July 13th, 2013

Istiqamah amal kebaikan inti pati ajaran Islam

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami adalah Allah, dan kemudian mereka tetap di atas jalan yang betul, turunlah kepada mereka malaikat dengan berkata: Jangan kamu bimbang dan janganlah kamu berduka cita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. Sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah Fussilat, ayat 30-32)

Daripada Abu Amru atau Abu Amrah, nama sebenarnya Sufyan bin Abdullah: “Saya berkata: Wahai utusan Allah, ajarkan saya satu ucapan berkenaan Islam yang tidak perlu saya bertanya kepada orang lain lagi. Nabi Muhammad menjawab: Saudara ucapkan, saya percaya kepada Allah. Kemudian saudara berikan komitmen saudara pada ucapan itu.” (Riwayat Muslim)

Amalan dilakukan berterusan

Abu Hurairah berkata, Nabi Muhammad bersabda: “Dekatkan diri saudara kepada Allah dengan melakukan amalan secara sederhana, kemudian saudara berikan komitmen saudara pada amalan itu dengan melakukannya secara berterusan.

Ketahuilah tidak ada seorang pun yang dapat diselamatkan oleh amalannya itu. Sahabat bertanya: Bagaimana pula dengan tuan wahai utusan Allah? Saya pun begitu juga melainkan sekiranya Allah melindungi saya dengan rahmat-Nya dan kebaikan-Nya, jawab Nabi Muhammad.” (Riwayat Muslim)

Ulama berpendapat makna komited atau istiqamah ialah sentiasa melazimkan diri mentaati Allah. Istiqamah adalah inti pati ajaran Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: “Oleh itu, hendaklah kamu (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul seperti yang diperintahkan kepadamu.” (Surah Hud, ayat 112)


Berita Harian Online Agama 13/07/2013

Puasa tak dipertonton, elak sifat riak

Keikhlasan hati melakukan ibadat dibalas sehingga 700 kali ganda

Puasa adalah ibadat yang menampilkan kerahsiaan antara Allah dan hamba-Nya kerana Allah sendiri akan menentukan ganjaran pahala bagi mereka yang berpuasa.

Kelebihan ini telah digambarkan oleh Baginda SAW dalam sabda: “Pada hari kiamat nanti, ada satu golongan yang dianugerahkan kepada mereka sayap seumpama burung dan mereka bebas ke sana ke mari menikmati keindahan syurga. Mereka ditanya bagaimanakah mereka dapat masuk ke syurga dan mendapat keistimewaan ini. Mereka menjawab : “Kami tidak pernah melihat timbangan dan titian sirat, tetapi kami dapat beribadat tanpa diketahui orang lain.” (Zabdah Al-Wai’zin)

Kita sering melihat manusia melakukan upacara ibadat kerana berhala, matahari, bulan, pokok dan sebagainya, namun tiada yang berpuasa untuk perkara sedemikian. Maka, puasa kita hanyalah untuk Allah semata-mata dan berhak mendapat ganjaran berlebihan daripada-Nya.

Puasa tidak dapat menjana perasaan riak serta sifat mazmumah lain kerana segala-galanya dipandu oleh hati. Puasa tidak memerlukan pergerakan anggota seperti ibadat lain kerana puasa hanya memerlukan niat di hati.

Keikhlasan hati

Berbanding ibadat lain yang mana perbuatannya dapat dilihat serta dipertontonkan, puasa yang tidak dipertontonkan menyelamatkan daripada wujud perasaan riak.

Ini menunjukkan ada kalangan manusia yang sentiasa mendapat kelebihan daripada Allah SWT disebabkan keikhlasan hati yang mereka miliki.

Malaikat yang sentiasa ditugaskan bersujud ke hadrat Allah SWT mendoakan untuk mereka yang berpuasa Ramadan: “Wahai Tuhan, rahmatilah mereka yang berpuasa pada bulan Ramadan dari umat Muhammad SAW dan jauhilah mereka daripada azabMu.” (Zahratur Riadz)

Tidak dapat dinafikan mereka yang mendapat kelebihan sedemikian mempunyai kualiti puasa amat tinggi di mana mereka tidak hanya sekadar menahan perut bahkan segala anggota lain akan turut berpuasa.

Sememangnya kita tidak dapat menyamai kualiti puasa anbiya dan siddiqin, namun setiap kita haruslah melihat kembali tahap kemampuan puasa dan membuat perbandingan dengan tahun lalu.

Apakah kita akan berada pada tahap puasa yang sama iaitu tahap puasa orang awam saja pada setiap tahun tanpa sebarang pembaharuan, sedangkan kita mampu meningkatkan puasa awam yang biasa kepada puasa khawas yang dimiliki solihin (orang salih).

Bagi mendapat tahap puasa ini, kita hanya perlu penambahbaikan pada anggota lain untuk turut berpuasa dengan menjaga pandangan, pendengaran dan lidah.

Daripada Anas, Baginda SAW bersabda: “Lima perkara yang akan merosakkan puasa seseorang iaitu dusta, mengumpat, mengadu domba, sumpah palsu dan pandangan yang bersyahwat. Begitu juga menjauhi daripada mendengar perkara mungkar dan maksiat serta melalaikan.”

Elak makan berlebihan

Kekangan hawa nafsu selama setahun akan dapat dibendung dengan berpuasa Ramadan. Oleh itu, kita dilarang mengambil makanan berlebihan di bulan Ramadan kerana nafsu akan mengalah apabila mengurangkan makanan daripada memenuhi pencernaan kita.

Demikianlah antara faedah yang dapat dikecapi daripada puasa Ramadan. Ada riwayat menyatakan, tatkala Allah SWT menciptakan akal manusia, ia sentiasa menurut perintah Allah SWT seraya berkata bermaksud: “Engkau adalah Tuhan yang maha pencipta dan aku adalah hambaMu yang lemah. Maka Allah berfirman: Wahai akal, engkaulah makhluk ciptaan-Ku yang paling mulia.”

Kemudian diciptakan nafsu manusia serta diuji oleh Allah SWT dan mendapati ia sangat keras serta degil sehingga Allah SWT menyeksa nafsu dengan azab neraka selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan, maka nafsu tetap nafsu dan keadaan sombongnya tetap tidak berubah. Lalu Allah SWT meletakkan nafsu pada azab yang berbentuk kelaparan, maka akhirnya ia tunduk dan mengaku bahawa Allah adalah Tuhan yang menciptakan semua makhluk.

Disebut juga tujuan Allah SWT mewajibkan puasa selama sebulan adalah kerana kesan makanan yang dimakan oleh Nabi Adam daripada pohon larangan akan hilang dan sirna setelah berlalu masa sebulan.

Setelah Allah SWT menerima taubat Nabi Adam, maka Allah SWT memerintahkan Adam berpuasa selama sebulan tanpa berbuka. Namun kita umat Baginda SAW dibenarkan berbuka pada malam hari kerana mendapat penghormatan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Kemudian Allah SWT memberi kata dua kepada Adam dan menerima taubatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 37)

Sebahagian ahli tafsir menyatakan, di sinilah Adam diperintahkan berpuasa sebagai balasan di samping mengurangkan kehendak hawa nafsu. Ini kerana kelazatan dunia berkisar kepada empat perkara saja iaitu makan, minum, bersenggama dan tidur.

Ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT untuk mereka yang berpuasa tidak dapat dianggarkan oleh ilmuwan kerana setiap kebajikan akan digandakan daripada 10 hingga 700 kali ganda melainkan ibadat puasa.

Walaupun semua ibadat akan diberi ganjaran oleh Allah SWT, puasa mempunyai kedudukan yang tersendiri di sisi Allah SWT sehingga ulama mempunyai pelbagai pandangan berkaitan kelebihan ganjaran yang disediakan Allah SWT kepada ibadat puasa.

Antara faktor yang menyebabkan ibadat puasa mendapat pengiktirafan besar daripada Allah SWT ialah tahap keikhlasan tinggi yang ada pada ibadat puasa kerana peranan besar dimainkan oleh hati.

Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd Berita Harian Online Agama 13/07/2013

Rugi jika tidak tingkatkan ibadah

LIMPAHAN pahala yang dijanjikan Allah SWT di sepanjang Ramadan seharusnya menjadi rebutan seluruh umat Islam dengan meningkatkan amal ibadat serta melakukannya secara ikhlas.

Bagaimanapun, bagi Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Sheikh Ismail Mohammad, bersandarkan trend pada tahun-tahun sebelumnya, ramai dalam kalangan rakyat negara ini seakan-akan tidak mempedulikan 'tawaran hebat' berkenaan.

"Telah disebut di dalam al-Quran bahawa amalan yang kita lakukan akan dibalas sehingga 700 kali ganda kebaikannya. Jika dipertemukan pula dengan malam Lailatul Qadar, kebaikannya ibarat 1000 bulan.

"Malangnya semua itu seakan tidak menarik minat kebanyakan kita untuk menggandakan ibadat. Sebagai contoh, jumlah kedatangan umat Islam menunaikan solat tarawih di masjid kian berkurang pada 10 hari terakhir Ramadan, sedangkan pada waktu itulah kemuncak untuk segala-galanya," katanya.

Beliau menambah, Rasulullah SAW sendiri sentiasa memuliakan Ramadan sehinggakan mengucapkan doa 'Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan' setiap kali ketibaan bulan Rejab.

"Setiap kali Ramadan, Rasulullah menyarankan kita agar menjadi lebih pemurah dan perkara itu diamalkan sendiri oleh baginda. Bersedekah tidak semestinya banyak kerana dengan pemberian setengah biji tamar pun sudah dikira bersedekah.

"Apa yang penting adalah kita melakukannya dengan ikhlas dan bukan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk. Tiada ruginya kita melipat gandakan usaha membuat kebaikan pada bulan Ramadan," ujarnya.

Beliau dalam pada itu membuat teguran terhadap agensi mahu pun syarikat swasta tertentu yang sering meraikan anak yatim dan miskin setiap kali tibanya bulan Ramadan.

"Memberi makan kepada anak yatim dan miskin itu amat baik tetapi saya tidak setuju apabila majlis tersebut turut kononnya 'diserikan' dengan nyanyian oleh individu yang tidak berpakaian menutup aurat.

"Tidak perlulah menyanyi atau bermuzik dalam majlis berbuka puasa. Anak yatim ini mempunyai tempat yang istimewa di dalam Islam. Kita didiklah mereka dengan pendekatan Islam seperti bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan sebagainya



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/07/2013

Keringanan tidak berpuasa

PUASA di bulan Ramadan adalah suatu kewajipan yang tidak boleh tidak mesti dilakukan. Hal ini jelas dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud; “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa". (Surah al-Baqarah: 183).

Menurut al-Hafiz Ibnu Kathir, ayat ini merupakan ayat perintah tentang kewajipan puasa Ramadan. Yang mana ia dapat direalisasikan dengan sempurna menerusi kesanggupan untuk menahan lapar dan dahaga serta perkara yang dilarang ketika berpuasa dengan niat suci kerana Allah SWT.

Namun dengan rahmat Allah SWT ke atas hambanya, ada golongan yang diberi keringanan untuk tidak berpuasa Ramadan kerana uzur syarak yang membenarkannya. Mereka terdiri daripada orang musafir, orang sakit dan orang tua yang tidak kuat berpuasa dengan ketetapan ia hendaklah diganti pada bulan yang lain ataupun membayar fidyah yang difardukan. Rujuk firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah: 184.

Terdapat beberapa kategori penyakit serius yang diberi keringanan antaranya, penyakit yang menjadi bertambah kritikal apabila terus berpuasa, tempoh sembuh penyakit bertambah lama, puasa menyebabkan kesusahan dan kepayahan sekalipun ia tidak menyebabkan penyakit semakin serius serta golongan yang khuatir akan mendapat penyakit apabila berpuasa. Untuk tujuan itu juga pengesahan daripada pakar perubatan yang bertauliah penting bagi mengelak pelbagai alasan yang sengaja dikemukakan oleh golongan yang suka mencari alasan untuk tidak berpuasa.

Golongan kedua yang dibenarkan ialah mereka yang bermusafir. Terdapat beberapa syarat yang juga perlu dipatuhi bagi melayakkan seseorang mendapat keringanan tersebut. Antaranya, perjalanan tersebut melebihi dua marhalah iaitu kira-kira 92 km yang membolehkan qasar sembahyang, tiada berniat untuk bermukim di tempat yang ingin dikunjungi dan perjalanan tersebut bukan kerana maksiat ataupun tanpa keizinan wali atau suami bagi yang sudah berkahwin.

Sementara itu, golongan ketiga pula ialah golongan yang uzur, nyanyuk lagi tidak mampu berpuasa, begitu juga kepada orang yang sudah tiada harapan sembuh daripada penyakit yang dihidapinya hingga membawa mudarat dan kematian. Dengan ketetapan warisnya hendaklah membayar fidyah sebanyak secupak makanan asasi bagi setiap bilangan hari yang ditinggalkan.

Sehubungan itu, para Muslimin diseru untuk berjihad bersungguh-sungguh bagi melaksanakan kewajipan ini. Usah hangat-hangat tahi ayam, di peringkat awal. Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Kitab Sunan al-Kubra, “Siapa yang berbuka (tidak berpuasa) satu hari dari bulan Ramadan dengan sengaja, maka puasa setahun tidak mampu menampungnya (menggantikannya), sehingga dia akan bertemu dengan Allah SWT; kalau Dia berkehendak akan mengampuninya dan jika berkehendak akan mengazabnya."

MOHD ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru.: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 13/07/2013