June 5th, 2013

Bahana didera emosi

PENDERAAN fizikal pernah dibincangkan dan perkara ini membawa kesan buruk kepada anak. Anak mungkin mengalami kecacatan kekal seperti buta, pekak, lumpuh atau kerosakan mental.

Tidak kurang juga yang meninggal dunia. Penderaan fizikal dilihat dengan jelas dan tindakan terhadap pendera lebih mudah diambil.

Tetapi penderaan emosi jarang dibincangkan kerana kesukaran membuktikannya. Menurut seksyen 17(2)(b) mencederakan emosi kanak-kanak bermaksud 'dicederakan dari segi emosi jika ada gangguan yang substansial dan boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu yang didalilkan dengan, antara lain, kecelaruan mental atau tingkah laku, termasuk keresahan, kemurungan, penyendirian, kelangsangan atau perkembangan lamba't.

Jika dilihat daripada peruntukan ini penderaan emosi adalah satu kesalahan sama seperti penderaan fizikal atau seksual. Tetapi jarang diketengahkan dan kesannya terhadap kanak-kanak hanya boleh dilihat atau dikesan agak lewat.

Ada kalanya kanak-kanak yang terganggu emosi kerana penderaan berkenaan menjadi dewasa dengan membawa masalah semasa kecilnya itu.

Gangguan emosi menjadikan kanak-kanak berkelakuan pelik, termasuk resah, murung, suka bersendirian dan terencat pembangunannya.

Lebih menakutkan, dia menjadi orang dewasa yang akan menganiaya anaknya secara emosi.

Tidak kurang juga yang mengalami gangguan mental kronik, hilang kepercayaan diri dan cuba membunuh diri.

Sebagai ibu bapa adalah menjadi kewajipan kita membesarkan anak dengan kasih sayang, mendidiknya untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi, beradab dan berilmu.

Ibu bapa adalah contoh terbaik kepada anak-anak. Ini perlu dilaksanakan sejak anak masih kecil lagi. Jika ibu bapa yang diharapkan sebagai pelindung, pemberi kasih sayang dan pendidik bertukar menjadi pendera, sudah tentu akan menimbulkan kesan buruk kepada anak-anak.

Apakah yang dimaksudkan dengan penderaan emosi? Bagi seorang kanak-kanak, melihat kedua ibu bapanya bertengkar, mendengar ayahnya memaki hamun ibunya, melihat ibunya dipukul, diserang secara mulut dengan kata-kata yang memalukan, merendahkan maruah dirinya atau orang yang dikasihinya adalah antara contoh penderaan emosi.

Kebanyakan ibu bapa tidak sedar mereka mendera emosi anak dengan hanya merebut anak selepas bercerai.

Ibu bapa terlupa bahawa anak bukan barang yang boleh direbut-rebutkan. Anak memerlukan kasih sayang kedua-dua ibu bapanya tanpa syarat.

Ada ibu bapa yang telah bercerai, cuba 'merasuah' anak-anak dengan pelbagai cara hanya untuk meraih simpati dan kasih-sayang supaya anak memilih untuk tinggal dengannya selepas mereka bercerai.

Ada ibu bapa mengugut anak untuk tidak menceritakan masalah rumah tangga kepada sesiapa kerana mahu menutup malu. Semua ini adalah penderaan emosi anak-anak.


Penderaan fizikal lebih mudah diambil tindakan berbanding dengan penderaan
emosi kerana kesukaran membuktikannya.
- Gambar hiasan

Apabila seorang kanak-kanak didera secara emosi, ia mula menunjukkan tingkah laku atau tabiat pelik. Sebenarnya kanak-kanak itu tidak sedar atau tahu kenapa mereka berperangai seperti itu. Antaranya ponteng sekolah, mencuri, rempit, mengambil dadah, merokok, minum arak, panas baran dan ia hanya disedari oleh guru atau jiran tetangga.

Oleh kerana ibu apa terlalu sibuk memikirkan masalah sendiri serta taksub cuba memenangi hati pasangan atau 'menegakkan benang yang basah' maka mereka tidak dapat melihat perubahan sikap anak ini.

Apabila pihak sekolah memanggil ibu bapa atau menghantar anak berjumpa guru kaunseling, barulah tersedar bahawa perbuatanmereka sendiri telah mendera emosi anak sehingga menyebabkan ia terganggu.

Pada kebiasaannya, ibu bapa tidak datang bersama dan pada perjumpaan pertama lagi ibu atau bapa yang datang bertemu guru akan terus mempersalahkan anak atau pasangannya terhadap permasalahan yang timbul.

Mencari mangsa untuk dipersalahkan adalah tabiat biasa dalam rumah tangga yang kucar-kacir dan sering bergaduh.

Dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud: Bersyukurlah kepada-Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibu bapamu. Manakala dalam surah al-Nisa ayat 36: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat. Sementara sebuah hadis Nabi SAW bersabda "Janganlah kamu membenci bapa-bapa kamu. Sesiapa yang membenci ayahnya bererti dia kafir." (Ibnu Hajar al-Asqalani).

Dari nas al-Quran dan hadis ini, dapat dilihat bahawa sebagai anak, ketaatan kepada ibu bapa hanya terbatas jika ibu bapa menyuruhnya melakukan perkara yang dilarang Allah SWT seperti tidak mempercayai Allah, membuat perkara mungkar dan sebagainya.

Selain daripada itu, apapun yang pernah dan telah dilakukan oleh ibu bapa, anak masih perlu hormat dan mengasihani mereka terutama semasa mereka telah tua.

Namun apabila seorang ayah menjadi pendera kepada anak-anak dan isterinya, anak-anak hilang kepercayaan dan hormat kepada ayahnya.

Anak-anak juga boleh menjadi durhaka kerana dalam hati, tidak memaafkan kesalahan ayahnya dan bertekad membalas dendam.

Ibu bapa perlu ingat, apabila kita mati dan menghadap Allah SWT tiada apa yang boleh membantu kecuali amal jariah yang berpanjangan serta anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kita seperti doa dalam surah al-Isra' ayat 24 yang bermaksud: Dan katakanlah: Kasihanilah ibu bapaku sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecilku.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/06/2013

Haiwan kesayangan Rasulullah SAW

DIRIWAYATKAN bahawa Nabi Muhammad SAW mempunyai seekor kucing diberi nama Mueeza. Salah satu sifat Mueeza yang paling Nabi suka ialah Mueeza selalu mengiau ketika mendengar suara azan, seolah-olah seperti mengikuti alunan suara azan. Nabi berpesan kepada para sahabatnya untuk menyayangi kucing peliharaan seperti mana menyayangi keluarga mereka sendiri.

Pernah juga Nabi mahu mengambil jubahnya dan Mueeza sedang tidur di atasnya. Nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza daripada jubahnya supaya tidak menganggu Mueeza. Selepas Nabi pulang ke rumah, Mueeza terbangun dan pergi merunduk sujud kepada majikannya. Sebagai balasan, Nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing itu sebanyak tiga kali. Nabi menekankan dalam beberapa hadis bahawa kucing itu tidak najis.

Mengapa Rasulullah SAW mengatakan bahawa kucing suci dan tidak najis? Pada kulit kucing terdapat otot yang berfungsi untuk menolak telur bakteria. Otot kucing itu juga dapat menyesuaikan dengan sentuhan otot manusia.

Permukaan lidah kucing ditutupi oleh bonjolan kecil yang runcing. Bonjolan ini bengkok mengerucut seperti kikir atau gergaji. Bentuk ini sangat berguna untuk membersihkan kulit. Ketika kucing minum, tidak ada setitik cecair yang jatuh daripada lidahnya.

Sedangkan lidah kucing sendiri merupakan alat pembersih yang paling canggih, permukaannya yang kasar boleh membuang bulu-bulu mati dan membersihkan bulu-bulu yang tersisa di badannya. Itu yang kita lihat kucing selalu menjilat-jilat badannya, sebenarnya ia membersihkan bulunya.

Telah dilakukan pelbagai penelitian dan kajian terhadap kucing dan pelbagai perbezaan usia, kedudukan kulit, punggung, bahagian dalam telapak kaki, pelindung mulut dan ekor. Pada bahagian-bahagian tersebut dilakukan ujian dengan usapan.

Di samping itu, dilakukan juga penanaman bakteria pada bahagian-bahagian khusus, seterusnya diambil cairan khusus yang ada pada dinding dalam mulut dan lidahnya.

Komen doktor

Menurut Dr. George Maqshud, ketua makmal di Hospital Haiwan Baitharah, jarang sekali ditemukan adanya bakteria pada lidah kucing. Jika bakteria itu ada, maka kucing akan sakit.

Manakala Dr. Gen Gustafsiri mendapati bahawa bakteria yang paling banyak terdapat pada anjing, manusia 1/4 anjing, kucing 1/2 manusia. Doktor haiwan di klinik haiwan Damaskus, Said Rafah itu menegaskan, kucing memiliki peranti pembersih yang bernama lysozyme.

Kucing tidak suka air kerana air merupakan tempat yang sangat subur untuk pertumbuhan bakteria, terlebih pada genangan air (lumpur, genangan hujan dan lain-lain).

Kucing juga sangat menjaga kestabilan kehangatan tubuhnya. Ia tidak banyak berjemur dan tidak berada dekat dengan air. Tujuannya agar bakteria tidak berpindah kepadanya. Inilah yang menjadi faktor tidak adanya bakteria pada tubuh kucing.

Daripada hasil kajian perubatan dan percubaan yang telah dilakukan di makmal haiwan, didapati bahawa badan kucing bersih secara keseluruhan. Ia lebih bersih daripada manusia.

Kucing merupakan binatang peliharaan yang comel dan manja. Menurut sejarah, haiwan ini telah hidup sejak zaman Firaun lagi iaitu kira-kira 5,000 tahun yang silam dan dikatakan ia pernah hidup di istana Firaun.

Untuk mengangkat martabat dan nilai-nilai kucing, kebanyakan negara di dunia mengadakan pertandingan ratu kucing dan seumpamanya, termasuk Malaysia bagi memilih kucing yang tercantik dan menawan secara pemarkahan. Pemenang akan memperoleh hadiah-hadiah lumayan.



Ibrahim Abdullah Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/06/2013