July 4th, 2013

Pertahan maruah agama Islam

HEBOH diperkatakan pada ketika ini berkaitan dengan Rang Undang-Undang Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013, di mana terdapat beberapa pihak yang menentang kelulusan Rang Undang-Undang tersebut, khususnya berkaitan dengan pengislaman anak bawah umur 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapanya di dalam seksyen 107 Rang Undang Undang tersebut.

Golongan ini mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 12(4). Penentangan ini dipelopori oleh Majlis Peguam dan beberapa badan bukan kerajaan yang lain. Malah parti-parti politik seperti DAP, MCA dan MIC juga telah menzahirkan penentangan mereka dalam perkara ini.

Rang Undang-Undang yang telah pun mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong untuk dibentangkan di Parlimen bukanlah membuat perubahan drastik dalam kesemua peruntukannya. Hanya ada beberapa peruntukan sahaja yang dipinda dan ditambah tidak termasuk seksyen 107 itu.

Seksyen 107 yang dicadangkan itu memperuntukkan tentang keupayaan memeluk agama Islam yang berbunyi seperti berikut:

107. Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan

(a) sudah mencapai umur 18 tahun; atau

(b) jika dia belum mencapai umur 18 tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.

Oleh hal yang demikian Rang Undang-Undang ini dikatakan membuat suatu pembaharuan baharu kerana mensyaratkan hanya salah seorang ibu atau bapa sahaja boleh mengislamkan anak mereka.

Datuk Sulaiman Abdullah, seorang peguam kanan dan tersohor menempelak golongan ini dengan mengatakan bahawa peruntukan tersebut bukanlah peruntukan baharu kerana ia telah lama wujud di dalam Akta Pentadbiran Undang Undang Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1993 lagi.

Sulaiman menegaskan ia adalah suatu undang-undang yang telah lama wujud dan tidak perlu dikontroversikan oleh mana-mana pihak.

Oleh yang demikian Rang Undang Undang tersebut bukanlah suatu yang baharu tetapi telah wujud sejak 1993.

Malah jika kita lihat Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 1952 pemelukan Islam anak bawah umur 18 tahun adalah secara automatik tatkala mana-mana ibu atau bapanya memeluk Islam.

Dakwaan ini sebenarnya mengelirukan rakyat, khususnya orang awam yang tidak pernah membaca undang-undang.

Seperkara lagi yang ditimbulkan ialah Rang Undang-Undang tersebut melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Adalah tidak benar jika kita mengatakan ia melanggar Perlembagaan Persekutuan. Badan yang berhak mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan dengan tuntas adalah mahkamah dan mahkamah yang tertinggi di Malaysia iaitu Mahkamah Persekutuan yang telah mentafsirkan Perkara 12(4) tersebut tidak memerlukan kedua-dua ibu bapa memberikan persetujuan mereka, iaitu di dalam kes Subahsini v Saravanan. Begitu juga di dalam beberapa kes lain seperti Nenduchilian yang mana mahkamah juga memutuskan tidak perlu persetujuan kedua-dua belah pihak.

Tafsiran sebegini hanya boleh disanggah jika terdapat keputusan Mahkamah Persekutuan yang lain sebaliknya. Sehingga itu, tafsiran yang dikemukakan tadi adalah benar walaupun Majlis Peguam berpandangan sebaliknya.

Sebenarnya ini adalah ujian bagi wakil rakyat Islam yang baru dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas. Kegagalan untuk meluluskan Rang Undang-Undang ini akan dilihat oleh umat Islam sebagai kelemahan mempertahankan undang-undang Islam dan ia akan memberi kesan, khususnya kepada pihak kerajaan yang tidak akan dilihat sebagai mampu mempertahankan Islam.

Mungkin isyarat yang jelas akan dapat dirasai di dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang akan diadakan tidak lama lagi.

DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainulrijal@abubakar.my Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/07/2013

Allah sentiasa ada

MENYELUSURI satu lorong tiba-tiba Atan bertemu dengan satu premis yang ditujuinya iaitu Kedai Gunting Pak Abu. Atan masuk sambil menjenguk kepalanya ke dalam sambil berkata, "Boleh Pak Abu guntingkan rambut saya? "Boleh aje," jawab Pak Abu dengan nada bersahaja. "Sila duduk," pelawa Pak Abu sambil membetulkan kerusi untuk diduduki oleh Atan.

Sedang asyik Atan menyerahkan rambutnya kepada Pak Abu untuk digunting, tiba-tiba Pak Abu bersuara sambil mengeluh. "Wahai anak muda, pakcik sering mendengar penceramah agama menyebut bahawa Allah Maha Kaya, tapi kenapa dalam masa yang sama ramai di kalangan hamba-hamba Allah yang miskin.

"Bahkan, kadang-kadang orang Islam di merata tempat lebih miskin daripada orang yang bukan Islam," tegas suara Pak Abu dengan nada yang lebih tinggi.

Tidak cukup dengan hamburan kata-kata pedas menghiris itu, Pak Abu semakin agresif menyambung bicaranya dan berkata, "Wahai anak muda cuba kamu fikirkan, bukankah Allah itu Maha Bijaksana, kalau benar begitu, kenapa begitu ramai manusia di atas muka bumi ini yang bodoh dan dungu.

"Kenapalah Allah tidak memberikan kebijaksanaan-Nya itu kepada hamba-hamba-Nya. Tidakkah ini bermakna Allah mulai tidak berlaku adil kepada makhluk ciptaan-Nya.

"Jadi kalau begitu di mana pula sifat Allah yang selama ini terkenal dengan Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani."

Sesungguhnya bicara tajam yang sarat dengan sindiran ternyata menjadikan Atan rimas dan tidak selesa. Namun Atan diam sahaja sambil mengesap beberapa helai rambut yang telah digunting oleh Pak Abu jatuh ke ribanya.

Ternyata ketika Atan diam sejenak berfikir bagaimana cara untuk menjawab semua persoalan yang diluahkan oleh Pak Abu tiba-tiba terdengar siren ambulans yang sedang mengangkut orang sakit ke hospital berdekatan.

Tunggu apa lagi Pak Abu terus membebel sambil berkata, "Kan pakcik dah kata tadi, bukankah Allah itu konon-kononnya Maha Berkuasa untuk menyembuh penyakit manusia? Tapi kenapa di luar sana begitu ramai orang sakit, bahkan hospital dan klinik sentiasa dipenuhi dengan orang sakit.

"Hei! Kenapalah Allah tidak sembuhkan saja hamba ciptaan-Nya." Keluhan yang penuh dengan nada perli oleh Pak Abu nyata membuatkan hati Atan resah.

Bicara Pak Abu amat menjengkelkan fikiran Atan yang pada hematnya semacam mempertikaikan Allah. Namun Atan tidak berputus asa dan dia mulai memikirkan sesuatu idea untuk mematahkan hujah Pak Abu sebelum beredar dari premis kedai gunting Pak Abu.

Subhanallah! Akhirnya Atan mulai terlintas satu idea ketika melihat terdapat dua remaja lelaki sedang melintas dan berada tidak jauh dari kedai gunting Pak Abu. Hati kecil Atan cuba meyakinkan diri bahawa inilah peluangnya untuk membidas semua keraguan yang dicanangkan oleh Pak Abu sebentar tadi.

Atan mula bersuara, "Pak Abu tentu nampakkan dua remaja lelaki di luar sana yang kedua-kedua mereka berambut panjang, mengersang dan sangat buruk penampilan. Kenapa mereka berdua tidak datang untuk repair rambut mereka agar nampak lebih cantik, kemas dan bergaya atau di sini tiada orang yang bekerja sebagai penggunting rambut?"

Tiba-tiba Pak Abu dengan nada membantah menjawab, "Bagaimana mungkin tidak ada, bukankah aku ini yang bekerja sebagai penggunting rambut, bahkan ini premis aku yang dapat dilihat dengan begitu jelas dari jauh!" tegas Pak Abu.

Atan mula menekan Pak Abu dengan berkata, "Tidak! Pakcik bukan bekerja gunting rambut, kalau pakcik betul-betul bekerja sebagai tukang gunting rambut kenapa ada lagi orang yang rambutnya terus panjang?," tanya si Atan dengan nada kehairanan konon-kononnya.

"Ah, aku tetap bekerja sebagai tukang gunting rambut. Mereka di luar sana yang rambutnya panjang kerana tidak datang kepadaku untuk digunting," terus si Atan menyambut kata-kata Pak Abu sambil berkata,

"Ya! Tepat sekali, inilah akar permasalahan soalan Pak Abu tadi, sesungguhnya Allah sentiasa ada, hanya manusia saja yang tidak serius mencari Allah dan menyembah-Nya.

"Itulah sebabnya masih banyak penderitaan di dunia ini, hidup terbelenggu dengan kesusahan, kebodohan dan kemiskinan. Bukan kerana Allah tiada, tapi si hamba yang tidak tidak mendambakan dirinya kepada Allah."

Jawapan Atan tadi betul-betul membidas tepat keraguan yang cuba dibangkitkan oleh Pak Abu.



DR. AZAHAR YAAKUB ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kursus Umum & Kokurikulum, Universiti Teknologi Malaysia (Universiti Penyelidikan), Kuala Lumpur. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/07/2013

Hikmah tilawah al-Quran

AL-QURAN merupakan mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat Islam sebagai panduan perjalanan hidup sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Maka pengetahuan yang terkandung dalam al-Quran bukan sahaja diterjemahkan melalui hukum syarak tetapi di dalamnya menyentuh ilmu pengurusan diri seperti sains, matematik, perubatan dan sebagainya.

Oleh demikian, setiap umat Islam wajib menghayati setiap patah ayat al-Quran dengan cara membaca, mendengar atau mempelajarinya bagi mencari khazanah mukjizat yang terdapat dalam kitab suci itu.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia turut tidak terlepas untuk menerapkan ajaran al-Quran dengan memperkenalkan pelbagai saluran untuk mengajak umat Islam di negara ini mencintai mukjizat tersebut termasuklah menganjurkan pertandingan musabaqah al-Quran.

Bermula di peringkat daerah atau zon sehinggalah ke peringkat kebangsaan, para qari atau qariah yang membacakan ayat-ayat suci al-Quran dengan terbaik sekali, selain diselitkan dengan alunan taranum akan dinobatkan sebagai juara dan seterusnya bertanding ke peringkat antarabangsa pula.

Maka sehingga ke saat ini, penganjuran Majlis Tilawah al-Quran (MTQA) peringkat antarabangsa yang sudah kali ke-55 dianjurkan sudah tepat pada masanya untuk mendekatkan jiwa masyarakat dengan al-Quran.

Jika diimbas kembali sejarah penganjuran MTQA, pertandingan itu kali pertama diadakan pada 9 Mac 1961 bersamaan 22 Ramadan 1380 Hijrah setelah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mengusulkan idea agar acara itu dibuat di peringkat antarabangsa semasa Majlis penutup Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Kebangsaan kali Pertama.

MTQA yang direalisasikan oleh Tunku Abdul Rahman itu telah meletakkan Malaysia sebagai negara pertama menganjurkan program seumpama itu kerana belum pernah negara lain hatta dari negara Asia Barat sekalipun, mengadakan pertandingan tilawah al-Quran di peringkat antarabangsa.

Perkembangan itu selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. usaha Tunku Abdul Rahman telah membuktikan usaha dan keprihatinan kerajaan meninggikan syiar Islam khususnya dalam mendaulatkan al-Quran melalui penganjuran majlis tilawah.

Selain itu, MTQA diadakan dengan matlamat untuk mewujudkan silaturahim sesama umat Islam dan hubungan baik antara negara-negara Islam di dunia ini.

Dalam MTQA kali pertama itu, sebanyak tujuh buah negara dengan seramai 13 peserta telah mengambil bahagian.

Namun pada waktu tersebut, pertandingan tidak dibuka kepada negara-negara berbahasa Arab sehinggalah pada 1976 kerana jawatankuasa MTQA berpandangan penyertaan dibuka sekiranya mutu bacaan peserta negara-negara bukan Arab dapat menyaingi bacaan qari dan qariah dari Asia Barat.

Pada 1980 sehingga kini, penyertaan negara-negara luar semakin bertambah, meliputi negara-negara Asia, Afrika, negara-negara bekas taklukan Soviet Union serta benua Eropah dan Amerika.

Johan pertama MTQA adalah Ahmad Mat Som dari Malaysia. namun pada masa itu belum lagi dibuka kepada peserta qariah sehinggalah pada 1964 apabila ia dibuka kepada wanita dengan Faridah Mat Saman dari Malaysia dinobatkan sebagai juara qariah pertama.

Ketika Majlis Perasmian MTQA, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak yang mewakili Tunku Abdul Rahman berkata kerajaan akan terus menggalakkan rakyatnya membaca al-Quran.

Rentetan daripada cadangan itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan termasuklah mewujudkan kursus mempelajari dan menghafaz al-Quran dengan pembukaan kelas tahfiz di Masjid Negara pada 1 Mac 1966.

MTQA kali ke-55

Dengan bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah', MTQA sekali lagi diadakan untuk kali ke-55 bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula 29 Jun sehingga 6 Julai ini.

Namun MTQA bukan sahaja menjadi medan mempertandingkan bacaan al-Quran tetapi pertandingan itu telah menjadi tumpuan pelancong khususnya dari negara Asia Tenggara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, perkara demikian disahkan sendiri Perbadanan Pelancongan Malaysia dengan setiap malampara pelancong menghadiri MTQA, manakala sebelah siang pula melancong di sekitar ibu kota.

Berkenaan MTQA, Othman berkata majlis berprestij berlangsung selama lapan hari itu akan disertai oleh 72 peserta yang diwakili oleh 42 qari dan 30 qariah dari 42 buah negara yang dijemput.

Menurut Othman, Malaysia diwakili johan qari dan qariah Majlis Pertandingan Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan di negeri Kelantan baru-baru ini iaitu Anuar Hasin dan Hanimzah Jalaluddin.

Dalam pada itu, Othman memberitahu, Johan Qari dan Qariah MTQA pada kali ini akan dianugerahkan Kepingan Emas dengan nilai anggaran RM70,000 yang disumbangkan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) di samping wang tunai RM40,000, sebuah piala iringan, cenderamata dan sijil.

Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai untuk ke Dewan Merdeka, PTWC untuk menyaksikan secara langsung bacaan qari dan qariah dari seluruh dunia yang memperdengarkan bacaan mengikut gaya dan alunan suara yang tertentu.



JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/07/2013

Erti Ramadan pertama

KEDATANGAN Ramadan yang bakal tiba beberapa hari lagi pastinya mengimbau pelbagai kisah dalam kotak fikiran setiap umat Islam ketika pertama kali ingin menyempurnakannya.

Ada yang teruja dan tidak sabar menanti. Tidak kurang juga yang mereka-reka pelbagai alasan untuk cuba berbuka kerana tidak sabar menahan lapar sementara menanti matahari terbenam.

Hakikatnya, itulah aneka ragam ketika pertama kali ingin menunaikan tuntutan dalam rukun Islam ke tiga itu iaitu berpuasa. Namun segalanya mengajar kita agar lebih bersedia dan matang untuk memperbaiki amalan tersebut dengan lebih baik pada masa akan datang.

Tidak ketinggalan, perkara sama turut dilalui oleh golongan mualaf yang baru mengenal ajaran Islam dan pertama kali ingin menunaikan perintah Allah SWT tersebut.

Diibarat anak kecil yang mula belajar, setelah 11 bulan tidak terikat untuk menahan lapar dan dahaga, kedatangan Ramadan pastinya dianggap sangat mencabar bagi golongan saudara baru atau mualaf ini.

Namun, perintah Allah SWT ke atas hambanya tidak terkecuali dan tetap wajib dilaksanakan setelah bergelar Muslim. Dan pastinya, menanti debaran Ramadan pertama membawa erti yang penuh makna dan sejarah baru dalam hidup mereka.

Bagi seorang saudara baru, Muhammad Alfie Ng, 35, merasakan dirinya begitu hampir dengan amalan puasa dan Ramadan pertama yang bakal menjelang ini diharap dapat mempertingkatkan lagi keimanannya kepada Allah SWT.

Beliau yang sebelum ini pernah mencuba untuk berpuasa walaupun belum bergelar Muslim berkata, teruja ingin merasakan kemanisan sebenar ibadah berpuasa selepas mengucapkan kalimah syahadah.

Siapa sangka, cubaan berpuasa penuh selama 30 hari pada bulan Ramadan tahun lalu itu membuka pintu hatinya untuk mendekati agama Islam, sekali gus mengambil keputusan memeluk agama suci Islam.

"Saya pun tidak percaya mampu menghabiskan puasa selama 30 hari pada tahun lalu, sedangkan pada masa itu saya belum pun memeluk Islam. Pada mulanya ia hanya ajakan seorang kawan yang memberitahu kepada saya rahsia mencari ketenangan.

"Saya juga tahu tidak dapat apa-apa pahala dengan melakukan puasa seperti itu. Namun, seperti sudah ditentukan takdir, saya merasa kepuasannya dan tenang dapat berpuasa. Air yang minum ketika berbuka terasa sangat nikmat walaupun hanya air masak.

"Dengan yakin, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam yang selama ini saya membuat perbandingan dengan agama lama saya dan juga agama-agama lain," kata Alfie ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Biarkan mendapat tentangan hebat daripada keluarga, namun anak kepada bekas salah seorang tokoh tertinggi agama bukan Islam itu bernekad memeluk Islam walaupun kuat mengamalkan ajaran agama lama sebelum ini.

Beliau berkata, malah perbandingan peribadi yang dilakukannya sendiri juga mendapati terdapat beberapa kekeliruan agama lama dalam beberapa perkara seperti antaranya turut menggalakkan penganutnya untuk berpuasa.

"Dalam agama lama saya, berpuasa tidak wajib. Berpuasa yang diajar juga tiada waktu khusus seperti yang diajarkan oleh agama Islam. Bagi mereka, puasa hanya dilakukan kerana bersebab atau sebagai tanda pengorbanan.

"Puasa itu juga berlainan dengan amalan Islam. Mereka dibenarkan untuk minum dan makan makanan ringan sekadar mengalas perut tanpa kenyang.

"Manakala jumlah hari berpuasa pula adalah mengikut tahap keimanan seseorang itu. Lebih tinggi tahap pangkat dia di dalam agama, maka lebih lama tempoh dia harus berpuasa. Ayah saya sendiri sering berpuasa hampir dua minggu," jelasnya yang memeluk Islam pada pertengahan tahun lalu.

Muhammad Alfie yang teruja menantikan kehadiran Ramadan berharap dapat melakukan ibadah puasa pertama dengan sebaik mungkin dan cuba meningkatkan ilmu agama agar lebih baik.

Merasai debaran

Sementara itu, bagi Muhammad Adam Elvis, 28, mengakui merasakan debaran menjelang Ramadan kerana tidak pernah dilalui sebelum ini walaupun pada agama lama.

Walaupun membuat persediaan seperti cuba berpuasa sunat, Muhammad Adam yang baru memeluk Islam pada November tahun lalu itu bimbang tidak dapat melaksanakan ibadah puasa dengan sebaik mungkin.

"Seumur hidup saya tidak pernah berpuasa. Ini adalah antara cabaran utama yang harus saya lalui iaitu untuk menahan lapar daripada sebelum solat Subuh hingga azan waktu Maghrib selepas memeluk Islam.

"Ini bukanlah mudah. Saya juga ada membuat sedikit persediaan dengan melakukan puasa sunat. Nampaknya tidak tahan jika tidak bangun sahur yang menjadi masalah utama saya iaitu untuk bangun awal pagi.

"Saya rasa berdebar bimbang tidak dapat melaksanakan perintah Allah SWT itu sebaik mungkin dan mudah terpengaruh melihat orang lain yang bukan Islam makan. Di tambah pula pada bulan Ramadan, umat Islam digalakkan untuk menjaga tingkah laku daripada melakukan perkara yang boleh mengundang sebarang dosa yang lain," katanya.

Bagaimanapun, Adam bertekad untuk melakukan ibadah puasa sebaik mungkin dengan semangat dan keikhlasan hatinya memeluk Islam kerana inginkan kebenaran.

Berkongsikan kisahnya, Adam yang memperoleh hidayah Islam kerana jatuh hati terhadap seorang gadis Melayu berkata, bukan menginginkan sesuatu tetapi yakin dengan kebenaran Islam membuatkan beliau sanggup meninggalkan agama lama dan memeluk Islam.

"Saya telah menemui jalan kebenaran iaitu agama Islam. Oleh itu, saya harus melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam sebaik mungkin bukan kerana mengharapkan sesuatu.

"Walaupun mendapat tentangan daripada keluarga pada asalnya, akhirnya ibu bapa saya akur dengan keputusan saya dan saya tidak boleh mensia-siakan peluang ini setelah bergelar Muslim," katanya yang merupakan anak bongsu daripada empat orang adik-beradik.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/07/2013

Penghayatan di sebalik ibadah puasa

Didik jiwa melawan hawa nafsu, jadi insan bertakwa

Jika diizinkan Allah SWT, kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadan untuk kesekian kalinya. Justeru, sewajarnya bagi kita berazam untuk meningkatkan amal ibadah dalam pelbagai aspek berdasarkan peluang Allah berikan.

Ramadan adalah madrasah bertujuan melatih umat Islam bertakwa, bersyukur dan mendapat petunjuk Ilahi. Menurut Yusuff al-Qaradawi dalam bukunya Al-Ibadah fil-Islam, madrasah Ramadan menambah kekuatan kerohanian, bulan untuk melawan nafsu dan persediaan berjihad.


Melahirkan insan bertakwa

Menurut Profesor Dr Wahbah Zuhaili dalam ‘Fiqh al-Islam wa adillatuh’ menyebut, ibadah puasa adalah ‘madrasah’ bertujuan melahirkan insan bertakwa berlandaskan firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang yang dulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Menurut Dr Wahbah Zuhaili lagi, berpuasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah dalam keadaan sembunyi atau terbuka, mengekang nafsu syahwat daripada menguasai diri, membina cetusan naluri yang peka dan sensitif serta memulihkan kekuatan struktur dalaman tubuh badan.

Dr Mustaffa Siba’i menerusi bukunya ‘Ahkamu syiam wa falsafat fi dhu al-Quran wa al-sunnah’ menjelaskan, ibadat puasa sebagai madrasah atau pusat latihan membina kekuatan dari aspek al-madi (kebendaan) dan kekuatan al-ruhi (roh).

Selain itu, madrasah Ramadan juga mampu meningkatkan motivasi untuk melakukan pembaikan diri atau tazkiyah, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai unggul yang dinamakan takwa.

Dari aspek psikologi, manusia terdiri daripada empat komponen utama iaitu fizikal, emosi, kognitif dan spiritual. Berdasarkan komponen itu, madrasah Ramadan diharapkan dapat melatih fizikal, emosi, kognitif dan spiritual untuk melakukan transformasi ke arah kebaikan dituntut Islam.

Perubahan atau tindakan yang perlu dilakukan itulah yang dikategorikan sebagai sukatan pelajaran. Melalui latihan sukatan pelajaran dilalui dalam bulan Ramadan itu, diharapkan dapat membina generasi mantap dan kukuh.

Falsafahnya mudah, jika mampu mendidik dan mengalahkan nafsu, sudah pasti ia mampu mengatasi masalah serta cabaran hidup dengan sebaliknya. Jika gagal melawan nafsu, sudah pasti banyak cabaran dan dugaan yang mendatang gagal diharungi.

Melihat konteks lebih luas, banyak pengajaran boleh diperoleh daripada penghayatan madrasah Ramadan khususnya berkaitan semangat juang kerana kesukaran untuk berpuasa berjaya diatasi melalui kewajipan puasa di bulan Ramadan.

Umat Islam daripada yang kecil hingga yang tua menanam tekad untuk menyempurnakan puasa bermula saat memasang niat kepada tibanya waktu berbuka. Kesungguhan itu membuktikan kesediaan berdepan dugaan menahan lapar serta dahaga.

Kecintaan kepada agama memberi semangat kepada tentera Islam berdepan musuh dalam peperangan Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah. Kesabaran serta ketakwaan tentera Islam menunjukkan sifat tawakal kepada Allah SWT.

Madrasah Ramadan juga mendidik diri menghayati konsep hablun min Allah (hubungan dengan Allah) dan konsep hablun minannas (hubungan sesama manusia). Hubungan itu terserlah dalam ibadah dan akhlak yang dilakukan sepanjang Ramadan dan diharap diteruskan selepas Ramadan.

Selain meningkatkan ibadat kepada Allah SWT, puasa juga mendidik jiwa insan untuk berkongsi nikmat dikurniakan dengan memperbanyakkan amalan sedekah yang mampu membersihkan jiwa daripada perasaan sombong.

Kesediaan berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan juga melahirkan sifat tawaduk serta sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT.

Ganjaran lailatul qadar

Dalam latihan madrasah Ramadan, pasti ada cemerlang. Mereka akan menerima ganjaran iaitu lailatul qadar malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Begitu juga yang menamatkan ibadat Ramadan dengan sempurna, ketibaan Syawal pasti disambut penuh kegembiraan.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Anugerah lain turut diberikan kepada individu yang melalui latihan dengan baik melalui ganjaran pahala untuk melalui pintu syurga ar-Rayan. Sabda Rasulullah SAW: “Di dalam syurga ada pintu yang dinamakan ar-Rayan. Orang yang berpuasa masuk melalui pintu ini pada hari kiamat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Mereka yang berjaya melalui madrasah Ramadan dengan jayanya menerima ganjaran pahala yang diberikan oleh Allah serta pengiktirafan ‘takwa’ yang menjadi matlamat ibadah puasa. Lebih baik jika semangat itu diteruskan pada Syawal dengan melaksanakan puasa sunat Syawal.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan disusuli dengan puasa bulan Syawal, ganjarannya seolah-olah berpuasa setahun.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Dr Burhanuddin Jalal Berita Harian Online Agama 04/07/2013

Isnin lihat anak bulan 1434 Hijrah

Kuala Lumpur: Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan tarikh permulaan puasa ialah petang Isnin, 8 Julai bersamaan 29 Syaaban 1434 Hijrah, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang ditetapkan, melalui radio dan televisyen,” kata kenyataan itu. - BERNAMA


Berita Harian Online Agama 04/07/2013