July 19th, 2013

Pengurusan haji di tanah air

LEMBAGA Tabung Haji (TH) adalah satu-satunya badan yang dipertanggungjawabkan terhadap segala urusan berkaitan jemaah haji Malaysia. Tanggungjawab itu bermula daripada persiapan awal hinggalah mereka selamat pergi dan balik dari Tanah Suci menunaikan fardu haji.

Pengurusan jemaah haji sentiasa dirancang dan dilaksanakan dengan teratur dan rapi. Ini bagi memastikan urusan persiapan diri, penerbangan, pengangkutan di Tanah Suci, penginapan dan yang terpenting ibadah haji berjalan dengan selamat, sempurna serta pada kos yang efektif.

Perancangan bermula daripada sesi-sesi percambahan fikiran dan penilaian operasi haji tahun sebelumnya.

Ini bagi membolehkan setiap pengalaman dan maklum balas dinilai dan digunakan sebagai asas untuk penambahbaikan perkhidmatan musim akan datang.

Pelaksanaan urusan haji secara keseluruhannya meliputi aspek bimbingan jemaah haji, penyediaan petugas haji, penyediaan prasarana dan logistik tanah air dan tanah suci serta penyelarasan dengan pihak-pihak berkuasa di Malaysia serta di Arab Saudi.

Pengurusan haji di tanah air yang melibatkan bakal haji dapat dirangkum dalam lapan aktiviti utama iaitu pendaftaran, pemilihan kelayakan, bimbingan, pemeriksaan kesihatan, pengurusan pasport, Surat Jadual Penerbangan, urusan visa, dan operasi penerbangan haji.

Setiap rakyat Malaysia yang hendak mengerjakan haji perlu mendaftar dengan TH. Untuk tujuan itu mereka perlu mempunyai deposit minimum di TH RM1,300.

Mereka boleh mendaftar sama ada dengan datang sendiri ke kaunter-kaunter TH, Bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia dan Maybank Islamic di seluruh negara. Mereka juga boleh mendaftar secara dalam talian di www.tabunghaji.gov.my atau melalui mesin ATM ketiga-tiga bank tersebut.

Bagi mereka yang telah mendaftar, pemilihan dibuat secara yang daftar dahulu didahulukan. Bagi yang terpilih untuk ke tanah suci pada tahun semasa, surat tawaran akan dihantar oleh TH kepada mereka berasaskan alamat yang ada pada rekod pendeposit TH. Oleh itu, amat penting untuk memastikan alamat dikemaskini.

Apabila sudah mendapat surat tawaran, bakal haji hendaklah mencukupkan wang bayaran haji dan menyatakan persetujuan secara rasmi kepada TH. Mereka juga perlu mendapatkan Buku Rekod Rawatan perubatan dari TH.

Bagi yang terpilih mereka akan dipanggil untuk mengikuti tiga peringkat kursus haji yang dianjurkan TH iaitu Kursus Asas Haji, Kursus Intensif Haji dan Kursus Perdana Haji.

Setelah mengikuti kursus-kursus mengikut jadual, bakal haji perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital atau pusat-pusat kesihatan kerajaan yang disenaraikan atau panel terpilih TH.

Mereka perlu lulus saringan fizikal dan mental serta perlu mendapatkan suntikan Meningitis Meningococcal ACYW-135.

Sebagai tambahan kepada suntikan wajib tersebut, bakal haji juga boleh memilih untuk mendapatkan suntikan influenza dan phenomecocal.

Setelah lulus saringan dan pemeriksaan kesihatan, bakal haji perlu menyediakan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) atas tanggungan sendiri. Bagi yang belum ada, hendaklah berurusan terus dengan Jabatan Imigresen.

Bagi yang sudah mempunyai PMA, sebelum menghantarnya ke pejabat cawangan TH, pastikan dahulu tempoh sah laku pasport itu iaitu tarikh tamat tempoh sahnya hendaklah tidak kurang enam bulan dari tarikh perjalanan.

Juga kena pastikan terdapat empat muka surat kosong secara berturutan sebelah-menyebelah selain tiada larangan ke luar negara.

Untuk memastikan mereka tidak berada dalam senarai hitam golongan yang dilarang ke luar negara boleh lakukan semakan sama ada dimana-mana Pejabat Imigresen, melalui sistem aplikasi elektronik Jabatan Imigresen di http://www.imi.gov.my atau klik di Sistem Semakan Status Perjalanan.

Kemudian, masukkan nombor kad pengenalan di Sistem Aplikasi Elektronik (JIM) dan tekan butang 'semak'. Keputusan semakan akan diterima secara automatik.

Setelah memenuhi syarat-syarat di atas, pasport mereka akan dikumpulkan dan kemudiannya dihantar ke ibu pejabat TH untuk proses berikutnya.

Bagi Bakal Haji yang telah melepasi semua proses-proses di atas, TH akan menetapkan tarikh berangkat dengan menghantar Surat Jadual Penerbangan (SJP) kepada mereka secara berperingkat-peringkat.

Bakal haji yang ingin mengetahui status mereka boleh menghubungi pejabat TH yang berhampiran atau TH Contact Centre di talian 03-6207 1919.

Pada masa sama, PMA mereka akan divisakan di Kedutaan Arab Saudi. Bakal Haji akan berlepas ke Tanah Suci secara berperingkat-peringkat mulai pada 1 Zulkaedah setiap tahun.

Bakal haji hendaklah melaporkan diri di lokasi pada tarikh dan masa yang dinyatakan dalam SJP yang telah dihantar kepada mereka.

Sebagai rumusan, semua pendeposit adalah dinasihatkan membuat pendaftaran haji dan merancang pemergian haji masing-masing.

Mereka yang telah terpilih hendaklah mematuhi prosedur-prosedur TH dari awal hingga akhir dan mengikuti kursus-kursus yang telah diatur.

Mereka juga hendaklah sentiasa menjaga kesihatan diri baik daripada segi mental mahupun fizikal.

Banyakkan berdoa supaya segala urusan dapat dipermudahkan oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya ibadat haji menguji keimanan dan ketakwaan terhadap-Nya.



AHMAD RUZMAN AHMAD RAZALI l PENULIS ialah Pengurus Besar (Operasi Domestik), Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 19/07/2013

Mengurangkan kesibukan dunia

BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri ke arah kebaikan. Di bulan Ramadan kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan turut diseru untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat.

Ini bertujuan membentuk hati dan rohani agar akrab kepada Allah SWT di samping mengejar ganjaran yang telah disediakan di bulan Ramadan.

Antara perkara yang digalakkan sepanjang Ramadan ialah:

1 Bersahur - termasuk salah satu perkara yang dituntut di dalam bulan Ramadan. Bangun pada waktu sahur dan bersahur itu merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) ialah makan sahur. (riwayat Muslim dan Abu Daud)

Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari sebaliknya ia mengandungi keberkatan baik dari sudut waktu sahur dan juga perbuatan sahur itu sendiri.

Sabda Rasulullah SAW: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Umat Islam digalakkan untuk menghidupkan malam Ramadan dengan
pelbagai ibadah sunat.
- Gambar hiasan

2 Banyakkan bersedekah - Sedekah merupakan perkara yang amat dituntut kepada umat Islam. Ia merupakan ibadah yang besar ganjarannya di akhirat kelak sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (al-Hadid: 18)

Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam bersedekah. Beliau seorang yang begitu dermawan lebih-lebih lagi apabila tiba bulan Ramadan. Baginda memperbanyakkan sedekahnya melebihi bulan lain selain Ramadan.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus. (riwayat al-Bukhari)

3 Membaca al-Quran - Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran. Pada bulan inilah al-Quran diturunkan kepada Rasulullah sSAW dan pada bulan Ramadan juga malaikat Jibril akan menemui Rasulullah untuk mengajarkan al-Quran.

Baginda akan membaca dan belajar al-Quran secara langsung dengan Malaikat Jibril pada bulan Ramadan. Ibnu Abbas berkata: Jibril menemuinya setiap malam (di bulan Ramadan) untuk mengajarkan al-Quran. (riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, kita diseru memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan terutama pada malam hari kerana waktu itu merupakan waktu terbaik untuk beribadat di samping kurang kesibukan dunia ketika itu.

4 Memberi makan untuk berbuka - Selain daripada bersedekah, amalan memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk mereka berbuka puasa amat digalakkan. Amalan ini membolehkan pelakunya meraih ganjaran yang sama sebagaimana orang yang diberikan makanan itu.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun." (riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah)

5 Solat di malam Ramadan - Solat merupakan medan yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT. Digalakkan kepada umat Islam untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat terutama solat malam seperti solat sunat terawih, solat taubat, qiamullail dan sebagainya.

Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW sangat menganjurkan untuk solat malam Ramadan tanpa mewajibkan dan bersabda: Barang siapa yang melakukan solat malam Ramadan kerana keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim dan Al-Tirmizi)


MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR PENULIS dari Kuliyyah Islamiyyah 'Alamiyyah Gombak, Pengajian Islam Kontemporari Utusan Malaysia Online Bicara Agama 19/07/2013

Al-Quran untuk dihayati, diamal dalam kehidupan

Antara keistimewaan dan kehebatan al-Quran, ia diturunkan secara berperingkat. Firman Allah SWT itu disampaikan kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan Jibril. Hikmah al-Quran tidak diturunkan sekali gus ialah untuk memudahkan manusia memahami keseluruhan tuntutan al-Quran.

Contohnya, pada zaman sahabat, wahyu diturunkan oleh Allah SWT secara beransur-ansur mengikut waktu, keadaan, peristiwa dan tempat supaya dapat difahami, dihayati, dihafaz serta diamalkan terus dalam kehidupan mereka.

Sahabat bukan saja mampu membaca, menghafaz, memahami makna, bahkan lebih daripada itu. Setiap ayat yang sampai kepada mereka diamalkan penuh ikhlas serta kesungguhan. Al-Quran adalah panduan terbaik kepada seluruh umat manusia untuk mengamalkan syariat Islam melalui suluhan wahyu secara sepenuhnya.


Pandangan mengenai penurunan al-Quran

Ulama mempunyai pandangan mengenai penurunan al-Quran dan pandangan paling benar ialah pandangan menyatakan al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam lailatulqadar dalam satu jumlah (secara keseluruhan).

Kemudian al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 20, 23 atau 25 tahun. Perbezaan pandangan mengenai tempoh itu berdasarkan tempoh masa Nabi SAW menetapkan di Makkah selepas kenabian baginda.

Secara kesimpulannya, penurunan al-Quran berlaku sebanyak dua kali, proses pertama, dari Lohmahfuz ke Baitul Izzah iaitu di langit dunia. Ini berpandukan dalil firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1)

Proses atau peringkat kedua penurunan al-Quran secara berperingkat dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad SAW berdasarkan waktu, tempat, keadaan dan peristiwa tertentu. Nabi SAW menerima wahyu pertama ketika baginda berkhalwat di Gua Hira’.

Malaikat Jibril datang menyerupai seorang lelaki dan terus memeluk Nabi Muhammad SAW sambil berkata, “Bacalah”. Nabi Muhammad mengatakan baginda tidak tahu membaca. Malaikat Jibril terus memeluk dan menyuruh baginda baca. Ia berlaku tiga kali dan baginda memberi jawapan sama.

Setelah itu, barulah Jibril mengajar Nabi Muhammad SAW wahyu pertama iaitu surah al-Alaq, ayat 1 hingga 5.

Sumber: Ensiklopedia Al-Quran Berita Harian Online Agama 19/07/2013

Khutbah Jumaat: Ramadan ruang buat kebajikan

Masa sesuai tarbiah diri lakukan perubahan

Kita sudah menghampiri pertengahan Ramadan yang penuh keberkatan. Pastinya kita telah mengorak langkah dan mencapai kenikmatan mengerjakan ibadah termasuk solat sunat Tarawih. Namun, langkah yang telah dimulakan harus sentiasa dikemas kini.


Ganjaran pahala berlipat ganda

Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (di jalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah at-Taghaabun, ayat 16)

Apakah kita semakin berasa kelazatan dalam beribadah dan kehidupan semakin berubah mengikut panduan Ramadan yang berkat, seterusnya mendapat maghfirah dan rahmat Allah SWT. Selari keberkatan bulan penuh rahmat ini, Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda untuk mereka yang sentiasa mencari dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)

Bagaimanakah untuk meraih ganjaran pahala yang hebat itu? Kita hendaklah mempunyai keinginan dan keazaman kuat. Keinginan ini harus disokong dengan pengetahuan yang benar dan penghayatan terhadap nilai sesuatu amalan berlandaskan ajaran Islam.

Contohnya, bagi menggalakkan umat Islam berpuasa Ramadan, kita dituntut menunaikannya dengan iman dan ihtisab iaitu menjiwai ganjarannya.

Menjalani latihan dalam tempoh masa berterusan. Sedarlah, kita sebenarnya diberi satu tempoh yang mencukupi untuk faedah jasmani dan rohani. Latih tubi pelbagai aktiviti sama ada yang fardu atau sunat yang kita jalani setiap waktu perlu dilaksanakan dengan semangat.

Yakinlah hasil daripada latihan ini, kita diberikan bekalan dan tenaga yang mampu untuk dimanfaatkan dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Jika nikmat dikecapi tanpa henti itu adalah maghfirah dan keampunan Allah, sudah pasti tiada ruang untuk tabiat buruk menguasai diri seseorang.

Puasa Ramadan mengandungi didikan untuk setiap lapisan masyarakat merangkumi tarbiah zahir dan batin. Umat Islam yang ingin melakukan perubahan sebenarnya bukan bersendirian, tetapi bersama orang lain yang inginkan perubahan ke arah kebaikan.

Keprihatinan satu pihak terhadap pihak lain dalam ujian yang dihadapi dapat meringankan bebanan seterusnya membantu mereka merebut rahmat Allah dan keampunanNya pada bulan mulia ini.

Ketahuilah takwa adalah hasil yang diharapkan daripada amalan pada Ramadan. Ia akan menjadi bekalan orang beriman dan perisai supaya manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat serta kejahatan.

Usahlah kita lalai dan leka daripada memanfaatkan bulan yang hanya tiba sekali dalam setahun ini kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput. Bayangkanlah, apakah nasib dan balasan yang akan diterima jika kita menemui ajal dalam keadaan lalai serta tidak sempat bertaubat.

Maka, bagi orang yang bertakwa kepada Allah SWT, ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan. Dia juga tidak akan membiarkan maksiat berterusan.

Takwa bukan perkara mudah dicapai

Percayalah, takwa yang menjadi tujuan utama kita berpuasa bukan perkara mudah yang hendak dicapai. Bahkan sahabat pun melahirkan kerisauan membentuk sebenar-benar takwa sehingga turun ayat al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu; dan dengarlah serta taatlah; dan membelanjakan harta kamu (di jalan kebaikan) adalah baik untuk diri kamu. Dan sesiapa yang menjaga dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya.” (Surah at-Taghaabun, ayat 16)

Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam, tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya untuk mencari maghfirah sebagai satu inspirasi kehidupan. Penuhilah ruang dan masa sepanjang bulan ini dengan perkara kebajikan, kebaikan dan berpahala.

Berita Harian Online Agama 19/07/2013