May 31st, 2013

Tanda kiamat amat banyak

SAYID Qutub berkata: "Berdasarkan sistem hidup yang soleh yang diumumkan oleh beliau selaku pemerintah yang soleh iaitu menentang kerosakan di bumi, maka beliau telah menolak tawaran upah malah sanggup membina tembok itu secara sukarela. Cara yang paling mudah mengikut pandangan beliau ialah menutup dan menambak jalan laluan yang terletak di antara dua tembok semula jadi (bukit/gunung) itu. Oleh itu, beliau meminta daripada kaum yang mundur itu supaya membantu dengan kekuatan kebendaan dan tenaga fizikal."

Pada ayat ke-95 surah diatas juga, Ibnu Kathir berkata: "Sesungguhnya kekuasaan dan kekuatan yang diberikan Allah SWT kepadaku adalah lebih baik bagiku daripada apa yang kalian kumpulkan itu."

Demikian halnya yang dikemukakan oleh Zulkarnain, di mana dia berkata: Apa yang ada padaku adalah lebih baik daripada apa yang kalian berikan itu. Tetapi hendaklah kalian menolongku dengan kekuatan iaitu dengan perbuatan kalian dan alat-alat bangunan.

Al-Maraghi berkata: "Zulkarnain berkata, apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadaku iaitu kerajaan yang luas, kekuasaan dan harta yang banyak sudah memadai berbanding upah yang hendak di berikan. Oleh itu, aku tidak memerlukan upah tersebut."

Pada ayat ke-96 pula, Ibnu Kathir berkata: "Kata al-Zubar merupakan jamak daripada kata Zabrah yang bererti potongan. Demikian yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Mujahid dan Qatadah yang dia berbentuk seperti bata. Iaitu sebahagian diletakkan pada sebahagian posisi lainnya sehingga tumpukan itu menyamai puncak dua gunung baik panjang mahupun lebar. Namun para ulama masih berbeza pendapat mengenai luas, panjang dan lebarnyat."

Zulkarnain berkata: "Tiuplah. Maksudnya, nyalakan api di atasnya sehingga semuanya menjadi api."

Tembaga mendidih

Al-Maraghi berkata: "Beliau meminta menyediakan potongan besi dan segera membina tembok itu sedikit demi sedikit. Sehinggakan kedudukan tembok itu menjadi sama rata dengan kedua-dua gunung itu. Beliau berkata kepada para pekerjanya: Tiuplah dengan peniup api, potonglah batu besar dan letakkan di antara dua tepi gunung."

Mereka patuh dengan arahan itu dan melakukannya sehingga api membara dan menyala. Kemudian tembaga yang mendidih itu dicurahkan ke atas besi yang membara, sehingga melekat dan berjaya menutup lubang di antara besi sehingga menjadi gunung yang utuh dan licin.

Sayid Qutub berkata: "Lalu mereka mengumpul ketul-ketul besi dan menimbunkannya di jalan yang terbuka di antara dua banjaran bukit itu. Ini menjadikan dua banjaran bukit itu seolah-olah kulit luar yang membalut tembok-tembok besi yang disusun di antara keduanya, iaitu tembaga cair yang menyerap ke celah-celah besi dan bercampur dengannya untuk menjadikan bertambah kuat dan kukuh."

Cara ini telah digunakan di zaman moden untuk menguatkan besi kerana tambahan satu nisbah tembaga kepada besi dapat menambahkan ketahanan dan kekuatannya. Inilah rahsia yang telah ditunjukkan Allah SWT kepada Zulkarnain dan terakam dalam kitab suci-Nya yang kekal mendahului ilmu pengetahuan manusia.

Dengan itu kedua-dua bukit itu tertangkup dan menjadi sedaging dan tertutuplah jalan yang dilalui Yakjuj dan Makjuj itu.

Pada ayat ke-97, Ibnu Kathir berkata: "Yakjuj dan Makjuj tidak sanggup menaiki bahagian atas dinding ini dan tidak pula mampu melubanginya pada bahagian bawahnya. Ketika menaikinya lebih mudah berbanding melubanginya. Yang demikian itu merupakan dalil yang menunjukkan bahawa mereka tidak sanggup berbuat sesuatu terhadapnya."

Al-Maraghi berkata: "Tindakan tersebut menyebabkan Yakjuj dan Makjuj tidak mampu mendaki tembok kerana tembok itu terlalu tinggi dan licin serta tidak dapat melubanginya kerana keras dan tebal."

Sayid Qutub berkata: "Mereka tidak dapat memanjat dan menembusi tembok itu. Mereka tidak dapat lagi menyerang kaum yang lemah dan mundur dan membolehkan mereka menikmati keamanan dan ketenteraman."

Biarpun Zulkarnain melihat hasil usahanya yang amat besar itu tetapi beliau tidak mabuk dengan perasaan angkuh dan bangga. kerana mempunyai ilmu dan kekuatan. Beliau sentiasa mengingati dan bersyukur kepada-Nya serta memulangkan segala hasil usahanya yang baik itu kepada pertolongan dan taufik Allah SWT.

Zulkarnain menolak kekuatan dirinya dan mengakui kekuatan Allah dan menyerahkan teraju urusan kepada Allah SWT. Kemudian beliau mengumumkan hakikat yang dipercayainya iaitu gunung-ganang, kota-kota dan tembok-tembok akan dihancurkan belaka sebelum hari kiamat dan permukaan bumi akan kembali menjadi licin dan rata.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRIUtusan Malaysia Online Bicara Agama 31/05/2013

Jumaat hari terbaik

HARI Jumaat merupakan penghulu segala hari dalam seminggu. Sebagai umat Islam, kita meyakini bahawa hari Jumaat memberikan kelebihan dan mengandungi keutamaan tertentu berbanding hari lain. Kebiasaannya umat Islam hanya terlintas bahawa kelebihan hari Jumaat hanyalah pada solat Jumaat. Benarkah sekadar itu sahaja?

Hakikatnya terdapat pelbagai amalan lain yang dianjurkan kepada umat Islam untuk mengerjakannya. Antaranya ialah;

1Mandi sunat Jumaat

Pada hari Jumaat, kita disarankan untuk mandi sunat pada hari Jumaat terutama bagi lelaki yang ingin menunaikan solat Jumaat. Daripada Ibnu Umar berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang daripada kalian ingin mengerjakan solat Jummat, maka hendaklah dia mandi. (riwayat Al-Bukhari no. 877 dan Muslim no. 844)

2Membersihkan gigi dan memakai wangian

Membersihkan gigi sama ada dengan kayu siwak ataupun berus gigi yang ada pada masa kini amat dituntut terutama sebelum mengerjakan solat. Begitu juga anjuran memakai wangian sebelum solat.

Kedua-dua perkara ini antara sunnah yang semakin dilupakan serta kurang diamalkan. Abu Sa'id Al-Khudri berkata bahawa Rasulullah SAW menyarankan agar pada sahabat menggosok gigi dan memakai wangi-wangian pada hari Jumaat semampu yang boleh.

Salah seorang perawi hadis iaitu seorang tabi'in bernama Bukair bin Abdullah Al-Asyajj berkata tentang anjuran memakai wangi-wangian pada hari Jumaat: Meskipun dengan wangi-wangian kaum wanita. (riwayat Muslim no. 846; Abu Daud no. 342)

3Memperbanyakkan doa

Salah satu doa yang diangkat dan dimakbulkan oleh Allah adalah ketika hari Jumaat. Pada hari Jumaat, terdapat suatu masa yang mana jika seseorang berdoa pada waktu itu, nescaya Allah akan menunaikan permintaannya. Ia merupakan suatu peluang yang telah diberikan kepada umat Islam namun tidak ramai yang mengetahuinya dan beramal dengannya.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: Pada hari Jumaat ada suatu waktu yang mana tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat lalu berdoa tepat pada waktu tersebut melainkan Allah akan mengkabulkan doanya tersebut. (riwayat al-Bukhari no. 935 dan Muslim no. 852)

Para ulama mempunyai pelbagai pendapat mengenai bilakah waktu yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW itu. Ada yang berpendapat waktu mustajab itu adalah ketika di antara dua khutbah dalam solat Jumaat.

Sebahagiannya pula berpendapat pada waktu Asar. Pendapat yang kuat adalah pada waktu Asar selepas mengerjakan solat Asar sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya. (musnad Ahmad no. 7363)

4Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW

Selawat merupakan tanda kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW. Setiap daripada selawat yang dilafazkan akan diberikan ganjaran yang besar di akhirat kelak. Ia juga menjadi zikir yang perlu diamalkan setiap hari untuk melembutkan hati dan menyemai rasa cinta kepada Baginda SAW.

Setiap Muslim disunatkan untuk memperbanyakkan selawat setiap hari terutamanya pada hari Jumaat. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hari Jumaat merupakan hari yang terbaik di antara hari-hari lain, maka perbanyakkanlah berselawat kepadaku pada hari itu (Jumaat) kerana sesungguhnya selawat kalian akan sampai kepadaku." (riwayat Abu Daud no. 1531dan An-Nasai no. 1374)


MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR dari Kuliyyah Islamiyyah 'Alamiyyah Gombak, Pengajian Islam Kontemporari  Utusan Malaysia Online Bicara Agama 31/05/2013

Islam menolak kekayaan?

APAKAH makna harta sebenarnya dan adakah Islam memandang negatif kepada kekayaan?

Jawapan:

Harta ataupun dipanggil dengan kalimah mal atau amwal dalam Bahasa Arab merupakan sesuatu yang diperlukan oleh umat manusia. Sejak zaman dahulu kala sehinggalah ke hari ini, harta menjadi alat untuk menyempurnakan kehidupan manusia. Dengan harta, manusia mampu merealisasikan kebanyakan impiannya. Harta ibarat kunci yang mampu membuka jendela dan membolehkan manusia menikmati pelbagai keindahan dunia yang sebelum itu hanya mampu dinikmati dalam mimpi sahaja.

Di dalam al-Quran Allah SWT menukilkan kalimah harta pada 160 ayat. Ia menunjukkan, isu harta bukanlah sesuatu yang ringan dan boleh diambil mudah. Harta mampu menjebak pemiliknya kepada kederhakaan kepada Allah SWT lalu akhirnya menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka Allah, wal'iyazubillah. Contohnya: Qarun yang dilaknati-Nya.

Namun, pada masa sama jika harta dapat diuruskan dengan sempurna dan baik menurut garis panduan yang telah disediakan oleh Allah SWT, maka pastilah ganjarannya juga adalah pahala yang berpanjangan dan pasti jugalah di akhirat nanti, pemiliknya akan diberikan kedudukan yang mulia di syurga Allah SWT yang penuh dengan pelbagai kenikmatan, insya-Allah. Contohnya: Abu Bakar as-Siddiq yang dikasihi Allah.

Oleh itu, apakah makna harta di sisi Islam? Ya, jika merujuk kepada makna mal atau amwal secara bahasa, ia bermakna 'apa-apa yang dimiliki daripada segala sesuatu.' Namun, semudah itu sahajakah? Mari, kita harus cuba melihat perspektif harta pada sudut pandang fuqaha Islam khususnya imam mazhab dalam jalur ahlus sunnah wal jamaah mengenai harta.

Jalur Hanafiyah merumuskan, harta itu adalah sesuatu yang menjadikan manusia cenderung kepadanya secara semula jadi, yakni kemahuan itu wujud tanpa perlu dipaksa-paksa dan harta itu mampu disimpan, dikawal dan dimanfaatkan kembali sama ada ketika mereka berada dalam keperluan atau tanpa keperluan.

Manakala, di jalur Shafiiyah pula harta diistilahkan sebagai sesuatu yang bernilai dan mesti dibayar ganti rugi jika berlaku kerosakan ke atasnya. Jalur Malikiyah pula menyatakan, mal hanya dianggap harta bagi yang boleh dimanfaatkan oleh pemiliknya sahaja jika ia diperoleh dengan kaedah yang betul di sisi syarak.

Tetapi, jangan kita pusingkan kepala dengan pelbagai definisi ini. Apa yang penting, fuqaha menyatakan harta itu mestilah diperoleh dengan cara yang betul dan dapat dimanfaatkan kembali oleh pemiliknya pada bila-bila masa, sama ada ketika dalam keadaan biasa ataupun terdesak dan jika ditakdirkan berlaku kerosakan atas harta itu bagi orang lain, wajarlah kita membayar ganti rugi ke atasnya.

Hak at-tasaruf

Sebab itu, di dalam ilmu fiqh adanya istilah hak at-tasaruf, yakni kemampuan seseorang pemilik harta itu untuk memiliki dan memanfaatkan hartanya tanpa sebarang halangan sesiapa pun. Dia boleh menjual hartanya, menghadiahkan, menyedekahkan, mewakafkan, malah jika dia mahu merosakkan hartanya sendiri pun, dia tidak akan dikenakan sebarang caj ganti rugi oleh sesiapa, kerana ia memang hak miliknya sendiri.

Maka, sebab itulah dalam perbahasan fiqh zakat, hak at-tasaruf adalah satu aspek yang sangat penting, kerana harta yang dikatakan sempurna milik itu, mestilah ia mempunyai hak at-tasaruf ke atasnya. Jika seseorang itu mendakwa dia memiliki harta yang sempurna milik tetapi dalam masa yang sama dia tidak boleh menjalankan sebarang transaksi ke atasnya, malah terikat pula dengan pelbagai halangan, maka ia bukanlah harta yang sempurna milik dan tidaklah harta itu tertakluk sebagai harta yang wajib zakat.

Contoh mudah yang sering diberikan, seorang wanita yang bergaya dengan pelbagai perhiasan emas yang mengerlip di seluruh badannya padahal semuanya adalah emas yang dipinjam atau emas yang disewa sahaja, maka biarpun ia sudah melebihi uruf emas perhiasan berkali-kali ganda, ia masih tidak wajib dizakatkan.

Persoalan seterusnya, adakah agama Islam menolak kekayaan? Ini kerana, wujudnya segelintir pandangan manusia bahawa dunia ini adalah daki-daki yang hendaklah disingkirkan dari tubuh badan manusia. Untuk mendapatkan cinta Allah SWT dan kenikmatan akhirat yang abadi, dunia adalah belenggu yang menghalanginya. Benarkah semua yang bernama dunia bersifat demikian?

Jika benarlah bahawa dengan menolak dunia dan isinya itu mampu mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT, maka apakah pula statusnya para nabi dan sahabat Rasulullah SAW yang terkenal kaya-raya namun pada masa sama mereka diiktiraf sebagai orang yang amat dekat dengan Allah SWT dan Rasul-Nya?

Maka, Allah SWT tidak pernah sama sekali mengajar manusia yang beriman untuk menjadi pesimis dengan kehidupan dunia. Sudah namanya dunia, di atasnya memang penuh dengan perkara-perkara yang bersifat menghiburkan dan sudah pasti ia juga diwarnai dengan pelbagai keindahan yang kadang kala bisa melalaikan. Namun, ia bukanlah bermakna manusia seluruhnya perlu mengkesampingkan dunia dan hidup dalam kesempitan yang disengajakan. (rujuk (al-An'am: 32)



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 31/05/2013