July 30th, 2013

Hujjatul Islam kita

SETIAP peradaban melahirkan tokoh besar. Peradaban Islam telah melahirkan banyak ilmuwan ternama dunia sejak abad ke-9 hingga abad ke-20. Mereka meneliti dan berusaha menjelaskan tentang alam semesta, mulai dari galaksi yang sangat jauh hingga hal-hal terdekat dengan kehidupan mereka.

Umumnya, mereka menguasai lebih daripada satu bidang ilmu, baik ilmu agama mahupun ilmu sosial. Apa pun bidang ilmunya, para ilmuwan Muslim adalah tokoh-tokoh hebat yang mencipta penemuan baru di mata dunia.

Sebagai contoh pada abad ke-9, lahir Al-Khawarizmi yang terkenal sebagai tokoh matematik dan astronomi dan Al-Kindi yang terkenal sebagai tokoh falsafah. Pada abad ke-10 lahir Al-Farabi yang terkenal sebagai tokoh falsafah dan pada abad ke-11 lahir Ibnu Haitam yang terkenal sebagai tokoh fizik dan matematik.

Ibnu Sina yang terkenal sebagai tokoh falsafah dan hampir semua bidang ilmu yang berkembang pada ketika itu. Pada abad ke-12 lahir Ibnu Rusyd yang terkenal sebagai tokoh perubatan, biologi, fizik dan astronomi.

Sementara Ibnu Tufail yang terkenal sebagai tokoh perubatan matematik dan falsafah, manakala Umar Khayyam pula terkenal sebagai tokoh matematik, astronomi dan kesusasteraan.


Imam Al-Ghazal dilahirkan di Gazalah dekat Tus, Khurasan, bahagian utara Iran telah menjalani kehidupan
zuhud dengan mengembara selama 10 tahun, sebelum kembali ke Nishapur, Iran.

Pada abad ke-13 lahir Ibnu Nafis yang terkenal sebagai tokoh perubatan dan kimia. Abad ke-14 lahirlah pula Ibnu al-Munzir yang terkenal sebagai tokoh perubatan haiwan.

Pada abad ke-15, Ibnu Majid yang terkenal sebagai tokoh astronomi dan geografi, seterusnya pada abad ke-19 lahir Ja'afar Syarif yang terkenal sebagai tokoh perubatan dan pada abad ke-20 lahir Abdus Salam yang terkenal sebagai tokoh fizik.

Mungkin di kalangan kita umat Islam tidak lupa, bahkan pernah mendengar ataupun sudah membaca karya terbesar Imam Al-Ghazali iaitu Ihya' Ulum Ad Din. Mari kita sejenak menghayati tokoh besar yang telah melahirkan hasil karya yang tersohor dan hingga kini ditatapi dan dikaji oleh umat Islam di sepanjang masa dan zaman.

Al-Ghazali merupakan seorang ahli teologi, falsafah dan sufi besar dalam Islam. Beliau dilahirkan pada 450 Hijrah/1058 Masihi di kota Gazalah dekat Tus, Khurasan, bahagian utara Iran. Namanya dinisbahkan kepada tempat kelahirannya. Nama lengkapnya adalah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi al-Ghazali.

Di bidang keilmuan, pada mulanya beliau mendalami ilmu fiqh, kemudian mempelajari secara mendalam ilmu kalam dan ilmu falsafah. Setelah namanya harum sebagai seorang sarjana, pada 1091 Al-Ghazali dilantik menjadi Guru Besar Undang-Undang oleh Nizam al-Mulk (1018-1092), perdana menteri Sultan Maliksyah (1072-1092) dari dinasti Seljuk di Madrasah Nizamiyah di Baghdad. Beliau sempat mengajar di madrasah itu selama empat tahun dan pada zaman itulah beliau menulis karyanya Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah.

Al-Ghazali dianggap sebagai pembela kebenaran Islam yang terbesar sehingga digelar Hujjatul Islam atau "pembela Islam". Sehingga sekarang orang Muslim tetap tekun membaca karyanya yang terbesar, Ihya' Ulum Ad din (Menghidupkan Kembali Ilmu Agama).

Disebabkan kehidupannya 'terganggu' oleh krisis kepercayaan dan keraguan, pada 1095 Al-Ghazali meninggalkan Baghdad dan mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat. Pada mulanya beliau pergi ke Damsyik, kemudian ke Hebron dan Baitulmaqdis, kemudian ke Mekah dan Madinah.

Beliau menjalani kehidupan zuhud dengan mengembara selama 10 tahun. Setelah itu beliau kembali ke Nishapur pada 1106, menjadi tenaga pengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah.

Tidak berapa lama kemudian, beliau meninggalkan Nisabur, pergi ke Tus dan mendirikan halaqah (sekolah calon sufi) di tempat kelahirannya dan menguruskannya sehingga akhir hayat.

Perjalanan intelektual dan spiritual dalam menemukan kedamaian batin serta mengikuti jalan sufi telah beliau abadikan menerusi autobiografi berjudul al-Munqiz min ad-Dalal (Pembebas daripada Kesesatan).

Al-Ghazali dianggap paling berjasa dalam 'mendamaikan' antara tasawuf dengan syariat sehingga tasawuf dapat diterima oleh sebahagian besar umat Islam. Beliau juga berjasa mengembangkan serta menyebarkan aliran Asy'ariyah yang dianut oleh majoriti Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Al-Ghazali mengkritik pandangan dan penemuan para ahli falsafah dan akhirnya memilih tasawuf sebagai jalan menuju Tuhan. Dalam kritikannya terhadap para ahli falsafah menerusi karyanya, Tahafut al Falasifah, beliau mengatakan bahawa ada tiga pendapat para ahli falsafah yang telah membawa mereka kepada kekufuran, iaitu bahawa alam ini adalah qadim, dalam erti tidak bermula dalam waktu; Tuhan tidak mengetahui bahagian sekecil-kecilnya dalam segala kejadian alam ini dan tidak ada kebangkitan jasmani pada hari kiamat.

Akhir sekali mari kita renungi sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Mujaadalah ayat 11 yang bermaksud: Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 30/07/2013

Rahsia tarikh al-Qadar

LAILATULQADAR merupakan salah satu dari malam-malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan 1000 bulan. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qadr ayat 1 dan 2 yang bermaksud: Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar. Tahukah kamu apakah malam al-qadar itu? Malam Lailatulqadar adalah lebih baik dari 1000 bulan.

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami daripada ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1000 bulan.

Kebesaran Lailatulqadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut telah diturunkan al-Quran dan keduanya, pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebutkan sebagai Lailatulqadar kerana pada malam tersebut akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.

Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatulqadar seringkali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang ke-20 Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin mencari Lailatulqadar hendaklah pada malam ke-27."

Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud: Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam-malam ganjil dari 10 malam akhir bulan Ramadan.

Jelas daripada kedua-dua hadis di atas bahawa Lailatulqadar itu hanya berlaku pada satu malam sahaja dari bulan Ramadan, dan ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al-Mubarak ini.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh Lailatulqadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam tersebut.

Allah SWT sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:

# Allah SWT menyembunyikan Lailatulqadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.

# Allah SWT menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari tersebut.

# Allah SWT menyembunyikan sembahyang wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.

# Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-nama-Nya agar kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)

# Allah SWT menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita berhenti melakukan apa jua bentuk maksiat.

# Allah SWT menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.

# Allah SWT menyembunyikan kedatangan Hari Kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.

# Allah SWT menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.

Walau bagaimanapun berkaitan dengan Lailatulqadar, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam tersebut, di antaranya ialah:

# Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.

# Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang-benderang walau pun berada dalam kegelapan.

# Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam para malaikat dan tutur kata mereka.

# Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa di antara tanda malam al-Qadar telah berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al-Qadar akan tetap mendapat ganjaran daripada Allah SWT, biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang Ramadan, insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik daripada 1000 bulan itu.



WAN MARZUKI WAN RAMLI PENULIS ialah Guru Pendidikan Islam lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini bertugas di SK Jerek, Gua Musang, Kelantan. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 30/07/2013

Lima ujian gugat keimanan umat Islam

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang Mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan itu.” (Riwayat al-Hakim)

Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.

Ujian dijadikan Allah untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaran-Nya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan serta tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut saja.

Diuji lima perkara

Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama sentiasa dengki terhadapnya, orang munafik yang membencinya, orang kafir sentiasa memeranginya, syaitan berusaha menyesatkan dan bisikan hawa nafsu yang menggoncang keimanannya.

Semuanya ini menuntut kesabaran dan dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.
Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia ia perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah serta terbitnya perasaan kecewa atau putus asa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Surah al-Insyirah, ayat 6)

Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

Berita Harian Online Agama 30/07/2013

10 malam terakhir Ramadan kemuncak ibadah

Perbanyak beriktikaf dalam masjid mencari lailatulqadar

Ramadan adalah antara rahmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang beriman. Malah, Allah menyediakan malam-malam kemuncak yang disebut al-‘Asyar al-Awahir iaitu 10 malam terakhir Ramadan.

Malam ini untuk manusia tunduk memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan melakukan qiyam Ramadan. Sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang mendirikan (solat malam) pada Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan maka telah diampunkan baginya dosa-dosa yang lampau.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)

Teladan terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya ialah dengan menjadikan 10 malam terakhir Ramadan sebagai kemuncak ibadah berbanding malam lain. Nabi SAW akan menghidupkan malam itu dengan ibadah iktikaf, solat dan berzikir kepada Allah SWT.

Saidatina ‘Aisyah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila tibanya 10 Ramadan terakhir Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan ahli keluarganya, bersungguh-sungguh dan mengetatkan ikatan kainnya.” (Riwayat Muslim)

Ketatkan ikatan kain

Maksud mengetatkan ikatan kain pada pandangan ulama ialah meninggalkan tempat tidur dengan tidak bersama isteri-isteri Baginda. Manakala pandangan yang lain menyatakan, Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadah dan beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan.

Hadis ini juga jelas menceritakan kelebihan 10 malam terakhir Ramadan. Nabi SAW bukan saja menghidupkan malamnya secara berseorangan, tetapi Baginda mengajak ahli keluarga untuk tidak terlepas mengecapi kemanisan ibadah pada malam itu.

Sesungguhnya 10 malam terakhir Ramadan adalah malam mulia, manakala sepuluh hari terawal Zulhijjah adalah sepuluh waktu siang termulia bagi umat Islam.

Dr Yusuf al-Qardhawi menerangkan, 10 malam terakhir Ramadan dianggap mula kerana dua sebab, Nabi SAW akan sentiasa mengharapkan kebaikan pada setiap penghujung sesuatu perkara mahupun urusan.

Nabi SAW bersabda: “Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada pengakhirannya, sebaik-baik amalanku pada penghujungnya dan sebaik-baik hari apabila aku bertemu dengan-Mu.” (Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid)

Pengajaran daripada hadis ini ialah sesuatu amalan yang kita lakukan perlulah diakhiri dengan kesempurnaan. Begitulah juga ibadah dilakukan pada malam Ramadan terutama apabila telah memasuki 10 malam terakhir.

Adalah sedikit mendukacitakan apabila seorang hamba memulakan ibadah hanya pada malam awal dan pertengahan Ramadan, tetapi meninggalkan amal ibadah kemuncak pada malam 10 terakhir.

Kemuncak ibadah waktu malam

Perlulah diketahui bahawa inilah kemuncak ibadah pada waktu malam dalam sepanjang tahun yang Allah telah sediakan kepada kita untuk merasai kelazatan beribadah kepada-Nya.

Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Adakah kamu mengetahui apakah malam lailatulqadar? Malam lailatulqadar itu lebih baik berbanding seribu bulan. Turunnya malaikat dan juga Jibril padanya dengan izin Tuhan mereka dengan membawa segala urusan. Sejahteralah padanya (malam lailatulqadar) sehingga terbitnya fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan pengharapan maka diampunkan segala dosanya yang lampau.” (Riwayat Bukhari)

Ulama termasuk salaf al-soleh berbeza pendapat dalam meletakkan malam tertentu bagi lailatulqadar. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy menjelaskan dalam karyanya Fath al-Bari bahawa terdapat 39 pandangan dalam memperkatakan penetapan malam lailatulqadar.

Sebahagian kecil ulama berpendapat malam lailatulqadar boleh berlaku pada mana-mana malam dalam bulan Ramadan. Namun jumhur ulama Mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali berpendapat, malam lailatulqadar berlaku pada salah satu malam dalam sepuluh malam terakhir Ramadan.

Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW: “Carilah ia (malam lailatulqadar) pada sepuluh terakhir Ramadan.” (Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya malam lailatulqadar itu terdapat pada mana-mana malam pada sepuluh terakhir yang tidak jelas waktunya bagi kita. Walaupun begitu ia berada hanya pada satu malam tertentu saja yang telah ditetapkan sehinggalah ke hari Kiamat. Namun malam-malam ganjil adalah yang paling diutamakan dan yang paling hampir dalam malam-malam ganjil itu pada pandangan Imam al-Syafi’i ialah pada malam ke-21.” (Dinukilkan dalam kitab al-Majmu’)

Sebahagian besar ulama berpendapat malam lailatulqadar berlaku pada malam ke-27. Pandangan ini dinyatakan oleh Ibn Abbas dan sebahagian besar sahabat bersandarkan hadis diriwayatkan oleh Mu’awiyah bin Abi Sufya, Nabi SAW bersabda mengenai malam lailatulqadar: “Ianya pada malam ke-27 (Ramadan).” (Riwayat Abu Daud)

Namun terdapat hadis lain juga menerangkan malam lailatulqadar berlaku pada malam ganjil iaitu malam 23, 25 dan 29.

Kesimpulannya malam lailatulqadar tidaklah diketahui bilakah waktunya namun kita disuruh oleh Nabi SAW untuk mencarinya dengan melakukan ibadah pada 10 malam yang terakhir Ramadan. Hal ini bertepatan sunnah Nabi SAW yang memperbanyakkan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir.


Muhammad Asyraf Berita Harian Online Agama 30/07/2013