August 7th, 2013

Perisai daripada api neraka

KEHIDUPAN begitu singkat sekali. Hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan tahun ke tahun silih berganti. Namun sesekali kita harus bertanya kepada diri kita sebanyak mana bekalan yang telah diisi dan akan dibawa ke negeri akhirat? Adakah dosa-dosa kita telah diampunkan oleh Allah? Jika kita memohon keampunan dengan benar-benar dan penuh tawaduk, insya-Allah dosa kita akan diampunkan-Nya kerana Allah itu Maha Pengampun.

Dengan Ramadan yang masih berbaki ini, jadikanlah puasa kali ini sebagai perisai kepada api neraka, sebagaimana perisai kita sewaktu bertempur dengan musuh. Perisai diibaratkan sebagai pertahanan diri bagi menghadapi segala ancaman dan juga cubaan pada masa depan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Puasa itu adalah benteng yang akan dibentengkan oleh hamba-Ku dan api neraka." (riwayat Tabrani)

Sebagai pertahanan ketika berpuasa elak daripada berdusta, mengata, mengumpat, memfitnah dan sebagainya. Hati, lidah, mulut, mata dan telinga serta pancaindera yang lain juga menjadi pertahanan daripada godaan syahwat yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Jika tidak dikawal segala perbuatan ini, Nabi SAW mengingatkan: "Mungkin hasil yang diraih seseorang yang berpuasa hanya lapar dan dahaga dan mungkin hasil yang dicapai seseorang yang solat malam (qiamullail) hanyalah berjaga." (riwayat Ahmad dan Al Hakim).

Hindari perbuatan dosa walaupun sekecil mana sekalipun, kerana di sebelah kiri dan kanan kita ada dua malaikat yang sentiasa mencatat segala amalan dan perbuatan kita. Ingatlah dunia ini apabila dibandingkan dengan akhirat adalah bagaikan seseorang di kalangan kamu yang mencelupkan jarinya ke air laut, lalu diangkatnya, kemudian lihatlah apa yang tinggal.

Berpuasa di bulan Ramadan dengan keimanan, mengharap pahala kerelaan Allah, semoga diampuni dosa-dosa yang telah lalu. Inilah pertahanan dan perisai yang harus ada dalam diri dan jiwa setiap umat Islam.

Manusia yang beriman tetap berkeadaan baik selama mana mereka berpuasa. Tinggalkan ucapan sia-sia dan perbuatan dusta waktu berpuasa.

Jadikan puasa perisai kepada segala kejahatan, kemungkaran, perkara yang sia-sia, ucapan dan syarahan yang boleh menyakiti orang lain.

Dengan berpuasa kita dapat merasakan haus dan lapar serta dapat menghayati kesusahan, kelaparan dan kemiskinan orang lain. Puasa dan solat mendidik hati dan jiwa ke arah menjadi insan Muslim yang benar-benar soleh dan bertakwa.

Cari dan dapatkan rahmat, berkat, pengampunan dan pembebasan diri daripada azab neraka sempena Ramadan ini. Hidupkan malam Ramadan dengan solat, memperbanyak istighfar, solat terawih, membaca al-Quran, memperbanyakkan amal dan sedekah, melipatgandakan ibadah pada 10 malah akhir Ramadan, memperbanyakkan amal sedekah ketika bertemu Lailatulqadar.

Jadikan amalan di bulan Ramadan perisai daripada api neraka. Sesungguhnya, di dalam syurga terdapat pintu Al-Rayyan, dari pintu inilah orang yang berpuasa akan masuk ke syurga pada hari kiamat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu yang bernama Ar-Rayyan (memuaskan dahaga). Maka pada hari kiamat akan dipanggil: Hai! Mana orang yang berpuasa? Maka apabila telah masuk orang terakhir daripada mereka ditutuplah pintu syurga itu. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, jadikan idaman balasan syurga sebagai usaha meningkatkan ibadah dalam bulan Ramadan terutama sepuluh hari terakhir Ramadan. Selain menghidupkan malam-malam Ramadan dengan membangunkan keluarga untuk melakukan pelbagai ibadat solat, membaca al-Quran, berdoa, berzikir, dan sebagainya.



DR AMINUDIN MANSOR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 06/08/2013

Memahami khatam al-Quran

HARI berlalu dengan pantas. Ramadan berbaki sehari sahaja lagi. Banyak masjid dan surau telah mengadakan majlis berbuka puasa sekali gus melakukan majlis khatam al-Quran.

Persoalannya apakah fadilat yang perlu direbut kepada mereka yang khatam al-Quran. Secara khususnya al-Quran amat dihormati bermula daripada menyentuhnya yang memerlukan suci daripada hadas atau mestilah berwuduk, dibaca dengan bertajwid tidak seperti membaca akhbar mengikut selera dan khatamnya juga diadakan satu majlis.

Qatadah pernah berkata apabila Anas Ibnu Malik hendak khatamkan al-Quran, beliau akan memanggil ahli keluarganya dan berdoa (riwayat al-Darimi).

Atas asas inilah kebanyakan daripada masyarakat kita mengadakan majlis sempena khatam al-Quran.


Khatam al-Quran mempunyai banyak kelebihan, apatah lagi pada bulan Ramadan. - Gambar hiasan

Para ulama di zaman dahulu mempunyai jadual yang rapi membaca al-Quran. Bermula membacanya pada malam jumaat dan khatamnya pada malam khamis. Ini bagi mereka yang mengamalkan bacaan al-Quran dan khatamnya seminggu sekali.

Imam al-Ghazali dalam karyanya Ihya' Ulumiddin menyatakan paling afdal khatam al-Quran sama ada malam atau siang hari ialah jika di waktu siang, afdalnya pada hari Isnin di dua rakaat solat fajar atau selepasnya dan pada waktu malam pula ialah malam Jumaat pada solat Maghrib atau selepasnya. Ini bermaksud kedua-dua keadaan tersebut ialah bermulanya waktu malam atau bermulanya waktu siang.

Amalan ulama dahulu apabila hendak khatam al-Quran mereka akan mencari waktu yang sesuai bukan khatam ikut suka sahaja. Seorang tabie Talhah ibnu Masraf ra berkata, barang siapa khatam al-Quran di siang hari pada masa mana sekalipun, malaikat berdoa untuknya sehingga petang. Dan jika khatam pada waktu malam, malaikat berdoa untuknya sehingga waktu pagi.

Amat beruntunglah mereka yang khatam al-Quran di permulaan pagi dan permulaan malam kerana tempoh doa malaikat untuknya adalah panjang.

Hakikatnya khatam al-Quran mempunyai banyak kelebihan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

Amalan yang dilakukan bersempena khatam al-Quran ialah berdoa dan istighfar. Selain itu hendaklah menyaksikan kebesaran Allah SWT dan merenung kelemahan diri sebagai hamba Allah.

Betapa manusia perlu kepada kuasa Allah dan betapa rahmatnya Allah memberi banyak nikmat kepada hamba sama ada yang melakukan kebaikan atau kejahatan.

Perkara penting yang ditekankan ulama ialah sejurus khatam surah al-Nas dibaca selepasnya dengan surah al-Fatihah dan lima ayat surah al-Baqarah. Amalan ini diriwayat daripada Ibnu Abbas daripada Ubai Ibnu Ka'ab ra daripada Rasulullah SAW.

Apabila Baginda SAW membaca surah al-Nas dibacakan bersama surah al-Fatihah dan permulaan surah al-Baqarah sehingga ayat kelima. Kemudian Baginda berdoa dan beredar.

Ibnu al-Jazari ketika mengulas hadis ini berkata, amalan tersebut diamalkan seluruh daerah Islam dan dinamakan al-Hal al-Murtahil yang bermaksud selesai membaca hingga akhir al-Quran dan berusaha untuk khatam kali berikutnya. Bermaksud pembaca sentiasa berjalan menuju kepada Allah.

Setiap tahun siaran langsung solat terawih dari Mekah telah menyaksikan ramai umat Islam berterawih di sana. Pada malam khatam al-Quran, jumlah yang hadir boleh dikatakan menyamai jumlah musim haji. Imamnya akan membaca doa khatam al-Quran dalam tempoh tidak kurang setengah jam memohon kesejahteraan umat Islam dan kejayaan Islam.

Akhirnya, rebutlah peluang sempena majlis khatam al-Quran yang diadakan di tempat tuan-tuan. Banyak rahmat Allah dan kelebihan yang diturunkan semoga rahmatnya berkekalan bersama kita. Perlu juga diingatkan khatam al-Quran bukan bermaksud sudah cukup membaca al-Quran untuk tahun ini tetapi teruskan membaca al-Quran. Amalkan yang dibuat oleh Rasulullah al-Hal al-Murtahil.


Dr. Khairul Anuar Mohamad  ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 06/08/2013

Kehangatan Muslim Canterbury

BANDAR Canterbury merupakan ibu negeri Kent terletak di tenggara England yang amat terkenal dalam pelancongan dan merupakan antara bandar yang paling kerap menerima kunjungan pelancong.

Walaupun tidak sebesar bandar-bandar terkenal lain di England, Canterbury merupakan pusat agama Kristian Protestan. Hal ini kerana Archbishop of Canterbury yang mengetuai gereja England berada di Cathedral Canterbury.

Jika kota Mekah menjadi pusat tumpuan ibadah umat Islam dari setiap segenap pelosok dunia, maka Canterbury pula tempat ritual penganut Kristian dari seluruh dunia.

Sesuai dengan status berkenaan, penganut Islam di Canterbury tidak ramai seperti daerah-daerah lain dalam England. Namun yang meramaikan ialah para pelajar dari tiga universiti iaitu terdiri daripada warga Malaysia dan negara Islam lain.

Walaupun tidak ramai, komuniti Islam di Canterbury dianggarkan berjumlah hampir 1,000 orang mempunyai hubungan yang agak rapat, malah mereka meletakkan bulan Ramadan bagi tujuan merapatkan ukhuwah menerusi aktiviti iftar dan solat terawih di masjid dan di Pusat Kebudayaan Muslim Canterbury, yang juga dipanggil sebagai 'Markaz' yang terletak dalam kampus Universiti Kent.

Bersempena kedatangan Ramadan, seramai 33 pelajar dan pensyarah Universiti Texas, Amerika Syarikat telah mengunjungi Masjid Canterbury untuk memenuhi keperluan salah satu sukatan pelajaran mereka, baru-baru ini.

Mereka yang mengambil pengajian agama berkesempatan berbuka puasa bersama-sama umat Islam Canterbury sambil menyelami agama Islam termasuklah isu-isu hangat seperti nikah, poligami, hak-hak wanita dan lain-lain.


Masjid Canterbury menjadi kekuatan kepada hampir 1,000 umat Islam sekitarnya.


Warga Universiti Texas Amerika Syarikat diberikan penerangan berkenaan keistimewaan agama Islam
ketika mereka mengunjungi komuniti Islam Canterbury, England .

Penerangan telah dibuat dengan berhemah bagi mengubah pandangan para tetamu tersebut terhadap agama Islam yang selama ini sering dipandang serong.

Dalam pada itu, Pengerusi Masjid dan Pusat Kebudayaan Muslim Canterbury, Harroon Rashid Sohaloon, 60, dari Mauritius yang telah menetap di Canterbury sejak 1985 memberitahu, pihaknya menyediakan iftar sepanjang Ramadan.

Menariknya berkenaan juadah iftar itu, hidangan disediakan mengikut negara seperti Malaysia, Pakistan dan Bangladesh. Namun makanan ala Barat seperti fish n chip dan kentang putar' adalah kemestian.

Kata Harroon Rashid lagi, berkat kedatangan bulan Ramadan, pembiayaan persiapan iftar ditanggung menerusi tabung masjid dengan jumlah kapasiti antara 20-30 jemaah yang terdiri daripada para pelajar, musafir dan pelawat.

"Selepas berbuka, kita menunaikan solat Maghrib berjemaah, seterusnya solat Isyak serta terawih yang diketuai oleh Imam Pusat Kebudayaan Muslim Canterbury, Khallaf Albawi, seorang pelajar Ijazah Kedoktoran Falsafah jurusan undang-undang dari Universiti Kent.

"Namun tahun lalu, kita pernah membawakan khas dua pelajar dari Malaysia yang sedang menuntut di Maghribi," jelas beliau.

Selain iftar dan solat terawih, Pusat Kebudayaan Muslim Canterbury turut menganjurkan program pengajian al-Quran dan kelas bahasa Arab pada setiap minggu.





JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 06/08/2013

Kaedah mengajar agama perlu perubahan

SATU perkara yang menjadikan orang merasa tidak selesa untuk melakukan sesuatu adalah kerana ketika dia diberikan satu tanggungjawab, dia sering bertanya “kenapakah aku harus melakukannya?"

Apabila dia mengemukakan soalan itu kepada dirinya, maka akan timbullah berbagai-bagai jawapan dan rentetan persoalan lain yang sering kali tidak dapat dijawabnya.

Orang yang beragama Islam dalam bulan Ramadan ini umpamanya mungkin akan bertanya “kenapakah aku mesti berpuasa dalam bulan Ramadan ini?"

Soalan ini mempunyai jawapan yang banyak, bergantung kepada ilmu dan pelajaran, atau pengalaman seseorang itu. Bagi orang yang tidak mahu berfikir dengan mendalam untuk mencari jawapan bagi persoalan ini, maka dia hanya akan menjawab dengan mengatakan “kerana Allah SWT memerintahkan orang Islam supaya berpuasa, maka aku ini seorang Islam yang telah mencukupi syarat-syarat wajib berpuasa, maka aku mestilah berpuasa".

Jawapaan ini amat baik bagi orang yang telah kuat imannya, iaitu yang mengakui dirinya seorang yang mesti melakukan sebarang perintah Allah yang dipelajarinya tanpa bertanyakan lagi apakah logik atau sebab musabab dia seharusnya menunaikan ibadat kepada Allah dalam bentuk ritual, sembahyang, puasa dan sebagainya.

Tetapi bagi orang yang bukan Islam, atau yang baru hendak memeluk Islam, atau yang sedia memeluk Islam, namun imannya masih belum kuat dan mantap, maka persoalan ini tidak mudah hanya diberikan jawapannya begitu. Dia mungkin memerlukan jawapan yang lebih berbentuk praktikal dan yang menjejak ke bumi nyata, iaitu kenapakah dia seharusnya beribadat?

Di sinilah terletaknya kepentingan penguasaan teknik dan ilmu bagi kita yang ingin mengembangkan ajaran agama kita dalam zaman sains dan teknologi, dan zaman ICT yang serba canggih pada masa kini.

Jawapan dengan hanya mengatakan “kerana Allah memerintahkan kita berbuat demikian, maka kita wajib melakukannya" amat mudah diterima tanpa sebarang soal jawab lagi oleh manusia pada kurun yang lepas, tetapi amat sukar diterima oleh manusia abad ke-21 dan alaf baru ini.

Anak-anak Muslim zaman ini, sering diajar untuk menerima sesuatu ajaran Islam tanpa perlu dikemukakan logik atau hikmahnya, tanpa diberikan sebarang sebab material yang berpijak nyata di alam ini tentang banyak persoalan yang timbul dalam minda dan jiwanya mengenai tanggungjawab dan kewajipan yang seharusnya dipenuhi sebagai seorang Muslim.

Anak-anak yang berumur 3 hingga 9 tahun umpamanya, banyak sekali disumbatkan ke dalam benaknya tentang syurga dan neraka, sedangkan mereka sendiri tidak dapat menggambarkan secara nyata apakah syurga atau neraka itu. Mereka dipaksa untuk mengucapkannya dan menyampaikan kepada teman-teman sebayanya sahaja.

Sebab itulah apabila seorang anak perempuan yang baru berumur 5 atau 6 tahun umpamanya, apabila di tanya kenapakah kamu seharusnya menutup aurat, maka dia menjawab “Ustazah kata orang yang tidak menutup aurat, akan masuk neraka".

Alasan yang diberikan ialah tentang sesuatu yang ghaib, yang jauh daripada perspektif yang nyata di dunia ini, iaitu tentang syurga dan neraka, yang amat jauh daripada gambaran logik kanak-kanak sekecil itu.

Oleh itu dalam kaedah mengajar agama di sekolah rendah atau menengah, atau mengembangkan ajaran agama kepada masyarakat umum, yang belum memahami falsafah dunia dan akhirat, syurga dan neraka, hendaklah diolah sebegitu rupa dari perspektif yang lebih dekat dengan world view atau tasawwur serta pandangan nyata mereka yang lebih logik dan praktikal.

Dalam konteks puasa bulan Ramadan ini umpamanya, saya mungkin dapat memberikan contoh yang mudah bagi persoalan yang disebutkan di atas, namun jawapannya lebih mudah pula diberikan dan agak praktikal bagi orang-orang yang sukar untuk memahami falsafah dan matlamat ibadat secara ghaib, apa lagi yang hanya memberikan alasan dari ayat al-Quran dan Hadis, yang dalam keadaan ini bolehlah dikemukakan kemudian secara beransur-ansur ketika minda dan pemikiran orang itu dapat menerimanya.

Soalan yang saya cadangkan, daripada bertanyakan “Kenapakah seorang itu wajib berpuasa Ramadan?"maka soalan itu bolehlah diolah semula “Apakah pengajaran yang aku dapat daripada berpuasa Ramadan? Atau, apakah pengajaran yang cuba diterapkan ke dalam diriku dengan melakukan puasa dalam bulan Ramadan? Atau, yang lebih langsung lagi, apakah faedah berpuasa Ramadan kepada diri aku?"

Banyak fakta logik dan nyata yang dapat diberikan terhadap persoalan ini, dan orang yang bertanya akan mulai memahami sesuatu yang selama ini mungkin tidak diketahuinya, atau yang diketahuinya secara samar-samar sahaja, umpamanya kelebihan puasa terhadap kesihatan dan fizikal manusia, pengajaran set nilai hidup yang dimulai dengan nilai yang ringan, kemudian beransur-ansur kepada nilai-nilai yang lebih mendalam, dan seterusnya.

Fakta akal dan pemikiran serta psikologi, haruslah didahulukan untuk memberikan keyakinan kepada seorang manusia tentang tugas dan kewajipannya kepada Allah, kemudian barulah beransur-ansur memberikannya fakta alam ghaib dan akhirat, syurga neraka, dosa pahala dan sebagainya.

Alangkah baiknya kalau hal ini dapat dikaji secara mendalam dan bersungguh-sungguh ketika kita sering tertanya-tanya kenapakah pelajaran agama yang kita ajarkan di sekolah selama ini tidak memberikan kesan yang baik kepada membentuk tingkah laku dan akhlak anak-anak muda kita sekarang ini. Mungkin kaedah mengajar merupakan salah satu sebabnya yang besar.



DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM, Pengerusi Institut Profesional Baitulmal, Wilayah Persekutuan. Utusan Malaysia Online Rencana 06/08/2013

Aidilfitri mengembalikan diri kepada fitrah

AIDILFITRI adalah bulan yang ditunggu selepas sebulan melalui madrasah Ramadan. Seperti juga ibadat-ibadat lain maksud yang dipedomankan oleh Islam supaya setiap umat Islam dapat membina jiwa kehambaan yang tinggi dan berperanan sebagai khalifah yang penuh hikmah.

Kehambaan yang tinggi membangun jiwa rukuk dan sujud yang tinggi juga. Ia mendukung maksud ketaatan, kepatuhan, keakuran dan ketundukan kepada Allah SWT. Dalam maksud yang luas tarbiyyah Ramadan mengukuhkan asas rohaniah dan membawa perubahan kepada diri.

Ramadan tidak saja amalan yang berifat rohaniah dan jasmaniah. Ada dorongan rohaniah yang menyebabkan manusia berubah dan ada dorongan jasmaniah yang menyebabkan manusia insaf.

Pengekangan hawa nafsu dari bersifat haiwani mempengaruhi tabiat, sikap dan tingkah laku. Kalau sebelum tarbiyyah ini terjadi, sikap sombong, angkuh, ego seseorang agak tinggi. Tetapi selepas melalui tarbiyyah Ramadan ia jadi berubah. Menginsafi betapa kerdil dirinya di sisi Allah dan menyedari bahawa puncak kebanggaan manusia ialah Allah Yang Maha Pencipta dan Pemberi Rahmat.

Justeru kesedaran dalaman diri manusia terlalu amat penting. Mengukur tarbiyyah Ramadan di lalui dengan jayanya adalah perubahan sikap dan tingkah laku yang ada pada diri. Daripada seorang yang kedekut dan bakhil, seorang yang bengis dan suka dipuji bertukar menjadi seorang yang pemurah dan suka bersedekah dan seorang yang penyayang dan membantu yang susah. Dari seorang yang pendendam dan hasad dengki bertukar menjadi seorang yang sabar dan sentiasa berhemah dalam melakukan sesuatu.

Tetapi bagaimana harus terjadi sedangkan ibadah ini dianggap sebagai rutin hidup yang hanya terhubung dengan Allah tetapi tidak terhubung dengan diri dan manusia atau diri dengan orang lain. Setiap tahun orang berpuasa, melakukan tarawih, bangun sahur, bertadarus dan solat sunat, wataknya tidak berubah. Dimensi hablumminallah ada tetapi dimensi hablumminannas tidak banyak berubah.

Selepas Ramadan dengan melalui segala macam cabaran wataknya tidak banyak berubah. Secara zahir produktiviti rohaniahnya tinggi dengan aktiviti ibadah yang banyak tetapi pada hakikatnya produktiviti amaliahnya masih rendah. Ia memerlukan muhasabah yang tinggi supaya ada upaya merenung ke dalam diri mengapa watak diri tetap sama dan perubahan tidak juga berlaku. Perubahan diri manusia bergantung kepada niat yang bersih dan ilmu yang memberi suluh supaya perubahan diri terjadi.

Kalau ada tekad untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan keyakinan yang sungguh-sungguh bahawa ibadat bukan hanya ritual, ikut-ikutan dan turut-turutan semata tetapi ia suatu proses mengukuhkan rohani supaya perubahan diri itu bermula dari dalam.

Apabila hati dan niat mahu berubah ikhlas kerana Allah kerana sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri seperti gelojoh, ego, sombong, pendendam, tidak ada jiwa pemaaf adalah dibenci oleh Allah, maka dengan sendirinya ahli ibadah ingin kembali kepada diri yang fitrah.

Inilah maksud Aidilfitri sebenarnya iaitu diri yang menang dalam pertarungan dengan hawa nafsu, diri yang berjaya dibebaskan daripada belenggu sifat-sifat mazmumah (terkeji) kepada sifat-sifat mahmudah (terpuji).

Jika ini berlaku di saat merayakan Aidilfitri, fitrah diri akan kelihatan seolah-olah kita baru dilahirkan dengan sifat dan sikap baru dan menjadikan watak dan amal kita sesuatu yang sangat bermakna.

Takbir dan tahmid yang dilafazkan, kesediaan menerima maaf dan saling memaafkan, memperbanyakkan ziarah, meraikan golongan miskin dan daif adalah gambaran awal memahami bahawa Kebesaran Allah itu terlihat dalam tingkah laku kita menyantuni yang tidak bernasib dan rasa syukur yang tinggi terhadap rahmah dan nikmah yang kita terima.

Sekiranya bawaan ini diperkukuh dengan ilmu yang membawa kepada keinsafan, ibadah yang mengukuh rohani bakal terpancar perubahan diri dalam bentuk amal dan perbuatan yang benar-benar bermakna.

Aidilfitri diharapkan menjadi sempadan zaman silam yang dilalui dengan pekerti mazmumah yang jelik dengan pekerti mahmudah yang ramah dan menjadikan diri kita orang yang dekat dengan Allah (taqarrub Ilallah) dan hampir dengan manusia.

Penulis mengambil kesempatan ini memohon maaf zahir batin sekiranya penampilan Tok Ki selama ini menyinggung perasaan. Bacalah apa yang tersirat moga ia memberi manfaat.


JENDELA TOK KI Utusan Malaysia Online Rencana 06/08/2013

Syiah, Bani Tamim, Ayah Pin - Melayu Boleh!

ORANG Melayu di Tanah Melayu ini semakin canggih.

Pencarian mereka mengenai ketuhanan cukup hebat. Mereka mahu mencapai tahap syurga yang paling tinggi.

Bagi golongan ini, mereka lebih hebat daripada orang lain, daripada orang Melayu yang lain, orang Kristian, Buddha mahupun Hindu.

Orang Melayu jenis ini merasakan keislaman mereka yang diamalkan selama ini sudah tidak Islam lagi. Islam yang kita semua percaya sudah kurang keislamannya.

Mereka mahu mencari lebih daripada itu. Mereka mahu mendapatkan kebenaran yang abadi.

Pendedahan bahawa 250,000 orang menyertai ajaran Syiah juga tidak memeranjatkan. Rata-rata sudah tentulah orang Melayu.

Mereka ini mahu mencari syurga yang paling tinggi.

Adakah Islam cara Melayu yang mengamalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah hilang ketakwaannya?

Pengertian Ahli Sunnah Wal Jamaah sudah cukup jelas. Ia ialah kumpulan orang Islam yang berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para Sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW.

Ada pun mazhab-mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali adalah terhitung dalam mazhab-mazhab yang muktabar yang tergolong di dalam istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Namun bagi pengikut Syiah, Nabi Muhammad SAW bukan lagi penghulu yang perlu mereka ikuti.

Kita juga tidak terkejut dengan kewujudan kumpulan Pemuda Bani Tamim, yang mengaku sebagai penyedia tapak kepada kemunculan Imam Mahadi.

Awal pagi kelmarin mereka, 10 individu termasuk dua wanita - semuanya orang Melayu - menggelar diri mereka sebagai Kumpulan Panji Hitam Dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara dan mendakwa pewaris Yang di-Pertuan Agong yang sah, cuba mengambil alih pentadbiran Istana Negara. Hebat mereka ini.

Memang benar, sesungguhnya orang Melayu sudah hebat. Bukan sahaja dalam politik orang Melayu taksub dan jumud - dalam mencari ketuhanan juga mereka ekstrem.

Orang lain, semakin lega melihat perkembangan ini. Lebih senang bagi mereka mengambil faedah daripada kecelaruan ini. Mereka sedang ketawa besar. Perpecahan orang Melayu semakin melebar.

Jika orang Melayu boleh mempercayai orang seperti Ayah Pin yang membawa ajaran kerajaan dari langit, tidak hairan mereka juga boleh percaya kepada perkara-perkara lain.

Syiah ialah satu ajaran yang terbukti terpesong daripada Islam, tapi sokongan orang Melayu semakin bercambah.

Di Iraq, negara yang diranapkan oleh Amerika Syarikat, ia kini sedang berdepan dengan perpecahan yang tidak boleh diperbaiki lagi.

Difahamkan kira-kira 1,000 manusia dibunuh dalam beberapa bulan ini sahaja, atas nama pertembungan fahaman membabitkan Syiah dan Sunni. Masjid-masjid yang dipenuhi jemaah kariah dibom oleh pengebom manusia.

Seorang rakan yang baru pulang bercuti bertugas dari Iraq berkata, nyawa manusia sudah tiada nilai di sana. Puak Syiah dan Sunni mengebom tempat-tempat ibadah tanpa rasa bersalah pun, apatah lagi berdosa. Masjid bukan tempat selamat lagi, bila-bila masa boleh dibom.

Ia dilakukan kerana kebencian dan dendam kesumat yang tiada sempadan.

Melihatkan perkembangan itu, rakan saya percaya mungkin satu hari Iraq bakal terbelah dua. Satu diperintah puak Sunni dan satu negara diperintah puak Syiah.

Saya tidak mahu komen lanjut lagi perkara ini. Saya sudah banyak menulis dan bercakap mengenai orang Melayu dan pemikiran mereka. Keekstreman mereka cukup hebat.

Adakah mereka merasakan mereka boleh menggapai Jannatul Firdaus tahap tertinggi dan lebih tinggi lagi?

Melayu memang Boleh!

Kesimpulannya: Kembalilah kepada Rasulullah SAW yang diutus Allah untuk mempersatukan umat Islam.

Allah berfirman dalam surah Al-’Imran: 103: “Dan berpegang teguhlah kalian semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kalian bercerai-berai (berkelompok-kelompok)."

Selamat Hari Raya 1434. Maaf, Zahir dan Batin!



Zaini Hassan Utusan Malaysia Online Rencana 07/08/2013

Perkara sunnah di Aidilfitri

SOLAT hari raya merupakan salah satu lambang syiar Islam yang terbesar dan terpenting. Perkara ini sehinggakan Nabi Muhammad SAW mengarahkan semua wanita yang haid dan kanak-kanak yang tiada kewajipan pada mereka, turut keluar beramai-ramai bagi menyaksikan hari kebesaran dan kemenangan Islam ini.

Antara sunnah Nabi SAW yang besar ketika menyambut kedatangan 1 Syawal adalah menunaikan solat dua rakaat hari raya sama ada Hari Raya Aidilfitri mahupun Aidiladha.

Bahkan, Nabi SAW yang sempat berpuasa sebanyak sembilan kali selepas kefarduan puasa pada tahun 2 Hijrah, tidak pernah meninggalkan walau sekali bagi mendirikan solat hari raya ini.

Maka dengan itu, perbahasan dalam kalangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah majoriti mereka dan termasuk perkataan Imam Ibnu Taimiyah, akan kewajipan setiap mukallaf yang tiada keuzuran untuk menunaikan solat hari raya ini.

Perkara ini dapat dikuatkan lagi dengan sabda Nabi SAW daripada Ummi Atiyah yang bermaksud: "Rasulullah memerintahkan kami mengeluarkan para wanita merdeka, wanita yang berhaid dan anak-anak gadis pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar ke musolla (tanah Lapang). Mereka menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum muslimin.

Aku berkata: "Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai tudung? Maka Nabi SAW berkata: "Suruh agar saudaranya meminjamkan tudungnya!" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hal ini juga diterangkan oleh al-Allamah Siddiq Hasan Khan, katanya: "Ketahuilah bahawa Nabi SAW sentiasa memelihara solat dua hari raya ini, baginda tidak pernah meninggalkan pada suatu hari antara hari-hari raya itu dan baginda menyuruh orang ramai supaya keluar ke musalla untuk solat, sehingga baginda memerintahkan supaya orang perempuan yang merdeka, yang keuzuran dan dalam keadaan haid keluar beramai-ramai. Baginda menyuruh perempuan yang berhaid agar tidak solat, di mana semua mereka akan menyaksikan kebaikan dan bersama-sama menjalankan seruan untuk orang Islam, sehingga baginda menyuruhkan wanita yang tiada tudung agar diberi pinjam tudung kepadanya.

Semua ini menunjukkan bahawa solat ini merupakan suatu kewajipan muakkad ke atas setiap orang, bukan kifayah, sedangkan perintah keluar itu menentukan kewajipan solat bagi sesiapa yang tiada keuzuran.

Maka dapat disimpulkan bahawa yang rajin, hukum solat hari raya ini adalah wajib. Ia bukan sunat yang boleh ditinggalkan begitu sahaja tanpa uzur yang syar'i.

Mudah-mudahan Allah SWT memelihara kita agar dapat menguatkan diri kita untuk menghadirkan diri mendirikan solat hari raya ini.

Dan antara lain sunnah yang besar apabila kita meraikan hari raya selain mendirikan solat hari raya ini, Nabi memerintahkan kita agar bergembira pada hari itu. Digalakkan untuk bersuka-ria dan berhibur selagi mana tidak melanggar batas-batas syarak. Ini adalah nikmat Allah kepada kita di mana disyariatkan bergembira pada hari tersebut dan mendapatkan pahala di sisi Allah.

Jadi, perkara-perkara yang boleh mendatangkan kesedihan dan tangisan sewajarnya kita hindarinya. Ini kerana dikhuatiri akan menghilangkan perasaan gembira tersebut, mungkin juga akan menghapuskan juga pahala gembira yang Allah tetapkan kepada kita.

Besarnya syariat bergembira ini sehinggakan perkara yang "lagha" (sia-sia) seperti nyanyian yang diharamkan di sisi agama diberikan kelonggaran oleh Nabi SAW kepada umatnya apabila berada dalam 1 syawal, seperti kisah yang diceritakan oleh Aisyah r.a beliau berkata: "Rasulullah SAW masuk menemuiku, yang mana di sisiku ada dua anak perempuan kecil yang sedang bernyanyi dengan nyanyian Bu'ats(lagu peperangan). Kemudian baginda berbaring di tempat tidur dan memalingkan wajahnya. Masuklah Abu Bakar, lalu dia mengherdikku dan berkata: "Apakah ada seruling syaitan di sisi Nabi SAW!?

Rasulullah kemudian menghadap kepada Abu Bakar seraya bersabda: "Biarkan kedua anak perempuan itu, setiap kaum mempunyai hari raya dan hari ini adalah hari raya kita". (HR Muslim dan syarah Fathul Bari jilid ke-2).

Apa yang dapat difahami daripada hadis ini, ia jelas menunjukkan bahawa melahirkan kegembiraan bersama keluarga pada hari raya ini adalah syiar agama Islam. Walaupun nyanyian ini ada kelonggaran tetapi ia disertai syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti ia dinyanyikan oleh anak-nak perempuan yang belum baligh, hamba dan para wanita untuk suami mereka.

Nabi SAW pada hari raya juga mandi sebelum keluar menuju ke musalla (tanah lapang) serta baginda menjamah dahulu beberapa biji kurma dalam jumlah yang ganjil.

Baginda akan mengenakan pakaian yang indah dan cantik, tanda meraikan hari raya yang menjadi hari kebesaran Islam. Apabila selesai mengenakan pakaian yang cantik, Nabi SAW keluar dari rumah menuju ke musalla yakni tempat untuk mendirikan solat hari raya dengan berjalan kaki tanpa menaiki kenderan.

Rasulullah juga tidak lupa untuk memakai minyak wangi untuk pergi ke musalla dan baginda menggalakkan kaum muslimin memakai wangian juga tetapi tidak kepada kaum muslimah.

Kata Ibnul Musayyib: "Sunnah Aidil Fitri itu tiga: Berjalan menuju ke musolla, makan sebelum keluar dan mandi". (lihat Irwa' al- Ghalil HR Firyabi dengan sanad yang sahih).

Dalam perjalanan baginda menuju ke musalla, baginda bertakbir berulang-ulang dengan membesarkan Allah SWT.

Takbir yang diajarkan Nabi SAW untuk membesarkan Allah SWT berbunyi: "Allahu Akbar, Allahu Akbar, la ilahaillallahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd". (HR Abi Syaibah dan Daruqutni dengan sanad yang sahih)

Apabila Nabi SAW selesai menunaikan solat hari raya, baginda akan pulang dengan menggunakan jalan yang lain dan bertemu dengan orang yang lain.

Bahkan, antara ucapan hari raya yang diamalkan oleh para salaf adalah seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah yang membahaskan athar dari Muhammad bin Ziyad berkata:

"Aku pernah bersama Abu Umamah al- Bahili dan selainnya dari kalangan para sahabat Nabi, Mereka bila kembali dari solat hari raya berkata kepada sebahagian yang lain dengan ucapan:

"Taqabbalallahu minna wa minkum"(Semoga Allah menerima amalan dari kami dan kamu).(lihat, al-Mughni jilid ke-2).

Maka akan dijawab oleh orang yang menerima ucapan ini dengan lafaz yang sama seperti di atas. Ucapan ini juga menjadi perbuatan para sahabat dan juga seluruh salaf.

Adapun ucapan seperti "kulli am wa antum bi khair (semoga setiap tahun kamu dalam keadaan baik)" atau "minal Faizin wal maqbulin (semoga tergolong orang yang Berjaya dan diterima)" adalah ucapan yang tidak ada pada sandaran sunnah Nabi SAW. Cukuplah hanya sunnah Nabi SAW yang menjadi sandaran dan amalan kita kerana sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi SAW.

Yang petunjuk pula itu adalah perkara baru yang diada-adakan dan setiap perkara baru itu adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu adalah sesat.

Semoga hari raya kali ini kita benar-benar diraikan dalam penuh keimanan.



ZULKIFLI JALIL pengarangf@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 07/08/2013

Bersedia lestarikan tarbiyah Ramadan

GOLONGAN Mukmin yang taat berpuasa pernah dijanjikan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW dengan dua kegembiraan iaitu kegembiraan saat berbuka dan berhari raya serta kegembiraan ketika bertemu Tuhan-Nya. Ini kerana setelah bersusah payah berjihad dengan fizikal, wang, masa dan tenaga selayaknya umat Islam bersuka ria dan bergembira dengan ketibaan Syawal yang mulia.

Kegembiraan itu hendaklah diterjemahkan dengan mensyukuri segala nikmat anugerah Allah SWT sambil tidak alpa menghulurkan bantuan kepada golongan marhain yang pasti ingin turut bersama bergembira pada hari raya. Lebih daripada itu, erti kesyukuran bertemu bulan Syawal yang mulia hendaklah dibuktikan lagi dengan para mukminin bersedia mempraktikkan segala pelajaran dan tarbiyah Ramadan dalam medan perjuangan yang sebenar.

Janganlah segala kurniaan dan ganjaran Ramadan yang diperoleh dengan susah payah dihabiskan dalam sekelip mata. Ini kerana terdapat segelintir individu Muslim yang kembali semula berbuat pelbagai kemungkaran yang diharamkan setelah bercuti dan berehat selama sebulan.

Malah hal ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan ketika Ramadan seseorang hanya melawan kehendak nafsu sendiri tetapi menjelang Syawal, Iblis kembali dibebaskan dan kaum Muslimin terpaksa bertarung dengan dua musuh iaitu Iblis dan nafsu yang membelenggu diri.

Untuk tujuan itu, keseronokan berbakti dan beribadah sepanjang Ramadan hendaklah diteruskan dan dipergiatkan lagi. Usah kerana kesibukan berhari raya ibadah solat fardu mula diabaikan. Usah kerana ingin bergaya dengan pakaian serba baharu, sempadan pergaulan dan batasan aurat tidak dipedulikan. Akhirnya ada yang kembali kepada tabiat dan perlakuan buruk sebelum Ramadan sekali gus petanda awal kemungkinan ibadah puasanya tidak diterima oleh Allah.

Kemungkinan golongan inilah yang bakal terlepas ganjaran utama Ramadan iaitu nilai takwa sebagai benteng pelindung diri daripada melakukan perbuatan yang keji. Boleh jadi golongan inilah yang disifatkan oleh Baginda Nabi SAW sebagai berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa melainkan rasa lapar dan dahaga.

Semasa Ramadan, umat Islam dididik supaya sentiasa menepati masa melalui amalan berbuka dan bersahur pada waktunya. Kepentingan menghargai masa ini bolehlah diaplikasikan pula dengan berusaha untuk sentiasa mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.

Ramadan turut mengajar bagaimana ibadat penting dalam kehidupan Muslim. Justeru segala amal ibadah yang dipraktikkan ketika Ramadan seharusnya diteruskan sebagai rutin harian sepanjang tahun. Mudah-mudahan dengan berkekalan melaksanakan ketaatan yang diperintahkan ia menjadi kafarah kepada dosa-dosa sehingga menjelang Ramadan yang akan datang.

Sifat mulia suka berderma dan menghulurkan bantuan kewangan sama ada dengan berzakat mahupun bersedekah usahlah pula dihadkan dengan pemberian duit raya semata-mata. Ia elok diperluaskan kepada institusi kebajikan seperti rumah anak yatim, orang tua dan rumah-rumah kebajikan.

Selain itu institusi pendidikan di mana generasi muda Islam dididik dengan ilmu agama dan tahfiz al-Quran, sentiasa memerlukan sokongan kewangan daripada semua pihak. Kesediaan untuk berwakaf dan menginfakkan harta fi sabilillah dalam skop yang luas, amat-amat dialukan sebagai tanda kesyukuran atas nikmat rezeki yang diberi.

Sebagaimana ketika Ramadan, kaum Muslimin diperintahkan untuk banyak memohon keampunan dan keredaan Ilahi maka ambillah kesempatan bertemu Syawal dengan bersedia untuk saling memaafkan antara satu sama lain. Ia elok bagi mewujudkan kesatuan ummah bagi menghadapi cabaran dan ujian yang mendatang dan kelihatannya ia sukar dibendung lagi. Hilangkan segala persengketaan dan permusuhan dengan berbaik sangka dan berhenti daripada terus mencaci sesama sendiri.

Sempena hari baik dan bulan baik ini, usahlah terlalu ego dan menyombong diri dengan enggan memaafkan kesilapan saudara sendiri. Bayangkan jika dosa sebesar bukit pun diperkenankan untuk diampunkan oleh Allah maka mengapa manusia yang kerdil ingkar berbuat demikian. Seolah-olah dia sahaja yang benar dan tidak pernah melakukan apa-apa kesilapan kepada orang lain.

Perlu diingat berakhirnya Ramadan tidak bererti umat Islam bebas untuk melakukan apa sahaja yang disukai, sehingga ramai yang bebas bersosial tanpa peraturan syariat dan kembali bebas ke tempat-tempat maksiat. Lebih daripada itu Ramadan merupakan langkah permulaan kepada usaha untuk membentuk jati diri Muslim agar sentiasa patuh dan taat kepada perintah Allah dan Rasulnya sepanjang masa.

Umat Islam juga diseru untuk terus mempraktikkan amalan berpuasa sunat seusai Ramadan. Ini boleh dimulakan dengan berpuasa selama enam hari di bulan Syawal yang dijanjikan pula dengan ganjaran berpuasa sepanjang tahun.



MOHD ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Johor Bahru. Utusan Malaysia Online Rencana 07/08/2013

Nikmat raya bersama-sama

KEPELBAGAIAN kumpulan etnik dengan amalan keagamaan yang berbeza-beza membolehkan setiap warga di Malaysia tanpa mengira batasan etnik, ras dan kepercayaan bersama-sama meraikan perayaan etnik dan kumpulan agama yang berlainan ini. Malaysia merupakan bumi bertuah.

Setiap tahun, masyarakat Islam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri selepas berakhirnya Ramadan dan bermulanya bulan Syawal dalam kalendar Islam. Tarikh mencerap anak bulan Syawal yang juga penetapan Hari Raya Aidilfitri 2013 adalah pada 7 Ogos 2013 dan mengikut kalendar Islam, 1 Syawal 1434 (tarikh Hijrah) dijangka pada 8 Ogos 2013 (tarikh Masehi).

Saya masih ingat bagaimana pada waktu merentasi zaman ini, rakan-rakan akan diajar untuk berpuasa dan bagaimana masing-masing bersungguh-sungguh melaluinya tanpa merasai keletihan. Mokhtar Abdul Manaf, anak kepada Imam Masjid Tanjong Malim ketika itu yang menetap di belakang rumah saya sering mengajak saya bermain badminton sebagaimana kelaziman yang dilakukan ketika bukan bulan Ramadan.

Malahan yang akan awal-awal menghantar lemang dan rendang adalah nenek beliau yang sudah berumur sekitar 70-an ketika itu. Rumah Mak Long pula popular untuk membuat dodol yang akan dikacau oleh hampir semua yang tinggal di taman perumahan itu.

Nostalgia ini barangkali tidak dirasai oleh generasi baharu melainkan di kawasan perkampungan walaupun ia sudah semakin suram di Tanjong Malim, kampung saya. Hanya di pasar lambak hari Sabtu, saya masih boleh melihat penjual lemang dan dodol yang agak popular dalam kalangan pengunjung terutama mahasiswa Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Uniknya perayaan Aidilfitri di kawasan perkampungan adalah masing-masing boleh merasai bahang beraya seawal berpuasa kerana kemeriahan di bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis makanan tradisional hingga yang sudah dimodenkan.

Begitu juga dengan pencarian malam Lailatulqadar yang dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Amalan malam tujuh likur untuk menyinari kampung dengan lampu pelita menjadi satu kemestian kala itu. Kemeriahan Ramadan dan menyambut kedatangan Syawal amat bermakna dengan amalan seperti ini.

Di belakang kawasan perumahan kami juga terletaknya tanah perkuburan orang Islam dan kami turut menyaksikan komuniti setempat datang membersihkan tanah perkuburan di samping menghadiahkan bacaan tahlil kepada yang telah meninggalkan mereka, baik pada hari pertama syawal atau sebelumnya.

Marhaban di malam raya juga adalah satu kewajipan, bertandang dari rumah ke rumah menyaksikan interaksi yang berpanjangan selepas sembahyang Isyak di madrasah taman ini selepas pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri. Ia kemudian disertai dengan sembahyang berjemaah di masjid pada pagi raya.

Gerombolan kenderaan yang menjadikan kawasan persekitaran masjid padat menandakan masing-masing pulang beraya bersama sanak-saudara.

Kunjungan dari rumah ke rumah; dari taman ke taman menandakan ketinggian amalan fitrah manusia dilahirkan untuk kenal mengenali antara satu sama lain; keakraban hubungan yang mempamer usaha berterusan meningkatkan hubungan bukan sahaja sesama ummah tetapi juga hubungan dengan masyarakat setempat yang berlainan agama dan amalan ritual mereka.

Adakah sambutan ini masih berterusan atau sudah berubah kerana perubahan persekitaran, masa dan kumpulan rakan yang barangkali sudah mempunyai konsep ‘pulang ke bandar’ kerana ketiadaan kampung. Adakah generasi baru sudah luntur nilai perkongsian yang ditonjolkan melalui amalan beraya bersama kerana kesibukan bekerja dalam mengejar kebendaan yang turut menjadi faktor yang menyumbang kepada kehidupan individualistik?

Bagaimana dengan pelajar; apakah bentuk pendedahan yang diberikan. Sewaktu saya belajar di Sekolah Menengah Teknik, Cheras, setiap tahun berkumandang lagu Dendang Perantau yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan lagu-lagu lain sepanjang bulan Ramadan baik di kamar yang diikongsi dalam sekitar 20 orang ataupun bilik mandi dan uniknya di malam terakhir sebelum masing-masing pulang ke kampung, kesemuanya yang tinggal di asrama akan berkumpul di tengah padang selepas Isyak; bersalaman, memohon maaf sebagai tanda silaturrahim sesama kita.

Adakah masih wujud amalan seperti ini dalam menghidupkan semangat kepelbagaian yang menjadi teras kekuatan negara ini?

Hari ini kita melihat ada segelintir yang cuba melahirkan perasaan syak wasangka dan curiga mencurigai antara kaum yang amat membimbangkan terutama melalui medium pendekatan lain iaitu media sosial.

Saya masih tertanya-tanya kenapa ketika kita membesar dalam ruang yang sama tetapi tempoh masa yang berbeza sudah mengubah segalanya? Adakah persekitaran yang mengubah kita atau kita juga menyumbang kepada kedaifan tersebut secara dominan?

Kalau di Tanjong Malim ada Anuar, Azri, Zuraidi, Mokhtar, Bagio, Zulzambrin, Sopii, Azmi, Amin, Razwin, Yusri, Enal, Azizuddin, Nin dan Ah Leng yang boleh beraya bersama, bermain apa sahaja baik takraw ataupun layang-layang, mencari ikan sepat atau ikan laga dan toman; bermain polis dan pencuri, berjaga sewaktu pencuri mengancam taman kami, membantu menjadi penanggah sewaktu musim kenduri kahwin yang masakannya dilakukan secara gotong-royong, saling sokong antara satu sama lain; adakah masih wujud generasi ini baik di tempat saya sendiri atau di tempat lain?

Apakah mereka yang pulang beraya di kampung dapat terus menikmati amalan tradisi ini atau akan dibiarkan pupus kerana mahu dilihat gah dengan aksi peredaran zaman?

Walaupun persekitaran berubah dan individu juga sudah berlainan, ini tidak bermakna kita boleh mengetepikan amalan yang sebenarnya membawa kita bersama.

Setiap warga wajar mengisi ruang perayaan dengan amalan yang membolehkan ia dirai bersama; memahami kepentingannya dan menghormati setiap pengisian kerana ia mempunyai maksud dan makna tersendiri baik bersifat tersurat mahupun tersirat.

Semangat perayaan adalah antara langkah yang boleh diambil untuk menyemai semula nilai kehidupan dalam satu keluarga besar. Jika ada nilai menerima, hormat dan faham antara satu sama lain, ia sudah boleh menjadi jambatan perhubungan kerana asasnya adalah sifat berkompromi dan berkorban demi kesinambungan generasi yang kaya dengan nilai susila acuan Malaysia.

Semoga perayaan kali ini akan membawa lembaran baru kepada semua warga Malaysia, khususnya masyarakat Islam agar keharmonian yang terbina sekian lama akan terus diraikan di bawah kesederhanaan dan ruang tengah tidak dicacatkan oleh golongan yang tidak faham erti perpaduan dalam perbezaan sesama manusia.

Bagi yang masih tidak memahami pengertian ‘beraya’, elok memecahkan dinding yang menjadi tembok penghalang untuk mempelajarinya kerana kepelbagaian perayaan juga adalah tembok utuh yang membangunkan setiap warga bersama. Ia boleh dimulakan dengan ucapan - Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 07/08/2013

Mengukuhkan kesepaduan sosial menerusi Aidilfitri

Sikap saling menghormati norma, nilai penganut Islam resipi keharmonian

Dua minggu lalu Buletin Utama TV3 menyiarkan kisah seorang mualaf daripada keturunan Kadazan-Dusun di Sabah yang memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Islam. Perkahwinan campur bukanlah sesuatu yang asing di Sabah dan Sarawak, termasuk membabitkan kaum Bumiputera dan Cina dan sesama Bumiputera daripada berlainan etnik. Amalan memeluk Islam juga semakin kerap berbanding 1970-an. Dalam kalangan adik-beradik saya, daripada empat orang, termasuk seorang anak angkat, tiga memeluk Islam, manakala dalam kalangan keluarga terdekat, ramai yang sudah memeluk Islam dan berkahwin campur. Darah sesetengah daripada mereka, mungkin ada percampuran sehingga lima jenis keturunan. Sabah dan Sarawak mempunyai 57 suku kaum dengan keturunan, agama, adat dan budaya yang berbeza.

Dalam buletin tadi, seperti dalam sesetengah kes, wanita terbabit mengisahkan bagaimana pada awalnya ibu bapanya menentang langkah memeluk agama Islam. Namun, kami adik-beradik bernasib baik kerana ibu bapa kami yang beragama Kristian tidak menentang tindakan kami memeluk Islam. Bagi mereka daripada latar belakang agama dan budaya yang berbeza, menjadi saudara baru bukannya mudah. Banyak cabaran dan liku yang perlu diharungi, termasuk cabaran menghayati Islam sebenar. Sokongan daripada suami atau isteri dan mereka seagama amat penting bagi memudahkan saudara baru mempelajari segala selok-belok berkaitan fardu ain dan fardu kifayah. Dalam kes wanita tadi, dia mengongsikan pengalaman bagaimana akhirnya, ibu bapa dan kaum keluarganya turut sama-sama membantu persiapan berpuasa dalam Ramadan dan juga persiapan menyambut Aidilfitri.

Perkukuh kesepaduan

Selain asimilasi, akomodasi dan akulturasi, amalgamasi atau perkahwinan campur adalah satu daripada langkah terbaik untuk mengukuhkan kesepaduan sosial di negara ini. Melalui amalgamasi, dua ras atau budaya bercampur untuk membentuk ras dan budaya baru. Biasanya ras atau budaya dominan lebih menonjol. Fenomena perkahwinan campur bukanlah sesuatu yang asing di Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada lebih 55 suku kaum. Apabila proses itu berlaku akulturasi atau penerimaan unsur budaya dalam kalangan individu atau kelompok daripada sesuatu kebudayaan lain yang berbeza berlaku. Berbeza daripada asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan jati diri asal masyarakat penerima meskipun biasanya kepercayaan, adat resam dan amalan yang bertentangan dengan agama baru yang dianuti ditinggalkan.

Di Sabah dan Sarawak, perayaan Aidilfitri menjadi lebih meriah dan bermakna apabila saudara mara dan rakan-rakan daripada etnik dan agama lain mengunjungi umat Islam. Di Sabah dan Sarawak selain Melayu, etnik lain yang beragama Islam ialah Melanau, Kedayan, dan Bajau. Perbandaran, mobiliti dan penghijrahan memungkinkan berlakunya perkahwinan campur dan lebih ramai yang memeluk Islam. Mereka yang bukan Islam lebih terdedah kepada agama itu dan kaum utama yang menganut Islam.

Sikap saling menghormati norma dan nilai penganut Islam pada hari perayaan dan pada waktu lain adalah resipi dan formula yang telah melahirkan hubungan etnik dan agama yang begitu harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak. Mereka tahu dan sedar akan sensitiviti agama dan budaya masing-masing. Mereka cuba mengelak mengucapkan dan melakukan tindakan yang dapat menyinggung perasaan dan sensitiviti agama masing-masing.

Sikap tolak ansur

Jika anda bertanya kepada saya, apakah antara kelebihan Sabah dan Sarawak, saya tidak akan teragak-agak untuk menyatakan bahawa sikap menghormati dan bertolak ansur antara pelbagai etnik dan agama sebagai sesuatu yang menakjubkan. Jarang-arang berlaku perkelahian dan permusuhan membabitkan etnik dan agama, sekali gus memperlihatkan sikap toleran yang tinggi dalam kalangan mereka.

Perayaan dan makanan memenuhi keperluan sosiologi dan biologi masyarakat pelbagai etnik. Dalam perayaan seperti Aidilfitri, tuan rumah biasanya cuba memenuhi kehendak dan keperluan tetamu dari segi juadah asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Justeru, makanan tradisi dan moden, termasuk daripada etnik lain, dihidangkan sehingga memberi impak sosial yang positif dalam hubungan etnik dan agama. Tindakan sedemikian memperlihatkan tahap kesedaran, kefahaman dan saling menghormati yang tinggi dan sebati terhadap budaya dan etnik yang berbeza sehingga dapat mengukuhkan dan memantapkan kesepaduan sosial dan perpaduan kaum di negara ini. Makanan seperti rendang, kuih lapis dan seumpamanya menjadi lambang persahabatan dan keakraban yang dikongsi bersama.

Malah, sejak sekian lama, sepanjang bulan Ramadan, kita menyaksikan bazar jualan penuh sesak dengan orang ramai, termasuk golongan bukan Islam di bandar dan pekan di seluruh Sabah dan Sarawak. Hotel yang menyediakan bufet Ramadan turut disertai oleh mereka yang bukan Islam sama ada mereka hadir untuk menikmati juadah atas inisiatif sendiri atau atas jemputan rakan Islam. Yang menarik, mereka menghormati rakan Islam dengan hanya menjamah makanan apabila sudah masuk waktu berbuka.

Rumah terbuka, termasuk rumah terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan, rakan, pemimpin politik dan jiran tetangga meriah dan riuh-rendah dan lebih bermakna apabila dihadiri masyarakat pelbagai etnik dan agama. Rumah terbuka adalah platform terbaik untuk menjalin hubungan sosial dan hubungan etnik yang lebih kukuh.


Jeniri Amir ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak. Berita Harian Online Rencana 07/08/2013

Lebaran masa menyimpul silaturahim

Serikan sambutan dengan sedekah, didikan sepanjang Ramadan diteruskan

Aidilfitri adalah kemenangan bagi umat Islam yang melepasi godaan nafsu dengan berpuasa menahan diri daripada mengikut nafsu sepanjang Ramadan. Bagi sesetengah orang, ia adalah hari untuk bergembira kerana tidak perlu lagi berpuasa.

Sebaliknya bagi segelintir umat Islam, Aidilfitri adalah hari berduka dan bersedih teringatkan orang tersayang yang telah tiada kerana meninggal dunia, bercerai, berada berjauhan atau teringat anak yang tidak dapat bersama.


Didikan sepanjang Ramadan diteruskan

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa amalan pada hari lebaran sepanjang Syawal adalah kesinambungan daripada amalan serta ketakwaan yang telah dijana sebulan Ramadan. Latihan dan pendidikan sepanjang Ramadan seharusnya berjaya mempengaruhi tingkah laku secara lebih positif, proaktif, dilanjutkan seterusnya pada Syawal serta bulan berikutnya.

Maka, sempena hari kemenangan ini sepatutnya umat Islam mengisi Aidilfitri dengan aktiviti yang terus mengekalkan diri dalam keadaan fitrah yang suci, setelah dosanya diampunkan Allah SWT pada Ramadan iaitu dengan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW sepanjang Syawal.

Mulakan hari bahagia ini dengan mandi sunat Aidilfitri sebelum mengerjakan sembahyang sunat. Digalakkan memakai baju baru dan bersih dengan penghayatan bahawa ia dianjurkan oleh syariat, bukan bertujuan menunjuk-nunjuk.

Imam Syafie dalam Kitab Al-Umm berkata, “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

Digalakkan makan dulu sebelum pergi sembahyang sunat hari raya. Diriwayatkan daripada Anas: “Biasanya Rasulullah SAW sebelum pergi solat Aidilfitri, terlebih dulu baginda makan beberapa biji kurma.” (Riwayat al- Bukhari)

Bertakbir pada 1 Syawal amalan yang disyariatkan. Takbir pada Aidilfitri bermula ketika terlihat hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya iaitu selepas imam selesai berkhutbah.

Firman Allah yang bermaksud: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Sunnah bertakbir dengan lantang

Disunnahkan bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat solat untuk menunaikan solat Aidilfitri kerana bertakbir menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui.

Nabi SAW bersabda: “Hiasilah hari raya kamu dengan (membanyakkan bacaan) takbir, tahlil, tahmid dan taqdis (menyucikan Allah daripada sifat-sifat kekurangan).” (Riwayat at-Thabarani)

Oleh sebab itu, umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke masjid serta disunnahkan juga mengikuti jalan berbeza ketika pergi dan kembali daripada mengerjakan solat hari raya.

Syiar yang paling utama menyambut Aidilfitri adalah mendirikan solat sunat Aidilfitri dua rakaat. Ibn Abbas meriwayatkan: “Rasulullah SAW telah keluar pada Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Hari raya akan lebih bermakna jika kemeriahan diserikan dengan amalan bersedekah. Orang yang berkemampuan menghulurkan bantuan atau sedekah kepada mereka yang kurang bernasib baik. Tidak semua orang bernasib baik dan amalan bersedekah akan membawa kepada kesamarataan menyambut hari raya selain sebagai tanda kesyukuran terhadap rezeki yang Allah SWT kurniakan.

Masa merapatkan silaturahim

Inilah masanya untuk kita saling kenal mengenali dengan sanak saudara dan rakan taulan melalui amalan ziarah menziarahi. Bawa sekali pasangan dan anak-anak supaya masing-masing dapat mengenali lebih-lebih lagi jika tinggal berjauhan serta jarang berjumpa.

Aidilfitri adalah masa sesuai untuk bermaaf-maafan. Jangan ada rasa malu atau ego untuk meminta maaf. Kita yang harus memulakan untuk memohon maaf, jangan mengharapkan orang lain dan janganlah pula keras hati atau sombong untuk memberikan kemaafan.

Kita juga digalakkan mengucapkan selamat dan mendoakan kebaikan antara satu sama lain. Daripada Jubair bin Nufair, katanya: “Apabila sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Sebagai agama yang praktikal, setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya beribadah kepada Allah, maka usaha menimbulkan kegembiraan dan kemeriahan di Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam, asalkan ia dilaksanakan sesuai dengan lunas syarak.

Rasulullah SAW telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik berkata: “Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat al-Nasaai)

Galak puasa sunat enam hari

Kegembiraan menyambut Aidilfitri dan melayan tetamu yang hadir berkunjung tidak seharusnya melupakan kita untuk menghidupkan malam dengan pelbagai ibadah. Semangat mengerjakan qiyam Ramadan haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada bulan seterusnya.

Digalakkan untuk mengerjakan puasa sunat enam hari Syawal. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Riwayat Muslim)

Kesempurnaan ibadah sepanjang Ramadan, disusuli amalan sunnah Nabi SAW sepanjang Syawal, akan menjadikan kita umat Islam yang mempunyai kekuatan jiwa dan iman untuk melangkah ke bulan seterusnya.

Musa Awang ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel sekretariatpgsm@yahoo.com Berita Harian Online Agama 07/08/2013