June 4th, 2013

Asia Selatan tumpuan Islam

KAWASAN tumpuan umat Islam yang terbesar di dunia adalah di Asia Selatan. Umat Islam di wilayah itu berjumlah sekitar 300 juta orang. Mereka mendiami wilayah India Selatan dan Utara, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.

Sekalipun terikat oleh agama yang sama, yakni Islam, mereka terdiri daripada pelbagai masyarakat yang bertutur dalam bahasa yang berbeza.

Kehidupan mereka juga saling terpisah dan menghadapi bermacam-macam masalah sosial, ekonomi dan budaya yang berlainan.

Kawasan itu pernah dikuasai Kesultanan Moghul (1526-1858) iaitu salah sebuah kerajaan Islam terbesar pada Abad Pertengahan. Kesultanan Moghul melambangkan kemuncak kehadiran Islam di benua kecil India.

Penyebaran Islam di kawasan Asia Selatan berlangsung dalam tiga gelombang. Para pedagang Arab Muslim pertama kali datang ke India Selatan hingga abad ke-15. Kesan mereka kini dapat ditemui di Selatan Malabar, wilayah Kerala.

Gelombang kedua mengambil laluan darat, di wilayah yang dinamai Sind pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab.

Gelombang ketiga berkaitan dengan kemasukan umat Islam dari Afghanistan yang melarikan diri akibat serangan bangsa Mongol. Dari sinilah kemudiannya berasal Kerajaan Moghul.


Umat Islam di Asia Selatan berjumlah sekitar 300 juta orang.

Seperti di kawasan lain, penyebaran Islam di India Selatan dicirikan oleh proses penerapan yang berjalan lancar. Pada umumnya masjid yang didirikan di India, misalnya mempunyai bumbung berbentuk kon seperti bangunan candi.

Namun sejak dua dekad terakhir, banyak masjid baharu didirikan berdasarkan model masjid di Asia Barat. Banyak daripadanya dibina dengan bantuan dana daripada pemerintah Arab Saudi.

Penyebaran Islam yang begitu pesat di benua kecil India yang kebanyakan penduduknya beragama Hindu, disebabkan khususnya oleh daya tarikan ajaran Islam atau tasawuf yang penuh misteri, seperti yang diperkenalkan melalui tarekat sufi.

Kecenderungan kepada aspek batin ajaran Islam amat sesuai dengan persekitaran India yang terkenal dengan hal kebatinan.

Hingga kini, kecenderungan mistik pada keberagamaan umat Islam di benua kecil India masih kuat.

Penjajahan Inggeris

Keadaan umat Islam di benua kecil India amat sukar ketika penjajah Inggeris menjejakkan kaki ke India.

Dalam situasi itu, umat Islam tidak hanya berhadapan dengan penjajah tetapi juga tertindas kerana mereka merupakan golongan majoriti di benua kecil itu.

Berhadapan dengan situasi tersebut, pandangan dan sikap orang Islam berbeza-beza.

Ada yang menyarankan agar mereka berkerjasama dengan penjajah Inggeris sebagaimana dibuat oleh Ahmad Khan. Tetapi sebahagian besar pemimpin Islam menolaknya.

Berhadapan dengan penjajahan dan bimbang akan masa depan umat Islam di kawasan yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam, sebahagian daripada tokoh Islam menyarankan agar umat Islam mendirikan negara mereka sendiri.

Pada 1947, tertubuh Republik Islam Pakistan. Namun pada 1971, penduduk di wilayah timur Pakistan memisahkan diri dan membentuk negara sendiri dengan nama Bangladesh.

Perkara itu berlaku kerana Pakistan Timur dan Pakistan Barat dipisahkan oleh wilayah India dan kedua-duanya menggunakan bahasa yang berbeza.

Bangladesh

Kebanyakan penduduk Pakistan Timur yang kini adalah Bangladesh bertutur bahasa Bengali. Manakala majoriti penduduk Pakistan Barat bertutur bahasa Urdu.

Bangladesh merupakan salah satu negara terpadat di dunia. Sebahagian daripada penduduknya hidup dalam kemiskinan. Bencana alam seperti taufan dan banjir sering melanda negara itui.

Ketika India merebut kemerdekaannya pada 1947, umat Islam di wilayah tersebut berpecah dua. Sebahagiannya terus tinggal di India dan sebahagian yang lain memasuki Republik Islam Pakistan yang baru didirikan.

Setelah menjadi sebuah republik, perlembagaan India menjamin hak setiap warganegara, seperti persamaan kebebasan beragama serta budaya dan pendidikan, juga terpakai untuk umat Islam minoriti. Mereka hidup bersama-sama penganut agama lain.

Sri Lanka

Umat Islam juga terdapat di Sri Lanka, negara di bahagian selatan benua kecil India. Corak keislaman masyarakat Muslim di negara itu banyak dipengaruhi oleh kemasukan orang Kerala Muslim, termasuk penyebaran ajaran sufi pada abad ke-18.

Di Sri Lanka, tarekat sufi yang paling berpengaruh ialah Tarekat Qadiriyah. Bahasa ibunda mereka ialah bahasa Tamil. Sehingga banyak karya keagamaan ditulis dalam bahasa ini.

Al-Quran pertama kali diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil pada abad ke-19 oleh ilmuwan Sri Lanka bernama Syeikh Mustafa. Di Sri Lanka terdapat lebih kurang 1.2 juta umat Islam. Pada umumnya, mereka ialah orang Islam Sunnah pengikut Mazhab Syafie.

Kerala

Keturunan umat Islam yang pertama tiba di India Selatan banyak ditemui di wilayah Kerala. Khususnya di kalangan masyarakat Mappila. Kehidupan mereka banyak dipengaruhi tradisi perdagangan yang menunjukkan ciri-ciri pekerjaan orang Arab yang datang menyebarkan Islam ke wilayah itu

Bahasa asal mereka ialah Malayalam. Dalam amalan keagamaan dan pengajaran agama, bahasa itu kemudian bercampur dengan bahasa Arab. Hingga kini, orang Kerala berketurunan Arab pada umumnya mempunyai reputasi tersendiri di mata masyarakat. Pada awal 1990-an, jumlah kaum Mappila Muslim mencapai kira-kira 7.5 juta orang.

Islam di Asia Selatan telah melahirkan banyak pemikir dan gerakan yang kemudiannya menjadi sumber inspirasi kepada umat Islam di tempat lain.

Antara pemikir dari negara ini yang terserlah ialah Sir Muhammad Iqbal, Abu A'la al- Maududi, Fazur Rahman, Shah Waliyullah dan Sir Sayyid Ahmad Khan.

Di sini juga muncul beberapa gerakan yang pengaruhnya tersebar ke seluruh dunia seperti Jamaah Islami dan Jamaah Tabligh.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/06/2013

Perjalanan Israk dan Mikraj

BULAN Rejab selalu dikaitkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Para ulama berbeza pendapat menentukan tarikh pasti terjadinya peristiwa tersebut. Imam Al-Nawawi sendiri memiliki dua pendapat yang berlainan. Dalam kitab al-Raudah, beliau menegaskan bahawa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab. Sementara dalam kitab Fatawanya, beliau mengatakan peristiwa itu berlaku pada 27 Rabiulawal.

Israk dan Mikraj diriwayatkan dalam pelbagai hadis. Sebahagiannya sahih dan ada juga yang lemah.

Derdasarkan hadis-hadis sahih, peristiwa ini berlaku sebelum hijrah ke Madinah.

Malam itu, baginda berada di rumahnya di Mekah. Jibril AS dan dua orang malaikat lainnya membangunkan baginda. Mereka membawa Buraq, iaitu seekor haiwan yang lebih kecil daripada kuda, lebih besar daripada keldai. Satu langkahnya sejauh mata memandang.

Rasulullah SAW menunggangi Buraq menuju Masjidil Aqsa. Setibanya di masjid, baginda mengikatnya di pintu masjid. Seterusnya baginda masuk ke dalam masjid dan melakukan solat tahiyatul masjid dua rakaat.

Tidak lama kemudian, sebuah mikraj (tangga) di turunkan dari langit. Lalu baginda menaikinya dan terangkat ke langit pertama, kedua dan seterusnya hingga ke langit ketujuh. Di tiap-tiap langit, Rasulullah SAW berjumpa dengan nabi-nabi terdahulu. Antaranya: Adam, Yahya, Isa, Yusuf, Idris, Harun, Musa dan Ibrahim.


pada peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW menunggang Buraq menuju Masjidil Aqsa di mana kemudiannya baginda mendirikan solat tahiyatul masjid dua rakaat

Adapun kisah yang mengatakan bahawa Nabi SAW menginjak batu Sakhrah pada masa itu, maka riwayat ini tidak sahih. Demikian penjelasan Syeikh Zahid al-Kauthari dalam Maqalat al-Kauthari.

Rasulullah terus terangkat hingga ke tempat yang sangat tinggi. Beliau diperlihatkan banyak sekali keajaiban dan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Antaranya Sidratul Muntaha, sebuah pokok besar yang ditutupi oleh warna-warni yang sangat indah. Daun-daunnya sebesar telinga gajah dan buahnya seperti kendi Hajar.

Rasulullah turut diperlihatkan Baitul Makmur iaitu kiblat hamba Allah di langit sebagaimana Kaabah yang menjadi kiblat manusia di bumi. Setiap hari 70,000 malaikat masuk ke dalamnya dan tidak keluar lagi. Baginda juga diperlihatkan syurga dan neraka.

Kemuncak perjalanan itu, baginda mengadap Allah SWT. Para ulama berbeza pandangan adakah baginda melihat Allah pada saat itu atau tidak. Lalu Allah menurunkan kewajipan solat 50 waktu. Baginda menerimanya dengan patuh.

Apabila turun, baginda kembali berjumpa dengan Nabi Musa AS di langit kelima. Nabi Musa menyarankan agar baginda meminta keringanan bagi umatnya. Beliau khuatir umat Islam tidak akan mampu melaksanakan kewajipan itu.

Baginda setuju dengan saranan itu, lalu kembali kepada Allah untuk tujuan tersebut.

Setelah lima kali turun naik, Allah SWT mewajibkan solat hanya lima waktu sahaja.

Rasulullah SAW turun kembali ke Masjidil Aqsa, lalu menaiki Buraq ke Mekah. Beliau selamat tiba di rumah awal pagi sebelum matahari terbit.

Baitulmaqdis

Mungkin lahir soalan kenapa Baitulmaqdis menjadi destinasi Israk dan bukan tempat lain?

Baitulmaqdis adalah masjid kedua yang didirikan sebagai rumah ibadat menyembah Allah SWT. Yang pertama ialah Masjidil Haram di Mekah yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.

Masjid Al-Aqsa diasaskan oleh Nabi Yaakub, cucu Nabi Ibrahim. Selang masa antara pembinaan kedua-dua masjid ini adalah 40 tahun.

Abu Zar pernah bertanya kepada Nabi: "Wahai Rasulullah, masjid apa yang pertama kali dibina?" Baginda menjawab: "Masjidil Haram." Abu Zar bertanya lagi: "Lalu masjid apa?"

Rasulullah menjawab: "Al-Masjid al-Aqsa."

"Berapakah selang masa antara (pembinaan) kedua masjid ini?" tanya Abu Zar lagi.

Baginda menjawab: "Empat puluh tahun. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Simbolik

Israk dan Mikraj menyatukan dua masjid pertama di dunia. Kedua-duanya simbolik risalah tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu.

Kedatangan Rasulullah ke Baitulmaqdis menandakan bahawa Islam adalah lanjutan agama Ibrahim, Yakub, Musa, Isa dan seluruh nabi-nabi sebelumnya. Dan Muhammad adalah nabi terakhir yang menutup seluruh kenabian.

Berkata Ibnu Kathir dalam tafsirnya: "Baitulmaqdis adalah tempat asal nabi-nabi sejak Nabi Ibrahim.

"Itu sebabnya mereka lalu dikumpulkan di sana. Rasulullah SAW mengimami mereka di tempat mereka sendiri. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah imam yang terbesar dan pemimpin yang dikedepankan."

PENULIS sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor



UMAR MUHAMMAD NOOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/06/2013