July 31st, 2013

Istiqamah, sabar kunci kekuatan iman

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Neraka dilingkari oleh hal-hal yang menarik hawa nafsu sedangkan syurga dilingkari oleh hal-hal yang tidak disenangi.” (Riwayat al-Bukhari)

Pertentangan antara kebenaran dan kebatilan sebenarnya adalah satu sunnah dalam kehidupan manusia. Setiap perkara yang menjurus kepada nafsu sentiasa mendorong manusia melakukannya sedangkan perkara mengajak kepada syurga sentiasa ada halangan dan rintangannya. Itulah yang dinamakan cabaran iman.

Allah SWT memberi khabar gembira terhadap orang yang sanggup mengorbankan gelora hawa nafsunya demi untuk berbakti di jalan Allah bahawa mereka nanti akan diberi ganjaran syurga yang penuh dengan kemewahan dan kenikmatan.

Istiqamah kunci kekuatan iman

Kekuatan iman itu akan tetap terpelihara dengan sebaik-baiknya apabila wujudnya nilai istiqamah dalam hati dan sabar adalah kunci kekuatan. Ia menjadikan manusia dapat bertahan daripada dipengaruhi sebarang hasutan yang menarik diri mereka kepada neraka.

Kesabaran adalah ubat yang paling pahit, tetapi paling mujarab untuk seseorang itu sampai ke syurga.

Daripada Ibnu Masu’d, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Syurga itu lebih dekat kepada setiap kamu daripada tali capalnya. Begitulah juga neraka.” (Riwayat Bukhari)

Taat kepada Allah akan membawa kepada syurga dan maksiat akan membawa kepada neraka. Jalan ke syurga bagi seseorang itu amat mudah hanya dengan mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangan. Syurga itu dekat bagi orang soleh dan begitu juga neraka dekat bagi orang yang dimurkai Allah.

Balasan ikhlas berpuasa

Daripada Abu Said al-Khudri, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Tidak seorang pun daripada hamba Allah yang berpuasa sehari dengan niat kerana Allah, melainkan Allah akan jauhkan mukanya daripada kepanasan api neraka sejauh perjalanan 70 tahun lamanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap orang yang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan.

Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia di akhirat kelak.


Berita Harian Online Agama 31/07/2013

Penilaian ratu cantik ikut nafsu

Larangan selaras hukum al-Quran, tak boleh persoal fatwa

Keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menghalang penyertaan orang Islam dalam pertandingan Ratu Cantik Malaysia untuk menjadi wakil negara ke pertandingan Ratu Cantik Dunia, baru-baru ini, berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, menjadi topik hangat diperdebatkan.

Paling mengecewakan ialah terdapat orang Islam yang mengkritik keputusan pengharaman penyertaan orang Islam dalam pertandingan itu berbanding keputusan Majlis Fatwa mengharamkan shisha.

Berkemungkinan penggemar shisha jauh lebih sedikit berbanding penggemar pertandingan ratu cantik. Daripada luarannya, jelas menunjukkan masyarakat termasuk sebahagiannya beragama Islam tidak dapat menerima pengharaman satu bentuk hiburan yang menjadi hidangan kepada mereka.

Sokong jadi bahan pertandingan

Golongan wanita sendiri masih ramai yang menyokong kaum sejenis mereka menjadi bahan pertandingan dan objek hiburan kepada masyarakat. Wanita sejak zaman dulu sebelum kedatangan Islam, menjadi bahan dagangan komersial dan dinilai daripada bentuk fizikalnya.

Walaupun terdapat kenyataan pertandingan itu juga mengambil kira intelektual peserta, hakikatnya markah asas dan utama dimulakan dengan bentuk badan peserta. Intelektual dijadikan markah bonus justeru, nafsu dijadikan asas utama menilai markah peserta.

Islam diutuskan melalui Rasul terakhir menganjurkan wanita perlu dilindungi. Bentuk badan mereka hanya untuk tatapan penjaga bertujuan supaya martabat wanita itu sentiasa dijaga. Sesuatu yang eksklusif itu biasanya hanya untuk tatapan golongan tertentu menjadikan sesuatu itu tinggi nilainya.
Majlis Fatwa di Malaysia berfungsi untuk menghurai dan menjelaskan sesuatu hukum atau permasalahan. Perkataan fatwa itu sendiri bermaksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.

Hukum dalam al-Quran tak perlu fatwa

Dari segi istilah, fatwa adalah jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. Bagi perkara yang telah jelas hukumnya dalam al-Quran dan hadis adalah tidak memerlukan fatwa untuk kita mematuhi hukum itu.

Melalui peruntukkan undang-undang syariah di Malaysia, terutama sekali di Wilayah Persekutuan di mana isu ini hangat diperkatakan, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, fatwa dijelaskan mengikut seksyen 34, fatwa boleh dibuat apabila diperintahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Fatwa juga dikeluarkan atas permintaan orang ramai melalui surat yang dihantar kepada mufti atau dibuat atas kehendak mufti sendiri. Sesuatu yang diwartakan, ia menjadi sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti semua Mahkamah Syariah di negeri itu.

Fatwa yang telah dikeluarkan dan diwartakan, dari segi teknikalnya pihak berkuasa syariah bertanggungjawab untuk melaksanakan penguatkuasaan fatwa itu.

Tidak salah untuk berbeza pendapat dengan fatwa yang dikeluarkan namun, apa yang dikesalkan segala kritikan terhadap keputusan fatwa lebih bersifat menentang perkara asas dan perdebatan oleh orang Islam sendiri lebih berpandukan fahaman hak asasi manusia anjuran Barat.

Ini sama sekali bertentangan dengan hukum asas Islam yang melarang wanita mendedahkan aurat, apatah lagi dalam situasi ini, mereka memperjuangkan hak asasi supaya bentuk tubuh dan rupa paras wanita itu boleh dipertandingkan.

Terdapat juga kritikan membandingkan dan mempersoalkan mengapa tiada fatwa pengharaman yang sama terhadap atlit gimnastik wanita Islam yang juga mengenakan pakaian melekat pada tubuh serta mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

Perkara salah tetap salah

Perbandingan juga dibuat di mana ada negara membenarkan rakyat beragama Islam menyertai pertandingan ratu cantik dan ada yang telah dinobatkan sebagai pemenang. Persoalan ini harus difahami kerana kita tidak boleh berfikiran jika orang lain buat satu perkara yang jelas salah, maka adalah tidak salah untuk kita melakukan perkara salah yang sama. Perkara yang salah tetap salah.

Jika perlu untuk fatwa dikeluarkan bagi perkara yang kita adukan itu, gunakanlah kaedah dan tatacara yang teratur dan bertamadun untuk Majlis Fatwa membuat keputusan bukan menjustifikasikan perbuatan salah kita hanya kerana orang lain juga melakukan kesalahan sama.

Adakah wajar untuk kita semua dibenarkan mencuri dan memecah masuk rumah hanya kerana ia menjadi kebiasaan kes kecurian dan pecah masuk rumah.

Melainkan kita mempunyai kelayakan untuk membuat ijtihad, iaitu fasih dalam ilmu syarak, janganlah kita mudah mengkritik keputusan fatwa yang telah dikeluarkan. Sebagai orang beragama Islam, kita mempunyai tanggungjawab untuk memelihara dan menjaga agama yang kita anuti.

Janganlah jadikan diri kita sebagai medium untuk orang melihat bahawa agama Islam itu jelek dan janganlah dipergunakan bagi memecah-belah orang Islam di negara ini khususnya melalui perang saraf yang halus hingga kita menjadi senjata menghancurkan agama sendiri.

Seperti kata pepatah, ‘jika kita tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan janganlah kita menjadi langau yang merosakkan ikan itu’.

Moeis Basri ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Berita Harian Online Agama 31/07/2013

Puasa baik untuk kesihatan

TIDAK seorang pun ahli perubatan daripada kalangan Muslim mahupun bukan Muslim meragukan mengenai manfaat berpuasa bagi kesihatan manusia.

Menurut buku berjudul Pemeliharaan Kesihatan dalam Islam karya Mahmud Ahmad Najib (Pensyarah Fakulti Kedoktoran Universiti Ain Syams Mesir), ditegaskan bahawa berpuasa sangat berguna dan bermanfaat bagi kesihatan.

Di antara manfaat tersebut, berpuasa dapat memperkecil peredaran darah sebagai perimbangan untuk mencegah keluarnya keringat dan wap melalui pori-pori kulit serta saluran kencing tanpa perlu menggantikannya.

Menurut beliau, curah jantung yang mengagihkan darah ke seluruh pembuluh darah akan membuat peredaran darah menurun. Dengan itu memberi kesempatan otot jantung masa untuk rehat setelah bekerja keras setahun lamanya.

Berpuasa memberi kesempatan kepada organ jantung untuk memperbaiki tenaga dan kekuatan sel seseorang.

Selain itu, menurutnya lagi, berpuasa memberi kesempatan kepada alat-alat pencernaan untuk beristirehat kerana ketika seseorang berpuasa, perut dan ususnya berehat selama beberapa jam daripada kegiatannya.

Proses penyerapan makanan juga berhenti sehingga asam amoniak, glukos dan garam tidak masuk ke usus. Dengan itu sel-sel usus tidak mampu menghasilkan komposisi glikogen, protein dan kolestrol.

Sementara itu, seorang pakar dari Amerika Syarikat, Allan Cott, M.D. telah menghimpun hasil pengamatan dan penelitian para ilmuwan pelbagai negara dalam buku berjudul Why Fast? yang memaparkan sejumlah hikmah puasa.

Antara lain memunculkan perasaan lebih baik secara fizikal dan mental, membersihkan tubuh, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, menjadikan badan sihat dengan sendirinya, menumbuhkan kemampuan mengendalikan diri sendiri dan melambatkan proses penuaan.

Lebih jauh, dunia ilmiah telah membuktikan bahawa proses detoksifikasi ketika berpuasa, seperti dipaparkan praktis dan pengkajian kedoktoran nabi, Dr. Mohammad Ali Toha Assegaf, dalam buku berjudul, 365 Tips Sihat ala Rasulullah, menuliskan, pada kekotoran (feces) dan air seni orang yang berpuasa ditemukan racun organophosphat. Bahan racun tersebut disimpan dalam sel-sel adipose (lemak) dalam tubuh yang mengalami pembongkaran dengan cepat ketika seseorang berpuasa.

Diceritakan kisah seorang tabib yang diutus oleh Raja Mesir, Muqauqis kepada Rasulullah SAW sebagai bentuk solidariti sosial untuk mengubati penduduk Madinah secara percuma. Namun ternyata tidak seorang pun pesakit datang berubat kepadanya setelah tabib itu bermukim beberapa lama di Madinah.

Setelah melakukan peninjauan terhadap penduduk Madinah, ia tidak menemukan seorang pun penduduk yang tidak sihat. Akhirnya tabib itu memutuskan untuk meninggalkan Madinah kerana ia merasa tak ada yang perlu diubati di sana.

Ketika meminta izin kepada Rasulullah SAW, ia mengutarakan kekagumannya pada pola hidup kaum Muslimin, sambil berkata, "Tuan, izinkan kami mengetahui rahsia apakah yang menyebabkan tidak seorang pun mengeluh sakit di sini?"

Rasulullah SAW menjawab: "Kami kaum yang tidak makan hingga kami merasa lapar dan ketika makan kami tidak (makan sampai) kenyang." (riwayat Abu Daud).

Kesihatan berkait rapat dengan pola makanan. Melalui hadis di atas, kita diajarkan untuk tidak berlebihan memasukkan makanan ke dalam sistem cernanya.

Lebih-lebih lagi al-Quran memerintahkan hal yang sama dengan firman-Nya bermaksud: Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah kamu berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (al-'Araf: 31)

Sebuah hadis daripada Miqdam bin Ma'dikariba menegaskan hal itu. Ia berkata, "Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak ada bejana yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah baginya memakan beberapa suap untuk sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak dapat demikian, maka hendaklah ia menjadikan sepertiga lambungnya untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga untuk udara (pernafasan)." (riwayat at-Tirmizi)

Nyata sekali di sini bahawa hakikat puasa semakin terbuka rahsianya sebagai suatu mukjizat ilmiah dan keperluan kemanusiaan.

Fakta kebenaran ini akan terus tersingkap lebih banyak lagi seiring dengan peningkatan pengetahuan, sains dan teknologi manusia mengenai hukum-hukum penciptaan Allah SWT ke atas alam semesta.



IBRAHIM ABDULLAH Utusan Malaysia Online Bicara Agama 31/07/2013

Tokoh tajwid jadi rebutan

PERTAMA kali saya melihat karyanya bertajuk, Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari, timbul keazaman di hati untuk jadikan karyanya sebagai bahan kajian.

Walaupun ketika itu, saya adalah pelajar tahun pertama di Universiti Islam Madinah tetapi dalam diri ini amat yakin kandungan karya Syeikh Mirsafi adalah bernilai dan boleh dimanfaatkan oleh penuntut ilmu.

Nama penuhnya ialah Abdul Fattah al-Sayyid Ajami al-Mirsafi dilahirkan pada 1923 di kampung Mirsafa dalam daerah Qalyubiyyah, Mesir.

Mirsafa terkenal dalam kalangan penduduk Mesir kerana melahirkan ramai penghafaz al-Quran.


Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi (tiga dari kanan) bersama pensyarah di Universiti Islam Madinah dan dengan kepakaran mereka dalam bidang lughah, tafsir dan Qiraat mereka juga dilantik sebagai ahli lajnah tashih al-Quran di Mujamma' Malik fahd Madinah.

Syeikh Abdul Fattah adalah abang sulung di kalangan tiga beradik iaitu Syeikh Ibrahim dan Syeikh Hasanain yang kesemuanya adalah al-Hafiz.

Syeikh Abdul Fattah al-Mirsafi banyak menumpu kepada talaqqi al-Quran dan Qiraat. Antara guru Quranya ialah Syeikh Zaki Muhammad Afifi Nasr.

Selepas khatam al-Quran dengan beliau semasa berusia sembilan tahun, Syeikh Abdul Fattah meneruskan pengajian dalam bidang Qiraat Tujuh melalui talaqqi dengan gurunya Syeikh Rifaei Muhammad Ahmad al-Majuli.

Beliau telah khatam sebanyak lima kali di hadapan gurunya ini dan terakhirnya beliau membaca Qiraat Tujuh.

Bagi mencukupkan Qiraat Sepuluh, Syeikh Abdul Fattah talaqqi Tariq Durrah iaitu Qiraat Abu Ja'far, Ya'qub dan Khalaf al-Asyir dengan gurunya yang bernama Syeikh Hamid Ali al-Sayyid al-Ghundur.

Untuk mendalami Tariq Durrah dan Tariq Syatibiyyah, Syeikh Abdul Fattah bertalaqqi dengan seorang yang alim dalam Qiraat iaitu Syeikh al-Allamah Muhammad al-Anwar Hasan Syarif.

Qiraat Tujuh iaitu Syatibiyyah ditambah dengan Tiga Qiraat iaitu Durrah dikenali sebagai Asyarah Sughra. Manakala Qiraat Sepuluh yang berada dalam matan Tayyibah oleh Ibnu al-Jazari terkenal dengan Asyarah Kubra.

Asyarah Kubra

Justeru, selepas mendalami Asyarah Sughra dengan beberapa guru yang hebat dan menguasainya dengan sempurna, Syeikh Abdul Fattah telah melengkapkan penguasaannya dalam Asyarah Kubra dengan seorang guru yang terkenal.

Beliau yang dimaksudkan ialah al-Allamah al-Muqri Syeikh Ahmad Abdul Aziz al-Zayyat. Melalui Syeikh Zayyat, Syeikh Abdul Fattah telah talaqi Asyarah Kubra Tariq Tayyibah membaca dari awal al-Quran hingga akhirnya dalam tempoh 44 hari. Setelah khatam, Syeikh Zayyat telah mengijazahkanya sanad.

Dalam pengenalan gurunya ini, Syeikh Abdul Fattah menyatakan "…beliau adalah salah seorang guruku dalam Qiraat Asyarah Sughra dan Qiraat Asyarah Kubra melalui Tariq Tayyibah, Allamah dan Imam dalam ilmu Qiraat tanpa tandingan, hebat pada zamannya, terunggul pada masanya dalam ilmu dan kelebihan, hatinya bersih, fikirannya tulus, beliau adalah antara ulama yang mulia dalam ilmu syariah dan bahasa Arab..".

Sanad Syeikh Zayyat adalah antara yang tertinggi dengan maksud antara beliau hingga ke Rasulullah SAW mempunyai 27 atau 28 perawi. Jika diteliti senarai guru Syeikh Abdul Fattah kesemua mereka mempunyai kemahiran dalam ilmu Qiraat.

Dan Syeikh Abdul Fattah telah berjaya mendapatkan sanad dari semua gurunya. Dari satu sudut, telah memadai ilmu Qiraat yang dikuasainya melalui guru-gurunya terdahulu.

Namun kesungguhannya untuk memiliki sanad yang lebih tinggi mendorong beliau mencari Syeikh Zayyat. Dan jika dilihat usianya ketika talaqqi dengan Syeikh Zayyat telah melebihi 40 tahun.

Ketekunan Syeikh Abdul Fattah menimba ilmu Qiraat dengan guru yang mahir dan mencari sanad yang tinggi membuahkan hasil yang baik.

Keilmuan Syeikh Abdul Fattah telah menjadi rebutan di kalangan pelajar untuk talaqqi Quran dan Qiraat. Beliau juga telah menghasilkan satu karya yang menjadi rujukan dalam ilmu Tajwid yang dinamakan dengan Hidayah al-Qari Ila Tajwid Kalam al-Bari.



Dr. Khairul Anuar Mohamad ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Universiti Sains Islam Malaysia. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 31/07/2013