May 22nd, 2013

Usah semarak pergeseran etnik

Keamanan negara akan tergadai jika keganasan jalanan tidak ditangani secara bijak

Pilihan Raya Umum ke-13 sudah selesai dan umum mengetahui keputusan penuh pilihan raya. Namun, seperti kata pepatah Melayu, rumah siap pahat berbunyi. Masih ada yang mempertikaikan keputusan telah dibuat secara rasmi.

Perhimpunan sedang dijalankan di seluruh negara ekoran daripada keputusan pilihan raya. Polarisasi pengundian yang dikatakan mengikut etnik juga menjadi isu hangat akhir-akhir ini dan ada pula yang menyemarakkan isu itu.

Perkara ini dikhuatiri akan menimbulkan pergeseran etnik dan mencabar perlambangan warna biru pada jalur gemilang yang membawa maksud perpaduan kaum di Malaysia. Sebagai negara mempunyai masyarakat majmuk, kita tidak mampu untuk menghadapi perkelahian antara kaum yang akhirnya akan menjadikan negara tidak aman.

Apabila keamanan tergadai akibat daripada keganasan jalanan atau pergeseran etnik, kehidupan rakyat akan menjadi huru hara seperti di beberapa negara yang telah dan sedang mengalaminya, masanya adalah majoriti rakyat bukan pencetusnya.

Barisan kepemimpinan baru sama ada pada peringkat Persekutuan atau negeri mempunyai cabaran besar untuk menangani permasalahan yang telah ditimbulkan ini.

Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik. Allah menjadikan manusia daripada pelbagai golongan dan etnik atau bangsa. Kepelbagaian ini bukan bertujuan untuk bermusuhan, tetapi adalah untuk kenal-mengenal, bantu membantu supaya kemakmuran hidup bersama dapat dicapai.

Firman Allah SWT: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain) Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih takwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Mulia mendalam pengetahuanNya.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Ayat itu secara khusus meletakkan asas kemajmukan dan tujuan kepelbagaian etnik untuk menggalakkan berlakunya interaksi, kerjasama serta saling melengkapi dan bukannya pengasingan atau mewujudkan konflik etnik.

Islam juga memberi penekanan mengenai konsep keadilan yang tidak berasaskan etnik dan telah dinyatakan dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, Allah menyuruh kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan suruhan-Nya itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu dan sesungguhnya Allah itu sentiasa mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah An-Nisaa, ayat 58)

Sistem keadilan bukan sistem kesamarataan kerana kesamarataan tidak semestinya menunjukkan keadilan. Bahkan dalam pertandingan sukan pun terdapat pelbagai kategori bagi satu jenis sukan untuk mewujudkan pertandingan yang adil.

Oleh itu, kita tidak boleh memperjuangkan kesamarataan, tetapi mesti memperjuangkan keadilan.

Di samping itu, bagi sesebuah kerajaan yang berpaksikan kepada Islam, kerjasama dengan bukan Islam dalam urusan pentadbiran negara tidak menjadi satu kesalahan.

Orang bukan Islam juga mempunyai hak selagi mereka tidak memusuhi agama Islam. Hal ini jelas dalam firman Allah SWT: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Malaysia sebelum merdeka telah menjadi tanah yang dihuni oleh etnik Melayu ketika sistem pemerintahan beraja. Kemudian ketika koloni asing mengambil alih pemerintahan, etnik lain telah dibawa masuk.

Selepas merdeka, semua etnik tinggal dan menetap di Malaysia. Sejak merdeka, semua etnik telah bekerjasama dengan baik dari segi pentadbiran dan hidup dalam keadaan harmoni. Walaupun pernah diuji dengan pergeseran etnik selepas 13 tahun merdeka akibat tindakan sesetengah pihak yang cuba membangkitkan isu perkauman, negara telah mengatasinya dengan baik.

Hingga kini, keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia telah dicemburui banyak pihak dan banyak negara cuba mempelajari formula keadilan antara etnik diamalkan Malaysia. Lebih membanggakan, Malaysia adalah negara Islam berjaya memberi imej baik perpaduan bangsa.

Oleh itu, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak menyemarakkan semula pergeseran antara etnik. Bagi yang telah dipilih melalui sistem pilihan raya yang adil dan telus, haruslah bijak menangani isu ini.

Semua parasit yang ingin menjadikan negara ini kacau bilau harus dihapuskan. Kempen pilihan raya lalu mungkin telah menjadikan kita berpuak-puak mengikut fahaman politik masing-masing. Namun, semua pihak harus kembali fokus dan bersatu untuk membawa negara ke peringkat yang lebih baik.

Moeis Basri ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Berita Harian Online Agama 22/05/2013

Berzikir hati jadi tenang, malu lakukan dosa

Istighfar bermaksud meminta keampunan kepada Allah SWT. Istighfar juga membawa maksud meminta dilindungi segala kesilapan, kesalahan dan memohon dibangkitkan dari alam kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban dilakukan tidak terdedah atau terbuka kepada umum.

Firman Allah SWT: “Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?” (Surah al-Imran, ayat 135)

Sehubungan itu, kita perlu mengingatkan diri serta orang lain mengenai azab Allah dan memohon keampunan dengan berzikir (istighfar) kepada Allah SWT supaya ditutupi segala dosa atau keaiban kita.


Mukmin yang derhaka perlu yakin bahawa dosanya akan diampunkan dan dilindungi daripada pandangan orang ramai dengan syarat mereka perlu menyesali serta bertaubat bermula dari hati yang insaf terhadap kesilapan dilakukan.

Kemudian bertekad dengan sepenuh hati untuk tidak melakukan dosa lagi. Lakukan dengan seikhlas hati dan berterusan. Insya-Allah, Allah akan menerima taubat serta menyembunyikan segala keaiban serta diberi keupayaan untuk menentang kejahatan jika terlintas di hati melakukannya kembali.

Perlu juga ada perasaan malu dan gerun dalam hati kepada Allah untuk mengulangi kesilapan itu. Jika ini berjaya dilakukan, kita akhirnya menjadi manusia yang patuh dan taat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT : “Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan memohon ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” (Surah al-Nasr, ayat 3) Segala perbuatan bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati seseorang. Jika hati sentiasa bertasbih mengingati Allah, berzikir mengagungkan kebesaran serta kekuasaan-Nya, akan lahir perasaan malu yang menguasai diri hingga takut mengingkari suruhan-Nya.

Sabda Rasulullah SAW: “Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong leher kamu! Kemudian sekalian sahabat bertanya: Apakah itu wahai Rasul? Baginda SAW menjawab: Zikir kepada kepada Allah.” (Riwayat al- Baihaqi)

Pesanan Imam Al-Bukhari, zikir adalah tugas harian setiap Muslim kerana dengan zikir ia akan mendatangkan kekuatan dan ketenangan. Maka berzikirlah setiap masa supaya Allah sentiasa ingatkan kita setiap masa.

Zikir itu luas penggunaannya kerana mengerjakan sesuatu ketaatan kepada Allah juga dipandang sebagai zikir. Majlis yang membincangkan atau memperkatakan soal agama, halal haram, menceritakan kebesaran dan kehebatan Allah juga dianggap majlis zikir.

Oleh itu, sesuatu amalan yang matlamatnya mengingati Allah, adalah zikir. Allah sangat menyukai orang yang lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Ingatlah, Allah sudah menjanjikan ganjaran pahala yang banyak kepada orang yang berzikir.

Allah berfirman: “Golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.” (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Nor Zella Mohd Baharudin Berita Harian Online Agama 22/05/2013