June 21st, 2013

Hukuman sebat syariah ambil kira perikemanusiaan

Hukuman sebatan syariah di Aceh dilakukan selepas solat Jumaat di pekarangan masjid. Lelaki disebat sambil berdiri sementara perempuan duduk memakai pakaian menutup aurat. Selepas hukuman dilaksanakan, pesalah berjalan keluar tanpa sebarang kecederaan.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pengalaman menyaksikan sendiri cara hukuman itu dijalankan tiga tahun lalu membuktikan sebatan syariah adalah ringan dan bertujuan sebagai pengajaran bukan untuk mencederakan.

Katanya, pihak yang menentang hukuman itu disebabkan mereka tidak mengetahui prosedur kerana tidak pernah melihat sendiri serta tidak memahami hikmah undang-undang, sebaliknya bercakap mengikut emosi.

“PPMM pergi melihat sendiri pelaksanaan hukuman sebat syariah kerana ingin mengetahui bagaimana ia dilakukan. Pelaksanaan hukuman itu disaksikan jemaah. Justeru, saya berpendapat ia boleh dilakukan sebagai pengajaran dan salah satu langkah pencegahan,” katanya.

Katanya, sikap berhati-hati pihak berkuasa memastikan hukuman dilaksana mengikut peraturan ditetapkan juga petanda walaupun pesalah melakukan jenayah, tetapi hukuman dijatuhkan masih mengambil kira faktor perikemanusiaan.

Hukuman 3,5,6

Zainul Rijal berkata, walaupun peruntukan undang-undang syariah negara ini menetapkan hukuman 3,5,6 iaitu penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000 dan enam sebatan, tetapi kebanyakan kes tidak dikenakan hukuman maksimum itu.

Katanya, hukuman sebat menjadi hukuman utama dalam undang-undang Islam sering diketepikan hingga menyebabkan hukuman sepatutnya mencegah perbuatan jenayah gagal mencapai fungsinya. Malah, usaha menguatkuasakan hukuman itu sering disalah tafsir hingga ia sukar dilaksanakan.

“Mungkin disebabkan itu juga ada pihak mengatakan hukuman sebat syariah mendiskriminasi wanita kerana Mahkamah Sivil tidak menjatuhkan hukuman sebat kepada pesalah wanita. Mereka perlu faham, hukuman sebat sivil sifatnya mencederakan,” katanya.

Isu sebat wanita menjadi tumpuan apabila bekas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarnor dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai 2009 selepas mengaku bersalah minum arak secara terbuka di pusat hiburan di Cherating.

Ini diikuti hukuman sebat mengikut undang-undang syariah terhadap tiga wanita yang disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah di penjara Kajang, 9 Februari 2010. Mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Terkini, cadangan melaksanakan hukuman sebat kepada 39 pesalah syariah di Johor di khalayak ramai atau di masjid bagi memastikan matlamat hukuman sebat syarie yang dilaksanakan itu mampu memberi kesedaran kepada kepada pesalah dan umat Islam.

Hukum termaktub dalam al-Quran, sunah

Zainul Rijal menasihatkan mereka yang tidak memahami hukuman sebat syarie supaya membuat kajian mengenai hukum yang sudah termaktub dalam al-Quran dan sunnah bukan mengelirukan masyarakat disebabkan kejahilan mereka.

Katanya, tumpuan sepatutnya diberikan kepada falsafah hukuman untuk menyedarkan masyarakat kesan buruk daripada kesalahan dilakukan seperti minum arak, persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah, bukan kepada hukuman sebatan itu saja.


Berita Harian Online Agama 20/06/2013

Penetapan syarat elak penganiayaan

Sistem muamalat Islam sangat mementingkan keadilan dan kesaksamaan kepada pihak yang terbabit dalam kontrak. Sistem digagaskan al-Quran dan sunnah ini menetapkan rukun tertentu bagi menjayakan maqasid (tujuan) pemeteraian kontrak.

Di sebalik rukun bagi setiap kontrak itu, ada syarat yang perlu dipenuhi bagi memastikan keabsahan rukun ditetapkan. Contohnya, antara rukun perlu ada dalam kontrak jual-beli (al-bai’) ialah al-‘aqidain (dua pihak yang berakad).

Namun, tidak cukup setakat itu. Rukun itu mesti memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu kedua-dua pihak yang berakad mestilah baligh dan berakal.

Al-Quran tidak meletakkan secara spesifik syarat perlu untuk memeterai sesuatu kontrak. Namun, al-Quran memberi garis panduan umum yang perlu dipatuhi bersama oleh mereka yang terbabit dalam kontrak.

Antaranya, Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah segala akad kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Melalui ayat ini dapat kita fahami Allah SWT memerintahkan mereka yang berkontrak supaya mematuhi syarat dipersetujui bersama. Ini bermakna, setiap pihak yang bersepakat mengenai syarat tertentu dalam kontrak akan terikat dengan syarat berkenaan.

Tanggung liabiliti

Jika terdapat pihak yang gagal mematuhi syarat ditetapkan, maka dia akan menanggung liabiliti dan tanggungjawab termasuk kerugian yang terhasil daripada pelanggaran syarat itu.

Dalam Islam, mereka yang melanggar syarat bukan saja menerima akibatnya di dunia, bahkan dia dianggap sebagai berdosa kerana mengkhianati kontrak dan bakal menerima pembalasan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” (Surah al-Isra’, ayat 34)

Contohnya, jika dua pihak bersetuju melakukan perniagaan atas asas mudharabah, maka antara perkara yang mesti dipersetujui serta disepakati terlebih dulu adalah mengenai pembahagian keuntungan.

Satu pihak akan menjadi penyumbang modal (rabbul mal), manakala satu pihak lagi menjadi pekerja (mudharib). Dalam perniagaan didapati adanya keuntungan, maka kedua-dua pihak yang berkontrak perlu membahagikannya mengikut peratusan dipersetujui.

Sebaliknya, jika ada kerugian, maka ia hanya membabitkan wang penyumbang modal bukan pekerja. Namun, jika pekerja melanggar syarat dipersetujui bersama ketika menjalankan perniagaan itu, maka dia menanggung segala kerugian.

Ini berasaskan hadis dari Ibnu Abbas, katanya: “Saidina Abbas bin Abdul Mutalib apabila menyerahkan harta sebagai mudharabah mensyaratkan kepada kawannya (pekerja) supaya jangan membawa hartanya menyeberang laut, menuruni lembah dan membeli binatang yang hidup. Jika dia melakukan juga demikian hendaklah dia menanggung bayaran ganti rugi. Syarat diletakkan Abbas ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah SAW dan Baginda meluluskannya.” (Riwayat Al-Thabrani)

Kebebasan berkontrak

Secara asasnya, Islam membenarkan kita meletakkan syarat tambahan dalam kontrak dimeterai. Kebebasan berkontrak sejajar dengan asas muamalat Islam yang bersifat harus (al-aslu fil ashya’ al-ibahah).

Penetapan syarat dibenarkan dalam Islam untuk menegakkan keadilan dan mengelakkan kezaliman serta penganiayaan kepada mana-mana pihak terbabit atau tidak terbabit dalam kontrak. Maknanya, pihak yang berakad dibenarkan meletakkan syarat jika tidak bercanggah maqasid atau tujuan kontrak.

Syarat jelas dilarang Islam adalah menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Ini berasaskan sabda Rasulullah SAW: “Dan orang Islam itu terikat dengan syarat-syarat (perjanjian) di antara mereka melainkan syarat yang mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perkara yang haram.” (Riwayat Tirmizi)

Fuqaha Mazhab Hanafi meletakkan beberapa garis panduan untuk penetapan syarat kontrak muamalat Islam yang akan dihuraikan dalam artikel akan datang.

Berita Harian Online Agama 21/06/2013

Kekayaan wasilah lakukan kebajikan

Peniaga, pengguna usah penting keuntungan dunia

Penciptaan alam ini bertujuan untuk manusia bekerja dan mencari rezeki. Namun perlu diingat, menggunakan alam sebagai tempat mencari rezeki dan kemudahan kehidupan adalah tidak mutlak, bahkan kita umat Islam perlu menyedari beberapa perkara.

Antaranya, manusia hanya sekadar wakil yang mengurus isi alam, pemilikan hanya bersifat sementara. Harta kekayaan adalah wasilah untuk melakukan kebajikan dan bukan matlamat kehidupan.

Harta yang dikurniakan bukan untuk dibangga-banggakan, tetapi perlu diedar dalam kitaran manusia bagi memastikan kemakmuran sesebuah negara dan manusia pasti dipersoalkan di akhirat atas apa yang mereka gunakan serta belanjakan di dunia ini.

Imam al-Ghazali menyatakan, penghalang antara manusia dengan tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki, tidak sempurna urusannya dengan Allah SWT disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki.

Yakinlah antara cabang rezeki yang dianjurkan Islam ialah dengan berniaga. Perniagaan sangat berkaitan dengan kehidupan manusia dan sebahagian usaha dakwah jika dilaksanakan secara ikhlas, jujur serta menepati etika Islam.

Diriwayatkan oleh Abi Said, Rasulullah SAW bersabda: “Peniaga yang benar dan amanah akan bersama dengan Nabi, golongan yang benar dan golongan mati syahid.”

Haram eksploitasi, penindasan cari rezeki

Islam mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi, penipuan dan penindasan dalam mencari rezeki seperti mana firman Allah SWT: “Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya).” (Surah al-Mutaffifin, ayat 1-5)

Dalam konteks ilmu ekonomi, urusan perniagaan menentukan hubungan peniaga dan pengguna. Prinsip Islam telah menetapkan kaedah dan cara bagi memastikan pengguna dapat dilindungi iaitu meyakini pengawasan Allah SWT dalam setiap gerak geri melaksanakan urusan jual beli.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Anfaal, ayat 27)

Sebagai pengguna, kita perlulah bijak dan berhati-hati membuat pilihan barangan serta perkhidmatan. Kita hendaklah bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang suci, halal dan berkualiti.

Sikap berhati-hati, prihatin dan berhemah memberi manfaat. Tindakan bijak pengguna akan dapat mengelak daripada kerakusan peniaga dan cengkaman mereka demi memenuhi keinginan yang tidak terbatas.

Beri perkhidmatan terbaik

Pengusaha dan peniaga juga dinasihatkan memberi perkhidmatan terbaik kerana setiap apa yang dilakukan, perkhidmatan disediakan akan di nilai oleh Allah SWT. Berapa ramaikah antara kita yang menjadikan produk umat Islam dan barangan halal sebagai pilihan utama?

Kelemahan dalam bidang ekonomi boleh menjadi faktor yang membuat sesuatu bangsa itu makin lemah, mudah ditindas dan sering dimanipulasi. Gunakanlah kuasa membeli sebagai kekuatan dan ibadah untuk menyumbang ke arah pengukuhan serta jihad ekonomi umat Islam.

Percayalah, ekonomi umat Islam pasti lebih kukuh dan terjamin kelangsungan ummah jika semua pengguna menyokong serta mengutamakan produk umat Islam terutama yang halal kriteria utama dalam setiap perbelanjaan.

Pengguna yang sedar haknya, mengambil berat sumber yang halal dan memilih premis serta makanan halal kerana ia akan mempengaruhi kehidupan dan tingkah laku.

Mengikut laporan bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sehingga Jun 2013 hanya 10,543 produk dan 1,657 premis telah disahkan halal oleh JAKIM.

Marilah bersama mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan menjadi pengguna dan peniaga yang bertakwa serta bijak. Jangan terlalu mementingkan keuntungan dunia semata-mata tetapi hendaklah mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT di akhirat.


Berita Harian Online Agama 21/06/2013

Bumi Mesir yang mempesona

KETIKA menunaikan umrah melalui pakej yang ditawarkan TH Travel & Services, awal Jun lalu, penulis dan kira-kira 100 jemaah Malaysia yang lain telah berkesempatan singgah di Makam Imam Syafie yang terletak di Masjid Imam Syafie, Kaherah, Mesir.

Tersentuh hati penulis apabila dapat menatap makam milik seorang tokoh ulama tersohor dunia Islam itu.

Rombongan kami sempat melakukan solat sunat dan berdoa di makam berkenaan selama kira-kira setengah jam.

Suasana di situ kelihatan aman dan tenteram tanpa ada bunyi bising yang mengganggu setiap orang yang mahu beribadat berhampiran makam berkenaan.


Jemaah umrah dari Malaysia yang mengikuti pakej umrah TH Travel & Services pasti membawa
pulang pelbagai pengalaman indah sepanjang ziarah mereka ke Kaherah, Mesir.


Keadaan Bandaraya Kaherah yang mempunyai kepadatan penduduk seramai lebih 100 juta orang kelihatan sunyi di sebelah siang tetapi sibuk dan meriah pada waktu malam apabila orang ramai berpusu-pusu keluar membeli-belah di sekitar bandaraya itu.

Kebanyakan mereka tinggal di kediaman jenis pangsapuri dan kondominium yang terletak dalam keadaan terlalu padat.

Selain melawat makam Imam Syafie, peserta turut berpeluang berkunjung ke Pyramid terkenal Mesir yang merupakan kubur Raja Firaun Kuno bersama harta simpanannya di samping Spinx.

Peserta juga dibawa melawat ke bekas Istana Raja Farouk dan Montazah Garden, Bibliotheca Alexanderina, Makam Nabi Danial, Masjid Hussin dan Masjid Morsi Abu El Abbas selain Pusat Pengeluaran Minyak Wangi dan perpustakaan terbesar di Mesir.

Mengikut Sejarah Islam, Mazhab Al-Syafie diasaskan Muhammad Idris Al-Syafie dan beliau dilahirkan pada 150 Hijrah, pada tahun yang sama dengan kewafatan ulama besar yang hebat iaitu Imam Abu Hanifah (pengasas Mazhab Hanafi).

Sampai ada sebahagian orang mengatakan bahawa seorang imam telah meninggal dunia dan lahir pula seorang imam yang lain.

Menurut Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam, Imam Al-Syafie dilahirkan di Gaza, Palestin dan desa Gaza ini berdekatan dengan sebuah kota yang dikenali sebagai 'Asqalan.

Kebanyakan kabilah yang tinggal berhampiran dengan tempat lahir Imam Al-Syafie ini adalah orang-orang Yaman.

Pendapat ini turut disokong oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah berdasarkan seorang pengkaji sejarah iaitu Al-Himawi bahawa pentakwilan itu bagus sekiranya riwayat-riwayat tersebut sahih.

Pada sebuah Atsar di situ pula ada menyebut 'ikatlah ilmu dengan tulisan'.

Atsar ini memberikan motivasi kepada beberapa ulama supaya mereka mencatatkan segala macam pengetahuan yang dimiliki melalui tulisan agar dapat diwariskan kepada generasi seterusnya. Ini kerana, hasil tulisan merupakan salah satu medium penyampaian ilmu pengetahuan.

Imam Al-Syafie dikatakan sangat rajin menulis dan beliau sering berkarya apabila diminta.

Pernah ahli-ahli hadis meminta Imam Al-Syafie mengarang penulisan khusus bagi mengkritik mazhab ahli ra'yi dan membela mazhab ahli hadis dan beliau menunaikan permintaan mereka itu.

Di antara karya Imam Al-Syafie ialah Ikhtilaf al-Hadis bagi membahaskan mengenai hujahan hadis ahad secara khusus dan membela sunnah secara umum.

Imam Syafie turut menulis kitab bertajuk Al-Hujjah dan ia merupakan karyanya ketika mengajar di Baghdad, Iraq. Kitab inilah yang membentangkan pendapat lama (Qaul Qodim) Imam Al-Syafie dalam ilmu Fiqh.

Al-Mabsuth turut ditulis dan ia merupakan karya Imam Al-Syafie yang menghidangkan beberapa tambahan dalam ilmu fiqh. Selain itu karya berjudul Al-Umm pula ditulis ketika beliau mengajar di Mesir dan ia membentangkan pendapat baru (Qaul Jadid) Imam Al-Syafie dalam ilmu Fiqh.

Kehebatan Imam Shafie terus terserlah apabila beliau menulis kitab Al-Risalah atas permintaan Abdurrahman Mahdi. Kitab ini membahaskan mengenai ilmu Usul al-Fiqh.

Ketekunan Imam Al-Syafie dalam ilmu pengetahuan membuatkan dirinya kurang rehat dan terkena penyakit yang amat berat.

Muhammad Abdullah Abdul Hakam menceritakan kondisi Imam Al-Syafie yang menderita kesakitan buasir kerana kurang penjagaan dan tidak mempedulikan pantang-larang.

Akhirnya, Imam Al-Syafie wafat di Mesir pada malam Jumaat di hari akhir bulan Rejab, 204 Hijrah selepas selesai melaksanakan solat Maghrib.



AZMI ABDUL MALEKUtusan Malaysia Online Bicara Agama 19/06/2013

Memberi kerana Allah

KATA 'wakaf' berasal daripada bahasa Arab waqf yang bererti 'menghentikan' atau 'menahan'. Ertinya, seseorang menghentikan hak milik sesuatu harta dan menahan diri daripada menggunakannya dengan cara menyerahkan harta itu kepada pengelola untuk digunakan bagi kepentingan umum.

Barang yang diwakafkan ialah barang yang bermanafaat dan tidak cepat habis digunakan, baik harta yang tetap seperti tanah mahupun harta tidak tetap, seperti buku.

Hibah pula dari segi bahasa bererti 'pemberian' atau 'hadiah', iaitu pemberian harta untuk kepentingan perseorangan, institusi sosial, keagamaan atau ilmu pengetahuan.

Pemberi wakaf atau hibah tidak memperoleh apa-apa ganjaran. Dia melakukannya semata-mata kerana mengharapkan keredaan Allah SWT.

Harta yang dihibahkan ialah barang yang masih dapat digunakan dan bermanfaat kepada pemakainya, misalnya baju dan kelengkapan solat.

Suka memberi

Islam menganjurkan umatnya agar suka memberi kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: Tangan yang di atas (pemberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima) dan dahulukan orang yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah adalah apa yang dikeluarkan daripada orang yang mempunyai kelebihan.(riwayat Bukhari dan Muslim)

Hikmah

Memberikan wakaf atau hibah merupakan perbuatan terpuji dan suatu ibadat yang pahalanya tidak akan terputus. Wakaf dan hibah sangat bermanfaat bagi kepentingan agama dan umat seperti untuk pembinaan kehidupan beragama, pendidikan dan peningkatan kesejahteraan.

Selain itu, wakaf dan hibah dalam ajaran Islam dimaksudkan untuk menjalin kerjasama sosial yang lebih baik dan untuk lebih mengakrabkan hubungan sesama manusia.

Dasar hukum

Ulama sepakat bahawa hukum wakaf dan hibah adalah sunnah. Wakaf dan hibah sangat dianjurkan untuk membantu sesama manusia. Yang mendorong ibadat wakaf dan hibah ialah firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 92 dan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Marilah antara kamu saling memberikan hibah, kerana yang demikian itu akan menjadikan kamu saling mengasihani. (riwayat Bukhari)

Pewakafan

Kini masalah perwakafan dikendalikan secara khusus. Beberapa negara, misalnya Arab Saudi dan Mesir, yang membentuk kementerian wakaf khusus mengelola masalah perwakafan.

Di Malaysia, kebanyakan negeri memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam menguruskan semua harta wakaf sebagai pemegang amanah.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 19/06/2013

Persiapkan diri sambut Ramadan

SETIAP daripada kita selalu berharap agar Ramadan tahun ini lebih baik dari sebelumnya. Namun kita sering lupa bahawa kesempurnaan ibadah Ramadan bermula daripada kepandaian kita menggunakan bulan Syaaban.

Syaaban ialah masa yang paling tepat mempersiapkan pelan terbaik untuk meraih ibadah Ramadan yang sempurna. Persiapkanlah mental, set minda (mindset) dan kewangan sejak dari sekarang.

Bagi sesiapa yang perlu berbelanja untuk persiapan raya, lakukanlah pada bulan ini. Jangan sampai melakukannya pada bulan Ramadan. Sebab setiap saat dalam Ramadan terlalu mahal dan berharga untuk digunakan berbelanja barang-barang raya di pasar. Apalagi bagi kaum perempuan yang terpaksa berdesak-desakan dengan kaum lelaki di tengah suasana panas dan penuh dengan bebauan yang tidak sedap.

Oleh itu, apabila berbelanja pakaian, alangkah baiknya jika hukum-hakam fiqh yang berkaitan dengannya selalu berada dalam minda kita. Pastikan baju-baju yang kita beli untuk kita dan anak-anak tidak termasuk dalam kategori yang haram dipakai.

Berikut ini ialah sebahagian prinsip-prinsip hukum dan adab Islami berkaitan dengan pakaian yang mesti diketahui setiap Muslim.

1 Hukum asal

Hukum asal pakaian adalah halal dan harus. Begitu juga perhiasan yang diletakkan di badan, pakaian ataupun tempat tinggal. Semuanya boleh digunakan melainkan beberapa perkara yang telah ditetapkan haram oleh hukum Islam.

Antaranya haram bagi laki-laki memakai baju yang terbuat daripada sutera asli juga perhiasan daripada emas. Sutera dan emas turut haram dibuat menjadi perhiasan rumah seperti langsir dan pinggan emas.

2 Awas tabarruj

Islam tidak melarang wanita untuk tampil cantik, namun Islam melarang tabarruj. Cantik tidak semestinya tabarruj dan tabarruj tidak semestinya cantik.

Tabarruj adalah perbuatan perempuan yang menampakkan keindahan tubuh, pakaian dan perhiasannya di hadapan laki-laki asing. Perkara ini diharamkan sebagaimana larangan Allah kepada kaum wanita: Dan janganlah kamu bertabaruj sepertimana tabarruj jahiliah terdahulu. (al-Ahzab: 33)

Adapun menampakkan kecantikan kepada orang yang halal iaitu suami, maka perbuatan itu bukan tabarruj. Hukum perbuatan ini bukan hanya harus, bahkan sunat.

Seorang isteri boleh bersolek, membentuk rambut, berminyak wangi, memakai baju yang mendedahkan aurat atau apa-apa sahaja yang dapat memuaskan naluri kewanitaannya selagi mana ditujukan hanya untuk suami.

3 Haram meniru lawan jenis

Perbuatan ini disebut juga dengan istilah tasyabbuh. Haram bagi seorang laki-laki memakai pakaian perempuan dan seorang perempuan memakai pakaian laki-laki. Lagi pula, perbuatan tersebut menunjukkan masalah mental yang cukup serius.

Ibnu Abbas meriwayatkan: Rasulullah melaknat perempuan yang meniru laki-laki dan laki-laki yang meniru perempuan. (riwayat al-Bukhari)

Dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji dijelaskan bahawa hukum tasyabuh ini meliputi aspek pakaian, perhiasan, gaya bicara dan cara berjalan.

Masing-masing jantina ada cara dan gaya tersendiri dalam kesemua aspek ini. Maka siapa yang meniru cara dan gaya lawan jenisnya, maka dikira telah melakukan tasyabuh. Dan hukumnya haram.

4 Jangan membazir

Selain itu, salah satu prinsip perbelanjaan terpenting dalam Islam adalah berpada-pada dan jangan membazir. Jika tiada keperluan untuk menukarkan segala kelengkapan rumah menjadi baru, maka tidak perlulah memaksa diri untuk melakukannya.

Hiasi rumah mengikut keperluan dan kemampuan. Selagi mana sesuatu perabot masih boleh digunakan, gunakanlah sebaiknya. Tidak perlu berbelanja besar menukar langsir, sarung kusyen, televisyen baru, sofa baru dan sebagainya.

Islam amat membenci pembaziran dan sangat menggalakkan sedekah. Jika kita memiliki kemampuan yang lebih, eloklah kelebihan dikongsikan dengan golongan yang memerlukan.

Firman Allah: Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya mereka yang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya. (al-Isra': 27) Wallahu a'lam.

UMAR MUHAMMAD NOORUtusan Malaysia Online Bicara Agama 19/06/2013

Dilema mangsa sihir

REZEKI menyebelahi Mustafa apabila beliau berjaya mendapatkan tender pengusahaan kantin di sebuah kilang.

Namun, kegembiraannya itu tidak kekal lama apabila disusuli dengan ujian yang tidak pernah disangka. Fikirannya mula menjadi tidak tenteram dan Mustafa berasa sangat benci serta marah kepada isterinya walaupun tanpa sebab.

Perasaan itu semakin menebal sehinggakan beliau sering memukul isterinya. Tidak habis di situ, keadaan bertambah keruh sehinggalah suatu hari dia mengambil keputusan memfailkan penceraian kepada isterinya.

Akhirnya, terlafazlah talak tiga Mustafa kepada isterinya di hadapan hakim mahkamah syariah.

Ditakdirkan, ketika bekerja dan menguruskan kantinnya seperti biasa, Mustafa menemui satu bungkusan kain putih di dalam kantin tersebut. Setelah diteliti dan dibawa 'berubat' barulah Mustafa menyedari bahawa dia telah terkena sihir dan kesannya mengakibatkan penceraian itu.

Dengan perasaan sedih, Mustafa cuba merayu agar mahkamah menyemak semula perceraian talak tiga yang telah direkodkan oleh mahkamah sebelumnya.

Namun malangnya, Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kes ini belum didengar sewajarnya ekoran kegagalan Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan pendapat pakar meneliti isu tersebut.

Perpisahan telah berlaku, manakala dalang di sebalik penceraian itu terus bebas tanpa sebarang bicara dan diambil tindakan.

Menceritakan kejadian itu Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mahyuddin Ismail berkata, begitulah contoh kes membabitkan sihir yang sering berlaku namun terpaksa dipinggir di mahkamah.

"Realitinya, terdapat beratus-ratus dan mungkin beribu-ribu lagi kes sama atau hampir sama dialami oleh mangsa-mangsa sihir di luar mahkamah. Melalui temu bual yang pernah saya jalankan terhadap beberapa orang hakim mahkamah Syariah di Kuantan dan Kuala Terengganu, mereka percaya bahawa penggunaan sihir dalam kes-kes perceraian memang wujud.

"Malah hakim-hakim tersebut pernah berdepan dengan kes sedemikian. Dalam kes Mustafa ini menjelaskan betapa perlunya diwujudkan tatacara khusus bagi membicarakan kes sedemikian demi menyelamatkan rumah tangga daripada angkara sihir.

"Dan, jika dilihat mengikut hukum juga talak yang dilafazkan oleh seorang suami dalam keadaan akalnya yang tidak sempurna atau dalam keadaan kemahuannya yang dikuasai oleh seseorang atau oleh sesuatu adalah tidak sah.

"Ini adalah selari dengan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah bermaksud: "Tidak gugur talak dan tidak sah memerdekakan hamba ketika dalam keadaan ighlaq (terlalu marah)," katanya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/06/2013

Bongkar sihir dengan sains

LULUHNYA hati seorang mangsa apabila penjenayah atau tertuduh yang terang-terangan bersalah tetapi tidak dikenakan sebarang tindakan, malah dibebaskan tanpa jaminan oleh pihak mahkamah.

Bukan hanya satu atau dua, tetapi dikatakan terdapat pelbagai kejadian seumpama yang diklasifikasi sebagai kes jenayah dan sivil itu dilaporkan ke muka pengadilan, namun terlepas begitu sahaja.

Sebabnya, tiada isu atau bukti kukuh yang dapat diketengah bagi membuktikan tertuduh benar-benar bersalah. Badan kehakiman hanya memutuskan apa yang zahir di hadapan mereka.

Akhirnya, pesalah tersenyum puas kerana motif perbuatan tercapai kesan daripada ketiadaan bukti kukuh bagi menyabitkan kesalahan yang dilakukan.

Manakala, mangsa pula terpaksa terus hidup dalam menderita.


Jenayah sihir telah diamalkan sejak dahulu, namun masih tiada undang-undang
bagi menyekat kesalahan itu . - Gambar hiasan

Inilah dilema yang berlaku apabila jenayah yang dilakukan di luar logik akal manusia iaitu membabitkan unsur ilmu sihir.

Sehingga dilaporkan terdapat kes jenayah sihir yang mengakibatkan maut mahupun derita sepanjang hayat.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Mahyuddin Ismail berkata, isu jenayah membabitkan sihir yang dilihat semakin serius boleh diatasi dengan mewujudkan satu undang-undang khas bagi menanganinya.

Beliau yang juga mengetuai unit kajian khas dalam meneliti undang-undang sihir berkata, kaedah pembuktian dan pendakwaan yang menjadi keraguan utama dalam kes membabitkan sihir juga diyakini mampu diselesaikan melalui kaedah yang telah dipersetujui.

Kaedah tersebut katanya, melalui gabungan kepakaran antara pengamal perubatan Islam dan juga pakar sains.

"Kepakaran pengamal perubatan Islam itu daripada Gabungan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Gapimma). Pakar sains pula adalah dengan kerjasama ahli forensik dan juga peralatan teknologi bio-feedback.

"Setiap mangsa yang disihir mempunyai 'khadam sihir' kepada tuannya yang juga penghantar sihir itu ke dalam tubuh mangsa.

"Gapimma bertindak mengenalpasti tuan yang menghantar khadam sihir tersebut melalui pengakuan mangsa semasa proses rawatan yang ketika itu sedang dikawal oleh khadam sihir.

"Pengakuan daripada mulut mangsa akan dirakamkan untuk dijadikan bukti sebelum langkah seterusnya dijalankan.

"Manakala, bahan yang dihantar oleh penyihir seperti rambut, kuku, kaca dan sebagainya yang diperoleh ketika rawatan pula akan disiasat oleh Jabatan Forensik melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Ini untuk mengenalpasti pemilik, penyimpan dan penghantar barangan itu.

"Seterusnya, teknologi bio-feedback pula digunakan bagi menguji dan melihat tindak balas mangsa melalui isyarat atau tanda yang diterima daripada tubuh mangsa menerusi alat tersebut," kata Dr. Mahyuddin ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambahnya, alat pengesanan bio-feedback yang telah diuji keberkesanannya itu dinilai melalui enam aspek iaitu gelombang otak, teknik pernafasan, denyutan hati, tindak balas kulit, ketegangan otot, dan juga peluh tubuh.

Bagaimanapun katanya, keputusan yang diperoleh daripada siasatan ketiga-tiga kaedah itu perlu selari dan menunjukkan kesan yang benar sebelum diklasifikasikan dalam jenayah sihir.

"Jika rawatan daripada Gapimma mengesahkan bahawa seseorang itu disihir dan mengenalpasti siapa dalang di sebalik kejadian itu, maka ujian forensik dan pengesanan bio-feedback juga harus selari dengan dalang yang dikenalpasti itu," katanya.

Mahyuddin berkata, penjenayah sihir sama ada penghantar sihir dan individu yang mengupah ahli sihir tidak lagi bebas melakukan perbuatan tersebut sewenang-wenangnya dengan wujudnya undang-undang tersebut.

Muhyiddin yang juga penulis buku Ahli Sihir ke Tali Gantung berkata, jenayah sihir sekiranya dibiarkan tanpa sebarang tindakan akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk.

Ini katanya berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sebanyak 69 peratus rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (PTK) berbanding perubatan moden.

"Walaupun pada zaman moden, jenayah membabitkan sihir dilihat semakin popular. Sihir menjadi pilihan kerana merupakan kaedah halus untuk menjatuhkan seseorang dengan mudah dan lebih berkesan malah tanpa disyaki.

"Begitu juga statistik kes penipuan oleh bomoh pada 2012 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah kerugian yang dialami mangsa meningkat 63.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu melibatkan amaun RM12,494,665.27.

"Berleluasanya kes-kes sebegini memerlukan satu pendekatan yang holistik untuk membanterasnya kerana selain menipu, ada juga pengamal yang menawarkan khidmat sihir atas nama perawat tradisional dan komplementari," katanya.

Oleh itu, Muhyiddin berkata, sudah tiba masanya sebuah akta bagi menyekat kebebasan jenayah membabitkan sihir perlu diwujudkan melalui penubuhan undang-undang sihir.

Nyata kesediaan

Dr. Muhyiddin berkata, kajian secara dasar mengenai isu-isu penguatkuasaan, pendakwaan, pembuktian dan kepakaran daripada akar umbi untuk menubuhkan undang-undang tersebut telah diadakan dan rata-rata pihak terlibat menyatakan kesediaan dalam mewujudkan akta tersebut.

"Sesi perbincangan secara berkala dengan pihak berkuasa seperti bersama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Gabungan Persatuan Pengubatan Islam Malaysia (GAPPIMA) dan Jabatan agama Islam Negeri telah pun diselaraskan.

"Ini bertujuan pengemaskinian prosedur, tatacara dan aspek teknikal dalam pelaksanaan undang-undang tersebut. Dan kesemua badan berkenaan menunjukkan persetujuan dan memberi jawapan positif.

"Saya yakin, melalui geran Program Pemindahan Ilmu yang diluluskan, isu-isu tersebut akan dapat diperhalusi dan diselesaikan oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut," jelas Dr. Mahyuddin.

Manakala, daripada segi penguatkuasaan dan pendakwaan diakui masih kurang berkemahiran. namun dengan adanya kerjasama daripada semua pihak yang terlibat, latihan dan pendedahan boleh diberikan selain mewujudkan Prosedur Kendalian Standard (SOP) khas, ini boleh diatasi.

"Daripada segi kepakaran pula, saya tidak berasa ia suatu yang sukar untuk diwujudkan kerana ramai pakar-pakar perubatan PTK yang sedia untuk membantu. Cuma yang menjadi isunya ialah pengiktirafan oleh pihak berkuasa.

"Alhamdulillah dengan adanya Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplemetari (BPTK) Kementerian Kesihatan Malaysia, berupaya menjadi salah satu badan rujukan dalam perlaksanaannya.

"Selain itu, Gappima sendiri telah menyatakan pendirian untuk membantu pihak kerajaan untuk memerangi jenayah sihir dan perkara ini telah dijadikan sebagai salah satu agenda perjuangan mereka.

"Namun, saya tetap menaruh harapan agar isu ini diberi perhatian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana terdapat kes-kes jenayah yang melibatkan sihir seperti menipu, mencuri, menceroboh, merompak, merogol menggunakan ilmu sihir berbentuk pukau.

"Jika penggunaan sihir pukau tidak dibanteras, maka jenayah-jenayah tersebut akan dapat dilakukan dengan lebih mudah tanpa sebarang tentangan daripada mangsa," ujar Dr. Mahyuddin.

Beliau mencadangkan, pada peringkat awal akta tersebut boleh dilaksanakan melalui kes jenayah membabitkan sihir di dalam pernikahan dan perceraian.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/06/2013

Rukun haji

IBADAT haji merupakan salah satu rukun Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf (cukup syaratnya). Dengan itu, hukum melaksanakan haji adalah wajib sekali seumur hidup apabila cukup syarat-syaratnya. Bagi setiap Muslim perlulah berazam untuk melaksanakan ibadat haji kerana ia perintah Allah SWT yang wajib ditunaikan bagi melengkapkan Rukun Islam yang kelima.

Rukun haji ialah pekerjaan yang mesti ditunaikan oleh jemaah haji, jika tidak ditunaikan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sah hajinya. Rukun-rukun haji ialah;

1 Niat ihram haji

Niat ihram haji ini dilafaz serta berqasad dalam hati ingin mengerjakan haji dengan lafaz "Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah SWT" (untuk Haji Tamattuk dan Haji Ifrad).

Manakala lafaz "Sahaja aku mengerjakan haji dan umrah serentak dengannya aku berihram haji dan umrah kerana Allah SWT" (bagi mereka yang mengerjakan Haji Qiran).

Dengan lafaz ini, maka bermulalah amalan haji. Jemaah perlu menjaga perkara-perkara wajib haji seperti larangan dalam ihram.

Lafaz atau niat ihram boleh dilakukan walaupun tanpa dalam keadaan berwuduk (bersuci) seperti berada dalam haid dan lain-lain kerana lafaz niat haji tidak disyaratkan dalam keadaan bersuci.

Sememangnya lafaz itu disebutkan semasa atau sebelum melintas miqat. Bagi mereka yang sudah berada di Tanah Suci Mekah, miqatnya di Mekah itu sendiri dan perlu berpakaian ihram.

Jika jemaah datang dari luar Mekah, ia mestilah berniat ihram di tempat arah mereka datang. Contohnya, kalau dari Madinah tempat miqat di Bir Ali (Zulhulaifah), dari Malaysia dan terus memasuki Mekah, miqatnya di Qarnul Manazil. Bagi mereka yang tidak berniat ihram haji di miqat maka dikenakan dam tertib dan taqdir (menyembelih seekor kambing atau 1/7 daripada lembu/ unta).

2 Wuquf di Padang Arafah

Wuquf bermaksud berhenti atau berada di Padang Arafah pada masa yang ditetapkan. Ia adalah merupakan salah satu daripada rukun haji yang sangat penting kerana Nabi SAW bersabda, "Haji itu mesti berwuquf di Arafah."

Fahaman daripada itu bererti jemaah yang sudah berpakaian ihram dan berniat ihram mesti berada atau pergi ke Padang Arafah. Jika tidak, hajinya tidak sah.

Wuquf di Arafah bermaksud mesti berada di Arafah walaupun seketika dalam sebarang keadaan dari masa gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum masuk waktu Subuh pada 10 Zulhijjah.

Pada hari tersebut, disunatkan banyak melakukan solat sunat, berdoa, berzikir dan lain-lain. Berdoa di Arafah adalah salah satu tempat yang mustajab berdoa. Tidak disunatkan berpuasa pada hari Arafah dan dilarang sama sekali melakukan perkara-perkara yang khurafat.

3 Tawaf Rukun Haji

Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, bermula di penjuru Hajarul Aswad dan berakhir pada sudut yang sama menurut syarat-syarat tertentu.

Pada asasnya ia mempunyai tujuh jenis iaitu tawaf qudum (tawaf selamat datang), tawaf rukun umrah, tawaf rukun haji, tawaf sunat, tawaf nazar, tawaf wada' (tawaf selamat tinggal), tawaf tahiyatul al-bait dan tawaf tahallul.

Waktu untuk tawaf haji bermula pada waktu melebihi separuh malam pada malam 10 Zulhijjah.

4 Sa'ie Haji

Sa'ie ialah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menurut syarat-syarat iaitu;

a) Hendaklah dilakukan selepas melaksanakan Tawaf Qudum (bagi mereka yang masuk Mekah untuk melakukan Haji Qiran dan Ifrad) atau selepas tawaf haji. Bagi mereka yang masuk Mekah dengan niat ihram umrah, tawaf qudum terjadi dengan serentak bersama tawaf rukun umrah.

b) Mesti bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Jangan mula di tengah-tengah antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.

c) Cukup tujuh ulang-alik dengan yakin bermula di Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira satu kali dan di Bukit Marwah ke Bukit Safa dikira sekali. Mesti berakhir di Bukit Marwah apabila cukup tujuh pusingan.

d) Hendaklah sampai ke penghujung tempat sa'ie di kaki Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa pada setiap pusingan (untuk mengetahui di mana kaki Bukit Safa dan Marwah pada masa sekarang ini, jemaah haji perlu lihat berakhirnya pagar untuk kawasan saie bagi kerusi roda).

e) Hendaklah dilakukan di tempat yang telah ditentukan oleh Allah SWT (termasuk kawasan yang diperlebarkan dan kawasan yang sama dengannya, sama ada lapisan bawah atau atas).

f) Mengekalkan niat sa'ie kerana Allah SWT sepanjang masa sa'ie (contohnya, tidak kekal niat kerana Allah, sambil-sambil sa'ie mencari selipar yang hilang).

5 Bercukur atau Bergunting

Apa yang dikehendaki di sini ialah menanggalkan rambut di kepala sekurang-kurangnya tiga helai rambut (sama ada di pangkal atau di hujung rambut). Jika tiada rambut di kepala, boleh hanya melalukan pisau cukur di kepala sebagai menandakan kita telah bercukur/ bergunting. Waktu bagi jemaah haji boleh bercukur atau bergunting ialah selepas waktu separuh malam 10 Zulhijjah.

6 Tertib Pada Kebanyakan Rukun

Rukun yang keenam ini dimaksudkan rukun-rukun haji hendaklah dilakukan mengikut tertib pada kebanyakan rukun iaitu didahulukan niat ihram haji dari rukun-rukun yang lain. Didahulukan wuquf daripada tawaf rukun dan didahulukan tawaf daripada sa'ie. Tetapi sa'ie haji boleh dipilih untuk dikerjakan sebelum wuquf atau selepas wuquf dengan syarat mereka melakukan haji ifrad atau haji qiran dan dilakukan selepas Tawaf Qudum.



TENGKU AZIZ RAJA ABDULLAH l PENULIS ialah Pengurus Besar (Bimbingan), Lembaga Tabung Haji. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21/06/2013