July 23rd, 2013

Buah kurma kaya serat, bekal tenaga segera

Buah kurma mempunyai banyak khasiat dan kebaikan kepada tubuh badan dan antara khasiat utama kurma ialah mempercepatkan pemprosesan dan penyerapan, sekali gus memberikan tenaga segera. Memandangkan kandungan gula ringkasnya sangat tinggi, kurma berupaya membekalkan tenaga yang akan diserap oleh tubuh manusia.


Kurma memang sangat berbeza dengan buah-buahan lain. Oleh itu, ia sesuai dimakan ketika berbuka puasa.

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum menunaikan sembahyang. Sekiranya tiada kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.” (Riwayat Ahmad)

Kurma kaya serat

Kurma kaya dengan serat dan potassium yang diperlukan tubuh. Jika memakan kurma tidak perlu membuang kulitnya kerana pada kulitnya itu terkandung serat larut mahupun serat tidak larut.

Potassium penting untuk menyeimbangkan bendalir badan, terutama sepanjang tempoh berpuasa termasuklah kawalan denyutan jantung dan tekanan darah. Memakan beberapa biji kurma dan air suam sudah memadai untuk menyeimbangkan kandungan air dalam tubuh badan.

Memakan kurma juga dapat menguatkan daya ingatan manusia. Ramai beranggapan hanya kismis saja yang baik dan mampu untuk menguatkan daya ingatan. Sebenarnya kurma setanding dan sesuai diberi kepada kanak-kanak kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran serta membentuk minda kanak-kanak yang sihat.


Dari segi saintifik, kurma berkesan mengubati gangguan usus yang kronik. Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mengandungi sejenis protein serta garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa dicetuskan oleh gluten dalam usus kecil.

Jus kurma atasi masalah sembelit

Selain daripada gangguan usus, jus kurma berkesan untuk mengatasi masalah sembelit. Tetapi minuman ini tidak sesuai diamalkan oleh mereka yang menghidap penyakit diabetes kerana ia boleh mendatangkan kesan yang lebih serius.

Jus kurma juga penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi insomnia. Bagi mereka yang mengalami masalah batuk, jus kurma amat sesuai untuk diamalkan kerana kandungan gula dalam kurma bertindak menghilangkan rasa gatal dalam kerongkong.

Selain itu, kurma juga baik untuk wanita mengandung mahupun bersalin. Sabda Rasulullah SAW: “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”

Kurma adalah makanan sempurna, Rasulullah SAW bersabda: “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”

Kita perlu mengamalkan memakan buah kurma dalam kehidupan seharian bukan saja pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa. Rasulullah SAW mengamalkan memakan buah kurma dan sebagai umat Islam kita perlu mencontohi sunnah Baginda.

Anisah Ibrahim Berita Harian Online Agama 23/07/2013

Sedekah bulan puasa padam azab kubur

Amalan pada bulan Ramadan yang mungkin sebahagian kita terlepas pandang ialah amalan memberi sedekah juadah berbuka kepada jiran tetangga. Suatu ketika dulu amalan ini sentiasa diberikan perhatian dan diamalkan. Natijahnya lahirlah masyarakat bersatu padu, saling hormat-menghormati.

Namun malangnya mutakhir ini amalan memberi sedekah kepada jiran tetangga agak kurang dipraktikkan. Justeru, marilah sempena bulan yang mulia ini kita menghidupkan semula amalan ini, mudah-mudahan perpaduan dan ukhuwah antara jiran tetangga Muslim kembali segar.

Rasulullah insan paling dermawan

Berdasarkan sirah Rasulullah SAW, Baginda adalah insan yang paling dermawan dan lebih memberi derma terutama pada Ramadan.

Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan sifat dermawan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Riwayat Bukhari)

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda, barang siapa yang memberi minum orang berpuasa dengan seteguk air, nescaya Allah akan memberi minum kepadanya daripada telaga Nabi SAW yang mana ia tidak akan dahaga ketika di padang Mahsyar sehingga masuk ke syurga.

Pada Ramadan mulia ini, Allah SWT telah memperlihatkan sifat Maha Pemurah terhadap hamba-Nya. Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang mengerjakan amalan sunat, pahalanya sama dengan amalan wajib. Dan barang siapa yang melakukan amalan wajib, pahalanya sama seperti melaksanakan 70 amalan wajib yang sama.”

Sesungguhnya seseorang individu yang gemar bersedekah tidak akan mengurangkan hartanya bahkan Allah SWT akan menambah rezekinya. Ini ditegaskan Baginda SAW dalam sabdanya: “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah.” (Riwayat Tirmidzi)

Selain itu, amalan sedekah yang dilakukan oleh seorang Muslim dengan ikhlas akan berupaya memadamkan kesengsaraan azab kubur.

Bagi insan yang bijaksana, mereka sentiasa memikirkan apakah tindakan yang boleh dimanfaatkan setelah merasai nikmat dikurniakan Allah SWT kepadanya. Memperbanyakkan bersedekah satu amalan yang dituntut syarak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang lelaki yang bersedekah dan orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid, ayat 18)

Kikis sifat bakhil

Bersama kita mengikis sifat bakhil dalam diri dan memulakan penghijrahan sikap dengan yakin akan janji Allah SWT yang sememangnya benar semata-mata. Walau kita dilanda kesempitan wang sekalipun, kita masih lagi boleh bersedekah dengan cara lain seperti mana dianjurkan.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bukankah Allah telah memberimu apa yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan tasbih adalah sedekah, takbir sedekah, tahmid sedekah, tahlil sedekah, amar makruf sedekah, nahi mungkar sedekah.” (Riwayat Muslim)

Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan pada Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah SWT di hari akhirat kelak.

Konsep ‘memberi’ (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan saja pada Ramadan kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya.

Sedekah dapat menghakis sifat kedekut dalam diri di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

Satu peringatan buat kita, usahlah kita mengungkit-ungkit sedekah yang telah dihulurkan kerana perbuatan itu akan merugikan kita semua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah kamu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan ia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka perumpamaan orang itu ialah seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah ia (batu tadi) bersih.
Mereka tidak menguasai (beroleh) sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Asri Md Saman @ Osman ialah pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman Berita Harian Online Agama 23/07/2013

Rahsia didik anak berpuasa

MENDIDIK dan menggalakkan anak berpuasa sangat penting sebagai pendidikan awal kepada mereka tentang kepentingan ibadah puasa. Lebih-lebih lagi bagi yang baharu hendak mula berpuasa. Seperti kata peribahasa, 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya' yang membawa maksud untuk mendidik dan mengajar anak biarlah sejak dari awal lagi atau dari kecil.

Sebagai ibu bapa, pendidikan mentaati Allah SWT dan rasul-Nya mestilah bermula dengan pendidikan iman, akhlak dan adab. Anak-anak dalam lingkungan empat atau tujuh tahun yang pertama kali menunaikan ibadah puasa hendaklah diberikan rangsangan dan motivasi bahawa pahala berpuasa sangat besar ganjarannya.

Justeru, jelaskan kepada anak-anak berkaitan firman Allah SWT yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak yang baharu pertama kali berpuasa. Nabi SAW pernah bersabda: "Barang siapa berpuasa dalam bulan Ramadan dan mengetahui segala batas-batasnya serta memelihara diri daripada segala yang baik, nescaya dipelihara diri daripadanya, nescaya dosa itu menutup segala dosa yang lalu." (riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Pendidikan keimanan itu mestilah tersemat di hati dan dibuktikan dengan amal serta yakin dengan ajaran-Nya. Iman dan amal merupakan dua perkara yang beriringan dan tidak terpisah walaupun berbeza dari segi takrif. Ini kerana amal itu adalah hasil iman dan iman pula tidak sempurna tanpa amal.

Teknik Rasulullah

Kaedah dan teknik pendidikan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sangat berkesan boleh dijadikan contoh dan panduan iaitu menjelaskan kepada mereka bahawa ibadah puasa dijanjikan syurga oleh Allah SWT dan akan mendapat balasan pahala di sisi-Nya.

Sebagai ibu bapa kaedah dan teknik pendidikan secara berhikmah, lemah-lembut, penuh rasa kasih sayang menyatakan semua oran Islam diwajibkan berpuasa dan mereka akan beroleh ganjaran pahala yang besar.

Jelaskan juga kepada anak-anak yang baru pertama kali hendak memulakan ibadah puasa akan keseronokan berpuasa iaitu orang yang berpuasa akan menikmati ibadah berbuka serta terangkan ibadah puasa dapat menghapuskan segala dosa yang lalu serta dijauhkan daripada neraka selama 70 tahun. Selain itu orang yang berpuasa juga diberikan hadiah syurga melalui pintu Ar-Rayyan daripada Allah SWT.

Beritahu anak-anak yang baharu hendak mula berpuasa. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: Daripada Abu Umamah katanya: "Ya, Rasulullah tunjukkanlah kepadaku amal yang dengannya aku boleh masuk syurga." Rasulullah SAW menjawab: "Berpuasalah kerana tiada (ibadah) yang menandinginya." (riwayat Ibnu Majah)

Memotivasi anak-anak

Sebagai ibu bapa mestilah memahami kemampuan anak-anaknya untuk berpuasa. Bagi anak yang pertama kali hendak berpuasa boleh digalakkan berpuasa sebagai permulaan separuh hari. Kemudian diikuti dengan satu hari. Jika mereka masih bertahan, maka bolehlah diteruskan puasa tersebut.

Di samping itu, adalah lebih berhikmah sekira diberikan kata pujian kerana dengan cara itu semacam memberi rangsangan buat mereka.

Kajian psikologi Islam menyatakan, rangsangan kepada kanak-kanak yang berusia empat atau tujh tahun adalah melalui contoh teladan daripada kawan-kawannya yang berpuasa.

Mereka juga boleh digalakkan melalui pemberian hadiah sebagai permulaan. Biasanya hadiah yang menarik itu adalah apa yang mereka mahu yang berpatutan dan mampu dilakukan oleh ibu bapa sebagai motivasi anak-anak berpuasa.

Kanak-kanak lebih terpengaruh dengan kawan sebaya. Ada ibu bapa yang menggalakkan anak-anak berpuasa dan jika berpuasa mereka akan dibawa ke masjid untuk solat terawih bersama kawan-kawannya.

Berkaitan dengan iman, Imam al-Ghazali menghuraikan pengertian iman dengan katanya: "Pengakuan dengan lidah, membenarkan pengakuan itu dengan hati dan mengamalkannya dengan rukun-rukun (anggota-anggota)."

Hal ini harus difahami oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak berpuasa. Justeru, ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak kepentingan bersahur supaya anak-anak tidak berasa letih dan lapar semasa berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bersahur itu berkat, sebab itu janganlah kamu tinggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang yang bersahur." (riwayat Ahmad)

DR. AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 23/07/2013

Berusaha elak dijangkiti 'penyakit' di bulan Ramadan

MENURUT Islam, Ramadan adalah penghulu segala bulan. Dalam bulan ini, umat Islam berlumba-lumba mengerjakan ibadah dan amalan seperti bersedekah, bantu-membantu, bertadarus dan solat tarawih.

Kedatangan Ramadan amat dialu-alukan oleh orang beriman. Ketika Ramadan, masjid-masjid dipenuhi oleh jemaah, anak-anak yatim ditaja untuk berbuka puasa dan tidak kurang juga tajaan pakaian raya sempena Syawal.

Lagu-lagu raya mula berkumandang di radio dan televisyen mengasyikkan sesiapa yang mendengarnya. Namun, sepanjang Ramadan ini terdapat beberapa penyakit yang perlu dielak bagi memastikan kita dapat meneruskan ibadah dalam keadaan sebaik mungkin. Pertama, penyakit yang sering diulang setiap kali tibanya bulan Ramadan, iaitu penyakit boros berbelanja.

Bulan Ramadan bukanlah bulan untuk berboros. Menjelang berbuka puasa, lauk-pauk yang terhidang cukup banyak. Sebelum berbuka, semuanya ingin dimakan dan diminum. Tetapi kita tahu, berapa banyakkah makanan dan minuman yang boleh dijamah. Malangnya, apabila mengunjungi bazar Ramadan, segala-galanya mahu dibeli. Ini belum diambil kira persediaan hari raya dengan kuih-muih, pakaian baru dan kelengkapan rumah yang jika boleh semuanya ingin ditukar.

Pembaziran makanan menyebabkan sampah-sarap bertambah berlipat kali ganda pada bulan puasa. Semasa Ramadan jugalah, hutang juga bertambah demi persediaan raya. Penyakit sebeginilah yang perlu dielak kerana ia boleh memberi kesan kewangan. Namun, seperti biasa, penyakit ini masih diulang seolah-olah tiada iktibar daripada Ramadan yang lepas-lepas.

Penyakit kedua tidak lain tidak bukan penyakit bermain mercun. Acapkali ketika Ramadan, ada sahaja yang cedera akibat mercun. Bermain mercun bukan sahaja membazir tetapi juga jika tidak kena gaya, boleh membawa kecederaan.

Meskipun diwartakan bahawa bermain mercun adalah salah di sisi undang-undang, namun ia tidak dipatuhi. Mercun sudah sinonim dengan Ramadan dan Syawal. Anak-anak kecil bermain mercun sampaikan ada yang putus jari dan luka di mata yang boleh menyebabkan buta. Kesannya sepanjang hidup kanak-kanak tersebut. Undang-undang sahaja tidak cukup jika tiadanya kesedaran untuk berhenti bermain mercun. Tugas ibu bapa dan masyarakat amat penting dalam menegah kanak-kanak daripada terus bermain mercun.

Seterusnya ialah penyakit hati dan lidah. Penyakit hati ini memerlukan keinsafan agar bukan sahaja wajib dielak ketika Ramadan tetapi juga sepanjang hidup. Penyakit malas umpamanya memberi kesan terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Ramadan bukanlah bulan untuk berehat panjang.

Produktiviti sewajarnya ditingkatkan semasa Ramadan, lebih-lebih lagi tiada masa diperuntukkan untuk bersarapan dan makan tengah hari. Masa itu boleh digunakan untuk perkara yang bermanfaat. Selain itu, penyakit hati yang wajib dibuang jauh ialah hasad dengki.

Tidak usahlah kita berdengki tatkala orang lain mendapat nikmat Allah SWT. Begitu juga, buang jauh-jauh penyakit hati suka melihat orang lain bermasalah. Sikap suka membenci orang yang mendapat manfaat dan suka melihat orang lain bermasalah adalah sikap yang sebenarnya menyebabkan seseorang itu tidak berasa tenang dalam hidup. Sedangkan ketenangan adalah penting dalam hidup.

Apabila hati tidak tenang, mulalah timbul fitnah dan mengumpat sesama Islam. Dari penyakit hati berakar umbi menjadi penyakit lidah. Jauhilah penyakit hati dan lidah kerana ia boleh menghancurkan ukhwah dan silaturahim. Masyarakat Islam akan porak-peranda hanya disebabkan penyakit ini. Tidak perlu anasir luar untuk memporak-perandakan Islam, sudah cukup dengan penyakit hati dan lidah.

Islam mengajar kita menjauhi kedua-dua penyakit ini. Sebagai contoh, jika mendengar berita daripada seseorang, periksalah terlebih dahulu dan janganlah terus percaya. Kita bimbang ia adalah fitnah dan boleh memutuskan silaturahim.

Penyakit terakhir yang perlu dielakkan sudah tentunya penyakit melibatkan fizikal iaitu demam, selsema dan batuk. Sering kali padabulan Ramadan, sudah menjadi seperti kemestian penyakit ini berlaku terutamanya kepada anak kecil. Penyakit berjangkit ini biasanya disebarkan melalui udara dan makanan.

Seboleh-bolehnya elakkan membawa kanak-kanak di kawasan yang terbuka dengan dipenuhi orang ramai. Kebersihan persediaan makanan untuk berbuka puasa dan bersahur wajib diutamakan agar kesihatan kita tidak terjejas.

Bagi perokok pula, seelok-elok belajarlah berhenti merokok kerana pada bulan Ramadanlah merupakan masa yang paling sesuai untuk berhenti merokok. Merokok mahupun menghisap sisha, kedua-dua memberi kesan negatif terhadap kesihatan. Tiada gunanya berhenti apabila keadaan kesihatan terjejas teruk kerana berkemungkinan pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur. Mencegah itu lebih baik daripada merawat.

Ambillah peluang di bulan Ramadan ini untuk membersihkan segala penyakit kerana kita tidak tahu sama ada kita berkesempatan untuk berjumpa lagi dengan bulan Ramadan pada tahun depan. Semoga kita menjadi lebih bertakwa terhadap Yang Maha Esa. Amin.

ROHAMI SHAFIE Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,Pusat Pengajian Perakaunan (SOA),Kolej Perniagaan (COB),Universiti Utara Malaysia Utusan Malaysia Online Forum 22/07/2013