July 22nd, 2013

Tidak salah memakai pakaian berwarna

Umat Islam digalakkan memakai pakaian warna putih. Namun, kita juga dibenarkan memakai pakaian berwarna lain seperti merah, hijau, kuning dan hitam. Kita juga dibenarkan memakai pakaian yang diperbuat daripada kapas, bulu dan lain-lain, kecuali lelaki dilarang memakai sutera.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai anak Adam. Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu pakaian bagi menutup aurat kamu dan pakaian indah sebagai perhiasan. Pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah al-A’raf, ayat 26)

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan untuk kamu tempat bernaung daripada benda yang Dia ciptakan. Dia menjadikan untuk kamu tempat tinggal di gunung-ganang. Dia juga menjadikan untuk kamu pakaian yang memelihara kamu daripada panas, juga pakaian (baju besi) yang memelihara kamu semasa peperangan. Demikianlah, Allah menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepada-Nya.” (Surah an-Nahl, ayat 81)

Abdullah bin Abbas berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Saudara sekalian pakailah pakaian berwarna putih kerana warna putih adalah warna terbaik. Saudara sekalian juga gunakan pakaian warna putih untuk dipakaikan kepada orang meninggal.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Fitrah manusia

Walaupun digalakkan memakai pakaian warna putih, namun tidak salah mengenakan pakaian berwarna lain kerana fitrah manusia menyukai warna terang dan ada memilih warna lembut sesuai dengan kecenderungan minat masing-masing.

Al-Barra’ bin ‘Azib berkata, “Nabi Muhammad adalah seorang yang sederhana tingginya. Baginda kelihatan segak dan tampan apabila memakai pakaian berwarna merah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Rimsah atau nama sebenarnya Amru bin Huraith berkata: “Saya melihat Nabi Muhammad memakai dua baju yang berwarna hijau.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Sumber: Riyadus Salihin Taman Orang Soleh Berita Harian Online Agama 22/07/2013

Semangat luntur di pertengahan Ramadan

Doa, jaga pancaindera, berusaha sepenuh hati kaedah kekalkan ibadah

Ramadan, bulan rahmat dan pengampunan adalah peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Setiap amalan sunat akan diberi ganjaran seperti amalan fardu. Setiap amalan fardu pula akan diberi ganjaran 70 kali ganda.

Syaitan juga dibelenggu sepanjang Ramadan ini. Pendek kata, Ramadan membuka peluang amat besar untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan mementingkan amalan sunat tanpa mengabaikan amalan fardu.

Peluang inilah yang diambil oleh sebahagian besar umat Islam. Masjid dan surau mula melimpah dengan jemaah hingga al-Quran di rak-rak tidak cukup. Suara merdu alunan al-Quran umpama bunyi tebuan. Tasbih pula kelihatan kilat bersinar dek kerana sentiasa dikira.

Fenomena awal Ramadan

Tua, muda, lelaki dan wanita penuh semangat mengimarahkan Ramadan seumpama mendapat semangat baru. Itulah gambaran suasana dan fenomena pada awal Ramadan. Masing-masing berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah.

Namun, semangat itu semakin hari semakin berkurangan. Entah di mana silapnya, keletihan mula mencengkam selepas tujuh hingga 10 hari. Daripada 20 rakaat bertarawih, terhenti pada rakaat kelapan.

Al-Quran yang dulunya sentiasa dibelek, kini tersusun rapi di rak-rak. Tasbih juga sudah hilang, tidak lagi dibilang-bilang. Semangat dan kekuatan melakukan ketaatan semakin berkurang. Inilah masalah yang sentiasa menghantui umat Islam dalam menghadapi Ramadan mendatang.

Bagaimanakah untuk mengekalkan istiqamah dan konsisten melakukan ketaatan sepanjang Ramadan. Menurut Syeikh Habib Ali Al-Jufri Hafizahullah, terdapat tiga kaedah boleh diamalkan untuk mendapat kekuatan kekal istiqamah menjalankan ibadat dan ketaatan sepanjang Ramadan.

Pertama ialah banyak berdoa serta berharap dengan Allah, mohon diberi kekuatan untuk memperbanyakkan ibadat dan ketaatan sepanjang Ramadan. Sebagai hamba dan makhluk Allah SWT, kita sebenarnya langsung tiada kekuatan.

Kekuatan dan daya upaya itu datang daripada Allah SWT. Hatta untuk mengerlipkan kelopak mata pun, ia adalah taufik dan hidayah daripada Allah SWT. Apatah lagi untuk berdiri 23 rakaat solat Tarawih. Membaca satu juz al-Quran, berzikir, selawat, istighfar dan ibadat lain. Semuanya hanya dapat dilakukan jika diizinkan dan diberi kekuatan oleh Allah SWT.

Antara doa diajarkan Nabi SAW ialah seperti diajarkan kepada Mu‘az bin Jabal ra. Mu‘az bin Jabal menceritakan, suatu hari Rasulullah SAW memegang tangannya seraya mengucapkan, “Hai Mu‘az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar mencintaimu. Lalu Baginda bersabda: Aku wasiatkan kepadamu hai Mu‘az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap kali pada akhir solat hendaknya kamu berdoa: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad dan al-Hakim)

Kedua, menjaga pandangan, pendengaran dan pertuturan. Sememangnya sepanjang berpuasa kita dituntut menjaga pandangan, pendengaran dan pertuturan. Jika tidak dijaga, ia boleh menyebabkan berkurangnya pahala.

Namun tanpa disedari, pandangan, pendengaran pertuturan dan semua anggota umumnya akan mempengaruhi kekuatan seseorang untuk melakukan ibadah dengan istiqamah. Jika tersilap memakan makan yang syubhah atau tidak suci ia boleh menyebabkan berat untuk melakukan solat Tarawih atau bangun sahur.

Apatah lagi amalan sunat lain. Oleh itu, seseorang mestilah berhati-hati terhadap apa yang dilihat, didengar serta diucapkan. Bukan setakat itu saja, tangan, kaki dan hati juga perlu dijaga untuk memastikan tubuh sentiasa ringan melakukan ibadat serta merasa kemanisan beribadat.

Sepenuh hati lakukan ibadah

Kaedah ketiga ialah berusaha sepenuh hati untuk menghadirkan Allah SWT dalam setiap amal ibadah. Memang setiap amalan seseorang itu mestilah ada niat dan kerana Allah SWT, tetapi adakah kita menghadirkan Allah SWT dalam setiap amalan dan ibadat kita.

Apakah yang datang ketika bertakbir untuk solat Tarawih? Adakah kita bayangkan yang solat ini ingin dipersembahkan sebaik-baiknya kepada Allah SWT atau sekadar membilang rakaat, dua, empat, enam dan habis lapan?

Itu masih belum ingatan terhadap juadah enak yang masih belum sempat dimakan ketika berbuka, jualan murah dan perkara lain melalaikan. Begitu juga ketika membaca al-Quran, adakah kita membaca al-Quran dengan sepenuh hati.

Berbeza dengan sahabat dan tabiin, apabila mereka ingin membaca al-Quran, hati mereka berasa kebesaran, keagungan dan rasa takut timbul sejak mula memegang al-Quran lagi. Sebelum membaca al-Quran mereka mengatakan kepada diri, “ini kalam Allah”, “aku ingin bercakap dengan Allah”.

Ikrimah contohnya, apabila beliau ingin membaca al-Quran, bermula sejak beliau melihat huruf dalam al-Quran, dari situ telah timbul rasa kebesaran Allah SWT dalam hatinya. Maka sebelum sempat membaca ayat al-Quran, air mata sudah menitis merasakan kehadiran, keagungan dan kebesaran Allah SWT.

Sesiapa yang melakukan ketiga-tiga perkara ini, insya-Allah akan dapat merasakan kemanisan dalam beribadat dan melakukan ketaatan, seterusnya meningkatkan tahap amalan serta istiqamah melakukan ketaatan sepanjang Ramadan.

Sharir Akram Hassan ialah Felo Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia (USM) Berita Harian Online Agama 22/07/2013

Solat tarawih setahun sekali

DALAM kesibukan melaksanakan tugasan harian, umat Muslimin dinasihati mempertingkatkan amal ibadah termasuk menunaikan solat tarawih pada malam-malam Ramadan.

Diriwayatkan Rasulullah SAW pernah menggalakkan sahabatnya melaksanakan qiam Ramadan tanpa menyuruh mereka dengan bersungguh-sungguh (yakni tidak menunjukkan suatu perkara yang wajib), seraya bersabda; "Barang siapa melakukan qiam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan reda dan ganjaran Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu". (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa'i)

Menurut buku Panduan Puasa Ramadan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pendapat yang diamalkan dalam Mazhab Syafie' adalah 20 rakaat dengan melakukan salam selepas setiap 2 rakaat.

Imam Nawawi juga pernah mengingatkan imam dan orang ramai supaya menyempurnakan kesemua tuntutan solat kerana ada segelintir yang mengabaikan zikir dan bacaan solat kemungkinan dengan alasan untuk bersegera menghabiskannya. Menurutnya lagi sebaik-baiknya dikhatamkan keseluruhan al-Quran dengan membaca satu juzuk untuk satu malam.

Selain itu, umat Islam diharap tidak hanya semarak berbuat demikian pada awal Ramadan, sehingga pengurusan masjid terpaksa bertungkus lumus untuk memastikan semua jemaah selesa lalu segala tikar dan permaidani dikeluarkan dari stor. Namun setelah berlalu beberapa hari Ramadan rumah Allah mula sepi dan jemaah yang hadir turut berkurangan.

Mungkin ramai yang mula sibuk berbuka puasa di luar sambil mengambil kesempatan berbelanja dan membuat persiapan awal bertemu Syawal. Atau mungkin juga rahmat Allah SWT lebih banyak diberikan pada awal Ramadan berbanding ganjaran pengampunan dosa dan pembebasan api neraka yang dikhususkan untuk mukmin terpilih sahaja.

Dalam pada itu amalan membawa juadah ringan seperti kuih muih untuk moreh seusai bertarawih elok diteruskan terutama oleh generasi masa kini. Amalan baik lagi terpuji seperti ini mampu mengimarahkan rumah Allah SWT sekali gus memupuk hubungan baik antara sesama jiran tetangga dan masyarakat setempat.

Di sisi lain, bagi sebilangan masyarakat Islam, ketibaan Ramadan kali ini turut diwarnai dengan episod perang saudara, pergaduhan dan pertumpahan darah. Malah di Malaysia agama Islam yang suci juga turut menjadi mangsa penghinaan pihak tertentu yang kurang memahami nilai toleransi dan kebebasan beragama.

Justeru, bilangan rakaat tarawih bukanlah suatu isu yang perlu diperdebatkan. Apa yang lebih penting adalah bagaimana untuk memenuhi Ramadan dengan amal ibadah dan aktiviti berfaedah.

Masyarakat Islam di negara ini juga sepatutnya bersyukur dengan nikmat keamanan yang ada kerana dengan nikmat tersebut kita dapat menjalani ibadah puasa dalam suasana aman dan harmoni berbanding di tempat yang lain.

Nikmat yang begitu bernilai ini eloklah dipelihara agar generasi masa depan turut merasai nikmat Ramadan yang sama. Malahan kesempatan bebas beribadah termasuk bertarawih eloklah juga ditambah dengan memperbanyak doa agar masalah dalaman dan luaran yang membelenggu umat Islam masa kini diselesaikan oleh-Nya lebih-lebih lagi dengan berkat Ramadan sebagai bulan dimakbulkan doa.



MOHD ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru Utusan Malaysia Online Rencana 22/07/2013

Jihad intelektual hindari penghinaan

LEBIH sebulan lalu atau tepatnya pada 11 Jun 2013, Demyana Obeid Abd El-Nour didenda di sebuah mahkamah di Luxor, Mesir kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Sebelumnya, seorang guru beragama Kristian Koptik dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun kerana menghina Islam di media sosial facebook.

Seminggu lalu, ketika umat Islam baru memulakan ibadat berpuasa di bulan Ramadan, pasangan kontroversi Vivian Lee dan Alvin Tan memuat naik gambar provokasi yang menimbulkan kemarahan umat Islam. Kesalahan yang dilakukan mereka ini memang berat dan sukar dimaafkan.

Hatta, Peguam Negara menyatakan bahawa meskipun dari segi peruntukan undang-undang kes sebegini membenarkan kedua-duanya diikat jamin sehingga ke tarikh perbicaraan, akan tetapi memandangkan kecenderungan pasangan ini boleh mencetuskan keadaan yang lebih mendatangkan mudarat kepada khalayak ramai, maka penahanan mereka adalah langkah terbaik bagi memastikan keadaan harmoni dan aman dapat dijaga.

Meskipun pasangan kontroversi tersebut telah memohon maaf, umat Islam tidak boleh menerimanya sebagai langkah pembetulan disebabkan penghinaan itu sengaja dilakukan. Tentunya, masyarakat tidak boleh menerima kenyataan kesal Alvin dan Vivian, kerana mereka sepatutnya sudah arif bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan reaksi yang lebih besar.Ramai bukan Islam mengetahui apa pun makanan yang berasaskan daging babi adalah haram dan cuba mengaitkannya dengan umat Islam, dianggap satu percubaan mencabar.

Satu lagi peristiwa yang membengkakkan emosi umat Islam di Malaysia beberapa hari lalu adalah komen seorang diplomat yang mewakili Vatican City di Malaysia sanggup menghina Islam kerana tidak berpuas hati dengan larangan menggunakan kalimah Allah dalam versi bible berbahasa Melayu.

Sejarah penghinaan terhadap apa sahaja yang boleh dihubungkan dengan Islam sudah berlaku sejak sekian lama, tetapi penghinaan sedemikian hanya berlaku atas kurang kefahaman bukan Islam terhadap Islam. Keadaan sedemikian pastinya akan menerima kecaman hebat sekiranya ada masyarakat Islam membuat penghinaan ke atas apa sahaja yang ada hubungan dengan simbol agama lain.

Umat Islam di Malaysia meskipun merupakan penduduk majoriti dan Islam sebagai agama rasmi negara sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, tidak berani bertindak melontarkan pandangan keras kecualilah dalam kes Alvin dan Vivian. Ini kerana, ketika penghinaan sedemikian berlaku, ia jarang berlaku ketika umat Islam mengerjakan ibadat berpuasa. Setahun lalu, akhbar The Star pernah dikecam kerana menyiarkan iklan untuk berbuka puasa di sebuah restoran yang menghidangkan makan haram bagi umat Islam.

Perilaku bukan Islam boleh diterima dengan "senyum terpaksa" apabila mengeluarkan kenyataan "memohon maaf" dan menarik balik mesej yang dikeluar ataupun dipaparkan dalam pelbagai saluran media. Kali ini, belum ada persetujuan ramai secara senyap untuk menerima permohonan maaf itu kerana mereka percaya selagi tindakan tegas tidak diambil, permohonan maaf itu hanyalah helah untuk tidak diambil tindakan undang-undang..

Dalam perspektif lain, ramai juga melihat meningkatnya ejekan dan kejian atau penghinaan bukan Islam terhadap Islam kerana pemimpin-pemimpin Islam sendiri tidak pernah memperlihatkan jiwanya untuk bersatu dengan mengetepikan perbezaan pendirian politik. Bila umat Islam terpecah akibat terlalu berusaha menegakkan kehendak politik untuk berkuasa, bukan Islam terus mendapat ilham untuk menambahkan bahana perbalahan ideologi politik.

Akibat sentiasa mempamerkan sikap bermusuh, bukan Islam menjadi kian berani bersuara walaupun mereka sebenarnya tidak berhak berbuat demikian. Kemenangan besar DAP dan PKR dalam PRU ke-13 menjadikan bukan Islam semakin berani dan terbuka mencabar umat Islam. Mereka sedar, sebahagian besar umat Islam begitu rapuh pendiriannya, kerana mereka sudah hampir tercabut dengan keperluan melakukan jihad intelektual.

Intelektual Islam dilihat semakin lemah untuk membicarakan secara tegas mengenai Islam kepada bukan Islam tetapi sebaliknya lebih banyak melenting dengan kesilapan kecil atau perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam sendiri atas persoalan ibadat. Misalnya, mengenai perbezaan pendirian mengenai kedudukan undang-undang hudud.

Kelemahan ketara dalam kalangan cerdik pandai Islam di Malaysia adalah sikap ambil mudah dalam konteks memberikan kefahaman kepada bukan Islam mengenai Islam. Apabila ada hasrat untuk mewajibkan pelajar mengambil mata pelajaran Tamadun Islam ketika berada di menara gading misalnya, ada cerdik pandai Islam menjadi terlalu liberal dengan menyalahkan kerajaan sebagai suatu tindakan diskriminasi.

Belum lahir seorang pendakwah Islam tempatan yang berani bersemuka dalam perkara penting berkaitan kepercayaan beragama sebagaimana dilakukan oleh Allahyarham Ahmad Deedat, Dr. Zakir Naik ataupun interaksi intelektual antara Abul Aala al-Maududi dari Pakistan dengan Maryam Jameelah. Interaksi dan proses pencerahan agama dengan penjelasan menarik al-Maududi misalnya berjaya menarik minat Maryam Jameelah untuk mendampingi Islam dan seterusnya muncul sebagai pendakwah yang handal.

Sesungguhnya banyak kaedah dan jalan dalam memberikan pemahaman dan sikap saling menghormati kepada kalangan bukan Islam terhadap agama Islam. Salah satu cara itu adalah dengan memperkukuh dialog antara umat beragama secara berterusan tanpa henti. Dialog ini perlu digagas dalam suasana bebas dan tanpa diselindungi oleh kepentingan politik. Dialog yang berkesan lahir bukan berasaskan kekuatan fizikal atau fitnah, tetapi harus berlandaskan percubaan untuk memahami atau mencari kata sepakat dalam sesuatu masalah bersama dalam perspektif agama masing-masing.

Intelektual Islam di Malaysia lebih gemar mempertaruhkan keilmuannya atas dorongan politik dan bukannya atas semangat jihad intelektual. Sebab itulah di Malaysia muncul sekumpulan pendakwah politik popular kerana menyokong sesebuah parti politik, manakala yang menyokong parti yang tidak menggunakan nama Islam dituduh dan dicaci. Sikap inilah sebenarnya berjaya membangkitkan jiwa berani bukan Islam untuk mencabar apa sahaja yang berkaitan Islam. Bahkan, ketika ada cadangan untuk membentuk satu undang-undang berhubung hak penjagaan anak oleh pasangan yang tidak berasal dalam kalangan Islam dan salah seorangnya telah memeluk Islam, pasangannya yang kekal dengan agama asal menuntut hak itu. Akhirnya, undang-undang yang bertujuan membendung perebutan penjagaan anak yang belum cukup umur berdasarkan peruntukan Islam terpaksa digugurkan.

Ketika kecaman dibuat ke atas cadangan itu, tidak ada seorang pun cerdik pandai Islam bangkit mempertahankannya secara terbuka dan mendampingi bukan Islam dengan berkesan. Bahkan, dalam kes bukan Islam tidak dibenarkan menjadi pengamal undang-undang Islam meskipun mempunyai pengetahuan dan kelayakan, ramai juga intelektual Islam membisu atau melihat larangan itu sebagai satu bentuk diskriminasi.Tetapi, ketika kerajaan menempatkan guru-guru bahasa Melayu di sekolah vernakular, tidak ramai cerdik pandai Islam bangkit membantah sikap bukan Melayu yang menentangnya atas alasan guru-guru tersebut tidak fasih berbahasa Mandarin. Ini bermakna, intelektual Melayu dan Islam mempunyai semangat yang kental dalam tindakan, hanya berpaut kepada keinginan politiknya sendiri dan bertindak berdasarkan keinginan populis.

Punca kelesuan intelektual Islam ialah kerana sanjungan umat Islam hanyalah berkisar kepada persoalan ibadat , kerana ramai yang lupa bahawa ibadat hanyalah sebahagian daripada Islam, masih banyak perkara yang perlu diperhebatkan jika mahukan Islam terus dihormati dan bukannya dihina. Umat Islam perlu membuktikan bahawa kekuatan sebenar ialah kerana mereka sanggup melakukan jihad intelektual, dan bukannya terlalu taksub dengan kepentingan politik atau mempertahankan kebenaran yang nisbi.



PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Utusan Malaysia Online Rencana 22/07/2013