May 11th, 2013

Insan tak putus asa mudah capai kejayaan

Mendapatkan sesuatu yang diingini memerlukan seseorang itu berusaha bersungguh-sungguh mencapainya. Kejayaan dan apa yang diingini tidak akan datang dengan sendiri tanpa berusaha.

Pepatah Melayu menyebut, yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak datang bergolek. Bagaimanapun, tidak semua diusahakan akan mencapai kejayaan seperti diharapkan. Manusia hanya berusaha dan merancang, Allah SWT menentukan.

Kegagalan adalah lumrah hidup. Kegagalan bukan bermakna akan gagal selama-lamanya. Justeru, umat Islam dilarang berputus asa sebaliknya digalakkan terus berusaha di samping berdoa supaya apa yang dilakukan itu mendapat kejayaan.

Sabda Rasulullah SAW: Tidak boleh ditolak qadar Allah melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan membuat baik kepada ibu bapa. (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)

Sikap berputus asa tidak akan mengubah ke arah lebih baik. Sebaliknya, ia akan memburukkan lagi keadaan serta menjauhkan seseorang itu daripada kejayaan.

Allah uji dengan kegagalan

Allah SWT menguji manusia dengan kegagalan supaya menjadi lebih taat dan mengharapkan pertolongan daripada-Nya. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mensia-siakan hajat manusia, melainkan ditunaikan atau diberikan ganjaran pahala.

Firman Allah SWT: Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Sesungguhnya, setiap umat Islam dilarang keras daripada berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Berputus asa bererti menolak qada dan qadar yang wajib diimani dan diyakini dengan sepenuhnya.

Memang agak sukar untuk memahami konsep qada dan qadar. Hanya Allah SWT mengetahui apa terkandung di sebalik qada dan qadar. Sebab itu, ada hadis mengingatkan mengenai bahaya mempersoalkan dan memanjang perbincangan mengenai qada dan qadar tanpa sebab tertentu. Sabda Rasulullah SAW: Apabila disebut mengenai qadar maka diamlah. (Riwayat Tabrani)

Cacat iman jika putus asa

Mereka yang mudah berputus asa bermakna imannya cacat dan tidak sempurna. Mereka tidak tahan ujian dan dugaan Allah SWT. Orang yang mudah berputus asa tidak akan mencapai kejayaan hidup.

Firman Allah SWT: Wahai anakku, pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah, sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusof, ayat 87)

Oleh itu, kegagalan sepatutnya menjadikan seseorang itu lebih tekun dan gigih berusaha sehingga mencapai kejayaan. Sesungguhnya, ramai individu yang cemerlang dalam pelbagai bidang pernah beberapa kali gagal sebelum itu.

Tidak ada orang yang tidak pernah mengalami kegagalan yang menjadi sebahagian asam garam dalam hidup. Hidup tanpa pernah menghadapi kegagalan seperti kuah tanpa garam, rasanya tawar, hambar dan tidak menyelerakan.

Allah SWT menjadikan kegagalan dan pelbagai kesusahan lain sebagai ujian kepada hamba-Nya. Firman Allah SWT: Demi sesungguhnya Kami akan menguji dengan sedikit perasaan takut, kelaparan dan berlaku kekurangan harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Orang yang sabar dan tidak mudah berputus asas akan sentiasa senang hati, mencari jalan atau usaha untuk terus berusaha supaya tidak lagi mengalami kegagalan. Lebih banyak usaha dilakukan, lebih banyak pahala kebajikan diperoleh.


Berita Harian Online Agama 11/05/2013

Wanita dikurnia jalan mudah untuk ke syurga

Lelaki dan wanita adalah hamba kepada Allah Maha Pencipta. Kedua-keduanya diciptakan untuk menjadi pasangan kepada satu sama lain, sebagai melengkapkan sunnah penciptaan seluruh makhluk di alam maya ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Tuhan Yang menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya. (Surah Yaasin ayat 36)

Namun demikian, wanita amat mudah untuk memasuki syurga berbanding kaum lelaki kerana kaum lelaki akan dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak dan isterinya dan mengajak masyarakat sekelilingnya kepada Islam.

Kaum lelaki juga akan bertanggungjawab kepada keperluan ibu bapanya dan keluarganya yang belum berkahwin walaupun dia mendirikan rumah tangga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah. (Hadis Riwayat Muslim).

Jaga maruah

Wanita solehah ialah mereka yang menjaga maruahnya dan sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah SWT seperti menjaga perhiasan, pergaulannya, menjaga lidah dan tidak mengumpat dan mengadu domba disamping menjadi wanita yang berilmu, cerdik dan pintar.

Malah, wanita juga perlu mendalami ilmu Islam, mengkaji tafsir al-Quran, hadis, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara mengubati penyakit masyarakat, manakala pada malam hari wanita juga boleh menjadi seorang abid, membaca al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdoa kepada Allah.

Perkara yang membawa seseorang wanita kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Apabila seorang wanita (isteri) melakukan sembahyang lima waktu, puasa Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya). (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani).

Firman Allah SWT : Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Dia akan memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung. (Surah an-Nisa ayat-13).

Isteri juga hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kamu menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.

Isteri solehah juga tidak perlu disuruh untuk selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu (wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah. Orang yang memperhatikan dengan teliti ayat al-Quran dan hadis akan mendapati begitu banyaknya dalil yang menjelaskan perilaku yang seharusnya dimiliki wanita Muslimah dalam hubungannya dengan Tuhannya.

Banyak ingat Allah

Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah ra dan Abu Said ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang yang banyak mengingati Allah.

Dalam hal bersedekah, Islam turut meletakkan wanita pada kedudukan sewajarnya. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka.

Kesimpulannya, wanita adalah makhluk ciptaan Allah yang istimewa yang Allah menyediakan jalan mudah untuk mereka menuju syurga dengan amalan di atas.

Semoga semua wanita sentiasa menjaga kesucian diri mereka dan mengelak segala bentuk fitnah yang mungkin boleh berlaku tanpa disedarinya.

Berita Harian Online Agama 11/05/2013

Urus jenazah waktu darurat

ISLAM menitikberatkan pengurusan jenazah termasuk dalam keadaan darurat. Jika seseorang manusia meninggal dunia dalam keadaan sempurna, sedikit sebanyak ia telah memudahkan pengurusan jenazah.

Bagaimana pula jika jenazah berhadapan dalam keadaan menyukarkannya untuk menguruskannya? Bagaimana dalam keadaan ghaib?

Bagi menjawab kekeliruan berkenaan, Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Rushdi Ramli mengulas beberapa persoalan khususnya berkaitan pengurusan jenazah dalam keadaan darurat.

Apakah konsep Islam terhadap pengurusan jenazah ketika darurat contohnya dalam peperangan, tsunami dan sebagainya?

Dr. Rushdi Ramli: Hukum asal pengurusan jenazah orang Islam adalah fardu kifayah dengan maksud sekiranya ia tidak dilakukan maka berdosa semua umat Islam.

Pengurusan jenazah merangkumi semua perbuatan memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan terakhir sekali mengkebumikan mayat menurut kaedah yang ditentukan Islam.

Dalam keadaan apa sekalipun sama ada peperangan, tsunami dan lain-lain, jenazah seorang Muslim perlulah disempurnakan sebagai suatu tuntutan fardu kifayah dan tidak boleh diabaikan atau diambil mudah.

Walau bagaimanapun, sekiranya jenazah tidak dapat diuruskan seperti yang sepatutnya, maka jenazah itu wajib diuruskan menurut kadar kemampuan yang ada.

Sebagai contoh dalam waktu peperangan, sekiranya tidak memiliki kain kapan yang dapat menutup keseluruhan anggota si mati, maka cukuplah ditutup sekadar yang termampu dari bahagian jasad. Sekiranya tidak ada air untuk dimandikan, maka boleh digantikan dengan tayamum.

Begitu juga, sekiranya keadaan mayat hampir reput dan hancur sekiranya dimandikan dengan air, maka cukuplah tayamum sahaja. Sesungguhnya, Allah tidak membebankan kita dengan sesuatu yang di luar upaya kita.

Apakah kaedah fiqh digunapakai jika jenazah tidak dijumpai dalam beberapa tempoh tertentu?

Dr. Rushdi Ramli: Sekiranya jenazah tidak dijumpai dalam tempoh tertentu yang diyakini dia telah mati seperti kemalangan kapal terbang atau tenggelam di lautan. Bagi mazhab Syafie, dibolehkan kita melakukan solat jenazah secara ghaib iaitu solat jenazah kepada si mati dalam keadaan jenazah tidak bersama dengan kita kerana tidak ditemui, atau boleh juga solat jenazah secara ghaib sekiranya si mati berada di negara lain sedangkan kita bersolat di Malaysia.

Jika tidak dijumpai, bagaimana Islam mengambil pendekatan untuk pengurusan jenazah itu?

Dr. Rushdi Ramli: Dalam semua keadaan, prinsipnya, Allah tidak memberi tanggungjawab untuk kita melainkan dalam kadar yang kita mampu melakukan. Pengurusan jenazah digugurkan bagi jenazah yang gagal ditemui seperti dimakan harimau.

Sekiranya dijumpai itu hanya sebahagian daripada anggota badan si mati maka menurut Imam Syafie, Imam Ahmad Hanbal dan Imam Ibnu Hazmin, anggota itu hendaklah dimandikan, dikapankan dan disembahyangkan ke atasnya dengan niat bersembahyang ke atas diri si mati.

Berbeza sedikit dengan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, sekiranya anggota si mati yang dijumpai itu melebihi separuh jasad seperti dari kepala sehingga pinggang, maka barulah anggota itu dimandikan dan dikapankan dan disembahyangkan. Sekiranya anggota tidak sampai separuh, maka tidak perlu dimandikan.

Bagaimana mengurus mayat penceroboh di negara Islam, contohnya mengambil pendekatan Lahad Datu?

Dr. Rushdi Ramli: Sekiranya diyakini berdasarkan pertunjuk yang jelas mayat itu adalah Muslim, maka segala pengurusan jenazah sebagai seorang Islam hendaklah diikuti, sekalipun kita sedar bahawa mereka telah melakukan dosa besar menceroboh kedaulatan negara Malaysia.

Bagi bukan Islam, ia tidak perlu dimandikan seperti seorang Muslim. Jika seseorang Muslim itu mati dengan sebab hukuman hudud, maka jenazahnya tetap perlu diuruskan sebagai seorang Islam.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 09/05/2013

Perjalanan terakhir Ali

PENGURUSAN jenazah amat dititikberatkan dalam Islam bermula seseorang manusia menghembuskan nafas terakhir kemudian ia dimandikan, dikafankan, disembahyang dan seterusnya dikebumikan.

Demikian indahnya ajaran Islam dalam mendidik umatnya dalam setiap aspek kehidupan seharian, khususnya berkaitan soal hidup dan mati.

Dahulu, dalam persekitaran luar bandar soal pengurusan kematian merupakan tanggungjawab setiap ahli masyarakat bermula daripada ketua kampung sehingga para penghuni kampung. Selepas mendengar perkhabaran kematian, maka berduyun-duyun ahli tetangga menziarahi jenazah, sekali gus membantu ahli keluarga menguruskan si mati.

Situasi demikian berlaku hampir 20 tahun lalu. bagaimana keadaan pada masa kini di tengah-tengah pembangunan negara apabila suasana hubungan erat masyarakat umpama telah lupus ditelan zaman sehinggalah terdapat kisah apabila seorang bapa ditinggalkan sanak-saudara dan mati keseorangan.

Bayangkan jika berlaku seumpama itu, siapa yang bakal mengurus individu berkenaan? Di mana lokasi jenazah itu diuruskan?

Bagi menjawab persoalan itu, Mega Utusan Malaysia berkesempatan membuat liputan pengurusan jenazah yang tidak dituntut yang diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), baru-baru ini.

Ketika tiba di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, terlihat sebuah van jenazah milik Jawi terletak di hadapan premis berkenaan. Kelihatan tiga anak muda yang merupakan petugas daripada Unit Kebajikan Islam, Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi sedang mengangkat satu jenazah dari bilik forensik.

Jenazah kaku dibaluti kain putih itu kemudian diangkat lalu dimasukkan ke van untuk dibawa mandi dan dikafan di sebuah lokasi yang terletak di pinggir ibu kota.

Dianggap seperti menguruskan jenazah tidak dituntut seperti saudara sendiri, usaha Jawi itu perlu dipuji.

Di atas van Jawi, jenazah lelaki berusia 43 tahun meninggal dunia akibat jangkitan kuman telah disimpan selama dua minggu sebelum ia dikebumikan.

Tugas yang digalas oleh tiga petugas iaitu Mohamad Firdaus Mat Puat, 2; Zainuri Mohd. Rani, 29, dan Mohd. Hasmizi Mohd. Hassan, 31, telah menjadi kewajipan fardu kifayah untuk mereka berbuat demikian. Malah kata mereka, setiap jenazah itu diibarat saudara sendiri.

Kemudian jenazah di bawa di sebuah rumah kecil terletak di salah sebuah tanah perkuburan di Selayang, Selangor untuk proses seterusnya.

Setelah tiba di lokasi dengan jenazah akan dimandikan dan dikapankan, tiga petugas itu perlahan-lahan mengangkat lelaki yang dikenali sebagai Ali ke tempat mandi mayat yang telah disediakan.

Tugas dilakukan mereka dengan penuh berhati-hati kerana jenazah itu sudah dua minggu disimpan di peti sejuk Jabatan Perubatan Forensik HKL walaupun ia masih sempurna.

Jenazah terlebih dahulu dibersihkan daripada sebarang kekotoran sebelum dijirus air pertama dengan diakhiri dengan air kapur.

Menurut Mohamad Firdaus, cara memandikan jenazah tidak dituntut adalah seperti biasa. namun sekiranya keadaannya tidak mengizinkan, mereka akan berwaspada dengan memberikan perhatian kepada mayat berkenaan.

Selepas jenazah dimandikan dengan dibilas dengan jirusan terakhir, lalu tiga petugas itu mengangkat lelaki tidak bernyawa ke suatu ruang lapang bersebelahan tempat mandi.

Suasana sedih menyelubungi ruang itu apabila kain-kain putih disediakan itu merupakan pakaian terakhir si mati sebelum ia ke alam kubur sekali gus menandakan bahawa pakaian mewah dipakaioleh manusia masih hidup adalah sementara.

Kemudian jenazah diangkat dengan menghadap kiblat untuk disembahyangkan bagi memenuhi rukun pengurusan jenazah. Doa dihajatkan kepada Allah SWT agar jenazah diampunkan dan diletakkan bersama orang-orang beriman.

Kediaman terakhir

Paling menyayat hati apabila tiba giliran jenazah untuk dikebumikan. Ukuran liang lahad seluas satu meter lebar dan dua meter panjang menandakan bahawa tempat itu merupakan kediaman terakhir untuk Ali selama-lamanya.

Hatta sekalipun mewah manusia, mereka tetap akan dikebumikan di dalam ruang tanah yang sempit dan dipenuhi tanah-tanah pasir.

Bertempat di Raudatul Sakinah terletak di Taman Batu Muda, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Perkuburan Dalam Taman, jenazah kemudian dibawa menerusi van lalu diangkat untuk disemadikan.

Dengan kekuatan seramai 10 petugas, dalam waktu singkat jenazah selamat dikebumikan tatkala itu diletakkan batu sebagai tanda bahawa kubur itu milik seorang lelaki bernama Ali bin Abdullah.

Firdaus kemudian mengetuai bacaan tahlil dan doa semoga Allah mencucurkan rahmat kepada Firdaus. Ibadah itu adalah tugas terakhir mereka sebelum jenazah ditinggalkan bersemadi selama-lamanya di alam barzakh.

Dengan konsep jenazah tidak dituntut dianggap seperti saudara sendiri, tanggungjawab yang digalas oleh Firdaus dan rakan-rakannya wajar dipuji. tanpa mereka siapakah lagi hendak menguruskan mayat berkenaan. Sudah tidak tentu lagi, ia adalah fardu kifayah.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 09/05/2013

Zulkarnain kuasai dunia dengan izin Allah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Sehingga apabila dia sampai ke daerah matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur dan dia dapati di sisi-Nya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): Hai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka. Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (al-Kahfi: 86)

Dia berkata: Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya, kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (al-Kahfi: 87)

PENULIS memulakan hal ini dengan kisah Zulkarnain. Kebanyakan ulama dan sejarawan berpendapat: Beliau ialah Iskandar Ibnu Faylabas al-Rumiy, murid Aristotle, ahli falsafah yang digelar guru pertama dan falsafahnya telah tersebar di tengah-tengah umat Islam. Beliau hidup lebih kurang 330 SM seorang penduduk Macedonia, memerangi Parsi, mengalahkan Raja Dara dan mengahwini puteri Raja Dara. Kemudian, beliau meneruskan perjalanannya ke India dan melakukan serangan. Seterusnya, beliau memerintah negara Mesir serta membangunkan Iskandariah.

Bukti menunjukkan beliau ialah Iskandar Zulkarnain. Sejarah belum memastikan lagi adanya seorang raja yang berjaya mengelilingi dunia, melakukan perjalanan dari Timur hingga Barat dan menawan banyak wilayah kecuali beliau.

Abu al-Raihan al-Bairuni adalah seorang ahli astronomi meriwayatkan dalam kitabnya al-Athar al-Baqiyyah ‘an al-Quran al-Khaliyyah telah menyatakan Zulkarnain berasal dari Himyar dan namanya ialah Abu Bakar Ibnu Ifriqish. Beliau telah membawa bala tenteranya ke tepi Laut Tengah, melewati Tunisia, Moroko dan lain-lain. Beliau telah mendirikan kota Afrika sehinggalah keseluruhan benua itu terkenal dengan namanya.

Beliau digelar dengan nama Zulkarnain kerana beliau mempunyai dua tanduk matahari.

Bukti yang menunjukkan beliau seorang Himyar iaitu, gelaran al-Adhwa (orang yang namanya menggunakan Dhu) hanyalah dikenali di negeri Himyar, bukan di Yunan. Beliau memerintah Dawlah Himyar sejak 115 SM sehingga 552M, pemerintahan kedua-dua Dawlah Himyar. Rajanya pula disebut Tahabi’ah (mufradnya Tubba’)

Pada ayat ke-86, Ibnu Kathir berkata: maksudnya, dia berjalan melampaui jalan hingga akhirnya sampai di tempat jauh yang ditempuhinya itu iaitu belahan bumi bahagian barat. Adapun mencapai tempat terbenamnya matahari di langit, maka itu merupakan suatu hal yang tidak mungkin.

Maksudnya dia menyaksikan matahari dengan matanya sendiri terbenam di dalam samudera. Demikianlah keadaan setiap orang yang pandangannya berakhir sampai pada tepian pantai, di mana dia melihat matahari itu seakan-akan terbenam ke dalam lautan tersebut. Sedangkan matahari itu tidak bersinar dari orbitnya, dia tetap ada pada orbitnya, tidak meninggalkannya. Kata al-Hami-ah diambil daripada salah satu daripada dua cara bacaan iaitu al-Hama-ah yang bererti tanah.

Al-Maraghi berkata: Sememangnya Zulkarnain mahu sampai ke tempat terbenamnya matahari. Oleh itu, beliau menyusuri jalan yang boleh sampai ke tempat tersebut. Akhirnya beliau sampai ke penghujung dunia di arah barat dan berhenti di tepi Lautan Atlantik. Di situ beliau dapati matahari seolah-olah terbenam di dalam mata air yang berlumpur hitam.

Beliau menemui sebuah negeri terakhir - yang tidak ada negeri lagi sesudahnya - iaitu negeri yang diibaratkan seperti lautan kegelapan dan tidak ada pemerintahan tetapi merupakan tempat terbenamnya matahari. Beliau telah berjalan ke Tunisia, kemudian ke Marrakush hingga sampai ke laut tempat beliau mendapati matahari seakan-akan terbenam. Tempat itu berwarna biru, seakan-akan lumpur bercampur air.

Dalam hal ini, Allah SWT memberinya petunjuk melalui ilham: Allah SWT memberinya dua alternatif untuk memerintah tempat tersebut. Pertama membunuh penduduk kafir itu, jika tidak mengakui kekuasaan-Nya. Kedua, mengajar mereka dengan ilmu agama sebagai memperjelaskan syariat dan hukum kepada mereka.

Manakala pada ayat ke-87, Ibnu Kathir berkata: Sangat pedih dan menyakitkan. Dan dalam hal itu terdapat penetapan hari pengembalian dan pembalasan.

Al-Maraghi berkata: Zulkarnain berkata kepada pengawalnya: Orang yang melakukan penganiayaan ke atas dirinya dengan menyekutukan Tuhannya, akan diazab dengan hukuman bunuh. Di akhirat pula dia akan menemui Tuhan serta diazab dengan azab yang dahsyat di dalam neraka jahanam.

Isu berkenaan dengan Zulkarnain juga menjadi polemik di kalangan tokoh ilmuwan sama ada Barat atau Islam. Tetapi yang pentingnya dalam nas Ilahi menunjukkan bahawa beliau adalah seorang raja yang soleh yang menguasai dunia dengan izin Allah SWT. Semoga Allah meramaikan pemimpin yang soleh dalam mengurus atur kehidupan manusia. Amin.


DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/05/2013

Permaisuri bijak dan kreatif

DI dalam sejarah Islam, terdapat ramai srikandi Islam yang bukan sahaja berani di medan perang malah turut menyumbang tenaga membantu masyarakat di sekeliling mereka dengan apa sahaja kemampuan dan kuasa yang mereka miliki. Namun di samping peranan mereka yang penting itu, fitrah semula jadi wanita yang sukakan keindahan dan kecantikan tidak diketepikan.

Di dalam buku-buku sejarah seni Islam agak sukar ditemui mengenai peranan wanita dalam meluahkan cita rasa dan pilihan mereka dalam bidang berkaitan dengan kesenian Islam. Tetapi sewaktu pemerintahan Dinasti Abbasiyah khususnya, terdapat dua orang wanita hebat yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan Khalifah Abbasiyah pada abad ke-8 Masihi / 2 Hijrah iaitu Khayzuran (m. 789 Masihi) dan menantunya Zubaydah (m. 831 Masihi).

Zubaydah lebih dikenali dengan sifat keprihatinannya terhadap rakyat dan cita rasanya terhadap fesyen berbanding Khayzuran, seorang wanita yang bijaksana dan berpengaruh dalam pemerintahan Abbasiyah pada waktu itu. Zubaydah merupakan isteri kesayangan kepada seorang Khalifah Abbasiyah terkenal iaitu Harun ar-Rashid (763-809 Masihi) dan ibu kepada Khalifah Al-Amin (787 - 813 Masihi) yang memerintah selepas kemangkatan Harun ar-Rashid.

Di dalam kemewahan Dinasti Abbasiyah, Zubaydah boleh digambarkan sebagai seorang wanita, isteri dan ibu yang mempunyai cita rasa tersendiri. Ini mendorong baginda mencipta pakaian dan kasut baginda sendiri. Baginda merupakan orang pertama yang memulakan rekaan kasut dengan tatahan batu permata.

Dalam satu rekod yang menceritakan tentang kehidupan istana Harun ar-Rashid, Zubaydah digambarkan menyiapkan dirinya untuk berjumpa dengan Khalifah seperti berikut: "Baginda bersiram dengan air wangi-wangian, memakai pakaian terbaik daripada 10 helai pakaian yang dimiliki, memakai perhiasan yang indah-indah, memakai tali pinggang broked dan mengenakan dua helai tudung sutera berwarna biru dan emas sebelum mengoleskan celak di matanya dan akhir sekali menutup wajahnya yang cantik dengan sehelai kain sebelum keluar."

Menurut ahli sejarah al-Mas'udi (871-957 Masihi) Zubaydah mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang kecantikan seperti pakaian, kosmetik dan sebagainya, namun sifat ini diimbangkan dengan minat dan ketakwaan beliau melakukan kerja-kerja amal. Sebagai isteri kesayangan khalifah, baginda dianugerahkan dengan pelbagai kemewahan yang melimpah ruah.

Sumbangan dan keprihatinan baginda dalam penyediaan kemudahan untuk jemaah haji seperti penginapan dan bekalan air yang mencukupi untuk jemaah haji amat diingati dalam sejarah. Baginda orang pertama yang mengarahkan supaya telaga zam-zam digali lebih dalam (kira-kira 4.5 meter) bagi memastikan bekalan air zam-zam yang mencukupi untuk semua jemaah haji yang datang ke Mekah.

Satu lagi sumbangan baginda ialah menyediakan jalan yang selamat bagi memudahkan perjalanan jemaah haji Iraq ke Mekah. Jalan ini dikenali dengan nama Jalan Zubaydah. Ini tidak termasuk harta yang dibelanjakan untuk membantu rakyat yang berada dalam keadaan memerlukan yang tinggal berhampiran dengan istana baginda. Baginda amat dikenali di kalangan rakyat jelata sebagai seorang yang pemurah dan prihatin.

Zubaydah juga menyediakan jadual giliran tadarus berkumpulan yang dianggotai oleh sepuluh orang daripada 100 orang dayang setiap satu untuk membaca al-Quran sepanjang hari di kediaman baginda.

Baginda merupakan seorang wanita Islam yang dianugerahkan Allah SWT dengan status yang tinggi, kecantikan, kuasa dan kemewahan namun baginda menyeimbangkan peranan dan tugas baginda dengan bijak sebagai amanah seorang isteri kepada pemimpin dengan meringankan beban Khalifah dalam memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

Peranan yang dimainkan Zubaydah dalam menjaga kebajikan rakyat ini menjadi ikutan puteranya yang menjadi Khalifah Abbasid seterusnya.

Dapatkan buku Faith & Power di Kedai Muzium MKIM yang menceritakan tentang srikandi Islam di dalam al-Quran dan Sejarah Islam.



ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA, Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/05/2013