July 14th, 2013

Keistimewaan kota Mekah dan Madinah

MEKAH dan Madinah adalah dua kota suci dalam Islam. Di dalam al-Quran dan hadis, dua kota itu sering disebut juga dengan Tanah Haram (Al-Balad Al-Haram). Kata haram bererti larangan atau tegahan.

Sebagai kawasan yang dimuliakan, tidak menghairankan jika Tanah Haram memiliki peraturan bagi orang-orang yang tinggal di dalamnya.

Salah satu peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT adalah larangan bagi golongan bukan Islam memasuki Masjidilharam. Ia terkandung dalam firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 28 bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin, maka Allah akan memberikan kekayaan kepadamu dari kurnia-Nya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

Berikut dipaparkan antara keistimewaan kedua-dua kota suci tersebut:

KOTA MEKAH

TERDAPAT satu ruangan tanah di planet bumi yang diistimewakan Allah. Ia adalah sebidang tanah seluas lebih kurang 540 kilometer persegi. Inilah tanah tempat Allah pertama kali meletakkan bangunan rumah-Nya di bumi, yakni Kaabah. Itulah juga sebagai tempat tumpuan kiblat manusia sejagat.

Mekah di dalam al-Quran disebut berkali-kali dengan terminologi berbeza. Ini menunjukkan betapa kelebihan Mekah sangat banyak dibanding kota-kota lain di dunia ini.

Selain Mekah, di dalam al-Quran Allah menyebut kota suci ini sebagai Bakkah (lembah air mata), Ummul Qura (perkampungan tua), al-Balad (negeri), al-Balad al-Amin (negeri yang aman), al-Baddah (negeri), Haram Amin (tanah suci yang aman), Wad Ghairu Dzi Zar’in (lembah yang gersang) Ma’ad (tempat kembali), Qaryah (negeri/kampung), al-Masjid al-Haram dan lain-lain.

Dalam buku Sejarah Mekah Dulu dan Kini, tulisan Dr.Muhammad Abdul Gani, Maktab Al-Malik Fahd, edisi kedua, Madinah 2003, disebutkan, beberapa kelebihan Mekah iaitu :

* Tempat dibangunnya rumah Allah (Baitullah) pertama kali.

* Kota kelahiran Rasulullah SAW sebagai nabi akhir zaman.

* Tempat pertemuan Adam dan Hawa yang mana setelah dikeluarkan dari syurga, mereka berdua hidup mengembara selama 200 tahun sehingga Allah mempertemukan mereka kembali di Jabal Rahmah, Arafah.

* Tempat beribadah para hamba-Nya serta adanya kewajipan atas mereka untuk mengunjunginya mengerjakan haji.

* Tempat yang tidak boleh seorangpun masuk ke dalamnya kecuali dengan kerendahan hati, khusyuk dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia.

* Tempat yang dijadikan Allah sebagai tanah suci yang aman, yang tidak boleh ada pertumpahan darah di sana.

* Tempat yang dimaksudkan untuk menghapus dosa-dosa masa lalu.

* Tempat yang Allah mensyariatkan kepada manusia untuk bertawaf di Kaabah.

* Tempat yang Allah mewajibkan bagi orang-orang yang mampu untuk mengunjunginya.

* Tempat yang tidak ada sejengkal bumi pun yang Allah wajibkan hamba-hamba-Nya untuk menghadap dan melambaikan tangan, kecuali kepada Kaabah, Hajarul Aswad, Rukun Yamani yang adanya di kota Makkah.

* Tempat yang tidak ada di muka bumi ini suatu masjid pun, yang memiliki keistimewaan bagi siapa saja yang solat di dalamnya maka pahalanya akan dilipatgandakan 100,000 kali.

* Tempat yang dilarang oleh Allah untuk menghadap atau membelakanginya pada waktu buang hajat.

* Tempat yang Allah memberikan balasan bagi siapa saja yang berniat jahat, walaupun belum melakukannya. Dan barang siapa yang melakukan kejahatan, balasannya akan dilipatgandakan. Ia kerana melakukan kejahatan di tanah suci, lebih besar dosanya dibandingkan di tempat-tempat lain.

* Tempat-tempat yang mustajab bagi orang-orang yang berdoa di sana, misalnya di Hajar Aswad, di Rukun Yamani, di makam Ibrahim, di Hijir Ismail, di telaga Zamzam, di Arafah saat berwukuf dan lain-lain.

* Tempat di mana Allah pernah bersumpah atas nama negeri Mekah seperti dituturkan-Nya dalam surah At-Tiin, kalau tidak kerana istimewanya Mekah, Allah tentu tidak perlu mengangkat sumpah atas nama negeri yang sarat dengan sejarah itu;

* Tempat yang sentiasa dijaga para malaikat.

* Tempat adanya telaga zam-zam yang luar biasa.

MADINAH

SATU-SATUNYA tanah yang Rasulullah SAW sahkan boleh digunakan untuk mengubat penyakit dengan izin Allah SWT ialah tanah di kawasan tanah haram Madinah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda;

‘‘Dengan nama Allah, debu tanah kita (yang dicampur) dengan air liur setengah daripada kita menyembuhkan dari penyakit kita dengan izin Allah."

Dalam soal keistimewaan meninggal dunia di Madinah, Rasulullah SAW bersabda:

‘‘Sesiapa berkemampuan untuk meninggal dunia di Madinah hendaklah dia meninggal dunia di sana, kerana aku akan memberi syafa’at bagi pihak setiap orang yang meninggal dunia di situ." (Riwayat Al-Tirmizi)

Madinah merupakan salah satu dari dua kota suci Islam yang dikawal para malaikat sepanjang masa. Kawalan yang dibuat itu ialah bagi menghindari penyakit taun dan serangan Dajjal. Seperti yang kita tahu bahawa di akhir zaman kelak, Dajjal akan muncul di setiap kota dan desa. Namun begitu Madinah dan Mekah tidak dapat dimasuki Dajjal kerana ia dikawal oleh para makaikat yang diutus Allah SWT. bagi tujuan tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari menyebut Rasulullah SAW bersabda bahawa Dajjal akan muncul di setiap kota melainkan Madinah dan Makkah. Dia tidak dapat masuk kerana malaikat akan melindungi kedua-dua kota itu.

Tentang kawalan taun pula, sebuah hadis daripada Al-Bukhari meriwayatkan bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW bermimpi mengenai Madinah. Baginda kemudiannya bersabda yang bermaksud:

‘Aku melihat seorang perempuan kulit hitam dengan rambut kusut masai keluar dari Madinah dan dia singgah di Mahyaah. Aku mentafsirkannya sebagai taun Madinah yang telah dipindahkan ke Mahyaah iaitu Juhfa’.



ZULKIFLEE BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14/07/2013

Kesyahduan tarawih di tanah suci

SETIAP kali bulan Ramadan tiba maka umat Islam di seluruh dunia akan menyambutnya dengan penuh keredaan dan kesyukuran.

Di sebalik memenuhi kewajipan berpuasa umat Islam turut mengambil kesempatan pada bulan yang penuh keberkatan ini untuk memperbanyakkan amal ibadat termasuk menunaikan umrah.

Aktiviti di kota Mekah rata-ratanya bermula seawal pukul 3 pagi dengan bersahur kemudian diikuti dengan solat Subuh pada pukul 4 pagi.

Mereka akan menyempurnakan rukun umrah seperti tawaf dan sai'e pula bermula pada pukul 5 pagi. Jika semua telah dilakukan, jemaah akan beriktikaf di masjid dengan perbanyakkan solat dan membaca al-Quran.


MENUNAIKAN solat tarawih ketika berada di Masjidilharam dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran oleh imam yang bersuara emas mampu memberikan perasaan yang berbeza serta berada lebih dekat kepada Maha Pencipta.

Namun begitu sudah tentu pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di Mekah ketika bulan Ramadan agak berbeza dengan bulan biasa.

Di tanah suci, orang ramai akan berpusu-pusu untuk berbuka di dalam masjid kerana berdoa dalam tempoh lima minit terakhir sebelum azan Maghrib adalah paling mustajab.

Apabila tiba waktu berbuka puasa, kita sebagai jemaah umrah tidak perlu berasa takut jika tiada makanan kerana ada orang Arab suka bersedekah.

Bagaimanapun cuaca pada waktu siang di Mekah lebih panas berbanding Malaysia dan kadangkala suhu mencecah sehingga 40 darjah celsius, namun ia bukan halangan untuk umat Islam memperbanyakkan ibadah.

Bagi yang telah biasa melakukan umrah ketika di bulan Ramadan antara keperluan yang dinantikan adalah menunaikan solat tarawih di Masjidilharam, satu pengalaman yang begitu mengasyikkan serta penuh dengan keinsafan.

Solat tarawih menurut maksudnya ialah duduk bersenang-senang atau beristirehat dalam erti kata lain ia bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardu isyak. Sembahyang tarawih dikerjakan setelah selesai solat isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.

Keindahan menunaikan solat tarawih ini berdasarkan pengalaman beberapa sahabat yang pernah menunaikan umrah jauh berbeza kerana selain dilakukan di hadapan Kaabah kekhusyukan kita hanya tertumpu dalam melakukan ibadah sehingga melupakan terus hal ehwal dunia waima ahli keluarga sendiri.

Itu adalah perasaan kebanyakan orang apabila berada di sana. Rata-rata mereka menyatakan perkara yang sama selain keberkatan berganda yang dijanjikan Allah SWT kepada umatnya yang ikhlas dan tabah.

Maka adalah tidak menghairankan setiap kali tiba bulan penuh keberkatan ini, pasti keadaan kota Mekah sesak dipenuhi umat Islam sehingga ke siar kaki masjid terutama ketika waktu solat tarawih.

Tersentuh

Namun satu perkara yang menjadi sebutan ketika tiba saat solat tarawih adalah saat diimamkan oleh beberapa imam terkemuka antaranya Imam besar kota Mekah, Abdul Rahman Al-Sudais dan Sheikh Abdullah Awwad Al-Juhany.

Hati kita akan tersentuh tatkala mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca oleh imam-imam terpilih dengan penuh keinsafan dan keberkatan.

Manakan tidak, gemersik suara dan alunan serta gaya bacaannya begitu menyentuh perasaan sehinggakan mereka yang tidak faham bahasa Arab pun boleh menitiskan air mata ketika mendengar bacaannya.

Perkara inilah yang sering menjadi tumpuan para jemaah yang mengambil kesempatan menunaikan umrah ketika di bulan Ramadan.

Kebanyakan mereka seolah-olah 'jatuh cinta' dengan suara merdu para imam terpilih ini yang melengkapkan ibadat yang hanya boleh dilakukan sekali dalam setahun.

Bacaannya begitu menusuk ke seluruh jiwa raga sehingga menjadikan sembahyang yang dilakukan begitu indah dan khusyuk sekali.

Perasaan ketika itu bercampur-baur. Rasa begitu sedih dan sayu kerana seperti dijemput ke tanah suci. Perasaan gembira turut dirasai dan terasa seperti begitu dekat kepada Maha Pencipta,

Namun di sebalik semua ini timbul pertanyaan di hati untuk bertemu muka atau paling tidak pun mengenali siapa imam-imam ini yang telah berjaya menambat hati masyarakat Islam seluruh dunia ini melalui suara emas yang dimilikinya.

Mungkin selama ini kita hanya mendengar kelunakan suara mereka di televisyen ataupun radio tanpa pernah mengenali atau menatap wajah mereka.

Namun bagi mereka yang bertuah ataupun terlintas keinginan untuk berjumpa dengannya mungkin hajat ini boleh dipenuhi dengan izin Allah ketika berada di Masjidilharam.

Antara mereka yang perlu kita kenali adalah Imam besar kota Mekah ini, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais. Beliau berasal daripada kaum Anza dan telah menghafaz 30 juzuk kitab suci al-Quran sejak berusia 12 tahun.

Abdul Rahman membesar di kota Riyadh dan memulakan pembelajaran di beberapa universiti sehingga berjaya memperoleh ijazah, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang syariah.

Untuk pengetahuan lanjut, penulis turut menyertakan profil dan biodata semua imam Masjidilharam untuk tatapan pembaca.

Mungkin bagi mereka yang sudah sampai ke kota Mekah pengalaman ini sudah tentu begitu berharga dan tidak ada galang ganti.

Namun bagi mereka yang masih belum berkemampuan atau berkesempatan, senarai imam-imam Masjidilharam ini di harap mampu memberikan gambaran serta hidayah tentang keagungan Allah SWT.

Ini boleh dirasai melalui petunjuk yang diamanahkan kepada imam-imam ini terutama melalui pembacaan ayat-ayat suci al-Quran dan penghayatan mereka ketika menunaikan solat Tarawih dengan penuh rasa keinsafan dan kesyahduan.



HAFIZAHRIL HAMID Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14/07/2013

Iktibar Mesir: Ramadan dan perpaduan

RAMADAN pada tahun ini disambut dalam keadaan pergolakan yang berlaku di beberapa negara Islam, antaranya Syria dan Mesir. Bagi Mesir, kejatuhan Presiden Mohammed Mursi pada 3 Julai lalu menjadikan negara tersebut terus bergolak dan mengalami zaman yang tidak menentu. Dalam sejarah negara tersebut, ini adalah satu sejarah baru apabila pihak tentera mengambil alih pemerintahan negara daripada seorang pemimpin yang baru dilantik setahun.

Rata-rata pemerhati melihat perubahan kepimpinan di Mesir melalui cara pengambilalihan kuasa oleh pihak tentera menyebabkan keadaan menjadi semakin tidak menentu. Walaupun ada janji untuk menggantung sementara perlembagaan negara dan mengadakan pilihan raya semula dalam waktu terdekat, masih terdapat mereka yang tidak berpuas hati terutama penyokong Mursi yang dilatari Ikhwanul Muslimin.

Kerajaan sementara yang dibentuk di bawah pimpinan Adli Mansour dilihat terpaksa menjalankan satu tugas yang mencabar. Beliau perlu meredakan kemarahan rakyat Mesir serta mengajak kumpulan-kumpulan yang memenangi pilihan raya pada tahun lalu untuk duduk berunding dan berbincang mengenai masa depan negara serta pembahagian kuasa.


Umat Islam Mesir berbuka puasa dalam suasana tenang biar pun negara mereka berhadapan pergolakan politik akibat rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Ikhwanul Muslimin tidak menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan kerajaan sementara tersebut. Mereka terus mendesak supaya bekas Presiden Mesir dilantik semula sebagai presiden. Ketegangan di Mesir memuncak dengan kejadian pada 8 Julai lalu apabila pihak tentera membunuh 50 orang penyokong Mursi yang berhimpun di satu tempat di mana mereka percaya ia menjadi tempat tahanan bekas presiden itu.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin telah ditahan, termasuklah Mursyidul Am mereka iaitu Muhamad Badie. Beliau bersama sembilan yang lain dihadapkan ke mahkamah pada Rabu lepas di atas tuduhan menghasut rakyat untuk meneruskan protes terhadap kerajaan sementara yang dibentuk.

Ketika pihak tentera cuba melantik pemimpin-pemimpin yang boleh dipercayai menjalankan tugas meredakan rakyat Mesir, kemarahan nampaknya semakin memuncak. Tiada tanda-tanda bahawa Mesir akan aman daripada kumpulan-kumpulan penunjuk perasaan. Medan Tahrir menjadi tumpuan berhimpun. Jumaat pertama di bulan Ramadan digunakan oleh para penyokong Mursi untuk melakukan tunjuk perasaan bagi menuntut Mursi kembali sebagai presiden.

Negara kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS) pada awalnya tidak menyatakan apa-apa pendirian jelas terhadap penahanan Mursi yang telah dijatuhkan. Namun begitu, setelah Jerman meminta supaya Mursi dibebaskan dari tahanan, barulah suara AS dapat didengar untuk turut meminta pembebasan Mursi daripada apa jua bentuk tahanan.

Pendirian negara-negara Islam dilihat tidak sekata di dalam hal ini. Negara-negara Arab seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberikan sokongan yang kuat terhadap kerajaan sementara di Mesir. Malah mereka turut beranj menyalurkan bantuan yang jumlahnya cukup besar, berbilion dollar. Tidaklah diketahui kenapakah sokongan kuat sebegitu rupa dinyatakan oleh negara-negara ini.

Sebaliknya bagi Turki dan Iran, mereka tidak boleh menerima apa yang dilakukan oleh pihak tentera terhadap kepimpinan Mursi. Mereka tidak menyokong tindakan tentera dalam hal ini atas alasan pelantikan dibuat berdasarkan amalan demokrasi. Ini bersandarkan fakta kemenangan Mursi dalam pilihan raya Presiden Mesir pada tahun lalu sebagai satu kemenangan yang sah dengan sokongan majoriti.

Bersatu

Melihat kepada pergolakan ini, ada dua perkara utama yang bermain dalam fikiran penulis: Apakah umat Islam tidak boleh bersatu? Dan apakah masa depan bagi umat Islam dalam konteks krisis global (Timur Tengah) yang berlaku?

Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman: "Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu berpecah belah" (Ali Imran: 103) dan firman-Nya: "dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang berpecah belah dan berselisih setelah datangnya keterangan-keterangan yang nyata (al-Quran dan Rasul-Nya)" (Ali Imran: 105)

Ada kemungkinan apa yang berlaku di Asia Barat, pergolakan yang tiada hentinya ini, mempunyai kaitan dengan agenda hegemoni Barat yang tidak senang dengan beberapa pendirian Islamis negara-negara terbabit.

Umpamanya pendirian Mesir di bawah kepimpinan Mursi untuk memberi sokongan terhadap Hamas, dilihat seakan-akan menempelak Israel dan menguji Amerika dan sekutunya yang menuduh Hamas sebagai pertubuhan militan yang tidak boleh dibantu.

Ini pasti meletakkan sekutu kuat AS di Asia Barat iaitu Israel dalam keadaan bahaya. Sudah tentulah pendirian seperti ini amat tidak disukai dan pihak Yahudi akan sentiasa mencari jalan menggugat keutuhan Mesir. Begitupun, ada juga yang melihat bahawa tindakan Mursi di peringkat dalaman dalam memperkenalkan polisi-polisi tertentu mendapat tentangan daripada masyarakat.

Keadaan ekonomi yang tidak baik juga telah memberikan kesan sehingga ada di kalangan rakyat yang tidak berpuas hati. Gerakan penentangan ini pastinya daripada golongan sekular yang tidak senang dengan pendirian Islamis oleh Mursi. Melihat perkembangan semasa yang berlaku ini pastinya membuatkan ramai yang berfikir apakah masa depan rakyat Mesir dan masa depan umat Islam itu sendiri? Memanglah apa yang berlaku di Mesir itu sukar untuk diterima sama ada oleh negara umat Islam mahupun negara Barat kerana asas pembentukan pemerintahan negara tersebut pasca Mubarak adalah berasaskan pilihan raya dan demokrasi.

Adakah sistem demokrasi tidak sesuai di Mesir? Ini suatu perkara yang menarik untuk diperdebatkan oleh ahli-ahli sains politik. Islam memberikan panduan umum supaya umat ini tidak berpecah belah dan berselisih dalam hal-hal yang tidak perlu, apatah lagi hal-hal yang tidak memberi keuntungan kepada agama.

Dalam hal ini kita faham bahawa berbeza pandangan bukanlah sesuatu yang dilarang, kerana Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa "perbezaan dalam kalangan umatku adalah rahmah." Di sana ada juga bentuk-bentuk perbezaan yang dibenarkan, tetapi asasnya ia bukan perkara yang akan membawa kepada perpecahan umat.

Dalam hal agama terutama yang berkait dengan akidah, sepatutnya khilaf tidak berlaku. Dalam soal furu' hukum hakam, khilaf boleh berlaku dalam pentafsiran nas mengikut pandangan-pandangan para ulama.

Jelasnya, apa yang berlaku di Mesir ini belum ada tanda-tanda ia akan reda dalam waktu yang singkat. Masih ada percaturan tertentu yang perlu dilakukan oleh kerajaan sementara terutama dalam meminta kumpulan Ikhwanul Muslimin bersetuju dengan pelan seterusnya. Ia bukan mudah kerana parti al-Hurriyyah wa al-Adalah yang mewakili Ikhwanul Muslimin memenangi secara majoriti pilihan raya sebelum ini. Secara logiknya, merekalah yang mempunyai kuasa untuk memerintah.

Penolakan kumpulan Ikhwanul Muslimin terhadap pelan peralihan baru dan tidak menerima jemputan berunding memang satu tamparan dalam konflik yang berlaku ini. Hizb al-Nur, parti kedua yang menguasai pilihan raya Mesir, juga mempunyai pendirian dan pandangan berbeza. Malah kumpulan Tamarod yang mendapat sokongan pihak tentera dalam mencetuskan penentangan sehingga Mursi dijatuhkan, turut tidak bersetuju dengan pelan yang dibuat.

Pada peringkat awal usaha menjatuhkan Mursi, ia kelihatan seperti mendapat sokongan Barat. Sebaliknya, Barat turut berada dalam dilema sama ada ingin menganggap apa yang berlaku di Mesir sebagai rampasan kuasa atau pengguguran pemimpin diktator.

Pendirian ini mempunyai kesan. Jika ia satu rampasan kuasa, maka negara barat pendokong demokrasi tidak akan memberikan kerjasama kerana rampasan kuasa itu dilakukan terhadap kerajaan yang melalui proses pemilihan yang sah. Justeru, beberapa perkembangan semasa seperti pendirian AS dan Jerman, menggambarkan bahawa konflik ini masih belum mendapat ketentuan akan berakhir dalam waktu terdekat ini.

Seorang penganalisis, Roger Hardy memberikan komentar dalam konteks ini bahawa Arab Spring menunjukkan betapa kuasa rakyat bukanlah segalanya yang boleh merubah sesuatu sekelip mata. Bagi beliau, ia bersifat lokal, tidak memberikan impak kepada rantau tersebut melainkan ia hanyalah peningkatan populariti yang diinginkan.

Bagi kita, kestabilan Mesir sangat penting kerana ia merupakan sebuah negara Islam yang besar pengaruhnya. Institusi mereka seperti Universiti Al-Azhar telah melahirkan ramai pemikir-pemikir Islam berwibawa.

Syeikh al-Azhar merupakan sosok yang sangat dihormati kerana tradisi Al-Azhar yang menjaga turath ilmu di dunia Islam. Oleh itu, apa pun percaturan politik yang sedang berlaku di sana, harapan kita agar ia boleh membawa kepada kestabilan, keharmonian dan kehidupan yang normal.



Dr. Mohd Roslan Mohd Nor Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14/07/2013

Jangan sekadar adat

RAMADAN datang lagi dan kemunculannya membawa seribu satu rahmat kepada umat Islam di seluruh alam. Ramadan dianggap bulan tarbiah untuk umat Islam menyucikan jiwa mereka.


Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, YULPISMAN ASLI dan ASMA HANIM MAHMOOD di pejabat beliau baru-baru ini, Mufti Kelantan, DATUK MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD mengupas keistimewaan bulan Ramadan yang bukan sahaja berperanan sebagai penyuci jiwa, tetapi juga medan untuk umat Islam mengukuhkan perpaduan atau ukhuwah Islamiah sesama mereka.

"Hadis kata perumpamaan orang Mukmin satu jasad, satu sakit yang lain sakit, tetapi sekarang bukan sahaja satu sakit orang tak nak tolong tetapi kita tolong turut hentam sesama kita," kata beliau mengulas fenomena yang melanda umat Islam masa kini.

Menurut Mohamad Shukri, pertelagahan sesama umat Islam seperti yang berlaku di Asia Barat, akibat mereka sudah lari daripada ajaran agama dan semangat Ramadan yang mahu memperkasakan ukhuwah sesama umat Islam.

ADAKAH Datuk merasakan umat Islam di negara kita, benar-benar memahami falsafah Ramadan?

MOHAMAD SHUKRI: Alhamdulillah, ada perubahan sangat positif ke arah lebih baik, barangkali berkat usaha dakwah yang dijalankan melalui pelbagai saluran termasuk media cetak, elektronik dan kuliah di masjid-masjid. Kita dapat lihat bagaimana pemakmuran masjid luar biasa dengan kalangan orang tua, muda, kanak-kanak, nampak akhir-akhir ini memilih pula tempat (masjid) imam-imam yang baca al-Quran yang panjang-panjang, pergi manapun masjid dikunjungi ramai.

Bagaimanapun, kita tidak menafikan masih ada kekurangan dan kelemahan dalam masyarakat kita memahami falsafah Ramadan. Sebagai contoh, kita berpuasa namun kita masih melayan tuntutan nafsu dengan menyediakan juadah berbuka keterlaluan sehingga masuk kategori membazir. Ini tak faham falsafah Ramadanlah tu.

Selain itu, kita masih hanyut dalam arus pemujaan kebendaan yang kita panggil materialisme. Pada hal puasa menuntut kita sebulan ini meningkatkan kerohanian. Dalam al-Quran kata ‘Assahihun’, kalau diterjemah orang melancong ke alam tinggi. Maknanya orang puasa dianggap pelancong-pelancong ke alam tinggi, tinggallah alam kebendaan ini pergilah ke alam kerohanian. Malaikat alam rohani yang tak makan minum, tak ada seksual, jadi kita ke sana. Tapi, masih ada masyarakat terpukau dengan kebendaan yang melampau, belum apa-apa dah bincang nak shopping. Kita masih terpaku di depan televisyen tak pergi tarawih, masih ada lepak di kedai-kedai kopi dalam bulan Ramadan.

Kita lihat kenyataan hadis-hadis bahawa orang yang berpuasa ini mulutnya berbau harum. Maknanya mulut berbau harum kerana membaca al-Quran. Kalam Allah itu wanginya. Kemudian dia banyak berzikir, berselawat ke atas nabi, pergi tarawih. Itu yang dikatakan wangi secara simbolik. Masalah kita, Nabi Muhammad SAW bersabda orang puasa mulutnya wangi, tetapi kalau kita terus mengumpat mulut kita busuk sebenarnya. Di luar Ramadan kalau kita mengumpat, mulut kita busuk, walaupun kita gosok gigi pakai wangi-wangian mulut, tetapi mulut kita busuk kalau kita mengumpat mengeji mencaci mencerca, bulan Ramadan kita tahan semua itu, maka itu dikatakan harum. Itu barangkali falsafah di bulan Ramadan.

Adakah kebanyakan mereka sebenarnya menganggap ibadah Ramadan seperti puasa hanyalah sebagai ‘adat’ yang diulang saban tahun?

MOHAMAD SHUKRI: Puasa memang ibadat tetapi Rasulullah SAW menyebut berapa ramai orang berpuasa tetapi hanya dapat lapar dan dahaga. Barangkali ini maksudnya adat itu. Bila tiba puasa dia pun tak makan tak minum, lapar dahaga dia dapat pahala tak. Jadi, kita sebenarnya dididik oleh Ramadan ini ada tatatertib adab sopannya. Bukan sahaja tak minum tak makan tak boleh ada hubungan kelamin suami isteri, tetapi keseluruhannya sebagai satu pakej, tidak mengumpat, berbohong, sifat-sifat keji tidak dilakukan manakala yang baik dilakukan, sehingga dikatakan buat yang sunat pahalanya macam yang fardu, buat yang fardu pahalanya dilipat gandakan sampai beratus-ratus. Tentulah kita nak puasa kita ini jadi ibadat, jangan sekadar adat.

Apa iktibar yang seharusnya kita ambil daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW dan para sahabatnya ini?

MOHAMAD SHUKRI: Dalam bulan Ramadan banyak peristiwa besar berlaku, satu daripadanya turun al-Quran, maknanya kita sambut Ramadan ini sebenarnya kita sambut bulan kelahiran al-Quran. Kalau orang ada hari lahir anak-anak, isteri, suami, ada sambut hari ulang tahun perkahwinan, maka Ramadan ini juga adalah mengingatkan kita satu peristiwa besar yang merubah dunia ini dengan turunnya al-Quran dan Nabi sendiri membawa al-Quran sebagai rahmat ke seluruh alam. Maknanya alam itu dapat hidup dalam zon aman selesa kerana petunjuk al-Quran.

Ramadan pada siang hari dikatakan puasa, kita puasa diberi keampunan oleh Allah, malam pula qiyam, kita diberi juga keampunan oleh Allah. Orang yang tidak ada dosa ini, diberi keampunan dia hampir dengan Allah, sebab itu Allah sebut “Apabila kamu memohon kepada Aku, ingatlah Aku dekat." Jadi, bulan Ramadan ini dia punya kekuatan ialah kita terasa hampir dengan Allah SWT. Allah adalah sumber kekuatan, tiada daya upaya, kekuatan kita yang ada ialah kekuatan daripada Allah, Allah yang bekal kekuatan. Sebab itu tentera-tentera Islam menang dalam peperangan dalam bulan Ramadan. Kita takut kepada Allah, tidak sama seperti takut dengan harimau. Takut kepada harimau kita lari, tetapi takut kepada Allah kita semakin dekat, maka kedekatan kita kepada Allah inilah yang beri kekuatan kepada kita melaksanakan apa-apa yang diperintahkan Allah.

Puasa itu sendiri objektifnya supaya orang bertakwa. Orang yang takwa ini maknanya dapat menjaga diri, pelihara diri. Ertinya orang muttaqin berpuasa adalah orang yang penuh berdisiplin, menjaga kehormatan diri. Dalam peperangan kalau ada disiplin menang, begitu juga dalam apa juga pekerjaan yang kita lakukan. Sebab itu, puasa ini mengajar kita membuat perkara yang lebih lagi. Yang menjadi masalah ialah puasa yang mengulit kita untuk tidur. Tapi, orang dulu perang semasa berpuasa, menang. Di zaman moden ini pun, Mesir menang menentang Israel pada tahun 6 Oktober 1973 bersamaan 10 Ramadan. Tentera Mesir menerima kekuatan yang tidak terduga oleh sesiapa termasuk kuasa besar Rusia (ketika itu). Jadi dalam bulan Ramadan kekuatan umat Islam luar biasa, bukan bulan untuk kita ulit tidur.

Bagaimanakah Datuk melihat pergolakan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia khususnya Malaysia?

MOHAMAD SHUKRI: Allah kata ‘orang beriman itu sebenarnya bersaudara.’ ukhuwah dalam bahasa Arab hanya dipakai seadik sebapa, adik beradik kandung. Jadi, dalam soal iman pun Allah guna perkataan ukhuwah juga, maknanya supaya seluruh umat Islam ini berasa adik beradik kandung seibu sebapa. Dalam hadis pun sebut apabila satu anggota sakit maka anggota yang lain turut sakit.

Sekarang yang ini tidak hidup, ia tidak dihayati iaitu setiap orang beriman itu bersaudara. Kita perlu ingat ini tema keagamaan, menuntut kita umat Islam di mana sahaja dan apa pun fahaman politik, mengerat serta mengukuhkan tali persaudaraan. Roh atau semangat merasakan bahawa seluruh umat Islam ini orang mukmin ini adalah bersaudara adik beradik kandung. Ini yang tak berlaku, ini yang kita lihat pergolakan di Syria, Palestin, terbaru di Mesir. Semua ini berlaku apabila ajaran Islam yang menuntut kita supaya ada roh bahawa seluruh umat Islam adalah bersaudara tidak lagi dihayati.

Hadis kata, perumpamaan orang Mukmin satu jasad, satu sakit yang lain sakit, tetapi sekarang bukan sahaja satu sakit orang tak nak tolong tetapi kita tolong turut hentam sesama kita. Kita bergaduh sesama kita (umat Islam). Kenapa ia berlaku sebab banyak kita lari (daripada ajaran Islam). Islam suruh kita merasakan satu jasad, tetapi kita? Orang Palestin, Syria, Mesir sakit disakitkan oleh orang Palestin, Syria dan Mesir juga (sesama sendiri). Itu yang kita nak jaga di Malaysia ini supaya jangan orang sesama Islam sakit menyakiti. Sebab itu dah lari daripada ajaran agama dan semangat Ramadan ini. Sebab Ramadan, bulan untuk memperkasakan ukhuwah.

Macam mana nak memperkasakan ukhuwah, adakah dengan meramaikan golongan beribadat?

MOHAMAD SHUKRI: Tidak begitu, ibadat memang beramai-ramai. Contoh kalau di Madinah, Mekah, buka puasa berjuta orang, tapi sayang hanya di Mekah sahaja kita lupa fahaman politik, negara asal, semua duduk mengelilingi Kaabah, buka puasa sekali. Itu sebenarnya yang dikehendaki agama, tidak hentam-menghentam. Di Mekah, Madinah terasa sungguh ukhuwah Islamiah.

Dalam konteks umat Islam di Malaysia sendiri, pergi masjid buka puasa dan sebagainya, tetapi bila keluar sahaja bertelagah sesama sendiri?

MOHAMAD SHUKRI: Ya, maknanya roh setiap orang Mukmin itu bersaudara belum betul-betul diterjemahkan. Mudah sahaja, solat sahaja kita beri salam kanan kiri, kita doakan kesejahteraan kepada sesiapa sahaja yang berada di kanan dan kiri kita terdiri daripada jemaah pelbagai fahaman, ditambah dengan wirid lagi, mohon Allah beri kesejahteraan kepada kita semua, tetapi roh dalam masjid itu tidak diterjemahkan ke luar. Ini punca kepada umat Islam bertelagah sesama sendiri. Patut bila dalam masjid kita dah macam itu, di luar pun macam itulah doakan kesejahteraan kepada saudara seagama kita. Kenapa pula sebaliknya? Apa lagi bila mimbar masjid pun dijadikan tempat caci maki, menjual mempromosikan fahaman masing-masing, habislah.

Datuk sebut tadi, kita di Malaysia pun jangan sakiti saudara sesama kita?

MOHAMAD SHUKRI: Itulah semangat daripada ‘setiap orang mukmin bersaudara’, budaya merasakan adik beradik kandung ini, bukan sahaja dalam erti kata biologi tetapi juga secara keagamaan, keimanan. Sesetengah orang terjemah sesungguhnya orang beriman itu bersaudara, adik beradik secara agama.

Menyebut roh Ramadan, kenapa hanya sering dikaitkan dengan aktiviti ibadah, tidak diperluaskan kepada skop lain terutama melibatkan perpaduan dan persaudaraan sesama umat Islam?

MOHAMAD SHUKRI: Ini perlu kepada medium yang lebih menyeluruh supaya ufuk pemikiran itu berubah, macam dulu masjid hanya dilihat sebagai tempat sembahyang, tetapi peranan masjid telah diperluaskan. Jadi, puasa Ramadan itu juga begitu. Sebagai contoh dalam Surah Al-‘Asr melibatkan hubungan antara manusia dengan Allah dan sesama manusia. Begitu juga puasa, ia melibatkan hubungan kita dengan Allah dan kemanusiaan. Solat juga begitu, zakat, haji dan ia perlu diterjemahkan dari sudut implementasi.

Katalah dalam soal politik, terus ada hubungan dengan Allah. Jadi, kalau caci maki, memutuskan hubungan silaturahim, ia menyebabkan amalan kita ‘di KIV’ tidak dihantar kepada Allah. Memutuskan hubungan silaturahim merupakan salah satu punca amalan kita ‘di KIV’, ditangguh. Syirik amalan tidak diangkat, memutuskan silaturahim pula ditangguh.

Ramadan lebih dilihat sebagai ‘pesta beribadat’ tetapi tidak ke arah penyatuan, ukhuwah sesama umat Islam. Semangat Ramadan itu habis selepas bulan Ramadan berakhir. Penyatuan umat Islam terhenti, sebaliknya bangsa lain terus utuh penyatuan mereka?

MOHAMAD SHUKRI: Sebab itu saya melihat bahawa tuntutan iman dan hawa nafsu, perlu diperkasakan bahawa Ramadan ini adalah memenuhi tuntutan iman. Kalau kita masih berpecah belah bermakna kita masih memenuhi tuntutan hawa nafsu. Yang ada kepentingan itu ini sebenarnya adalah kepentingan nafsu, tapi kalau kepentingan iman kita akan bersaudara, bersatu padu.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 14/07/2013

Tarbiah ruhiyah bina individu baik

Jiwa raga gersang tidak mampu laksana amanah diberi

Aspek pendidikan spiritual atau tarbiah ruhiyah penting dalam usaha mendidik atau membina individu yang baik. Perlu diyakini seseorang Muslim yang baik, pasti mempunyai jiwa, semangat, keyakinan dan benar-benar memahami tanggungjawab diamanahkan kepadanya.

Jika semua ciri-ciri itu ada dalam dirinya, sudah pasti individu berkenaan memahami tugas dan peranannya sebagai hamba Allah SWT.


Namun, jika jiwanya gersang, resah gelisah dan tidak mempunyai matlamat yang jelas, walaupun ia mempunyai kemahiran serta ilmu mencukupi, seseorang itu mungkin tidak mampu melaksanakan amanah diberi.

Manusia terdiri daripada jiwa (kerohanian) dan raga (sifat luaran). Sesungguhnya jiwa adalah asas kekuatan diri seseorang dan ia bersifat kekal, manakala raga atau sifat luaran itu tidak kekal, boleh berubah malah boleh hilang.

Justeru, menjadi satu kesilapan jika pendidikan ditumpukan kepada pendidikan luaran semata-mata dan tidak mendidik sifat dalaman atau kerohanian.

Muhammad Qutb dalam bukunya, Manhaj at-Tarbiyah menyebut, Islam menitikberatkan perhatian khusus terhadap dimensi roh (jiwa) yang juga titik asas manusia kerana roh adalah penghubung antara manusia dengan Allah SWT dan roh juga potensi manusia paling besar.

Oleh itu, berjuang di jalan Allah SWT dalam pelbagai bidang kerjaya bagi mempertahankan agama, bangsa, negara jika terkorban, boleh dikategorikan sebagai mati syahid, salah satu contoh bagi individu Muslim untuk menemui tuhannya dengan cara yang terbaik.

Firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki, (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.” (Surah al-Baqarah, ayat 169-170)

Khalid Ahmad Syantut dalam bukunya Tarbiah Islamiah, menggariskan pendekatan yang mampu membina masyarakat dari sudut pendidikan spiritual (mempunyai hubungan akrab dengan Penciptanya) sekali gus menjadi seorang yang tekun beribadat.

Pendekatan itu berkaitan dengan ketekunan mereka melaksanakan ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji. Solat adalah hubungan hamba dengan tuhannya. Orang yang mengerjakan solat dengan khusyuk, rohnya akan berhubung dengan penciptanya.

Sahabat Rasulullah SAW ketika menunaikan solat mereka lupa terhadap keadaan diri dan sekeliling kerana roh lebih berpengaruh dari aspek fizikal. Malah, ada yang tidak terasa sakit ketika mencabut panah daripada badannya disebabkan khusyuk menunaikan solat.

Puasa menggilap roh serta menguatkannya untuk mengalahkan godaan syaitan dan iblis yang sentiasa menggoda manusia melalui nafsu makan, minum, syahwat serta amal perbuatan lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan itu mengalir dalam diri anak Adam melalui urat nadinya, maka sempitkanlah jalannya dengan rasa lapar.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibnu Taimiyah dalam kitab al-Fatawa menyatakan, jiwa dan harta seseorang yang bersedekah itu akan besi, yakni suci dan baik. Perkembangan dan kesucian itu pula tidak terletak pada harta semata-mata tetapi ia akan meresap ke dalam jiwa orang yang mengeluarkan zakat.

Firman Allah SWT: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Ibadah haji akan mengukuhkan hubungan hamba dengan Allah SWT kerana manusia meninggalkan urusan dunia demi memenuhi panggilan dan seruan Allah. Sesungguhnya amat penting bagi setiap individu muslim mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan kewajipan agama.


Dr Burhanuddin Jalal Berita Harian Online Agama 14/07/013