July 27th, 2013

Al-Quran penyuluh hidup

MEMBACA al-Quran menenangkan fikiran. Ketenangan yang menjelma dalam jiwa pembaca al-Quran dapat menyelesai masalah yang dihadapi.

Ramai yang menghadapi tekanan hidup mampu mengimbangi hidup dengan membaca al-Quran seterusnya dapat melangsungkan kehidupan dengan sempurna.

Ketenangan yang timbul hasil daripada pembacaan al-Quran adalah menunjukkan ia adalah Kalam Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kami turunkan al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepada orang yang beriman. (al-Isra: 82)

Allah juga berfirman dengan maksud: Orang-orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah (al-Quran al-Karim), ketahuilah dengan zikir kepada Allah tenang tenteramlah hati mereka. (al-Ra'ad: 28)

Nama Allah

Kajian ulama terhadap al-Quran menemukan banyak rahsia dan perkara yang pelik lagi menakjubkan. Antaranya nama Allah yang berulang dalam al-Quran adalah sebanyak 2,699 kali. Purata bilangan ini ialah setiap halaman tidak kurang daripada empat atau lima kali nama Allah tertulis.

Ada bijak pandai merumuskan bahawa nama Allah SWT diulang dengan begitu banyak namun manusia tetap membaca dan tidak merasa jemu mengkaji al-Quran.

Berbeza pula jika ada penulis novel yang menulis namanya dengan jumlah sebegitu di setiap halaman novel, nescaya ramai yang mencemuh dengan mengatakan penulis suka membangga diri dan angkuh. Bahkan novel itu tidak mampu dibaca dan akan dibuang.

Bilangan angka

Kajian juga dilakukan kepada bilangan angka yang disebut di dalam al-Quran. Ada bilangan angka satu, dua, tiga, tujuh, lapan, 19 dan sebagainya. Namun angka yang paling banyak berulang ialah satu. Umpamanya firman Allah SWT di akhir surah al-Kahf bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa aku adalah manusia seperti kamu, diwahyukan kepada ku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Satu.

Kesimpulannya, bilangan nama Allah SWT yang sebanyak 2,699 kali dihubungkan dengan kekerapan bilangan satu sebanyak 30 kali menatijahkan bahawa Allah SWT adalah esa dan bersifat wahdaniyyah.

Menariknya lagi, al-Quran diturunkan dengan ayat yang tidak teratur mengikut urutan surah yang tertulis pada hari ini. Semua maklum bahawa ayat pertama diturunkan ialah lima ayat permulaan surah al-'Alaq. Diikuti beberapa ayat permulaan surah al-Muddathir. Terakhirnya pula ialah ayat 281 surah al-Baqarah.

Nuzul al-Quran mengikut peristiwa dan kejadian yang berlaku. Namun begitu setiap ayat yang diturunkan, Jibril AS akan memaklumkan kepada Nabi Muhammad SAW di manakah harus diletak ayat tersebut? Di surah manakah ia perlu diletakan? Dan Rasulullah SAW akan tahu setiap surah berakhir apabila Jibril AS membaca Basmalah.

Orang bertakwa

Permulaan surah al-Baqarah perlu renungan yang mendalam, lihat dengan mata hati betapa Allah SWT memulakan ayat dengan huruf yang tidak ada manusia memahaminya iaitu alif, lam, mim. Tetapi selepas itu Allah menyatakan bahawa kitab ini adalah panduan kepada orang-orang yang bertakwa.

Hubungan surah demi surah sebanyak 114 surah adalah amat teliti dan sempurna diibaratkan seperti untaian tasbih. Segala keperluan manusia dipaparkan dengan bahasa yang kemas dan menakjubkan.

Peristiwa masa lalu dengan pengajarannya, keperluan manusia kepada panduan hidup masa kini dan jalan kebahagiaan manusia masa hadapan dihurai dengan jelas. Justeru, berbahagialah mereka yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Di akhir al-Quran, Allah SWT menamatkan Kalam Suci-Nya dengan surah al-Nas yang bermaksud manusia. Intisari surah al-Nas ialah perlindungan kepada Allah SWT daripada segala bahaya zahir dan bahaya batin.

Bahaya batin ialah gangguan dan perasaan ragu-ragu daripada angkara makhluk yang tidak kelihatan kepada kita, syaitan dan jin. Juga tipu daya daripada makhluk yang berupa manusia.

Lantaran itu, dampingilah al-Quran dengan membaca, memahami dan mengamalkannya. Semoga kita menjadi manusia yang mendapat syafaat al-Quran di Hari Kemudian.


DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, (USIM)Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/07/2013

Nuzul Quran sebagai wahana penghayatan Islam

ANTARA mukjizat-mukjizat yang lain, al-Quran merupakan mukjizat paling agung Nabi Muhammad SAW. Proses turunnya al-Quran yang mengambil masa 22 tahun 2 bulan dan 22 hari memberi pengajaran penting kepada kita bahawa Allah tidak serta-merta menerapkan syariah dan ajaran penting Islam lain kepada umat Islam.

Agama Islam menjadi agama yang menekankan pentingnya penghayatan dan kesedaran umatnya berbanding memaksa menjalankan ritual-ritual keagamaan tanpa disertai dengan pemahaman yang secukupnya terhadap pesanan kandungan al-Quran dan sunnah Nabi.

Kita jangan terperangkap dengan retorik dan slogan indah tapi pada masa sama kita mengalami kekosongan nilai-nilai kandungan al-Quran dan Sunnah itu sendiri. Adakalanya kita sibuk dengan ritual-ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa Isnin-Khamis, menyokong kehidupan Islamik, akan tetapi pada masa sama melanggar dan menyeleweng prinsip dan kandungan al-Quran seperti taksub kepada parti politik dan pemimpin, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, kuku besi, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif yang lain.

Islam jangan dijadikan sebagai topeng untuk menyesatkan dan menghakimi golongan Islam lain yang mempunyai pendirian yang cenderung menongkah arus perdana.

Slogan kembali ke al-Quran dan sunnah sepatutnya dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira pegangan mazhab, aliran keagamaan dan corak ibadah. Bukan menjadi ejen kepada perpecahan umat Islam. Sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah dan beragamnya ekspresi keagamaan umat Islam.

Selain sebagai memberi iktibar daripada peristiwa-peristiwa dan kisah Nabi sebelumnya, proses turunnya al-Quran merupakan respons dan jawapan kepada persoalan dan isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Ayat-ayat al-Quran diturunkan oleh Allah SWT dimaksudkan untuk memberi hidayah kepada umat manusia agar mahu mengambil hikmah dari semua kejadian. Ini terutama ayat al-Quran yang menceritakan tentang azab, musibah dan bencana dari Allah kepada manusia kerana perbuatan dosa yang telah mereka lakukan.

Dalam isu pertandingan Ratu Cantik yang membabitkan peserta orang Islam misalnya. Jangan sampai kedegilan mereka menentang fatwa yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Wilayah mendatangkan azab dan bencana dari Allah kerana membiarkan perkara maksiat ini daripada berlaku. Bagi Islam, sudah jelas dan tidak ada keraguan lagi berkenaan dengan hukum mendedahkan aurat wanita. Tidak ada alasan kebebasan hak asasi dalam hal ini. Apatah lagi mempersoalkan fatwa ulama sebagai fatwa lapuk dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman, merupakan tindakan yang boleh memesongkan akidah orang Islam.

Separuh pertama bulan Ramadan sudah berlalu dan bermakna seluruh umat Islam makin sibuk dengan persiapan meraikan hari kemenangan, iaitu menyambut Aidilfitri. Bagaimanapun kesibukan itu tidak bermakna umat Islam boleh melupakan perjalanan separuh lagi bulan Ramadan, kerana ketika inilah kita mula merasakan bahawa semakin hampir dengan penamatnya, semakin sayu hati untuk menerima kesudahan ibadat pada tahun ini.

Separuh kedua bulan Ramadan mempunyai nilai sejarah yang begitu besar dalam kehidupan umat Islam kerana telah diturunkan al-Quran sebagai panduan sepanjang hayat. Kita mengingati sejarah turunnya al-Quran sebagai pedoman yang memandu seluruh kaedah dan amalan hidup kita dalam konteks mengukuhkan “proses perhambaan kepada Allah SWT", tatacara menyusun kehidupan lebih bermakna dengan orang lain atau bermasyarakat dan seterusnya perjalanan menuju kehidupan yang lebih kekal.

Kita mengingati hari turunnya al-Quran (Nuzulul Quran) sebagai asas kita membina landasan yang benar, betul dan jelas. Turunnya al-Quran turut membawa pandangan-pandangan baharu manusia terhadap alam semesta, darjat dan martabat manusia, proses kemanusiaan dan keinsanan, tatacara hidup dan berbudaya, jalinan kemasyarakatan dan pemenuhan peranan sebagai seorang individu, keluarga, masyarakat dan bernegara. Menerusi al-Quran kita diberikan pedoman, dan selagi kita memahami, mengamalkan apa yang disarankan kita akan terus tabah menghadapi ujian.

Menerusi kandungan al-Quran, kita membina keyakinan hidup dengan beriktikad bahawa Allah SWT adalah “kekasih yang abadi" dan kebesaran-Nya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa yang lahir dan dilahirkan oleh makhluk. Menerusi al-Quran juga kita mengenali jagat raya dengan lebih baik, dan semakin kita memahaminya, maka kita semakin yakin kekuasaan Allah SWT adalah amat besar, tidak terbatas bahkan Dialah menjadi tempat kita bermohon dan mencari keredaan sejati.

Sebagai hamba Allah SWT, setiap kali kita bernafas, dengusnya adalah keberkatan-Nya yang diberikan tanpa pernah meminta untuk dibalas. Sebagai manusia yang beradab dan beradat, tentunya setiap pemberian walaupun kecil perlu disusuli dengan ucapan terima kasih. Demikian juga dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud; (Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).

Hikmah di sebalik peringatan Nuzul al-Quran ini bertujuan antara lain - Pertama: Membersihkan akal dan menyucikan jiwa dari segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan yang sempurna bagi Tuhan seru sekalian alam, keyakinan yang tidak semata-mata sebagai suatu konsep teologi tetapi falsafah hidup dan kehidupan umat manusia.

Kedua: Mengajarkan kemanusiaan yang adil dan berakhlakul karimah yakni umat manusia merupakan suatu umat yang sepatutnya dapat bekerjasama dalam pengabdian kepada Allah dan pelaksanaan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Ketiga: Menciptakan persatuan dan kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kesatuan kehidupan dunia dan akhirat, kesatuan ilmu, iman, dan hujah, kesatuan kebenaran, kesatuan keperibadian manusia, kesatuan kemerdekaan, kesatuan sosial, politik dan ekonomi, dan kesemuanya berada di bawah satu keesaan, iaitu keesaan Allah SWT.

Keempat: Mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan cara bermusyawarah dan mengelakkan perpecahan. Kelima: Membanteras kemiskinan tegar sama ada kemiskinan secara keagamaan mahupun secara ekonomi, kebodohan, penyakit, dan penderitaan hidup.

Ketujuh: Memberi jalan tengah antara falsafah monopoli kapitalisme dengan falsafah kolektif komunisme, menciptakan ummatan wasatan yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Kelapan: Menekankan peranan ilmu dan teknologi, bagi menciptakan satu peradaban yang sesuai dengan jati diri manusia, dengan panduan Nur Ilahi.

Oleh sebab itulah, sebagai orang yang beriman, mereka sanggup berjaga sepanjang malam bagi mendapatkan malam Lailatulqadar. Meskipun sering gagal dalam percubaannya, umat Islam tidak pernah rasa kecewa. Mereka akan terus mencuba, kerana yakin malam itu akan datang juga dalam kehidupannya.

Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 27/07/2013

Al-Quran petunjuk dan sumber ilmu

Dalam bulan puasa ini, kalau kita rajin perhati kita akan nampak banyak benda yang dalam keadaan biasa kita terlepas pandang.

Inilah antara kebaikan bulan puasa, iaitu bila kita tak asyik fikir pasal makan kita akan fikir berkenaan hal lain.

Contohnya, kita lebih rajin dan lebih mudah sembahyang berjemaah sebab kita ada banyak masa yang terluang. Satu perkara yang Kunta Kinte nampak makin hari makin jadi amalan adalah baca surah panjang-panjang masa sembahyang waktu dan sunat Tarawih.

Boleh kata di semua masjid dan surau di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang Kunta Kinte sempat solat Tarawih, khidmat tahfiz digunakan. Jadi, mereka baca surah yang panjang sebab masing-masing nak habiskan 30 juzuk al-Quran sebelum bulan puasa habis.

Hormat hafal al-Quran

Kunta Kinte tak kata ini tak baik cuma Kunta Kinte nampak ia susah sikit bagi yang lanjut usia. Tak larat berdiri lama-lama. Di sebuah masjid yang Kunta Kinte pergi, bilangan orang tua berkurangan dari malam ke malam sebab tak tahan.

Kunta Kinte tanya seorang jemaah yang Kunta Kinte tahu banyak belajar agama. Dia kata, tak ada satu hadis pun yang sebut kita kena habiskan satu al-Quran sepanjang Tarawih Ramadan.

Jangan salah sangka. Kunta Kinte sangat hormat orang yang pandai baca al-Quran, apatah lagi yang hafal al-Quran dan faham maksudnya. Cuma Kunta Kinte tak berapa pasti sama ada baca ayat panjang-panjang waktu Tarawih sesuai untuk semua makmum.

Kunta Kinte teringat kepada sebuah cerita Hollywood bertajuk The Book of Eli (disebut Elai) lakonan Denzel Washington. Dalam cerita fiksyen sains itu, Eli adalah satu-satunya orang Kristian yang miliki kitab Bible setelah dunia dilanda perang besar yang memusnahkan semua kitab suci agama Kristian itu. Jadi, banyaklah pihak yang sanggup bunuh untuk dapatkan kitab yang Eli miliki itu sebab dengan kitab itu mereka akan dapat kuasa.

Seorang ketua kumpulan jahat berjaya rampas kitab itu selepas ‘bunuh’ Eli. Tetapi, celaka bagi penjahat itu sebab kitab yang jadi idaman dia dicetak dalam bentuk Braille dan tak ada siapa dalam kumpulan dia yang boleh baca Braille kecuali seorang perempuan tapi dia enggan.

Walaupun ditembak bertubi-tubi, Eli tak mati dan dia akhirnya sampai ke tempat yang ditujunya.

Apa yang nyata kemudiannya adalah Eli buta dan dia hafal kandungan kitab itu. Di akhir cerita, Eli mengimlakkan kitab itu untuk ditulis dan dicetak semula.

Kunta Kinte tak jemu tonton cerita itu sebab Kunta Kinte teringat kepada pengalaman ketika melawat Uzbekistan dan beberapa buah lagi wilayah Islam di Soviet Union waktu pemerintahan komunis.

Masa itu, hanya orang tertentu boleh miliki al-Quran dan pengedarannya amat terhad. Boleh kata satu generasi orang Islam Russia tak tahu baca al-Quran kecuali mereka yang dibenarkan memilikinya atau yang sanggup menghafal. Masa itu, sikap antiagama dalam kalangan generasi muda Russia, termasuk yang dilahirkan Islam, masih kuat.

Dalam lawatan rombongan Kunta Kinte ke beberapa tempat di Tashkent, ibu negara Uzbekistan, pemuda-pemuda komunis mengekori kita sambil mengejek Islam dengan mengatakan Tuhan tak wujud.

Jadi, bila kegiatan menghafal al-Quran dan sekolah-sekolah tahfiz dibuka di Malaysia selepas itu, Kunta Kinte berasa cukup seronok.

Cuma Kunta Kinte harap anak-anak kita yang cerdik dan belajar tahfiz janganlah tumpu kepada menghafal al-Quran saja. Mereka hendaklah diajar tafsir dan ilmu lain supaya mereka boleh kaitkan kehebatan al-Quran dengan alam sekeliling dan kehidupan harian.

Akui kehebatan al-Quran

Orang Barat yang suka belajar dan kuat menerokai ilmu, mereka dah lama akui kehebatan al-Quran bukan saja sebagai penunjuk akidah, tapi juga sebagai sebuah kitab ilmu dan maklumat saintifik. Banyak daripada mereka yang belajar dan dapat manfaat daripada al-Quran tidak pun beragama Islam dan kerana itu juga, ramai yang masuk Islam.

Kunta Kinte nak cadangkan kepada kerajaan, khasnya kepada menteri yang jaga agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, supaya bukan saja perluas tahfiz dan tafsiran al-Quran, tapi juga popularkan al-Quran sebagai sumber ilmu dan maklumat yang lengkap, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Wallahualam.


Kunta Kinte Berita Harian Online Agama 27/07/2013

Saidatina Khadijah tenangkan Rasulullah ketika terima wahyu

Diriwayatkan daripada Aisyah, Harits bin Hisyam bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah! Bagaimana wahyu Allah SWT diturunkan kepadamu? Rasulullah SAW menjawab: “Kadang-kadang ia diturunkan seperti bunyi sebuah loceng. Daripada pelbagai cara wahyu diturunkan, cara inilah yang paling berat dan kemudian suara (loceng) itu menghilang selepas aku menerima wahyu itu. Kadang-kadang malaikat menemuiku dalam keadaan wujud seorang lelaki dan berbicara kepadaku dan aku mengingati apa yang ia katakan. Aisyah menambah: Ketika Nabi SAW sedang menerima wahyu pada suatu hari yang dingin aku melihat peluh berjatuhan dari dahinya hingga wahyu itu selesai diturunkan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukahri)

An Nawwas bin Sam’an meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah SWT hendak mewahyukan perintahnya, maka Dia firmankan wahyu itu dan langit-langit bergetar dengan kerasnya kerana takut kepada Allah, dan ketika malaikat mendengar firman itu mereka pengsan dan bersujud, dan di antara mereka yang pertama sekali bangun adalah Jibril, maka Allah sampaikan wahyu yang dikehendaki-Nya kepada Jibril melewati malaikat dan langit. Maka penghuninya bertanya kepadanya: Apa yang telah Allah firmankan kepadamu? Jibril menjawab: Dia firmankan yang benar, dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar, dan seluruh malaikat yang ia lewati bertanya kepadanya seperti pertanyaan pertama, demikianlah sehingga Jibril menyampaikan wahyu itu sesuai dengan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya.”

Wahyu pertama di Gua Hira

Rasulullah SAW menerima wahyu pertamanya di Gua Hira’. Ketika itu Baginda berusia 40 tahun. Pertama kali menerima wahyu Baginda berasa sungguh takut dan gementar.

Saidatina Khadijah yang menenangkan Baginda SAW dengan katanya: “Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan dirimu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hatimu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana. Kata-kata lemah lembut dan manis inilah yang membuatkan hati Baginda SAW tenang.

Begitulah setiap kali menerima wahyu dalam pelbagai keadaan. Wahyu ini turun kepada Baginda SAW dari semasa ke semasa selama 23 tahun. Siri wahyu ini kemudian dikumpulkan dalam buku bernama al-Mushaf yang juga dinamakan al-Quran.


Berita Harian Online Agama 27/07/2013

Intai peluang raih keampunan

Kita sudah berada pada fasa kedua Ramadan yang dijanjikan keampunan daripada Allah SWT. Jika fasa pertama kita dilihat oleh Allah SWT dengan pandangan rahmat-Nya, maka keampunan adalah jalan untuk mendapat syurga pada fasa terakhir nanti.

Justeru, ini umpama bonus yang diumumkan kerajaan apabila menjelang hari raya. Sudah pasti kegembiraan akan terpancar di wajah semua warga kerja kerana ia tepat pada masa dan ketika.

Begitulah Ramadan yang dijanjikan dengan pelbagai keistimewaan di mana penghujungnya adalah keselamatan daripada api neraka. Bagi orang berpuasa, mereka akan sentiasa mengintai peluang ini kerana yakin akan mendapat keampunan pada ketika ditentukan Allah SWT.

Allah SWT tidak akan mensia-siakan segala usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan. Apatah lagi kepada mereka yang sentiasa mengharapkan keampunan sepanjang bulan mulia.

Berkata Hassan al-Basri: “Perbanyakkan istighfarmu di mana-mana. Di rumahmu, di hadapan hidanganmu ketika berbuka puasa, di sepanjang perjalananmu, di pasar, serta dalam majlismu dan di mana saja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah datangnya saat keampunan itu.”

Sentiasa mohon keampunan

Menunjukkan saranan untuk kita sentiasa memohon keampunan Allah SWT mestilah berpanjangan serta yakin dengan janji Allah SWT kerana maklum balas inilah yang sangat disukai-Nya.

Di samping memohon keampunan dan bertaubat, kita juga hendaklah mengingati al-Quran, kitab suci yang diturunkan pada Ramadan. Al-Quran akan menjadi fungsi utama dalam memberi syafaat kepada manusia ketika di alam barzakh dan hari kiamat nanti.

Peristiwa nuzul al-Quran, turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW, seterusnya berperingkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada hari ini.

Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-41 selepas keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Penghayatan al-Quran

Allah SWT tidak hanya menurunkan al-Quran semata-mata untuk diambil keberkatan oleh si mati atau sebagai perhiasan di dinding rumah, malah sebagai penghayatan untuk mereka yang masih hidup serta melaksanakan isi kandungan terdapat dalam al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran dan sebagai keputusan yang wajib dilaksanakan dalam kalangan manusia.” (Surah An-Nisa’, 105)

Fungsi al-Quran sebenar akan dapat dilihat daripada maksud perkataan al-Quran itu sendiri di mana ia mestilah melalui bacaan dan pelaksanaan dalam kehidupan manusia. Bukan saja mereka yang hidup mendapat keberkatan daripadanya, malah mereka yang sudah meninggal juga akan dapat manfaat daripada al-Quran.

Namun, pelaksanaan dalam kehidupan adalah lebih sukar berbanding keberkatan yang diperoleh si mati. Kebanyakan daripada pelaksanaan sistem al-Quran adalah bertentangan daripada sistem yang dicipta manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah sistem ciptaan manusia itu lebih baik daripada apa yang diciptakan Allah? Jawapannya hanya ada kepada mereka yang yakin dengan agamanya.” (Surah al-Maidah, ayat 50)

Bersempena bulan diturunkan al-Quran, manusia dituntut mendekati serta mempelajari isi kandungan yang terdapat dalam al-Quran. Di sana ada panduan yang sebenar untuk kebaikan manusia seluruhnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada bulan Ramadan, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia serta panduan untuk mencari kebenaran dan kebatilan.” (Surah Baqarah, ayat 185)

Lebih khusus lagi, al-Quran diturunkan ialah pada malam Lailatulqadar seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatulqadar). Tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan (Lailatulqadar) itu? Malam kemuliaan itu (Lailatulqadar) lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahtera (malam itu) sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Kita dapat melihat orang beriman melipatgandakan usaha mendekati al-Quran. Inilah antara sifat dan keadaan salafus soleh (orang terdahulu) ketika berada di bulan Ramadan, mereka sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran bermula dari membaca, mempelajari dan menghayatinya.

Menangis tatkala membaca atau mendengar bacaan al-Quran adalah satu kaedah untuk menghayati ayat-ayat Allah SWT dan melahirkan rasa takut kepada Allah SWT. Ancaman Allah SWT dengan seksaan neraka kepada mereka yang ingkar dan zalim akan menimbulkan rasa gerun, insaf dan takut terhadap azab Allah SWT.

Mendendangkan al-Quran akan mendidik hati dan jiwa, bahkan jiwa mereka bergetar dan hati tersentuh mendengar untaian kalamullah dibacakan. Namun kelebihan memahami al-Quran hanyalah buat mereka yang mempelajarinya saja.

Namun bagi mereka yang tiada pengetahuan berkaitan al-Quran hendaklah bertanya serta mempelajarinya. Oleh itu, pergunakanlah masa lapang Ramadan ini untuk meningkatkan bacaan al-Quran, banyakkan berzikir, beristighfar dan berselawat kepada Nabi SAW.

Marilah bersama menghayati sejarah nuzul al-Quran dengan azam menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, membacanya, memahami maknanya dan menghayati maksud yang terkandung di dalamnya semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Zamanuddin Jusoh ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd Berita Harian Online Agama 27/07/2013