa di kepalanya terdapat sesuatu yang menyerupai dua tanduk. Ada pula yang menyatakan diberi nama Zulkarnain kerana dia sudah berhasil mencapai belahan Timur dan Barat iaitu tempat matahari terbit dan terbenam.

Al-Maraghi berkata: Orang Quraisy yang berguru dengan orang Yahudi, mengajukan pertanyaan kepada (Nabi Muhammad SAW) dengan tujuan menguji Baginda.

Katakanlah kepada orang yang keras kepala itu: Aku akan menceritakan kepada kamu cerita yang lengkap lagi menyeluruh seperti yang kamu minta dan cerita ini telah diberitahu kepadaku oleh Tuhanku.

Sayid Qutub berkata: Allah SWT telah mengurniakan kepadanya kedudukan yang teguh dan kekuasaan yang kukuh. Allah SWT telah memberikan jalan-jalan untuk memerintah dan menakluk, jalan-jalan pembangunan dan kemakmuran, jalan-jalan kekuasaan dan kesenangan dan segala sesuatu yang diperlukan manusia untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam kehidupan ini.

Pada ayat ke-84, Ibnu Kathir berkata: Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan yang besar yang mencakupi segala sesuatu yang diberikan kepada para raja iaitu berupa bala tentera, peralatan perang dan beberapa benteng.

Oleh itu, dia dapat menguasai bumi belahan Timur dan Barat dan banyak negeri yang tunduk kepadanya bahkan pelbagai raja di dunia pun turut tunduk kepadanya dan semua orang Arab dan bukan Arab berbondong-bondong mengabdi kepadanya.

Ayat ini telah ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran:

l Ilmu pengetahuan. Inilah pendapat Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubair, Ikrimah, al-Suddi, Qatadah dan lain-lain.

l Iaitu tempat tinggal di bumi dan berbagai-bagai panjinya. Inilah pendapat Qatadah.

l Iaitu pengajaran bahasa-bahasa. Ia tidak memerangi suatu kaum melainkan telah diajak bicara dengan bahasa mereka. Inilah pendapat Abdul Rahman bin Aslam.

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT memberi kekuasaan kepada Zulkarnain melakukan mengikut kehendaknya, sehingga beliau berjaya menguasai seluruh dunia dan mengalahkan seluruh kerajaannya. Allah mengurniakan ilmu, kemampuan dan kelengkapan tentera bagi menjayakan segala hasrat yang hendak dilakukannya."

Sayid Qutub berkata: “Muhammad Ibnu Ishaq telah menyebut sebab turunnya surah ini katanya `aku telah diceritakan oleh seorang guru daripada penduduk negeri Mesir. Dia datang ke tempat kami kira-kira 40 tahun lebih yang lalu dari Ikrimah, daripada Ibnu Abbas katanya kaum Quraisy telah mengirim al-Nadhr Ibnu Harith dan Aqabah Ibnu Abu Mu`ayt kepada pendeta-pendeta Yahudi di Madinah dan berkata tanyalah kepada pendeta-pendeta itu tenteng Muhammad SAW, terangkan sifatnya kepada mereka dan ceritakan apa yang telah dikatakan olehnya kerana mereka adalah kaum ahli Kitab yang pertama."

Mereka mempunyai ilmu tentang para Anbiya yang tidak ada pada kita. Lalu kedua utusan itu pergi ke Madinah dan bertanya kepada pendeta-pendeta Yahudi tenteng Rasulullah SAW. Kedua-duanya menceritakan kepada mereka tentang beliau dan sebahagian daripada apa yang telah dikatakan olehnya sambil berkata: Tuan-tuan adalah pakar-pakar kitab al-Taurat dan tujuan kami datang menemui tuan-tuan ialah supaya tuan-tuan boleh menjelaskan kepada kami tentang teman kami ini (Muhammad).

Kata Rawi, pendeta-pendeta itupun berkata: “Tanyalah kepadanya (Muhammad) tiga perkara yang kami cadangkan ini, jika dia dapat menjawab, maka dia adalah benar seorang nabi yang diutuskan Allah SWT dan jika sebaliknya, maka dia hanya seorang pendusta dan kamu boleh memutuskan fikiran kamu terhadapnya."

Tanyalah kepadanya tentang sekumpulan pemuda yang telah pergi menghilangkan diri di zaman dahulu bagaimana cerita mereka kerana cerita mereka amat menakjubkan. Dan tanyalah kepadanya tentang seorang lelaki yang menjelajah dunia hingga sampai ke kawasan-kawasan sebelah Timur dan kawasan-kawasan sebelah Barat bagaimana ceritanya?

Dan tanyalah kepadanya tentang roh dan apakah dia? Jika dia dapat menceritakan hal-hal itu kepada kamu, maka dia adalah benar seorang nabi yang boleh kamu ikutinya dan sebaliknya jika dia tidak dapat menceritakan kepada kamu, maka dia adalah seorang pendusta dan lakukan apa sahaja tindakan terhadapnya yang kamu fikir wajar.

Lalu an-Nadhr dan Aqabah balik menemui kaum Quraisy dan berkata: “Wahai kaum Quraisy! Kami telah membawa kepada kamu kata pemutus yang dapat menyelesaikan masalah di antara kamu dengan Muhammad. Pendeta-pendeta Yahudi itu menyuruh kita bertanya kepada Muhammad mengenai beberapa perkara."

Lalu mereka mengemukakan pertanyaan-pertanyaan yang disuruh oleh pendeta-pendeta itu.

Rasulullah SAW menjawab: “Besok aku akan jawab pertanyaan-pertanyaan kamu itu tanpa berkata “kecuali dikehendaki Allah SWT". Mereka pun berundur daripadanya. Rasulullah SAW menunggu selama 15 hari 15 malam tanpa mendapat wahyu daripada Allah SWT mengenai perkara-perkara tersebut dan tanpa dikunjungi Jibril AS hingga menggemparkan penduduk Mekah. Mereka berkata: “Muhammad telah berjanji untuk menjawab, sekarang telah masuk 15 hari tetapi masih belum ada jawapan."

Terhentinya wahyu itu telah mendukacitakan Rasulullah SAW. Kemudian barulah dikunjungi Jibril AS membawakan surah Ashab al-Kahfi, di mana baginda telah ditegur kerana bersedih terhadap sikap penduduk Mekah, di samping dimuatkan cerita-cerita yang ditanyakan mereka mengenai kumpulan pemuda dan lelaki pengembara itu.

Pada ayat ke-85 ia telah ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran:

l Maka dia pun menempuh suatu jalan, iaitu al-Sabab iaitu tempat. Inilah pendapat Ibnu Abbas.

l Maka dia pun menempuh suatu jalan iaitu tempat turun dan jalan antara timur dan barat. Inilah pendapat Mujahid.

l Maka dia pun menempuh suatu jalan. Ia juga dipanggil ilmu pengetahuan. Dia berkata hal yang sama juga dikemukakan oleh Ikrimah, Ubaid bin Ya’la dan al-Suddi. Dan dia pun mengatakan inilah tanda-tanda dan bekas-bekas. Inilah pendapat Said bin Jubair.

Sayid Qutub berkata: “Oleh sebab adanya pelbagai riwayat tentang sebab-sebab nuzul itu, maka kami memilih untuk berhenti setakat bayangan nas al-Quran yang amat diyakinkan kebenarannya itu."

Malah daripadanya juga dapat diketahui bahawa ada satu pertanyaan mengenai Zulkarnain walaupun diketahui siapakah yang mengemukakan pertanyaan itu. Tetapi pengenalan tentang siapakah yang bertanya itu tidak menambahkan apa-apa kepada maksud kisah. Marilah kita hadapi nas al-Quran tanpa sebarang tokok tambah.

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan betapa kebenaran pasti ditegakkan oleh pendukungnya walaupun sentiasa menghadapi ujian. Hal ini menjadi sunnatullah. Oleh itu, semangat Zulkarnaian perlu diwujudkan dalam hati pemimpin umat Islam.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/05/2013

Amil juga perlu disantuni

Memang ada yang terkeliru mengenai kedudukan amil dalam pengurusan zakat. Daripada sudut hukum, amil zakat memang berhak kepada harta zakat. Ini kerana, sudah disebut secara terang bahawa amil memang satu daripada lapan asnaf zakat. Ia adalah hukum yang sudah qatie’ (putus) dan bukannya bersifat ijtihad atau khilaf.

Allah SWT telah menyebut amil sebagai asnaf yang muqaddam (terawal) di samping fakir, miskin dan mualaf (rujuk at-Taubah: 60)

Nabi Muhammad SAW juga menyatakan, hendaklah dilayani amil (petugas zakat) itu dengan baik (mafhum hadis riwayat Muslim). Ini menunjukkan, status amil adalah penting dalam pengurusan zakat. Kompetensi amil mempengaruhi keseluruhan perjalanan operasi zakat.

Dalam sejarah, pada zaman Umar al-Khattab RA, baginda telah menyusun pentadbiran negara dengan baik dan melantik amil secara bergaji tetap. Bahkan diwujudkan amil khas yang bertugas menaksir harta umat Islam. Umar juga mengemaskini Baitulmal, sebagai gudang pengumpulan harta termasuklah harta zakat.

Semua ini menjadi dalil dan bukti bahawa amil hendaklah diperkasakan. Apabila amil perkasa, misalnya diberikan imbuhan atau gaji yang selesa, maka mereka dapat menumpukan perhatian kepada kerja-kerja menguruskan zakat dengan lebih efisien. Mereka tidak perlu mencari kerja lain untuk menambahkan pendapatan sehingga mengganggu tugas hakiki mereka sebagai amil.

Namun, Islam memperuntukkan amil hanya berhak sebanyak 1/8 daripada dana zakat yang dikumpulkan. Dengan peruntukan 1/8 itulah amil memanfaatkannya untuk belanja mengurus, membeli aset atau harta dan sebagainya lagi.

Mungkin ada yang mengatakan, apakah perlu para amil dilengkapi dengan alatan canggih. Misalnya, komputer terkini dan kenderaan yang baik?

Sebenarnya, semua ini dibeli dan digunakan oleh amil adalah demi kebaikan seluruh asnaf zakat yang lain. Dengan kecanggihan teknologi misalnya, ia memudahkan proses penyimpanan data asnaf.

Para pembayar zakat juga mendapat kemudahan dengan kecanggihan sistem yang digunakan, iaitu mereka makin mudah untuk membayar zakat. Semua ini dijana dengan peruntukan 1/8 amil.

Kesimpulannya, amil adalah satu tugas yang sangat mulia. Amil adalah satu jawatan yang disebut secara terang dan jelas di dalam al-Quran.

Amil adalah manusia yang terpilih di kalangan manusia lain. Untuk memastikan usaha menangani kemiskinan dan menyantuni keperluan asnaf yang lain tercapai, amil juga memerlukan sokongan material.

Maka, dana zakat itulah yang membantu amil memastikan keseluruhan asnaf zakat terbela nasibnya. Wallahua’lam.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/05/2013