June 13th, 2013

Berkasih sayang dalam kehidupan

ISLAM mendidik umatnya supaya mempunyai sifat kasih sayang. Sifat ini lahir dari hati yang pengasih dan penyayang. Kasih sayang bermaksud perasaan halus dan belas kasihan di dalam hati yang membawa kepada berbuat amalan utama, iaitu memberi maaf dan berbuat baik.

Ketika menjalani kehidupan sebagai makhluk Allah SWT di muka bumi ini, sifat kasih sayang sangat penting diterapkan dalam kehidupan. Sifat kasih sayang dalam hati boleh memadam rasa marah, dendam dan benci. Sesungguhnya Allah SWT bersifat pemurah, pengasih dan penyayang dan bersifat sangat lemah-lembut. Allah SWT suka seseorang hamba-Nya dengan sifat penyayang dan lemah-lembut.

Kasih sayang adalah sifat keutamaan dan ketinggian budi yang menjadikan hati mencurahkan segala rasa belas kasihan kepada segala hamba Allah SWT. Sifat ini hendaklah dididik kepada anak-anak sejak kecil lagi oleh ibu bapa. Kasih sayang lahir dari hati yang ikhlas dan lemah-lembut.

Islam tidak menentukan bahawa untuk bersikap dan berbuat kasih sayang itu hanya kepada segolongan manusia sahaja atau kepada kaum Muslimin sahaja. Ia harus diberikan kepada semua makhluk, baik manusia mahupun binatang, sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Sayangilah orang-orang yang ada di bumi, supaya engkau disayang oleh orang yang di langit (yakni para malaikat)." (riwayat At-Thabrani)

Oleh itu, hamparkan rasa kasih sayang kepada semua makhluk dan juga manusia di bumi supaya kita disayangi oleh malaikat di langit. Perasaan kasih sayang ini hendaklah ditunjukkan melalui percakapan, perbuatan dan juga datangnya dari hati yang jujur dan ikhlas.

Kesempurnaan

Lantaran itu, sifat dan rasa kasih sayang itu sifat dan perbuatan yang menambah kesempurnaan watak yang membuat seseorang merasa hiba bila melihat penderitaan melanda kehidupan makhluk, sehingga membangkitkan rasa ingin turut berusaha mengulangi, baik untuk meringankan beban si penderita mahupun sampai ke batas kesempurnaannya.

Jika penderitaan yang dilihat itu dalam bentuk kesesatan iktikad ia pun turut merasa sedih dan berusaha untuk menolong, paling tidak dalam bentuk doa memohon kepada Allah SWT agar mereka diberi petunjuk-Nya, dan dihindarkan daripada kesesatan.

Demikian pula, rahmat merupakan sifat dan perbuatan yang menambah kesempurnaan watak, kerana apabila manusia tidak memiliki sifat ramah, maka dapat menurunkan darjat manusia dan menghilangkan keutamaan dalam kehidupannya.

Keutamaan manusia itu ialah perasaan yang hidup dan aktif dengan senang dan sayang kepada sesiapapun. Manusia yang hanya memiliki sifat kekerasan tanpa memiliki sifat rahmat, dapat menurunkan fitrah manusia ke darjat binatang, bahkan ke darjat benda padat yang tidak dapat bergerak sendiri dan tidak dapat bertindak atas rangsangan.

Rahmat yang tinggi dan luas merata, adalah sifat Tuhan, kerana rahmat-Nya meliputi alam semesta. Oleh itu doa para malaikat kepada Allah SWT, ialah seperti tercantum dalam ayat ini: Ya Tuhan kami, sungguh rahmat dan ilmu Engkau luas meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-jalan. Engkau, dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang menyala-nya. (al-Mukmin: 7)

Rahmat

Oleh itu, pamerkan perasaan sayang menyayangi, bermanis muka, kebaikan, kebajikan dan mencintai adalah pantulan rahmat Allah SWT yang dititipkan kepada hati daripada sebahagian makhluk-Nya.

Orang yang bersikap lemah lembut dan orang yang mempunyai sifat mengasihani terhadap orang yang lemah antara rakyat jelata adalah orang yang paling banyak mendapat bahagian daripada rahmat Allah SWT.

Sedangkan bagi orang-orang yang zalim, penjahat, sombong, mereka adalah penghuni neraka, sebagaimana sabda Nabi SAW bermaksud: "Bahawasanya sejauh-jauh manusia dengan Allah ialah orang yang keras hatinya." (riwayat At Tirmizi).

Rahmat Allah SWT yang dicurahkan kepada makhluk-Nya melalui anugerah-Nya yang diberikan kepada seorang laki-laki atau perempuan yang suka membebaskan penderitaan, meringankan kesedihan, memberitahukan kesalahan dan membimbing orang-orang lemah, ia melemahkan keganasan orang kuat sehingga jinak.

Oleh itu, Allah SWT mengutus Nabi Muhammad SAW dengan membekalkan ilmu dan kesabaran hatinya untuk mengisi akhlaknya dengan kegembiraan dan kebajikan. Nabi SAW bersabda: "Timbangan amalan yang paling berat di Neraca Timbangan Amalan ialah akhlak yang mulia." (riwayat Ibnu Hibban)

Nabi SAW sentiasa berlapang dada, bermanis muka dengan senyum simpatinya yang sentiasa menghiasi setiap langkah dalam perjalanan hidupnya. Baginda seorang yang tidak suka akan kekerasan, kekejaman. Baginda juga seorang yang lemah-lembut dalam setiap sikapnya dengan tutur kata yang lembut melalui bahasa dan perbuatannya.

Dalam hal ini, Imam al-Ghazali ada mengatakan: "Kasihanilah anak-anak yatim kerana Rasulullah SAW juga tergolong sebagai anak yatim dan baginda akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihani anak yatim di akhirat."

Sifat kasih sayang ini mestilah dididik sejak kecil lagi. Manusia adalah makhluk ciptaan Allah SWT. Pendidikan hati dan jiwa hendaklah dilakukan sejak kecil dengan berterusan melalui nasihat dan teladan.

Ibu bapa bertanggungjawab dalam hal pendidikan anak-anak di rumah, manakala guru-guru pula mendidik dan mengajar ilmu pengetahuan di sekolah bagi membekalkan sifat-sifat yang baik kepada anak-anak.



DR. AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12/06/2013

Ukhuwah asas lahir masyarakat saling menghormati

Ukhuwah itu indah jika penyatuan disandarkan kepada Allah SWT dan tiada seorang manusia dapat hidup bersendirian kerana begitulah fitrah manusia dijadikan, bukan berseorangan. tetapi berdua serta berpasangan.

Asas inilah yang harus diyakini iaitu manusia tidak akan sempurna tanpa ikatan ukhuwah kerana tanpa ukhuwah iman itu tidak akan sempurna. Sabda Rasulullah SAW: “Tidaklah sempurna iman seseorang di antara kalian hingga dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ikatan jiwa lahir kasih sayang

Ukhuwah adalah ikatan jiwa yang melahirkan perasaan kasih sayang, cinta dan penghormatan mendalam terhadap setiap orang. Persaudaraan yang tulus akan melahirkan rasa kasih sayang mendalam pada jiwa setiap Muslim.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kalian menyerupai orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang yang akan mendapat seksa amat berat.” (Surah Ali-Imran, ayat 105)

Islam sangat menganjurkan persaudaraan walaupun hanya dengan bermanis wajah di hadapan saudaranya. Nilai kebaikan dalam Islam sentiasa dijaga walaupun untuk perkara sekecil-kecilnya. Menghubungkan silaturahim bermula dengan salam dan senyuman itu membahagiakan orang yang melihatnya.

Bukankah seorang Muslim itu adalah saudara bagi Muslim lainnya? Malah seorang Muslim yang sebenarnya tidak akan menganiayai saudaranya, tidak akan menghinanya apatah lagi membiarkannya terjerumus kepada kehinaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa mencukupkan keperluan saudaranya dan membantu menghilangkan kesusahan saudaranya, nescaya Allah akan memberikan kelapangan kepadanya pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Janganlah kita menjadi umat seperti yang digambarkan Rasulullah SAW laksana buih di lautan, banyak tetapi tidak bermanfaat, apabila dihentam ombak ia turut mengikuti ombak, kemudian bila ombak surut, buih pun ikut surut.

Kewajipan jalin ukhuwah

Terdapat beberapa kewajipan yang seharusnya dilaksanakan oleh Muslim yang menjalin ukhuwah dalam Islam. Menghubungkan silaturahim sudah tentulah adanya hubungan muamalat yang terjalin. Jalinan ini membolehkan manusia menunaikan fardu ain dan fardu kifayah.

Segala urusan menyentuh konsep hubungan sesama manusia. Apabila berlaku maksiat di depan mata maka menjadi fardu ke atasnya untuk menegur dan memperbetulkan kemungkaran itu. Di sinilah antara asas nilaian ukhuwah untuk menyempurnakan sebahagian daripada iman seseorang.

Dengan menunaikan hak-hak yang telah ditetapkan di dalam persaudaraan itu, maka dalam masa sama kita sudah melaksanakan apa yang telah dianjurkan Islam. Betapa mahalnya ukhuwah ini, dia tidak bisa ditukar dengan dunia dan seisinya sekalipun.

Allah berfirman: “Dan Dia (Allah) yang menyatukan hati-hati mereka (kaum mukminin), seandainya kamu membelanjakan dunia dan seisinya, nescaya kamu tidak akan dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allahlah yang mempersatukan hati-hati mereka.” (Surah Al Anfal, ayat 63)

Siti Nor Aisah Che Hassin Berita Harian Online Agama 13/06/2013

Sokong wadah keamanan

Ummah perlu elak tergelincir dalam kancah permusuhan

Keamanan membawa kepada keadaan harmoni, integriti, kesederhanaan dan kebahagiaan. Perkataan Islam membawa maksud aman dan selamat. Maksud keamanan sangat luas. Ia bukan hanya meliputi keadaan tanpa konflik.

Keamanan membawa kepada sebarang usaha untuk mengelak konflik dan keganasan. Ia meliputi usaha ke arah keseimbangan, kesederhanaan, ketenangan dan tindakan adil ke atas individu serta masyarakat.

Islam sangat berkait rapat dengan keamanan kerana Islam membawa erti keamanan yang dimanifestasikan oleh setiap individu Muslim dalam lafaz ‘al-Salamau ‘Alaykum’ sesama mereka apabila bertemu.

Perkataan ‘salam’ juga dilafazkan di penghujung setiap solat yang bermaksud ‘salam sejahtera ke atas kamu’. Ia sebenarnya salah satu nama terbaik Allah (al-asma’al-husna) dan amalan menyebut ‘sallalahu alaihi al-salam’ setiap kali nama junjungan Nabi Muhammad SAW disebut.

Ikut jalan diredai

Allah SWT menyuruh hambanya mengikut jalan keredaan-Nya supaya tidak tergelincir dari landasan Islam. Mereka yang taat dan patuh kepada ajaran Islam sebenar, sudah pasti mendapat ketenteraman dalam jiwa.

Sebenarnya, keamanan datangnya dari Allah. Allah berfirman: “Dialah yang menurunkan ketenteraman ke dalam hati-hati orang yang beriman supaya mereka tetap dalam iman kepada Allah.” (Surah al-Fath, ayat 4)

Keamanan tidak ditemui di luar dari hati manusia, tetapi meresapi hati setiap individu seterusnya diterjemahkan ke dunia luar. Daripada perspektif al-Quran, keamanan dapat dicari dalam tiga dimensi.

Pertama, keamanan dan ketenteraman dalam hati. Kedua, keamanan dan ketenteraman dalam hati membawa kepada keamanan bersama Allah kerana beriman kepada-Nya. Ketiga, dari dimensi pertama dan kedua, ia melahirkan keamanan di dunia luar.

Hakikatnya, ketiga-tiga dimensi keamanan ini sentiasa berkait rapat dan akan mempengaruhi antara satu sama lain. Islam sebagai agama fitrah, tidak sama sekali mengajar keganasan dan peperangan.

Allah SWT berfirman: “Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari Kiamat. Tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka pula terus menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedangkan Allah tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Maidah, ayat 64)

Jangan tolak pelawaan keamanan

Begitu juga umat Islam diminta jangan sama sekali menolak pelawaan keamanan untuk menamatkan konflik. Allah SWT berfirman: “Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Anfal, ayat 39)

Allah menyuruh manusia supaya tolong-menolong dan bekerjasama dalam perkara kebaikan, jangan sama sekali menolong dalam dosa atau permusuhan.

Ini dikuatkan dengan firman Allah SWT: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jugalah tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.” (Surah al-Maidah, 48)

Tindakan yang boleh membawa kepada keredaan konflik dan mengembalikan keharmonian dalam kalangan manusia terutama apabila ia dilakukan atas prinsip perpaduan dan kerjasama, menepati ajaran al-Quran yang menyarankan ‘tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan.

Melihat kepada konsep tauhid dalam Islam, ia asas kepada kesejagatan Islam, toleransi dan keterbukaan. Kedudukan manusia sama di sisi Allah tanpa mengira bangsa, warga negara, keturunan dan gender.

Meskipun begitu, al-Quran mengiktiraf kepelbagaian manusia dari segi bahasa, keturunan dan adat resam. Tauhid yang menjadi dasar prinsip Islam melihat kepada perpaduan, keterbukaan dan kesejagatan.

Pendekatan tauhid inilah yang dimanifestasikan dalam kehidupan sebenar manusia. Setiap manusia adalah sama penting dan tidak dibezakan. Allah menjadikan manusia dan kehidupannya – suatu anugerah suci – yang tidak boleh diambil begitu sahaja tanpa sebarang alasan yang kukuh. Justeru itu, sekiranya seseorang yang mengambil nyawa orang lain tanpa satu justifikasi Syara’, sebenarnya dia telah membunuh manusia seluruhnya. Begitu juga, sekiranya seseorang itu menolong menyelamat nyawa seseorang lain, sebenarnya dia telah menyelamat manusia seluruhnya.

Syariah memelihara setiap nyawa

Oleh yang demikian, syariah memelihara setiap nyawa dan menyahut supaya keselamatan dan keamanan nyawa manusia keseluruhan terpelihara.

Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Setiap langkah ke arah keamanan, walaupun kecil dianggap oleh Allah SWT sebagai amal soleh. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan melihat rendah kepada amalan kecil seseorang walaupun hanya dengan berjumpa dengan sahabatnya.

Ini kerana, persahabatan bermula dengan hati yang ikhlas, murni, jauh sekali daripada permusuhan dan sombong. Rasulullah SAW: “Allah pernah berkata kepada aku, bahawa awak perlu ikhlas, semua orang adalah sama dan tidak boleh sama sekali awak berlebihan dari yang lain dan jangan sama sekali bersikap tidak adil kepada orang lain.”

Islam menyeru kepada keamanan dan keselamatan sejagat melangkaui benua dan sempadan. Keamanan yang dituntut Islam bukan sekadar untuk manusia tetapi alam keseluruhannya. Dunia tanpa keganasan dan konflik sebenarnya adalah daripada ajaran Islam.

Dr Mohamed Azam Mohamed Adil ialah Timbalan Ketua Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS) Berita Harian Online Agama 13/06/2013