August 3rd, 2013

Perbezaan besar Ahli Sunnah-Syiah

"Tidak pernah aku melihat golongan menurut hawa nafsu yang lebih penipu dari golongan Syiah,'' kata Imam as-Shafie.

Imam Malik pula ketika ditanya mengenai Syiah, beliau berkata; "Jangan kamu bercakap dengan mereka dan jangan kamu riwayatkan (hadis) daripada mereka kerana sesungguhnya mereka adalah penipu."

Malah dalam satu majlis ketika Imam Malik ditanya mengenai tindakan Syiah memaki sahabat-sahabat Rasulullah, beliau telah membaca ayat ke 29 Surah al-Fath yang bermaksud; "Nabi Muhammad ialah Rasulullah dan orang bersamanya bersifat keras dan tegas terhadap orang kafir (memusuhi Islam)."

Imam Malik kemudian berkata; "Sesiapa yang merasa marah apabila membicarakan mereka (iaitu golongan Syiah) maka dia telah benar-benar mengamalkan ayat tersebut."

Berdasarkan petikan di atas jelas kedua-dua imam besar mazhab itu mengecam dan menempelak fahaman Syiah.

Sebenarnya pertentangan antara fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah adalah sangat besar. Pertentangan antara dua fahaman itu bukannya melibatkan soal fiqh tetapi dalam soal akidah, perkara paling pokok serta asas dalam Islam.

Menurut Pengarah Eksekutif Yayasan Kebajikan Nusantara, Sheikh Ismail Omar berkata, terdapat tiga perkara paling pokok dalam soal akidah yang membezakan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Syiah.

Tiga perkara itu ialah al-Quran, al-Hadis dan para Sahabat Rasulullah.

Beliau yang cukup berpengetahuan tentang Syiah dan pernah menulis mengenai fahaman itu dalam bukunya bertajuk 'Hukum ulama-ulama Islam terhadap Syiah' pada tahun 1987 telah membuat perbezaan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah terhadap ketiga-tiga soal pokok tersebut.

1. AL-QURAN

Ahli Sunnah Wal Jamaah

Sepakat atas kebenaran al-Quran dan terpelihara daripada sebarang tambahan dan kekurangan. Beriman dengan setiap huruf dan beriman bahawa sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah SWT bukan baharu dan bukan makhluk.

Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad adalah kitab yang terakhir daripada Allah kepada manusia tanpa sebarang penyelewengan atau berlaku penukaran sama ada pada masa lalu atau masa akan datang sehinggalah berlakunya hari Kiamat.

Al-Quran yang berada di tangan kaum muslimin ini (Mushaf Uthmaniyah) terjamin daripada kekurangan atau penambahan tidak seperti kitab-kitab diturunkan sebelum ini iaitu Zabur, Taurat dan Injil selepas ketiadaan Nabi Daud a.s , Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s.

Pemeliharaan kitab suci al-Quran itu juga dijamin oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam ayat ke-9 Surah al-Hijr yang bermaksud; "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami yang memeliharanya."

Ringkasnya, al-Quran terpelihara daripada segala keburukan dan menjadi sumber paling utama kepada umat Islam.

Syiah

Mereka menuduh ke atas kebenaran iaitu al-Quran ada yang telah ditambah dan dikurangkan. Jika berlawanan dengan iktikad mereka, pendapat imam-imam adalah antara sumber utama di sisi mereka.

Antara penyelewengan yang dikemukakan oleh pendapat Syiah berhubung pertambahan dan pengurangan al-Quran ialah wujudnya 'surah al-Wilayah'. Surah itu menyebut tentang kewalian Saidina Ali bin Abu Talib sebagai imam selepas Rasulullah SAW.

Kewujudan surah ini dinyatakan oleh seorang ulama Syiah yang bernama alHaj Mirza Husain ibn Muhammad yang meninggal dunia pada tahun 1320 hijrah di dalam bukunya bertajuk (maksud) 'Pembuka kata dalam menetapkan penyelewengan dalam kitab Tuhan segala Tuhan (al-Quran)' pada muka surat 180. Kitab ini juga mengumpulkan beratus-ratus dalil daripada ulama Syiah pada setiap zaman bahawa al-Quran telah ditambah dan dikurangkan.

2. AL-HADIS

Ahli Sunnah Wal Jamaah

Hadis adalah sumber kedua dalam syariat Islam selepas al-Quran. Fungsi hadis adalah untuk mentafsirkan ayar-ayat al-Quran.

Segala hukum-hakam yang ditetapkan di dalam hadis yang sahih riwayatnya daripada Rasulullah adalah tidak dibenarkan. Kesahihan hadis ditentukan melalui kaedah-kaedah yang disepakati oleh ulama-ulama hadis.

Caranya adalah dengan mengkaji kebenaran riwayat sanad hadis tanpa membezakan antara perawi lelaki mahupun perempuan. Tiap-tiap perawi hadis diketahui sejarah hidupnya.

Hadis yang diriwayatkan oleh seorang pendusta tidak diterima dan begitu juga orang yang tidak diketahui sejarah kehidupannya.

Hadis juga tidak diterima semata-mata atas dasar hubungan keluarga . Ini semua bertujuan untuk memelihara kedudukan, kemuliaan serta kesahihan hadis.

Sehubungan itu riwayat hadis adalah satu amanah yang berat lagi mulia mengatasi segala-galanya.

Syiah

Tidak berpegang kepada hadis melainkan hadis-hadis diriwayatkan oleh kaum keluarga Rasulullah dan sebahagian hadis-hadis yang diriwayatkan oleh penyokong-penyokong Ali dalam medan politik.

Mereka menolak hadis-hadis yang diriwayatkan terutama riwayat daripada Ahli Sunnah. Mereka tidak mementingkan riwayat (sanad) yang sahih. Mereka menerima hadis tanpa ilmu hadis yang kukuh.

Oleh itu dalam hadis-hadis mereka terdapat banyak dinukilkan seperti ayat ini: "Diriwayatkan dari Muhammad bin Ismail daripada beberapa sahabat kami dari seorang lelaki dari Rasulullah sesungguhnya berkata...'"

Kitab-kitab hadis mereka penuh dengan berpuluh-puluh ribu hadis yang tidak ditetapkan kesahihannya. Beginilah mereka bangunkan agama mereka. Mereka telah mengingkari tiga perempat daripada Sunnah Rasulullah.

3.PARA SAHABAT RASULULLAH SAW

Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ahli sunnah bersepakat bahawa wajib menghormati dan meredai atas semua sahabat. Kesemua mereka adalah benar dan lurus. Ahli sunnah menganggap pertelingkahan yang berlaku antara mereka adalah berpunca daripada perselisihan pendapat hasil ijtihad masing-masing yang dikeluarkan dengan ikhlas dan jujur.

Tidak dibenarkan menaruh dendam sepanjang zaman terhadap para sahabat Rasulullah. Hakikatnya, para sahabat merupakan golongan terpuji selain sentiasa dipuji oleh Allah berkali-kali. Oleh itu tidak dibenarkan sama sekali sesiapa pun melakukan tohmah ke atas golongan para sahabat.

Sesungguhnya melalui usaha serta peranan besar mereka sebagai sahabat-sahabat Rasulullah agama Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad akhirnya sampai kepada kita dan terus subur hingga saat ini.

Syiah

Berpendapat bahawa para sahabat telah kafir selepas kewafatan junjungan besar Rasulullah kecuali sebilangan kecil bilangannya tidak melebihi jari-jari di tangan. Mereka hanya mengiktiraf Ali, Fatimah binti Muhammad, Hassan ibn Ali, Hussein ibn Ali, Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al-Farisi.

Selain itu mereka meletakkan Ali pada kedudukan terlampau istimewa. Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa Ali yang telah diwasiatkan sebagai pengganti Rasulullah.

Sebahagian lain pula beranggapan Ali sebagai nabi. Maka mereka menghukum orang muslim iaitu sesiapa yang memilih khalifah-khalifah sebelum Ali maka mereka adalah zalim atau kafir.

Sesiapa yang menentang pendapat Ali, mereka itu zalim atau kafir atau fasik. Begitu juga halnya dengan sesiapa yang menentang anak cucu cicitnya turun temurun.

Antara penyelewengan paling besar berhubung fahaman Syiah terhadap para sahabat ialah gelaran melampau mereka terhadap Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan kepada Saidina Umar al-Khattab yang merupakan khalifah pertama dan kedua. Kedua-dua sahabat besar Rasulullah itu telah digelar sebagai al-Jibt (tukang sihir) dan at-Toghut (syaitan) kerana telah dilantik sebagai khalifah sebelum Ali.

Bukan itu sahaja perkataan al-Jibt dan at-Toghut terhadap Abu Bakar dan Umar juga digunakan oleh golongan Syiah dalam doa-doa mereka yang dinamakan 'Doa dua berhala Quraisy'. Doa ini terdapat di dalam kitab mereka (kunci hati) pada muka surat 114.

Doa tersebut seperti berikut; "Ya Allah, sejahterakanlah atas Muhammad dan kaum keluarga baginda dan laknatkanlah ke atas kedua-dua berhala Quraish, kedua-dua ahli sihir, kedua-dua syaitan dan kedua-dua anak perempuan mereka (ummul mukminin Aisyah dan Hafsah).

Selain daripada persoalan mengenai al-Quran, al-Hadis dan Sahabat, daripada segi akidah tauhid juga berlaku perbezaan yang amat besar.

Ahli Sunnah Wal Jamaah

Beriman bahawa sesungguhnya Allah yang maha Esa, yang maha Berkuasa, tiada sekutu bagi-Nya, tiada bandingan bagi-Nya serta tiada perantaraan antara Allah dan seluruh hamba-Nya. Beriman dengan ayat-ayat yang mengandungi sifat-sifat Allah sebagaimana diturunkan oleh Allah tanpa menyerupai sesuatu (tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya, - Surah as-Syura ayat ke 11).

Allah telah mengutuskan nabi-nabi-Nya dan memikulkan ke atas mereka tanggungjawab menyampaikan perutusan (risalah) kepada hamba-hamba-Nya. Semua nabi menyampaikan semua risalah tanpa menyembunyikan apa-apa. Wajib beriman dengan perkara-perkara ghaib. Sesungguhnya segala doa, nazar, penyembelihan dan permohonan hajat wajib ditujukan kepada Allah semata-mata.

Syiah

Mereka beriman dengan Allah dan Keesaan-Nya tetapi mereka percaya bahawa imam-imam mereka adalah maksum dan imam-imam itu mengetahui perkara-perkara ghaib serta mempunyai peranan dalam pentadbiran alam ini. Mereka beranggapan bahawa ada satu kuasa khas yang dimiliki oleh wali-wali, imam-imam dan kaum kerabat Rasulullah.

Mereka beribadat selain daripada Allah dengan berkata 'Wahai Ali, wahai Hussain, wahai Zainab'. Mereka bernazar dan menyembelih binatang kepada yang lain selain daripada Allah. Mereka meminta hajat daripada orang yang telah mati.

Segala kepercayaan amalan ini tiada mempunyai asas dalam agama Islam yang suci.



SAIFULIZAM MOHAMAD pengarang@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 03/08/2013

Kekal momentum Ramadan rai raya

Setiap insan akan berasa sedih atas setiap pertemuan yang berakhir dengan perpisahan. Apatah lagi Ramadan yang hanya datang setahun sekali. Kesedihan ini buat mereka yang mempunyai hati dan jiwa yang bersih merasai satu kehilangan besar apabila tibanya penghujung Ramadan.

Di samping berdoa, persoalan yang terbayang di fikiran ialah apakah Ramadan kali ini mencapai matlamatnya iaitu ketakwaan sebenar kepada Allah SWT? Apakah kita akan diberikan peluang sekali lagi oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadan akan datang? Hakikatnya, kesan yang akan dibawa selepas Ramadan adalah jawapan kepada semua persoalan itu.

Daripada Jabir, Baginda SAW bersabda: Apabila tibanya malam terakhir Ramadan, langit, bumi dan malaikat bersedih atas perkara yang dianggap satu musibah besar bagi umat Muhammad SAW. Sahabat bertanya: Apakah musibah itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda SAW: Perginya Ramadan meninggalkan kita. Bulan yang dimakbulkan doa, amalan diangkat dan diterima, pahala kebajikan digandakan dan azab ditangguhkan. Apakah ada musibah yang lebih besar daripada berpisah dengan Ramadan? Apabila langit dan bumi serta malaikat bersedih untuk kita, sudah semestinya kita sebagai manusia akan lebih bersedih atas perpisahan ini. (Hayatul Qulub)

Kita akan menempuh hari raya meraikan kemenangan dalam menghadapi ujian Ramadan. Bagi umat Islam, Aidilfitri adalah kemenangan menghadapi ujian puasa selama sebulan. Hari Raya dikaitkan dengan fitrah kerana manusia kembali kepada fitrah asal yang dihalalkan dan terlarang ketika berpuasa.

Hadis Ibnu Masud menyebut, Baginda SAW bersabda: Apabila seseorang berpuasa dan keluar berhari raya, maka Allah akan berkata kepada malaikat, Sesungguhnya semua pekerja akan menuntut ganjarannya dan hambaku yang berpuasa keluar pada hari ini dengan ganjaran besar. Oleh itu, saksikanlah segala amalan kejahatan mereka ditukar kepada kebajikan sepenuhnya dan aku telah mengampunkan mereka.

Menunjukkan jika seseorang mendapat kelebihan sedemikian, maka ibadat puasa yang dilakukan mencapai matlamat takwa dan mendapat keampunan.

Dua kegembiraan

Baginda SAW bersabda: Dua kegembiraan bagi seorang yang berpuasa iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya dengan amalan ibadah puasa itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa dengan kurniaan dan rahmat Allah SWT, mereka bergembira dan itulah yang terbaik hasil daripada apa yang mereka usahakan. (Surah Yunus, ayat 58)

Anas bin Malik berkata: Bagi seorang mukmin, terdapat lima hari raya dalam kehidupan mereka. Pertamanya, hari di mana tiada sebarang maksiat atau tiada perkara dosa dilakukan juga dianggap hari raya. Keduanya, hari yang ditentukan roh akan keluar daripada jasad dengan keimanan dan ketakwaan bertemu Allah SWT. Ketiga, hari dapat merentasi titian sirat dan terselamat daripada goncangan kiamat. Keempat, ketika kita dimasukkan ke syurga dengan aman. Kelimanya ialah ketika dapat melihat Allah SWT.

Sentiasa bertasbih dan bertakbir

Hari Raya pada kaum Muslimin membawa dua pengertian besar iaitu penghayatan rabbani (ketuhanan) dan penghayatan insani (kemanusiaan). Penghayatan rabbani membawa maksud manusia tidak sekali-kali melupakan Allah SWT bahkan lidah mereka sentiasa bertasbih dan bertakbir memuji kebesaran Allah SWT.

Penghayatan insani pula bermaksud keinginan naluri manusia untuk bersuka ria, gelak tawa serta penampilan baru dengan pakaian dan wajah berseri. Kesempatan bertemu sahabat handai serta keluarga yang disayangi bagi menyambung jabatan silaturahim.

Namun, kegembiraan menyambut Hari Raya mesti dikawal dengan iman dan takwa Ramadan. Ketika Baginda SAW menghadiri suatu perayaan, beliau mengizinkan satu kumpulan bersuka ria di rumah baginda yang berhampiran dengan Masjid Nabawi.

Baginda SAW juga mengizinkan Saidatina Aisyah bersuka ria bersama sahabatnya bagi meraikan naluri kemanusiaan di samping memelihara tata susila agama Islam.

Perkara kedua perlu diperhatikan ialah kawalan terhadap hawa nafsu yang melonjak ketika kita berpuasa lagi. Jangan kita berasa tamatnya Ramadan bermakna tamatlah segala ketaatan kepada Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: Apabila tibanya hari raya, iblis yang dilaknat memanggil sekalian saudara dan sahabat handainya seraya berkata: Wahai sahabat sekalian, pada hari ini, Allah SWT mengampunkan dosa sekalian hambanya. Oleh itu, kamu hendaklah melalaikan mereka dengan kelazatan dan nafsu syahwat sehinggalah mereka kembali kepada kemurkaan Allah SWT.

Oleh itu, untuk meneruskan kesinambungan momentum Ramadan, kita hendaklah bersedekah, solat, berzakat, bertasbih dan bertahlil. Justeru, amalan rumah terbuka hendaklah diteruskan supaya mereka yang tidak berkemampuan meraikan hari raya dengan senang hati.

Marilah kita menghayati Hari Raya dengan tiga saranan Baginda SAW dalam sabdanya: Mereka yang mengasihi akan dikasihi Allah SWT. Kasihanilah makhluk di bumi nescaya kamu akan dikasihi Allah. Sesiapa yang tiada sifat belas kasihan tidak akan disayangi.

Kita hendaklah meraikan empat perkara yang dianjurkan Baginda SAW bagi menjadikan Hari Raya pada tahun ini lebih bermakna iaitu perbanyakkan ucapan salam, memberi makan kepada tetamu, menghubungkan persaudaraan dan solat malam.


Zamanuddin Jusoh Berita Harian Online Agama 03/08/2013

Ramadan afdal mohon keampunan

Organisasi adalah institusi yang didukung oleh pekerja dan majikan untuk mencapai matlamat berasaskan pengurusan kasih sayang. Ia ibarat rumah kedua bagi pekerja yang perlu dipelihara kesejahteraannya.

Justeru, pada Ramadan ini, setiap amalan juga perlu dihasratkan untuk mencapai kesejahteraan, kejayaan dan keberkatan termasuk kerja. Antaranya melalui amalan berdoa, munajat dan pengharapan.
Ibadat kita kepada Allah SWT dan hanya Dialah memakbulkan segala hasrat serta impian. Malah yang tidak berdoa kepadaNya adalah hamba yang sombong, rugi dan hina.

Firman Allah SWT bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina. (Surah al-Mukmin, ayat 60)

Tuntutan berdoa seperti sabda Rasulullah SAW: Keadaan seseorang paling dekat dengan Allah adalah ketika sujud maka perbanyakkanlah doa. (Riwayat Muslim)

Doa adalah senjata bagi orang beriman yang menjadi sumber kekuatan. Dalam bekerja, manusia amat memerlukan kekuatan sama ada jasmani, rohani mahupun mental. Kekuatan bertapak dalam jiwa menyuburkan hati supaya bersih, luhur, ikhlas, cekal, bersemangat dan baik.

Pelihara silaturahim

Majikan dan pekerja yang memiliki kekuatan ini akan berjaya memelihara hubungan silaturahim dengan berkesan iaitu majikan menghargai pekerja, pekerja menghormati majikan, merasa bangga dengan organisasi dan melahirkan semangat, kesungguhan bekerja serta ketaatan kepada Allah SWT.

Namun, kesilapan dan perselisihan juga berlaku di tempat kerja, tempat kita luangkan banyak masa serta tenaga itu sudah tentu banyak kekhilafannya.

Berlaku suasana kerja tidak harmoni disebabkan hubungan antara majikan dengan pekerja seperti kurang bertimbang rasa, tidak bertanggungjawab, panas baran, khianat, hasad, sombong, buruk sangka dan kesalahan lidah seperti mengata, memfitnah dan mengadu domba.

Justeru, wajarnya kita saling berdoa, mendoakan dan bermaafan supaya mendapat keampunan. Dalam banyak perkara yang boleh kita mohon, memohon keampunan paling afdal pada Ramadan.

Saidatina Aishah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah yang akan baginda pohon sekiranya mendapat malam Lailatul Qadar. Lalu jawab baginda: Aku akan berdoa: Ya Allah Engkaulah Maha Pengampun, suka mengampunkan, maka ampunilah aku. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, selain berdoa untuk keampunan diri sendiri, doakan juga keampunan untuk pekerja dan majikan. Selain itu, ajaran Islam menggalakkan kita saling mendoakan kesejahteraan dan kebaikan antara satu sama lain serta dijauhkan daripada segala keburukan atau kemudaratan.

Sifat majikan dan pekerja saling mendoakan ini perlulah dihebahkan kerana ia akhlak terpuji dan perlu menjadi budaya dalam organisasi.

Doa majikan kepada pekerja dan pekerja kepada majikan adalah suatu ibadat dan pengerat silaturahim. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya doa itu adalah ibadat. (Riwayat Imam Ahmad)

Terfikirkah jika kita boleh mendoakan saudara Islam yang tertindas, dalam kesusahan dan bergolak di negara lain yang jauh dan tidak dikenali, tetapi mengapa tidak juga mendoakan mereka yang berada di sekeliling lingkungan hidup walaupun mereka dalam keadaan sejahtera.

Justeru, status orang yang berpuasa ditingkatkan Allah SWT darjatnya dan dimakbulkan doanya serta lebih afdal, maka sebaik-baiknya kita merebut peluang ini dengan saling mendoakan kejayaan bersama majikan dan pekerja dalam bulan mulia ini.

Doa tak ditolak

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang puasa ketika berbuka memiliki doa yang tidak akan ditolak. (Riwayat Ibnu Majah)

Ini adalah sunnah Rasulullah SAW mendoakan kaum lain dan sahabat, sahabat juga mendoakan baginda.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda: Kaum Aslam semoga Allah memberi keselamatan kepada mereka dan kaum Ghifar semoga Allah memberikan keampunan kepada mereka. Bukan aku yang berkata tetapi Allah yang berfirman begitu.

Rasulullah SAW juga berpesan supaya Saidina Umar al-Khattab mendoakan baginda apabila ke Makkah untuk mengerjakan umrah. Saidina Umar juga memohon Uwais al-Qarni seorang tabiin mendoakannya.

Amalan ini walaupun dilakukan secara senyap dan tidak diketahui pekerja, rakan dan majikan adalah sangat mulia dan daripada apa yang dikisahkan Rasulullah SAW, boleh menjadi penyebab seseorang masuk syurga.

Inilah juga menjadi tanda bagi pengurusan berasaskan kasih sayang yang sangat dianjurkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda: Tiga orang yang doanya tidak tertolak, orang yang berpuasa sampai dia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang dizalimi. (Riwayat al-Tirmidzi)

Berita Harian Online Agama 03/08/2013