August 2nd, 2013

Pengaruh Syiah: Bahaya perpecahan sedang menunggu

PEMBONGKARAN Gerakan Syiah Malaysia (Utusan Malaysia, 30 Julai 2013) yang dikatakan menggunakan dana sebesar RM24 juta membina sebuah kompleks serba canggih mulanya di Gombak, Selangor dan beralih ke Wilayah Satun, Thailand adalah sesuatu yang mengejutkan.

Aktiviti Syiah ini telah dikesan sejak lama terutama di Selangor. Penangkapan beramai-ramai pengikut ajaran ini di Gombak oleh Jabatan Agama Islam Islam pada tahun terdahulu adalah bukti yang sangat nyata. Selangor dikatakan menjadi tempat utama bagi pengembangan pengaruh Syiah ini.

Apabila Kedah mengambil langkah berani mengharamkan ajaran Syiah barulah negeri-negeri lain merasakan ia suatu ancaman. Rencana Ismail Mina Ahmad, Pengerusi Muafakat Malaysia (dua siri di Utusan Malaysia pada 29-30 Julai 2013) menyatakan dengan jelas tentang bahaya ajaran Syiah dan pertentangannya dengan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi anutan arus perdana di Malaysia.

Sejak Revolusi Iran 1979, pengaruhnya menjalar ke seluruh dunia. Apa yang kita lihat di Lebanon, Iraq, Syria, Baharin dan banyak tempat ia membawa pertempuran yang dahsyat dan menyebabkan negara-negara Islam menghadapi pertikaian yang panjang.

Pas di Malaysia amat tertarik dengan Revolusi Iran ini pada suatu ketika dulu. Pas zaman pemerintahan Abdul Hadi Awang mengambil jalan radikal menghadapi situasi politik di Malaysia. Ramai orang Malaysia berkunjung ke Iran khususnya di Qum, sebahagiannya untuk menjadi Syiah dan sebahagiannya mengagumi Iran dalam menghadapi politik kuasa besar.

Di Malaysia, dikatakan ada pemimpin politik mengambil pendekatan taqiyyah atau penyamaran, mengagumi politik wilayatul faqih tetapi masih kekal dalam amalan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Mereka tidak mudah dikenal pasti tetapi pada masa lalu ada ulama dan aktivis yang simpati kepada revolusi Iran mati dalam Syiah.

Maklumat yang ada menyatakan pengaruh itu datang dari orang Syiah yang jumlahnya ribuan yang sudah berada di Malaysia sama ada sebahagiannya yang sedang belajar, para peniaga dan usahawan dan juga kelompok-kelompok tertentu yang mempengaruhi umat Islam di Malaysia.

Kalau ia tidak dibendung dan diatasi, pengaruh Syiah ini akan membawa perpecahan yang lebih parah. Suasana politik umat Islam di Malaysia sudah sedia pecah. Dengan pengaruh Syiah yang menyelinap dalam organisasi dan komuniti tidak mustahil ia boleh meresapi parti politik dan menyebabkan pertentangan akan menjadi lebih parah.

Di Indonesia, pengaruh Syiah semakin kuat. Ulama Indonesia, Jalaluddin Rahmat menulis banyak buku mengenai faham Susyi iaitu cantuman Sunnah dan Syiah yang cuba melakukan sinergi antara kedua faham itu. Penerbit Al-Mizan yang terkenal di Indonesia amat terbuka untuk menerbitkan buku-buku yang membawa faham Syiah ini.

Kalau Satun di Thailand menjadi pusat pengembangan Syiah pada masa depan sudah tentu pengaruhnya akan terkait dengan apa yang berlaku di Malaysia dan Indonesia. Pertentangan umat Islam di daerah Pattani dengan kerajaan Bangkok akan menjadi lebih tajam, pola politik Indonesia masa depan akan jadi lebih radikal dan politik umat Islam di Malaysia akan jadi lebih kacau.

Telah sekian lama umat Islam di rantau ini menganut faham Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ia mewujudkan kestabilan dalam faham beragama meskipun ada pergolakan dalam kegiatan politik setempat.

Kehadiran Syiah dalam bentuk terancang seolah-olah ada tujuan mensyiahkan seluruh umat Islam di mana-mana sedangkan pada prinsipnya banyak percanggahan dengan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah itu sendiri.

Penulis percaya kerajaan Malaysia amat menyedari apa yang berlaku. Langkah bijaksana, tegas dan berkesan perlu diambil supaya pengaruh ini dapat dibendung.

Pengaruh Syiah ini yang sifatnya politikal dan juga ideologikal akan memberi kesan pengaruh politik umat Islam di Malaysia. Ada setengah pendukung politik berpendapat bahawa menerusi proses demokrasi cita-cita menegakkan negara Islam tidak akan tercapai.

Sudah wujud aliran menegakkan sistem Khalifah di Malaysia dan pengaruhnya sudah mula bertapak di universiti. Simpang siur aliran fahaman politik ini kalau tidak diperbetulkan bakal memberi kesan kepada generasi muda di Malaysia. Apalagi dengan pengaruh Syiah di Malaysia, sempurnalah perpecahan yang ada dan keadaan tidak stabil menunggu kita kalau tindakan berkesan tidak dibuat.



Utusan Malaysia Online Rencana 02/08/2013

Penyelamat daripada kepapaan

ISLAM adalah agama yang mementingkan kesederhanaan hidup dalam segala aspek. Sifat sederhana ini mencerminkan kemurnian iman dan kesyukuran kepada Allah atas limpah nikmat kurnia-Nya yang tidak terhitung banyaknya.

Ini sesuai dengan falsafah dan hikmah puasa yang mengajar manusia menahan diri daripada makan dan minum di siang hari kerana melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah.

Melaluinya, secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah dan bilangan kekerapan makan dan minum secara teratur. Lantaran itu, perbelanjaan seharian akan lebih berhemat dan selamat daripada pembaziran.

Islam juga amat menekankan tentang bimbingan kepenggunaan dan mendidik agar sederhana dalam berbelanja terutama di bulan Ramadan. Bulan puasa sewajarnya mendidik umat Islam supaya menahan nafsu mata dan nafsu perut agar tidak boros berbelanja.

Nabi SAW bersabda: "Sungguh berjaya orang Islam dan rezekinya cukup dan berasa cukup dengan segala apa yang diberikan oleh Allah kepadanya." (riwayat Muslim)

Malah sepanjang Ramadan sudah terdapat pelbagai tawaran harga murah dan pelbagai juadah dijual di bazar Ramadan, sekali gus ujian keimanan.

Islam juga melarang umatnya kedekut yang menyebabkan seseorang itu tidak mahu berbelanja untuk diri dan keluarganya.

Sifat sederhana adalah sifat hamba-hamba Allah yang dekat dengan-Nya. (rujuk al-Furqan: 67)

Jelaslah sifat sederhana amat dititikberatkan dalam kehidupan umat Islam. Seseorang yang bersifat sederhana dalam hidupnya tidak mudah ditimpa kesusahan dan kepapaan. Selain itu, sifat ini juga dapat meningkatkan kesedaran diri terhadap kesusahan orang lain.

Maka jadikan kesederhanaan sebagai cara hidup yang baik dan sihat. Seseorang itu tidak akan melarat jika mengamalkan cara hidup yang sederhana. Berbelanja yang melewati batas kesederhanaan akan membawa seseorang itu kepada kesusahan dan pemborosan.

Melalui sifat ini juga akan melahirkan rasa kesyukuran, kesabaran, tawakal dan keinsafan di hati seseorang. Malah ia membawa kebahagiaan hidup kepada pengamal sifat ini terutama pada masa keadaan ekonomi meleset dan harga barang melambung tinggi.

Cerdik pandai Islam pernah berkata, kesenangan hati dan ketenangan jiwa adalah lebih berharga daripada kesenangan kerana pangkat dan kekayaan yang melimpah ruah tetapi hidup tidak tenang. Apabila manusia tidak memerdekakan jiwanya daripada harta benda, maka harta benda yang dimilikinya itu akan menguasainya.

Oleh itu, carilah kesenangan hati dan ketenangan jiwa di bulan Ramadan dengan mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja. Godaan nafsu mata seperti kata peribahasa, rambang mata ketika membeli-belah haruslah dikawal bagi mengelakkan pembaziran.

Imam Abu Hanifah pernah berkata, sepotong roti, segelas air dan sehelai kain yang diperoleh dengan jalan halal, lebih baik daripada hidup mewah yang kemudian menimbulkan penyesalan.

Sikap sederhana ini ditekankan apabila barangan menjadi berkurangan sewaktu musim kemarau dan kelaparan. Inilah yang telah diceritakan dalam al-Quran dalam kisah Nabi Yusuf a.s, yang telah mengurangkan penggunaan barangan sepanjang tujuh tahun yang subur untuk disimpan buat menghadapi musim kemarau. (rujuk Yusuf: 47)

Sesungguhnya sikap sederhana ini tidak akan merugikan sesiapa, malah menguntungkan seseorang yang mengamalkannya. Seseorang itu tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin zaman kesusahan akan melanda kehidupan. Dengan sikap sederhana dan berjimat cermat akan dapat membantu kehidupan masa depan.

Dalam hal hidup sederhana Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Makanlah, minumlah, pakailah, dan bersedekahlah, jangan berlebih-lebih (boros) dan janganlah untuk bermegah-megah." (riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Ramadan mendidik umat Islam mengamalkan sifat sederhana dalam soal makan dan minum serta berbelanja untuk membeli pakaian. Sementara, sifat rajin dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu boleh dilakukan dalam setiap amal ibadat sunat bagi mendapat gandaan pahala.

Islam tidak melarang umatnya memakai pakaian yang indah dan cantik terutama untuk ke masjid bagi menunaikan solat terawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Allah SWT menyukai keindahan dan kecantikan. (rujuk al-A'raf: 31)

Bulan Ramadan bukanlah musim menjamu selera dengan makanan dan minuman secara mewah dengan pelbagai jenis menu kerana kesemua ini akan lenyap seusai berbuka puasa.

Ternyata bahawa sederhana dan berhemat daripada segi perbelanjaan, makan dan minum ketika melaksanakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan dapat menyelamatkan seseorang daripada sifat boros, membazir dan melakukan perkara yang sia-sia, seterusnya melahirkan rasa syukur terhadap nikmat Allah.

Kesimpulannya, sifat kesederhanaan adalah sifat yang amat digalakkan diamalkan bukan sahaja dalam bulan Ramadan tetapi dalam kehidupan seharian. Sifat sederhana ini akan mencapai kehidupan penuh reda daripada Allah SWT demi kebahagiaan hidup yang sebenarnya.



DR. AMINUDIN MANSOR PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.Utusan Malaysia Online Bicara Agama 02/08/2013

Haji jihad bagi wanita

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Janganlah kamu mengira bahawa orang yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. Mereka bergembira dengan pemberian Allah, memberi khabar gembira kepada yang belum syahid supaya jangan takut dan jangan bersedih, memberi tahu khabar gembira tentang nikmat pemberian Allah dan Allah tidak akan mensia-siakan ganjaran mereka yang beriman. (Ali Imran: 169-171)

Selain daripada pernyataan al-Quran ini, hadis riwayat Muslim menukilkan sabda Baginda: "Siapa yang mati tidak pernah berperang (jihad) dan tidak bercita-cita untuk berperang dia mati dalam satu cabang daripada cabang-cabang munafik."

Pernyataan-pernyataan ini menjadi pemangkin kepada orang beriman untuk mati syahid, tidak kira lelaki atau perempuan. Ini dibuktikan hadis marfu' daripada Aisyah r.a bahawa beliau telah meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk turut serta dalam perang jihad, tetapi baginda tidak membenarkannya dan menyatakan bahawa jihad kaum wanita ialah haji.

Banyak signifikan yang boleh menggambarkan mengapa Rasulullah menjelaskan ibadat haji berstatus jihad bagi kaum wanita. Ia seolah-olah kiasan bahawa suasana ibadat haji sama dengan keadaan dalam perang jihad, kerana pergerakan dalam ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Kaum wanita telah disiapkan Allah SWT dengan emosi yang tinggi, sesuai dengan fitrah mereka. Boleh dikatakan semua pergerakan dalam melaksanakan ibadat haji banyak menekan emosi jemaah. Bermula dari detik perpisahan meninggalkan keluarga, lapan jam penerbangan, kemudian bersesakan di lapangan terbang Jeddah atau Madinah, di samping kepanasan sehingga mencecah 30 darjah celsius dan proses pemeriksaan imigresen.

Ditambah aspek keselesaandibilik penginapan, kerenah rakan sebilik. Begitu juga pergerakan ke Arafah, Muzdalifah, bergerak ke Mina, beberapa hari mabit dalam khemah, bersesak sewaktu melontar jamarat, sebelum balik ke Mekah dan melakukan tawaf. Semuanya perlu kawalan emosi yang mantap.

Pergerakan-pergerakan dalam melaksanakan ibadat haji memerlukan kekuatan tenaga, fizikal dan mental. Bermula daripada pergerakan hari ke-8 Zulhijjah dari Mekah ke Arafah hingga kembali semula ke Mekah.

Malah jarak antara Mekah dan Arafah lebih kurang 22 kilometer (km), Arafah ke Muzdalifah 8 km. Muzdalifah ke Mina 6.9 km dan Mina ke Mekah 7 km. Kesemuanya lebih kurang 44 km.

Dalam keadaan biasa mungkin hanya mengambil masa kurang 30 minit tetapi dalam kesesakan musim haji, kadangkala memakan berjam-jam. Apa lagi jika tersesat kerana majoriti pemandunya bukan rakyat Arab Saudi.

Oleh itu, jemaah dinasihatkan supaya tidak membawa banyak barang tetapi sekadar mencukupi untuk keperluan.

Suasana dalam khemah di Arafah dan di Mina juga satu cabaran. Keluasan khemah yang disediakan kadangkala tidak menepati apa yang ditempah Tabung Haji. Hal sama boleh berlaku pada penyediaan makanan. Keadaan ini kadangkala menimbulkan salah faham sesama jemaah.

Begitu juga dengan keadaan semasa mabit di Muzdalifah. Berada dalam lautan manusia, di tengah padang pasir yang pencahayaan tidaklah begitu memuaskan di waktu malam. Keadaan tandas yang sesak dan tidak begitu kondusif, ditambah keadaan badan kepenatan memerlukan seseorang itu tenang dan berlapang dada.

Cabaran melontar menuntut kerahan tenaga. Apa lagi untuk berulang-alik dari perkhemahan ke jamarat dengan berjalan kaki. Selain itu, terpaksa bersesak semasa melontar, terutama lontaran hari pertama setelah sampai di Mina. Kebanyakan jemaah mahu melakukannya kerana ingin segera keluar daripada ihram dengan melakukan Tahallul Awwal.

Sekalipun kesesakan agak berkurangan pada hari kedua dan ketiga, jarak antara perkhemahan dan jamarat, ditambah jarak antara tiga jamarat tetap memenatkan.

Sebaik bergerak balik ke Mekah sekali lagi jemaah menghadapi situasi yang jauh lebih mencabar iaitu melakukan tawaf rukun. Mataf (tempat tawaf) yang hanya berkeluasan 19,000 meter persegi (sekarang sedang diperluas sehingga 160,000 meter persegi) akan padat dengan jemaah yang melakukan tawaf.

Setiap orang hanya akan dapat keluasan yang hanya memuatkan saiz dirinya sendiri, dalam keadaan berhimpit-himpit, kadangkala terpaksa menahan rempuhan dari belakang, himpitan kiri dan kanan boleh membuatkan langkah tawaf seseorang terhenti.

Setelah tawaf, jemaah perlu memerah tenaga melakukan saie dengan jaraknya 420 meter, sebanyak tujuh kali. Ini bererti jemaah perlu berjalan sejauh 2.94 km. Lebih mencabar apabila kena mencecah kaki di bukit Safa dan Marwah kerana berlaku kesesakan.

Kesemua keadaan di atas inilah barangkali Rasulullah SAW mengklasifikasikan ibadat haji sebagai jihad kepada kaum wanita atas dasar mereka lebih banyak menanggung kepayahan berbanding kaum lelaki, kerana daya fizikal mereka yang berbeza.


DR. ANISAH AB. GHANI PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim) Utusan Malaysia OnlineBicara Agama 02/08/2013

Legasi Melayu dalam tamadun Islam

BULAN Ramadan yang mulia ini, masyarakat Islam di negara kita menerima ujian daripada beberapa peristiwa yang boleh dianggap sebagai dugaan terhadap kesabaran dan kewarasan pemikiran umat ini.

Pertama, peristiwa yang dikatakan berlaku di sebuah sekolah oleh tindakan yang berbentuk diskriminasi terhadap pelajar-pelajar bukan Islam dengan 'memaksa' mereka minum dan makan dekat 'tandas'.

Kedua, keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa tindakan seorang suami, bapa kepada tiga orang anak, mengislamkan anak-anaknya tanpa keizinan ibunya yang masih kekal dalam agama asalnya, tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan.

Sebelum peristiwa ini pun, telah berlaku beberapa penghinaan terhadap umat Islam, termasuk lukisan dan komen sinikal daripada anak muda bukan Islam yang mempersenda ibadat puasa, iaitu menunjukkan sepasang manusia yang berbuka puasa dengan makanan yang bertanda logo Halal, tetapi mesejnya ialah makanan itu amatlah diragui tentang status halalnya.

Peristiwa terbaru yang menguji kesabaran umat Islam juga, ialah penglibatan anak-anak gadis Islam di dalam peraduan Ratu Cantik Malaysia, dan komen-komen pro atau kontranya, termasuk daripada orang Islam sendiri.

Malah, tidak lama dulu, satu keputusan telah pun dibuat di mahkamah tentang kebenaran peguam bukan Islam untuk menjadi peguam Syarie berdasarkan merit, bukan berdasarkan latar belakang agamanya.

Di samping itu kes "kalimah Allah" juga sedang menunggu perintah mahkamah yang akan mendengar bantahan terhadap penggunaan kalimah ini tidak lama lagi, dan bakal menjadi satu lagi kes besar kepada masyarakat Islam dan masyarakat berbilang kaum di negara kita ini.

Saya merasa kagum dan bersyukur kepada Allah SWT kerana nampaknya umat Islam yang menerima 'tamparan' yang agak hebat itu, tetap bersabar dan tidak menunjukkan sebarang reaksi kesal, marah secara melulu, atau bertindak di luar batas-batas tatasusila agama.

Hal ini besar kemungkinan berpunca daripada tabiat umat Islam, terutamanya orang Melayu kita yang sememangnya sering bertindak secara rasional dan meletakkan kepentingan bangsa dan negara di atas segala-segalanya.

Selain itu, kekuatan iman dan kepentingan sifat sabar yang sedang dipelajari daripada ajaran agama dalam bulan puasa ini, mungkin telah memberikan kekuatan kepada umat Islam sendiri supaya menambahkan ketenangan dan kesabarannya. Sebab itulah tidak ada sebarang reaksi mereka yang berdasarkan emosi atau sentimen melulu ketika menghadapi dugaan ini.

Orang Islam sendiri pada mulanya telah menyatakan kekesalan dan kemarahan mereka terhadap berita yang mengatakan bahawa kanak-kanak bukan Islam terpaksa makan dan minum di dalam tandas dalam bulan Ramadan ini, dan akhirnya mereka menerima dengan baik hakikat yang sebenarnya bahawa peristiwa yang berlaku itu bukanlah sebenarnya begitu, malah tempat makan minum ini adalah di dalam bilik persalinan yang tidak digunakan sebagai tandas, dan telah pun digunakan beberapa bulan lalu oleh semua pelajar, tanpa mengira agama dan keturunan, kerana kesempitan ruang kantin sekolah.

Alhamdulillah, nampaknya orang Islam tetap bersabar dan menyiasat kes ini dengan amat terbuka dan luas pemikiran, lalu tidaklah berlaku reaksi yang negatif, walaupun kemudiannya ternyata bahawa terdapat sesetengah kalangan yang ingin menjatuhkan pimpinan sekolah tersebut dan menghina umat Islam sendiri secara yang tidak langsung dengan menyebarkan gambar dan berita tersebut.

Dalam isu yang diputuskan oleh mahkamah tentang pengislaman kanak-kanak itu pula, nampaknya seperti biasa, warga negara kita menerima keputusan mahkamah dengan rela hati, dan tidak memberikan sebarang reaksi yang tidak bertamadun, kerana umat Islam khasnya di negara ini sering menerima realiti bagi segala peristiwa yang berlaku di negara ini, termasuk isu yang menyentuh agama dan keturunan bangsa sendiri, setelah melalui proses perundangan yang diamalkan di negara kita.

Negara kita mempunyai proses perundangan yang panjang untuk mencari keadilan pada akhirnya. Maka proses rayuan dan sebagainya tentulah akan diambil untuk mendapatkan keputusan mahkamah nanti.

Inilah sebenarnya sikap dan akhlak Islam yang seharusnya kita kekalkan, kerana dalam Islam pintu perundingan dan penyelesaian masalah sentiasa terbuka, iaitu sebarang krisis dan isu yang timbul di dalam masyarakat, hendaklah diselesaikan dengan penuh ilmu dan hikmah.

Malah bagi kita umat Islam di negara ini, tidak timbul jalan kekerasan atau keganasan untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian dan konflik yang berlaku di antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam, malah jalan yang sama sering diambil ketika berlaku perselisihan dan krisis di antara umat Islam sesama umat seagamanya.

Hal inilah yang saya rasakan bahawa orang Melayu yang menerima ajaran Islam dan menghayati akhlak dan moral Islam itu sememangnya amat komited kepada ajaran agamanya. Mereka menyedari tanggung jawabnya terhadap Allah dan Rasul-Nya, dan mereka sentiasa menyedari akan falsafah perjuangan dalam menegakkan agama ini, iaitu tanpa mengorbankan prinsip dan ajaran asas agama Islam sendiri.

Melihat peristiwa yang berlaku di Mesir, Syria, Iraq, Tunisia dan lain-lain lagi di negara para Nabi dan Rasul yang amat bergolak pada masa kini, saya sering bertanya apakah umat Islam di negara-negara tersebut tidak mempunyai keupayaan lagi untuk menahan marah dan nafsu ledakan emosi dan sentimen mereka ketika menghadapi krisis dalam negara mereka pada masa kini?

Apakah bulan puasa dan ibadat puasa yang sedang dilakukan pada masa kini juga tidak berdaya lagi mengajar mereka supaya bersabar dan berhikmah, dengan mencari jalan yang bijak untuk menyelesaikan masalah dan konflik mereka sesama sendiri itu?

Apakah ertinya puasa mereka dalam bulan Ramadan yang berkat ini sekiranya ibadat mulia itu disertai oleh perbuatan yang jelas bertentangan dengan roh dan semangat Ramadan sendiri? Di manakah ajaran dan pendidikan yang seharusnya mereka hayati dalam menghadapi tekanan dan krisis sesama mereka sehingga mereka sanggup menghalalkan perbuatan mereka yang jelas bertentangan dengan matlamat ajaran agama Islam sendiri?

Ini hanya sekadar beberapa perbandingan sepintas lalu tentang perbezaan tindakan umat Islam di rantau Nusantara, khususnya, umat Melayu, ketika menghadapi krisis yang amat mudah membangkitkan ledakan emosi dan sentimen keagamaan atau perkauman, malah taksub kepartian yang melulu.

Maka dalam melihat ke dunia Islam lain inilah saya melihat bahawa keberkatan persefahaman di antara umat Melayu dan kaum-kaum lain di negara kita inilah yang memungkinkan Malaysia mengamalkan dasar toleransi yang tinggi dalam kepelbagaian dimensi kehidupan kita.

Kita mengamalkan dasar 'perkongsian kuasa' (power sharing) yang amat bermakna dalam membangunkan negara dan bangsa kita, sehingga dasar ini telah membawa kita kepada kehidupan bersama secara aman dan damai (peaceful coexistence) selama ini.

Banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh pelbagai kaum, termasuk orang Melayu dan umat Islam sendiri di negara ini, yang memungkinkan kita melahirkan satu masyarakat contoh yang terbaik dalam dunia ini dalam konteks masyarakat majmuk.

Oleh itu, saya merasakan bahawa dalam meneruskan legasi kekuatan toleransi umat Islam dan Melayu di rantau ini, khususnya di negara kita, maka seluruh dunia haruslah menghormati sentimen dan persefahaman ini.

Dalam konteks inilah juga saya telah mengemukakan idea agar legasi Melayu dalam perjuangan menegakkan Islam dengan segala contoh tauladan, kegigihan dan perjuangan yang penuh hikmah, pemikiran dan tamadunnya, seharusnya kita tonjolkan di dalam dunia umumnya, bahawa selain daripada masyarakat Asia Barat dan Afrika Utara, sebenarnya di sana terletak pusat pembangunan dan tamadun Islam, iaitu di tangan umat Islam dan orang Melayu, di rantau dunia yang terkenal sebagai Tanah Melayu dan bumi Nusantara yang selama ini diabaikan dalam sejarah pembangunan Islam dan tamadunnya.

Dunia antarabangsa seharusnya dapat mengenali Islam dan tamadun serta pemikirannya melalui masyarakat Melayu, dan masyarakat bukan Islam juga seharusnya menghargai sumbangan Melayu dalam membangun dan memahkotakan Islam sebagai agama perdamaian dalam dunia yang serba bergolak ini.



DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Wilayah Persekutuan.Utusan Malaysia Online Bicara Agama 02 /08/2013