July 29th, 2013

Guru unggul miliki sikap penyayang, sabar

Kes guru bertindak keterlaluan terhadap murid hingga mendatangkan kecederaan masih dilaporkan. Sepatutnya perkara ini tidak terjadi memandang kepada status guru sebagai pendidik yang sepatutnya membimbing murid menjadi insan lebih baik.

Tugas seorang pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu pengetahuan, mereka juga bertanggungjawab membina akhlak mulia kepada anak murid. Mengajar bidang apa sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan itu.

Cabaran guru masa kini

Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.

Dalam zaman serba moden dan mencabar, kerjaya sebagai guru juga penuh dengan cabaran hingga ada segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika.

Guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik murid memerlukan kesabaran dan nilai kasih sayang yang tinggi. Tanpa adanya dua sifat itu, guru pasti berhadapan dengan masalah. Sebagai mukmin, panduan ditunjukkan Rasulullah SAW boleh diamalkan semasa menjalankan tugas mendidik.

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW yang mempamerkan perwatakan luhur pendidik. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, katanya: “Sedang kami berada di dalam masjid bersama-sama Rasulullah SAW, seorang Badwi telah datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya, kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara-perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid ini adalah tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu membuang air kencing.”

Apa yang dapat kisah iktibarkan daripada kisah itu? Pertama, jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauhnya menghadapi sesuatu keadaan.

Baginda menggunakan pendekatan menegur kesalahan seseorang secara berhemah dan lemah lembut dengan disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan yang dilakukan. Inilah pendekatan sepatutnya diamalkan guru dalam proses pendidikan.

Rasulullah SAW bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mengajar perkara yang patut diketahuinya bukan dengan memarahi.

Kriteria guru unggul

Imam al-Ghazali menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru juga hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu terdapat sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran itu seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk daripada Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Wan Mohd Ruzlan Wan Omar Berita Harian Online Agama 29/07/2013

Sikap ultra kiasu isu makan di bilik persalinan

PIBG mesti sanggah tuduhan terhadap Pengetua SK Seri Pristina, bukan diamkan diri

Apakah salah makan di bilik persalinan dan apakah isu atau masalah sebenarnya? Saya masih mencari-cari jawapan. Kenapa kita begitu cepat melatah?

Saya selalu menginap di hotel. Adalah perkara biasa di bilik persalinan diletakkan sinki untuk sesiapa saja makan dan minum di situ. Lebih teruk lagi bilik persalinan tidak diasing dengan tandas. Tandas berada bersama bilik persalinan. Adakah salah? Adakah tidak ada bau tandas? Kenapa tidak diprotes semua hotel yang berbuat demikian?

Apabila sekolah melakukannya buat sementara, bagai hendak kiamat Malaysia. Tanpa mendengar penjelasan pihak sekolah, kita terus mangsakan mereka. Adakah ini wajar?

Kenapa diam? Kenapa Kementerian Pelancongan tidak arahkan bilik persalinan diasing jauh dari tandas? Hanya kerana hotel itu mengikut cita rasa Barat. Kita pun setuju. Apabila sekolah melakukannya buat sementara, bagai hendak kiamat Malaysia. Tanpa mendengar penjelasan sekolah, kita terus mangsakan mereka. Adakah tindakan ini wajar?

Setelah dijelaskan pihak sekolah pun, ada yang tidak berpuas hati. Ada yang mendesak guru besar itu digantung tugas, dipindahkan dan sebagainya.

Kecualilah makan dalam tandas seperti berita yang mula-mula saya baca dalam laman web ultra kiasu. “Subhanallah, teruknya sekolah ni!” kata saya dalam hati. Apabila disiasat, rupa-rupanya makan minum dalam di bilik persalinan. Jauh bezanya, antara bilik persalinan dan tandas tetapi itu perangai ultra kiasu.

Mengapa tak pertikai hotel

Hatta, kalau makan minum dalam tandas sekalipun, pada saya itu perkara biasa, walaupun tidak beradab. Pergilah ke hotel atau spa. Selepas bersauna atau mengurut, kadangkala mereka akan bawa air masuk tandas minum. Begitu juga mereka yang merokok dalam tandas. Ini satu lumrah. Kenapa tidak dipertikaikan?

Saya tidak kata tindakan ini betul. Saya benci mereka yang merokok dalam tandas. Turut membahayakan orang lain. Kenapa perkara ini boleh diterima tetapi tidak kepada murid yang makan di bilik persalinan buat sementara?

Mungkin ada yang mempertikaikan, apa beza antara minum dan merokok. Persoalan saya, tidakkah semuanya masuk ke dalam perut? Termasuk juga mereka yang makan minum dalam tandas kerana tidak berpuasa.

Penulis bersimpati dengan pentadbir menimpa Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristina, Sungai Buloh. Niat mereka baik, tetapi disalah tafsirkan. Ultra kiasu sengaja mensensasikan untuk mendapat publisiti murahan. Kita pun cepat melatah, termasuk kementerian, bertindak tanpa usul periksa.

Saya puji tindakan Timbalan Menteri Pendidikan yang menutup soal kerana benda ini kecil. Bak kata pepatah, minda kecil bincang pasal orang, minda sederhana bincang pasal peristiwa, minda besar bincang pasal idea. Jadilah orang berminda besar. Paling kurang pun sederhana. Berilah idea kepada sekolah, di tempat manakah paling sesuai untuk makan minum selain bilik persalinan.
Alasan sekolah kukuh, bilik persalinan sudah digunakan bersama dengan kantin oleh semua murid sejak Mac lalu, bukan hanya ketika bulan puasa kerana kantin boleh memuatkan 500 hingga 600 murid. SK Seri Pristana mempunyai 1,300 pelajar. Ekoran kerja pengubahsuaian di kantin bermula dua minggu lalu, semua pelajar diminta makan di bilik persalinan. Guru bimbang keselamatan murid ketika kerja pengubahsuaian.

Tak usah sensasi isu

Pada saya, tindakan pihak sekolah itu wajar. Saya amat yakin perkara ini sudah dibawa berbincang dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Lagipun kantin sekolah sedang diubah suai. Mana lagi tempat yang lebih sesuai. Setelah dibincangkan. Itulah pilihan terbaik. Takkan nak makan di bilik guru pula. Apabila PIBG bersetuju dengan tindakan itu, maka ia dilaksanakan kerana PIBG mewakili ibu bapa. Itulah peranan PIBG. Justeru, tidak perlu disensasikan.

Adalah mustahil untuk mendapatkan pandangan semua ibu bapa dalam membuat sesuatu keputusan. PIBG adalah plat-form yang terbaik kerana mereka mewakili ibu bapa. Kenapa hanya seorang saja yang nak dimangsakan. Malangnya, ramai ibu bapa yang tidak mahu datang mesyuarat PIBG. Tiba-tiba ibu bapa ini mahu menjadi hero atau heroin.

PIBG sepatutnya tampil ke hadapan membela atau mempertahankan keputusan itu. Bukan hanya diam membisu setelah diasak oleh ultra kiasu. Begitu juga dengan kementerian. Jangan terlalu cepat melatah. Kaji dan siasat dulu.

Ridhuan Tee Abdullah ialah Prof Madya/Ketua Program Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Berita Harian Online Agama 29/07/2013

Elak berhutang sambut Syawal

Semangat meraikan Aidilfitri lebih utama daripada membazir berbelanja buat persiapan raya

Menjadi kebiasaan, persiapan menyambut 1 Syawal diadakan sejak awal lagi. Tukang jahit biasanya menerima tempahan membuat baju kira-kira empat bulan lebih awal.

Umat Islam memang digalakkan membuat persiapan menyambut 1 Syawal sebagai tanda meraikan kejayaan melawan hawa nafsu selama sebulan Ramadan. Bagaimanapun, tuntutan agama itu perlu dilaksanakan dalam sederhana dan tidak membebankan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu menggenggam (terlalu kedekut dan tidak mahu bersedekah) dan jangan terlalu memberi sehabis-habisnya, nanti engkau jadi tercela dan menyesal.” (Surah al-Isra, ayat 29)

Tidak mencerminkan kejayaan latihan Ramadan

Perbuatan sanggup berhabis semata-mata untuk persiapan 1 Syawal tidak mencerminkan kejayaan latihan Ramadan. Sikap membazir menggambarkan sikap menurut hawa nafsu. Ini membuktikan puasa yang dilakukan sebulan masih belum menundukkan hawa nafsu sekali menunjukkan banyak kekurangan wujud dalam ibadat puasa.

Persiapan menyambut 1 Syawal memadai untuk membezakan atau menunjukkan ia berbeza berbanding hari-hari biasa. Antara amalan yang patut dilakukan ialah ziarah, memakai pakaian baru, wangian, menyediakan makanan untuk tetamu, menggembirakan anak yatim dan bersedekah.

Sesungguhnya sesiapa mempunyai kemampuan membantu orang lain yang memerlukan, maka wajib baginya menghulurkan bantuan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berilah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing.” (Surah al-Isra, ayat 26)

Ironinya, dalam masyarakat kita persiapan bukan setakat itu saja, sebaliknya sanggup berhabis dengan membeli perabot baru, langsir baru, mengecat rumah, kereta baru dan pelbagai perkara yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri.

Bagi golongan kaya semua itu tidak membebankan. Malangnya ada juga yang kurang berkemampuan turut terikut-ikut dengan gaya orang kaya hingga sanggup berhutang.

Hari raya adalah tanda kesyukuran dan mengabdikan diri kepada Allah. Andainya kita melakukan perkara bertentangan dengan Islam, maka jauh terpesong daripada tujuan sebenar menyambut 1 Syawal.

Semangat Aidilfitri diutama

Sebenarnya bukan persiapan yang penting, tetapi ialah semangat Aidilfitri untuk melahirkan perasaan gembira, membentuk semangat berkasih sayang, mengeratkan tali persaudaraan, saling membantu dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Kegembiraan bukan bergantung kepada kemampuan menyediakan kebendaan, tetapi bergantung kepada jiwa dan fikiran. Sekarang ini untuk berhutang memang mudah, tetapi akan menimbulkan masalah di kemudian nanti.

Elak daripada berhutang

Berhutang memang tidak ditegah oleh agama. Bagaimanapun, adalah lebih baik jika dapat mengelakkan diri daripada berhutang. Amalan berhutang banyak mendatangkan keburukan jika tidak dikawal dan tidak berhati-hati.

Sebab itu, Rasulullah SAW berdoa supaya dilindungi daripada masalah hutang. Sabda Rasulullah SAW: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (Riwayat Abu Daud)


Lokman Ismail Berita Harian Online Agama 29/03/2013