June 26th, 2013

Rezeki berkat penentu kebahagiaan hidup di dunia, akhirat

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah SWT kepadanya. Maka takutlah kepada Allah SWT dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah SWT tidak akan dapat diperoleh melainkan dengan cara ketaatan.” (Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani)

Islam titik berat pencarian rezeki

Islam amat menitikberatkan masalah pencarian rezeki oleh manusia di mana setiap makhluk Allah itu telah ditentukan rezekinya masing-masing sejak berada dalam perut ibunya lagi. Antara bahaya kemiskinan itu ia boleh membuatkan seseorang itu melakukan apa saja.

Contohnya seorang perempuan akan sanggup menggadaikan sesuatu yang amat berharga pada dirinya kerana inginkan sedikit perbelanjaan untuk keperluan harian, walaupun secara terpaksa dan sedar perbuatan itu adalah terkutuk tetapi keadaan yang tertekan memaksa ia melakukannya.

Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap Mukmin. Oleh itu Islam amat menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa, tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa serta bertawakal kepada Allah. Rahmat Allah SWT sangat luas dan Dia tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.

Sesungguhnya kemiskinan dan kesempitan hidup adalah ujian daripada Allah SWT namun, perlu direnungkan juga bahawa pendapatan (rezeki) yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan (rezeki) banyak tetapi melalaikan.

Keberkatan rezeki

Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat.

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya apabila orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang Mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.” (Riwayat Muslim)


Berita Harian Online Agama 26/06/2013

Kelulusan akademik saja tak cukup jadi peguam syarie

Jika bukan Islam diterima bermakna Mahkamah Syariah tidak mematuhi Perlembagaan

Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin, pada 21 Jun lalu memutuskan pengisytiharan Perkara 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983 yang mewajibkan mereka beragama Islam saja layak memohon sebagai peguam syarie sudah melampaui batasan undang-undang (ultra vires) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Panel rayuan berpendapat perkataan ‘mana-mana orang’ yang dinyatakan dalam Seksyen 59 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 itu termasuk orang bukan Islam.


Jika niat badan perundangan adalah untuk menghalang orang bukan Islam diterima sebagai peguam syarie, maka ia harus dinyatakan dalam akta itu.

Abu Samah berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIWP) bertindak melampaui kuasa apabila ia menggubal Perkara 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1983. Mahkamah berpendapat MAIWP tidak diberi kuasa untuk membuat peraturan yang tidak selaras dengan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan).

Keputusan digantung pelaksanaan

Ini bermakna, bukan Islam dibenarkan bertindak sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan. Walau bagaimanapun, keputusan itu digantung pelaksanaannya sehingga rayuan dikemukakan di Mahkamah Persekutuan.

Perkara 10, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1983 memperuntukkan: “Seseorang boleh diterima menjadi peguam syarie jika dia seorang Islam dan memiliki ijazah sarjana muda syariah, seorang Islam yang menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan Persekutuan, seorang Islam yang menjadi peguambela atau peguamcara berdaftar mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976 atau pernah berkhidmat sebagai Hakim Syarie atau kadi tidak kurang daripada tujuh tahun.”

Kaedah ini dibuat berdasarkan peruntukan Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), tertakluk kepada subseksyen (2), Majlis boleh menerima mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai hukum syarak menjadi peguam syarie.

Akta 505 digubal bagi mentadbir undang-undang Islam serta institusi berkaitan Islam di Wilayah Persekutuan yang digubal menurut kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Selain urusan pentadbiran peguam syarie, akta itu juga memperuntukkan undang-undang pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti (Seksyen 32); jawatankuasa perundangan hukum syarak (Seksyen 37); pelantikan Ketua Hakim Syarie (Seksyen 41); pelantikan hakim Mahkamah Syariah (Seksyen 42-44); pelantikan pendaftar Mahkamah Syariah (Seksyen 45); pelantikan pegawai masjid (Seksyen 76); pelantikan jawatankuasa pengawasan pengajian agama (Seksyen 96).

Tafsiran mana-mana orang

Merujuk seksyen 32 berhubung pelantikan Mufti dan Timbalan Mufti, peruntukan juga menggunakan perkataan ‘mana-mana orang’. Jika tafsiran terhadap perkataan ‘mana-mana orang’ dibuat secara literal, adakah ia membawa maksud Mufti dan Timbalan Mufti juga boleh dilantik daripada kalangan bukan Islam.

Jika perkataan menjadi masalah dan perbahasan, dicadangkan supaya peruntukan akta itu dipinda dengan menggunakan perkataan lebih tepat dan tidak mengelirukan.

Hakikatnya, Jadual 9 Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan dan memutuskan kes membabitkan orang Islam saja. Jika bukan Islam diterima bermakna Mahkamah Syariah akan melakukan perkara bertentangan Perlembagaan.

Ini kerana segala arahan atau hukuman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah tidak boleh dikenakan terhadap peguam berkenaan disebabkan dia bukan beragama Islam.

Bahan ejekan

Bagaimana Mahkamah Syariah hendak mengendalikan perbicaraan jika peguam tidak terikat dengan segala peraturan dan arahan mahkamah? Kesannya, Mahkamah Syariah dan agama Islam akan menjadi bahan ejekan serta dipersendakan sepanjang masa.

Perkara ini tidak harus dibiarkan berlaku dan ia sudah lama ditegaskan Allah SWT dalam firman-Nya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang kafir musyrik itu menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 57)

Maka, sudah pasti orang yang hendak masuk ke Mahkamah Syariah perlulah seorang yang tertakluk dengan bidang kuasa mahkamah, terikat peraturan dan undang-undang di Mahkamah Syariah.

Sebagai perbandingan, apakah Mahkamah Sivil bersedia menerima seorang peguam jika peguam itu tidak tertakluk dengan bidang kuasa mahkamah di Malaysia dan terlepas daripada segala peraturan? Sudah tentu tidak sama sekali.

Kelulusan akademik tak cukup

Kelulusan akademik semata-mata tidak cukup untuk memaksa Mahkamah Syariah menerima bukan Islam sebagai peguam syarie, tanpa mengambil kira faktor akhlak, amanah dalam menegakkan hukum Allah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah berlaku kemungkaran.

Peguam syarie tidak hanya bertanggungjawab terhadap anak guam mereka tetapi juga bertanggungjawab dengan mahkamah dan keadilan yang ingin dicapai melalui perbicaraan.

Peranan peguam syarie berkait langsung dengan ayat al-Quran dan hadis dalam menegakkan keadilan serta mengelak daripada bersubahat dengan golongan yang zalim.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8)

Musa Awang ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel sekretariatpgsm@yahoo.com Berita Harian Online Agama 26/06/2013

Sahabat istimewa Rasulullah SAW

SUHAIB bin Sinan dianggap salah seorang daripada empat tokoh utama oleh Rasulullah SAW selain Bilal bin Rabah dan Salman al-Farisi, Suhaib merupakan salah seorang yang paling awal memeluk Islam.

Beliau lebih dikenali sebagai tokoh dari Rom walaupun susur galur keturunannya adalah daripada bangsa Arab.

Menurut cacatan sejarah, Sinan bin Malik dan seorang bapa saudaranya merupakan pemimpin di suatu kawasan di Sungai Dajlah, termasuk dalam wilayah Kerajaan Parsi.

Dalam salah satu pertempuran dengan tentera Rom, Suhaib yang ketika itu masih kecil, ditawan dan dibawa ke Rom.

Rumah Al-Arqam

Suhaib dibesarkan di Rom sebagai tawanan perang dan kemudian dijual sebagai hamba kepada seorang ketua suku Kalb.

Ketua suku Kalb itu kemudiannya menjual Suhaib kepada Abdullah bin Jaz'an.

Abdullah berasa kagum dengan keperibadian Suhaib lalu beliau dibebaskan dan diajak olehnya untuk bersama-sama menjalankan perniagaan.

Kisah keIslaman Suhaib diketahui ketika beliau bertemu dengan Ammar bin Yasir berhampiran dengan rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam, tempat yang menjadi markas Nabi Muhammad SAW dalam menjalankan dakwah baginda.

Perniagaan menguntungkan

Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah bersama-sama dengan Abu Bakar al-Siddiq, Suhaib turut berhijrah bersama rombongan yang diketuai Ali bin Abi Talib; beliau telah disekat oleh beberapa orang pemuda Quraisy.

Suhaib telah menawarkan untuk memberitahu tempat beliau menyimpan hartanya kepada pemuda-pemuda tersebut sebagai balasan sekiranya beliau dibebaskan untuk berhijrah ke Madinah.

Tawarannya diterima oleh pemuda-pemuda tersebut lalu Suhaib bebas untuk pergi ke Madinah.

Sebaik sahaja beliau sampai ke Madinah, beliau terus berjumpa dengan baginda Rasulullah yang menyambut kedatangan beliau dengan berkata, "Sungguh beruntung perniagaan Suhaib."

Amalan Suhaib itu telah dimaklumkan oleh Allah kepada Rasulullah yang membawa kepada turunnya ayat 207, surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya kerana hendak mencari keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada sekalian hamba-Nya.

Sikap berkecuali

Apabila Khalifah Umar dibunuh dan diikuti dengan perpecahan umat Islam, Suhaib mengambil sikap berkecuali.

Begitu juga halnya ketika berlaku persengketaan antara Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah. Tambahan pula ketika itu, usia beliau telah lanjut.

Suhaib meninggal dunia pada tahun 38 Hijrah, ketika umat Islam dipimpin oleh Ali bin Abi Talib.

Imam ganti

Suhaib dianggap antara sahabat yang rapat dengan Rasulullah. Beliau turut menyertai semua peperangan yang dipimpin oleh baginda dan sentiasa berada di sisi baginda bagi menjaga keselamatan Rasulullah.

Apabila Rasulullah wafat, Suhaib terus berbakti kepada Islam dengan mendampingi Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Khalifah Umar al-Khattab.

Ketika Umar al-Khattab cedera parah ditikam, Suhaib telah dilantik untuk mengimami umat Islam mendirikan solat.

Hal ini jelas menunjukkan betapa besarnya penghormatan yang diberikan oleh Umar al-Khattab kepada beliau dan juga menunjukkan bahawa Suhaib tergolong dalam tokoh sahabat yang istimewa.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/06/2013

Umat Islam jangan remehkan tawakal

KITA sering kali mendengar perkataan tawakal. Terutama ketika mengharapkan sesuatu perkara atau keputusan. Perkataan ini berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud bergantung harap atau berwakil.

Islam mendidik umat-Nya dengan konsep tawakal setelah berusaha untuk mencapai sesuatu perkara. Adalah tidak tepat jika seseorang itu hanya bertawakal kepada Allah SWT tanpa berusaha ke arah sesuatu yang diingininya.

Firman Allah SWT: Kemudian apabila kamu telah berazam (bersetuju sesudah bermesyuarat untuk sesuatu urusan), maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertawakal. (Ali Imran: 159)

Umat Islam dituntut untuk bertawakal hanya kepada Allah SWT. Hanya Dia yang maha berkuasa dan kekal selamanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bertawakallah engkau kepada Allah, Tuhan yang Maha Hidup (Kekal) yang tidak mati dan bertasbihlah dengan memuji-Nya. (al-Furqan: 58).

Tidak dibenarkan bergantung harap kepada tuah, nasib, makhluk ghaib dan sebagainya. Hanya Allah SWT sahajalah sebaik-baik tempat untuk kita bergantung sepenuhnya tanpa keraguan sebagaimana firman-Nya: Dan hanya kepada Allah sahajalah orang mukmin itu bertawakal. (Ali Imran: 122)

Perkara remeh

Tawakal kepada Allah bukanlah suatu perkara yang remeh. Ramai yang menyangka bahawa ini merupakan perkara yang tidak penting dan tidak membuahkan apa-apa hasil.

Sebahagian daripada kita merasakan hanya dengan usaha keras semata-mata kejayaan itu akan dicapai.

Hakikatnya, tawakal adalah pintu yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT.

Dengan bertawakallah seseorang itu akan sentiasa mengharapkan rahmat, kasih-sayang dan pertolongan Tuhannya. Kerana itu, tawakal adalah tanda seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah sebagaimana firman-Nya: Sesungguhnya orang mukmin itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah aman mereka dan kepada Tuhan merekalah mereka bertawakal. (Al-Anfal: 2)

Orang yang berusaha kemudian bertawakal kepada Allah akan dipermudahkan urusan kehidupannya lalu dicukupkan segala keperluan hidupnya sebagaimana janji Allah SWT: Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkannya (keperluannya). (Al-Talaq: 3)

Doa khusus

Terdapat doa yang khusus berkaitan tawakal di dalam al-Quran antaranya dalam surah Ali Imran ayat 173 yang berbunyi: Hasbunallahu wa ni'mal wakil bermaksud cukuplah Allah untuk menolong kami dan Allah adalah sebaik-baik wakil, tempat untuk bertawakal.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa yang bermaksud: Ya Allah, hanya kepada Engkaulah aku berserah diri, beriman, bertawakal, bertaubat dan mengadu). (riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW pernah menceritakan kepada para sahabat bahawa di akhirat kelak terdapat seramai 70,000 umatnya yang akan masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diseksa.

Para sahabat lalu berselisih pendapat mengenainya sehinggalah akhirnya Rasulullah menceritakan siapakah yang termasuk dalam golongan yang akan dimasukkan ke syurga tanpa hisab tersebut.

Baginda bersabda: Mereka ialah orang yang tidak pernah menjampi (dengan jampi yang diharamkan syarak), tidak minta dijampi, tidak menilik nasib dan selalu bertawakal hanya kepada Allah SWT. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu Mas'ud RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Thiyarah (menyangka sesuatu buruk yang akan terjadi) ialah syirik dan hal itu hanyalah prasangka kita sahaja. Akan tetapi Allah menghilangkannya dengan tawakal. (riwayat Al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)



MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR adalah dari Kuliyyah Islamiyyah 'Alamiyyah Fakulti Pengajian Islam Kontemporari Universiti Sultan Zainal Abidin, Gombak.Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/06/2013

Santuni keluarga

MEMPERLAKUKAN isteri dengan baik merupakan perkara yang dianjurkan oleh syariat. Seorang suami wajib memperlakukan isterinya dengan baik serta banyak bersabar dan berlapang dada dalam menghadapinya. Apa lagi jika usia si isteri masih belia.

Hal itu berdasarkan sebuah hadis riwayat Aisyah berkata: "Demi Allah, saya melihat Rasulullah SAW berdiri di depan pintu kamarku sementara orang-orang Habsyah bermain-main tombak di masjid. Rasulullah menyitariku dengan selendangnya agar aku dapat menyaksikan permainan mereka dari balik telinga dan leher pundak baginda. Baginda tidak beranjak sehingga aku puas dan beranjak dari situ. Baginda memperlakukanku sebagaimana seorang gadis muda beliau yang masih senang permainan." (riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasai dan Ahmad)

Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Dan yang terbaik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." (riwayat at- Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pada suatu ketika Aisyah ikut bersama Rasulullah SAW dalam sebuah lawatan. Aisyah berkata: "Pada waktu itu aku masih seorang gadis yang ramping. Baginda Rasulullah memerintahkan rombongan agar bergerak terlebih dahulu. Mereka pun berangkat mendahului kami. Kemudian baginda berkata kepadaku: "Ke marilah! sekarang kita berlumba lari." Aku pun melayaninya dan ternyata aku dapat mengungguli baginda. Baginda SAW hanya diam saja atas keunggulanku tadi."

Aisyah juga berkata: "Hingga dalam kesempatan lain, ketika aku sudah agak gemuk, aku ikut bersama baginda dalam sebuah lawatan. Baginda memerintah rombongan agar bergerak terlebih dahulu. Kemudian baginda menentangku berlumba kembali. Dan kali ini baginda pula dapat mengungguliku. Baginda tertawa seraya berkata: "Inilah penebus kekalahan yang lalu!" (riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Pada kesempatan yang lain, Aisyah berkata: "Rasulullah SAW pernah berkata kepadaku: Aku tahu bila engkau senang padaku dan bila engkau marah padaku. Dari mana engkau mengetahuinya? tanya Aisyah."

Rasulullah menjawab: "Jika engkau senang padaku maka engkau akan berkata: Tidak, demi Rabb Muhammad! Jika engkau marah padaku maka engkau akan berkata: Tidak, demi Rabb Ibrahim!

"Benar, yang aku hindari hanyalah menyebut namamu. Aisyah membuat pengakuan." (riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Kesempurnaan iman

Antara bukti kesempurnaan iman adalah memberi nafkah kepada keluarga (anak dan isteri) dan tidak membiarkan mereka hingga terlantar tidak terurus. Hal itu merupakan kezaliman yang sangat besar.

Daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Cukuplah seseorang menuai dosa apabila ia menelantarkan orang-orang yang menjadi tanggungannya (keluarganya)." (riwayat Abu Dawud dan Ahmad)

Jika si suami seorang yang kikir terhadap anak dan isterinya, maka si isteri boleh mengambil harta suaminya tanpa pengetahuannya, dengan syarat harus digunakan secara baik, bukan untuk menghambur-hamburkannya sebab hal itu adalah kezaliman.

Sayidatinna Aisyah meriwayatkan : "Hindun Ummu Mu'awiyah mengadu kepada Rasulullah SAW: Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang suami yang kikir. Apakah saya boleh mengambil hartanya tanpa pengetahuannya? Rasulullah SAW menjawab: "Ambillah daripada hartanya untuk memenuhi keperluanmu dan keperluan anak-anakmu dengan cara yang makruf." (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An-Nasai, Ibnu Majah)

Beberapa orang yang tidak meneliti masalah ini dengan cermat berkata bahawa hadis ini bertentangan dengan sabda nabi yang bermaksud: Tunaikanlah amanah kepada orang yang mengamanahimu dan janganlah khianati orang yang mengkhianatimu. (riwayat Abu Dawud, at-Tirmidzi, ad-Darimi, al-Bukhari)

Mengambil harta suami tanpa izinnya merupakan satu perbuatan khianat. Hal itu telah dilarang berdasarkan nas al-Quran dan sunah. Tetapi apa yang dimaksud oleh Rasulullah SAW dalam hadis Hindun adalah tidak sebagaimana yang baginda maksud dalam hadis di atas.

Alim ulama telah menyebut barang siapa yang memiliki hak ditangan orang lain lalu ditahan oleh orang tersebut, maka ia boleh mengambil sesuatu daripada harta orang tersebut sebagai pengganti haknya yang ditahan.

Sebagaimana dimaklumi bahawa di rumah suami yang kikir tentunya tidak tersedia barang-barang berupa pakaian dan minuman) dan segala keperluan yang wajib disediakannya untuk anak dan isteri.

Rasulullah SAW telah memberi izin kepada Hindun untuk mengambil sekadar keperluannya dan anak-anaknya. Sementara hadis di atas (Tunaikanlah amanah…) maksudnya adalah tidak mengkhianati amanah setelah keperluannya dicukupi.

Adapun mengambil sekadar keperluan, hal itu memang diizinkan oleh syariat. Oleh sebab itu, hadis Hindun tersebut tidaklah termasuk perkara yang dilarang dalam hadis terdahulu.


HASHIM AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/06/2013

Merencanakan masa depan

LANGIT dan bumi diciptakan bukan dalam masa yang singkat. Akan tetapi menerusi beberapa tahap tertentu yang disebut al-Quran sebagai 'enam hari'.

Allah berfirman: Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, lalu beristiwa di atas 'Arsy, dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. (al-A'raf: 54)

Menurut Ibnu Jarir al-Tabari, enam hari yang disebutkan itu bukan seperti hari-hari kita, iaitu 24 jam sehari. Akan tetapi satu hari pada saat itu menyamai ribuan tahun dalam kiraan semasa.

Mengapa diperlukan masa yang sangat panjang untuk menciptakan alam semesta? Sebagai mukmin kita yakin kekuasaan Allah tidak terbatas.

Jika Allah SWT berkehendak, alam semesta boleh tercipta dalam sekelip mata. Apabila Allah berkata kepada sesuatu: "Jadi (kun)", maka ia pasti menjadi.

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan: "Sebab Allah hendak mengajarkan semua hamba-Nya kepentingan proses, ketelitian dalam bekerja dan menjelaskan bahawa segala sesuatu ada tempohnya tertentu."

Hukum alam

Proses dan tempoh ialah hukum alam yang telah ada sebelum dunia ini diciptakan. Segala sesuatu telah ditetapkan masa-masanya dengan tepat. Ini menunjukkan aspek perancangan yang sangat sempurna daripada pencipta alam semesta. Sekali gus mengajarkan kita untuk selalu merancang dan mempersiapkan sesuatu dengan cermat dan teliti.

Sebagai hamba Allah, kita mesti meniru sifat Allah ini. Rancanglah suatu aktiviti sebelum melaksanakannya. Jangan pernah melakukan sesuatu tugasan sekadar ikut selera tanpa perancangan dan strategi yang rapi. Kegagalan dalam merancang sama dengan merancang untuk gagal.

Seorang Muslim dituntut merancang kehidupannya dengan baik. Mereka mesti mensasarkan perkara-perkara tertentu yang mesti diraih dalam hidupnya. Ini telah merancang apa yang mesti berlaku pada dirinya esok hari, tahun hadapan, satu dekad kemudian, hingga masa-masa persaraan, bahkan ke akhir hayatnya.

Berkata Ziyad bin Abihi: "Orang yang cerdik bukanlah sesiapa yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah dengan baik. Akan tetapi, orang yang cerdik ialah orang yang mampu mengantisipasi masalah agar tidak berlaku."

Selain itu, manusia mesti merancang untuk anak-anaknya. Seorang ibu bapa mesti dapat membayangkan pelbagai cabaran yang akan dihadapi anak-anak mereka di masa hadapan, lalu mengajarkan kemahiran yang relevan untuk mengatasinya dari sekarang.

Oleh itu, dalam Islam kita tidak boleh mendidik anak-anak kita seperti mana ibu bapa kita mendidik kita. Seorang ulama berkata: "Janganlah kamu mendidik anak-anakmu seperti mana orang tuamu mendidikmu. Sebab mereka diciptakan untuk zaman yang berbeza dengan zamanmu."



UMAR MUHAMMAD NOOR adalah penulis yang sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/06/2013