June 29th, 2013

Doa untuk keluarga

ALHAMDULILLAH, sekali lagi saya rafakkan kesyukuran kepada Yang Maha Esa kerana diberi pelbagai kurniaan nikmat yang tidak terhitung. Antara anjuran Islam supaya kita sentiasa berdoa terutamanya kepada keluarga dan zuriat kita.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa. (al-Furqan: 74)

Apakah makna sifat ini? Mereka berdoa kepada Allah SWT, kembali dan menghadap ke wajah-Nya yang mulia, memohon agar Dia menganugerahkan isteri daripada keturunan yang menyenangkan hati mereka, melapangkan dada, menggembirakan. Juga memohon agar menjadikan mereka sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.

Doa ini menggambarkan harapan manusia. Jika yang diharapkan adalah keduniaan, maka doa dan permintaan itu terbatas untuk di dunia sahaja dan jika harapannya adalah akhirat, maka hasratnya tertuju ke akhirat.

Allah telah menyebutkan beberapa sikap manusia pada musim haji. Firman-Nya lagi yang bermaksud: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah SWT (dengan membesarkan-Nya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia. Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab neraka. (al-Baqarah: 200-201)

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat di atas iaitu ayat daripada surah al-Furqan dengan berkata: Mereka itu terdiri daripada orang yang memohon kepada Allah SWT supaya diberikan keturunan yang taat dan beribadat semata-mata kepada-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain.

Sebenarnya bagi orang yang beriman, apabila melihat keluarganya taat seperti dirinya, tentulah dia akan merasa senang dan bergembira. Dia mengharapkan mereka boleh memberikan kebahagiaan dunia di sepanjang hidupnya dan akan bertemu mereka di akhirat kelak.

Mereka juga memohon agar Allah SWT menjadikan mereka sebagai imam yang diteladani ketika menegakkan panji-panji agama dengan menganugerahkan ilmu yang luas serta memberinya taufik bagi mengerjakan amal soleh.

Muslim pula meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang Muslim itu mati, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya, ilmu yang bermanfaat setelah kematiannya dan sedekah yang sentiasa mengalir.

Dalam mencapai keluarga bahagia dan harmoni, antara perkara yang penting ialah melaksanakan perintah Allah seperti solat dan ibadah yang lain, saling bertolak ansur, melaksanakan amal makruf dan nahi mungkar dengan penuh hikmah di samping saling bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu sama lain. Ia sudah pasti akan membawa banyak kelebihan dan pasti utuh institusi kekeluargaan.

Penawar

Mereka memohon dua perkara kepada Allah SWT, yang pertama, supaya Allah SWT memberi mereka isteri dan keturunan yang sentiasa beribadat kepada-Nya semata-mata sehingga mendatangkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Kedua, supaya Allah SWT menjadikan mereka sebagai orang yang memberi petunjuk, penyeru kebaikan dan mengajak ke arah perbuatan yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita zuriat yang soleh dan solehah yang menjadi penawar mata hati kita bukan semata-mata di dunia tetapi juga merentasi di akhirat.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/06/2013

Wajib haji

WAJIB haji merupakan satu pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan ibadat itu. Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya atau dilakukan juga tetapi tidak sah, haji tetap sah. Tetapi jemaah haji tersebut dikenakan dam menurut syarat-syaratnya.

Jemaah haji tersebut juga akan menanggung dosa jika meninggalkan wajib haji tersebut dengan sengaja. Wajib haji tersebut adalah seperti berikut:

1  Berniat ihram di Miqat

Berniat ihram di Miqat bermakna lafaz niat haji mestilah dilafazkan di tempat-tempat yang telah ditetapkan oleh syarak (miqat) mengikut arah masuk Mekah dan masanya. Lafaz tersebut perlu dilafaz sama ada di tempat tersebut atau sebelum melintasi tempat tersebut.

Setelah dilafazkan niat haji, sama ada sebelum melintasi miqat atau di miqat, maka mereka perlu menjaga larangan semasa dalam ihram (13 perkara akan diterangkan selepas ini). Jika tidak dijaga maka dikenakan dam ke atasnya (dam tersebut mengikut apa yang dilanggarnya).

Miqat terbahagi kepada dua iaitu;

(a) Miqat Zamani - Miqat Zamani (masa) bagi haji ialah pada bulan-bulan haji yang bermula 1 Syawal sehingga sebelum masuk waktu Subuh pada 10 Zulhijjah.


Masjid Tanaaem (Miqat Umrah), salah satu tempat untuk miqat Umrah selain dari Masjid Jaaranah

(b) Miqat Makani (tempat) - Miqat Makani bagi haji ialah tempat untuk mereka berniat ihram. Tempat itu mengikut arah masuk jemaah haji ke Mekah. Jika dari arah Madinah, Miqat Makaninya di Zulhulaifah atau Bir Ali.


At Bir Ali, for niat Umrah and niat sunat ihram — at Bir Ali Madinah.

Jika dari arah Malaysia yang terus masuk Mekah maka Miqat Makaninya di Qarnul Manazil.

Miqat lain ialah Yalamlam jika dari arah Yaman, Al Jafah jika dari arah Jordan dan Zatu 'Irqin jika dari arah Iraq.

Perlu diingat, bagi penduduk Mekah atau mereka yang sudah berada di Mekah maka niat ihram haji di Tanah Haram (Mekah, Mina dan Muzdalifah).

2 Meninggalkan larangan semasa dalam ihram

Bagi jemaah haji yang berniat ihram haji dilarang melakukan 13 perkara bermula daripada niat ihram sehinggalah Tahallul Thani (tahallul yang kedua).

(i) Bagi lelaki sahaja: Memakai pakaian bersarung/ berjahit/ bercantum seperti seluar, baju kemeja, stoking, kasut yang menutup jari-jari kaki dan tumit, kain pelikat yang disarung dan sebagainya

(ii) Bagi lelaki sahaja: Menutup kepala atau sebahagian daripadanya dengan menggunakan songkok, kopiah/ serban, kain ihram dan sebagainya

(iii) Bagi wanita sahaja: menutup muka

(iv) Bagi wanita dan lelaki: memakai sarung tangan

(v) Bagi wanita dan lelaki: Memakai wangi-wangian sama ada di badan, makanan, minuman atau menghidunya ke dalam hidung

(vi) Bagi wanita dan lelaki: Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain yang tumbuh di pipi dan dahi

(vii) Bagi wanita dan lelaki: Menanggalkan rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan

(viii) Bagi wanita dan lelaki: Mengerat atau memotong kuku

(ix) Bagi wanita dan lelaki: Memotong, menebang, mengerat, mematah, mencabut atau membinasakan pokok-pokok di Tanah Haram

(x) Bagi wanita dan lelaki: Memburu, menembak, menangkap, mengurung atau membinasakan binatang buruan darat yang halal dimakan sama ada di Tanah Halal atau Haram (belalang dikira binatang buruan)

(xi) Bagi wanita dan lelaki: Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin

(xii) Bagi wanita dan lelaki: Melakukan mukadimah persetubuhan

(xiii) Bagi wanita dan lelaki: Bersetubuh

3 Bermalam di Mudzalifah

Bermalam di Muzdalifah bermaksud jemaah haji perlu berada di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah bermula daripada melebihi separuh malam pada malam tersebut sehingga sebelum waktu Subuh (walaupun sekejap dalam masa tersebut). Masuk waktu tengah malam dikira melebihi ½ malam.


Bermalam di Muzdalifah 1432H

4 Melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra (Aqabah) (10 Zulhijjah)

Bermaksud melontar tujuh biji batu di Jamrah Kubra pada hari ke-10 Zulhijjah. Masuk waktu melontar pada masa tersebut bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah sehinggalah terbenam matahari masuk (waktu Maghrib) pada 13 Zulhijjah.


Melontar di Jamrah 1432H

5 Bermalam di Mina (11, 12 dan 13 Zulhijjah)

Perkara ini bermaksud berada di Mina pada malam-malam hari tasyrik iaitu pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Bermula hari dalam Islam pada waktu Maghrib (contoh malam ke-11 bererti malam itu malam kesebelas dan esoknya hari ke-11).

Tempoh bermalam hendaklah duduk pada malam tersebut di Mina melebihi separuh daripada waktu malam. Jika tempoh malam 12 jam maka jemaah perlu duduk di Mina melebihi enam jam lebih sedikit.


Berada di Mina — at Mina, Saudi Arabia.

Tempoh ini berterusan sama ada pada awal malam atau pertengahannya dengan tiada putus-putus. Jika terputus-putus tidak sah bermalam pada malam tersebut.

Jika tidak sah bermalam satu malam maka dikenakan dam satu cupak beras. Dua malam, dua cupak beras. Jika tiga malam dikenakan dam tertib dan taqdir (seekor kambing atau 1/7 daripada lembu atau unta).

6 Melontar ketiga-tiga jamrah (Jamrah Sughra, Wusta dan Kubra) pada hari 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Bermaksud melontar anak batu di ketiga-tiga jamrah iaitu bermula di Sughra, Wusta dan Kubra pada setiap hari (11, 12 & 13 Zulhijjah) mengikut syarat-syaratnya.


Selesai melontar tiga jamrah ... — at Mina - Jamarat.

TENGKU AZIZ RAJA ABDULLAH PENULIS ialah Pengurus Besar (Bimbingan), Lembaga Tabung Haji Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/06/2013

Tak hargai khazanah alam punca jerebu

Allah SWT bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah menganugerahkan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya dan antara kurniaan nikmat tiada ternilai itu ialah nikmat kesihatan. Kesihatan membolehkan manusia menjalani kehidupan aman sentosa dan lancar melakukan kerja harian.

Kesihatan juga membolehkan kita melakukan ibadah kepada Allah SWT dengan sempurna. Menyedari tingginya nilai kesihatan, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menjaganya kerana kesihatan manusia berkait rapat dengan keharmonian alam serta kehidupan.

Sabda Rasulullah SAW: Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan manusia iaitu nikmat sihat dan masa lapang. (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, agama Islam melarang umatnya melakukan perkara yang boleh merosakkan kesihatan termasuklah kerosakan alam sekitar. Umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara.

Maka apa saja kehidupan di alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut sunatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran akan bertambah mulia martabat mereka jika dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Larangan lakukan kemusnahan alam

Bagi memastikan hubungan baik dengan Allah terpelihara, menjadi tanggungjawab manusia memelihara dan memperkasa hubungan yang baik sesama manusia dan makhluk Allah. Islam melarang umatnya melakukan kemusnahan alam kerana perbuatan ini akan memberi kesan sampingan kepada keharmonian hidup manusia.

Kesejahteraan hidup yang baik, sihat, ceria dan maju adalah nikmat tidak terhingga indahnya. Allah akan memberi ganjaran tinggi kepada hambanya yang sentiasa mensyukuri nikmat ini. Allah SWT menyatakan sifat kufur nikmat akan dibalas dengan azab seksa yang amat pedih.

Firman Allah SWT: Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memberitahu: Sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Surah Ibrahim, ayat 7)

Amalan bersyukur juga hendaklah dijelmakan dan direalisasikan dalam kehidupan seharian. Dinasihatkan umat Islam mengambil iktibar daripada kesilapan manusia di masa lalu yang banyak melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini, sama ada melalui perbuatan mahupun perkataan.

Malapetaka hasil kerakusan manusia

Kita mengakui bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia mengeksploitasi alam secara berlebihan sehingga keseimbangan mula terganggu dan tidak dapat dikekalkan.

Walaupun sememangnya alam ini perlu terus dibangunkan, keselesaan hidup perlu ditingkatkan, teknologi perlu selaras keperluan manusia, namun apabila keseimbangan alam tidak dikekalkan, kita sebenarnya mengundang malapetaka hasil perbuatan sendiri.

Hari ini kebanyakan kawasan di negara kita dilanda jerebu. Pada dasarnya jerebu adalah ujian Allah SWT yang disebabkan oleh zarah terampai dalam atmosfera pada kepekatan tinggi sehingga menyebabkan daya penglihatan berkurangan.

Penyebab berlakunya jerebu ialah aktiviti manusia yang mengetepikan sunnah alam antaranya pembakaran terbuka, pembukaan tanah, penggunaan kenderaan bermotor dan pembakaran bahan api industri.

Yakinlah bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran peranan dan tanggungjawab semua pihak mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilaksanakan.

Udara yang bersih menyihatkan tubuh badan manusia manakala udara tercemar sudah pasti akan mengancam kesihatan. Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah sewajarnya bagi menjaga kualiti udara di negara kita.

Ingatlah, perlakuan kita yang menyakitkan dan memudaratkan orang lain atau kehidupan lain, sudah pasti mendedahkan kita kepada kemurkaan Allah SWT. Sebarang usaha menghindarkan kerosakan dan kemudaratan sebagai tanda wujudnya kesempurnaan iman.

Marilah berdoa kepada Allah SWT semoga jerebu akan berkurangan dan menunaikan solat sunat Istisqa secara berterusan dengan memohon rahmat Allah SWT menurunkan hujan hingga cuaca pulih seperti sedia kala.

Berita Harian Online Agama Khutbah Jumaat 26/06/2013

Penghormatan masuk semua pintu syurga

Abu Hurairah menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menafkahkan di jalan Allah sepasang binatang nescaya diseru dia di pintu syurga: Hai hamba Allah, ini suatu kebajikan. Dan sesiapa berada daripada golongan orang yang bersembahyang dipanggil dia dari pintu sembahyang. Orang yang masuk dalam kalangan ahlul jihad dipanggil dia dari pintu al-Jihad. Sesiapa yang masuk daripada golongan orang yang berpuasa diseru dia dari pintu al-Rayyan. Dan sesiapa yang masuk daripada kalangan orang yang bersedekah diseru dia dari pintu sedekah.

Maka berkatalah Abu Bakar: Engkau aku tebus dengan ibu dan ayahku, ya Rasulullah. Tiada suatu kemelaratan bagi orang yang diseru dari pintu itu. Maka adakah seseorang yang akan dipanggil dari semua pintu? Nabi menjawab: Ya! Dan aku harapkan engkau termasuk ke dalam golongan itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kebajikan hapus kejahatan

Sesiapa yang melakukan amal kebajikan dalam apa juga bentuk maka di akhirat kelak seluruh pengawal pintu syurga, masing-masing mempersilakan masuk orang yang melakukan amal kebajikan ini melalui pintu yang dijaga mereka dan ada juga segolongan orang yang mendapat penghormatan untuk memasuki semua pintu kebajikan.

Daripada Abi Zar Jundub bin Junadah dan Abdi Rahman Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda: “Bertakwalah kamu kepada Allah bila dan di mana saja kamu berada, susulkan kejahatan dengan kebaikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan dan bergaullah dengan sesama manusia dengan akhlak yang mulia.” (Riwayat at-Tirmizi)

Amalan kebajikan menghapuskan amalan kejahatan sebelumnya, jika kejahatan itu termasuk dosa kecil dan tidak berkaitan dengan orang lain.

Antara akhlak mulia ialah manusia yang tidak mengganggu atau menyakiti orang lain juga melakukan perkara makruf dan berinteraksi dengan cara yang kita mahu orang berinteraksi dengan kita.


Berita Harian Online Agama 29/06/2013

Syria luka kedua selepas Palestin

Syam tempat berkembang tamadun, pusat ilmu Islam

Tatkala Allah SWT membentangkan bumi yang luas untuk semua makhluk-Nya, diciptakan tempat dan negeri serta penduduknya yang pelbagai bentuk serta rupa paras. Antara manusia pula, dilantik dalam kalangan mereka nabi dan rasul.

Firman Allah SWT: “Dan Tuhanmu menciptakan serta memilih apa Dia kehendaki.” (Surah al-Qasas, ayat 68)

Kemudian dianugerahkan sebahagian bumi mempunyai keistimewaan tersendiri seperti Makkah, Madinah, Baitulmaqdis, Syam atau Syria yang meliputi Jordan dan Palestin antara negeri diberi penghormatan oleh Allah SWT.

Maka, Allah SWT jadikan bumi Syria tempat perjalanan nabi serta penurunan wahyu dari langit. Di sini juga dijadikan tempat berhimpunnya manusia pada hari Mahsyar dan masing-masing menerima catatan amalan mereka.

Firman Allah SWT: “Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidilharam ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’, ayat 1)

Ulama berpendapat maksud ‘sekelilingnya’ yang terdapat dalam ayat ini ditafsirkan ulama sebagai bumi Syam. Syria juga adalah bumi nabi sejak Nabi Adam dan anaknya Habil dikebumikan. Nabi Yahya disemadikan di bumi Syria, makamnya terletak dalam Masjid Umayyad di Damsyik.


Syria bumi yang mempunyai keistimewaan sendiri kini menjadi kubur saudara seagama. - Foto hiasan

Diriwayatkan daripada Saidina Ali, beliau berkata: “Mereka yang terbaik di sisi Allah SWT kebanyakannya dari negeri Syam, dari kalangan mereka 40 lelaki. Apabila salah seorang daripada mereka meninggal, maka Allah akan menggantikan tempatnya dengan seseorang yang lain. Kerana merekalah, Allah menurunkan hujan, memberikan kemenangan terhadap musuhnya dan dijauhkan bala dan azab terhadap penduduk Syam.” (Musnad Ahmad, Ibn ‘Asakir, Tirmidhi, Haythami dan Imam Sayuti)

Sabda Baginda SAW bermaksud : “Tatkala Isa turun pada akhir zaman untuk menyelamatkan manusia, Allah memilih tempat yang baik iaitu sebuah menara putih yang terletak di timur Syria.” (Riwayat Muslim)

Ia juga tempat bersemadinya sebahagian besar sahabat Baginda SAW antaranya Saidina Bilal, Muawiyah, Abu Darda’, Khalid Al-Walid, Abu Hurairah serta ramai wali Allah. Sebahagian besar penduduknya berjihad menentang tentera salib bagi menyelamatkan akidah umat Islam.

Ia tempat berkembangnya tamadun Islam serta pusat ilmu pengetahuan sehingga Baginda SAW sendiri tidak pernah melawat dunia luar kecuali Syria.

Walid Bin Muslim, sahabat Baginda SAW berkata: “Aku datang ke Syam berkali-kali hanya kerana aku pernah melihat Baginda SAW melawat ke sana.”

500 makam nabi di Damsyik

Imam Abdullah bin Salam meriwayatkan bumi Syam adalah tempat di mana terletaknya persemadian 1,700 nabi sementara Imam Makhul menambahkan, terdapat 500 makam nabi di Damsyik dan masih banyak hadis lain yang menceritakan kelebihan Syam dan ibu negerinya.

Ancaman yang diucapkan Baginda SAW kepada umat juga dikaitkan dengan Syam melalui sabdanya: “Apabila hancurnya penduduk Syam, maka tiada lagi sebarang kebaikan untuk umat Islam. Sebahagian daripada umatku akan sentiasa mendapat pertolongan dan mereka tidak akan terhina sehingga hari kiamat.” (Riwayat Tirmizi)

Baginda SAW juga menjadikan Syam sebagai pilihan untuk menghantar tentera Islam. Sabda Baginda SAW: “Akan berlaku perutusan bala tentera yang besar di tiga buah negara iaitu Syam, Yaman dan Iraq. Berkata Ibnu Khaulah: Wahai Rasulullah, pilihlah satu tempat yang sesuai buatku. Sabda Baginda SAW: Pilihlah Syam kerana ia bumi dipilih Allah SWT sebagai pusat kebajikan untuk hamba-Nya. Pilihan kedua adalah Yaman. Sesungguhnya Allah SWT mewakilkan aku untuk melihat Syam.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Syam atau Syria pernah menjadi pusat bagi negara Islam serta berdirinya kerajaan Islam dengan megah di bawah panji keadilan dan kesaksamaan. Penduduknya pernah hidup dalam keamanan dan ketenteraman.

Di sanalah dajjal serta pengikutnya akan dihapuskan pada akhir zaman. Tentera Tatar juga pernah tumbang di tangan penduduk Syam sehingga Ibnu Taiymiah pernah ditanya adakah Syam lebih baik daripada Makkah dan Madinah?

Walaupun hakikatnya tidaklah sedemikian, persoalan itu timbul berdasarkan banyak fakta mengenai kelebihan Syria. Maka umat Islam mengemukakan persoalan sedemikian. Kemudian, berlalulah masa gemilang apabila keamanan bertukar sedikit demi sedikit dan menyempitkan kehidupan penduduknya.

Kemakmuran semakin pudar walaupun masih ramai ulama yang hidup sehingga hari ini.

Sebenarnya, Syam adalah peninggalan sahabat Baginda SAW iaitu Saidina Umar dan amanah kepada kaum Muslimin seluruhnya.

Kini kaum Muslimin mendapat dua luka yang masih belum sembuh iaitu kelukaan di bumi Palestin dan Syam. Bagaimanakah akal seorang insan dapat menerima penyembelihan sesama Islam di bumi Syam serta pengkhianatan orang yang bertanggungjawab kepada rakyatnya.

Senjata yang seharusnya dihunus kepada pihak musuh sudah dihalakan kepada golongan Muslimin sendiri serta mengakibatkan perkampungan di Syria menjadi tanah perkuburan saudara seagama.

Kehancuran umat Islam

Bumi yang berkat akan musnah jika tiada perhatian daripada Muslimin seluruhnya. Kehancuran Syam petanda akan kehancuran umat Islam seluruhnya. Allah juga akan menggantikan kaum yang sanggup mempertahankan agamanya walau dengan harga yang amat tinggi.

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu berpaling daripada kebenaran, Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan derhaka seperti kamu.” (Surah Muhammad, ayat 38)

Pembunuhan saudara seagama satu dosa besar dan mati kerana mempertahankan kebenaran adalah syahid. Marilah kita semarakkan Ramadan yang bakal menjelang dengan menghulurkan bantuan terhadap saudara kita di Syria.

Zamanudin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd Berita Harian Online Agama 29/06/2013