July 18th, 2013

Beriktikaf 10 malam terakhir Ramadan sunat muakkad

Iktikaf bermaksud berada dalam masjid dengan niat untuk melazimkan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia adalah ibadah yang telah lama disyariatkan dan al-Quran menunjukkan amalan iktikaf sudah wujud pada zaman Nabi Ibrahim.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim (tempat berdiri Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah) tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang yang tawaf, iktikaf, rukuk dan sujud.” (Surah al-Baqarah, ayat 125)


Ulama sepakat mengatakan amalan iktikaf disyariatkan berdasarkan dalil sahih. Baginda SAW beriktikaf pada setiap Ramadan iaitu pada sepuluh akhirnya. Hukumnya adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) pada bila-bila masa tanpa mengira Ramadan atau bulan lain.

Iktifaf wajib jika bernazar

Ada kala, iktikaf menjadi wajib apabila seseorang itu bernazar untuk melaksanakannya atas tujuan tertentu.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah: “Sesungguhnya Nabi SAW telah beriktikaf dalam sepuluh hari terakhir Ramadan sehingga Baginda wafat, kemudian isteri-isterinya turut beriktikaf dalam tempoh itu.”

Riwayat Baginda SAW beriktikaf selama sepuluh hari menunjukkan Baginda terasa hampirnya kedatangan ajalnya. Dengan demikian Baginda telah meluangkan lebih masa untuk mengerjakan ibadat, mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menangis di depan-Nya.

Al-Alamah Ibnu Rajab berkata: “Adapun sesungguhnya Rasulullah SAW telah beriktikaf dalam tempoh sepuluh hari terakhir Ramadan adalah menunggu kedatangan malam lailatulqadar, meluangkan masa dari kesibukannya, melapangkan kerisauannya dan berkhalwat bermunajat kepada Allah SWT, mengingatinya dan berdoa kepada-Nya.”

Mereka yang mengerjakan amalan iktikaf adalah membatasi dirinya dalam ketaatan kepada Allah SWT dan mengingati-Nya. Baginda memutuskan dirinya daripada kesibukan yang selalu dilalui. Tiada sebarang kerisauan dalam jangka masa itu melainkan untuk memperoleh keredaan Allah SWT.

Rukun iktikaf ada empat iaitu niat, tinggal dalam masjid dan tidak melakukan perkara yang membatalkan iktikaf. Syarat orang yang beriktikaf ialah Islam, berakal, bersih dari haid, nifas dan junub, serta mendapat keizinan suaminya (bagi isteri) dan tidak (bagi perempuan) dalam edah.


Raja Nurul Ain Raja Yacob Berita Harian Online Agama 18/07/2013

Rugi ponteng puasa tanpa izin syarie

Setiap hari yang diganti tidak sama dengan bulan Ramadan

Sebelum tibanya Ramadan, ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu diisi semaksimum mungkin dan diselang dengan tadarus.

Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah kerana semua ingin menghambakan diri seterusnya menjadi hamba-Nya yang tulus.

Kemeriahan Ramadan bukan diukur dengan besarnya atau gamatnya suasana berbuka puasa, tetapi sejauh mana umat Islam mampu merubah diri ke arah yang lebih baik khususnya dengan amalan puasa.

Amalan berpuasa yang sebenar-benarnya hanya dapat dilakukan oleh mereka yang beriman. Perkara menghalang seseorang daripada makan dan minum pada saat dahaga atau lapar meskipun ada hidangan lazat terhidang depan mata ialah keimanannya kepada Allah.

Perkara menghalang seseorang daripada melakukan maksiat dan berbicara perkara sia-sia juga adalah imannya kepada Allah. Semuanya kerana mereka menahan diri daripada perbuatan yang membatalkan puasa.

Sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah berpuasa itu menahan diri daripada makan dan minum saja, akan tetapi berpuasa itu juga menahan diri daripada berkata-kata dengan perkataan kotor dan kata-kata kesat.”

Orang puasa luar biasa

Justeru, tiada siapa yang mampu menolak hakikat bahawa orang yang berpuasa ialah orang yang benar-benar luar biasa. Mereka mengejar rahmat pada permulaannya, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari neraka jahanam.

Mereka yang bersalah memohon maaf, sombong menghulur senyum, jahat mula bertaubat, malas menyinsing lengan, takbur tidak jemu bersujud memohon keampunan, pelepasan daripada dosa yang terhimpun sekian lama.

Indahnya Ramadan, paginya hening untuk menginsafi siri, siang bersabar dan malam yang singkat untuk bertaubat. Selain menahan lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri daripada melakukan perbuatan maksiat yang lain.

Halal dilakukan pada bulan lain menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan di siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Sebab itu orang yang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Orang yang berpuasa ialah orang yang bertakwa dan itulah hakikat tujuan puasa. Mereka menjaga hati daripada berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata daripada memandang sesuatu yang tidak selayaknya.

Menjaga hidung menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga daripada halwa membuai rasa dan suara membawa berita bohong, menjaga lidah membicarakan hal tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya.

Rugi tinggal puasa tanpa izin syarie

Orang yang meninggalkan ibadah puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari itu pada mana-mana hari pun di dunia, meskipun ia berpuasa seumur hidupnya.

Daripada Abi Hurairah, katanya, bersabda Rasulullah SAW: “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.”

Waktu ini juga ibu wajar mengambil peluang keberkatan Ramadan untuk meluangkan masa berganda bersama anak serta mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lain wajar ditazkirahkan dan diamalkan bersama supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta.

Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam dalam kitab suci, tetapi juga amalan ditunjukkan oleh ibu bapa, pendakwah yang paling hampir dengan mereka.

Tunjuk ajar yang betul di peringkat awal usia anak-anak untuk menghadapi Ramadan menjadi batu asas untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka.

Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamulail.

Khususnya apabila tiba lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini supaya lebih baik daripada sebelumnya.


Nik Salida Suhaila ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia. Berita Harian Online Agama 18/07/2013

Cabaran Ramadan 24 jam

KADANG-kala terfikir bagaimana keadaan sambutan Ramadan di sebuah kawasan yang mana matahari tidak terbenam selama 24 jam, khususnya dalam musim panas.

Walaupun pelik tetapi hakikatnya situasi berkenaan benar adalah berlaku dalam kalangan umat Islam di Utara Sweden dengan matahari tidak terbenam selama sebulan.




Masjid Stockholm menjadi lambang keteguhan umat Islam di Sweden walaupun mereka warga minoriti di negara berkenaan


Keadaan itu amat mencabar bagi mereka kerana istilah berpuasa daripada segi syariat ialah menahan diri daripada lapar dan dahaga selain perbuatan membatalkannya bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Bagi umat Islam Sweden, berpuasa dalam musim panas di mana matahari tidak terbenam selama sebulan adalah satu kewajipan yang tiada kompromi.

Bagaimanapun, terdapat para ulama berpendapat bahawa umat Islam Sweden boleh mengikut waktu berbuka dan sahur Mekah atau Madinah, selain terdapat hujah lain mengatakan mengikut masa mana-mana negara Islam berdekatan.

Sebaliknya pendapat lain mengatakan mereka terpaksa mengikut zon masa Sweden.

Walaupun pelbagai pendapat diberikan, umat Islam Sweden berjumlah 200,000 orang itu wajib menunaikan ibadah puasa kerana itu merupakan salah satu Rukun Islam.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 18/07/2013

Dikritik kerana angkat sumpah pegang al-Quran

TINDAKAN seorang ahli kabinet baru Australia, Ed Husic memegang al-Quran ketika mengangkat sumpah jawatan telah mengundang pelbagai kritikan oleh golongan anti-Islam di negara berkenaan.

Golongan berkenaan mendakwa tindakan Ed Husic itu adalah ekstrem sekalipun situasi berkenaan mendapat makluman positif termasuklah Ketua Pembangkang Australia, Tony Abbott.

Ed Husic ialah individu Muslim pertama dilantik menganggotai kabinet pimpinan Kevin Rudd dengan memegang jawatan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri.


Ahli kabinet pertama beragama Islam di Australia, Ed Husic.

Beliau dikatakan memegang al-Quran ketika mengangkat sumpah di hadapan Ketua Gabenor, Quentin Bryce baru-baru ini. Perbuatan itu telah dikritik hebat oleh rakyat Australia khususnya dalam media-media sosial.

Beliau yang merupakan anak kepada pendatang Bosnia yang menetap di Australia memahami kebimbangan yang dilahirkan oleh beberapa pihak, sebaliknya keputusan itu adalah jelas kerana berdasarkan agama yang dianutinya.

"Saya tidak mahu mengangkat sumpah jawatan tanpa berasaskan agama. Bahkan melalui tindakan memegang al-Quran bertujuan untuk mengukuhkan komitmen saya kepada negara dan rakyat.

"Tidak mungkin saya akan mengangkat sumpah jawatan menggunakan kitab Injil dan tidak sesekali akan berikrar," ujar beliau.

Namun, tindakan berkenaan telah mendapat sokongan positif termasuklah seorang ahli Parlimen Australia iaitu Josh Frydenberg dalam Twitter terbaharunya dengan menyatakan sebagai warga yang hidup dalam negara berdemokrasi, mereka sepatutnya menghormati amalan agama lain.

"Beliau menterjemahkan kepercayaan agamanya melalui perbuatan memegang al-Quran dan bukannya menjalankan gejala negatif.

"Saya menyokong dan akan berkerja bersama-sama Ed Husin untuk menyatukan perpaduan selain menjadi jambatan perpaduan antara komuniti di Australia," ujar Josh Frydenberg yang merupakan pemimpin dari Parti Liberal dan berbangsa Yahudi.

Utusan Malaysia Online Bicara Agama 18/07/2013

Menyucikan jiwa dalam bulan mulia

ALLAH SWT berfirman yang maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah 2:183)

Daripada ayat ini kita sudah boleh mengetahui bahawa hikmah utama bulan Ramadan ialah untuk membina takwa. Daripada sudut praktikal pula takwa ialah melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.

Daripada sudut spiritual takwa ialah perasaan takut dan waspada dalam mengorak setiap langkah dalam kehidupan beragama di dunia ini.

Bulan Ramadan adalah tempat dan masa terbaik untuk menyucikan jiwa.

Rasulullah SAW telah pun memberikan pelbagai tips untuk menyucikan jiwa di bulan mulia ini.

1Menghayati amalan ibadah pada bulan ini dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala.

Beberapa hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa siapa puasa dan solat malam di bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosanya yang terdahulu.

Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar sentiasa menekankan sudut keimanan dalam melakukan sesuatu amalan. Jiwa Muslim juga wajar sentiasa mengharapkan pahala daripada Allah SWT sahaja.

2Bersabar dalam menghadapi segala cabaran.

Sabda Rasulullah SAW: Puasa adalah perisai… Jika ada orang yang mencacinya atau memeranginya, hendaklah dia sebut: Saya berpuasa. (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)

Perhatikanlah bagaimana puasa mendidik jiwa Muslim agar menahan dirinya daripada pergaduhan. Dengan ini puasa mendidik sifat mulia iaitu sifat sabar dalam jiwa Muslim.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (al-Zumar:10)

Jiwa yang suci pasti akan dapat bersabar dalam mengamalkan ketaatan, sabar dalam meninggalkan maksiat dan sabar dalam menghadapi musibah.

3Mengaitkan kegembiraan dengan ketaatan terhadap Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: Orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; semasa dia berbuka dia akan gembira dan semasa dia berjumpa dengan Tuhannya dia akan bergembira dengan puasanya." (riwayat al-Imam al-Bukhari, no. 1904)

Hadis ini mendidik jiwa agar bergembira dengan ketaatan dan bukannya bergembira semasa membuat maksiat.

4Sentiasa berdoa dan meminta daripada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara." (riwayat al-Uqaili dan Ibnu Asakir; disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah, no. 1797)

Hadis ini mendidik jiwa Muslim agar merendah diri kepada Allah SWT dengan berdoa sepanjang masa tatkala berpuasa.

Inilah intisari ibadah yang sebenar. Ia juga menunjukkan jiwa Muslim berjaya disucikan di dalam bulan Ramadan yang mulia ini.


DR. FADLAN MOHD. OTHMAN  PENULIS ialah Timbalan Rektor/Ketua Pegawai Eksekutif (Hal Ehwal Pelajar) Al-Madinah International University (MEDIU) Utusan Malaysia Online Bicara Agama 18/07/2013