July 26th, 2013

Puasa bulan Ramadan perjuangan lawan nafsu

Kehidupan umat Islam tidak dapat lari daripada perjuangan untuk menegakkan syiar Islam dan kehidupan diredai. Justeru, Ramadan yang kita lalui adalah medan pertempuran mendidik dan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengharap keampunan-Nya.

Oleh itu mereka yang berjuang sepanjang bulan mulia ini dianggap berperang di jalan Allah dan dijanjikan untuk mendapat ganjaran-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Berdasarkan sirah, Rasulullah SAW mengajak kita meninggalkan suatu peperangan, perjuangan atau jihad yang kecil untuk dilatih melakukan satu perjuangan atau jihad besar iaitu jihad melawan nafsu.

Menurut Saidina Ali, yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halangi kebenaran.

Lawan nafsu

Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi amat sukar kerana ia berada dalam tubuh badan dan hati, mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh badan serta dipengaruhi oleh syaitan laknatulllah.

Namun, berdasarkan hadis dan jaminan oleh Rasulullah SAW, Ramadan yang mulia inilah segala musuh manusia telah dirantai oleh Allah SWT dan kita sebagai umat Islam diberi peluang seluas-luasnya untuk beribadah kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila masuk bulan Ramadan terbukalah pintu-pintu rahmat dan terkuncilah segala pintu neraka dan terbelenggulah syaitan daripada merasuk mangsanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut pendapat Imam Nawawi, proses perantaian syaitan pada Ramadan hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan syaitan sudah tidak mampu melaksanakan tugasnya kerana puasa akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini.

Seluruh kemaksiatan berpunca disebabkan mendahulukan hawa nafsu daripada kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya. Nafsu jahat dan liar akan menjurus manusia ke arah kehinaan dan kerosakan sama ada di dunia atau akhirat.

Jika kita tidak mengikis dan membuangnya pastinya ia semakin menebal dan sebati dengan kehidupan. Perlu diingat, untuk membuangnya perlulah diperangi habis-habisan serta memerlukan kekuatan pada diri seseorang.

Perjuangan rahsia

Justeru sebagai seorang Islam, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadan yang berjuang secara senyap melawan hawa nafsu. Perjuangan ini juga adalah rahsia antara hamba dengan Tuhannya kerana segala amalan puasa dinilai oleh Allah SWT.

Ketika berpuasa kita menahan daripada keinginan hawa nafsu seperti makan dan minum, hubungan seks dan segala sifat yang boleh membatalkan dan mengurangkan ibadah puasa. Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah.

Berita Harian Online Agama 26/07/2013

Hikmah Al-Quran: Zakat asas kesejahteraan ummah

Amalan tingkat struktur sosio ekonomi golongan miskin

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).” (Surah At-Taubah, ayat 103)

Syeikh Ahmad Mustafa Al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya, walaupun ayat ini turun dengan sebab khusus, namun nas mengenai pengambilan harta seperti terdapat dalam ayat bersifat umum termasuk khalifah Rasulullah selepas kewafatan Baginda dan pemimpin Islam setelah wafatnya khalifah.

Ia juga mencakupi secara umum orang yang diambil hartanya iaitu orang memiliki kekayaan. Justeru, Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersama sahabat lain telah memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat seperti pernah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW.

Abu Bakar, “Demi Allah seandainya mereka enggan membayar kepadaku seutas tali unta yang dahulunya pernah mereka tunaikan kepada Rasulullah, nescaya aku akan perangi mereka kerana keengganan itu.”

Fardu zakat tahun kedua hijrah

Allah SWT telah mewajibkan kefarduan zakat pada tahun kedua hijrah di mana sebelum itu pemberian dibuat adalah secara sukarela. Allah SWT memuji hamba-Nya yang menjadikan sebahagian hartanya untuk diinfakkan kepada yang berhak sebagai zakat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).” (Surah Al-Ma'aarij, ayat 24-25)

Dr Mustafa Sibaie dalam ulasannya pada ayat itu menjelaskan, pemberian kepada orang yang berhak menerima zakat dalam keadaan mereka mengangkat kepalanya dan menerima dengan bermaruah. Mereka mendapatkan hak mereka seperti hak pekerja untuk mendapatkan gajinya.

Kenyataan sarjana dan penulis ulung ini menggambarkan keistimewaan ibadah ini sama ada kepada pemberi dan penerima zakat.

Zakat adalah asas kepada struktur sistem ekonomi Islam dan mempunyai komitmen berterusan terhadap pembangunan sosio ekonomi secara global. Setiap individu Muslim atau pemilik syarikat yang menghayati tuntutan rukun Islam wajib membabitkan diri demi kesejahteraan masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW: “Islam itu dibina atas lima perkara, mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan.” (Riwayat Muslim)

Antara zakat diwajibkan

Dalam konteks negara kita, antara zakat harta yang diwajibkan ialah zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), emas, perak, pertanian dan ternakan.

Kefahaman terhadap kewajipan zakat harta ini perlu didedahkan supaya masyarakat tidak terbenam dalam benak pemikiran apabila disebut perkataan zakat hanya tertumpu pada kewajipan zakat fitrah yang dikeluarkan pada Ramadan.

Shah Waliyullah al Dahlawi berkongsi pengalaman rohaninya membantu orang yang memerlukan dalam Kitab Hujjatullah al Balighah. Beliau berkata, “Pada suatu hari, seorang fakir miskin telah datang kepadaku dengan meminta sesuatu untuk keperluannya. Di dalam hati ini aku merasai suatu ilham yang memintaku supaya memberi keperluan yang diperlukan oleh fakir miskin itu serta kegembiraan dengan pahala yang banyak di dunia dan di akhirat sebagai ganjarannya. Setelah aku memberi keperluan itu, aku menyaksikan sendiri apa yang telah dijanjikan Allah SWT kepadaku adalah benar di mana ketukan pintu kemurahan Ilahi dan dorongan ilham serta pilihan hatiku pada masa itu ternyata ganjaran pahala. Semuanya jelas terbayang di mataku.”

Tarbiah dalam sistem zakat

Sheikh Hassan Karzun dalam bukunya Ibadah Azzakah menyebut, terdapat lima kelebihan tarbiah yang menyeluruh dalam sistem zakat.

Pertama, pengabdian diri kepada Allah SWT. Ibadah zakat berada di carta kedua selepas kefarduan solat kerana menunaikan zakat salah satu perintah Allah SWT yang perlu ditunaikan bagi yang berkemampuan. Amalan zakat menunjukkan tanda kesyukuran dan pengiktirafan hamba atas segala pemberian-Nya.

Kedua, orang yang bersegera menunaikan zakat apabila sampai haulnya untuk menyucikan diri, maka di situ lahirlah roh kemurahan dalam mengutamakan orang lain. Melalui keperibadian ini, ia dapat memantapkan persaudaraan sesama Islam.

Ketiga, amalan zakat turut melahirkan masyarakat yang berada dalam suasana kasih sayang, prihatin dan saling membantu tanpa mengira sama ada mereka dari golongan kaya mahupun miskin.

Keempat, sistem zakat menggalakkan penyuburan harta serta menghalang harta disimpan secara pasif di samping mampu membuka ruang pekerjaan kepada orang miskin dan memerlukan.

Kelima, ia adalah siasah syariyah yang unggul di mana sistem zakat mewajibkan negara Islam memungut zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang berhak.

Sesungguhnya amalan berzakat akan menambahkan keberkatan hidup, meraih doa malaikat, memadamkan kemurkaan Allah, menambahkan limpahan rahmat dan menolak azab akhirat yang berpunca daripada sifat bakhil dan kedekut. Justeru, setiap orang mampu wajib bertindak segera melaksanakan kewajipan penting ini sebelum segala-galanya sudah terlambat.

Ahmad Shukri Yusoff ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources Berita Harian Online Agama 26/07/2013

Nuzul Quran: Mukjizat Rasulullah sebagai hiasan iman

ADAKAH membicarakan tentang hiasan dunia iaitu wanita cantik yang ingin menjadi ratu satu kebajikan di dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Biarkan mereka berdegil dengan kejahilan mereka. Sesungguhnya ajaran Islam di dalam kitab suci al-Quran telah mengemukakan larangan mendedahkan aurat, sejak beribu tahun lamanya, tidak perlu kita mempolemikkannya lagi.

Sepatutnya kita sedar di dalam bulan yang mulia ini telah turun suatu kitab yang bernama al-Quran menjadi panduan kepada umat Islam yang mengucap dua kalimah syahadah. Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad pesuruh Allah.

Syahadah ialah pengakuan tentang keesaan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul yang menerima mukjizat al-Quran. Dengan mengucapkan dua kalimah syahadah sahlah seseorang itu sebagai seorang Muslim. Maka segala kefarduan dalam Islam menjadi wajib ke atasnya dengan kata lain mesti dilaksanakan.

Dalam Islam kita diwajibkan beriman kepada kitab-kitab seperti Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran. Namun hari ini kitab al-Quran yang ada dalam simpanan kita lebih menjadi hiasan bilik solat mahupun gobok antik yang berharga ribuan RM. Walaupun ada guru agama mengatakan melihat al-Quran itu sahaja sudah mendapat pahala, janganlah kita melihat kitab suci sebagai sebagai objek hiasan, jadikan ia bacaan harian.

Peristiwa yang dinamakan Nuzul al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610 Masehi.

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia dan hikmahnya.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada baginda rasullullah SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Hari ini pada malam-malam di bulan Ramadan, program tadarus al-Quran di masjid dan surau disertai hanya golongan pesara yang boleh dikira dengan jari. Sedangkan seruan menghidupkan sepertiga malam adalah untuk semua umat. Amat menyedihkan golongan muda hanya berminat mendengar ceramah ustaz popular yang penuh gelak ketawa tetapi tidak masuk ke hati. Orang muda dilihat lebih suka melepak di restoran 24 jam dan bermain futsal berbanding duduk bersama-sama golongan ibu bapa mereka untuk menghayati bacaan al-Quran.

Lebih menyedihkan ada pula sekelompok golongan yang mahu menyertai tadarus hingga penuh sebulan demi mendapat duit raya dan sehelai kain pelikat dari Yang Berhormat (YB) kawasan qariah terbabit. Yang peliknya muka dan batang hidung YB hanya muncul setelah Ramadan berakhir. Sepatutnya mereka perlu istiqamah dalam program sedemikian.

Sedarkah kita bahawa di dalam al-Quran terkandung semua ubat kepada masalah di dunia ini. Hanya kita yang menganggap kitab suci yang merupakan antara mukjizat Nabi Muhammad SAW yang masih wujud hingga ke hari ini hanya perlu dibaca dan dihafal sebagai mencukupkan syarat sebagai seorang muslim yang bertakwa.

Amat menyedihkan, umat Islam terpaksa ke sana dan ke mari bagi mencari ubat kepada masalah mereka. Sedangkan al-Quran yang mengandungi firman-firman Allah mampu menjadi penyembuh (as-Syifa') bukan sahaja kepada masalah individu malahan masyarakat dan alam semula jadi yang menjadi tempat kita diami.

Justeru, bacalah al-Quran walaupun anda bisu mahupun buta. Kini ada al-Quran dalam bentuk tulisan Braille bagi orang cacat penglihatan. Mengapa kita manusia normal dan boleh membaca al-Quran tidak mahu membaca dan memahami isinya.

Biarkanlah sesetengah pihak pengeluar kitab suci al-Quran menghasilkan kitab yang cantik kulit dan rekabentuknya hingga mampu menjadi perhiasan berbentuk Islamik paling cantik. Tetapi ingatlah, isinya tetap sama walaupun yang membacanya jutawan yang kaya-raya mahupun orang miskin yang bankrap. Hanya darjat ketakwaan memisahkan mereka. Berazamlah untuk membaca Al-Quran setiap hari kerana ia adalah hiasan iman kita sebagai umat Nabi Muhamad SAW. Iqrak…!



ABDUL RAZAK IDRIS Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/07/2013

Bisik-Bisik Awang Selamat

HARI ini adalah hari Nuzul al-Quran yang merujuk kepada peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad S.A.W. iaitu pada malam 17 Ramadan ketika baginda beribadat di Gua Hira.

Bersempena dengan Nuzul al-Quran, bersama-samalah kita memperbaharui tekad untuk meningkatkan pemahaman al-Quran agar ia menjadi pedoman dalam urusan seharian kita, seterusnya dalam kerangka yang besar dapat memartabatkan ummah.

Jadikan keberkatan Ramadan dan Nuzul al-Quran untuk kita meningkatkan perpaduan demi agama, bangsa dan tanah air. Al-Quran perlu sentiasa menjadi pedoman hidup yang tiada batasnya agar umat manusia tidak terkeluar daripada perjalanan hidup yang dituntut.

Justeru, sama-samalah kita menghayati makna dan keindahan setiap ayat al-Quran dan seterusnya mengamalkannya dengan penuh kesungguhan dan keazaman.

Perbezaan pendapat dan pandangan sesama kita dalam banyak hal tidak sewajarnya menjadi halangan untuk kita semua bersama-sama membina ummah yang kuat agar berjaya di dunia dan akhirat. Kemajuan yang dihajati adalah untuk semua umat manusia tanpa mengira batas bangsa dan sebagainya.

Pergolakan di dunia Islam wajar dijadikan iktibar dalam merencanakan dunia Islam baru yang boleh menjadi contoh dan ikutan dalam segenap aspek kehidupan. Sekali lagi, ia perlu berpedomankan al-Quran.

AWANG - Bersama berusaha. Utusan Malaysia Online Rencana 26/07/2013