August 6th, 2013

Harta jadi ujian dalam usaha tingkatkan ketakwaan

Ibrahim bin Abdul Rahman bin Auf meriwayatkan, “Pada suatu petang, ayah saya, Abdul Rahman bin Auf dihidangkan dengan makanan berbuka puasa. Beliau berkata: “Mus’ab bin Umair itu terbunuh pada jalan Allah. Beliau adalah seorang yang lebih baik daripada saya, tetapi tidak ada yang dapat digunakan sebagai kain kafannya kecuali sehelai kain kasar saja. Apabila kepalanya ditutup, nampaklah kedua-dua kakinya. Apabila kakinya ditutup, nampaklah pula kepalanya. Sedangkan untuk kita sekarang ini dunia dibukakan seluas-luasnya.

Rezeki dunia melimpah ruah

Ataupun beliau berkata: Sedangkan saya pula dikurniakan rezeki dunia yang melimpah ruah seperti mana yang saya terima ini. Saya takut kalau-kalau pahala kebaikan daripada amalan baik yang saya lakukan, Allah berikan sekarang dalam bentuk harta yang melimpah ruah ini, sedangkan di akhirat nanti saya tidak dapat apa-apa. Kemudian beliau menangis lalu hidangan itu ditinggalkan saja.” (Riwayat Bukhari)

Menangisi nasib boleh menyedarkan kita hakikat kehidupan kerana adalah lebih baik kita menangis sekarang, takut-takut tangisan di kemudian nanti tiada gunanya lagi. Nasib baik tidak bermakna akan menghasilkan kebaikan selama-lamanya.

Ini kerana harta juga boleh menjadi ujian Allah SWT kepada kita untuk melihat apakah kekayaan itu akan mendekatkan kita lebih rapat kepada Allah SWT atau disebabkan sibuk mengekalkan kekayaan dimiliki, kita tidak ada masa untuk mengingati Allah SWT.

Anas berkata: “Nabi Muhammad menyampaikan satu ceramah, tidak saya mendengar ucapan yang begitu menakutkan. Kata Nabi Muhammad: Andai kata saudara sekalian semua mengetahui apa yang saya ketahui, tentu saudara semua akan ketawa sedikit dan banyak menangis. Sahabat yang ada masing-masing menangis teresak-esak menutup muka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebenarnya banyak perkara yang tidak kita sedari menyebabkan kita lebih banyak menikmati dunia berbanding memikirkan nasib di akhirat. Sedangkan Rasulullah SAW sudah mengingatkan kesan banyak ketawa itu.

Digalakkan munajat sepanjang Ramadan

Sebab itu kita digalakkan menangis terutama ketika bermunajat kepada Allah SWT khususnya pada Ramadan ini kerana tangisan datang daripada jiwa yang takut akan keputusan akhir menanti di akhirat kelak.

Justeru, gunakan malam akhir Ramadan untuk kita bermuhasabah diri dan menangislah mengenangkan dosa yang dilakukan, kemudian bertaubat dan minta ampun kepada Allah SWT. Semoga dengan rahmatnya, permohonan ampun kita diterima dan semua dosa diampunkan.


Berita Harian Online Agama 06/08/2013

Ciri-ciri membentuk akhlak mulia

Perlakuan zahir asas ukuran sama ada individu itu baik atau buruk

Perkataan akhlak berasal daripada perkataan Arab jamak 'khuluq' yang diertikan sebagai budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat. Menurut Iman al-Ghazali, dua perkataan yang berkaitan langsung dengan akhlak ialah al-khuluq dan al-khalqi.

Al-Khuluq merujuk kepada gambaran zahir manusia, manakala al-khalqi pula gambaran batinnya. Menurut al-Ghazali lagi, akhlak menerangkan keadaan yang terdapat dalam jiwa seseorang dan daripadanya terbit semua perbuatan tanpa memerlukan fikiran serta penelitian.

Oleh itu, dari segi teknikal, akhlak adalah gambaran atau perihal mengenai keadaan serta suasana dalam jiwa manusia yang sudah berada pada tahap kukuh dan sebati.

Selanjutnya daripada keadaan jiwa itu akan muncul perbuatan atau perlakuan secara spontan (tidak memerlukan pelakunya berfikir atau membuat apa-apa pertimbangan lagi) yang boleh dikategorikan kepada akhlak baik dan buruk.

Perbuatan yang elok dan terpuji dari sudut pandangan akal serta syarak dikatakan akhlak baik, manakala sebaliknya adalah akhlak buruk. Akhlak yang mulia adalah matlamat asasi bagi risalah Islam.

Rasulullah SAW membuat kesimpulan terhadap misi pengutusannya sebagai menyempurnakan akhlak. Sabda Baginda SAW: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang Mukmin di hari kiamat daripada perangai yang baik, kerana sesungguhnya Allah sangat membenci orang yang keji lagi kotor perangainya.”

Akhlak mulia inti pati segala ibadah

Akhlak yang mulia adalah inti pati bagi segala ibadah di mana tanpa akhlak, ibadah hanya adat resam dan gerak laku tidak mempunyai nilai serta faedah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Syarat bagi terhasilnya akhlak yang baik telah diperincikan oleh al-Ghazali seperti yang diringkaskan. Akhlak yang baik mempunyai kekuatan atau daya ilmu yang memudahkan seseorang faham serta dapat membezakan kebenaran dan dusta dalam kata-kata, akidah atau perbuatan.

Mengawal kekuatan atau daya marah seseorang (dalam keadaan tertekan dan tegang) pada had dan kadar diperlukan secara berhikmah (hasil daripada daya kekuatan ilmu).

Kekuatan atau daya syahwat yang berada di bawah panduan hikmah. Mempunyai kekuatan atau daya keadilan atau pertengahan dan kesederhanaan.

Antara sifat akhlak baik yang terhasil daripada memenuhi syarat itu ialah hikmah, berani, mulia dan adil. Sebaliknya akhlak buruk yang terhasil adalah jahil, gopoh atau terburu-buru, pengecut, tidak semangat, tamak, jumud dan zalim.

Jauhi perkara haram, syubhah

Sehubungan itu, Fathi Yakan dalam bukunya ‘Apa Erti Saya Menganut Islam’ menyarankan supaya umat Islam mempunyai ciri-ciri akhlak yang menjauhkan diri daripada melakukan perkara haram dan berjaga-jaga daripada melakukan perkara syubhah iaitu dengan menutup pandangan daripada perkara diharamkan Allah, memelihara lidah daripada perkataan yang tidak memberi faedah, kalimah keji, bercakap kosong, mengumpat dan mengadu domba.

Bersifat malu dalam semua keadaan, di mana sifat ini mendorong seseorang meninggalkan perkara buruk dan menghalang daripada mencuaikan hak orang lain. Lemah lembut, sabar, bersifat benar, jujur dan tidak merasa takut kepada celaan manusia demi kepatuhan kepada Allah SWT.

Tawaduk terutama dalam kalangan saudara Islam, menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mencari keburukan orang lain, pemurah, mengorbankan diri serta harta ada jalan Allah selain menjadi teladan dalam tindak tanduk.

Sememangnya aspek akhlak dalam Islam cukup luas di mana batasannya disempadani ‘penghasilan kebaikan’ dan garis penamatnya ‘penghalang kemudaratan’. Kedua-duanya dilaksanakan demi mencari keredaan Allah.

Oleh kerana perbuatan atau perlakuan zahir seseorang itu adalah hasil keadaan jiwanya, maka untuk mengukur akhlak seseorang adalah sukar. Namun pengukuran akhlak boleh dibuat secara tidak langsung dengan lihat tanda kepada akhlak iaitu perbuatan atau perlakuan zahir seseorang itu.

Sebagai tanda aras akhlak ini, Imam al-Ghazali meletakkan peranan syahwat dan akal sebagai piawai pengukur kebaikan serta keburukan akhlak seseorang. Ini bermakna perbuatan atau perlakuan dipamerkan seseorang sesuai kehendak syarak dan akal manusia dianggap akhlak yang baik.


Dr Burhanuddin Jalal Berita Harian Online Agama 06/08/2013

Pengaruh revolusi Syiah ke atas PAS

Amal pendekatan politik lebih keras

Revolusi Iran kira-kira 34 tahun lalu menggoncang dunia. Kuasa besar Barat terpinga-pinga dengan pengaruh pemimpin Syiah, Ayatollah Khomeini dan bagaimana beliau menjatuhkan kerajaan Reza Shah Pahlevi, yang disokong Amerika Syarikat. Gerakan Islam sedunia bagaikan mendapat semangat baru. Di Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berjumpa Khomeini.

Pulang ke Malaysia, Anwar isytiharkan sambutan ‘Hari Pembebasan dan Perpaduan Iran’ pada 16 Mac 1979. PAS tidak ketinggalan. Pemimpinnya, Mohamed Sabu menggunakan retorik tokoh Syiah itu dalam ucapan dan ceramahnya. Mereka juga mempengaruhi gerakan pelajar Islam, terutama di sekolah agama dan pondok, untuk menentang kerajaan menggunakan revolusi di Iran sebagai contoh.

Rencana Harakah (31 Disember 1999) memuji Khomeini sebagai wira dan ‘role model’ untuk PAS. Malah, ada dakwaan seorang ulama PAS dilantik duta khas Khomeini untuk Asia Tenggara dan risalah ucapan pemimpin Syiah itu diedar di masjid sekitar Kuala Lumpur (Baca Shanti Nair, Islam in Malaysian Foreign Policy, ISEAS 1997).

Pada Muktamar PAS 1983, Presidennya, Yusof Rawa berucap: “Kejayaan revolusi Islam di Iran menambah lagi keyakinan kita terhadap kejayaan Islam di masa hadapan. Kita mestilah mempelajari daripada kejayaan umat Islam di Iran untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehan kita untuk berjuang.” Yusof menyaksikan sendiri bibit-bibit revolusi kerana ketika itu, beliau adalah Duta Malaysia ke Iran, Turki dan Afghanistan.

Kebetulan, perkembangan di Pakistan yang menyaksikan kemunculan Jeneral Zia ul-Haq (yang memperkenalkan hudud dan cukai cara Islam) dan gerakan Islam menentang kerajaan Anwar Sadat di Mesir turut memberi kesan ke atas PAS sehingga muncul kumpulan pemimpin muda yang berlainan pembawaan berbanding pemimpin terdahulu seperti Dr Burhanuddin al-Helmy dan Tan Sri Asri Muda. Selain Yusof, paling menonjol ialah Datuk Nik Aziz Nik Mat dan beberapa pemimpin ABIM-PAS, seperti Datuk Fadzil Noor, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman.

Bawa pendekatan baru

Sebagai Presiden (1983-89), Yusof membawa pendekatan baru, menyusun organisasi parti dan membuka ruang kepada ulama menguasai PAS. Beliau mempelopori konsep ‘kepemimpinan ulama’, memperkenalkan Majlis Syura dan jawatan Mursyidul Am, yang dipegangnya sendiri. Menurut Badlihisham Mohamad Nasir: “Imej PAS dikatakan seolah-olah berubah mengikut rentak kepemimpinan ala Syiah di Iran yang memberikan status yang amat tinggi kepada ulama.” (Tamadun, Ogos 1999). Apabila Jaafar Nimeiri melancar revolusi Islam di Sudan pada 8 September 1983, Yusof mencadangkan penubuhan negara Islam di Malaysia mengikut acuan revolusi Iran. Menurut Dr Farish A Noor, di bawah kepemimpinan Yusof dan kumpulan muda, PAS bersikap lebih militan dan berkonfrontasi ala gerakan radikal Mesir seperti Tanzim al-Jihad dan Takfir wa’l-Hijrah.

Tanzim al-Jihad (atau Jama’ah al-Islamiyyah) dipimpin personaliti Ikhwanul Muslimin seperti Muhamad Abdul al-Salam Faraj, Abbud al-Zumur dan Khalid Islambuli, semuanya pengikut Khomeini, Syed Qutb dan Sheikh Umar Abdul al-Rahman, yang membenarkan pembunuhan orang awam Islam atas nama jihad. Manakala Takfir wa’l-Hijrah (atau Jama’ah al-Muslimin) dipimpin Ahmad Shukri Mustafa, juga pengikut Syed Qutb, dan sering menggunakan takfir sebagai senjata politik. Kumpulan ini menganggap selain ahli mereka, orang lain adalah kotor dan berdosa. (Islam Embedded Vol 2, MSRI Kuala Lumpur, 2004). Tidak terbabit ialah Imam Hassan al-Banna, Sheikh Ahmad Yasin atau Fathi Yakan, yang penulis silap label sebagai pemimpin Syiah dalam artikel minggu lalu.

Sejak itulah, PAS dilihat mengambil pendekatan politik yang semakin keras. Pemimpin mereka sering melabel orang lain sebagai kafir, asabiyyah, munafiqin, mustazaffin dan syirik. Kemuncaknya ialah Amanat Haji Hadi pada 1982 yang menuduh UMNO kafir. Hadi juga menulis buku bertajuk ‘Hizbullah dan Hisbussyaitan’ manakala Ibrahim Libya mahu berjihad menumbangkan kerajaan yang dianggap sekular dan munafik mengguna revolusi Syiah sebagai model. (Baca Perisai Memali oleh CN Afghani, Baling, 1997)

Kini PAS tolak pengaruh Syiah

Revolusi Iran akhirnya menghadapi masalah dalaman dan luaran. Mereka yang dianggap musuh kerajaan Syiah dipenjara atau dibunuh, tokoh akademik dibuang kerja dan parti politik seperti Tudeh diharamkan. Khomeini melancar perang dengan Iraq antara 1982-1988 sehingga menghancurkan kedua-dua negara. Ramai pemimpin dan tokoh revolusi yang kemudian membantah pemusatan kuasa ulama, kerakusan Khomeini dan kekejaman Syiah letak jawatan (Perdana Menteri Mehdi Bazargan), meninggalkan negara (Presiden Bani-Sadr), dibuang negara (Ayatollah Muhammad Kazim Shariatmadari,) atau dibunuh (Sadeq Gobtzadeh).

Hari ini, PAS secara terbuka menolak pengaruh Syiah tetapi 35 tahun lalu, tokoh yang berani membangkitkan bahaya kesan revolusi Iran dan sikap Syiah dalam kalangan kepemimpinan parti seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah, Asri dan Nakhaie telah disingkir. Kata Abu Bakar, yang dipecat pada 1986: “Memang perangai orang PAS sekarang ini suka mentakfirkan orang lain, suka pulau memulau, suka rasa dirinya saja yang beriman dan bertakwa, sedangkan orang lain adalah kafir belaka. Perangai biadab seperti ini berleluasa dalam PAS dan ayatollahnya gagal membendung...perangai jahiliah beginilah yang akan meruntuhkan perjuangan PAS.” (Mingguan Islam, 17 Jun 1988)


E-mel ke bhrencana@mediaprima.com.my untuk berkongsi pendapat anda.

Juhaidi Yean Abdullah
Berita Harian Online Rencana 06/08/2013

Pengikut Syiah di Malaysia cecah 250,000

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesan kewujudan 250,000 pengikut Syiah di negara ini dengan 10 kumpulan dikenal pasti bergerak aktif.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, berkata jika 10 tahun dahulu mereka cuma terdiri komuniti kecil dan mempunyai tiga markas, tetapi kini markas mereka hampir di seluruh negeri.

“Perkembangan teknologi maklumat antara faktor memudahkan pergerakan kumpulan berkenaan menyebarkan fahaman, apatah lagi orang ramai mudah untuk akses kepada pelbagai bentuk laman sosial dan media sosial,” katanya di sini, semalam.

Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996. Penularan fahaman Syiah kian membimbangkan kerana ia boleh membawa kepada perpecahan umat Islam.

Abdul Rahim berkata, usaha memerangi dan membanteras pergerakan Syiah secara menyeluruh perlu dilaksanakan secara bersepadu dan tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada satu agensi saja.

“Di pihak KDN misalnya dari segi keselamatan menerusi Polis Diraja Malaysia, Pendaftar Pertubuhan (ROS), kawalan bahan penerbitan menerusi Akta Percetakan dan Penerbitan, pengeluaran cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) menerusi Lembaga Penapisan Filem sementara kemasukan pihak luar menerusi Jabatan Imigresen,” katanya.

Dari aspek akidah pula, Abdul Rahim berkata, ia di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), media sosial (Kemen-terian Komunikasi dan Multimedia), hubungan luar (Kementerian Luar) dan institusi pengajian tinggi (Kementerian Pendidikan).

Mengenai tangkapan, beliau berkata dua tangkapan pernah dibuat sebelum ini iaitu pada 1996 mengikut Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan pada 2012 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Dalam tangkapan oleh JAIS itu seramai 200 pengikut ditahan, namun dibebaskan apabila ada masalah teknikal dari segi perundangan ketika pendakwaan dijalankan,” katanya.

10 judul buku diharam

Mengenai tindakan mengharamkan buku dan bahan penerbitan pula, katanya, setakat ini 10 judul buku diharamkan antaranya Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syiah dan Tafsir Sufi Al Fatihah Mukadimah yang didapati mengandungi bahan bercanggah dengan ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Buku Tokoh-Tokoh Terkemuka Ahlul Bait Nabi (Jilid tiga dan Jilid empat), yang antara kandungannya mendakwa Saidina sebagai penerus syariah selepas wafat Rasulullah yang berhubung dengan konsep Imamiah dalam fahaman Syiah.

Ditanya sama ada kumpulan itu dipergunakan sesetengah pihak untuk mewujudkan keadaan tidak tenang, Abdul Rahim tidak menolak kemungkinan itu kerana sudah menjadi satu kelaziman bila sesuatu isu atau masalah berlaku ada pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ atau mengambil kesempatan.

Namun, katanya, KDN senantiasa memantau keadaan termasuk kemungkinan terdapat pengikut kumpulan berkenaan yang terbabit dengan kegiatan militan.

Mengenai status warta mengenai ajaran Syiah dan Pengharaman (Enakmen Anti-Syariah) di negeri, beliau berkata, setakat ini 10 negeri sudah mewartakan ajaran Syiah bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, manakala empat negeri (Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak) masih dalam proses pewartaan. - BERNAMA


Berita Harian Online Agama 06/08/2013