May 7th, 2013

Masyarakat pincang hilang sifat amanah

Daripada Huzaifah, katanya: “Diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami dua hadis; salah satu daripadanya telah saya lihat kenyataannya; dan sekarang saya sedang menunggu kenyataan hadis yang kedua. Hadis pertama, bahawa amanah itu turun lalu masuk ke lubuk hati orang. Kemudian turun al-Quran lalu menjadi pedomannya, demikian pula sunnah Rasulullah SAW.

Pencabutan amanah

Hadis kedua, mengenai pencabutan amanah. Kata Rasulullah SAW: Seseorang tidur sekejap lalu dicabut amanah daripada hatinya dan tinggallah bekasnya seperti titik yang kecil; kemudian ia tidur pula lalu dicabut lagi sisa amanah itu dan hanya tinggal seperti bengkak kecil di telapak tangan yang timbul setelah mengerjakan sesuatu dengan memakai kapak atau sebagai bengkak di kaki kerana memijak bara, isinya hanya sedikit cairan. Pada masa itu kelak hampir saja tidak ada lagi amanah dalam masyarakat sehingga dikatakan: Oh, di sana ada orang yang amanah; kata orang kepadanya; alangkah sabarnya, alangkah baiknya, alangkah cerdiknya; tetapi sebenarnya batin orang itu kosong daripada keimanan.

Dunia hari ini sering digemparkan dengan berita mengenai pecah amanah di sana sini. Bapa merogol anak, bayi baru lahir dibuang, warga tua diragut, kanak-kanak didera dan pelbagai lagi kejadian yang menyentuh hati dan membangkitkan kemarahan banyak pihak. Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah daripada jiwa manusia.

Kata Huzaifah: Pada masa yang silam, zaman kejujuran itu telahku alami, sehingga saya biasa berniaga dengan siapa pun; jika dengan orang Muslim ia jujur kerana agamanya, jika dengan orang Nasrani atau Yahudi maka kejujuran itu ada di tangan atasannya. Adapun zaman sekarang, aku tidak mahu lagi berniaga kecuali dengan si Anu dan si Anu (kerana amanah).” (Riwayat Muslim)

Hilang sifat amanah

Semuanya berpunca daripada hilangnya sifat amanah daripada jiwa manusia. Sesungguhnya di akhir zaman ini amat sukar untuk mencari orang yang benar-benar amanah sedangkan apa juga perkara dan tindakan yang diambil perlukan sifat amanah.

Seorang bapa yang khianat tidak akan menjaga anak yang menjadi amanah Allah kepadanya bahkan diperkosa anaknya sendiri atau dia berzina dengan wanita lain. Begitu juga dengan kerajaan yang dipimpin penguasa yang tidak amanah sudah pasti suatu hari nanti umat akan hancur.

Fakir yang sombong juga tidak akan sudi menerima bantuan dan perhatian orang lain sedangkan ia sangat memerlukannya. Kesudahannya hidupnya tidak akan berubah sampai bila-bila hinggakan kefakiran itu membawanya kepada kekufuran.

Hakikatnya janganlah kita mengkhianati amanah sedangkan kita mengetahuinya. Balasannya di hari akhirat kelak amat dahsyat menunggu kita.


Berita Harian Online Agama 07/05/2013

Pembangunan minda penentu kejayaan bangsa, negara

Ilmu mengangkat imej dan reputasi peribadi seseorang, begitu juga negara, akan muncul sebagai sebuah negara maju dan bertamadun. Islam meletakkan ilmu pada kedudukan tertinggi dan sentiasa menggalakkan umatnya berusaha mencari ilmu pengetahuan.

Kini kita dapat lihat umat lain begitu rakus dengan ilmu sehingga mereka menjadi perintis dalam penghasilan aneka jenama reka cipta, sebaliknya kita umat Islam cukup berpuas hati menjadi pengguna kepada produk mereka.

Sedangkan, Islam pernah melahirkan ratusan ilmuwan tersohor yang menjadi pelopor dalam pelbagai aspek ilmu pengetahuan yang sehingga kini pun, hasil tangan dan idea kreatif mereka masih diguna pakai.


Bagaimanapun, ketinggian akal intelek harus sejajar dengan kepadatan akal budi dan sahsiah diri terpuji. Kedua-duanya perlu berjalan seiring sebagai mana pernah dipesan oleh Saidina Ali bin Ali Talib ini: “Kebaikan bukan terletak pada harta yang melimpah, atau anak keturunan yang ramai. Akan tetapi kebaikan terletak pada ilmu yang tinggi dan sikap lemah lembut.”

Pelita terangi kegelapan

Umat Islam seharusnya menggunakan kata-kata ini sebagai pelita yang menerangi kegelapan hati dan jangan cepat berasa selesa dengan ilmu pengetahuan sedia ada. Kata orang, proses pembelajaran berlaku sepanjang hayat.

Melalui keintelektualan umat Islam, maka masyarakat Barat mula sedar kepentingan ilmu pengetahuan. Zaman gelap benua Eropah mulai menjadi terang bersinar dengan limpahan ilmu pengetahuan lantaran tempias daripada kehebatan ilmu digali umat Islam suatu ketika dulu.

Hebatnya tamadun Islam di Andalusia (Sepanyol), Kota Baghdad pada zaman kerajaan Islam Bani Abbasiyah sudah cukup membuktikan bahawa umat Islam adalah peneraju kepada pembangunan minda dan peneroka awal ilmu pengetahuan.

Tetapi sayang, semua itu hanya tinggal sebagai nostalgia indah yang menjadi bahan sejarah. Oleh itu, kita perlu bangkit semula menjadi pelopor dan peneroka ilmu pengetahuan. Kita tidak boleh terus menjadi umat yang ‘tandus ilmu’ hingga terpaksa bergayut dan berpayung kepada umat lain.

Bangsa berjaya berilmu

Sesungguhnya, bangsa yang berjaya adalah bangsa yang berilmu. Berpaksikan kepada ketinggian ilmu itulah yang akan memacu kejayaan sesuatu bangsa sekali gus menghasilkan reputasi unggul dalam segenap lapangan kehidupan.

Kini kita boleh melihat sendiri bagaimana bangsa Jepun dan Korea berjaya menjadikan negara mereka sebagai sebuah negara maju. Semua itu bertitik tolak daripada terbina masyarakat yang berilmu.

Budaya membaca menjadi kemestian dan kelaziman dalam masyarakat. Justeru, kini kedua-dua buah negara itu berdiri megah sebagai negara maju yang disegani masyarakat dunia.

Kata Hamka, “Apabila telah maju pendidikan dan pelajaran pada suatu bangsa, maka akan maju pula kecerdasan tiap-tiap peribadi yang terlingkung dalam bangsa itu.” Sesuatu bangsa dan negara akan dapat melakukan ledakan kecemerlangan dengan menguasai ilmu pengetahuan.

Pendakwah bebas, Dr Danial Zainal Abidin, berkata menguasai ilmu semasa hukumnya wajib. Tidak akan ada kecemerlangan tanpanya. Justeru, kesedaran perlu disemaikan di hati golongan muda pada hari ini supaya menjadi golongan yang cintakan ilmu termasuk ilmu sains. Hanya dengan ilmu umat menjadi cemerlang dan gilang-gemilang.

Penting penguasai ilmu

Demikianlah pentingnya penguasaan ilmu pengetahuan kepada sesuatu bangsa yang ingin maju dan berjaya. Memupuk budaya membaca dan tabiat cintakan ilmu akan menjana kejayaan gemilang buat umat Islam sekali gus menjadikan mereka sebagai umat contoh.

Rasulullah SAW bersabda: “Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu mendekatkan diri kepada Allah dan mengajarkannya kepada orang adalah sedekah. Sesungguhnya ilmu pengetahuan meletakkan seseorang pada kedudukan terhormat dan mulia (tinggi). Ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Al-Rabii’)


Wan Mohd Ruzlan Wan Omar Berita Harian Online Agama 07/05/2013

Aliran Maturidiyah?

ALIRAN teologi dalam Islam yang didirikan oleh Abu Mansur Muhammad al-Maturidiyah dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah disebut Maturidiyah. Maturidiyah merupakan ajaran teknologi yang bercorak rasional.

Nama aliran itu dinisbahkan daripada nama pendirinya, al-Maturidi yang lahir dan hidup di tengah-tengah iklim keagamaan yang penuh dengan pertentangan pendapat antara Muktazilah (aliran teologi yang amat mementingkan akal dalam memahami ajaran agama) dan Asy'ariyah (aliran yang menerima rasional dan dalil wahyu) sekitar masalah kemampuan akal manusia.

Al-Maturidi melibatkan diri dalam pertentangan itu dengan mengajukan pemikiran sendiri. Pemikirannya itu merupakan jalan tengah antara aliran Muktazilah dan Asy'ariyah. Kerana itu, aliran Maturiyah sering disebut 'berada antara teologi Muktazilah dan Asy'ariyah'.

Meskipun gigih menyerang Muktazilah, dalam beberapa hal aliran Maturidiyah memiliki persamaan dengan Muktazilah. Baik Maturidiyah mahupun Muktazilah sependapat bahawa ayat-ayat mutasyabihat (ayat-ayat yang mengandung makna tidak tegas atau samar yang disebabkan oleh erti yang berdekatan atau adanya beberapa pengertian) dalam al-Quran harus ditakwilkan.

Di samping itu, ada beberapa persamaan lain yang terdapat dalam Maturidiyah dan Muktazilah, antara lain adalah kemampuan akal. Al-Muktazilah menganggap dengan akal manusia mampu mengetahui adanya tuhan, menilai baik atau buruk satu perbuatan dan mengetahui kewajipan bersyukur kepada Tuhan.

Pada dasarnya aliran Maturidiyah banyak memiliki persamaan dengan Asy'ariyah. Bagaimanapun, dalam beberapa hal Maturidiyah menempatkan akal pada posisi yang tinggi.

Pendapat-pendapat yang berbeza itu antara lain menyangkut masalah antropomorfisme, perbuatan manusia dan kekuasaan mutlak Tuhan. Menurut al-Maturidiyah, Tuhan bersifat non-material sehingga tidak mempunyai bentuk jasmani.

Mengenai perbuatan manusia, al-Maturidiyah berpendapat bahawa manusia dapat berbuat mengikut hatinya. Ia bebas berbuat dan bertindak dan perbuatan itu tidak dapat disandarkan pada Tuhan.

Di samping itu, menurutnya, kekuasaan Tuhan itu terbatas kerana adanya janji-janji Tuhan dan Tuhan harus menepati janji-Nya itu, sesuai dengan pernyataan Tuhan sendiri.

Fahaman Maturidiyah banyak dianut oleh kalangan ulama yang menganut mazhab Hanafi di bidang fikh.

Al-Maturidiyah sendiri memang belajar kepada para ulama daripada mazhab Hanafi. Antara yang lain Muhammad bin Muqatil ar-Razi, Abu Bakar Ahmad bin Ashaq al-Juzjani, Abu Nasr al-Iyadi dan Nusair bin Yahya.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/05/2013

Umat Islam umat membaca

BEBERAPA hari yang lepas saya sempat berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Saya melihat pelbagai judul buku dalam pelbagai bahasa pada acara tersebut. Sambutan masyarakat pun turut menggalakkan. Terlihat dengan rombongan para pengunjung yang berpusu-pusu memenuhi kaunter-kaunter buku yang tersedia.

Pemandangan ini sangat menggembirakan hati. Tidak salah jika dikatakan bahawa umat Islam adalah umat membaca. Itu terlihat dengan wahyu pertama yang berisi perintah untuk membaca. Perintah ini kemudiannya menjadi inspirasi kepada tokoh-tokoh intelektual Islam untuk terus menulis dan membaca.

Jika kita mengkaji riwayat hidup tokoh-tokoh intelektual Islam sepanjang sejarah, jelas sekali semangat membaca yang sangat mengagumkan.

Mereka membaca pada setiap masa dan di setiap tempat. Mereka tidak suka masa berlalu tanpa menelaah.

Diriwayatkan, Muhammad bin Al-Hasan tidak pernah tidur di waktu malam.

Murid Imam Abu Hanifah itu selalu menghabiskan malamnya membaca buku. Pelbagai buku diletakkan bersebelahan dengan dirinya. Apabila bosan dengan satu buku, beliau beralih kepada buku yang lain.

Begitu juga Imam Ahmad bin Yahya, seorang pakar tafsir yang dikenali dengan gelaran Tha’lab.

Beliau selalu membawa buku ke mana sahaja beliau pergi. Setiap kali dijemput menghadiri walimah, beliau mensyaratkan agar disediakan tempat khas bagi beliau untuk meletakkan buku dan membaca.

Ibnu Rusyd, ahli fiqih dan falsafah terkenal selalu membaca buku setiap saat. Beliau tidak pernah berpisah dengan buku sepanjang hidupnya kecuali pada dua malam sahaja, iaitu malam beliau menikah dan malam ayahnya meninggal dunia.

Al-Zahabi menceritakan dalam Siyar A’lam Al-Nubala bahawa setiap kali ‘Amr bin Bahr Al-Jahiz memegang satu buku, beliau akan membacanya hingga khatam. Buku apa pun itu. Demikian cinta ulama kita kepada buku.

Media ilmu

Buku bukan hanya media ilmu, malah adalah cermin ketamadunan. Menurut Ibnu Khaldun, apabila buku diciptakan, umat manusia seolah-olah mengalami satu anjakan baru dalam hidup mereka.

Sebab sebelumnya manusia primitif hanya memiliki huruf-huruf dan gambar-gambar yang mereka guriskan di atas batu.

Oleh itu, membaca adalah ciri manusia moden. Orang yang suka membaca terdedah kepada pelbagai ilmu dan idea baru. Mindanya boleh berziarah ke tempat-tempat yang sangat jauh. Ia juga boleh berkunjung masa lalu dan membayangkan masa hadapan. Semakin banyak buku yang dibaca, semakin luas dan terasah minda kita.

Buku juga satu-satunya media yang menghubungkan kita dengan tokoh-tokoh terdahulu. Buku memperkenalkan kita dengan peribadi Rasulullah SAW, keberanian para sahabat, dan keluasan ilmu para tabiin. Siapa yang sering membaca buku, seolah-olah ia tengah duduk berbincang dengan tokoh-tokoh besar ini.

Seseorang bertanya kepada Imam Abdullah bin Al-Mubarak: “Kenapa anda jarang sekali duduk berbincang bersama kami?"

Beliau menjawab: “Aku lebih suka duduk bersama para sahabat dan tabiin. Aku melihat ke dalam buku-buku dan tulisan-tulisan mereka." Diriwayatkan oleh Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Taqyid Al- ‘Ilm.

Siapa yang malas membaca, maka terputuslah hubungannya dengan Allah SWT, Rasulullah SAW dan ulama-ulama salaf soleh.

Siapa yang putus hubungan dengan mereka, sudah pasti ia akan tersesat dalam memahami hakikat dan tujuan hidupnya di muka bumi ini. Ia akan hidup tanpa arah dan pegangan. Pada saat itu, syaitan akan sangat mudah mengheretnya ke lembah kekufuran.

Lantaran itu, bacalah buku, maka anda akan hidup dalam cahaya ilmu selama-lamanya.



UMAR MUHAMMAD NOOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/05/2013