July 11th, 2013

Kanak-kanak tak boleh tentu agama

Mengikut undang-undang Islam, fuqaha telah berijmak bahawa apabila kedua-dua ibu bapa memeluk agama Islam, secara automatik agama kanak-kanak bawah umur juga adalah Islam. Permasalahan timbul apabila salah satu pihak memeluk agama Islam dan pihak satu lagi kekal bukan Islam.

Fuqaha berbeza pendapat mengenai agama kanak-kanak jika ibu atau bapa yang memeluk agama Islam. Pandangan majoriti yang terdiri daripada mazhab Hanafi, Syafii dan Hanbali berpendapat agama bagi kanak-kanak adalah mengikut pihak yang memeluk Islam tanpa mengira ibu atau bapa.

Walau bagaimanapun, mengikut mazhab Maliki, agama seseorang kanak-kanak mengikut bapanya jika bapa yang memeluk agama Islam kerana identiti dan keturunan nasab adalah melalui bapa.

Meskipun begitu, tidak ada pandangan muktamad dalam hal ini kerana tiada ayat al-Quran yang jelas menerangkan mengenainya. Fuqaha juga tidak sepakat sama ada seseorang kanak-kanak boleh memeluk sesuatu agama termasuk agama Islam.

Pandangan fuqaha

Ramai fuqaha berpandangan kanak-kanak boleh memeluk agama Islam berdasarkan ada sahabat Nabi Muhammad SAW yang memeluk agama Islam ketika usia kanak-kanak. Antaranya, Ali bin Abi Talib, Zubayr bin al-Awwam, Abdullah ibn Umar dan Asmak binti Abu Bakar.

Justeru, kanak-kanak tidak boleh menentukan agama. Ini ditambah pula kanak-kanak itu fitrah (bersih daripada dosa) dan tidak ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) tanpa mengira amalan sama ada dia seorang Islam atau tidak. Hadis ini menyebut ibu bapa.

Secara umum agama seseorang kanak-kanak mengikut agama ibu bapa Islam. Tetapi keadaan berbeza jika berlaku pertikaian antara ibu atau bapa dalam menentukan agama kanak-kanak itu.

Oleh itu, cara terbaik dalam menangani kemelut ini ialah dengan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat ketetapan yang menjurus kepada keadilan dan kebajikan kanak-kanak berkenaan.

Dalam konteks di Malaysia, Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

Perlu dimaklumkan pada masa ini ada negeri yang memperuntukkan keperluan keizinan ibu dan bapa, ada juga negeri yang hanya memperuntukkan keperluan keizinan ibu atau bapa dalam pengislaman kanak-kanak bawah 18 tahun.

Contohnya di Selangor, Seksyen 117 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 mensyaratkan keizinan ibu dan bapa atau penjaga dalam pemelukan Islam kanak-kanak bawah 18 tahun.

Manakala bagi Wilayah Persekutuan, Kedah dan Perak tidak mensyaratkan persetujuan ibu dan bapa atau penjaga. Cukup dengan persetujuan salah satu daripada ibu atau bapa atau penjaga dalam perkara ini.

Ini dapat dilihat dalam Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993, Seksyen 80 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Kedah 2008, dan Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.

Berlaku ketidaksegaraman peruntukan dalam mendapat keizinan bagi pemelukan agama Islam bagi kanak-kanak bawah 18 tahun.

Apa yang penting dalam kemelut ini ialah kebajikan kanak-kanak perlu diambil perhatian melebihi semua perkara.

Masalah dari segi pendidikan agama Islam

Ini membawa beberapa permasalahan mendatang. Begitu juga, menentukan agama kanak-kanak mengikut agama ibu atau bapa yang bukan Islam akan membawa masalah pada masa depan dari segi pendidikan agama Islam.

Adalah lebih baik penentuan agama kanak-kanak mengambil kira siapakah yang berhak menjaga kanak-kanak itu.

Penyelesaian kepada pertikaian ini bukanlah satu perkara mudah. Ia memerlukan kerjasama semua pihak terutama ibu bapa atau penjaga dan peruntukan undang-undang yang melihat kepada kebajikan kanak-kanak itu.

Hakim hendaklah menggunakan kebijaksanaan yang tinggi dengan mengambil kira kedudukan agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Adalah dicadangkan supaya peruntukan mengenai keizinan dari ibu bapa atau penjaga dalam pemelukan Islam kanak-kanak diselaraskan.

Berita Harian Online Agama 11/07/2013

Ibadah bukan hanya di tikar sembahyang

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya merebut peluang terbentang hanya setahun sekali pada Ramadan. Sesiapa tidak mempedulikan kedatangan Ramadan, sebenarnya menolak kelebihan yang hanya disediakan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, dan berpuasa di bulan Ramadan, maka telah layak baginya untuk dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga.” (Riwayat Bukhari)

Orang beriman gembira sambut Ramadan

Orang yang bakal memperoleh kejayaan sepanjang Ramadan adalah mereka yang menghargai kedatangan Ramadan. Orang beriman menyambutnya dengan perasaan gembira dan jiwanya berkobar-kobar menghidupkan seluruh waktu bulan Ramadan dengan ibadat.

Sabda Rasulullah SAW: “Dikunjungi bulan Ramadan, penghulu segala bulan, ucaplah selamat datang atas ketibaan bulan ibadat yang penuh berkat dan rahmat, maka layanlah tetamu yang sedang datang itu.” (Riwayat Thabrani)

Layanan terhadap Ramadan bermakna tidak mempersia-siakan masa dan peluang melakukan ibadat. Inilah peluang untuk menambah pahala dan menampung kekurangan atau kecacatan ibadat yang dilakukan sepanjang 11 bulan lalu.

Sesungguhnya konsep ibadat yang boleh dilakukan oleh setiap Muslim untuk menambah pahala pada bulan Ramadan sungguh luas. Ia bukan sekadar menunaikan puasa pada sebelah siangnya dan bertarawih pada malamnya.

Sesiapa melakukan perkara menepati konsep apa yang disuruh dan menjauhkan yang dilarang, sebenarnya dia telah melakukan satu kebaikan atau ibadat. Melakukan kerja dan urusan kehidupan seharian juga dikira ibadat jika dilakukan mengikut syariat.


Lakukan perkara berfaedah


Oleh itu, tindakan sesetengah individu menghentikan atau mengurangkan tumpuan kepada urusan kehidupan seharian pada Ramadan bukan satu langkah bijak. Apa yang sepatutnya dilakukan ialah memenuhi setiap waktu dengan perkara berfaedah.

Peluang menghampirkan diri kepada Allah SWT bukan hanya ketika di tikar sembahyang atau beriktikaf di masjid. Jika benar-benar mencari peluang kebaikan, di mana-mana saja kita berada boleh mendampingi Allah SWT dengan selalu mengingati-Nya, berzikir, beristighfar dan doa.

Sabda Rasulullah SAW: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan permintaannya, jika ada orang yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Riwayat Tirmizi)

Sesiapa menghampiri Allah SWT dengan apa sekalipun, maka pasti Allah SWT menghampirinya dengan jarak berganda. Sudah pasti sesiapa merasakan dirinya sentiasa hampir dengan Allah SWT, mendapat petunjuk dan dilindungi dirinya daripada melakukan apa yang bertentangan syariat.

Kelebihan ibadat puasa menjadikan orang berpuasa mendapat rahmat sehingga dibuka seluas-luasnya pintu langit untuk menerima segala kelebihan daripada Allah SWT. Ramadan bulan rahmat bagi sesiapa memahami peluang tersedia. Sebaliknya, bagi orang lemah imannya, tidak ada peluang untuk mereka rebut.

Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 11/07/2013

Puasa benteng pelbagai keburukan

BERPUASA merupakan benteng yang melindungi manusia daripada pelbagai keburukan. Untuk mendapatkan puasa yang sempurna dan diterima oleh Allah SWT, maka syariat yang telah ditetapkan hendaklah dipatuhi sebaiknya.

Ketika sedang berpuasa sama ada puasa di bulan Ramadan mahupun puasa selainnya, kita dituntut untuk menahan diri dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat. Antaranya ialah:

1Makan dan Minum

Antara perkara utama yang dilarang ketika berpuasa ialah makan dan minum dengan sengaja sebagaimana yang telah sedia maklum takrifan puasa itu sendiri ialah menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari fajar hingga terbenam matahari dengan mematuhi syarat-syarat puasa yang telah ditetapkan syarak (Al-Jazairi, Al-Fiqh 'ala Mazahib al-Arba'ah)

Oleh itu, diwajibkan kepada mereka yang berpuasa untuk imsak (menahan diri daripada makan dan minum) selama satu hari penuh sehinggalah tibanya waktu berbuka puasa. (Syaikh Arsyad al-Banjari, Sabil al-Muhtadin)

Imsak ketika puasa merupakan kefarduan yang telah ditunjuk oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan as-Salafussoleh sehinggalah diwarisi hingga kini.

2Bersetubuh di siang hari.

Antara objektif puasa ialah untuk mengawal nafsu syahwat manusia. Kerana itu Allah SWT telah melarang persetubuhan antara suami dan isteri dan memberi keringanan melakukannya setelah tibanya waktu berbuka puasa.

Firman Allah SWT bermaksud: Kamu dihalalkan bersetubuh dengan isteri kamu pada malam puasa. Mereka sebagai pakaian kamu dan kamu pakaian bagi mereka. (Al-Baqara: 187)

Dalam Mazhab Syafie, mereka yang melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadan diwajibkan kifarat dan mengqada puasanya.


Berpuasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga. - Gambar hiasan

3Az-Zurr (Menipu).

Berpuasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja bahkan turut dilarang untuk menipu, baik dalam ucapan mahupun perbuatan. Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang tidak meninggal perkataan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak memerlukannya (amalan puasanya) sekalipun dia telah meninggalkan makan dan minumnya (berpuasa). (riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

Ini menunjukkan bahawa walaupun puasa seseorang itu sah di sisi syarak, namun ia tidak diterima oleh Allah SWT. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW: "Berapa ramai orang yang berpuasa hanya mendapat rasa lapar dan dahaga." (riwayat Ibnu Majah)

Oleh itu, kita hendaklah menahan diri dan berusaha daripada berkata atau berbuat dusta. Ia bukan sahaja mengurangkan nilai ibadah puasa bahkan dilarang keras dalam agama sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Tidak termasuk dalam golongan kami orang yang menipu. (riwayat Al-Bukhari dan Ibnu Majah)

4Rafath (Perkataan yang kotor dan sia-sia).

Ibadah puasa mendidik pelakunya untuk menjaga kebersihan dalaman dan luaran. Mereka yang berpuasa bukan sahaja dilarang menipu bahkan dilarang daripada berkata-kata dengan perkataan yang kotor dan sia-sia seperti menghina, mengumpat, mencarut dan sebagainya.

Apabila berhadapan dengan perkara seperti ini ketika berpuasa maka hendaklah berkata bahawa dirinya sedang berpuasa. Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: Puasa itu adalah benteng, maka apabila suatu hari seorang daripada kalian sedang berpuasa, maka janganlah dia berkata rafath dan bertengkar sambil berteriak. Jika ada orang lain yang menghinanya atau mengajaknya berkelahi maka hendaklah dia mengatakan "Aku orang yang sedang berpuasa." (Muttafaq'alaihi)

Menurut Mazhab Syafie perbuatan rafath ketika berpuasa di bulan Ramadan adalah dimakruhkan. (Al-Fiqh 'ala Mazahib al-Arba'ah)

Ulama Nusantara, Syaikh Arsyad al-Banjari dalam kitabnya Sabil al-Muhtadin lil tafaqqahu 'amr ad-din menegaskan bahawa sunat muakkad bagi orang yang berpuasa memelihara lidahnya daripada menghamburkan kata-kata yang tidak baik kepada orang lain meskipun kata-katanya itu benar dan dia di pihak yang benar.

Perkara-perkara seperti ini hendaklah ditinggalkan supaya ibadah puasa dapat dilakukan dengan sempurna zahir dan batin.



MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 11/07/2013

Memulihkan kelesuan rohani

PUASA yang kita jalani hari ini sebagai salah satu Rukun Islam bertujuan agar kita bertakwa kepada Allah SWT. Sebagai seorang Muslim, kita wajib menerima dan menyambutnya dengan rasa penuh kesyukuran. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang senang dengan ketibaan Ramadan, maka jasadnya diharamkan Allah daripada api neraka."

Bulan Ramadan merupakan kesempatan yang berharga bagi kaum Muslimin setelah selama sebelas bulan mereka disibukkan dengan pelbagai jenis kesibukan duniawi, untuk menemukan kembali semangat spiritual mereka yang hilang.

Menahan lapar daripada makan, menahan diri daripada berbicara perkara yang sia-sia, beriktikaf di masjid, membaca al-Quran, mengerjakan amal-amal kebajikan, bersilaturahim, memberikan infak dan sedekah dapat menjadi ubat penawar bagi pelbagai penyakit masyarakat Muslim, baik yang boleh dilihat mahupun yang tersembunyi.

Ramadan bulan ibadah, barakah, rahmat dan menjadi landasan perubahan bagi umat Muslimin untuk mewujudkan diri sebagai insan kamil serta menjauhkan manusia daripada malapetaka.

Ukuran pahala puasa seseorang bukan sekadar lapar dan dahaga, tetapi yang terpenting ialah kesanggupan kita untuk menahan diri daripada mengikut hawa nafsu serakah yang boleh menghancurkan segala amal ibadah.

Mengapa Adam masih melanggar larangan Allah terhadap sebatang pohon, walhal segala kenikmatan yang ada di syurga sudah tersedia untuk dinikmatinya? Kerana Adam tidak dapat menahan diri dan baginda tidak puas dengan apa yang ada.

Dan kita sebagai anak cucunya mempunyai potensi untuk melakukan perbuatan seumpama itu.

Nabi SAW pernah mengatakan, kalau kita sedang berpuasa, tiba-tiba kita lupa lalu makan dan minum, maka puasa itu tidak batal. Ini jelas menunjukkan bahawa pahala puasa tidak bergantung kepada kadar kelaparan dan kehausan tetapi bergantung kepada sikap dalam diri (jiwa) serta keimanan yang mendalam terhadap Allah.

Menurut Murtadha Muthahhari, salah satu tahap dalam wilayah atau kewalian seseorang adalah tahap ketika dia sudah boleh mengendalikan hawa nafsunya. Dia tidak akan marah ketika seharusnya marah. Dia tidak ingin membalas dendam ketika semestinya dia membalas dendam. Dia tidak sakit hati ketika orang menyakiti hatinya.

Nafsunya sudah terkawal. Menahan makan dan minum serta menahan diri daripada perbuatan zina sudah termasuk tingkat wilayah yang paling awal. Jadi, pada saat bulan puasa, insya-Allah, kita akan menjadi wali-wali Allah pada tingkat yang paling asas.

Di sepanjang Ramadan umat Islam dianjurkan membanyakkan tafakur, iktikaf serta melakukan solat malam (qiamullail), solat tarawih dan sembahyang sunat yang lainnya.

Nabi ketika solat tarawih, selain melakukan di masjid, Baginda juga berbuat demikian di rumah ketika larut malam. Di waktu malam yang bening inilah satu waktu untuk kita berqiamullail dan mengintropeksi atau muhasabah diri secara total tentang siapa diri kita yang sebenar.

Apakah benar kita ini orang yang baik dan apakah benar semua kebaikan yang kita lakukan itu adalah benar-benar satu kebaikan? Kita diajar oleh al-Quran untuk tidak terlalu memastikan bahawa diri kita yang benar dan orang lain semuanya salah.

Kita dituntut agar sentiasa berprasangka baik terhadap sesama Muslim dan dalam agama kita, perbuatan menghina orang lain sebenarnya juga menghina diri sendiri. Sesungguhnya manusia itu semuanya sama di sisi Allah SWT.

Oleh hal yang demikian itu, Nabi menganjurkan kepada semua manusia, terutama orang yang sedang berpuasa agar banyak melakukan introspeksi diri sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan introspeksi diri, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu."

Berhubung aspek sosial, orang lebih senang melakukan penilaian terhadap orang lain daripada melakukan hal yang sama terhadap dirinya. Perkara ini berlaku disebabkan seseorang itu ‘ditagih’ untuk bersikap tulus jujur dan rendah hati untuk menilai dan melihat diri sendiri. Oleh sebab lemah menilai diri sendiri, maka seseorang itu sering memandang dirinya lebih suci dan bersih daripada orang lain.

Puasa di bulan Ramadan adalah satu-satunya kesempatan yang baik sekali bagi kita untuk merenung kembali bagaimana kita seharusnya menjaga diri dan membebaskan diri daripada penyakit hawa nafsu yang tidak terkawal dan sentiasa tidak puas.

Ramadan bukan sekadar bulan suci tetapi juga sebagai bulan penyucian diri. Kita harus pulihkan semula kelesuan rohani yang menyebabkan nilai kemanusiaan yang indah terhakis.

Kita berusaha membersihkan diri sendiri dengan harapan kalau kita menjadi bersih, kita akan memperoleh syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa Dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Malaysia Online Bicara Agama 11/07/2013