June 24th, 2013

Haram minta sedekah bagi berkemampuan

Islam benarkan mohon sumbangan untuk agama, kemaslahatan Muslimin

Sering kali kita disapa mereka yang meminta sumbangan baik ketika berhenti mengisi petrol di stesen minyak, pasar raya, depan bank dan ketika menikmati hidangan di restoran. Ada yang menukar sumbangan dengan barangan dan ada juga yang sekadar menunjukkan surat untuk tujuan tertentu.

Tidak dinafikan bagi yang berniat sedekah akan menghulurkan sumbangan ikhlas mereka, namun ada juga yang cuak kerana memikirkan ke mana sebenarnya sumbangan itu pergi. Persoalannya, adakah sumbangan itu untuk keperluan mereka atau diberi kepada sindiket?

Ada juga yang mengaku mereka daripada rumah anak yatim atau maahad tahfiz mengharapkan belas kasihan masyarakat. Malah, ada pula yang meminta wang dengan alasan tidak cukup duit untuk pulang ke kampung.

Timbul rasa kurang senang

Hakikatnya, pelbagai cara digunakan oleh mereka untuk mendapatkan sumbangan daripada orang ramai dan kehadiran golongan ini sebenarnya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Budaya meminta sedekah bukan daripada ajaran Islam kerana Islam menyeru umatnya berusaha dan bekerja untuk menyara diri sendiri serta ahli keluarga. Hukum meminta sedekah adalah haram bagi mereka yang mempunyai kekuatan dan kemampuan mencari rezeki.

Sebaliknya bagi mereka yang tidak berkemampuan adalah makruh berbuat demikian tetapi tidak digalakkan.
Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang meminta harta kepada manusia supaya hartanya menjadi banyak, bererti dia meminta bara api yang menyala-nyala.” (Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, disebut beberapa keadaan yang membolehkan seseorang untuk mengemis atau meminta sumbangan. Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Qabishah bin Mukhariq Al-Hilali, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal, kecuali bagi salah satu daripada tiga orang: seseorang yang menanggung beban (hutang orang lain, diyat/denda), ia boleh meminta-minta sampai ia melunaskannya, kemudian berhenti. Dan seseorang yang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya, ia boleh meminta-minta sampai ia mendapatkan sandaran hidup. Dan seseorang yang ditimpa kesengsaraan hidup sehingga ada tiga orang yang berakal daripada kaumnya mengatakan: ‘Si polan ditimpa kesengsaraan hidup,’ ia boleh meminta-minta sampai mendapatkan sandaran hidup. Meminta-minta selain untuk ketiga hal itu, wahai Qabishah! Adalah haram, dan orang yang memakannya adalah memakan yang haram.”

Jika seseorang meminta sumbangan untuk kepentingan kaum Muslimin, bukan kepentingan peribadinya, maka ini juga termasuk tasawwul (mengemis dan meminta sumbangan) yang diperbolehkan dalam Islam meskipun daripada golongan kaya.

Antara dalil syarie menunjukkan meminta sumbangan untuk kepentingan agama dan kemaslahatan kaum muslimin itu dibolehkan, pesan Rasulullah (SAW) kepada pemimpin perang sebelum berangkat: “Jika mereka (orang kafir yang diperangi) tidak mahu masuk Islam maka mintalah al-Jizyah daripada mereka! Jika mereka memberikannya maka terimalah dan tahanlah dari (memerangi) mereka! Jika mereka tidak mahu menyerahkan al-Jizyah maka mintalah pertolongan kepada Allah dan perangilah mereka.”

Nabi juga bekerja

Islam menganjurkan kita berusaha mencari nafkah untuk memenuhi keperluan hidup dan keluarga. Firman Allah SWT bermaksud: “Apabila telah solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurniaan Allah.” (Surah al-Jum’ah, ayat 10)

Nabi juga bekerja kerana Rasulullah (SAW) bersabda: “Tidaklah Allah mengutus seorang Nabi melainkan dia mengembala kambing. Lalu ada sahabat bertanya: Apakah engkau juga? Baginda menjawab: Ya, saya mengembala kambing dengan mendapatkan upah beberapa qiroth milik ahli Makkah.”

Sabda baginda lagi: “Sungguh salah seorang di antara kamu mencari kayu bakar diikat, lalu diangkat di atas punggungnya lalu dijual, itu lebih baik daripada orang yang meminta-minta kepada orang lain, diberi atau ditolak.”

Orang yang mahu bekerja, bererti dia menghormati dirinya dan agamanya. Jika mendapatkan rezeki melebihi keperluannya, maka dia mampu mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan membantu orang lain.

Meskipun hukum mengemis pada dasarnya dilarang dalam Islam, akan tetapi kita sama sekali tidak boleh menyamaratakan semua pengemis atau peminta sedekah. Kita tidak boleh menuduh mereka apa-apa tanpa sebarang bukti, kerana hal itu termasuk dalam buruk sangka.

Seharusnya kita bersyukur kepada Allah yang telah menjaga kita daripada meminta-minta. Allah berfirman bermaksud: “Dan terhadap orang yang meminta-minta makan, janganlah kamu mengherdiknya.” (Surah ad-Dhuha, ayat 10)

Kita sepatutnya memohon keredaan kepada Allah supaya tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang bersyukur dan qana’ah atas segala nikmatnya, merasa cukup dengan apa yang ada, serta menahan diri daripada minta-minta.


Nur Solehah Che Ahmad Berita Harian Online Agama 23/06/2013

Berkasih sayang disertai semangat cintakan Tuhan

Kemajuan dunia yang pesat mengubah gaya hidup manusia yang memerlukan mereka bergerak pantas berlawan dengan masa. Disebabkan hidup yang asyik mengejar itu, banyak perkara semakin dipinggirkan sama ada secara sedar atau tidak.

Ini termasuk menyemai rasa kasih sayang dengan cara yang betul kerana ramai antara kita menyatakan perasaan kasih serta sayang terhadap keluarga, anak, pasangan, ibu bapa serta saudara seagama.

Malangnya, perasaan itu tidak diterjemahkan secara tepat apabila ada anak yang tidak mempunyai masa menziarahi ibu bapa, ibu bapa tiada masa memantau pelajaran anak dan masyarakat lebih menjaga kepentingan diri berbanding kemaslahatan ummah.

Sedangkan umat Islam maklum hakikat tidak sempurna iman seseorang itu melainkan dia menyayangi orang lain seperti dia menyayangi dirinya sendiri. Kasih sayang itu pula mestilah perasaan yang lahir ikhlas daripada hati dan diniatkan kerana Allah SWT.

Amalan mulia

Kasih sayang amalan mulia yang dicintai Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Rasa kasih sayang tidaklah dicabut melainkan hanya daripada orang yang celaka.” Orang celaka yang dimaksudkan adalah orang yang tidak mempunyai rasa kasih sayang sama ada untuk dirinya mahupun orang lain.

Baginda SAW seorang yang amat menitikberatkan kasih sayang dan cinta. Banyak ajaran baginda dalam berkasih sayang antaranya memberi dan menyebarkan salam yang maksudnya mendoakan kesejahteraan kepada orang diberi salam itu.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Demi diriku yang ada di tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak beriman sehingga kamu saling menyintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu jika kamu mengerjakannya, maka kamu saling menyintai? Sebarkan salam di antara kamu.”

Sabda baginda lagi yang diriwayatkan oleh Umar Al Khattab: “Sesungguhnya dalam kalangan hamba Allah terdapat satu golongan yang bukan nabi dan bukan syuhada akan tetapi dicemburui nabi dan syuhada terhadap kedudukan mereka di sisi Allah pada hari kiamat kelak. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, beritahu kami siapakah mereka? Jawab baginda: Mereka adalah golongan yang berkasih sayang dengan semangat cintakan Allah dan bukan kerana tali persaudaraan, atau harta benda. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka bercahaya. Dan mereka berada di atas cahaya. Mereka tidak takut ketika manusia lain berasa takut. Mereka juga tidak sedih ketika manusia lain berasa sedih.”

Anugerah Allah

Perasaan kasih sayang dan cinta ini satu anugerah Allah yang terindah. Kasih sayang juga fitrah manusia yang tidak seharusnya dinafikan. Oleh itu, peliharalah rasa kasih sayang dan cinta yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Semoga kita tidak lagi kerap dihidangkan dengan laporan anak yang digelar ‘Tanggang Moden’, kes pembuangan bayi serta penganiayaan kepada sesiapa saja. Sebaliknya, tetapkan hati kita dengan kasih sayang yang terus subur dalam jiwa.


Nurul Shahida Idayu Harun Berita Harian Online Agama 23/06/2013

Makanan halal, bersih sucikan hati

Keperluan nutrisi perlu diambil secara sederhana elak kesan negatif

Pengambilan makanan yang sihat satu keperluan utama manusia dalam meneruskan kehidupan dan melakukan aktiviti seharian. Agama Islam sangat menitik berat pola pemakanan kerana aspek pemakanan berkait rapat dengan amalan keagamaan serta amal ibadah umat Islam.

Bagi memastikan ibadah diterima Allah, kita perlu memastikan hati berada dalam keadaan suci.

Penyucian hati bermula daripada sumber makanan yang halal dan bersih, jika bersih makanan dipilih maka bersihlah hati.

Jika pilihan makanan terdiri daripada sumber yang kotor dan rosak, maka hati akan terbentuk sebaliknya. Maka dengan itu, Islam menggesa penganutnya memilih makanan yang baik, halal lagi suci.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Dr Syeikh Yusof Al-Qardhawi mentafsirkan halal sebagai sesuatu yang diharuskan yang terungkai padanya ikatan larangan dan diizinkan oleh syarak untuk melakukannya. Baik pula membawa maksud sesuatu yang bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak.

Larangan makan daripada sumber haram

Oleh itu, makanan halal lagi baik adalah makanan yang bersih zatnya, suci perolehannya serta bebas daripada sebarang kemudaratan. Islam sangat melarang keras umatnya memilih makanan daripada sumber haram.

Sesuatu yang haram apabila dimasukkan ke dalam tubuh badan manusia akan membawa kepada kemudaratan yang nyata.

Baginda telah memberitahu jika hamba Allah mengambil sesuatu daripada yang haram sebagai hidangan, maka hatinya akan menjadi gelap, jiwa resah, amalan tidak diterima Tuhan, doa tidak dimakbulkan, cintakan kemaksiatan, benci perkara kebaikan serta menjadi calon penghuni neraka.

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Saad, perbaikilah makananmu, nescaya kamu menjadi orang yang dimakbulkan doanya. Demi yang jiwa Muhammad dalam genggaman-Nya, sesungguhnya seseorang hamba yang melontarkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amal kebaikannya selama 40 hari. Sesiapapun yang dagingnya tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak membakarnya.” (Riwayat Muslim)

Pengambilan makanan yang baik juga memberikan kesihatan optimum kepada tubuh badan manusia sama ada dari segi rohani juga jasmani. Islam mengajak umatnya mengamalkan gaya hidup sihat kerana kesihatan yang baik adalah nikmat terbaik dianugerahkan Allah SWT.

Baginda bersabda: “Tiada nikmat yang lebih agung setelah iman selain nikmat kesihatan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kesan negatif jika makan berlebihan

Makanan dan minuman adalah keperluan nutrisi yang sangat diperlukan tubuh manusia. Walau bagaimanapun, jika diambil secara berlebihan, ia boleh mengundang kesan negatif.

Baginda SAW menegaskan pengambilan makanan hanyalah untuk keperluan tubuh dan menegah mengambilnya dalam kuantiti berlebihan. Baginda juga mengajar tip bersederhana ketika menikmati makanan iaitu makan sebelum lapar serta berhenti sebelum kenyang.

Sabda baginda: “Kami adalah kaum yang tidak makan kecuali lapar dan apabila kami makan, kami berhenti sebelum kenyang.” (Riwayat Ahmad)

Segelintir masyarakat di Malaysia terlalu boros dalam pemilihan pemakanan serta mengambil enteng mengenai pengambilan makanan sihat. Akibatnya, mereka terdedah kepada pelbagai penyakit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, serangan jantung dan angin ahmar.

Lebih merunsingkan, sebahagian daripada mereka juga terdedah kepada penyakit hati seperti sombong, bongkak, kedekut, keras hati, serta terjerumus dalam maksiat disebabkan makanan diperoleh melalui sumber yang diragui soal halalnya.

Janganlah kita bermewah-mewah dalam pemilihan makanan kerana matlamat kehidupan bukan untuk makan semata-mata tetapi meneruskan hidup sebagai seorang khalifah dan mengabdikan diri kepada Allah.


Nur Abidah Kamarudin Berita Harian Online Agama 24/06/2013

Manusia tak beradab umpama tembikar pecah

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, baru-baru ini ada mencadangkan supaya pendakwah mengambil peluang menggunakan laman sosial untuk menangani perbuatan menghina Rasulullah SAW.

Ini berikutan ada pengguna laman sosial yang menggunakan nama Calvin Gani dikesan biadab terhadap Nabi Muhammad SAW. Jika dulu perbuatan tidak beradab dilakukan dalam bentuk berbeza, kini dengan kecanggihan teknologi maklumat, ada pihak mengorbankan akhlak mereka di alam maya.

Didikan menjaga adab

Dalam konteks kehidupan masyarakat Malaysia pelbagai bangsa, agama dan budaya, kita dididik supaya sentiasa menjaga adab khususnya apabila berinteraksi lebih-lebih lagi dengan golongan lebih tua.

Umat Islam sentiasa diingatkan supaya hidup dalam adab. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku Muhammad SAW tidak diutus melainkan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.”

Begitulah tingginya kedudukan adab dan akhlak dari kaca mata Islam. Rasul terakhir diutuskan kepada umatnya antaranya ialah untuk memastikan kesempurnaan akhlak serta adab termasuk adab berhias diri, menjaga orang sakit, di tempat rekreasi, menjaga kemudahan awam, menziarahi jenazah dan adab dalam pergaulan seharian.

Perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW adalah perbuatan tidak beradab yang dicemuh Islam. Bukan kerana penghinaan itu adalah penghinaan kepada Nabi semata-mata, tetapi Islam menyelar sebarang perbuatan tidak berakhlak dalam adab pergaulan setiap hari.

Allah berfirman supaya manusia sentiasa mengabaikan sesuatu yang tidak berfaedah, yang mana ia menjadi tanda kejayaan hidup seorang Mukmin sejati.

Wahab Munabin pernah mengingatkan, adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah. Begitu jugalah manusia yang tidak beradab dan berakhlak diumpamakan seperti tembikar pecah yang tidak berfungsi.

Kepelbagaian kemudahan teknologi hari ini memerlukan manusia supaya lebih peka menjaga adab dan akhlak. Laman sosial seharusnya dijadikan medan menyebarkan mesej berguna untuk dijadikan panduan rakan lain bukan ruang meluahkan ekspresi jiwa.

Agenda pendakwah

Andainya laman sosial digunakan untuk tujuan tidak beradab, pendidikan ke arah masyarakat beradab perlu dijadikan agenda penting pendakwah untuk mengurangkan kes-kes sedemikian. Ini bukan peranan media baru saja, tetapi usaha semua pihak menggunakan pelbagai instrumen.

Ini termasuk media arus perdana untuk berganding bahu membimbing masyarakat supaya bijak menyaring maklumat yang diterima supaya tidak terbabit dalam menyebarkan maklumat palsu atau bersifat biadab.


Dr Suriani Othamn dan Norzety Aswani Mat Yasin Berita Harian Online Agama 24/06/2013