May 26th, 2013

Mengutama dunia antara ciri ajaran sesat

Golongan pengamal ajaran sesat menggunakan beberapa taktik sebagai umpan untuk mendapatkan pengaruh daripada kalangan masyarakat. Antaranya adalah janji dan jaminan yang boleh merangsang seseorang itu terpengaruh untuk mendapat manfaat duniawi dan ukhrawi.

Allah SWT berfirman: “Orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalang manusia daripada jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya.” (Surah Ibrahim, ayat 3)

Qurtubi ketika mentafsirkan ayat itu menyatakan, sesiapa saja yang mengutamakan dunia dan segala perhiasannya, ingin kekal dalam nikmat dunia berbanding nikmat akhirat serta menghalang manusia lain daripada agama Allah yang dibawa oleh rasul, menurut pendapat Ibnu Abbas dan lain-lainnya iaitu golongan yang berada dalam kesesatan.

Malangnya sekarang, ramai mengutamakan akhirat tetapi tidak mahu berkerja keras untuk mendapatkan tempat yang baik di akhirat. Justeru, apabila ada pihak yang menjanjikan kebahagiaan di akhirat tanpa perlu bersusah payah di dunia, pastinya ini mampu menarik minat mereka.

Selain itu, mereka akan mendatangkan bukti menunjukkan bahawa mereka memiliki kelebihan berbanding manusia lain tetapi semua perkara itu perlu dirahsiakan daripada pengetahuan pihak lain yang mungkin akan cemburu.

Terpikat janji ‘penganjur’

Disebabkan terpikat dengan penampilan serta apa yang dijanjikan oleh pengamal ajaran sesat itu, maka pengikutnya percaya saja apabila diberitahu ketua mereka adalah nabi, wali atau mempunyai keramat. Malah ada yang yakin guru itu boleh memberi syafaat di akhirat nanti.

Kelahiran ajaran sesat menjadi petanda dan kayu ukur menunjukkan tahap kelemahan Muslim dalam ilmu agama serta kemampuan mereka membezakan yang hak dengan batil. Realiti masyarakat Islam menunjukkan mereka masih terpengaruh dan keliru hingga terpengaruh pegangan ajaran sesat.

Jahil fahami ajaran sebenar

Hal ini berpunca daripada kejahilan terhadap ajaran Islam sebenar. Oleh sebab itu, mereka mudah terpengaruh dengan kawan, ghairah dengan kerohanian, tertipu, ingin berubat penyakit, kesilapan memahami asas akidah.

Kajian jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga 2008, terdapat 55 ajaran sesat telah diwartakan haram di Malaysia. Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Keselamatan Negeri (MKN), orang awam dan agensi kerajaan lain, Jabatan Agama Islam berjaya mengawal perkembangan ajaran sesat.

Kini, terdapat 12 ajaran sesat yang masih aktif meliputi pelbagai bentuk amalan seleweng, penggabungan dengan amalan perbomohan, persilatan serta amalan khurafat seperti sihir, penggunaan jin atau hantu.

Beberapa kumpulan difatwa dan diwartakan negeri sebagai sesat antaranya Al-Arqam, Pertubuhan Kerabat Raja Sakti - penjenamaan semula dari ajaran Azhar Wahab (Al-Mansur), Ilmu Hakikat, Islam Jamaah, Qadiani Ahmadiah, Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya, Aurad Ismailiah, Rampai, Kaula, Tusuk Hikmat, Wali Suci, Al-Watan, Naluri dan Kalimat Sakti.

Walaupun kehadiran mereka ini selalunya terselindung, namun seperti kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya ke tanah juga. Ketegasan pihak berkuasa membolehkan usaha membanteras ajaran sesat dilaksanakan.

Usaha banteras berterusan

Namun, usaha itu perlu dilakukan secara berterusan kerana selagi ada yang cuba mendapatkan pengaruh dengan menyebarkan ajaran sesat dan selagi ada yang mudah terpengaruh dengan janji-janji palsu, ajaran menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar akan terus ada.

Pada masa sama, usaha meningkatkan kefahaman umat Islam kepada ancaman ajaran sesat perlu dipertingkatkan dengan menyebarkan maklumat mengenai ciri-ciri ajaran sesat yang mudah difahami masyarakat umum.

Pengukuhan iman umat Islam perlu dilaksanakan secara istiqamah supaya generasi sekarang dan akan datang tidak mudah terpedaya apabila ada pihak cuba bawa ajaran menyimpang daripada agama Islam.


Che Husnirulhuda Hussin Berita Harian Online Agama 26/05/2013

Larangan memberontak ke atas pemimpin

Terdapat ratusan buku bertemakan pemimpin dan kepemimpinan dalam pasaran. Pelbagai teori diperkenalkan khususnya tokoh ilmuwan Barat berkenaan kepemimpinan yang menjadi rujukan termasuk oleh pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Malah, IPT turut menyediakan pengajian disiplin Sains Politik dengan visi mendedahkan ilmu pengetahuan berkenaan kepemimpinan kepada generasi muda. Ini satu perkembangan baik yang memberi manfaat kerana ilmu politik dan kepemimpinan diajar secara profesional serta tersusun.

Namun, sebanyak mana pun teori Barat yang dipelajari, ia masih tidak setanding teori dan amali diperkenalkan Rasulullah SAW kerana Baginda sudah mempersiapkan untuk umatnya termasuklah panduan mengenali serta memilih pemimpin.

Kisah dibawa oleh Uqbah bin Amir, Rasulullah SAW bersabda: “Apakah kalian mahu saya ceritakan ciri-ciri pemimpin baik dan pemimpin yang buruk. Sahabat yang ada bersama Rasulullah SAW menjawab: Kami mahu mendengarnya, wahai Rasulullah. Melihat maklum balas positif daripada sahabatnya, Baginda berkata: Pemimpin paling baik adalah pemimpin yang paling baik bagi kalian. Dia adalah pemimpin yang paling kalian sayangi dan dia juga sangat mengasihi kalian. Kamu mendoakan kepada Allah bagi pemimpin ini dan dia juga mendoakan kamu.

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Pemimpin paling jahat adalah pemimpin yang paling buruk bagi kamu. Pemimpin ini sangat dibenci dan dia juga membenci kalian. Kamu berdoa kepada Allah supaya dia mendapat balasan, dan dia juga mendoakan kecelakaan kalian.

Sahabat bertanyakan Baginda: Wahai Rasulullah, apakah kami boleh memerangi pemimpin yang keji ini. Jawab baginda: Tidak. Biarkan mereka selagi mereka masih berpuasa dan bersolat.” (Riwayat at-Tabrani)

Kisah ini sebenarnya satu panduan kepada kita untuk mengenali sifat atau ciri-ciri seorang pemimpin. Ia seolah-olah satu ‘radar’ yang memberikan isyarat jelas kepada kita mengenali siapa sebenarnya pemimpin.

Pemimpin berakhlak mulia

Ciri pertama kata Baginda ialah individu yang paling berakhlak mulia dalam kalangan kita. Inilah orang yang sepatutnya dipilih sebagai pemimpin. Islam meletakkan akhlak mulia sebagai ‘pakaian’ diri seorang pemimpin. Ini bermakna pemimpin yang kurang bermoral dan banyak skandal mengaibkan bukanlah pemimpin dalam erti kata yang sebenar.

Sentiasa turun padang

Ciri kedua ialah pemimpin yang sentiasa ‘turun padang’ dan merasai sendiri denyut nadi kesulitan rakyat bawahannya. Bukannya bersikap sombong dan hanya menjengok rakyat tatkala hampir pilihan raya.

Sahabat hebat Rasulullah SAW, Saidina Umar al-Khattab, tidak senang untuk duduk bersenang-senang kerana sentiasa memikirkan urusan rakyat pimpinannya. Pernah ditanyakan mengenai sikapnya, Umar berkata: “Kalau aku tidur pada waktu siang, maka rugilah rakyatku. Dan seandainya aku tidur di malam hari, maka sengsaralah diri ini.”

Seorang pemimpin akan mengasihi dan mengambil berat hal ehwal rakyatnya. Inilah jati diri pemimpin yang sanggup mengorbankan kepentingan diri dan kerabat demi melihat rakyatnya hidup dalam kesejahteraan.

Disukai rakyat

Selain itu, pemimpin yang baik lagi terpuji sudah tentu seorang yang ‘dirindui’ dan dicintai rakyatnya. Hubungan dua hala sentiasa bersambung tanpa putus yang diiringi saling mendoakan kebaikan bersama.

Inilah yang terjadi ketika pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang disayangi oleh rakyatnya kerana sikap dedikasinya mentadbir negara mengikut lunas yang benar dan menepati kehendak agama. Kesannya, kehidupan rakyat jelata aman harmoni kerana dikurniakan rahmat dan berkat.

Pesanan Baginda supaya jangan bertindak menentang pemimpin selagi ia menunaikan amalan agama. Imam Al-Qurtubi mengulas isu ini berkata, “Kegagalan mentaati pemimpin akan mewujudkan perpecahan yang hanya akan membawa kepada kehancuran, sedangkan jamaah akan membawa kepada keselamatan.”

Imam Ibnu Hajar berkata: “Wajib bagi umat Islam mentaati pemimpin yang telah diangkat sebagai pemimpin dan dilarang memberontak mahupun menentangnya, meskipun dia zalim dan sewenang-wenangnya melaksanakan ketetapan hukum kerana kefasikan pemimpin bukan sesuatu yang membolehkan untuk dilakukan pemberontakan terhadapnya.”


Mohd Rizal Azman Rifin Berita Harian Online Agama 26/05/2013