July 9th, 2013

Mukmin bertakwa merindui kedatangan Ramadan

Allah SWT menerangkan dalam firman-Nya: “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan fidyah, maka itu adalah satu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah).

Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka) maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 183-185)

Sesungguhnya kewajipan berpuasa sudah dijelaskan dan bagi umat Islam yang bertakwa, hatinya sentiasa menanti-nanti serta merindui kedatangan Ramadan.

Kepentingan puasa

Justeru, perlu diingatkan kepentingan menunaikan puasa kerana ia adalah amalan yang dilaksanakan semata-mata untuk Allah SWT.

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Allah berfirman: “Semua amalan manusia adalah untuk mereka kecuali puasa. Ini kerana puasa itu adalah untuk-Ku. Dan aku yang menentukan balasannya”.

Puasa adalah perisai daripada melakukan maksiat dan pendinding daripada api neraka. Justeru, apabila saudara berpuasa, janganlah bercakap perkara sia-sia ataupun bergaduh.

Antara hadis menerangkan doa ketika melihat anak bulan ialah daripada Talhah bin Ubaidullah, “Apabila Rasulullah melihat anak bulan, beliau mengucapkan doa yang bermaksud: Ya Allah, terbitkanlah anak bulan itu bersama dengan keamanan, keimanan, keselamatan dan keislaman untuk kami. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah. Inilah anak bulan yang memberi petunjuk dan kebaikan.” (Riwayat Tirmizi - beliau mengatakan hadis ini adalah hadis hasan)

Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah apabila saudara melihat anak bulan Ramadan. Dan berhentilah puasa apabila saudara melihat anak bulan Syawal. Jika anak bulan Ramadan tidak kelihatan, cukupkanlah bilangan 30 hari bulan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berita Harian Online Agama 09/07/2013

Fahami falsafah dakwah tingkat semangat juang

Kecewa ialah perasaan hampa kerana cita-cita, harapan atau kehendak tidak tercapai. Perasaan kecewa turut dirasai pendakwah mungkin disebabkan beberapa perkara seperti jurang antara idealisme diri serta realiti yang ada.

Kekecewaan juga boleh berlaku disebabkan tidak berpuas hati serta kegagalan dalam usaha dakwah yang dilakukan. Ini berlaku sama ada usaha itu dilakukan pendakwah secara bersendirian atau dalam organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ingat tujuan dakwah


Namun, dalam kalangan pendakwah ada yang mampu mengatasi kekecewaan dan tidak dinafikan, ada juga yang gagal berdepan cabaran berdakwah. Bagi yang gagal mengatasi kekecewaan disebabkan mengikut kata hati atau nafsu, perlu ingat kepada tujuan dakwah.


Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).

Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Sehubungan itu, setiap pendakwah perlu memahami dan menghayati falsafah dakwah dalam mengurus kekecewaan. Memahami bahawa berdakwah itu bukan sesuatu yang mudah, pendakwah perlu menyiapkan diri dengan semangat juang.

Kesedaran mengenai tanggungjawab besar serta cabaran yang menanti akan memberikan satu kelegaan dan daya juang yang tinggi untuk terus berdakwah.

Kekecewaan sebagai ujian

Satu perkara yang perlu disedari pendakwah, kekecewaan yang melanda itu mungkin ujian yang diberikan oleh Allah kepadanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), pada hal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahuiNya) orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya serta orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah at-Taubah, ayat 16)

Selain itu, pendakwah juga jangan terlalu cepat untuk merasa kecewa kerana sesungguhnya kita hidup bermasyarakat dan terikat dengan struktur sosial masyarakat. Hidup bermasyarakat tentunya terdapat banyak perkara yang perlu difahami.

Perlu disedari, sebenarnya banyak sifat dan sikap yang perlu ada dalam diri pendakwah seperti ikhlas, bijak, rendah diri dan berjiwa besar. Sikap tenang dan ceria dalam menghadapi hidup juga penting kerana ia membolehkan pendakwah melihat setiap perkara secara positif.

Tenang, mudah memaafkan

Orang yang tenang mempunyai ruang untuk mudah memaafkan orang lain dan yang berjiwa besar tidak akan membiarkan dirinya dikuasai perasaan benci atau permusuhan. mereka juga akan lebih fokus dan berusaha untuk mengatasi masalah besar.

Perasaan optimis, ceria dan berfikiran positif akan menjadi benteng kepada kekecewaan. Oleh itu, pendakwah tidak sewajarnya terlalu cepat untuk berasa kecewa dan mudah berputus asa dalam usaha melaksanakan kerja dakwah.

Allah SWT berfirman: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersamanya. Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah, ayat 214)


Burhanuddin Jalal Berita Harian Online Agama 09/07/2013