August 5th, 2013

Kerasukan di bulan Ramadan?

SALAM Tuan Haji. Apakah gangguan syaitan boleh terjadi di bulan Ramadan? Saya melihat sendiri adik perempuan saya mengalami kerasukan, menjerit dan mengilai terutama tengah malam, sedangkan sekarang bulan Ramadan? Apa yang saya tahu, iblis dan syaitan dirantai bulan ini. Mohon pencerahan. Terima kasih dan selamat menjalani ibadah puasa.

Azman, Segamat, Johor.

Jawapan

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan penuh barakah. Bulan yang Allah sediakan begitu banyak pahala untuk direbut melalui ibadat, sehingga Rasulullah SAW bersabda dalam hadis bermaksud: "Tidur bagi orang yang berpuasa itu adalah ibadat, manakala diamnya adalah bertasbih." (HR al-Baihaqi).

Betapa besar kelebihan Ramadan sehingga tidur dianggap ibadat. Pada bulan ini diturunkan satu malam istimewa -Lailatulqadar. Malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Puasa memiliki banyak hikmah dan manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa dan kecantikan. Semasa berpuasa, organ tubuh dapat berehat. Bulan ini Allah menurunkan petunjuk bagi manusia, iaitu al-Quran. Kita digalak memperbanyak serta mengganda bacaan al-Quran serta maksudnya.

Pada bulan ini pintu langit dibuka seluas-luasnya bagi memberi peluang kepada umat Islam memohon ampun dan memanjatkan doa.

Syaitan tidak dapat menghasut manusia pada Ramadan. Tetapi mengapa masih berlaku kerasukan? Sedangkan dalam hadis Rasulullah SAW ada bersabda: "Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai atau dibelenggu para syaitan." (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengalaman saya di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah selama 10 tahun mendapati ketika Ramadan kejadian rasuk kerap berlaku.

Kerasukan Dalam keluaran lepas, saya ada menyentuh mengenai isu kerasukan atau histeria. Dari aspek perubatan moden, histeria atau kerasukan disebabkan gangguan mental atau mental disability yang membawa kepada halusinasi. Daripada perspektif perubatan Islam, kerasukan dikaitkan dengan gangguan jin atau iblis.

Hakikat Penciptaan JinBagi menjelaskan perkara berkaitan kerasukan. Elok kita selusuri hakikat penciptaan jin serta sejarah kejadiannya. Kewujudannya tidak boleh dinafikan kerana ia makhluk ciptaan Allah. Tujuan penciptaannya sama dengan penciptaan manusia iaitu mengabdikan diri kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku". (Surah Az-Zariyat:56)

Daripada jin tersebut, ada yang beriman dan taat kepada perintah Allah.

Firman Allah: "Dan sesungguhnya di antara kami ada yang soleh dan di antara kami ada pula yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza'. (Surah Al-Jinn:11)

Jika jin mentaati Allah, mereka diberi ganjaran di akhirat. Sebaliknya jika mereka ingkar maka balasan azab pedih menanti.

Sebagaimana maksud firman Allah SWT: "Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongan sendiri); hinggalah apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan pertama di antara mereka: "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat kali ganda daripada (azab) neraka". Allah berfirman:"Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui." (Surah al-A'raf:38)

Menurut Syeikh Jadul Haq (bekas Syeikh Al-Azhar), Iblis adalah 'abu syaitan' (bapa syaitan). Jika malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikan, iblis dan syaitan adalah sebaliknya. Syaitan ialah golongan angkuh dan derhaka dari alam jin. Mereka daripada kalangan jin juga.

Sejarah IblisFirman Allah: "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…" (Surah al-Kahfi: 50)

Iblis dikenali dengan nama Azazil. Sebelum penciptaan Nabi Adam a.s. Azazil adalah imam kepada malaikat. Riwayat menceritakan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz: "Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat".

Israfil menangis kerana bimbang makhluk yang tersurat di Luh Mahfuz dirinya. kemudian diberitakan kepada para malaikat, menangis sekelian malaikat kerana takut. Lalu semua malaikat menemui Azazil, agar mendoakan mereka. Azazil mendoakan seluruh malaikat: "Ya Allah, Janganlah Engkau murka terhadap mereka (para malaikat)"

Malangnya, Azazil lupa mendoakan untuk dirinya. Ketika Allah menciptakan Nabi Adam a.s. dan memerintah malaikat sujud hormat kepada Nabi Adam. Mereka sujud kepada perintah Allah melainkan Iblis. Dia menolak, kerana merasakan dirinya lebih baik.

Bukan sahaja dia enggan, malah sombong dan menjawab:"Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujud melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada makhluk yang Engkau ciptakan dari tanah?" (Surah al-Isra':61)

Azazil dihalau keluar dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya.

Firman Allah: Dia (Iblis) berkata: "Khabarkanlah kepadaku, inikah orang yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, pasti aku akan sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil". (Surah al-Isra':62)

Syaitan yang 'dirantai'Para ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maksud hadis tentang syaitan dirantai. Ibn Hajar al-'Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang dimaksudkan dengan syaitan dirantai ialah para syaitan tidak dapat menggoda umat Islam kerana ibadah puasa berperanan melemahkan syahwat.

Menurut Imam Nawawi Rahimahullah menyebut ia hanya 'majaz' atau kiasan untuk menunjukkan betapa syaitan tidak mampu melaksanakan tugasnya seperti biasa menyebabkan dirinya bagai 'dirantai'.

Menurut pandangan Imam As-Syafie, hanya jin dan syaitan bengis dibelenggu, manakala yang lain masih bebas.Kesimpulan daripada pendapat tersebut, jin dan syaitan masih dapat mengganggu manusia di bulan Ramadan.

Keteguhan iman serta amalan ibadah seseorang yang sebenarnya dapat membelenggu jin, menghindari daripada hasutan kejahatan serta tipu dayanya.Puasa adalah suatu ibadat 'tazkiyah al-nafs', iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani. Ia dapat meningkatkan nilai takwa di sisi Allah yang dapat menghindarkan kita daripada gangguan makhluk halus.

Berikut surah amalan bagi mengelakkan diri daripada gangguan kerasukan:-

l Surah Al Baqarah ayat 165 hingga 186

l Surah Al A'raaf ayat 146 hingga 159

l Surah Al Baqarah ayat 244 hingga 255

l Surah Al Mukminun ayat 105 hingga 118

Jadikanlah Ramadan sebagai bulan meningkatkan amal ibadah dan istiqamah dilakukan di bulan-bulan lain.

Selain dapat mengamalkan sunnah, kita dapat memelihara kesihatan tubuh badan kita daripada pelbagai jenis penyakit dan terhindar dari kerasukan! Insya-Allah.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 04/08/2013

Masa terbaik dimakbulkan doa

TIDAK dinafikan betapa manusia tanpa mengira latar belakang pangkat dan darjat sentiasa berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran kehidupan. Malahan, semakin dekat hamba kepada Tuhan-Nya semakin hebatlah ujian dan dugaan yang terpaksa ditempuhi. Justeru, umat Islam hendaklah sentiasa berdoa dan mengharap kepada Yang Maha Kuasa apatah lagi ketika Ramadan yang merupakan detik dan ketika Allah SWT memakbulkan permintaan hamba-hambanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul". ( Surah al- Baqarah: 186)

Namun dalam berdoa terdapat beberapa adab yang perlu dipatuhi. Antaranya mengangkat tangan ketika berdoa dan jika terdapat hal yang sangat mendesak bolehlah diangkat lebih daripada itu kerana mengikut perbuatan Nabi SAW. Setelah selesai berdoa sapukan kedua-dua belah tangan ke muka.

Setiap doa hendaklah dimulakan dengan ucapan alhamdulillah sambil memuji kebesaran-Nya. Kemudian berdoalah dengan khusyuk sambil bersangka baik kepada Allah SWT, ini kerana doa dalam keadaan lalai dan alpa tidak akan diterima.

Setelah itu pintalah segala hajat sama ada berkaitan dengan urusan duniawi ataupun ukhrawi. Usah berdoa untuk keburukan dan kecelakaan orang lain. Seelok-eloknya diganti dengan doa-doa yang baik semoga beroleh hidayah dan petunjuk daripada-Nya.

Berdoalah agar dikurniakan kebahagiaan dan kerukunan dalam rumah tangga, menjadi pasangan suami isteri yang saleh dan sentiasa mengabdikan diri kepada Ilahi jauh daripada berbuat dosa dan maksiat kepada-Nya. Pohonlah juga semoga dikurniakan kesihatan berpanjangan, dipelihara daripada musibah dan perkara-perkara buruk. Ia molek diusahakan memandangkan kadar perceraian yang semakin membimbangkan dalam kalangan pasangan Islam masa kini implikasi daripada sirnanya pergantungan terhadap Allah SWT.

Selain itu doakan semoga anak-anak membesar sebagai anak yang saleh, taat kepada perintah Allah dan taat serta hormat kepada ibu bapa. Dewasa ini, terdapat anak-anak yang seolah-olah lupa diri dengan memaki dan mengherdik ibu bapa sendiri. Ada pula yang sanggup membiarkan ibu bapa yang sudah tua bersendirian tanpa kasih-sayang dan hilai tawa cucu cicit, sedangkan anak- anak hidup dengan penuh kemewahan hasil pengorbanan dan susah payah ibu bapa terdahulu.

Kaum Muslimin juga diharap tidak lupa berdoa akan kesejahteraan dan keamanan negara Malaysia yang tercinta ini. Pintalah agar umat Islam sentiasa bersatu padu kerana dengan kekuatan itulah banyak masalah yang membelenggu umat dapat diselesaikan. Malah tanpa kesatuan ummah, Islam akan terus dihina, umat Islam akan terus diperkotak katikkan.

Lebih membimbangkan apabila isu agama mula dijadikan bahan lawak jenaka dan perbandingan untuk agenda pihak tertentu sedangkan ia termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama rasmi negara dan telah dipersetujui oleh masyarakat pelbagai kaum sejak zaman-berzaman.

Berdoalah juga semoga umat Muslimin di seluruh dunia dikurniakan Allah keselamatan dan kesejahteraan. Semoga perang sesama umat Islam akan segera dihentikan, saudara Islam yang merupakan etnik majoriti dan tertindas seperti di Rohingya dan etnik Muslim di China, diberi pertolongan dan kebebasan untuk mengamalkan ajaran agamanya sendiri. Selain itu saudara se Islam yang terus menerus ditindas seperti di Palestin diberi kesabaran, kekuatan dan pertolongan dan yang mati dalam kalangan mereka diterima sebagai pejuang yang syahid di sisi-Nya.

Selain itu tidak salah jika berdoa agar dikurniakan rezeki yang melimpah ruah lagi diberkati, anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan utama seperti UPSR, PMR, STAM dan lain-lain diberi kemudahan dan kejayaan oleh-Nya. Berdoalah semoga dipermudahkan segala urusan kehidupan dunia dan akhirat dan yang lebih utama terpilih menempati syurga sebagai balasan nikmat yang abadi buat selama-lamanya.

Malah di bulan Ramadan al-Mubarak ini, kaum Muslimin diseru banyak memohon keampunan dan keredaan daripada-Nya seperti doa ini: "Wahai Tuhanku sesungguhnya engkaulah Yang Maha Pengampun lagi suka mengampunkan maka ampunkanlah kami". Doa inilah juga yang digalakkan untuk dibaca sebanyak-banyaknya sepanjang Ramadan, dan saat bertemu malam lailatulqadar yang dicita-citakan oleh setiap Mukminin.



MOHD ALI MUHAMAD DON PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 05/08/2013

Hari-hari terakhir Ramadan menjelang 1 Syawal

RAMADAN semakin hampir meninggalkan kita. Sepuluh malam terakhir dan malam- malam ganjil iaitu 21, 23, 25, 27 yang dikatakan akan muncul Lailatulqadar sudah berlalu. Hanya tinggal satu malam sahaja, 29. Selepas itu, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dalam tempoh hari-hari terakhir ini, adakah kita terus berusaha untuk menambah ibadah pada bulan yang penuh keberkatan ini?

Mungkinkah ada dalam kalangan kita semakin lemah untuk melangkah ke masjid atau surau? Ketika ini, di dua tanah suci, Mekah dan Madinah, berjuta umat Islam terus melakukan ibadah umrah serta ibadah-ibadah lain sehingga menjelang hari raya. Jumaat lalu, kota Mekah yang sebelum ini panas terik dilanda hujan lebat sesudah solat Jumaat dan berhenti seketika kira-kira pukul 2.30 petang. Setengah jam kemudian, hujan kembali lebat dan berhenti sebelum azan asar sekitar pukul 3.45 petang.

Pastinya di kota Mekah, kemeriahannya amat terasa. Meriah dengan ibadah sepanjang masa, bermula waktu iftar (berbuka) sehinggalah ke subuh, bukannya meriah dengan sibuk membeli-belah untuk menyambut hari raya atau meriah dengan lagu-lagu hari raya.

Beberapa hari lalu, mesej FB Salam Juwie dari tanah suci menunjukkan umat Islam ‘berlumba-lumba’ melakukan ibadah dengan memenuhi setiap ruang masjid. Bagi yang gagal memasuki ruang dalam masjid atau dataran Masjidilharam, mereka solat di atas jalan raya atau di kaki lima bangunan pusat membeli-belah yang berhampiran. Suasana ini mengingatkan saya ketika berada di sana pada sepuluh malam terakhir tahun lalu sehinggalah pada hari raya pertama. Memang ketika di sana, tidak terasa suasana hari raya melainkan ibadah semata-mata.

Lebih terasa pada malam terakhir sebelum meninggalkan Ramadan. Mungkin perasaan seumpama itu hanya datang ketika berada di sana sahaja. Seperti diselak minggu lalu, memang terasa perbezaan Ramadan di Mekah berbanding di dalam negara

Ketika ini di ibu negara, semakin ramai yang beransur-ansur meninggalkan Kuala Lumpur untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Sejak Jumaat lalu juga, pusat bandar raya sesak. Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) menjadi lokasi tumpuan ramai untuk membeli-belah. Suasana pada pukul 3 pagi di Jalan Tuanku Abdul Rahman seperti keadaan pada pukul 8 malam. Begitulah ghairahnya orang kita membeli-belah ketika masih ramai yang mencari keberkatan Ramadan khususnya melakukan solat sunat tarawih, witir, serta menyertai majlis qiamullail.

Melihat suasana rakyat Malaysia melakukan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri ini, jelaslah kepada kita betapa bertuahnya hidup di bumi bernama Malaysia. Cuba renungi sejenak bagaimana rakan-rakan seagama kita menjalani ibadah puasa Ramadan di negara-negara lain yang sedang bergolak khususnya di Palestin, Mesir dan Syria. Begitu juga dengan selatan Thailand.

Adakah mereka berpeluang melakukan solat tarawih dalam suasana tenang tanpa gangguan peluru yang mungkin meragut nyawa? Di negara kita, gangguan ketika solat tarawih terutama pada malam-malam terakhir ini mungkin disebabkan dentuman mercun dan bunga api. Pada masa yang sama, ada dalam kalangan remaja kita yang cedera teruk termasuk kehilangan jari akibat kreativiti mereka mahu mencipta mercun buatan sendiri.

Ramadan di negara kita juga membawa rezeki yang melimpah-ruah. Peluang perniagaan terbuka luas pada bulan ini. Lihat sahaja bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Setiap bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman menjadi tumpuan ramai. Begitu juga dengan mereka yang menjual pakaian dan kuih muih menjelang hari raya. Orang yang membeli juga ramai. Khabarnya tahun ini, sambutan yang diterima oleh para peniaga amat luar biasa. Contohnya dapat dilihat di Jalan TAR yang penuh sesak setiap cuti hujung minggu. Itulah rezeki yang dinikmati peniaga-peniaga pada bulan Ramadan kali ini. Ini juga petanda bagaimana keupayaan membeli dalam kalangan rakyat negara ini. Tidak cukup di bazar Ramadan, ramai juga yang mampu berbuka puasa bersama keluarga di hotel-hotel yang menawarkan bufet sekurang-kurangnya pada harga RM80 bagi seorang dewasa. Begitulah murahnya rezeki di negara kita.

Bagi anak-anak yatim, orang miskin serta mereka yang kurang berkemampuan, golongan ini juga tidak terkecuali menikmati rezeki yang jauh lebih baik berbanding pada bulan-bulan biasa. Mereka bukan sahaja diundang untuk berbuka puasa bersama di tempat-tempat eksklusif tetapi juga menerima pelbagai bantuan sama ada kewangan atau pakaian untuk berhari raya. Syarikat korporat, orang perseorangan dan pelbagai pertubuhan tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan golongan ini sambil mengambil keberkatan Ramadan ini. Diharapkan, perhatian berat yang diberi kepada golongan ini tidak terbatas pada bulan Ramadan sahaja. Janganlah apabila berakhir sahaja Ramadan, sikap keprihatinan dan dermawan turut terhenti.

Jenguklah mereka pada bulan-bulan seterusnya supaya nasib mereka terus terbela. Tidak wajar menunggu Ramadan akan datang untuk ‘menjenguk’ semula kerana masih belum pasti sama ada kita mampu hadir semula pada Ramadan akan datang.

Kepada yang sedang dalam perjalanan pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Memandulah secara berhemah. Seperti mesej Perdana Menteri, Najib Tun Razak, jangan jadikan jalan raya sebagai pusara tidak bernama. Sejak kebelakangan ini, banyak kes kemalangan maut yang melibatkan jumlah korban yang ramai. Walaupun pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah bagi mengurangkan kadar kemalangan, tetapi jumlah nahas terus meningkat. Hampir setiap hari ada yang maut di jalan raya. Memang ajal maut di tangan Tuhan tetapi kita diseru untuk berikhtiar bagi mengelak tragedi.

Kepada mereka yang tidak pulang berhari raya, jenguklah kawasan sekeliling terutama jiran-jiran yang pulang berhari raya di kampung. Dalam tempoh inilah, banyak penyangak mengambil kesempatan. Jangan biarkan penyangak-penyangak mengambil kesempatan ‘berhari raya’ di rumah jiran yang pulang beraya. Hidupkan semangat kejiranan. Ambil tahu apa yang berlaku di- rumah jiran yang ditinggalkan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Semoga Ramadan yang dilalui sekarang dan akan berakhir sehari dua lagi akan lebih baik daripada Ramadan tahun lalu. Sama-samalah kita memohon amalan yang dilakukan sepanjang Ramadan ini diterima serta mendapat ganjaran pahala. Semoga kita diberi peluang untuk menemui semula Ramadan pada tahun hadapan supaya dapat memperbaiki atau meningkatkan lagi kualiti pengisiannya agar menjadi yang lebih baik. Mungkin banyak kekurangan yang berlaku pada tahun ini. Pada kesempatan ini juga, Selak menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya selama ini terdapat kata-kata dalam ruangan ini yang boleh menyinggung perasaan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih kepada anda yang mengirimkan kad ucapan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) menjelang hari raya ini. Selamat jalan Ramadan, selamat datang Syawal. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin.



Hassan Mohd. Noor Utusan Malaysia Online Rencana 05/08/2013

Bisik-Bisik Awang Selamat

Tiga harapan

Awang ada tiga harapan besar menjelang Syawal beberapa hari lagi. Pertama, semoga tiada kemalangan maut atau sifar nahas semasa musim perayaan Aidilfitri. Itu pasti mustahil tetapi setidak-tidaknya statistik nahas merudum dengan mendadak. Dengan kata lain, tidak ramai maut sama ada atas kecuaian sendiri atau orang lain.

Di Malaysia, nyawa begitu murah pada musim perayaan. Berdoalah sebelum bergerak pulang selain mencabar diri untuk memandu dengan selamat dan bersikap tenang dan sabar.

Kedua, memohon agar umat Islam mengelak pembaziran. Hari raya bukan pesta, ia adalah hari kemenangan selepas menjalani ibadah puasa yang mesti diraikan dengan penuh kesyukuran.

Sambutan Aidilfitri bukan untuk bermewah-mewah dan menunjuk-nunjuk sehingga jatuh riak. Elaklah daripada berbelanja lebih untuk hal yang tidak perlu bagi hindari terbeban dengan hutang.

Aidilfitri adalah hari untuk bersama ibu bapa dan keluarga, saling bermaaf-maafan dan mengukuhkan silaturahim. Gejala materialistik tidak harus mengatasi nilai kekudusan yang dituntut dalam Islam. Maka masyarakat Islam harus membina keyakinan bagi menyambut perayaan tersebut dengan sederhana.

Berilah lebih perhatian kepada golongan yang memerlukan. Hari lebaran tiada makna jika kita tidak menginsafi kesusahan dan kesengsaraan orang lain. Lihatlah juga nasib umat Islam di banyak negara lain yang ramai hidup menderita, tertindas dan terus dilanda pertumpahan darah. Syukur, Malaysia aman dan sejahtera.

Harapan yang lebih besar adalah untuk melihat umat Islam di tanah air ini lebih mempunyai kesedaran untuk bermuafakat dan bersatu. Walaupun berbeza aliran politik tetapi dalam soal-soal kepentingan Islam, ia biarlah dalam rangka kesepakatan ummah.

Gambaran besar tentang cabaran dan ancaman terhadap Islam serta perlunya mengambil pendirian yang tidak membawa mudarat kepada kepentingan agama, mesti menjadi perkiraan utama.

Obor penyatuan perlu sentiasa menyala dalam minda orang Islam biar apa sekalipun rintangan dan penolakan termasuk daripada kalangan pihak dalam Islam sendiri. Janganlah mudah mengalah dan berputus asa demi penyatuan. - Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir batin.



Awang Selamat Utusan Malaysia Online Rencana 04/08/2013

Momentum kekalkan tarbiah Ramadan

Sembilan langkah mudah untuk diamal tingkat konsisten dalam beribadah

Ramadan adalah penghayatan untuk melatih mengendalikan diri menjadi insan bertakwa. Jika melepasi ujian dan cabaran itu dengan cemerlang, sudah pasti kita dapat ‘bertempur’ melawan nafsu pada bulan lain sepanjang tahun.

Persoalannya, adakah kita mampu mengekalkan konsisten itu selepas Ramadan yang menjadi matlamat utama proses manusia kembali kepada fitrahnya?


Memang tidak dapat dinafikan matlamat khusus daripada ibadah puasa Ramadan untuk mewujudkan atau menimbulkan rasa ketakwaan kepada Allah SWT. Sifat ketakwaan pula bukan saja untuk tempoh atau musim tertentu seperti Ramadan, malah perlu dipupuk serta dikekalkan sepanjang masa.

Sebenarnya inilah matlamat Ramadan iaitu untuk mendidik umat manusia menjadi individu lebih beriman dan bertakwa sepanjang masa, bukan untuk tempoh atau musim tertentu saja. Kejayaan tarbiah Ramadan boleh dilihat daripada tingkah laku dan amalan dalam kehidupan seseorang itu.

Kekalkan konsisten amal ibadah

Justeru, kita patut berusaha mengekalkan konsisten amal ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan pada Syawal dan bulan seterusnya selari matlamat khusus Ramadan. Soal mampu atau tidak untuk mengekalkan konsisten itu adalah perkara kedua.

Paling penting sekarang, kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkannya. Jika tidak, sia-sialah tarbiah Ramadan yang kita terima itu.

Bagi membolehkan kita untuk terus mengekalkan istiqamah atau konsisten amal soleh selepas Ramadan dalam 11 bulan berikutnya, dicadangkan sembilan langkah mudah untuk sama-sama kita amalkan.

Pertama, sentiasa memohon pertolongan Allah SWT supaya kita terus menerus diberikan hidayah dan keteguhan iman. Allah SWT memuji orang yang sering berdoa supaya sentiasa diberikan hidayah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jugalah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 8)

Kedua, sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah.

Ketiga, berusaha mengenali dan menghayati sejarah hidup sahabat, tabi‘in dan orang soleh melalui pembacaan atau kuliah agama. Semua itu dapat membangunkan jiwa yang kuat dan azam tinggi.

Keempat, sentiasa menjaga dan menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu dan mengqada puasa Ramadan yang tertinggal kerana perkara fardu mempunyai kebaikan besar.

Kelima, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun sedikit. Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keenam, terus menerus membaca ayat al-Quran dan berusaha menghafaznya. Ayat al-Quran yang dihafaz hendaklah sentiasa dibaca dalam solat fardu dan sunat.

Ketujuh, memperbanyakkan berzikir kepada Allah SWT dan sentiasa beristighfar kerana ia adalah amalan mudah dilakukan. Manfaatnya pula sangat besar iaitu dapat menguatkan iman dan hati.

Jauhi perkara boleh rosakkan hati

Kelapan, sentiasa menjauhkan diri daripada perkara boleh merosakkan hati seperti bersahabat dengan orang yang buruk akhlaknya, melemparkan kata-kata kesat dan lucah atau menatap majalah lucah.

Kesembilan, segera bertaubat dengan taubat nasuha supaya tidak kembali semula ke lembah kehinaan dengan izin Allah SWT. Lagipun Allah SWT sangat suka hamba-Nya yang bertaubat.

Ketakwaan dan amal soleh yang telah dibentuk di sepanjang Ramadan perlu dipupuk serta dipelihara sehinggalah munculnya Syawal dan untuk bulan berikutnya. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang hanya mengenali Allah SWT pada Ramadan.

Salaf al-soleh pernah berpesan; “Seburuk-buruk kaum ialah mereka yang hanya mengenali Allah pada bulan Ramadan.”

Kita memerlukan sikap dan komitmen yang tinggi untuk istaqamah mengekalkan tahap ketakwaan yang diserlahkan dalam akhlak, sahsiah, ketrampilan diri dan tingkah laku.

Dr Mohd Shukri Hanapi ialah Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Berita Harian Online Agama 05/08/2013