May 28th, 2013

Muslimah teruskan semangat perjuangan srikandi Islam

Muslimah sejati mempunyai akhlak mulia, sopan tutur bicaranya, terjaga maruah dan kehormatannya serta yang paling utama iman sentiasa dipelihara supaya terus subur dalam jiwa.

Besarnya kedudukan Muslimah solehah melebihi segala perhiasan dunia dan seluruh isinya seperti sabda Rasulullah SAW: “Dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”

Wanita Islam memiliki ramai tokoh pejuang Muslimah yang berjiwa besar, mempunyai keimanan teguh, semangat jihad tinggi hingga sanggup mengorbankan apa saja demi membuktikan kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Barisan Muslimah berkaliber

Hasil kejayaan pentarbiahan Baginda SAW terbukti dengan lahirnya barisan Muslimah yang menabur jasa kepada dunia Islam antaranya Saidatina Khadijah, Saidatina ‘Aisyah, Fatimah al-Zahra’.

Khaulah al-Azwar srikandi di medan perang; Asma’, pemilik dua tali pinggang dan Zinnirah, hamba yang tabah dan cekal dengan nikmat iman subur dalam dirinya.

Zaman demi zaman membawa kepada pertambahan bilangan pejuang Islam. Sarjana Barat melihat zaman Rasulullah SAW sebagai zaman menakjubkan kerana Baginda berjaya menghasilkan satu kelompok manusia berkualiti dalam pelbagai aspek dalam tempoh yang singkat.

Nusaibah binti Ka`ab atau lebih dikenali sebagai Ummu Umarah adalah pejuang yang teguh berdiri tatkala ramai berundur. Beliau juga ibu yang mengarahkan anaknya di kala cedera parah supaya kembali menyertai saf peperangan Uhud, malah bersedia menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebagai balasan beliau dijanjikan oleh Rasulullah SAW menjadi teman Baginda ketika di syurga kelak.

Ibu Para Pahlawan

Pada perang Badar, ‘Ibu Para Pahlawan’ iaitu Kabsyah binti Rafi’ telah meniupkan semangat kepada kedua-dua anaknya, Saad bin Muadz dan Amru bin Muadz, supaya berjihad kepada Allah sehingga kedua-duanya mendapat cubaan yang berakhir dengan khabar kemenangan.

Sumayyah adalah wanita pertama yang menampakkan keislamannya, di samping menjadi wanita syahid pertama yang mengorbankan diri di jalan Allah. Beliau menjadi contoh syahid yang sebenarnya dan mempamerkan hakikat sabar kepada generasi seterusnya.

Lantaran itu kebangkitan Muslimat hari ini perlu disemarakkan bagi mengulangi sejarah kegemilangan pernah menjadi sinar dalam kebangkitan Islam suatu ketika dulu. Minda Muslimat pejuang sama sekali tidak boleh memisahkan dirinya daripada dunia dakwah.

Cabaran masa kini

Cabaran masa kini sudah tidak dapat menerima sebarang alasan untuk membiarkan saja golongan Muslimat berkawan dengan periuk atau kuali saja. Ketika anak remaja kian menjadi taruhan kepada ideologi Barat, perlu ada yang mempertahankan mereka.

Muslimah era globalisasi terdedah kepada pelbagai ujian yang semakin kompleks. Persediaan lebih rapi dan bekalan mencukupi adalah amat diperlukan bagi mengharungi segala cabaran mendatang seperti mana telah dilalui pejuang srikandi dulu.

Mahasiswi Islam perlu menyedari tanggungjawab mereka bukan sekadar menuntut ilmu sebaliknya mereka perlu bergerak ke depan dan bersikap lebih optimis dalam segala tindak-tanduk menghadapi arus kehidupan semakin hebat.

Muslimah yang ideal berperanan besar dalam masyarakat. Ia bertindak sebagai pelajar di medan keilmuannya, anak yang berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, isteri yang taat kepada suaminya, ibu gigih mendidik anak serta seorang hamba yang patuh memperjuangkan agama Allah.

Peranan itu satu amanah yang cukup besar, memerlukan keteguhan dan kekentalan jiwa, serta kekuatan iman. Muslimah sebagai tangan dalam perjuangan, perlu seiring dalam membawa wadah Islam dan bersama meneruskan agenda dakwah yang dibawa Rasulullah SAW.

Sabda Baginda SAW: “Tidak aku tinggalkan kepada ummatku selepasku fitnah yang lebih besar ke atas lelaki melainkan wanita.” Cukuplah sabda Baginda SAW menterjemahkan segala-galanya iaitu Muslimah harapan ummah, di bahumu terpikul amanah.


Norkhadijah Sahak Berita Harian Online Agama 28/05/2013

Pengajaran anak derhaka

Kurang didikan agama antara punca gejala zuriat jadi 'si tanggang'

Derhaka terhadap ibu bapa termasuk dalam empat dosa besar iaitu sebaris dengan dosa menyekutukan Allah, membunuh manusia dan menjadi saksi palsu. Anak yang tidak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selayaknya menerima balasan daripada Allah.

Diriwayatkan oleh Tabrani: “Dua (kejahatan) yang akan dibalas Allah di dunia ini adalah berzina dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa.”

Pengajaran di sebalik derhaka

Terdapat banyak contoh menunjukkan pengajaran dan azab derita yang ditanggung jika menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa di dunia ini. Ia mungkin datang dalam keadaan seseorang itu ditimpa penyakit, gagal mendapatkan pekerjaan atau nafkah serta keadaan hidup mereka yang tidak tenang.

Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat kisah Wail bin Khattab iaitu anak yang derhaka kepada ibunya. Disebabkan Wail bin Khattab terlalu cintakan isterinya, dia sering mencaci dan mempercayai segala apa yang dikatakan isterinya terhadap ibunya.

Ketika Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan yang tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar peluh membasahi seluruh tubuh badannya. Selama puluhan hari dia berada dalam keadaan demikian.

Matanya merah menyala, mulutnya terbuka luas tetapi kerongkongnya tersumbat sehingga tidak terdengar jeritan, kaki dan tangannya pula kaku. Sahabat terharu melihat penderitaan dihadapi Wail. Mereka turut mengajar Wail mengucap kalimah syahadah.

Akhirnya Ali bin Abi Talib menemui Rasulullah SAW bagi menceritakan keadaan Wail. Rasulullah SAW meminta ibu Wail dijemput untuk menemui beliau. Rasulullah SAW mahu mengetahui keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit.

Termakan hasutan isteri

Ibu Wail menceritakan keadaan sebenar kelakuan anaknya terhadapnya kepada Rasulullah SAW. Dia sering dicaci oleh anaknya kerana termakan hasutan isterinya. Dia terlalu mempercayai kata-kata isterinya sehingga menyebabkan ibunya terasa hati.

Rasulullah SAW memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya itu. Tetapi ibunya berkeras tidak mahu memaafkannya. Kemudian, Baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api kerana mahu membakar Wail hidup-hidup.

Rasulullah SAW menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail pasti derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, ibu Wail berkata: “Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku, aku ampuni dia. Kesalahannya aku maafkan.”

Selepas itu keadaan Wail bertukar dengan wajahnya mula berubah selepas mendapat keampunan ibunya. Dia akhirnya dapat mengucap kalimah syahadah dan kemudian meninggal dunia. Begitulah azab dan penderitaan yang ditanggung oleh seorang anak yang sanggup mengetepikan ibunya.

Allah SWT berfirman: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

Cara berbakti kepada ibu bapa

Salah seorang dari suku Bani Salimah datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW: “Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada cara untuk aku berbakti kepada mereka? Jawab Rasulullah SAW: Ya, membaca istighfar untuk kedua mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghormati sahabat mereka, dan menghubungkan keluarga mereka.”

Oleh itu marilah kita tingkatkan iman dan takwa serta mengasihi ibu bapa. Jika mereka masih hidup ziarah dan tunjukkanlah kasih sayang kita yang tidak berbelah bagi. Jika ibu bapa sudah meninggal dunia, banyakkan berdoa dan memohon keampunan daripada Allah untuk mereka.

Punca anak terabai

Salah satu punca berlakunya perkara ini kerana kurangnya didikan ilmu agama daripada ibu bapa sendiri. Ibu bapa zaman moden kini terlalu banyak menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru di sekolah.

Apabila pulang ke rumah, mereka dibiarkan saja dan secara tidak langsung ilmu yang dipelajari terabai begitu saja. Mereka terlalu mementingkan kerjaya masing-masing hingga sanggup membiarkan anak mencari hala tuju kehidupan tanpa sebarang panduan daripada ibu bapa.

Ibu bapa perlu bijak berfikir. Didikan kepada anak perlulah sesuai dengan kehidupan sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.


Nur Hasniza Mokhtar Berita Harian Online Agama 28/05/2013