July 10th, 2013

Bersahur bezakan puasa orang Yahudi, Kristian

Abdullah bin Umar berkata: “Rasulullah mempunyai dua tukang azan. Mereka adalah Bilal dan Ibnu Ummu Maktum. Rasulullah bersabda: Sebenarnya Bilal melaungkan azan ketika waktu malam iaitu sebelum fajar menyinsing. Masa itu bersahurlah kamu hingga Ibnu Ummu Maktum pula melaungkan azan menandakan masuk waktu Subuh.”

Abdullah bin Umar berkata: “Tidak ada jarak masa antara mereka itu. Apabila Bilal selesai berazan, Ibnu Maktum pula menggantikannya.” Maksudnya jarak antara kedua-duanya tidaklah terlalu lama.” (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

Tempoh masa sahur

Zaid bin Sabit berkata, “Kami bersahur bersama Rasulullah. Selepas itu kami bangun menunaikan solat Subuh. Orang itu bertanya kepadanya: Berapa lama jarak masa antara sahur dan solat Subuh itu? Zaid menjawab: Kira-kira sempat membaca 50 ayat al-Quran.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Amr bin al-‘As berkata, Rasulullah bersabda: “Perbezaan antara puasa kita dengan puasa orang Yahudi dan Kristian adalah bersahur.” (Riwayat Muslim)

Abu ‘Atiyyah berkata, “Saya dan Masruq menemui Aisyah. Masruq berkata kepada Aisyah: Ada dua sahabat Rasulullah yang melakukan kebaikan. Seorang daripada mereka menyegerakan sembahyang Maghrib dan menyegerakan berbuka puasa. Manakala seorang lagi melewatkan sedikit sembahyang Maghrib dan melewatkan berbuka puasa. Aisyah bertanya: Siapakah yang menyegerakan solat Maghrib dan menyegerakan berbuka? Masruq menjawab: ‘Abdullah bin Mas’ud. Aisyah berkata: Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah.” (Riwayat Muslim)

Anas berkata, “Rasulullah berbuka dulu, kemudian barulah bersolat Maghrib. Baginda berbuka dengan buah kurma basah. Jika tiada barulah Baginda makan kurma biasa. Jika tiada juga barulah Baginda hanya minum beberapa teguk air.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi. Tirmizi mengatakan hadis ini adalah hadis hasan)

Berita Harian Online Agama 10/07/2013

Tak salah nikmati juadah enak

Umat Islam tidak digalak berpesta makanan ketika berbuka puasa

Ramadan datang lagi. Bersyukur kita kepada Allah SWT atas limpah kurnianya dengan mempertemukan kita semula dengan bulan yang penuh kemuliaan, iaitu Ramadan.

Dalam bulan ini disediakan pelbagai rahmat dan kemuliaan untuk direbut umat Islam. Pada Ramadan yang mulia ini, diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang akil baligh dan mukallaf untuk menunaikan kewajipan berpuasa, antara rukun Islam.

Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita semua insan lebih bertakwa dan menjadi seorang Islam lebih baik daripada sebelumnya serta berkekalan selepas Ramadan.

Ramadan mempunyai pelbagai keistimewaan dan yang paling masyhur dan utama adalah disunatkan menunaikan solat Tarawih berjemaah yang mana tidak dilakukan pada bulan lain selain Ramadan.

Pada bulan mulia ini, terdapat malam dinamakan ‘lailatulqadar’ yang diiktiraf Allah SWT lebih baik daripada 1,000 bulan.

Berpuasa adalah menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa mulai terbit matahari hingga terbenamnya matahari.

Pengajaran puasa perlu dihayati umat Islam

Puasa dipenuhi dengan pengajaran untuk dihayati umat Islam. Bukan saja menahan diri daripada lapar dan dahaga, berpuasa secara umumnya mengajar kita menahan dan mengawal nafsu daripada perkara yang boleh membatalkan puasa.

Umat Islam perlu sedar bahawa puasa turut diperintahkan kepada umat terdahulu, sebelum wahyu diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, seperti diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu”.

Ayat itu memberi penjelasan bahawa puasa itu amalan yang biasa diamalkan sebelum turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad SAW dan bukan perkara berat dan bukan juga satu penyeksaan kepada umat Islam.

Di samping itu, Allah juga tidak memberatkan manusia dengan satu arahan berpuasa secara keras tanpa pengecualian atau kelonggaran.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka bolehlah ia berbuka.

“Kemudian diwajibkan menggantikan puasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari lain. Dengan ketetapan yang demikian itu, Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa, dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuknya dan supaya kamu bersyukur”.

Kelonggaran tidak berpuasa

Daripada ayat ini jelas Allah menyuruh kita berpuasa, tetapi bagi yang mengalami kesukaran dibenarkan untuk tidak berpuasa pada hari yang sukar dan termasuklah perempuan yang datang haid.

Orang yang bermusafir juga diberi kelonggaran, namun hari dia tidak berpuasa itu mesti diganti pada hari lain selepas Ramadan, sebelum bertemu Ramadan tahun berikutnya.

Namun, di sebalik kelonggaran ini, bukan pula tiket untuk sesiapa yang memperoleh kelonggaran untuk makan atau minum atau melakukan perkara ditegah di khalayak umum.

Mengikut enakmen negeri dan akta yang berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah, mereka yang didapati tidak menghormati kemuliaan Ramadan, boleh didenda antara RM1,000 hingga RM3,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Perlu difahami bahawa mereka yang mendapat kelonggaran daripada menunaikan puasa pada Ramadan hendaklah menghormati bulan yang mulia ini. Apatah lagi bagi mereka yang sengaja meninggalkan puasa, jangan bersikap riak dan takbur terhadap orang lain yang sedang menjalankan ibadat puasa.

Seharusnya bagi mereka yang tidak berpuasa terutama sekali bagi yang sengaja, harus ada perasaan malu dan rendah diri dengan kelemahan jiwa dan fizikal kerana gagal menjalani ibadah puasa ini.

Penuhi masa dengan ibadah lain

Kita juga seharusnya menghayati ibadah berpuasa dengan memenuhkan masa dengan ibadah lain bagi mendekatkan diri kepada Allah.

Janganlah kita pada waktu bulan puasa ini lalai dengan pesta makanan dengan juadah yang antaranya kita tidak akan jumpa pada bulan selain daripada bulan puasa.

Tidak salah menikmati juadah yang menyelerakan apabila tiba waktu berbuka kerana salah satu hikmah berpuasa juga adalah kita diberi Allah perasaan gembira apabila tiba berbuka dengan menjamu selera dengan hidangan yang enak.

Namun kita juga harus mengerti bahawa Ramadan harus direbut dengan memenuhi masa kita dengan ibadah. Bagi mereka yang mempunyai lebih kemampuan juga digalakkan bersedekah kepada golongan yang memerlukan dan berkongsi juadah dengan mereka yang serba kekurangan.

Penting juga untuk kita ingat ialah jangan jadikan bulan ini sebagai pembaziran dengan makanan yang banyak yang akhirnya tidak dimakan dan dibuang begitu saja.

Semoga Ramadan kali ini menjadikan kita semua insan lebih bertakwa dan menjadi seorang Islam lebih baik daripada sebelumnya serta berkekalan selepas Ramadan.

Bersamalah kita berdoa semoga kita akan dapat bertemu dengan Ramadan pada tahun akan datang.

Moeis Basri ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia Berita Harian Online Agama 10/07/2013

Bahaya syirik

MENYEKUTUKAN Allah SWT dengan tuhan lain sebagai sembahan, objek pemujaan dan tempat menggantungkan harapan dinamakan syirik.

Kata syirik berasal daripada bahasa Arab syarika-yusyriku-syirik, yang bermaksud 'sekutu' atau 'persekutuan'.

Syirik digolongkan dalam kategori kufur kerana perbuatan itu mengingkari keesaan Allah, yang bermaksud mengingkari kemahakuasaan dan kemahasempurnaan-Nya.

Dalam al-Quran, istilah 'kafir' kadang-kadang digunakan untuk orang musyrik (pelaku syirik) di samping istilah 'musyrik'.

Riak dan berhala

Syirik kecil (al-syirk al- asghar) disebut juga riak (riya). Riak dikategorikan sebagai syirik berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW bahawa syirik tersembunyi (al-syirik al-kahfi) ialah melakukan pekerjaan supaya dilihat atau dipuji orang.

Asas adanya syirik kecil dalam erti riak terdapat dalam surah al-kahfi ayat 10. Menurut para musafir, istilah 'syirik' dalam ayat tersebut merujuk kepada erti syirik dalam bentuk riak.

Yang banyak disoroti dalam al-Quran ialah syirik besar (al-syirik al-akbar) khususnya penyembahan berhala yang disebut juga syirik terang-terangan (al-syirik al-jail).

Daripada al-Quran diketahui bahawa lama sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW, manusia telah menganut fahaman berhala. Para rasul yang diutuskan ke dunia, daripada Nabi Nuh AS hingga Nabi Muhammad SAW umumnya berhadapan dengan masyarakat penyembah berhala.

Orang musyrik yang menyembah patung berhala yakin bahawa sembahan patung berhala itu memiliki ciri ketuhanan.

Tuhan kecil

Kemusyrikan dalam bentuk berhala merupakan ciri masyarakat tradisi, seperti halnya masyarakat pada zaman para nabi. Berhala, baik dalam bentuk patung mahupun bentuk lain dijadikan objek sembahan kerana dianggap dapat mendatangkan manfaat serta menolak bahaya.

Berhala itu berfungsi sebagai Tuhan kecil (alihan) kerana disembah dan dipuja. Orang musyrik menjadikan Tuhan kecil ini sekutu dan tandingan bagi Allah SWT.

Kaum musyrik

Pada era pertama kerasulan baginda SAW hingga lebih separuh tempoh perjuangannya, Nabi Muhammad SAW sendiri menghadapi kaum penyembah berhala, bahkan setelah berhijrah ke Madinah.

Kaum musyrikin merupakan musuh utama yang dihadapinya. Penentangan mereka dapat dipadamkan ketika umat Islam berjaya membebaskan Mekah pada tahun 8 Hijrah serta menghancurkan patung berhala di sekitar Kaabah.

Sejak itu, berakhirlah era pemujaan berhala di tempat suci itu.

Dakwah nabi

Dakwah utama para rasul adalah untuk menanam akidah tauhid dan mengikis fahaman keberhalaan. Umat Nabi Nuh AS memuja berhala. Dalam al-Quran disebut nama berhala, antaranya Wadd, Suwaa, Yaghuth, Y'uuqdan Nasr (rujuk Nuh: 23)

Nabi Hud AS pula mendapati bahawa kaumnya ('Ad) menyembah banyak tuhan. Ketika Nabi Hud AS menyeru kepada tauhid, mereka menjawab: Wahai Hud, engkau tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami dengan sebab kata-katamu itu! (Hud: 53 )

Dosa terbesar

Berhala sembahan dianggap sebagai tandingan bagi Allah SWT kerana orang musyrik yang menyembah patung berhala yakin bahawa sembahan patung itu memiliki ciri ketuhanan.

Dosa syirik ini sangat dilarang dan tidak akan diampuni Allah SWT.

Justeru inilah yang sangat dilarang oleh Allah SWT. Maka sangat wajarlah jika syirik merupakan dosa paling berat antara semua dosa dan kejahatan.

Al-Quran menegaskan bahawa Allah SWT tidak akan mengampuni dosa syirik dan perbuatan syirik ialah dosa yang sangat besar.



Utusan Malaysia Online Agama 10/07/2013

Kekeliruan yang merugikan

DIsaat menjelang Ramadan, kadang-kadang umat Islam sering terkeliru atau tidak mengetahui beberapa ibadah yang terdapat dalam bulan Ramadan.

Maka terdapat segelintir umat Islam mengabaikannya dengan tidak bertanyakan kepada ustaz atau tokoh agama, akhirnya mereka hanya berlapar dan dahaga sahaja tetapi tidak mendapat keberkatan dalam bulan Ramadan.

Sehubungan itu, di sini saya jelaskan lima masalah yang sering berlaku terhadap umat Islam untuk dijadikan panduan berguna agar tidak lagi terkeliru pada masa akan datang.


Ibadah puasa perlu diajar sejak kecil lagi. - Gambar hiasan

1 Terlupa niat

Niat mempunyai kedudukan dan peranan yang sangat penting di dalam ibadat kerana niat akan menentukan maksud dan matlamat sesuatu ibadat itu dilakukan di samping nilai ibadat kita akan dinilai oleh Allah berdasarkan niat kita melaksanakannya. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menekankan perkara ini.

Berkaitan dengan ibadat puasa, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar maka tiada puasa baginya." (riwayat Imam hadis yang empat dan lafaz daripada Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Niat merupakan rukun puasa dalam mazhab Syafie. Terdapat tiga perkara yang perlu diambil perhatian agar niat berpuasa menepati kehendak syarak di dalam mazhab Syafie.

Pertama, ia dilakukan pada malam hari sebelum waktu Subuh (tabyiit), ditentukan jenis puasanya (ta'yiin) dan ia mesti diperbaharui pada setiap hari (tajdid dan tikrar) kerana dalam mazhab Syafie ibadah puasa merupakan ibadah berasingan setiap hari (mustaqillah).

Niat itu tempatnya di dalam hati dan tidak disyaratkan melafazkannya. Namun melafazkannya itu memudahkan untuk kita fokus niat kita kepada ibadat yang kita laksanakan.

Ini bermakna jika kita terlintas dalam hati kita untuk berpuasa pada waktu dan kadar yang disebutkan tadi, maka ia telah dikira berniat walaupun ia tidak melafazkannya.

Begitulah sebalik jika seseorang itu langsung tidak terlintas di dalam hatinya untuk berpuasa keesokkan harinya walaupun ia melakukan aktiviti seperti seolah-olah bangun sahur maka ia tidak dikira berniat.

Perkara yang disebutkan tadi adalah berkaitan dengan niat puasa fardu Ramadan tetapi untuk puasa sunat tidak disyaratkan tabyiit dan ta'yiin. Berdasarkan hadis riwayat al Dar Qutni bahawa Rasulullah SAW berpuasa apabila Aisyah memaklumkan bahawa tiada makanan di rumah mereka pada awal pagi.

2 Suntikan perubatan sebelum berbuka puasa

Persidangan Fiqh Antarabangsa (al Majma al Fiqhi al Islami) [no 93 (1/10) pada 23 -28 Safar tahun 1418 Hijrah bersamaan 28 Jun - 3 Juali 1997] telah membuat keputusan bahawa suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah tidak membatalkan puasa namun memberi makan melalui suntikan pembuluh darah seperti suntikan glukos yang mengenyangkan dikira membatalkan puasa.

3 Berbuka puasa sebelum waktu berbuka puasa

Barang siapa yang berbuka puasa kerana ia menyangka sudah masuk waktu Maghrib. Namun jika ia mendapati selepas itu waktu Maghrib belum lagi masuk semasa ia berbuka puasa maka mengikut jumhur al ulama wajib ia mengqadha puasanya itu kerana terdapat kaedah "tidak dikira sangkaan yang jelas salahnya." Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al Imam al Baihaqy dalam al Sunan al Kubra.

4 Bolehkah buka puasa jika musafir dua marhalah walaupun naik kapal terbang?

Allah SWT memberi keringanan (rukhsah) untuk berbuka puasa kepada orang-orang yang musafir melebihi dua marhalah dengan tujuan bukan maksiat walaupun perjalanan itu tidak mendatangkan sebarang kesusahan ataupun kesukaran (masyaqqah).

Keringanan ini didasari dengan sebab perjalanan (safar) bukannya kesukaran (masyaqqah). Ini disebabkan perjalanan adalah satu sifat yang zahir yang menyeluruh dan boleh diletakkan hukum berdasarkan kepada sifat perjalanan itu.

Hukum rukhsah itu terpakai selama mana ada unsur perjalanan dilakukan dan terhenti hukum itu apabila tidak berlaku (safar), berdasarkan kaedah al hukmu yaduuru ma'a illatihi wujuudan wa adaman.

Namun jika musafir berkenaan berhasrat untuk meneruskan puasanya maka hasratnya itu adalah lebih baik. Firman Allah: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. (al Baqarah: 184)

5 Perempuan datang haid tetapi suci waktu tengah hari tanpa makan atau minum, bolehkah dia berpuasa?

Apabila seseorang wanita suci haidnya sebelum waktu Subuh, dia masih boleh berpuasa walaupun belum mandi wajib lagi. Tetapi jika suci haidnya di pertengahan harinya maka ia tidak boleh memulakan puasanya di saat ia suci selepas Subuh. Wajib ke atasnya untuk mengqadakan puasanya.

Mengikut Mazhab Maliki, al Syafie dan salah satu pandangan daripada Mazhab Imam Ahmad wanita yang kedatangan haid berkenaan dibenarkan makan dan minum di siang hari dengan syarat tidak secara terang-terangan untuk mengelakkan difitnah dan sangkaan buruk orang lain yang tidak mengetahui kedudukan dirinya yang tidak boleh berpuasa.

Namun ada juga dalam kalangan ulama berpendapat wanita berkenaan tetap kena menahan diri daripada makan dan minum kerana menghormati bulan Ramadan yang mulia. Pun begitu, pandangan ini dipertikaikan kerana tiada dalil yang jelas melarang mereka mengambil makanan dan minuman.

ZAMRI HASHIM ialah Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Perak. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/07/2013

Ramadan bukan pesta makan

BULAN Ramadan yang dinanti akhirnya tiba. Pada bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan diikat. Ini ialah sebuah kiasan untuk menggambarkan kemeriahan bulan suci ini dengan ibadah. Sekali gus melambangkan lemahnya kuasa nafsu dan syaitan dalam diri seorang Muslim yang berpuasa.

Sesiapa yang menyedari kebesaran Ramadan idak akan membiarkannya berlalu sia-sia. Sebaliknya, mereka akan mendapat motivasi untuk memanfaatkan setiap saat yang berlalu dalam Ramadan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Imam Abu Al-Qasim Al-Qusyairi bercerita: "Setiap kali tiba bulan Ramadan, Abu Bakar Al-Syibli meningkatkan amalan ibadahnya. Ia berkata: Ini ialah bulan yang diagungkan Allah. Maka aku mesti menjadi orang yang paling pertama mengagungkannya."

Demikian dalam kitab Al-Risalah Al-Qusyairiah. Abu Bakar al-Syibli ialah seorang ulama besar abad keempat hijrah.

Hikmah lapar

Ibadah yang paling utama pada bulan Ramadan ialah berpuasa. Kita diharamkan untuk makan dan minum kecuali bagi yang uzur. Itu kerana perut yang kosong dan rasa lapar ialah asas terpenting untuk proses pembersihan jiwa.

Kenikmatan ibadah sangat ditentukan oleh sejauh mana kita merasakan lapar dan dahaga.

Apabila tubuh terasa lemah, fikiran menjadi jernih dan ibadah terasa nikmat.

Kita akan merasakan indahnya terawih, membaca al-Quran, bangun tahajud di sepertiga malam, istighfar di waktu sahur dan pelbagai ibadah lainnya.

Maka itu, kita dituntut supaya pandai mengekang nafsu di waktu siang dengan memperbanyak aktiviti ibadah dan mengurangkan tidur.

Selain itu, kita juga mesti mahir mengikat nafsu di waktu malam terutama saat berbuka dengan mengawal pemakanan dalam had bersederhana.

Berkata Imam Al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din: "Di antara adab puasa ialah tidak memperbanyak tidur di waktu siang agar terasa lapar, haus dan kelemahan tubuh. Dengan begitu, hati akan menjadi terang. Disukai juga agar dikekalkan sebahagian daripada kelemahan tersebut pada waktu malam agar terasa ringan bangun tahajud dan membaca wirid."

Bulan makan

Sayangnya, sebahagian umat Islam masih menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan makan. Pelbagai juadah yang jarang dijumpai pada bulan-bulan yang lain dapat ditemui pada bulan ini.

Sejurus setelah azan Maghrib berkumandang, nafsu yang sejak pagi dikekang menjadi sangat liar. Bahkan lebih liar daripada bulan-bulan sebelumnya.

Selepas tarawih, pesta makan dilanjutkan hingga sukar bernafas kerana perut penuh dengan makanan dan minuman.

Puasa seperti ini sudah pasti bukan menjernihkan hati, malah menggelapkannya.

Saya pasti bukan seperti ini puasa yang dikehendaki oleh syarak. Sebab objektif puasa adalah untuk menciptakan insan bertakwa yang pandai mengekang nafsunya bukan hanya di waktu siang, namun juga di waktu malam.

Saatnya kita mengubah Ramadan kita menjadi lebih bermakna. Salah satu caranya adalah dengan meletakkan niat memperbaiki diri pada awal bulan Ramadan ini.

Bayangkan Ramadan ini ialah Ramadan kita yang terakhir. Setelah sebelas bulan memperturutkan nafsu, apa susahnya mempersembahkan satu bulan sahaja untuk Allah?

Semoga Allah selalu menunjukkan jalan yang menuju keredaan-Nya.



UMAR MUHAMMAD NOOR kini sedang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sebarang kemusykilan berkaitan ibadah harian boleh diajukan di www.facebook.com/umarmuhammadnoor Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/07/2013

Ramadan bulan al-Quran

HARI ini merupakan permulaan bulan Ramadan. Tentunya ini amat dinanti-nantikan oleh mereka yang sukakan ibadat. Tawaran yang Allah berikan adalah amat istimewa. Gandaan pahala diberikan pada setiap amalan dengan jumlah yang tinggi. Maka perlulah setiap Muslim merebut peluang sekali setahun ini.

Ramadan istimewa kerana merupakan pilihan Allah SWT untuk menurunkan al-Quran. Firman-Nnya yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk kepada sekelian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 184)

Al-Quran yang sampai kepada kita pada hari ini diturunkan secara sekali gus pada bulan Ramadan dari Luh Mahfuz ke Bait-'Izah di langit dunia. Dari situlah al-Quran diturunkan ke pada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur mengikut peristiwa yang berlaku selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada bulan Ramadan ialah tadarus al-Quran. Baginda bertadarus al-Quran dengan Jibril. Maksud tadarus bukan membaca sahaja, tetapi merangkumi membaca, mengkaji, memahami dan menghayati isi kandung al-Quran.

Justeru, selain kita membaca al-Quran di hadapan guru dengan penekanan kepada sebutan yang betul seperti teguran pada ikhfa', idgham, mad, sifat huruf dan makhraj, kita juga perlu memahami kandungan ayat yang kita baca.

Ramai di kalangan kita suka membaca al-Quran berbanding memahami maksud ayat-ayatnya.

Keazaman yang perlu ada dalam diri sebelum datang Ramadan ialah khatam al-Quran paling kurangnya sekali sepanjang Ramadan. Teori mudahnya ialah membaca empat halaman setiap kali selepas solat fardu atau sebelumnya.

Jika membaca empat halaman untuk setiap kali solat lima fardu dengan istiqamah setiap hari kita akan mengkhatamkan pada hari ke-30. Ini kerana setiap juzuk mempunyai 20 halaman.

Jika anda berazam untuk khatam dua kali pada Ramadan kali ini, gandakan bacaan kepada lapan halaman setiap kali selepas solat fardu. Bermaksud pada 15 Ramadan anda khatam kali pertama seluruh al-Quran dan penghujung Ramadan anda khatam untuk kali kedua.

Teori ini boleh digunakan untuk khatam kali ketiga dan seterusnya dengan penambahan empat halaman setiap hari bagi setiap khatam yang diinginkan.

Sorotan kepada amalan ulama di zaman silam di bulan Ramadan, mendapati mereka mengambil berat tentang khatam al-Quran. Sebahagian mereka menumpukan kepada bacaan al-Quran melebihi daripada pengajaran.

Imam Syafie khatam al-Quran sebanyak 60 kali. Timbul persoalan apakah dibolehkan membaca al-Quran dengan begitu cepat sedangkan Rasulullah SAW bersabda tidak difahami mengkhatam al-Quran kurang dari tiga hari.

Dalam hadis riwayat Ahmad dan al-Nasai, Baginda SAW bersabda kepada Abdullah Ibnu Amru Ibnu al-'As: Bacalah al-Quran dalam tempoh 30 hari. Abdullah menjawab: "Saya masih mampu melakukan lebih daripada itu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Bacalah dalam tempoh 20 hari."

Abdullah menjawab: "Saya boleh melakukan lebih daripada itu ya Rasulullah."

Baginda bersabda: "Bacalah Quran dalam tempoh 10 hari. Abdullah menjawab: "Saya boleh lakukan lebih daripada itu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Bacalah dalam tempoh tujuh hari." Abdullah menjawab: "Saya boleh lakukan lebih daripada itu." Baginda enggan menjawab.

Berdasar kepada hadis ini dan hadis yang menyatakan tidak difahami khatam Quran kurang dari tiga hari dipadukan dengan amalan ramai ulama yang khatam al-Quran setiap hari.

Imam al-Zahabi menjawab khatam al-Quran setiap hari ialah amalan yang boleh dilakukan, namun mengikuti sunnah adalah lebih awla dan utama.

Imam Ibnu Kathir ketika mengulas cerita Uthman Ibnu Affan mengkhatam al-Quran dalam satu rakaat, menyatakan mungkin hadis berkaitan larangan membaca al-Quran kurang dari tiga hari tidak sampai kepada mereka atau mungkin mereka memahami dan tadabur apa yang mereka baca dengan kelajuan sebegitu. Itu semua Allah SWT sahajalah yang mengetahuinya.



KHAIRUL ANUAR MOHAMAD l PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/07/2013

Puasa untuk Allah

Puasa merupakan ibadah yang tidak asing bagi seluruh umat Islam. Terdapat pelbagai bentuk ibadah puasa, namun puasa yang difardukan dalam bulan Ramadan istimewa di hati umat Islam.

Allah SWT telah memfardukan kepada hamba-Nya agar berpuasa dalam bulan Ramadan sebagaimana firman-Nya: Wahai orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Pada surah yang sama, ayat ke 185 pula Allah berfirman: Sesiapa antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu.

Bulan Ramadan juga merupakan bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT kerana di dalam bulan inilah al-Quran diturunkan sehinggakan ia dikenali sebagai bulan al-Quran.

Dalam bulan Ramadan, malaikat Jibril akan membacakan al-Quran dan menyemak bacaan Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitab sahihnya.

Kelebihan bulan Ramadan yang tidak ada pada bulan yang lain ialah dibelenggunya syaitan, dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Rasulullah SAW bersabda: Apabila datang bulan Ramadan pintu-pintu syurga dibuka sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sementara dalam riwayat lain terdapat tambahan lafaz: "Maka Allah membebaskan orang-orang dari neraka dan ia berlangsung setiap malam (dalam Ramadan)." (riwayat Ibnu Majah, Al-Tirmizi dan Ibnu Khuzaimah)

Malam Lailatulqadar turut berada dalam bulan Ramadan. Allah SWT telah memilih malam ini untuk diturunkan al-Quran serta malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar dan adakah engkau mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. (al-Qadr: 1-3)

Disebabkan itu Rasulullah menekankan umatnya untuk mencari malam Lailatulqadar dengan memperbanyakkan amalan pada sepuluh malam atau tujuh terutama pada malam yang ganjil terakhir sebagaimana yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Di malam tersebut umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan ibadah terutama solat di malam hari.

Puasa bertindak sebagai benteng seorang Muslim terhadap ujian nafsu dan syahwat. Disebabkan itu mereka yang tidak mampu untuk berkahwin digalakkan memperbanyakkan puasa. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai sekalian anak muda, barang siapa di antara kalian mampu, hendaklah dia menikah kerana sesungguhnya itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Barang siapa tidak mampu hendaklah dia berpuasa kerana puasa mampu menjadi benteng baginya." (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Puasa memberikan ganjaran yang besar di sisi Allah. Mulut orang yang berpuasa pula di sisi Allah SWT lebih harum daripada minyak misk (kasturi). Rasulullah SAW bersabda: Sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada harumnya minyak misk (kasturi), (Allah SWT berfirman) kerana dia meninggalkan makanannya, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya dan setiap satu kebaikan dibalas dengan 10 kebaikan yang serupa. (Muttafaq 'alaihi).

Kelebihan orang yang berpuasa yang tidak diterima oleh orang lain ialah ganjaran syurga yang akan dimasuki melalui sebuah pintu yang digelar Al-Rayyan. Pintu syurga ini hanya akan dilalui oleh orang yang berpuasa dan akan ditutup selepas mereka melaluinya.

Rasulullah SAW bersabda: Di dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat nanti tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melalui pintu itu kecuali para soimun (orang-orang yang berpuasa). Tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana para soimun? Maka para soimun berdiri menghadap. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada seorangpun yang masuk melalui pintu tersebut. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).



MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR PENULIS dari Kuliyyah Islamiyyah 'Alamiyyah, Pusat Pengajian Islam Kontemporari, Gombak. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/07/2013