May 25th, 2013

Kain tenun Melayu

SEHARI selembar benang, lama-lama jadi sehelai kain" adalah peribahasa Melayu yang menggunakan kerja menenun kain sebagai pembayang kepada maksud yang lebih mendalam iaitu usaha yang berterusan walaupun sedikit, lama-kelamaan akan berhasil.

Proses menenun merupakan salah satu daripada kepandaian masyarakat Melayu tempatan di Semenanjung Tanah Melayu terutamanya di kawasan Pantai Timur. Berlainan dengan songket dan limar yang terkenal di Kelantan dan Terengganu, kain tenun lebih popular di Pahang.

Kain tenun mempunyai corak jalur, melintang atau petak. Kain tenun dihasilkan menggunakan sejenis alat yang dipanggil kek Siam. Kain tenun dibuat menggunakan benang kapas atau sutera yang telah diwarnakan dalam pelbagai warna menarik.


KAIN tenun punca potong yang amat sederhana dari segi penampilan motif hiasan.

Industri pembuatan kain tenun telah mengalami jatuh bangun dari zaman sebelum merdeka untuk terus kekal sebagai warisan tekstil Melayu di Semenanjung Tanah Melayu sehingga ke hari ini.

Namun peranan istana Melayu di Pantai Timur dalam memastikan kelangsungan warisan tekstil ini telah menyelamatkan kepandaian tempatan ini daripada pupus selepas Perang Dunia Kedua yang telah menyebabkan kekurangan bekalan benang dan bahan-bahan menenun yang lain serta harganya yang tinggi.

Salah seorang penaung industri tekstil Melayu yang telah banyak menyelamatkan industri kain tenun pada awal 1900-an ialah Tengku Ampuan Mariam Sultan Abdul Almuazzam Shah yang telah menggajikan penenun-penenun mahir di sekitar kawasan istana bagi menghasilkan kain-kain tenun untuk kegunaan istana. Usaha baginda ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan suri rumah dan juga menjamin kelangsungan kemahiran yang mereka miliki.

Corak tradisional kain tenun dikenali sebagai corak Muar, yang mempunyai corak petak yang besar dan menggunakan pilihan warna yang terang atau warna gelap. Satu lagi corak kain tenun yang masih dihasilkan ialah corak Bugis.

Corak ini diperkenalkan ke Tanah Melayu oleh orang Bugis. Ia mempunyai pelbagai ragam corak dan petak yang dihasilkan juga adalah lebih kecil berbanding corak Muar.

Benang emas juga digunakan bagi sesetengah ragam hias kain tenun. Motif alam yang diadaptasikan di atas kain tenun ialah seperti corak batang pinang, corak biji peria, corak ayam sambas dan corak seluang mudik. Terdapat juga corak yang dinamakan sempena dengan nama seseorang tokoh seperti Tun Razak dan corak Tun Muda.

Di Kelantan dan Terengganu, kain tenun juga dikenali dengan nama kain punca potong yang banyak digunakan oleh golongan lelaki sebagai kain samping. Kain punca potong mempunyai warna yang terang dan corak di kedua-dua bahagian hujungnya mempunyai corak yang sama dan berlainan dengan corak utama di bahagian tengah.

Pada hari ini, kain tenun yang dikenali di Malaysia ialah kain tenun Diraja Pahang. Kain tenun ini mempunyai motif tersendiri yang dikenali sebagai tenun bercolek di mana benang emas digunakan dalam tenunan kain. Satu lagi ciri istimewa tenun Diraja Pahang ialah motif sepit udang. Kain tenun dikenali sebagai kain yang paling sederhana berbanding songket dan limar namun mempunyai warna-warna yang segar dan menarik.

Kunjungi pameran tekstil Melayu, Tradisi dan Kesinambungan bertempat Galeri Khas 2, Muzium Kesenian Islam dan pelajari jenis, teknik dan hiasan tekstil Melayu Semenanjung Malaysia yang akan berakhir pada awal Julai.



ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA, Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia Utusan Malaysia Online Bicara Agama 24/05/2013

Persoalan hangat tentang Yakjuj dan Makjuj

1 Adakah Yakjuj dan Makjuj daripada manusia?

Jawapan: Ya. Kedua-duanya daripada umat manusia. Iaitu dua kabilah. Dikatakan daripada Yaputh bin Nuh. Ini dikuatkan lagi daripada hadis Bukhari.

2 Apakah sifat Yakjuj dan Makjuj?

Jawapan:Antara sifat mereka ialah

- Kekuatannya yang amat luar biasa.

- Mata mereka sepit.

- Banyak bulu pada badan mereka.

- Jumlah mereka tersangat ramai.

Manakala Ibnu Hajar menyebut tiga sifat iaitu:

- Jasad mereka seperti pohon yang besar.

- Jasad mereka empat hasta lebar x empat hasta tinggi.

- Sebahagian mereka boleh duduk di atas telinga-telinga mereka seleret ke tanah.

Pun begitu, sifat ini tidak disandarkan pada riwayat yang sahih, tetapi didhaifkan sifat tersebut oleh sebahagian ulama.

3 Bilangan Yakjuj dan Makjuj?

Jawapan: Bilangan mereka teramat ramai. Ini berdasarkan hadis di mana bilangan mereka tanpa diketahui jumlahnya. Dalam hadis al-Hakim melalui kitabnya al-Istadrakh menyebut: Manusia dibahagikan kepada 10 juzuk dan 9/10 daripadanya Yakjuj dan Makjuj sedangkan sejuzuk yang lain adalah semua makhluk atau manusia.

4 Apakah agama Yakjuj dan Makjuj?

Jawapan: Mereka adalah yang kufur dengan Allah. Kalaulah tidak, nescaya tidak dihukum ke atas mereka serentak. Ini berdasarkan mafhum hadis.

5 Tempat tinggal Yakjuj dan Makjuj?

Jawapan: Berdasarkan riwayat hadis, mereka dikurung dan disekat antara dua gunung yang besar di Turki. Apabila mereka keluar, mereka terus menuju ke Laut Mati dan meminum semua air tersebut. Kemudian mereka menuju ke Baitul Maqdis, Palestin.

6 Bilakah mereka keluar?

Jawapan: Mengikut riwayat yang sahih mereka keluar pada zaman Nabi Allah Isa bin Maryam selepas turunnya Nabi Isa dan dia membunuh Dajjal dan ketika itulah keluarnya Yakjuj dan Makjuj menyebabkan Nabi Isa telah membawa bersamanya orang yang beriman ke gunung yang berhampiran iaitu gunung Thur. Ini bertujuan untuk berlindung kerana ramainya jumlah Yakjuj dan Makjuj seperti ombak laut yang tidak diketahui hujung dan pangkalnya.

7 Tempat tinggalnya sekarang?

Jawapan: Sekarang ini dengan kemudahan teknologi bahkan melalui udara dan satelit yang mungkin dapat mengesan tempat tinggal Yakjuj dan Makjuj. Dalam hal ini, kudrat Allah SWT yang boleh melakukan apa saja. Berdasarkan nas hadis menunjukkan mereka berada di dalam tanah dan percubaan untuk keluar berlaku dari semasa ke semasa. Samalah seperti kita beriman adanya jin dan di manakah mereka.

8 Bagaimana cara Yakjuj dan Makjuj dibinasakan?

Jawapan: Mengikut riwayat Nawwas bin Sam'an bahawa Yakjuj dan Makjuj telah dibala dengan leher mereka dimakan ulat dan mereka mati serentak, selepas itu Nabi Isa dan pengikutnya turun ke bumi. Mereka tiada tempat kerana dipenuhi jasad Yakjuj dan Makjuj dan bau jasad mereka yang tidak baik. Kemudian Allah SWT utuskan burung seperti leher-leher unta memakan dan membawa mereka mengikut kehendak Allah SWT. Selepas itu Allah SWT menurunkan hujan membasuh bumi hingga menjadi suci.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 24/05/2013

Sifat Yakjuj dan Makjuj

DALAM siri ini penulis sengaja membincangkan berkenaan sifat Yakjuj dan Makjuj secara khusus yang telah disebut daripada siri ini dan selepasnya.

Yakjuj berbangsa Tartar, manakala Makjuj berbangsa Monggol. Mereka berasal daripada satu keturunan bapa yang bernama Turk dan tinggal di bahagian Utara Asia. Negara mereka adalah memanjang bermula dari Tibet, China hingga ke Laut Beku Utara dan di barat hinggalah ke negeri Turkistan.

Pakar sejarah Arab dan Perancis menyatakan Yakjuj dan Makjuj ini sering menyerang negara jiran yang berhampiran. Mereka sering melakukan kerosakan di muka bumi dan menghancurkan bangsa lain. Di kalangan mereka ada bangsa yang ganas berasal dari bukit tinggi dari Asia Tengah dan berhijrah ke Eropah pada masa dahulu seperti bangsa Smith, Sumeria dan Hun. Mereka telah menyerang negeri China dan Asia Barat yang merupakan tempat menetapnya para nabi.

Selepas zaman pemerintahan nabi, mereka masih tetap berada di sempadan negara mereka dan tidak keluar dari negara mereka, sehinggalah muncul di kalangan mereka. "Si malapetaka yang bertulang," Tamujin yang mendakwa (menggelar) dirinya dengan nama Gengis Khan (bangsa Moggol) yang bererti Raja Alam.

Pada awal abad ke-7 Hijrah, Tamujin keluar dari bukit yang tinggi, jauh di Asia Tengah. Perkara pertama yang dilakukannya ialah menundukkan China Utara, kemudian pergi ke negeri-negeri Islam, dengan menawan Sultan Qatb al-Din ibn Armilan, iaitu salah seorang Raja Saljuk, Raja Khawarizm. Kekejian yang dilakukan oleh Gengis Khan di negeri tersebut merupakan kekejian yang belum pernah berlaku dalam sejarah.

Ketika Gengis Khan mati, pemerintahannya digantikan oleh puteranya Aqtay. Manakala putera saudaranya iaitu Batu telah menyerang Rusia pada 732 Hijrah dan memusnahkan Polnia serta menghancurkan negeri Majr. Setelah Aqtay meninggal, pemerintahannya digantikan oleh Jaluk. Beliau telah memerangi Rom dan memaksa rajanya membayar ufti.

Setelah Jaluk meninggal, pemerintahannya digantikan oleh anak saudaranya, Manju yang telah menindas kedua-dua saudaranya, Kaylay dan berjaya menguasai negeri China manakala Hulaku meneruskan penguasaannya ke atas kerajaan-kerajaan Islam dan menawan pusat pemerintahan Khalifah Abbasiyah. Ketika itu pemerintahan Abbasiyah diterajui oleh Musta'sim Billah.

Pemerintahan Baghdad mulai lemah pada pertengahan abad ke-7 Hijrah. Dalam masa tujuh hari Baghdad berjaya dikuasai. Sungai-sungai di Baghdad dipenuhi dengan darah rakyatnya yang mati, manakala buku-buku ilmiah telah dicampak ke dalam sungai Dajlah sehingga menjadi seperti jambatan untuk mereka lalui menurut khayalan mereka. Akhirnya pemerintahan Khalifah Abbasiyah di Baghdad berakhir.

Setelah Dinasti Gengis Khan berjaya menguasai seluruh Asia dan Eropah Timur, mereka membahagi daerah-daerah taklukan mereka dan mendirikan empat kerajaan. Keluarga Kaylay menguasai China dan Monggol. Jafaqay, saudara Aqtay, mengetuai Turkistan. Dinasti Batarkhan menguasai negeri-negeri yang berada di tepi sungai Fajla sehinggakan Rusia terpaksa menyerahkan cukai kepadanya dalam tempoh yang panjang. Hulaku merampas negeri Parsi dan Baghdad hingga ke negeri Syam. Semua ini diringkaskan oleh penulis daripada ensiklopedia, Ibnu Khaldun, Ibnu Maskawayh dan risalah Ikhwan al-Safa.

Tanda kiamat

Sebenarnya isu Yakjuj dan Makjuj adalah isu yang sentiasa menjadi perbualan dan perbincangan para ulama dan juga orang ramai. Ia merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat yang besar. Oleh itu, marilah sama-sama kita merenung sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Zainab bin Jahsyim R.Anha bahawa Rasulullah SAW keluar dari rumahnya dalam keadaan amat serius seraya bersabda: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah SWT. Celakalah orang Arab daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok Yakjuj dan Makjuj seperti ini. Lantas Nabi mengisyaratkan bulatan dengan dua jarinya iaitu jari telunjuk dan jari ibu. Zainab binti Jahsyim berkata: Aku bertanya, hai Rasulullah SAW, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami ada orang-orang yang soleh. Jawab Baginda SAW: Ya, jika sekiranya banyak kejahatan.

Semoga Allah SWT selamatkan kita daripada sebarang fitnah dan menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan malaysia Online Bicara Agama 24/05/2013